kebebasan

Bismillah.

Zaman kini, zaman segalanya bebas. Bebas melontar kata, bebas berbuat apa sahaja, dan pelbagai macam kebebasan.

Manusia dan tuntutan kebebasan. Siapa yang tidak suka bebas?

Sudah tentu makhluk ciptaan Tuhan yang paling suka dan puas dengan kebebasan adalah manusia. Kita punya kuasa pinjaman sementara masih hidup untuk memilih corak kehidupan yang diingini. Kita kertas putih yang bebas mewarna kanvas, seni mengikut citarasa masing-masing.

Mengapa manusia terlalu cepat puas dengan kebebasan?
Barangkali kita semua terlupa bahawa pada kebebasan ada bayarannya. Kebebasan pada lahiriahnya tampak percuma, namun harus diingat, kebebasan yang baik pulangannya baik.

Dan begitu juga sebaliknya.

Sebab kedua mengapa manusia terlalu cepat puas dengan kebebasan adalah kerana kita merasakan kebebasan ini tiada peraturan atau tatacara yang mesti dipatuhi.

Ya, kebebasan mempunyai disiplin. Barangsiapa melanggar disiplinnya, dikira sebagai pesalah salah laku kebebasan.

Sebagai contoh pertama, kebebasan keimanan.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”(29:2)

Sungguh, tauhid adalah kebebasan yang paling agung buat seluruh umat manusia. Manusia bebas untuk beriman kepada Allah semampu mereka di samping menunaikan segala tuntutan ibadah yang telah diwajibkan.

Namun, adakah hakikat keimanan ini terbiar begitu sahaja bebasnya?
Tidak. Disiplinnya adalah barangsiapa beriman, maka dia akan diuji.

Kesannya, apabila manusia tidak mematuhi peraturan dalam kebebasan, maka akan porak-porandalah sebuah kehidupan.

Sebab ketiga mengapa manusia terlalu cepat puas dengan kebebasan adalah kerana mereka merasakan bebas ini adalah ibarat burung yang semata terbang di awan yang tinggi. Mereka tidak memposisikan kebebasan itu adalah sebagai sebuah jalan yang lurus dan mempunyai tujuan-tujuan tertentu.

Bayangkan burung yang terbang bebas tapi tanpa tujuan. Tidakkah ia akan dimakan oleh kepenatan kebebasannya sendiri?

Ramai manusia lelah dan tenggelam akhirnya dalam kebebasan. Pada awalnya bahagia, tetapi di akhirnya duka. Pada awalnya bersenang-senang, tetapi kemudian harinya susah.

Kerana itu, Allah banyak sekali memperingatkan kita akan kebebasan hidup di dunia yang mempunyai kaitan dengan kebebasan di akhirat kelak. Manusia yang membebaskan dirinya dari ikatan dunia, maka akan mengecapi kebebasan dari api neraka.

Sungguh, itulah kebebasan dalam bentuk kemenangan yang teragung!

Ingatan demi ingatan diberikan kepada kita. Ditayangkan kehidupan ummat terdahulu yang terpenjara dengan kebebasan sendiri. Mereka fikir azab neraka ini tidak realistik, malah lagi ditanya “Bila dunia nak kiamat ni?” pada Tuhan Pemilik Sekalian Alam.

Beginilah ironinya kehidupan manusia. Kebebasan yang telah disalah erti dan disalahgunakan.

Apakah cara sebenar untuk bebas?

1) Bebaskan diri dengan tanggungjawab yang ada.

Hayati semula semua tanggungjawab yang ada bermula dari tanggungjawab kepada Tuhan, diri sendiri dan hak-hak orang sekeliling.

Dengan tanggungjawab, kita akan bebas dari tugas-tugas kehidupan yang tidak perlu dilakukan. Sekurang-kurangnya, hidup kita bebas bermanfaat bukan?

2) Bebaskan diri dengan mencari kebaikan dan memberi manfaat.

Peluang-peluang untuk menabur kebaikan dan manfaat jangan dilepaskan begitu sahaja kerana tidak semua orang mampu membebaskan diri mereka untuk melakukan kebaikan. Ada manusia yang masih terpenjara melakukan kesilapan yang sama berulang kali malah menokok-tambah kesilapan yang baru.

3) Bebaskan diri dengan akal dan hati yang sihat.

Akal yang sihat gunanya untuk memikirkan kesan, hati yang sihat pula gunanya untuk berfatwa buat si pemilik jasad.

Berfikirlah kerana anjuran Tuhan adalah untuk menjadi pemikir. Berfikir dan bertafakkur, jangan fikir kosong. Berfikir tanda meraikan nikmat akal yang bebas untuk memikirkan apa sahaja yang boleh difikir.

Berfikir mencari cara memajukan diri sendiri.
Berfikir mencari idea atau sarana untuk membantu orang sekeliling.
Berfikir secara produktif untuk menghasilkan sesuatu yang berguna.

Begitu juga dengan fatwa hati, bebaskanlah diri atas nama kebenaran.

Bebas akal dan hati, inshaAllah jasad akan turut sama bebas.

Bebas, bukan bermakna kita boleh melakukan apa sahaja. Bebas itu adalah sejauh mana kita mengenal fungsi diri kita sendiri selaku manusia, hamba yang berTuhan.

images

Bebaslah atas nama kebaikan.
Bebaslah atas nama ketaatan.
Bebaslah atas nama Tuhan.

Sampai masa ajal kita nanti, bebasnya ruh dari jasad sudah terlambat untuk disesalkan. Saat itu, jika dipinta kebebasan untuk kembali hidup semula di dunia tidak akan lagi dilayan.

Nantikan sahajalah, bebasnya Tuhan meng’hadiah’kan hukuman.

Sekian,
mylittlepencil

P/S: Mencari kebebasan adalah salah satu azam saya untuk Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

tolok ukur kecantikan jahiliah

Kecantikan begitu sinonim dengan wanita atau perempuan. Ciptaan kaum Hawa ini sememangnya ingin sentiasa kelihatan cantik malah suka dipuji cantik.

Ayat menggiur dari kaum Adam “cantiknya awak hari ni!” atau “awak la perempuan paling cantik yang pernah saya tengok sepanjang hidup!” menjadi umpan untuk mengambil hati seorang wanita. Pick up line yang semakin maju mengikut peredaran zaman tetapi tidak lari tema asalnya iaitu wanita dan kecantikan.

Kecantikan(jamil) adalah fitrah yang Allah berikan kepada semua manusia, malah Tuhan sendiri menyukai sesuatu yang bernama kecantikan. Tetapi dunia kini menyaksikan seorang manusia menjadi kuda tunggangan kepada kecantikan sedang kecantikan bukanlah satu makhluk yang hidup!

Produk-produk kecantikan pelbagai jenis di pasaran semakin banyak  ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Namakan apa sahaja bahan asas yang anda rasakan sesuai, pasti ada di dunia ini. Teknologi sekarang juga memudahkan proses untuk memilikinya.

Saya kira, keadaan ini mendatangkan kebaikan dan keburukan. Membuka peluang keusahawanan tanda meraikan berniaga adalah sunnah Baginda SAW, serta menolong para wanita di luar sana untuk merawat masalah-masalah kecantikan yang kronik.

Namun, pada satu sudut pandang yang lain, saya terfikirkan keadaan wanita yang kurang berkemampuan tetapi obses membeli produk-produk sebegini? Tidakkah mereka tertekan tatkala tanpa sedar mereka telah membazirkan wang pada hal yang tidak berapa penting berbanding hal yang lebih penting.

Sudahlah ekonomi negara merosot, dan masih banyak keperluan lain yang memerlukan penggunaan. Sekadar ala kadar, saya kira tidak salah. Tetapi budaya berlebihan-lebihan ingin menjadi cantik itu yang salah.

al-ahzab-33

Kerana itulah kalimah tabarrajna digunakan oleh Allah, bukanlah kalimah jamil/jamilah yang lazim kita dengar. Tabarrajna ini berasal dari perkataan asal burj. Burj membawa erti kata menara dalam Bahasa Melayu.

Apa yang ada pada sebuah menara?
Ya, sebuah menara di mana-mana pun di atas muka bumi ini adalah signifikan kebanggaan menonjol yang ingin dipamerkan supaya orang yang melihatnya merasa tertarik. Lihat sahaja menara-menara terkenal dunia kesemuanya menjadi lambang yang cukup mahsyur.

Sebut Menara Eiffel, di dalam kepala kita akan terlintas Kota Paris. Sebut Menara Condong Pisa pasti kita membayang negara Itali, kota romantis terkenal dunia. Beginilah sifat sebuah menara, kemegahan yang mengasyikkan!

Di dalam firman surah Al-Ahzab ayat 33 di atas, Allah tidak menggunakan kalimah jamil/jamilah menjadi bukti bahawa:

  1. Menjadi cantik tidak salah, malah satu tuntutan dalam agama.
  2. Cantik adalah fitrah manusia yang boleh diraikan.

Betapa indah Allah ingin mengabadikan maksud cantik yang sebenar di dalam Islam. Saya yakin terlalu banyak salah faham seorang manusia dalam mendefinasikan sebuah kecantikan yang sebenar. Antaranya adalah:

  1. Kecantikan luaran lebih penting dari kecantikan dalaman.
  2. Kecantikan untuk dipamerkan dan dipuji oleh orang sekeliling.

