MAKA DUNIA INI MILIKNYA

Bismillahirrahmanirrahim.
Bukanlah niat pada awalnya ingin menjadikan laman dakwah ini untuk menulis tentang dunia kedoktoran. Tetapi tidak salah untuk saya aplikasi prinsip dakwah Rasulullah SAW ‘ sampaikan walau satu ayat’, bercerita serba sedikit tentang nota alam perubatan.

Masyarakat secara amnya mengetahui bahawa kesihatan adalah satu unsur penting dalam kehidupan. Tetapi tidak ramai yang menganggap kesihatan adalah satu amanah malah terlalu sedikit orang yang bersyukur tentang nikmat sihat.

Wasiat seorang mujaddid dakwah, Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (ISHAB) di dalam ‘Wajibat Al-Akh’ (Kewajipan seorang Muslim):

“Hendaklah engkau bersegera melakukan check up secara berkala atau berubat, begitu penyakit terasa mengenaimu. Disamping itu perhatikan faktor-faktor penyebab kekuatan dan perlindungan tubuh serta hindarilah faktor-faktor penyebab lemahnya kesihatan.
Hendaklah engkau menjauhi sikap berlebih-lebihan dalam mengambil kopi, teh, dan minuman perangsang yang lain. Elakkan sama sekali merokok.
Hendaklah engkau perhatikan kebersihan dalam segala hal baik tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman, badan dan tempat kerja kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.”

Terlebih dahulu sebelum ISHAB memberitahu tentang kewajipan ini, Allah SWT juga telah menerangkan satu asas penting untuk kesihatan:

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Al-A’raf: 31)
Dunia kesihatan semakin berkembang seiring dengan bertambahnya pesakit-pesakit kronik di Malaysia. Penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung kini menjadi pemangsa utama.
Apa yang kita perlu fahami tentang hakikat kesihatan?
1) Allah yang menyembuhkan (Wa iza maridhtu fahuwa yashfin)
Tiada yang lain melainkan Allah As-Syafii, yang Maha Menyembuhkan segala penyakit luaran mahupun dalaman.
Percaya pada asma’-Nya adalah pasak aqidah,  simbolik keimanan dan sejauh mana kekuatan tawakkal kita kepada-Nya. Ini ‘mindset’ yang perlu kita ada sebelum berjumpa dengan mana-mana pegawia perubatan kerana mereka hanyalah jalan untuk membantu pesakit untuk sembuh.
Nyawa bukanlah terletak dalam tangan-tangan pegawai perubatan yang merawat kerana yang memegangnya adalah kuasa Allah. Kerana itu, kerap kali saya akan berpesan kepada waris pesakit bahawa tugas dan kewajipan saya hanyalah membantu sebaik mungkin namun usaha saya juga berada dalam qada’ dan qadar Allah. Jika ditakdirkan kematian, maka tiada sesiapalah boleh menghalangnya.
Percayalah, kesihatan anda adalah satu nikmat yang tidak mampu dibayar dengan duit, pangkat atau harta.
2) Kaedah Fiqh: Pilihlah satu kemudharatan yang lebih ringan diantara dua kemudharatan (وضدُّه تزاحمُ المفاسدِ فارْتَكِب الأدنى من المفاسد )/ kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan (الضرر الأشد يزال بالضرار الأخف )

Golongan pegawai perubatan bukanlah ingin tunjuk pandai dan mengatakan bahawa kami lah ‘Tuhan’ dalam dunia penyakit. Cuma dalam berikhtiar, pilihlah juga untuk berikhtiar dengan perubatan moden. Janganlah memilih ikhtiar yang memudaratkan apatah lagi yang menyalahi aqidah (tok bomoh jampi bukan guna ayat Quran, susuk dan sebagainya).

Orang yang sakit adalah golongan yang terdesak. Tunjuk sahaja apa jalan singkat/ testimoni walaupun pada caranya tidak dapat diterima akal  untuk sembuh, pasti mereka akan mudah terpedaya tanpa menyedari bahawa ikhtiar mereka itu lebih membahayakan.

“…dan janganlah kalian campakkan diri kalian ke dalam kebinasaan..” (Al-Baqarah: 195)
Saya tidak akan pernah menyalahkan rawatan alternatif kerana ilmu Allah adalah terlampau luas. Ilmu kedoktoran yang ada pada setiap pegawai perubatan juga terbatas. Namun, tuduhan melulu jangan dilemparkan bahawa dunia sains perubatan ini tidak selamat, penuh dengan tipu helah yahudi, ubat adalah racun atau dadah semata, doktor adalah golongan zionis.
Jika beginilah tuduhannya, maka lebih hinalah Ibnu Sina (Bapa Perubatan Islam) yang sangat gemilang dan ternyata anda tidak mengenali beliau! Kitab ‘Qanun Fi Tibb’ yang ditulis beliau menjadi rujukan Eropah buat ratusan tahun.
“Tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan  mengembalikan kesihatan ketika hilang”. (Ibnu Sina/Avicenna)
Jika benarlah kesihatan hanya akan datang dengan selawat, maka sudah pasti akan ada hadis yang diriwayat Rasulullah SAW. Begitu juga dengan dakyah-dakyah palsu yang menjual agama untuk membenarkan segalanya.
Hal yang merungsingkan pegawai perubatan apabila cara ikhtiar pesakit mereka adalah lebih membahayakan. Jika benar perubatan moden ini juga memudharatkan, maka pilihlah kemudharatan yang lebih ringan.
Sungguh, datang ke hospital dalam keadaan organ-organ di dalam badan yang sudah teruk adalah satu kerosakan yang tidak dapat diundur walaupun dengan menggunakan kuasa magis!

3) Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”(Hadis Riwayat Bukhari)

Salah satu hak tubuh badan juga adalah kesihatan untuk menunaikan amal ibadah dan meneruskan pekerjaan seharian. Ibarat mencurah air ke daun keladi apabila pesakit hanya menganggap nasihat pegawai perubatan sekadar nasihat kosong. Nasihat kami adalah untuk membantu supaya penyakit anda terkawal dan tidak akan menyebabkan komplikasi panjang yang akhirnya menjadikan penyakit anda lebih rumit untuk dirawat.

Ramai pesakit begini, terkadang saya sudah putus asa. Ibarat cinta bertepuk sebelah tangan kerana pihak pegawai perubatan sahaja yang beria untuk menyelamatkan pesakit. Tetapi pesakit hanya mengambil mudah. Ubat ditinggalkan, nasihat tidak dipedulikan, rawatan susulan diabaikan.

Tunaikanlah tanggungjawab ke atas jasad anda sendiri. Berdosalah kita bila tidak menjaga hak jasad sebaiknya.

Tugas pegawai perubatan sudah selesai. Kami hanya akan dipertanggungjawabkan sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik.