Saya tidak menundingkan kesemua salah faham ini berlaku kerana salah pihak wanita sahaja kerana wanita adalah mangsa keadaan kepada sebuah kecantikan.

Konsep pertama yang perlu difahami adalah : wanita solehah tidak memandang dan tidak dipandang. Tidak memandang merujuk kepada perihal malu seorang Muslimah yang menjaga batas pandangannya.

Tidak dipandang merujuk kepada perihal wanita Muslimah ini bukanlah bahan tayangan/jualan terbuka kepada seluruh umat manusia. Wanita Muslimah hanya layak dipandang (dalam kata lainnya menjadi qurratu a’yun@penyejuk mata) buat mahramnya sahaja. Jika ia belum berkahwin, selayaknya ia hanya berhak menjadi penyejuk mata buat ayahanda dan ibundanya. Jika ia sudah berkahwin, kecantikan dirinya adalah penyejuk mata buat suami tercinta.

Mengapa dalam hal ‘tidak dipandang’ para wanita menjadi mangsa keadaan?
Apabila kecantikannya tidak dihargai oleh orang-orang yang berhak, maka seorang wanita mencari sumber lain penghargaan kecantikannya walhal sumber lain itu tidak berhak untuk memandang kecantikannya.

Buat para ayah di luar sana, saya anjurkan anda pujilah anak-anak perempuan. Katakan pada mereka bahawa mereka cantik dan mereka adalah penyejuk mata anda. Buat para suami, pujilah isteri anda kerana andalah selayaknya menikmati kecantikan mereka! (acknowledgement) 

Jangan biar orang lain mengambil hakmu wahai para ayah dan suami. Dan buat kamu para wanita, ingatlah pandangan mata orang yang berhak WAJIB kamu jaga. Jangan di dalam rumah kamu kelihatan hodoh tetapi di luar rumah kamu kelihatan persis bidadari!

Kembali kepada budaya berlebih-lebihan dalam kecantikan. Bagaimana dikatakan berlebih-lebihan dalam kecantikan(erti sebenar tabarruj jahiliah)?

  1. Apabila kecantikan itu terkeluar dari landasan agama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariah(beautification in non-shariah compliance way)
  2. Apabila kecantikan luaran membuatkan kita terlupa akan hakikat kecantikan dalaman(TERLUPA: taqwa adalah sebenar-benar dan sebaik-baik perhiasan).
  3. Apabila kecantikan mengundang pembaziran demi pembaziran dilakukan.
  4. Apabila kecantikan mula memberi kesan buruk kepada fizikal(kesan kepada kesihatan diri) atau ruhani diri(tertekan, timbul rasa riak, bangga diri, lupa diri, iri hati dll).
  5. Apabila kecantikan menjatuhkan maruah kamu malah menjauhkan kamu dari kemuliaan seorang wanita Muslimah (menjadi bahan usikan dan perbualan lelaki, menjadi mangsa kekejaman lelaki dll)

Mari kita selami pula erti kata jahiliah. Melalui rujukan saya ceramah Ustaz Nouman Ali Khan, jahiliah membawa maksud tidak tahu(not knowing) dan tidak berfikir(not thinking). Kata beliau lagi, “You don’t know the impact the way you dress on yourself, and you don’t know the impact you dress on another people…this is tabarruj jahiliah. You’re not thinking clearly.”

Tabarruj jahiliah adalah kecantikan yang tidak berada pada lorong yang betul.

2

 

Kecantikan hakiki yang sepatutnya dimiliki oleh seorang wanita Muslimah adalah kecantikan yang memberi kebaikan dan manfaat.

Beauty does not have any specific measurements. Take note about the original beauty deep down inside you because that’s what matter. Get off the scale and live your life. You are beautiful!

Sekian,
mylittlepencil

P/S: Saya bukan mengeji produk-produk kecantikan apatah lagi mengeji cara-cara yang dilakukan wanita untuk menjadi cantik, hanya semata ingin mengetengahkan hakikat kecantikan yang sebenar.

 

Sumber rujukan: https://www.youtube.com/watch?v=9jqJvzSecWw

travelog DnT (6/9-15/9)

(Selangor-KL : 6-15 September)

Badan terasa penat meskipun perjalanan dari Terengganu menggunakan kapal terbang. Syukur tidak berhenti dizikirkan di dalam hati kerana diberi peluang untuk bersama dengan akhawat sepanjang berada di Terengganu. Sebelum ini, saya sangat susah untuk mendapat keizinan dari ibu dan ayah untuk keluar, tidak kiralah apa jua tujuannya. Namun setelah berbincang dengan baik, mereka kini lebih terbuka menerima keadaan diri saya yang juga punya tanggungjawab di luar rumah.

Dakwah memang menuntut keseimbangan kita dalam menguruskan tanggungjawab yang ada. Kitalah hamba Allah yang bergelar seorang anak, seorang daie dan pelajar. Pada satu ketika, kita akan merasa begitu terhimpit dengan masa dan tuntutan-tuntutan ini sehingga membuatkan kita mampu untuk bertindak di luar batasan kita sebagai seorang manusia. Jujurnya, saya sendiri pernah mengamuk dan marah kepada kedua ibu bapa saya kerana tidak mengizinkan saya untuk keluar ke mana-mana program. Bertambah marah apabila mereka tidak menyatakan kepada saya sebab saya tidak boleh keluar dari rumah !

‘ Aku ni bukannya anak kecil yang boleh menerima begitu sahaja perkataan tidak untuk semua perkara.’ omel hati saya sendirian.
Pelbagai perkara berlegar-legar dalam pemikiran saya.
‘ Mengapa umi abah susah sangat untuk memahami diri aku.’
‘ Kenapa mak ayah orang lain senang je nak bagi anak-anak keluar. Anak-anak keluar jumpa teman lelaki senang keluar. Aku ni keluar nak pergi program untuk dakwah punyalah susah nak keluar. Bukannya buat benda tak elok !’

Dan banyak lagi persoalan lain. Akhirnya, menjadikan diri saya tidak stabil dari segi dalaman mahupun luaran. Hari-hari berbaki di Malaysia dihabiskan dengan perasaan marah, tangisan dan cemburu terhadap akhawat yang dapat hadir ke mana-mana program dakwah dan tarbiyyah.

Sungguh, ketaatan kita terhadap ibu dan ayah juga akan diuji. Ketaatan kepada kedua ibu bapa dibangun di atas tiang taat kepada Allah. Mana mungkin tiang taat kepada ibu bapa itu berdiri sendiri tanpa arahan dari Allah untuk kita taat kepada mereka. Redha Allah tergantung pada redha mereka dan begitu juga dengan kemurkaan Allah. Jangan sesekali menjadikan dakwah dan tarbiyyah sebagai alasan untuk kita menjadi seorang anak yang derhaka. Rukun taat yang diajar oleh Imam Hassan Al-Banna juga turut memuatkan rukun taat kepada kedua ibu bapa. Arakiannya, kita juga mempunyai ketaatan-ketaatan lain yang perlu dibina bila berada di dalam sesebuah jemaah dakwah. Islam tidak bererti sama sekali tanpa ada ketaatan dan kepatuhan ummatnya dan tentu sahaja segala ketaatan itu tidak berlawanan dengan perintah Allah S.W.T.

Ada seorang makcik berpesan kepada saya. Katanya,
” Kita sebagai anak hanya kita sendiri yang tahu cara untuk bahagiakan ibu bapa kita sendiri. Jangan tanya pada orang lain. Cari jawapannya pada diri sendiri. Kalau betullah dengan keberadaan kita di rumah itu sudah cukup membahagiakan mereka, maka duduk sahaja di rumah. Penuhi tanggungjawab kerana rumah juga merupakan salah satu medan dakwah. Itulah naluri ibu bapa. Mereka tidak akan merasa puas menjaga kita sampai bila-bila.”

Kini, saya lebih mengerti. Keberadaan di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor selama dua minggu setelah tiba dari Mesir tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu agak perit juga rasanya. Agaknya beginilah ibu dan ayah kita menanggung rindu apabila berjauhan dengan anaknya !

Saya pernah meluahkan pada seorang ukhti akan hal ini. Katanya. ” Takpelah [mylittlepencil]. Sekurang-kurangnya, [mylittlepencil] dah rasa dua-dua keadaan. ”

Saya mengiyakan kenyataan ukhti tersebut. Sungguh, saya berharap agar tarbiyyah yang Allah berikan pada saya ini bermanfaat kepada saya sampai bila-bila dalam menjalankan tugas seorang daie yang juga bergelar seorang anak. Tidak rugi kita berpolitik dengan kedua ibu dan bapa kita menggunakan dakwah dan tarbiyyah. Tunjukkan qudwah yang paling hasanah dan segala perubahan yang telah kita lakukan. Cubalah memahami diri mereka daripada selalu mengharap agar mereka memahami kita. Muhasabah semula nilai ketaatan yang telah kita berikan kepada kedua ibu bapa sama ada masih kurang ataupun tidak. 

Imam At-Thabrani meriwayatkan hadis dengan sanad dari Abi Bakr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : Semua dosa akan ditunda oleh Allah seksanya hingga Hari Kiamat, kecuali dosa durhaka kepada orang tua, kerana Allah menyegerakan balasan dosa tersebut sebelum pelakunya meninggal dunia.