 

 “ Barang siapa yang berada dalam keadaan badan yang sihat, aman dalam penghidupannya dan memiliki makanan seharian yang cukup maka seolah-olah dunia ini miliknya.” ( Riwayat at Tirmizi)

 

bila amal mula kecut dengan kata-kata

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Moga azam baru yang telah tertanam di jiwa, tertunai hendaknya inshaAllah.
Mintalah keizinan dan kekuatan dari-Nya untuk terus berhadapan dengan realiti kehidupan.

***********

Dakwah membuatkan kita terlalu banyak mencanang kata-kata.
Kata-kata untuk menyeru manusia seisi alam ini.

Dan dalam kehidupan seharian kita sendiri,
Suasana sekeliling menjadi bising dengan percakapan-percakapan manusia.

Cuma bezanya, sama ada ianya berfaedah atau tidak.

Kata-kata yang berguna atau tidak,
tetap berbeza maknanya kerana manusia ini terlalu unik untuk memahami sebuah percakapan.
Mereka bisa menafsirkannya dengan bebas.

Dan dengan kata-kata kita mudah untuk berkomunikasi,
mudah untuk menafsir kata hati,
mudah untuk menyampaikan.

Kini, manusia terlalu sibuk berkata-kata tanpa memandang kepada amal mereka.
Mereka menabur janji kemudian meletakkan noktah di akhirnya.
Tanpa amal, mereka seolah yakin cukup hanya dengan kata-kata.

Akhirnya, hanya hanyut dengan lafaz yang terhasil pada lidah sendiri.
Gerak badan tiada langsung tergerak untuk menunaikannya.

Sudahnya, aku sendiri jenuh melihat terlalu sibuk berkata-kata,
sampai satu tahap aku sendiri penat dengan keletah mereka.

Aku tahu,
Manusia bebas melontarkan pandangannya.
Aku juga tahu,
Betapa buah-buah pemikiran mereka itu berguna untuk kemenangan ummah.

Tapi aku juga tahu,
Percakapan itu buahnya adalah amal.
Amal adalah satu pembuktian.

Aku sendiri lebih berminat untuk menjadi pemikir dakwah daripada pencakap dakwah.
Dakwah ini secara tidak langsung banyak menggunakan kata-kata untuk menyampaikan apa yang tersirat dan tersurat di sebaliknya,
tetapi wajarnya,

Ambillah masa untuk diri kau sendiri dalam menyusun kata,
Ambillah masa untuk diri kau sendiri dalam memahami apa yang kau bakal katakan,
Ambillah masa untuk diri kau sendiri dalam memerhati manusia yang bakal mendengar apa yang kau kata,

Tidakkah kau rasa kau perlukan hentian masa sebelum berkata-kata dengan banyak ?

Tidakkah kau rasa kau perlu untuk berfikir sejenak  kerana apa yang aku takuti adalah percakapan kau itu hanya kosong sebenarnya sedang kau menyangka ianya berguna !

Apa yang mahu aku fokuskan adalah kata-kata kamu wahai dua’t,
biarlah berhasil dan berguna,

Mencerminkan diri kau sebagai seorang daie yang benar-benar memegang kata-katanya,
mengotakan janjinya !

Kata-kata kita bukan kosong dan sia-sia.
Malah, kata-kata kita  membina manusia.

Kata-kata kita bukan melulu saja.
Malah, tembus tepat ke dalam hati manusia untuk menyentuhnya.

Kata-kata kita berpaksikan kebenaran yang kita nisbahkan kepada kalam-Nya dan sunnah Baginda S.A.W,
bukan penipuan rekaan kita !

Kesempurnaan kata-kata kita adalah apabila kita sendiri benar-benar menyesuaikan diri dengannya.
Bergegarnya bumi bukan sekadar dengan seruan kita, tetapi jihad kita dalam menunaikannya.

Aku risau pabila kau terlalu sibuk berkata-kata, kau menangguh-nangguh amalnya.
Kau menjadi semakin leka dan semakin berbangga kerana kau telah mengaku kau telah menyampaikan dengan begitu banyak,
tetapi betapa kurangnya manusia yang menyaksikan kesannya pada diri kau sendiri.

Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan ?
( 61 : 2 )

Dan bila kau terlalu suka berkata-kata,

seolah melambangkan fikiran kau yang sempit dengan kefahaman bahawa betapa perlunya kepada amal.
Dan mahukah kita kalimah-kalimah Al-Haq ini disempitkan begini ?

Sebagaimana yang berlaku ke atas kaum Muslimin satu ketika dahulu di mana pemahaman mereka tentang jihad disempitkan.
Kaum Muslimin kala itu leka duduk berehat di rumah, menikmati keselesaan pendingin hawa dan bersungguh mengumpul timbunan harta dan material sehingga mereka tidak berjihad dan berdakwah di jalan Allah !

Betapa kuatnya kuasa kata-kata bukan,
tetapi lebih padunya kata-kata itu dengan amal.

Kata-kata yang lahir dari hati kita para pejuang di jalan Allah,
biarlah sekadar pendahuluan terhadap jihad kita yang lebih besar,

JIHAD FI SABILILLAH !

Lihat betapa madrasah tarbiyyah Rasulullah S.A.W membina para sahabat yang begitu agung,
menjulang kalimah haq sehingga puncak yang tertinggi,
mereka tidak pernah kalah dengan jihad mereka,
meskipun pernah kalah dalam medan peperangan.

Mereka juga berkata-kata,
tetapi tidak kosong apa yang mereka katakan.

Sampaikan kata-kata mereka sehingga hari ini kita guna,
kita kenang dan menjadi pedoman untuk terus menongkah kehidupan.

Namun, mereka tidak terhenti di situ saja,
Mereka juga menunaikan jihad fi sabilillah dengan sebenar-benar jihad !

Tanamlah pada dirimu,
Kita bukan ingin mengumpul timbunan kata-kata yang terlampau banyak,

tetapi kita mahu bersaham dengan amal.

Pastikan,
Skill kamu dalam berkata-kata sentiasa diperbaharui.
Bahasa lontaran lidahmu sesuai dengan manusia di sekeliling.
Dibasahi iman dan dibelai dengan kasih dan sayang kerana Allah.

Perhatikan orang di sekelilingmu,
sampaikanlah apa yang mereka benar-benar butuh,
bukan kerana kita menyampaikan sekadar cukup syarat.

Berkata-katalah dengan perkataan yang akan membasahkan hatimu sendiri.
Berkata-katalah dengan penuh keyakinan terhadap diri kau sendiri.
Berkata-katalah dengan pendirian yang teguh.

Kita bukan sibuk berperang dengan kata-kata,
perdebatan yang sia-sia,
Malah ia bukannya medan kita !

Medan kita adalah medan dakwah ini.
Kefahaman ummah yang perlu gigih untuk dibina.
Pemikiran ummah perlu kembali direncana.

Paling penting, UMMAH INI PERLU DIBINA SEMULA !

Bercakaplah sepuasmu dan beramallah juga sepuasnya !

Sekian.

ya, kita berhutang dengan mereka

Bismillah.