Hari-hari yang berbaki diisi dengan program yang sudah siap diatur. Alhamdulillah, kesempatan bersama akhawat dan muwajjih (pemberi taujihat) yang hebat dimanfaatkan sebaiknya. Pelbagai ilmu dan teori ditimba untuk dijadikan amalan sebagai seorang penggerak dakwah. Aspek ‘KITA DAN DAKWAH’ diingatkan semula agar keyakinan kami untuk berkhidmat di medan masing-masing semakin bertambah. Sungguh, mengekalkan momentum sebagai muharrik-muharrik dakwah memang susah apatah lagi medan sebenar menyediakan terlampau banyak mehnahnya.

Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika tidak engkau lakukan (apa yang diperintahkan itu) bererti engkau tidak menyampaikan amanah-Nya. Dan Allah memelihara engkau dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir. (Al-Maidah:67)

 

 

Habis sahaja program bersama akhawat, saya menghubungi seorang kawan rapat saya yang belajar di universiti berhampiran. Sudah lama tidak bertemu dengannya menjadikan terlalu rindu padanya !

Perbualan lebih banyak berkisarkan perkembangan diri masing-masing sampailah dia bertanyakan kepada satu soalan yang berbunyi, ” Eh [mylittlepencil] kau dalam IKRAM ni kau duduk department mana?”

Pada mulanya saya tergelak kecil mendengar soalan daripadanya. Hendak diterangkan department mana pun saya tidak tahu. Akhirnya saya menjawab saya aktif di peringkat pelajar. Dalam hati, saya berdoa agar dia terbuka hati untuk merasai kemanisan dakwah dan tarbiyyah ini satu hari nanti.

Saya juga sempat berkunjung ke sebuah kedai buku yang bernama Imanshoppe. Dari dahulu lagi, saya menyimpan hajat untuk berkunjung ke sana. Sampai sahaja di sana, terus rambang mata. Penuh dengan buku-buku dakwah dan tarbiyyah serta barangan seperti sticker, button badge, Al-Quran dan lain-lain. Sempat juga berjumpa dengan beberapa orang akhawat India di sana.

imanshoppe 1
imanshoppe 1
imanshoppe 2
imanshoppe 2

Dua hari sebelum pulang ke rumah, saya menghadiri satu perjumpaan yang diwajibkan kepada semua pelajar yang belajar di bumi Mesir. Tempat perjumpaan teramat sesak sehingga saya membuat keputusan hanya untuk berada di surau sementara menunggu sesi taklimat yang mempunyai banyak pusingan.

Di surau, saya dan beberapa orang akhawat duduk berehat dan berbual tanpa sedar kami sedang berada di surau sehinggalah kami ditegur untuk memperlahankan suara. Alangkah malunya !

Kami semua bertudung labuh dan berpakaian lengkap tetapi membuat bising di surau. Kami memandang sekeliling, muslimat yang berada di dalam surau mengerjakan solat sunat dan membaca majalah islamik. Tarbiyyah besar buat kami. Lalu, kami mengambil keputusan untuk berhenti berbual dan membuat kerja yang lebih berfaedah.

Biasalah akhawat, bila berjumpa tidak boleh berhenti bercakap ! Mungkin ini salah satu kebiasaan yang perlu dikawal kerana kadang-kadang kita mungkin tidak sedar ada sesetengah orang kurang selesa dengan orang yang banyak bercakap. Silapnya bila kita berbual topik-topik biasa, mulut kita hangat berbicara, bila disuruh menyampaikan daurah lidah menjadi kelu tiba-tiba !

Dalam dakwah, kita akan berjumpa dengan berbeza khalayak mad’u yang memerlukan untuk kita seni dalam menyampaikan dakwah. Mengajak masyarakat untuk menjadikan dakwah dan tarbiyyah ini sebagai satu bual bicara harian bukanlah mudah kerana topik ini dianggap asing dan pelik untuk dibualkan. Teknik kita dalam menyampaikan wajib sesuai pada masa, tempat dan keadaan masyarakat agar topik dakwah dan tarbiyyah ini sampailah satu ketika nanti dibualkan di seluruh pelusuk dunia. Berbual dengan mereka sesuai dengan tahap pemikiran dan pemahaman mereka. Kebenaran tetap menjadi paksi utama dalam perbualan kita sebagai seorang daie.

Alangkah indahnya, dengan berbual juga mendapat pahala !

Pada rancangan awalnya, saya berhajat untuk terus pulang selepas habis sahaja taklimat tersebut. Tetapi, apakan daya kerana tiket bas sudahpun habis. Maka, tiket keesokan harinya menjadi pilihan saya. Saya berterima kasih kepada seorang ukhti yang setia menjadi teman perjalanan saya. Malah, memberi sudi memberikan tumpangan semalam di rumah kakak beliau. Kakak beliau tidak lokek memberikan bantuan dan melayan segala kerenah saya. (terima kasih kak Atikah !)

Keesokan harinya, saya pulang dengan pelbagai niat dan tidak sabar untuk bertemu dengan keluarga.
Harapannya pulang berada di samping keluarga kali ini mampu membuktikan diri ini menjadi anak yang lebih baik inshaAllah !

sekian,
mylittlepencil

travelog DnT (29/8-6/9)

(Mesir –Kuala Lumpur & Selangor)

“ Flight awak dalam masa 30 minit lagi. Kenapa saya call awak dari tadi tak dapat dapat ?” kata pegawai tajaan saya dalam  nada suara yang begitu risau.

Saya hanya memandang beg bagasi dan meletakkan apa yang sempat. 30 minit bukanlah masa yang cukup untuk memikirkan dengan begitu teliti barang apa yang perlu dibawa. Rancangan perjalanan sudah dibentuk elok. Malah, sudahpun diberitahu kepada ibu dan ayah rancangan yang lengkap.

Maka, saya membuat keputusan untuk membawa apa yang benar-benar perlu sesuai dengan rancangan yang telah dirancang tersebut.

Kata putus mereka kali ini memuaskan.

Abah takda masalah bagi [mylittlepencil] untuk ikut program. Kemudian, pulang ke rumah. Selesaikan segala urusan [mylittlepencil]. Cuma jaga diri dan keselamatan.Salam sayang dari abah.

Begitu sahaja ayat dalam kiriman balas emel dari ayah. Dalam keadaan yang terkejut, saya gagahkan diri juga untuk mengemas beg dan meninggalkan bumi tarbiyyah tercinta ini. Entah berjumpa lagi atau tidak. Entah dapat menikmati udara di sini lagi atau tidak.

Di lapangan terbang, begitu sesak memandangkan hari tersebut sudah menghampiri hari terakhir evakuasi  pelajar Malaysia di Mesir. Suasananya begitu memeningkan kepala !

Lebih kasihan, para ibu yang membawa anak-anak turut berhimpit. Hajat saya ketika itu, moga Allah permudahkan segala urusan sampailah tiba di tanah air nanti.

Sebelum menaiki pesawat, saya menghantar mesej kepada ibu.
Flight [mylittlepencil] kejap lagi. [mylittlepencil] dah cerita plan pada abah. Rujuk abah ya. Bye, assalamualaikum.

Akhirnya setelah 3 jam menyelesaikan segala urusan di lapangan terbang, dapat juga kami menaiki penerbangan. Badan yang begitu penat saya hempaskan sahaja di atas kerusi. Seterusnya memakai tali pinggang dan buka buku untuk dibaca. Meski penat tetapi saya tidak mampu untuk nyenyak memikirkan apa yang bakal terjadi pada perancangan saya di Malaysia nanti.

Buku terus dibaca sambil berbual dengan rakan di sebelah yang tidak menyangka saya satu penerbangan dengannya.

‘Siapa yang akan menjemput aku di lapangan terbang nanti ?’
‘Di mana aku bakal menginap setibanya aku di Malaysia nanti ?’
‘Duit poket aku cukup ke ?’
‘Siapa yang akan menemani aku ke sana sini ?’

 

Alhamdulillah, akhirnya kami semua selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Saat keluar dari lapangan terbang, saya melihat begitu ramai ibu dan ayah menunggu anak-anak mereka. Tidak kurang juga badan-badan tajaan negeri yang turut menunggu anak-anak negeri masing-masing.

Untuk saya, tiada keduanya. Saya menunggu seseorang yang saya minta tolong untuk menjemput saya. Pada mulanya, saya tidak dapat mencari ustaz tersebut. Tetapi akhirnya, setelah saya terlihatkan papan tanda yang dipegangnya, saya meluru ke arahnya.

“ Ustaz dari Pertubuhan IKRAM Malaysia ?”
Ustaz tersebut mengangguk.

Saya meneruskan bicara, “ Ana akhawat yang minta tolong tersebut. Ana ada bersama dengan seorang lagi akhawat tetapi dia menghala ke LCCT untuk meneruskan penerbangan domestik terus ke rumahnya. Ana seorang sahaja yang akan terus ke pejabat IKRAM Pusat. ”

Sepanjang berada di dalam kereta, saya mendiamkan diri. Malu untuk berkata apa-apa. Dalam hati memanjatkan kesyukuran kerana masih mempunyai tempat untuk berpaut di kala keseorangan begini. Untungnya duduk dalam jemaah kerana dapat berjumpa dengan orang yang boleh kita percayai dan boleh meminta tolong kepada mereka di kala kita sangat memerlukannya.