Salam ukhuwwah fillah buat semua.

Ah, Ramadhan yang sudah tiba ke penghujungnya.
Kini, giliran Syawal pula yang menjelma.
Ruhiyyah yang dibina apakah akan memberikan kesan untuk persediaan diri menyambut Ramadhan yang seterusnya ?

Persoalan yang lebih merumitkan,
Apakah kita akan sempat sampai pada bulan Ramadhan yang seterusnya ?

TT_TT

**********

Kita berhutang dengan mereka.
Bukan harta.
Bukan jua berhutang budi.
Malah, nyawa dan semangat mereka.

Mereka bertemasya duka.
Kita bertemasya ria.

Di kala bumi ini sudah akhir usia,
Mereka berpenat di sana mengejar syahid,
Semangat yang tidak pernah layu,
Namun,

Bagaimana kita ?
Sudah terbuktikah cinta untuk Allah yang Ahad ?
Sudah terbuktikah cinta untuk ummah ?
Sudah terbuktikah segalanya ?

Ya, kita berhutang dengan mereka di Palestina sana yang telah bersusah-payah mempertahankan kota suci ummat Islam.

Namun, tangan-tangan kita sendiri yang terkadang menghantar peluru untuk membunuh mereka di sana.

Dan kita lalai menikmati usia dengan hiburan yang tiada hentinya.

Dan berterusan membazirkan semangat yang ada pada diri pada perkara yang tidak sepatutnya.

Kesimpulannya, diri kita sendiri tidak pernah membayangkan keadaan mereka di sana.

Sudahlah begini, menangis untuk mereka pun tidak pernah.
Apatah lagi, berusaha untuk melakukan sesuatu bagi membantu mereka.

Konsep satu ummah,
Perlu dibuktikan dengan rasa cinta anda kepada seluruh ummat Islam dengan kuasa iman dan ikatan aqidah yang terjalin.

Apa jua jenis batasan perbedaan, diputuskan.
Apa jua kesedihan, dikongsi bersama.
Apa jua kegembiraan, diraikan bersama.
Apa jua masalah, difikirkan bersama.

Konsep satu ummah mengajar kita erti satu perkataan,
CAKNA.

” Ya, aku peduli tentang mereka.”
” Ya, doa aku sentiasa bersama mereka.”
” Ya, aku menyimpan anganan untuk berjuang bersama mereka.”

Konsep satu ummah mengajar betapa pentingnya erti sebuah tadhiyyah untuk insan-insan yang seagama dengan kita.

AKU CAKNA UMMAH

Bagaimana mahu menjadikan ianya lebih praktikal ?

Doa.
” Cukuplah dengan qunut nazilah dan doa yang aku baca setiap hari.”

Boikot.
” Barang-barangan boikot tidak boleh dibeli. Perlu dicari pengganti.”

Berita.
” Perlu buka laman web tertentu untuk mengetahui hal mereka.”

Cukupkah sekadar tiga perkara ini ?
Ada lagi ?

Ada, mulakan dari diri anda sendiri.
Bagaimana mahu mencapai sebuah kemenangan jika diri kita sendiri belum menjadi seorang pemenang ?

Bagaimana mahu mencipta sebuah pembaharuan jika diri kita sendiri yang belum berusaha untuk menjadi insan yang lebih baru ?

Bagaimana mahu berjihad mempertahankan sebuah kota suci jika kita sendiri belum terlatih untuk bermujahadah dengan nafsu sendiri ?

Ertinya,
Bukankah usaha menyelamatkan Palestin itu bermula dari diri kita sendiri ?
Bukankah dari terbitnya sebuah kesedaran akan melahirkan sebuah pengorbanan dan perjuangan ?
Bukankah dari terbitnya sebuah kefahaman akan melahirkan gelombang penyelamat yang lebih muntij hasilnya ?

Jika mereka bergelar Pahlawan Gaza,
Kita juga pahlawan yang sama.

Jika mereka adalah pejuang yang tegar,
Kita juga adalah pejuang yang sama seperti mereka.

Jika mereka mengejar jihad,
Kita juga menyimpan anganan yang sama.

Ribatul ukhuwwah mengajar kita untuk izzah kepada ummat Islam yang lain.

Mana mungkin kita tegar membiarkan bumi Palestin musnah dan dirampas begitu sahaja ?
Mana mungkin kita melihat anak-anak di sana dimamah peluru terkorban begitu sahaja ?
Mana mungkin kita hanya duduk menunggu kemenangan itu akan tercapai tanpa kita berusaha sedikitpun ?

Maka, marilah bersama saya.
Memperbaiki diri sendiri dan mengajar orang lain juga untuk berubah.
Kenali dengan lebih mendalam tentang Palestin.
Berusaha bersungguh-sungguh menyelamatkan mereka dengan memboikot habis-habisan barangan yang telah disenaraikan.

******

” Mak cik sedih betul setiap kali datang rumah akhawat mana-mana ada roti Gardenia.”

Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya…( 48 : 29 )

Asyidda’u a’lal kuffar.
Bersikap keras terhadap kafir.

Bukan sekadar kita buktikan dengan kita membenci kebatilan.
Bukan sekadar kita buktikan dengan kita membenci penindasan yang mereka lakukan.
Bukan sekadar kita buktikan dengan kita membenci kehancuran yang mereka bawa di atas muka bumi ini.

Bukan sekadar benci, malah KERAS terhadap mereka.
Benci sebenci-bencinya.
Jangan bagi mereka sedikitpun peluang untuk mengambil kesempatan kepada ummah kita.
Jangan sesekali tunduk dengan pujuk rayu mereka.
Jangan sesekali tertipu dengan janji-janji manis mereka.

Meskipun mereka lebih maju,
Mereka lebih terkedepan dalam bidang ekonomi,
Mereka memonopoli kuasa dunia,
Tetaplah,

Bersikap KERAS terhadap mereka !
Tiada lagi toleransi untuk golongan yang kejam ini.
Tiada lagi kerjasama untuk mereka yang tiada belas kasihan ini.

Mereka sudah mencacatkan keadaan ummah kita.
Mereka menukarkan kita daripada seekor singa kepada seekor keldai tunggangan mereka.
Mereka menjadikan kita ‘diam’ sedangkan betapa banyaknya hammasah yang ada pada jiwa seorang pejuang.

Maka, usaha gerakan penyelamat ini seharusnya bermula dari TARBIYYAH !
Tarbiyyah yang membina semula ruhiyyah dan jati diri.
Tarbiyyah yang merencana semula pemahaman.
Tarbiyyah yang membaiki segala jenis kecacatan.

Buktinya,
Ramai dari golongan mujahidin mereka diadun sempurna dengan tarbiyyah.

Maka, apa yang kita tunggu lagi ?
Marilah menjadi golongan yang menyumbang ke arah kemenangan bukan kejatuhan.

p/s : hasil sharing dengan delegasi AQSA2GAZA2.

ada apa pada perbezaan ?

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Semoga hari ini cinta anda kepada Allah tidak pernah ada dustanya. Jangan kotakan janji-janji palsu. Rasakan cinta anda itu adalah persembahan ulung kepada Allah.

Bukankah kita telah membenarkan jiwa kita untuk mencintai Allah ?

********

Apa ada pada perbezaan ?

Perbezaan menunjukkan kepelbagaian.
Perbezaaan menunjukkan keunikan.
Perbezaan menunjukkan warna-warna yang berseri mencorakkan satu kertas yang kosong.

Bagi saya itu erti perbezaan.
Perbezaan yang tidak membawa perselisihan.
Perbezaan yang membuatkan kita rasa saling melengkapi antara satu sama lain.
Perbezaan yang menampakkan kepada orang ramai bahawa banyaknya wasilah untuk memahamkan agama mereka.
Perbezaan yang terkadang memaksa kita untuk membuat perbandingan.
Perbandingan demi mewujudkan persaingan yang sihat.
Perbandingan perbezaan mendorong untuk kita lebih bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Ya, saya memfokuskan kepelbagaian wadah dakwah yang terdapat di negara kita. Dan saya pasti, di luar negara juga berlaku sedemikian.

Kita hanya berbeza pada nama.
Kita hanya berbeza pada fikrah dakwah dan tanzimiah kita.
Tetapi pegangan aqidah tetap sama.
Kita menuju matlamat yang sama.
Kita semua mempunyai anganan untuk menjadikan Islam ini satu agama seluruh alam.
Kita semua mengharapkan agar penduduk alam semesta ini satu hari nanti semuanya tunduk kepada Allah semata.

Mengapa kita terlalu meneliiti perbezaan sehingga kita melupakan persamaan antara kita?

Meneliti perbezaan sehingga membunuh jemaah sendiri.
Meneliti perbezaan sehingga hilang rasa hormat terhadap jemaah lain.
Meneliti perbezaan sehingga tidak sedar betapa orang luar melihat perwatakan kita.
Meneliti perbezaan sehingga melupakan kerja dakwah yang sebenar.
Meneliti perbezaan sehingga taasub kepada jemaah, bukan lagi wala’.
Meneliti perbezaan sehingga memakan diri sendiri !

Kerana ini saya marah dan bercampur sedikit kecewa.

Terlalu mengutuk sana-sini sehingga hilangnya wafa’ kepada dakwah.
Mulai kabur tentang tugas yang sebenar.
Mulai merasakan matlamat yang sebenar adalah memperjuangkan jemaah, bukan lagi Islam.

Islam sudah diletakkan di belakang. Jemaah lagi penting.

‘ Jadi jemaah tak penting la ? ’

Wahai semua pejuang agama Allah,
Sungguh, dakwah itu teramat penting bagimu.
Kerana dirimu itu memerlukan dakwah.
Janganlah kau memakan dakwah itu dengan kerosakan yang kau sendiri bina.
Kelak, kau yang mati dalam jalan ini.

Sungguh, bagi saya dalam memberi tarbiyyah kepada seseorang, saya merasakan binaan fikrah islamiyyahnya lebih penting sebelum saya menerangkan kepada beliau kebersamaan dalam amal jamaie.

Mana mungkin amal jamaie akan difahami jika fikrah islamiyyah dan fikrah dakwiyahnya masih kabur.
Tiba-tiba disuruh masuk saff sedangkan dia sendiri tidak tahu mengapa dia berada dalam saff tersebut.
Percayalah, jika inilah jundiy yang kita bina, kita akan kehilangannya sebelum peperangan bermula !
Jundiy yang kita bina bukan kita memaksa dia untuk berjuang, kita mahu dia ikhlas yang sebenar-benarnya untuk berjuang.
Ikhlas kerana dia fahami segalanya.

Percayalah, dakwah ini bukan sekadar tuntutan jemaah.
Malah, lebih dahulu darinya, dakwah ini adalah tuntutan dari Allah.
Keberadaan kita untuk bersama ahli jemaah yang memperjuangkan matlamat yang sama sangat penting.
Kerana kita dibentuk dengan fikrah yang sama, malah fikrah yang menyatukan kita.

Dan fikrah inilah satu kekuatan yang amat kuat.
Tidak ada senjata mampu membunuhnya.
Kerana fikrah tetap akan hidup meskipun kita sudah kehilangan nyawa !
Kerana fikrah akan sentiasa subur meskipun bumi ini gersang satu hari nanti.

‘ Jemaah penting ! ’

Kerana jika kau berjuang seorang diri, kau tidak punyai kekuatan yang cukup.
Kerana jika kau berjuang seorang diri, kelak kau akan mudah hanyut.
Kerana jika kau berjuang seorang diri, kelak kau akan mudah ditindas oleh musuh.

Kerana ini, kau perlu mencari ahli jemaah agar kau tidak keseorangan.
Bergantung kepada kau, ingin mengasaskan yang baru.
Atau mencari apa jua jemaah yang kau rasakan selesa dengannya.
Inilah erti amal jamaie yang sebenar.
Gunakan akal, jangan membuta tuli.
Gunakan hati, jangan ikut nafsu.

Carilah kebenaran dalam perjuangan selagi ada.
Jangan menunggu untuk ketika masanya tiba.
Menunggu sehingga ada yang datang kepada anda untuk bersama-sama mereka.
Carilah, malah jika kau perlu lari, larilah dalam mencari erti sebuah perjuangan.

Maka,

Bila kau berada dalam sesebuah jemaah, tunjukkan wala’mu.
Dan kau akan dapati betapa banyaknya jemaah yang juga berjuang dengan perjuangan yang sama.

Maka, kau tidak perlu khuatir akan perbezaan itu.

Khuatirlah jika dirimu itu belum lagi cukup usahanya.
Khuatirlah jika dirimu itu tidak benar-benar cintakan dakwah ini.
Khuatirlah jika dirimu itu masih lagi membuang masa, sedangkan semua orang sedang sibuk berusaha.

‘ ok, saya rasa jemaah saya tidak top, tukarlah.’
Janganlah kau buang wala’ itu dengan nafsu.
Jangan sesekali begini.

Kita masih mempunyai akal.
Tinggalkan jemaahmu andai bukan Allah lagi ghayah mereka.
Tinggalkan jemaahmu andai bukan Rasul lagi teladan mereka.
Tinggalkan jemaahmu andai jemaahmu tidak lagi menggunakan Al-Quran dan sunnah sebagai panduannya.

 

Bukan kau tinggalkan jemaah dengan kelemahan yang kau nampak.
Percayalah, jemaah lain juga masih banyak kelemahan.
Dan sentiasa, manusia akan berhadapan dengan kelemahan kerana diri kita bukan sempurna.

Malah, kau cari jalan penyelesaian bersama untuk memperbaikinya.
Bukankah kita sentiasa melakukan proses pengislahan diri.
Proses itu akan senantiasa berterusan.