Meskipun dalam hati soalan ‘adakah aku telah menyusahkan jemaah aku sendiri?’ tidak berhenti berlegar-legar di kotak pemikiran, ini adalah langkah yang perlu saya ambil untuk meneruskan rancangan seterusnya.

“ Ustaz, terima kasih. ” ucap saya tatkala ustaz tersebut menunjukkan bilik dan mengangkat beg saya yang besar dan berat.

Kali ini, saya betul-betul penat. Saya berehat sebentar sambil melihat telefon untuk menghubungi mana-mana akhawat yang berada di sekitar kawasan tersebut. Namun, urusan tergendala kerana saya tidak mempunyai sebarang talian nombor telefon di Malaysia.

Lalu, saya membuat keputusan untuk turun berjumpa dengan seorang ukhti yang menjadi penyelia penginapan di situ. Sesi taaruf seperti biasa dan saya mengadu padanya atas segala masalah yang saya hadapi. Ketiadaan duit dan nombor telefon adalah masalah utama ketika itu. Lalu, pada waktu tengahari (waktu rehat) ukhti tersebut menolong saya menyelesaikan segala urusan tersebut.

Selepas Asar, saya meminta izin untuk naik ke bilik untuk berehat. Kali ini mata saya betul-betul berat. Saya membiarkan sahaja telefon di sebelah untuk memudahkan saya dihubungi oleh seorang ukhti yang duduk di Kajang.

Dia mengajak saya untuk tidur di rumahnya berbanding duduk sahaja seorang diri di situ. Hampir empat jam saya melelapkan mata. Sedar sahaja dari tidur sudah berpuluh-puluh miss called dari ukhti tersebut!
Tatkala mengangkat beg turun ke bawah saya terasa amat bersalah. Sudahlah ibu dan ayahnya ada bersama, bertambahlah rasa malu dalam diri !

Ayah dan ibunya begitu baik hati. Seangkatan di dalam jalan dakwah dan tarbiyyah memesrakan lagi kami. Hanya terima kasih yang tidak terhingga yang dapat saya ucapkan atas segala jasa baik mereka sekeluarga yang menumpangkan saya di rumah mereka.

Pada satu hari, saya menemani ukhti tersebut untuk temuduganya di sebuah madrasah. Pada awalnya, tafsiran kami pengetuanya hanyalah orang biasa namun telahan kami silap !

Dia bukan calang-calang orangnya. Begitu suci niatnya menubuhkan madrasah tersebut. Pengalaman beliau yang dikongsikan ternyata meyakinkan akhawat tersebut untuk bekerja di situ malah saya yang tidak meminta kerja turut rasa ingin bekerja bersama beliau ketika itu !

Dari gaya percakapannya, mempamerkan beliau seorang yang mempunyai fikrah walaupun sedikit tentang dakwah dan tarbiyyah tidak disebutnya. Cuma beliau menyebut bahawa dia pernah bersekolah di sekolah Al-Amin dan ibu saudaranya antara orang kuat yang terawal menubuhkan Sekolah Menengah Islam Hidayah di Johor.  Penangan tarbiyyah yang hebat di sekolah barangkali !

Pelbagai pesanan yang dititipkan kepada kami yang membuatkan kami berasa teramat kagum melihat peribadi dirinya.

Alhamdulillah, akhirnya ukhti tersebut bekerja di madrasah tersebut hingga sekarang ! Setelah itu, saya dan ukhti tersebut menghantar seorang ukhti yang juga turut mengikuti sesi temuduga ke rumahnya memandangkan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil.

Dan seterusnya kami meneruskan perjalanan melawat dua buah rumah akhawat yang berdekatan. Alhamdulillah !

Terlalu seronok bila kita dapat menziarahi rumah akhawat dan berkenalan dengan ibu bapa mereka. Peluang ini saya ambil sebagai satu peluang untuk bermuayashah. Kerana peluang sebeginilah yang akan mengajar kita betapa penting untuk berkomunikasi dengan orang yang lebih tua apatah lagi ibu bapa kepada sahabat-sahabat kita.

Dalam dakwah dan tarbiyyah, ibu dan ayah adalah salah satu elemen penting dalam pentarbiyahan anak-anak tidak kiralah ibu dan ayah tersebut menyertai mana-mana jemaah dakwah atau tidak. Bagi saya selaku di pihak anak-anak, khidmat terbaik seharusnya diberikan kepada mereka. Mudahnya, seorang daie yang sejati wajib ke atasnya untuk menjadi seorang anak yang taat perintah ibu dan ayahnya selagi tidak melanggar batas agama. Dakwah tidak menyekat kita daripada menjadi anak yang soleh atau solehah. Dan betapa penting bagi kita berjumpa dengan ibu bapa rakan-rakan kita !

1 September 2013
Saya sempat menghadirkan diri ke WAJIK (Walimah Jamaie IKRAM Kajang) kerana ada seorang ukhti yang begitu dekat dengan hati saya melangsungkan walimahnya pada hari tersebut. Tidak terlintas langsung saya direzekikan untuk menghadirkan diri ke majlis ini. Menariknya lain majlis ini lain dari yang lain. Seramai 10 pasang pengantin dirai. Mereka hanya berarak. Tiada pelamin disediakan. Terdapat ramai artis yang turut hadir membuat persembahan seperti Muadz, In Team dan ramai lagi. Cuma saya tidak berkesempatan untuk melihat kesemuanya dek kerana menjadi AJK Penyambut Tetamu untuk majlis ini.

sekitar WAJIK
sekitar WAJIK

 

Booth Aqsa Syarif di WAJIK
Booth Aqsa Syarif di WAJIK
pasukan kompang WAJIK
pasukan kompang WAJIK

Program ini juga banyak mentarbiyyah diri saya dalam menerima gaya pemikiran masyarakat umum yang begitu ramai menghadiri majlis ini. Meskipun niat pada awalnya adalah untuk mengasingkan tempat makan lelaki dan perempuan, namun kelihatannya mustahil kerana kebanyakan tetamu datang bersama keluarga. Namun, kesederhanaan yang terpamer dalam majlis ini saya kira boleh dijadikan qudwah buat masyarakat. Serta, kehadiran booth Aqsa Syarif, iBooks dan El Hazen yang turut memeriahkan lagi suasana.  Mana-mana pun, elemen dakwah dan tarbiyyah itu penting untuk diserapkan dan disampaikan kepada masyarakat.

Kerunsingan di dalam pemikiran saya terus berlaku.
‘ Bagaimana saya ingin ke Terengganu?’
‘Bersama siapa saya akan ke Terengganu?’

Saya ke sana dengan hajat untuk menyertai sebuah program outdoor anjuran akhawat di Agro Resort di Setiu, Terengganu. Alhamdulillah, setelah puas mencari teman, akhirnya saya berjaya berpakat dengan seorang ukhti yang mengajak saya untuk ke sana dengan menaiki penerbangan domestik. Mahal sedikit tetapi menjimatkan masa dan memudahkan urusan.

Pada malam sebelum saya bertolak ke sana, saya tidur di rumahnya dan akan bertolak bersamanya keesokan pagi. Rumahnya ketiadaan air, maka sebelum Subuh lagi sudah dibawa ke masjid berdekatan untuk berwudhu’ di sana. Dan kembali semula ke rumah untuk bersembahyang berjemaah. Kemudian, terus berkejar ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan.

Belajar daripada musibah adalah keperluan bagi seorang daie. Ketika musibah adalah sakitnya, ketika itulah dakwah menjadi pengubatnya. Ketika musibah menjadi satu masalah, maka dakwahlah yang menjadi jalan penyelesaiannya. Ketika musibah menjadi dugaan, maka dakwahlah yang mendamaikan hati kita. Sungguh, masalah ketiadaan air di rumah akhawat tersebut banyak mengajar saya untuk bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak ternilai ini !

(Terengganu : 2-6 September 2013)

Sampai sahaja di lapangan terbang, kami mengambil masa untuk bersarapan. Kemudian, terus ke surau memandangkan ukhti yang ditugaskan untuk menjemput kami lambat lagi tiba.

Melihatkan ukhti yang menjemput kami, dia membawa kereta sungguh hebat. Dan sebelum ini juga, saya telah berjumpa ramai dengan ukhti yang boleh memandu. Saya sendiri tidak lagi mempunyai lesen kereta maka agak susah bagi saya untuk ke sana sini melainkan hanya bergantung pada kenderaan awam.

Sungguh, jalan dakwah memerlukan daie yang boleh memandu untuk memudahkan pergerakan. Kerana pemandu-pemandu dakwah inilah yang akan memudahkan segala urusan. Ternyata, tuntutan kebolehan memandu adalah antara keperluan yang penting buat dua’t zaman moden. Seandainya telefon yang canggih juga perlu untuk seorang daie mudah berkomunikasi, maka telefon yang canggih adalah sesuatu yang wajib diusahakannya !

Sampai di Agro Resort, kelihatan beberapa orang akhawat yang telah sampai di sana. Banyak pengisian secara langsung mahupun tidak langsung yang dapat ditimba dari sana. Inilah indahnya tarbiyyah.

Tarbiyyah membenarkan diri kita untuk mengekstrak nilai-nilai tarbiyyah yang sebelum ini tidak kelihatan bagi kita pada permukaan pancaindera yang biasa. Kita perlu menggunakan hati sebagai pancaindera yang utama. Dan perlu membuka pintu hati untuk merasainya. Bagi yang menutup pintu hatinya, dia terlalu jauh untuk menghayati nilai tarbiyyah tersebut. Elemen-elemen sekeliling turut penting dalam membantu diri kita untuk terus mengikat diri kita pada tarbiyyah. Ciptaan hidup yang terdiri dari alam dan manusia mempunyai nilai pengajaran dan penghayatan yang tersendiri. Wahai para dua’t, sedarilah bahawa kita ini makhluk yang hidup. Maka hidupkanlah hati dengan sentiasa mengambil ibrah dalam kehidupan. Tanpa hati yang hidup, kehidupan ini hanyalah sebuah kematian.

Agro Resort Setiu, Terengganu
Agro Resort Setiu, Terengganu
Agro Resort Setiu, Terengganu II
Agro Resort Setiu, Terengganu II

Pada malam pertama program tersebut, saya dijemput untuk memberi pengisian yang lebih kepada muhasabah amalan di tanah air. Tidak banyak yang saya ceritakan. Saya sekadar mengingatkan tentang betapa pentingnya nilai amalan yang ihsan dan ahsan di sisi Allah S.W.T.

Keesokan harinya, pengisian sebuah hadis yang cukup indah. Hadis tersebut pernah saya ceritakan di dalam entri saya sebelum ini. Hadis yang dikenali dengan nama hadis kapal mengajar kita untuk memainkan peranan dalam masyarakat. Tanpa kesedaran dalam amar maaruf dan nahi mungkar, mustahil pada kita untuk menyanjung beban dakwah tersebut. Apatah lagi apabila pulang ke medan yang sebenar. Pergaulan kita dengan masyarakat sewajarnya lebih meluas untuk meluaskan sayap dakwah kita. Tidak wajar seorang daie itu ber’uzlah’ palsu dan meletakkan dirinya sebagai seekor katak di bawah tempurung besi !

Ustaz Munawwar-penyampai hadis kapal
Ustaz Munawwar-penyampai hadis kapal

Pelbagai aktiviti yang dijalankan di sana. Alkisahnya pada satu malam, aktiviti kebiasaan yang dilakukan di dalam hutan adalah night walking. Jam 12 tengah malam kami diarahkan untuk berkumpul dan diberi sedikit taklimat keselamatan. Penyelia kami yang dikenali dengan nama Pok Nik memberitahu kami pelbagai kisah yang ada di sebalik hutan yang bakal kami masuk sebentar lagi. Malah, ada pelajar yang pernah hilang selama berminggu-minggu  disorok bunian.

“ Ok. Dalam hutan ni kita kena guna password untuk keselamatan. Maka password kita untuk malam ni adalah hantu bungkus. Bila orang tanya hantu, jawab bungkusss…”

Semua terdiam mendengarkan password tersebut.
Bagaimana ingin melaungkan password tersebut dalam hutan malam gelap begini ?

“ Pok Nik, takda password lain ke ? Nasi lemak ke ? Teh tarik ke ?” soal salah seorang ukhti. Pok Nik menggelengkan kepala tanda kami perlu akur atas arahannya.

‘Hantu bungkus pun hantu bungkus la. Janji masuk hutan timba pengalaman’ bisik hati saya sendirian untuk menghilangkan rasa takut.

Hak Allah untuk membuka hijab di mana-mana sahaja. Jika ditakdirkan oleh Allah untuk menyaksikan apa-apa yang dirasakan mustahil untuk dilihat adalah untuk menguji keimanan, sama ada bertambah atau berkurang. Rukun iman yang keempat iaitu beriman kepada perkara-perkara ghaib adalah antara paksi keimanan seorang mukmin. Perkara-perkara ghaib sememangnya wujud dan pengetahuannya adalah hak milik Allah semata ! Wallahu a’alam.

Ketika berjalan di dalam hutan tersebut, keindahan alam memancar-mancar seolah menerangi kegelapan hutan. Daun-daun hutan menghasilkan cahaya (glow in the dark) mungkin antara tindak balas alam yang saya sendiri tidak tahu bagaimana prosesnya. Udara malam yang begitu segar dan sejuk menguatkan diri untuk terus berjalan sehingga tiba ke destinasi checkpoint yang pertama.

Sesudah tiba, kami dibenarkan untuk mengambil wudhuk di anak sungai berhampiran dan bersolat tahajjud dua rakaat. Indah sungguh nikmat ini.

Meskipun tiada sejadah yang tersedia, tanah yang menjadi tempat sujud ternyata membuatkan rasa kehambaan datang menyinggah ke dalam hati dan menginsafkan diri. Seisi hutan dan langit menjadi saksi penyembahan kami terhadap Tuhan yang Maha Esa. Terasa suasana alam yang begitu harmoni di mana seisi alam menyembah yang Maha Menciptakan dengan cara yang sendiri. Alam dengan caranya, kita dengan cara kita. Moga-moga penyembahan terhadap Ilahi tidak terhenti !

Masa tidak mengizinkan kami untuk meneruskan lagi perjalanan kerana kesuntukan masa. Maka, kami semua diarahkan untuk keluar dari hutan melalui jalan yang dikeluarkan. Kami solat subuh dan membaca ma’thurat berjemaah. Kemudian, terus terlena dek kerana terlalu penat malam tadi.

Hari-hari yang berbaki diisi dengan aktviti fizikal dari pagi hingga ke petang seperti musang terbang (flying fox), berkayak, water confident dan halangan-halangan di dalam hutan.

berkayak
berkayak

Namun, saya tidak dapat menyertainya kesemua sekali dek kerana kecederaan fizikal dalam kemalangan sebelum ini. Untuk terlalu aktif menggunakan kaki agak terbatas kerana masih ada rasa sakit yang bersisa. Sempat saya menjenguk, akhawat yang kelihatan sungguh seronok sekali dalam acara yang melibatkan air.

Bak kata Pok Nik, “ Mula-mula memang tak nak, takut. Tetapi bila dah main nanti, tengoklah. Seronok sampai tak nak balik.”

Qawiyul jismi (kekuatan fizikal) adalah keperluan bagi seorang daie untuk terus bergerak aktif dan cergas dalam jalan dakwah. Bukan bererti kita perlu jalan laju setiap masa, tetapi memastikan setiap langkah itu padu dan mantap. Badan kita bukan hanya mempunyai daya tahan imuniti yang kuat, malah daya tahan fizikal yang juga kuat. Kecergasan fizikal inilah yang akan mencerdaskan akal kita untuk sentiasa melaju berfikir tentang perihal-perihal dakwah !

Antara pengisian yang terkesan di hati yang dibentangkan adalah berkaitan generasi Rabbani yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Lokman Awang. Penerangannya mengingatkan kami semua akan peranan seorang rijal dakwah yang perlu sanggup mengorbankan apa sahaja demi jalan dakwah ini.

Ustaz Mohamad Lokman
Ustaz Mohamad Lokman

Dan Ibrahim mewasiatkan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. “ Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untukmu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” Apakah kamu menjadi saksi saat maut akan menjemput Yaakub, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, “ Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?” Mereka menjawab, “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu iaitu Ibrahim, Ismail dan Ishak, (iaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami (hanya) berserah diri kepada-Nya” (2:132-133)

Betapa penting kesinambungan Islam dalam sebuah generasi. Dan betapa penting juga kesinambungan dalam generasi ummat Muhammad. Tanpa Islam dan dakwah, generasi Rabbani tidak akan dapat dilahirkan. Malah, generasi tersebut akan dilenyapkan begitu sahaja ! Ke arah menuju generasi Rabbani, ada empat elemen penting yang diperlukan. Dakwah, peribadi dan organisasi, mengeluarkan tenaga seluruhnya dan perancangan yang rapi, serta akhir sekali meraikan maratib amal ke arah ustaziyatul alam. Moga kita dapat menjadi dan melahirkan generasi murabbi yang rabbani untuk menjaga kesucian dan mempertahankan dakwah ini, inshaAllah !

Malam sebelum bertolak pulang kembali ke Selangor, saya sempat melawat rumah Ustaz Lokman ditemani beberapa orang akhawat. Bersyukur saya dapat juga menyinggah ke rumah beliau memandangkan dari dulu lagi sudah menyimpan niat.

“ Mak cik baca mylittlepencil tu. Nanti cuba la tulis buku pulak.” kata zaujah beliau yang dikenali dengan panggilan Mak Cik Hayat.

Saya tertunduk malu. Sudah lama rasanya tidak menulis. Terlalu lama. Untuk menulis buku buat masa ini jauh sekali. InshaAllah, pada satu hari nanti. Mak cik Hayat banyak berkongsi cerita dengan kami sambil menjamu kami dengan pelbagai hidangan istimewa. Cerita demi cerita dibuka akhirnya saya mengetahui bahawa Mak Cik Hayat adalah naqibah kepada teman usrah saya di Pahang dahulu. Kata mak cik, dia merupakan seorang yang bagus dan hebat.