Sungguh,

Dalam kita berjuang ini,
pentingnya untuk kita bina wala’ kepada jemaah dan wafa’ kepada dakwah.

Jadi, biarkan mereka dengan kerja mereka, kita dengan kerja kita.

Berfikiran lebih terbuka.
Jadi daie yang lebih profesional.
Berlapang dada.
Masing-masing terus berusaha, nescaya kemenangan itu akan lebih cepat tiba.

Berhentilah mencela.
Berhentilah menabur kata itu dan ini.

Sudah-sudahlah.

Menghalangi orang lain berusaha.
Anggap sahaja itu semua persaingan sihat.
Biarkan mereka dengan cara mereka. Kita teruskan dengan cara kita.
Jangan pula menghina cara mereka.

Saya selalu terbayang-bayang, andai Rasulullah melihat kita semua saat ini.

‘ Betapa bangga aku melihat ummatku kini sibuk berusaha menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi ini.’
(ok, ini imaginasi saya sahaja)

Andai Rasulullah melihat kita dalam keadaan bertelingkah, alangkah malunya.
Adakah kita terlupa akan Dia yang sentiasa Maha Melihat ?

Kenapa saya menulis tentang ini ?
Kerana saya bosan dengan sindrom orang yang menegakkan jemaah mereka.
Kerana saya bosan dengan mereka yang menghina jemaah-jemaah lain.

Saya akui, memang penting untuk kita menegakkan jemaah kita.
Tapi pada tika dan tempat yang sesuai.
Apatah lagi berhadapan dengan orang luar yang kabur dengan hal ini.
Apalah agaknya pandangan orang luar terhadap kita yang sibuk bergaduh ini ?

Oh, saya ada pengalaman menemui orang menolak jemaah tertentu kerana perangai orang yang dalam jemaah itu menolak jemaah lain.

Di mana anda letak rasa hormat sebagai seorang Muslim ?
Di mana anda letak rasa hormat sebagai seorang daie ?

Atau pemikiran anda masih ketat ?
Masih tidak boleh dibuka ?

Janganlah sampai rasa benci itu merosakkan kesucianmu dalam berdakwah.
Janganlah sampai rasa benci itu merosakkan kebersihan hatimu.

Sungguh, saya sendiri tidak mahu mengotorkan perjuangan saya dalam dakwah ini.
Kerana itu saya berlapang dada.
Dan kerana itu jua, saya akan lebih kerap berusaha.

mana jalanku

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Syukur atas segala nikmat yang Allah limpahkan buat kita semua hari ini.

*********************

Jika ditakdirkan perlu memilih, berdasarkan apa yang akan anda pilih antara dua perkara ?

Dalam memilih tidak pernah ada lebih dari dua. Tidak ada tiga, empat dan seterusnya. Hanya antara dua. Kalau banyak perkara pun, kembali kepada dua juga.

Nafsu atau Islam ?

Ini bahasa senang. Bahasa yang rumit sikit,

Haq atau batil ?

Kita akan sentiasa memilih dan terus memilih.

Entri kali ini saya tujukan khas buat pelajar-pelajar lepasan SPM di luar sana. Untuk mereka yang masih mencari-cari, mana hala tujuan selepas ini.

Nak amek ape ni ?

Fenin kepala dah.”

Sindrom biasa ibu dan ayah, mencadangkan kepada anak-anak yang dapat keputusan yang memberansangkan untuk ambil bidang perubatan. Bidang yang dikatakan popular dengan budak-budak yang berkepala cerdik. Tidak dapat dinafikan, tetapi harus ingat, bidang ini memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Macam berfalsafah pula. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri.

Bidang ini antara bidang pengajian yang paling lama. Dalam tempoh lima atau enam tahun, baru keluar universiti. Gaji memang tinggi, tapi kerjanya memenatkan dan akan memberikan tekanan jika tidak diuruskan dengan betul !

Mengapa bidang perubatan ini satu bidang yang popular ?

Pada pendapat saya, mungkin kerana kerja sebagai seorang doktor itu adalah satu pekerjaan profesional yang tampak hebat dan berkarisma. Nampak cool, nampak smart. Hakikatnya, hanya doktor yang tahu bagaimana sebenarnya pekerjaan seorang doktor.

Wah, anak si limah tu bagus betul. keje doktor kat hospital nu ha. anak aku, hmm…

Bukan ini yang saya mahu cakapkan.

***************************

Bagi mereka yang sentiasa memikirkan mana jalanku, pertama sekali, apa niat anda mengambil bidang tersebut.

Ikhlaskan dan murnikan niat.

” Aku ambil bidang ini kerana Islam memerlukan orang yang ada kemahiran ni.”

” Aku ambik bidang ni sebab aku tahu mak ayah aku suke kalau aku ambek. Dan aku mengharapkan keredhaan mereka juga. InsyaAllah, ini yang terbaik.”

Senang sahaja untuk dapat pahala. Niat yang baik, insyaAllah, Allah akan tolong kita. Dan apa yang kita niatkan, itulah yang kita akan dapat. Kalau niatnya gaji tinggi semata, atau inginkan populariti dalam kalangan sahabat, maka lupakan sahaja !

Kedua, apa matlamat anda ?

Jika mahu menjadi seorang angkasawan, ambil bidang aeroangkasa.

Jika mahu menjadi seorang pendidik, ambil bidang perguruan.

Jika mahu menjadi seorang peniaga, ambil bidang perniagaan.

Jika anda mahu jadi seorang penulis, ambil bidang seni penulisan. Dan seterusnya.

Gred anda di dalam peperiksaan  tidak sewajarnya menghalang anda. Kerana matlamat yang anda letakkan, adalah berdasarkan kebolehan yang terdapat dalam diri. Jangan terlalu ikut perasaan dan keadaan sekeliling. Ikut minat.

Dengan minat dan kebolehan yang ada, inilah dua perkara yang sentiasa menjadi pendokong anda untuk mengambil bidang pengajian.

Ketiga, doa pada Allah banyak-banyak agar diberikan pilihan yang terbaik untuk anda. Yakinlah bahawa Allah akan memberi sesuatu yang sesuai dengan kemampuan anda semua. Solat hajat. Solat istikharah.

Dan doa juga pada Allah agar bila melangkah ke alam pengajian yang baru, anda masih dibawah jagaan-Nya, dalam rahmat-Nya. Maklumlah, bila keluar sekolah, hilanglah segala peraturan. Tiada lagi solat berjemaah bersama rakan. Tiada lagi bacaan Ma’thurat petang di surau. Tiada lagi ustazah yang akan marah kita jika kita tidak menutup aurat.

Kekalkan sedaya upaya untuk istiqamah melakukan amal setiap hari. Malah lebih baik lagi, carilah apa jua lubuk tarbiyyah yang anda jumpa. Mesti cari, tidak boleh menunggu ianya datang kepada kita.

Pengalaman saya sepanjang mengharungi dunia luar, tarbiyyah dan dakwah yang dapat menjaga saya. Serius.