Berjumpa dengan pak cik mak cik yang sudah lama berjalan di atas jalan dakwah mengajar saya akan betapa pemuda-pemudi dakwah harus belajar untuk menyantuni mereka. Merekalah yang berpenat lelah melahirkan generasi kita zaman ini. Banyak hikmah yang perlu kita ambil daripada mereka daripada sekecil-kecil benda sehinggalah kepada perkara-perkara yang besar. Kata-kata mereka punya aura yang tersendiri. Peribadi mereka cukup hebat. Pengalaman mereka cukup mematangkan. Betapa untung kita mempunyai tauladan yang indah untuk kita ikuti !

“ Kecik sungguh alam ni. Nanti mak cik sampaikan salam saya pada kak aishah ya.” aku menyampaikan pesan pada mak cik Hayat. Tidak sempat rasanya untuk singgah ke mana-mana lagi. Bumi Terengganu sendiri tidak diteroka lagi kerana niat saya ke sana adalah semata untuk menyertai program dan berjumpa dengan pak cik mak cik yang mana sempat.

Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam pun hanya saya lihat dari atas jambatan sewaktu berada di dalam kereta. Nampaknya, memang kena mencari peluang lain lagi untuk ke sana. Keesokan paginya, saya berangkat pulang semula meninggalkan bumi Terengganu yang banyak mentarbiyyah saya.

Selamat tinggal Terengganu !
Selamat tinggal Terengganu !

 

akan bersambung…

singa betina di medan dakwah

Bismillah.

Entri pertama untuk tahun baru ini.

***

“ Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak seperti perempuan-perempuan lain, jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu tunduk (melemah-lembutkan suara) dalam berbicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik, ” (33:32)

Hakikatnya, memang keinginan kita untuk sentiasa menjadi wanita yang istimewa,
wanita yang terpelihara elok persis bunga di dalam pasu kaca.

Kita mahu menjadi perempuan yang mahal harganya.
Kita mahu menjadi perempuan yang menghias dunia dengan solehahnya.
Kita tidak mahu menjadi perempuan-perempuan yang biasa.

Kita mahu jadi wanita yang luar biasa di mata dunia !
Malah, kita mahu menjadi seorang ukhti daieyah yang turut menyumbang seperti mana gagah dan hebatnya seorang rijal dakwah menyumbang.

Kerana itulah seorang wanita yang hebat berada di sisi, bukan di belakang seorang lelaki.
Dia  punya kekuatan yang tersendiri.

Lembut mu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajah mu disebalik tabir diri mu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malu mu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasan mu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya

Puteriku Sayang : Hijjaz

UKHTI DAIEYAH : TERLALU JUMUD  ATAU TERLALU LONGGAR ?

Female_Lion-jokuci
“ Akhawat ni memang menyampah pada kami yang bahagian ikhwah ke ? Cakap macam singa. Pandang bengis semacam.”

“ Akhawat ni  ana tengok dah lengkap tutup aurat . Tapi tudung dengan baju tak pernahnya sepadan. Sudahlah tak sepadan, gosok pun tidak.”

“ Ini rumah akhawat ? ” tengok sambil geleng kepala. Matanya seolah-olah tidak mempercayai itulah rumah ukhti yang dikatakan hebat berdakwah di luar.

Inilah fenomena-fenomena pelik yang lazim melandai kumpulan akhawat daieyah yang  sibuk berdakwah di luar.
Tidak saya katakan ini fenomena biasa kerana ada akhawat yang berjaya menjaga santunan mereka dengan penuh baik sekali. Mereka pandai menjaga kehormatan diri mereka sebagai seorang wanita.

Lalu, di mana letaknya harga diri seorang wanita ?
Adakah sekadar pada mahkota diri mereka ?

Jawabnya tidak.
Harga diri seorang wanita bukan sekadar pada mahkota, malah lebih dari itu.
Harga diri seorang wanita terletak pada keimanan dan ketaqwaan yang ada pada dirinya.

Maka, apabila seorang wanita muslimah itu tahu akan harga iman dan taqwa yang dimilikinya, dia akan lebih peka tentang keadaan sekelilingnya. Dan, dia akan memberikan respon yang terbaik buat manusia yang berada di sekelilingnya.

Contohnya, apabila seorang wanita muslimah itu dia ingin berkata-kata, dia akan memerhatikan manusia yang terdapat di sekelilingnya. Jika terdapat lelaki, maka akan dia tegaskan nada suaranya. Jika tiada, dia akan bercakap dengan nada suara yang biasa.

“ Bagaimana pula dengan komen-komen atau sebarang jenis tulisan ? ”

Sama juga tarafnya. Kerana tulisan juga merupakan satu lantunan suara , bezanya cuma tidak kedengaran.

“ Walaupun bercakap dengan orang yang berlainan bangsa ? Berlainan bahasa ?”

Ya, walaupun berlainan bahasa.
Bukan masalah bahasa, bukan juga masalah bangsa. Suara sahaja cukup untuk menjadi daya tarikan (rangsangan) untuk manusia yang bernama lelaki.

Ones you are dealing with men, then the  limit is always there.
No matter what  their status are, no matter what their age are.
No matter what, you have to protect yourself as long as to preserve the quality of your faith.

Sentiasa ingat. Peribadi kita sebagai seorang mukminah adalah piawaian tertinggi sebagai seorang ukhti daieyah.

Ukhti daieyah  bukanlah terlalu jumud, dan bukanlah terlalu longgar.
Cuma batasan yang dia letak untuk dirinya adalah untuk menjaga dirinya.

Dan dia menjaga dirinya dengan cara-cara penjagaan yang telah Allah ajarkan kepadanya.

UKHTI DAIEYAH : IKHWAH ATAU BUKAN IKHWAH ?
Tiada prinsip yang membezakan antara ikhwah dan bukan ikhwah. Kedua-dua kumpulan yang konon tampaknya berbeza adalah bentuk lelaki yang sama, punya nafsu seorang lelaki yang sama.

Penjagaan kita sebagai seorang wanita muslimah adalah muktamad dari Allah S.W.T dan sama rata kepada semua lelaki.

“ Ala, ikhwah tu muda 5 tahun dari ana kak. Ana dah anggap dia macam adik ana sendiri.”

Wahai ukhti daieyah,
betulkanlah semula neraca kita.

Betulkanlah semua ghayah dan niat kita.
Jangan beri peluang kepada maksiat untuk masuk melalui pintu-pintu kebaikan yang ada.

Kononnya, kerja dakwah dan tarbiyyah menjadikan kita boleh berhubung dengan ikhwah lebih kerap.
Ya, itu saya saya sendiri akui.

Banyak yang saya pelajari apabila bekerja dalam satu medan yang sama.
Mari kita bandingkan.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana. Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat yang baik di syurga ‘And. Dan keredhaan Allah lebih besar. Itulah kemenangan yang agung.(9:71-72)

Orang-orang munafiq lelaki dan perempuan, satu dengan yang lain adalah (sama), mereka menyuruh (berbuat) yang mungkar dan mencegah (perbuatan) yang ma’ruf dan mereka menggenggamkan tangannya (kikir). Mereka telah melupakan kepada Allah, maka Allah melupakan mereka (pula). Sesungguhnya orang-orang munafiq itulah orang yang fasiq. Allah menjanjikan (mengancam) orang-orang munafiq lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya. Cukuplah (neraka) itu bagi mereka. Allah melaknat mereka dan mereka mendapat azab yang kekal. (9 : 67-68)

Kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah bukan tempat untuk kita menghalalkan maksiat.
Malah, tidak layak untuk kita kotorkannya !

Medan dakwah bukan tempat untuk kita bersenang-lenang. Medan dakwah adalah satu medan kerja di mana kita perlu saling menjaga.

Prinsipnya, kita (akhawat) menjaga dan mereka (ikhwah) pun menjaga.

Wahai ukhti daieyah,
jangan kau kotori jalan jihad, jalan yang mengejar mati syahid ini !

UKHTI DAIEYAH :  KEAKHAWATAN
Keakhawatan bukanlah sekadar terserlah andai seorang ukhti itu amat meminati bayi-bayi kecil atau bunga ros merah.
Keakhawatan bukanlah sekadar terserlah andai baju yang dipakainya berwarna merah jambu sepanjang tahun.
Keakhawatan bukanlah sekadar terserlah andai langkah yang diaturnya lemah-longlai sampai menyebabkan dia paling lambat tiba di sesuatu tempat.
Keakhawatan bukanlah sekadar terserlah pada suaranya yang lemak bermadu itu.

Keakhawatan itu ada ada pada ciri-ciri dirinya dan sebarang hubungan yang dijalankannya.
It is depend on the criterias and relationships.

How she deals with herself and people around her.
Itulah nilai keakhawatan yang sebenar.

Dia cantik luar dan dalam (beautifully inside out).
Dia berjiwa srikandi yang ingin mengubah generasi.

Dia tangkas dan bergerak pantas.
Dia hanya memberi manfaat tanpa meminta haknya dipenuhkan.

Dia pandai membahagikan masanya.
Masanya untuk urusan di dalam dan luar rumah.

Dia profesional menguruskan dirinya.
Dia tidaklah mengharapkan orang lain terlalu ideal kerana dirinya jua tidaklah begitu sempurna.

Keakhawatan bukan sekadar nilai kewanitaan, ianya lebih dari itu.
Keakhawatan adalah nilai seorang muslimah yang bergelar daieyah.
Keakhawatan itu adalah soal seorang daieyah itu menikmati tarbiyyah buat dirinya dan kesungguhan dia mengajak orang lain (dakwah).

Keakhawatan, dia mesra dengan Allah dan mesra juga dengan manusia.
Dia menyantuni kedua-duanya dengan baik sekali.
Hak Allah dipelihara, hak manusia dijaga.

 

To show that we have chosen to be and are proud to be Muslim women.
To show that we are striving to hold on to our Islam with all our strength and that we will hold on, even when it burns like hot coals.
To show that we are of you, that our roots spring from where yours do.
It  is only our fruit and flowers that differ, for we are nourished by a different source
.
-From my sisters’ lips, Na’ima B.Robert-

 

tinggal aku bersendiri

Bismillah.

Salam Jumaat Mubarakah semua.
Salam dakwah.

Selamanya hidup ini berlandaskan apa yang kita pilih.
Bukan atas pemilihan orang lain,
tapi diri sendiri.

Kerana haluan hidup anda adalah milik anda sendiri.
Kita tidak akan diadili atas dasar pemilihan orang lain.
Tetapi kita akan dihisab atas apa yang kita pilih.

Tinggal kita di mana-mana dalam persimpangan hidup ini bersendiri.
Tidak selalu, bukan dalam semua keadaan,
mampu untuk kita mengheret orang lain sama berhadapan situasi yang kita hadapi.

Dan ketika ini,
Seolah sedang menggeggam bara yang tidak menyala,
memeluk duka sendiri.

Aku sendiri yang merasa.
Aku yang patut bertindak.
Pilih.

Pilih untuk kebaikan.
Mana ada manusia mahukan keburukan dalam hidupnya.
Melainkan, ketika saat hatinya tidak mampu lagi mengawal perasaan.
Terlalu kecewa pada dunia dan kehidupan.

Di ketika ini,
kau akan melakukan pemilihan yang bukan lagi berdasarkan akal pemikiran yang waras.
Semuanya kerana emosi.

Untungnya manusia ini punya perasaan bukan ?
Jika tidak, tidak akan ada senyuman,
tidak akan ada tangisan.

Manusia tanpa perasaan ibarat ruh tanpa jasad.
Jasad  yang berhari-hari berjalan atas muka bumi.
Melihat apa jua, tiada rasa.

Bukankah rugi sebegitu ?
Untungnya manusia lagi,
kita punya akal peneman perasaan.
Akal bertindak membantu hati.
Di kala hati terlalu dimonopoli emosi, akal seharusnya memberikan bantuan.
Bantuan untuk menstabilkan kembali segala jenis emosi yang bermukim dalam hati.

Dalam kehidupan ini,
kita harus  memilih menggunakan keduanya.

Terlalu susah.
Kerana, pada akal kita selalunya menggunakan logik.
Himpunan segala teori yang ada.

Pada ketika mana gunanya hati ?
Hati yang merasai kehidupan.
Hati yang menyimpan pengalaman.

Kerana itu, dalam apa jua yang kita pilih.
Harus bergerak seiring.
Hati dan akal.

Akal memilih berdasarkan rasa hati.
Dan hati juga memilih berdasarkan akal fikiran.

Gabungkan.
Beri peluang mereka untuk bekerjasama.
Agar kau menjadi bijaksana dalam memilih.

Pernah lihat manusia yang bertindak tanpa perasaan ?
Teruk bukan ?

Pernah lihat manusia yang bertindak tanpa akal fikiran ?
Tampak bodoh sekali.

Bila akal melebihi perasaan, kejam.
Bila perasaan  melebihi akal, rugi.

Kemahiran untuk menyeimbangkan harus kita latih.
Bagaimana ?

Keadaan dan masa yang akan melatih diri kau sendiri.
Persimpangan hidup adalah waktu yang paling sesuai.

Ya, di ketika kau perlu membuat pilihan untuk diri.
Pilihan yang bakal mempengaruhi seluruh kehidupan.

Once you have taken the step, it’s your own business.

Orang lain hanya mampu menasihati dan memberi pandangan.
Tetapi yang menggerakkannya, adalah diri kau sendiri.

Lihat sahaja dunia.
Ramai yang memilih untuk bahagia di dunia lebih daripada bahagia di akhirat sana.

Ramai yang memilih untuk merasai penderitaan daripada menyelesaikan masalah.
Ramai yang memilih untuk sedih berbanding memilih untuk bangkit semula.

Masalah yang paling besar, ramai yang memilih untuk lari dari masalah berbanding menyelesaikan masalah.

Bukankah ini hasil ketidakseimbangan antara hati dan akal ?
Bukankah ini hasil tiada gabungan antara perasaan dan fikiran ?

Dan inilah perjuangan untuk kita.
Pastinya, akal punya batasan,
dan hati juga punya batasan.

Perjuangan untuk mendapatkan qalbun yang salim.
Suci dan jernih.

Perjuangan untuk mendapatkan akal-akal yang memang berfikir.
Bukannya sekadar melihat persis orang tidak punya akal.

Lihatlah firman-firman Allah di dalam kalam-kalam suci-Nya.
Kesemua seruan untuk membentuk hati yang bersih.
Mengubati penyakit-penyakit hati.

Malah, seruannya tidak henti untuk ahli-ahli fikir.
Yang memerhati dengan mata hati.
Kerana mata hati akan nampak bahagian yang terhijab dek pandangan zahir.

Kerana apa ?
Kerana Allah menyeru manusia untuk membentuk keduanya dengan baik.
Hati dan akal.

Sempatkanlah dalam muhasabah kamu semua,
untuk menilai sendiri pemilihan yang telah dibuat.

Ambil masa untuk bersendiri.
Tinggalkan diri dalam satu ketika di mana kau digenggam sepi.

Pahitnya biar kau sendiri yang rasa.
Gembiranya biar kau sendiri yang rasa.

Biar hati kau terlatih dengannya.
Dengan banyak latihan, kau akan menjadi kuat dengannya.

Jika terlalu membiasakan diri mendapatkan bantuan,
kau akan mudah melemah,
kau mudah resah.

Berdikari.
Berdiri atas kaki sendiri.

Berdiri dengan hati dan akal sendiri.
Kuat dengan perasaan dan fikiran sendiri.

Latihan bertarbiyyah yang Allah beri.
Kau jangan siakan.

Everything is specially tailored-made for you.
Then, the speciality is always yours.

Nikmatilah perjuangan hidup sendiri.
Yang tidak terlalu bergantung pada manusia.

Masing-masing punya latihan sendiri.
Dan masing-masing akan sibuk dengannya.

Manusia di tempat yang berbeza-beza,
di tingkatan yang berlainan,
pada keadaan yang tidak sama rasa dengan lainnya.

Maka, bila masa kau perlu menyamakan perasaan kau dengan perasaan orang lain ?
Bagi aku, tidak akan wujud masa itu.

Kerana hati milik setiap insan berbeza.
Ada manusia, hatinya terlalu ‘fragile’.
Ada manusia, hatinya cukup kuat.

Yang mampu kita lakukan, adalah tolong mereka dengan akal fikiran dan hati kita.
Bersama dengan dia semacam mana kita mahu dia bersama kita.
Nasihatinya dengan perlahan-lahan.

Untuk memilih, beri dia peluang untuk dia sendiri yang memilih.
Tidak perlu kau yang menghalakan hala tuju hidupnya.
Cukup sekadar bantuan, bukan desakan dan paksaan.

“ Kau harus bertindak begini.”

Lafazkan kata yang sepatutnya,
“ Cukup batasanku sampai sini sahaja. Selebihnya adalah diri engkau.”

Pilih.
Terpilih.
Yang menjadi pilihan.

Yang terpilih yang dipilih-Nya akan memilih pilihan yang menjadi pilihannya.
Ya, ini diri kamu.

Apa yang akan berlaku seterusnya adalah berdasarkan pilihan yang dibuat.

Yang memilih engkau, tidak akan pernah tersilap.
Masa dan keadaannya sentiasa tepat.

Yang terpilih ini selalu melakukan kesilapan.
Kurang penelitian terhadap pilihan-pilihan yang ada lazimnya punca utama.

Pilihan-pilihan yang ada adalah jalan-jalan.
Jalan yang menjadi pembuka untuk jalan-jalan yang seterusnya.
Ada orang berhadapan dua pilihan.
Ada orang berhadapan sepuluh pilihan.

Jika kau pilih jalan A, maka haluan hidup kau akan berterusan dalam lorong A sampailah ketika pilihan yang kedua datang.

Jika kau pilih B kali ini, maka haluan hidup kau akan berterusan dalam lorong B sampailah ketika pilihan yang ketiga harus dibuat.

Dan begitulah seterusnya….

Sampai satu tahap kau tidak bisa lagi memilih.
Dan selesai satu pilihan yang telah kau buat, tidak boleh diundur kembali.

Di hujung nyawa, kau tidak lagi berupaya untuk memilih.
Hanya menanti masa untuk masuk ke alam yang lain.
Akan disoal siasat segalanya.

Tika itu, rugilah mereka yang memilih pilihan yang mengotorkan jiwa.
dan beruntung bagi mereka yang menyucikannya.

Penyesalan.
Menyesal yang tidak sudah kerana salahnya aku memilih ketika di dunia dahulu.

Menyesal kerana tidak memilih dengan hati dan fikiran yang Allah kurniakan.