Sudah banyak motivasi yang kita dengar. Itu dan ini yang dicakap dan diberitahu kepada kita. Sekarang, tiba masanya untuk anda membuat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum selagi mereka tidak mengubah dirinya sendiri.

Apa yang anda pilih, akan menentukan masa depan anda.

Pilihlah yang terbaik. Berdasarkan hati yang ikhlas dan kerana Allah.

Jadilah sesuatu yang berguna untuk Islam dan ummah ini. Percayalah, anda tidak akan rugi !

 

p/s : bangga sebab sekolah lama baru-baru ni, prestasi meningkat ! Alhamdulillah. Tahniah kepada guru2 dan pelajar2 semua.

p/s : Maaflah sebab tak sempat nak cakap pada antum dan antunna benda ni semua. kalau ade pape nak ditanya, PM akak di FB, emel ke, sms, lebih mengharukan, tulislah surat. nanti kak bagi alamat.

 

 

 

 

 

 

petang semalam

Bismillah.

Salam  dakwah buat semua.

Semoga hari ini udara yang anda hirup menyamankan jiwa.

**************************

Petang semalam tengok dua adik kesayangan main badminton di halaman rumah baru. Kebetulan pula luas, dan udara tidak kencang sangat. Pertama kali boleh tengok adik-adik sangat seronok bermain di luar. Punyalah seronok, sampai saya merakam mereka bermain semalam.

Seorang badan yang agak berisi, manakala si abangnya berbadan agak kurus. Bila yang kurus pukul bola jauh sikit, yang adiknya mengamuk. Maklumlah, badan besar, tidak larat mahu ambil shuttle yang jauh.

Ko main tak aci la. Jauh ni aku tak tak larat.”

Eh, yang ko pukul ke tepi tu nape. Ko main ngan sape hah ?

Dan saya tetap hanya melihat dari dalam. Teringin sekali mahu sihat dan aktif seperti dulu. Sabar. Tiba-tiba umi berkata,

Siannye lah orang sakit. Dok kat dalam je.”

***************************

Ini kali kedua duduk di kawasan asrama pelajar sekolah. Kalau dulu, teringat masa kecil, saya suka naik asrama, pergi kacau akak-akak. Tetapi sekarang, saya sudah semakin meningkat dewasa. Rasa ingin merayap masuk ke asrama masih ada, tetapi kali ini mungkin niatnya berlainan, untuk menyampaikan apa yang sepatutnya. Kata seorang ukhti kepada saya,

Bukaklah cawangan kat sana.”

InsyaAllah. Saya akan cuba.

Bila duduk kawasan yang macam ini, membuatkan saya tersangat merindui rutin-rutin harian di asrama.

Bangun pagi, siap-siap pergi surau untuk Solat Subuh. Kemudian pergi dewan makan. Lepas itu, balik ke bilik , salin baju sekolah dan bersedia untuk ke kelas.

Kalau petang pula, berebut-rebut untuk mendapatkan tandas. Lepas mandi, basuh baju. Kalau ada masa lapang, jadikan masa perang masa berborak-borak dengan kawan. Dengar siren, pergi keluar dari pintu pagar asrama.

Dan rutin-rutin lain berterusan macam biasa. Bagi sesiapa yang duduk asrama, pastinya anda faham.

(kan best kalau dpt peluang masuk asrama semula ?)

Bertambah syahdu, bila dengar pelajar lelaki membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Bertambah rindu pada sekolah lama !

Kalau dulu selalu mengeluh, tidak suka asrama, terlalu banyak peraturan. Bila sudah keluar, jadi rindu pula. Memang alam persekolahanlah alam yang paling seronok sekali !

***************************

Baru perasan, jika kita mewujudkan biah solehah di sekolah secara paksaan, kebiasaannya tidak akan kekal sehingga kita menamatkan pelajaran.

Ustazah paksa itu dan paksa ini. Memang kita rasa tersiksa, mudah panas hati. Betul ke ?

Tapi kalau tidak dipaksa, menunggu untuk kita ikhlas melakukannya, akan tibakah masa itu ?

Memang keliru.

Jadi, konklusi yang boleh saya  buat adalah para pelajar janganlah terlalu memberontak. Semua yang para guru lakukan adalah untuk kebaikan anda.

Untuk para guru pula, anda perlulah bersabar mendidik pelajar, terutamanya pelajar sekolah menengah, mereka berdarah ‘panas’. Dan yang pastinya mentarbiyyah seseorang apatah lagi beratus orang pelajar adalah sukar !

Sama juga seperti kita. Bukankah seorang murabbi itu perlu menjadi seperti seorang ibu bapa, guru, kakak dan abang, kawan rapat buat mutarabbinya ?

Jadi anda sebagai murabbi perlulah bersabar terhadap apa jua kerenah mutarabbi anda. Jangan cepat mengalah !

 

sudah tidak termampu rasanya

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Harap kepada semua pembaca supaya mendoakan saya agar cepat sembuh dan kuat kembali untuk berkhidmat kepada deen ini !

*******************************

Sudah tidak termampu rasanya !

Mahu mengalirkan air mata sebanyak yang ada !

Ya Allah, Kau kuatkanlah aku menghadapi ujian-Mu ini !

Dan, pelbagai lagi suara-suara bermain dalam kotak pemikiranku ini. Semuanya saya fikirkan dalam satu masa.

Memikirkan hikmah di sebalik ujian ini yang terkadang saya rasa terlalu sukar untuk saya cari.

Sejak aku sakit, aku menyusahkan banyak orang.

Sejak aku sakit, makin tak semangat nak membuat sesuatu.

Dah sakit ni, banyak pulak MC dapat, study cmane ?

Sejak aku sakit, itu dan ini.

Bagaikan terasa aku tidak redha dengan ujian ini. Bagaikan aku terlalu kecewa dengan ujian yang Allah berikan kepadaku. Bagaikan setiap masa aku mengeluh dengan keadaan ini.

Kini, aku tercari-cari kembali kaki kekuatanku dalam menempuh dugaan yang ku rasakan telah retak bersama kemalangan yang ku alami tempoh hari.

Kini, aku tercari-cari kembali tempat  aku memautkan semangat dakwahku yang ku rasakan telah hilang kemana bersama kemalangan yang ku alami ini.

Aku mahu kuat, tapi air mataku menitis melihatkan keadaan diri sendiri dan orang yang berada di sekeliling yang sanggup bersusah-payah demi diriku ini.

Aku mahu kuat, kerana seorang daie itu perlu kuat. Aku tahu semua ukhti terus-menerus memberi semangat kepadaku, tetapi aku akui terkadang aku kalah jua, dan akhirnya aku menangis lagi.

Aku mahu kuat, kerana Allah menyuruh hamba-Nya bersabar dan kuat menghadapi ujian dari-Nya, maafkan ku Ya Allah, ampuni ku Ya Allah, terkadang aku tewas jua dalam permainan ini.

Dan aku terus menangis sendiri.