Kau sudahpun menjadi yang terpilih.
Masakan tidak, kerana kau antara jutaan sperma yang terpilih untuk disenyawa.

Kau sudahpun diberi pilihan.
Jika tidak diberi pilihan, bagaimana kau mahu memilih ?

Kau sudahpun diberi akal dan hati.
Mengapa tidak kau gunakannya dalam pemilihan ?

Namun, adakah kau sedang benar-benar memilih ?
Dan mengambil tanggungjawab dalam pemilihan yang telah dibuat ?

Perkara yang tidak bisa kau pilih, biarkan.
Untuk perkara yang bisa dipilih, ambillah tindakan.

Tindakan untuk memajukan diri ke hadapan.

Bertuahnya seorang pemilih itu andai dia memilih dengan akal fikiran, hati dan perasaan.

How you choose to respond each moment to the movie of life determines how you see the next frame, and the next, and eventually how you feel when the movie ends-Doc Childre

Ingat, hidup ini bukan ujian untuk kita menghadapi takdir semata,
tetapi hidup ini adalah ujian dalam membuat pilihan.

“Maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan Sunnatullah itu”
[Fathir 35:43]

 

Takdir tidak mampu diubah.
Maka, ubahlah pilihan selagi mampu.

sekian,
mylittlepencil
~yang telahpun memilih dakwah dan tarbiyyah sebagai haluan hidupnya.

Anda ?

daie berkepala dua

Bismillah.

Salam Ramadhan buat semua.
Moga-moga di bahagian pertengahan Ramadhan ini, ruh Ramadhan kamu semua semakin galak mencari keampunan-Nya dan belas kasihan-Nya.
Dan mari bersama-sama kita doakan ummah Islam serata dunia.

********

Melihatkan tajuknya, sudah terasa seram.
Apakah daie ini entiti yang berbeza daripada manusia-manusia yang biasa ?

Tidak.
Fizikalnya, kami sama juga seperti manusia-manusia biasa.
Dalamannya, kami luar biasa. (jika anda bukan begini, maka anda manusia biasa)

Kerana, daie itu ditarbiyyah imannya.
Iman itu memberi makan kepada ruhiyyah mereka untuk sentiasa bergerak.
Ruh yang bergerak dan melakukan perubahan, maka akan terlahirlah amalan yang yang luar biasa.
Sungguh, perubahan dalaman inilah kekuatan kami.

Kekuatan kami seolah datang menyergah sepanjang masa.
“ Wahai daie, teruslah bergerak.”
“ Wahai daie, istiqamahlah ! ”

Lalu, dari mana datangnya daie berkepala dua ini ?
Mereka inilah golongan yang punya dua hati dalam satu rongga.
Kerana itulah mereka berkepala dua !


“Allah tidak menjadikan bagi seseorang itu dua hati di dalam rongga dadanya…” [33:4]

 

Dalam hati mereka, Islam dan jahiliyyah berhimpun bersama.
Mereka ikhlas, dalam masa yang sama mereka mengharapkan balasan.
Mereka jujur, tetapi dalam masa yang sama mereka juga punya muslihat.

a state of dissociation in which the individual presents personas to others at different times as two different persons, each with a different name and different personality traits. The two personalities are generally independent, contrasting, and unaware of the existence of the other

Lalu, jadilah mereka daie yang berkepala dua.
Seolah manusia yang punya penyakit ‘double personality’.
Di hadapan rakan dua’t, mereka serlahkan keperibadian mereka yang mulia.
Di hadapan manusia lain, mereka serlahkan keperibadian mereka yang hina.

Berhadapan dengan manusia dengan dua kepala.
Pelik bukan ?

Daie yang disangka hebat rupanya bermuslihat besar di belakang.
Bukan setakat udang di sebalik batu, malah ada kapal besar terselindung di sebalik bukit.

Daie yang punya kata-kata yang cukup menyegarkan jiwa para dua’t tetapi dalam masa yang sama, dia juga punya kata-kata busuk dengan manusia lain.

Lakonan mereka akan berterusan.
Sehinggakan ada manusia yang tertipu dengan tindak-tanduk mereka.
Dan manusia lain terus bersangka mulia padanya……

Tanpa sedar, engkau tidak mengenali sebenar-benar diri mereka.

Aku tidak pasti.
Apakah mereka terpaksa berbuat demikian ?
atau sengaja berbuat demikian ?

Apakah mereka benar-benar selesa ?
Beridentiti sebegitu.

Mereka tidak punya tsiqah terhadap keperibadian tersendiri yang mereka miliki.
Jika engkau begitu, maka engkau  harus jadi begitu.
Tidak perlu menjadi orang lain.

Atau, tidak perlu berlakon untuk menjadi orang lain.

Sungguh, hidup dalam kepura-puraan begitu memang menyesakkan.

Pernah satu ketika, saya ditegur oleh seorang ukhti,
Enti ni ana tengok nakal sangat. Kita kan daie.”

Pada mulanya, aku terdiam.
Dan berasa agak terkilan dengan tegurannya.

Berat sekali untuk menerima.
Hakikatnya, ini memang personaliti diriku.

Gurau senda yang tidak habis.
Muhasabah.
Sungguh, air mata aku semakin berkurangan untuk dititiskan kerana terlalu banyak berjenaka dalam kehidupan.

Kini,

Telah aku katakan  sebelum ini, aku tidak banyak bercakap.
Banyak memerhati.

Maka, secara tidak langsung gurau senda pun berkurangan.
Kalau nakal sekali pun, dengan mereka yang benar-benar rapat dan mereka yang sekepala denganku.

Mungkin, satu ketika dahulu aku pernah menjadi daie berkepala dua.

Apatah lagi duduk dalam medan penulisan ini,
Menjadi mylittlepencil yang tidak diketahui siapakah dirinya yang sebenar.
Menjadi mylittlepencil yang hanya dikenali dengan hasil-hasil penulisan, bukan hasil-hasil amalannya.
(kalau orang tahu, aku teramat malu)

Mengapa aku memilih untuk merahsiakan diri yang sebenar ?
Kerana aku takut kamu akan kecewa melihat diri ini yang memang penuh hina.
Aku sendiri banyak bermuhasabah dengan hasil-hasil penulisan diri sendiri.

Sehingga pernah terdetik,
Aku tidak percaya ini hasil tulisanku.”

Memang pernah.
Orang tidak menyangka akulah penulisnya.
Dalam keadaan tersipu-sipu malu, aku sememangnya benar-benar malu !

Sehingga aku terkeliru dengan peribadi diri sendiri.
Yang mana satu diri aku,
mylittlepencil di alam maya atau di alam nyata ?

Aku buat keputusan untuk menjadi mylittlepencil di alam nyata.
Aku mahu menjadi sebenar-benar diriku.

Menulis dengan hati.
Menulis untuk berkongsi dan mengajak kamu semua.

Bukan menulis untuk bangga.
Bukan menulis untuk dikenali, disanjung tinggi.

Aku tidak mahu menipu diri sendiri.
Menjadi daie berkepala dua.

 

ISU ‘DOUBLE STANDARD’

Kenyataan ini saya pernah saya dengar dari petikan kata seorang murabbiyah yang hebat.
Memperjelaskan isu yang berkaitan jantina.

Biasalah, masalah ikhtilat tidak akan pernah berakhir.
Puas juga kita mengelak, akhirnya bila keadaan memaksa, akhirnya terjebak jugak.
Puas kita membina benteng, tetapi benteng itu diruntuhkan oleh diri sendiri.

Dan jangan terkejut, daie juga punya masalah ini dalam gerak kerja dakwah mereka.
Paling tidak disangka, sesetengah mereka mengambil tindakan untuk ‘double standard’.

Ala takpe la. Dia kan ikhwah kita. Kena la layan baik sikit.”

Lalu, saya berfikir..
Di mana mereka meletakkan rasa malu mereka berhadapan dengan lelaki.
Bukankah ikhwah itu tetapnya lelaki ?

Memang,
Ikhwah dan akhawat harus ada rasa izzah terhadap pihak masing-masing.
Namun, izzah itu akan tertegak dengan  penuh kehormatan dan rasa malu.

Bukannya, dengan ikhwah kita segan dan pemalu macam anak dara,
tetapi dengan lelaki-lelaki biasa kita bersuka ria !

Ha, ini juga jenis daie berkepala dua !
Mereka menyesuaikan keadaan mengikut kehendak mereka.

Sampai habis tunggang-langgang prinsipnya.
Bagi aku sendiri, apa jua jenis masalah berkaitan jantina ini,
memang amat merumitkan !

Pesanku,
jagalah dirimu sebaik mungkin.

Di mana-mana sahaja.
Setiap masa.

Didiklah diri untuk merasa malu.
Malu  itu yang akan menjadi perisai berharga buat dirimu.

Beruntungnya kita para akhawat,
Kita punya hijab.

“ Hijab is a special gift for us from Allah.  Allah make us more precious. Allah doesn’t want us to show all parts of our body to everyone, only for special one.”

Dan hijab yang terpenting itu muncul dari dalam.
Konsekuensi dari iman.

**********************
Konklusinya,
jangan jadi daie yang berkepala dua !

Personality is just to be adjust, not doubling them.
Once you double them, you already become other person.
There is no  yourself anymore.

sekian,
mylittlepencil
~yang menjadi sebenar-benar dirinya