******************************

Dari bertongkat, kini sudah berkerusi roda pula. Kecederaan yang doktor beritahu saya tadi, agak mengejutkan.

Posterior cruciate ligament avulsion. Kalau awak nak tahu, google ye. Choicenye, kami akan letak skru supaya ligament awak kembali ke tempat asal.”

Saya terkejut. Hanya mampu mendiamkan diri. Membayangkan dan menantikan apa pula yang akan berlaku selepas ini.

Selepas membuat ujian x-ray kali kedua, doktor pakar mengesahkan kaki saya hanya perlu dipasang POP cast selama 3 minggu, dan kemudian datang semula pada tarikh yang telah ditetapkan.

Buku janjitemu diberi kepada saya. Tarikhnya lambat lagi.

Study macamane ?

Hati mula terasa bercampur-baur. Sedih, sedih dan sedih.

p/s : terima kasih kepada ‘budak putih’ dan ‘budak angguk2 geleng2’ yang telah menemani sy ke hospital hari ini.

p/s : dapat pesanan khas dari mutarabbi sendiri.

cari ruh yang hilang dalam rutin harian. sampai bila asyik nak guna akhawat sebagai alasan @ stepping stone? sebagaimana Allah mahu rasulullah jadikan Dia sebagai satu2nya tempat pergantungan dengan mengambil ibubapa & saudara terdekat baginda pada awal perkembangan hidup baginda, mungkin itu juga yang sedang ditarbiyyah kepada kamu :)

p/s: beratkan mulut untuk merungut, ringankan mulut untuk berzikir. nanti sakit yang sepatutnya jadi kifarah dapatkan pahala, jadi penambah berat dosa :)

terima kasih syg !

doakan saya…..

dan lagu ini untuk diri sendiri dan semua…


hujan ais

Bismillah.

Salam dakwah.

Semoga anda melakukan segala aktiviti pada hari ini kerana-Nya, insyaAllah, mendapat pahala.

****************************

“ Eh, hujan ais la kat luar.”

Kami semua berlari menuju ke arah tingkap. Melihat keajaiban Allah yang tertayang di pandangan mata kami semua. Nasib baik nikmat penglihatan tidak lagi Allah tarik dari kami semua.

Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah.

Allah Maha Pencipta. Bila Allah kata jadi, maka ianya akan jadi.

Jika hujan yang mahu Dia timpakan ke atas mana-mana permukaan bumi sekalipun, tidak kiralah hujan batu, hujan biasa, hujan ais atau apa jua jenis hujan, memang tidak akan ada sesuatu pun mampu melawannya.

Ya Allah, perasaan sewaktu melihat hujan ais turun dari langit Allah yang Maha Agung tersebut, tidak terkata-kata, betapa alam ini Allah yang punya, Allah yang cipta. Melihat hujan ais secara langsung buat kali pertama memberi kesan yang mendalam buat kami satu rumah. Ini satu bentuk tarbiyyah, bahawa alam adalah antara bentuk tadabbur yang terbaik untuk lebih mengenali-Nya.

“ Allah suruh tadabbur alam lebih sikit nih.” Ucap saya.

Hujan ais tersebut berlangsung selama lebih kurang 5 minit. Bermula sewaktu jam menunjukkan sudahnya masuk waktu zohor. Betapa rahmat Allah telah menyimbah kami hari ini, hujan pada penghulu segala hari.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdullilah.

Terima kasih Ya Allah kerana memberi kami peluang dan menakdirkan kami antara orang-orang yang terpilih untuk menyaksikan kebesaran-Mu, dan sekaligus membuat kami semakin dekat untuk mengenali-Mu, menghampiri-Mu.

Tidakkah engkau melihat bahwa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia (juga) menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, (iaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) ais itu kepada siapa yang Dia kehendaki dan dihindarkan-Nya dari siapa yang Dia kehendaki. Kilauan kilatnya hampir-hampir menghilangkan penglihatan.” (24:43)

Sejurus selepas siap melihat hujan ais turun di luar tingkap, berlari ke bilik, ambil telefon bimbit, hantar kesej pada ibu dan adik lelaki yang berada di tanah air.

“ X, mesir hujan ais.” Saya hantar pada adik lelaki.

“ Umi, mesir hujan ais.” Saya hantar mesej yang sama pada umi.

Balas adik lelaki : Hebat kuasa Allah.

Balas umi : Ye ke ? Bestnye ! Ais tu bentuk dia camne ? Ade byk jenis…mcm manik ade,mcm ketulan batu…..bila pekse ?

Mesej umi mengingatkan supaya rajin belajar kerana tarikh peperiksaan yang semakin hampir. Dulu sudah berjanji untuk tawaqquf sementara daripada mengemaskini blog sendiri, sehingga ada ukhti menawarkan untuk menukarkan kata laluan bagi mengelakkan saya terlalu aktif, tetapi nampaknya tidak menjadi.

Doakan saya untuk peperiksaan esok hari :)

Semoga selepas ini para pembaca dan saya lebih kerap memandang alam ciptaan Ilahi, kerana alam ini hanya dapat ditadabbur oleh orang yang kerap berfikir, bukan hanya berjalan melata di muka bumi, tetapi pemikiran kosong semata.

Berjalan, melihat dan menafsir…..

 

 

kucing

Bismillah.

Salam dakwah.

Semoga hati pembaca jernih dibasuh khusyuk dalam solat hari ini.

InsyaAllah.

**********************************

Sewaktu dalam perjalanan menuju ke kelas arab, ternampak seekor kucing yang statik sahaja di tempatnya. Pelik dan aneh. Tidak pernah saya nampak kucing yang terdiam sebegini rupa bak sebuah arca rekaan manusia.

Saya tanya kepada seorang ukhti,

“ Eh, kucing tu dah mati ke belum ? ”

“ Hmm…entah. Cube tengok.”

“ Saya try cuit jap ek. ”

Saya menuju ke arah kucing yang tidak bergerak tadi itu. Saya cuit ia dan ia bergerak !

Ia masih hidup !

Tapi ia berada dalam kesakitan yang teramat sangat. Kakinya tidak larat langsung untuk mengatur sebarang langkah. Malah, pada penglihatan saya, pancainderanya sudah tidak berfungsi, hanya kekekan suara yang terdengar. Matanya, hidungnya dan mulutnya tidak berfungsi seperti biasa.

Sayu saya melihat keadaannya. Saya mahu menolongnya.

Tapi melihatkan jam, sudah lewat untuk menghadiri peperiksaan di kelas arab.

“ Aku terpaksa tinggalkan ko la. Nanti dah habis exam, aku datang balik.” bisik saya dalam hati.

Saya usap kucing tersebut dan terus ke kelas arab.

Sewaktu peperiksaan, hati jadi tidak tenteram. Bercampur pula dengan soalan yang agak susah dan banyak !

“ Kucing cmane lah ko kat sana. Mesti kau lapar kan.” Ngomelan saya sendirian. Dan saya teruskan menjawab soalan-soalan yang masih kosong tempatnya.

Habis sahaja peperiksaan, saya dan ukhti terus ke kedai makanan untuk membeli makanan buat santapan kucing tersebut. Dan ukhti saya menawarkan diri untuk membelikan susu buat kucing tersebut.

“ Ana belikan susulah ye.”

“ Okai.” Jawab saya dengan nada kerisauan.

Dapat sahaja makanan yang ditempah ( wah, makanan kucing pun bertempah ! ), saya terus menuju ke tempat kucing tadi duduk berdiam diri. Saya lihat ianya masih berada di situ. Ia masih merengek. Saya ambil air kotak susu strawberi daripada tangan ukhti, saya cucukkan straw untuk membuka lubangnya, dan saya suapkan kepada mulut kucing tersebut.

Ia menolak pemberian saya. Bukan kerana susunya tidak sedap, tetapi mungkin ianya sudah tidak berselera untuk makan atau minum sambil menunggu waktu pemergiannya yang terakhir.

“ Eh kucing, kau makanlah. Nanti aku risau nanti. Minum pun kau tak nak. Jangan la gini.”

Saya terus berusaha, sambil menoleh keadaan sekeliling untuk melihat mana-mana klinik haiwan yang ada.

Tiada !

Pergi farmasi biasa bukannya ada ubat untuk haiwan, malah kalau ada pun, tidak tahu untuk memberi nama ubat yang tertentu untuk mengubat kucing tersebut.

Kucing oh kucing.

Ya Allah, aku meminta ampun kepada-Mu andai kata kami tidak melaksanakan tanggungjawab kami dengan baiknya.

Ya Allah, aku memohon agar Kau selamatkanlah kucing tersebut. Jika ajal adalah yang terbaik baginya, maka Kau matikanlah ia dalam keadaan yang senang dan tenang.

************************************

Terkenang seorang sahabat Rasulullah yang popular akan keprihatinannya yang amat sangat kepada kucing sehingga dia digelar Abu Hurairah.

Abu Hurairah, saya tidak mampu untuk menjadi sepertimana engkau yang juga memberi kasih sayang kepada binatang selain dari manusia.

Abu Hurairah, teladan yang kau tunjukkan menunjukkan bahawa, seorang daie itu sepatutnya menjadi seorang yang prihatin dengan keadaan sekeliling.

Abu Hurairah, aku pasti engkau akan menangis kesedihan melihat tingkahlaku diriku ini.

Maaf.

Ini bukan entri atas dasar sukakan kucing.

Tetapi betapa pentingnya kita sebagai manusia ini untuk menjadi prihatin !

Prihatin akan keadaan yang memerlukan kita prihatin kepadanya.

Prihatin kepada keadaan ummah apatah lagi !

Rasa prihatin yang membuatkan kita ingin menyelamat dan membantu.

waktu lalu

Bismillah. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Salam dakwah. Salam ukhuwwah.

Semoga haruman islam terus mewangi dalam diri pembaca hendaknya.

****************************

Perbualan selepas makan yang meninggalkan kesan mendalam terhadap diri saya. Sehingga sekarang terasa pahitnya dosa-dosa lalu.

“ Kami masuk kelab anti couple. ”

“ Kite anti kot.”

“ Ha, yang ni muka couple.” Kata seorang ukhti kepada saya. Dia pandang tepat ke arah muka saya.

“ Kak N pernah. ”

Saya terkejut pada mulanya. Kemudian malu, terus masuk meluru ke dalam bilik. Duduk menyendiri menghadap buku-buku pelajaran. Kemudian sedar, yang mata hanya menatap, fikiran melayang.

Mula terkenang masa-masa jahiliyyah lalu. Bagaimana dosa mula menyeliputi dan membalut diri ini. Membuatkan diri alpa seketika akan fitrah manusia yang sebenarnya bahawa cinta itu hanya untuk Allah sahaja.

Saya akui, saya pernah memberinya kepada makhluk manusia daripada kaum Adam. Sewaktu itu, diri sendiri hanyut, dunia ini terasa indahnya, terasa dunia ini kita yang punya. Tidak cukup kasih sayang yang diberi oleh ibu dan ayah, dicarinya cinta dari makhluk yang tiada ikatan darah,tidak halal bagi diri ini.

SEDANGKAN ITU TIDAK SEPATUTNYA DIBUAT !

ASTAGHFIRULLAH !

Terima kasih kepada ukhti-ukhtiku yang memberikan pengajaran kepada diri ini. Terima kasih atas perbualan yang meninggalkan kesan. Tetapi juga ingin menyatakan diri ini agak sedih mendengarkan perbualan itu.

***********************************

Memang benar jahiliyyah itu pernah menapak dalam diri ini !

Tetapi itu tidak bermakna aku tidak mahu membuangnya,

Cuma sewaktu itu aku  belum berjumpa dengan cinta yang sejati dan hakiki.

Memang benar jahiliiyah itu pernah aku lakukan !

Tetapi tidak bermakna kau terlalu mulia,

Sedarlah, kita ini manusia, ada jahiliyyah yang tersendiri,

Janganlah kau sibuk mengata, sibuk mencela, sedangkan mereka itu jahil, tidak mengerti,

Menjadi tugas kita untuk membetulkannya, berdakwah kepada mereka, menunjukkan kesan tarbiyyah kepada mereka.

Memang aku akui, aku pernah jahil satu ketika dahulu,

Tidak ditarbiyyah awal seperti kamu,

Tidak berusrah awal seperti kamu,

Namun, ingatlah !

Itu tidak bererti kamu yang paling bagus, paling mantap ,

Itu tidak menjamin kamu akan terus kekal dalam jalan ini ,

Maka, teruskan berdoa agar kau akan terus tsabat dalam jalan ini sehingga ke denyutan nadi yang terakhir.

Memang aku akui, aku lambat tersedar,

Tetapi aku mahu kau menanamkan,

Rasa segan kepadaku,

Rasa hormat kepadaku,

Tanda aku sudah rasai asam garam kehidupan ini lebih daripadamu ,

Aku tahu apa yang berlaku di dunia luar,

Kerana aku juga pernah selesa berada di dunia itu,

Dunia tanpa tarbiyyah itu ,

Dunia yang tidak kenal erti dakwah itu ,

Dunia yang penuh keseronokan itu.

Namun kini ,

Aku sedang merasai manisnya tarbiyyah ,

Indahnya berukhuwwah dengan ukhti-ukhti fillah ,

Terasa damainya hati ini dengan cinta Ilahi ,

Terasa mutma’innahnya jiwa dengan linangan taubat air mata ,

Terasa senangnya hati untuk menjualkan Islam ini kepada semua orang !

********************************

Allah, terima kasih kerana masih lagi Kau ambil perhatian tentang diri ini.

Allah, terima kasih kerana masih lagi Kau mahu menyelamatkan diri ini.

Allah, terima kasih atas segalanya !