Travelog : United Kingdom

Dalam perjalanan ke bumi tarbiyyah, London

Cairo International Airport-Heathrow,London.
2 Februari 2012

” Akak nak tengok awak yang baru lepas blik dari UK nanti.Tajdid niat.”

Pesanan keramat dari ukhtiku tercinta memang menusuk kalbu.Memang aku telah memasang niat untuk menjadi insan yg baru seperti bayi yang suci.Aku mahu semangat dan jiwa pejuang yang baru.

Memeluknya saat akhir lalu aku meneruskan perjalanan ke destinasi yang memang menjadi impianku kerana terlalu banyak yang aku perlu belajar dari mereka.

Dalam kapal terbang,
” Awak tahu apa sunnah Rasulullah bila naik ke tmpt yang tinggi? ”

” Tak tahu.” aku yang menjawab dalam keadaan yg cetek ilmu.

” Rasulullah akan menyebut Allahuakbar.Dan bila hendak mendarat,sebut Subhanallah.”

Ukhtiku yang duduk di sebelah berkongsi ilmu.Memang tidak dapat dinafikan,kebersamaan dengan akhawat memg penuh dengan hembusan-hembusan tarbiyyah.

Baru sebentar aku berada di atas udara,aku ternampak Sang Matahari yg mulai terbenam menandakan sudah hampir malam di bumi Kaherah ketika itu.

” Subhanallah.Macam yang kita nampak dekat Ra’sun bar hari tu.”

Cuma bezanya ketika di Ra’sun Bar aku bersama akhawat lain diberi nikmat untuk melihat matahari terbit yang begitu indah.

Pandangan aku memang tidak lari dari melihat Sang Matahari yang terbenam.Memang indah.Dan gambar yang cantik ini umpama lukisan yang tiada tolok bandingnya.Tidak perlu ditanya siapa yg melukisnya kerana yang melukisnya adalah yang Maha Besar Maha Kaya.

Untuk diriku,memang berada di atas kapal terbang ini seolah peluang untuk berehat sebentar dari kepenatan urusan sebelum ini.Aku tidak mahu merancang rehat,tapi biarlah tubuh badan ini sendiri yang memilih bila masanya ia akan tertidur tanpa sedar.

Setelah aku terbangun dari tidur,bingkas aku mencari beg.Di dalamnya terdapat amanat yg perlu dibaca.

Tercatat di situ, Al-Waliyy.
Antara nama Allah yg terindah.

Cukuplah perjalanan aku bersama akhawat yang lain ini dijadikan ibrah buat diri sendiri tentang betapa perlunya pelindung diri. Setelah membaca helaian yg diberi,

Aku mula berfikir,
Sejauh manakah aku menjadikan Allah sebagai wali ke atas diri ini?

Surah yunus-ayat 62
Antara tanda pembuktian cinta adalah apabila kita mula menjadikan Allah sbg pelindung agung. Sudah banyak kisah anbiya aku kira boleh dijadikan contoh betapa mereka beriman dengan nama Allah ini. Tiada apa yang perlu ditakutkan di dunia dan tiada duka di akhirat sana.

Dan konsep al-waliyy ini harus dilatih dengan cara kita sntiasa berusaha membantu urusan sesama manusia agar Allah pula yang menjadi wali atas segala urusan kita.

Sabda Rasulullah,” Siapa yg menjadi wali atas urusan sesama Muslim tanpa berjuang keras dan tidak pula bersusah payah untuk itu,maka ia tidak akan berada di syurga bersama mereka.”

Aku kira bumi London sudah seakan melambai-lambai,tidak sabar menyambut kedatangan kami.

Aku tersenyum sendirian.
Dalam hati terasa damai.

Bristol,United Kingdom

*********************************

Heathrow Airport-Victoria-Bristol
Catatan : 3 Februari 2012


Sesampainya kami di Heathrow Airport,kami terus membeli tiket untuk menaiki tube ke destinasi seterusnya. Mengambil masa yang agak lama,akhirnya aku mengambil keputusan untuk duduk walaupun sebelum itu sudah dipelawa oleh ukhti tercinta.

Perjalanan dalam tube yang sunyi. Masing-masing hanya melakukan kerja sendiri. Namun,yang paling aku kagum adalah budaya membaca mereka.
Sesampai sahaja di Victoria,terus aku bersama akhawat yang lain menaiki bas ekspres jam 11.59 malam.

Akhirnya tepat jam 2.15 pagi kami selaat sampai di Bristol,destinasi pertama kami di United Kingdom.

Alhamdulillah !

Menempuh suasana yg begitu sejuk sambil membawa beg bagasi yang besar,adalah tarbiyyah yang cukup bermakna buat aku.

” Akak,meh la sy bawakkan beg akak ea. Saya degar akak tak chat. Ada org pesan pada saya jaga akak elok-elok.”

Sungguh, hati saya begiu terharu.Dalam suasana ini akhawat masih lagi ithar terhadap ukhtinya yg lain.

Sampai sahaja di Bristol,kami brehat melepaskan segala penat lelah yang sudah terkumpul banyaknya. Seusai solat,kami dijamu pula dengan sarapan pagi yang awal aku kira.

Dan kemudian ukhtiku berkata,

” Eh korang,buat la macam rumah sendiri ea.Nak buat air panas,ambik je. Telekung kat atas ada 3.”
Hati mula melafazkan rasa syukur. Syukur kerana dapat merasai nikmat ukhuwwah fillah yang diikat atas aqidah yang satu dan atas landasan dakwah yang sama. Meskipun inilah kali pertama kami berjumpa, terasa sudah lama kenal.

Terima kasih ukht !
Menanti aktiviti yang seterusnya.

Faiza faraghta fansob.
Selesai satu urusan yg lain,perlu diteruskan pula urusan yg lain.

Salam Jumaat,
mylittlepencil dari Bristol, United Kingdom

************************************

(……sambungan)

Bristol, United Kingdom
3 Februari 2012

Lebih kurang jam 11.45 pagi,aku bersama akhawat lain menyambung pengembaraan kami. Suhu yang terlalu rendah sehingga membuatkan kami menggigil-gigil, tapi tetap tidak mampu menganggu kami berseronok menikmati bumi Allah ini sambil merakam segalanya dengan kamera yang dibawa. Tetapi, lensa yang diberi Allah tetap yang terbaik !

Sementelah kami penat berjalan, kami berhenti sebentar di sebuah restoran yang menyediakan makanan yang halal. Memang berselera sungguh kami saat itu.

Setelah selesai mengalas perut, kami menyambung kembali sesi perkelanaan di muka bumi Bristol ini.
Kami berhenti di Harbourside sebentar untuk sesi tadabbur alam. Dan alangkah bersyukurnya diri ini kerana terpilih untuk mengendalikan sesi itu.
Aku memilih ayat yang biasa dilazimi pada waktu pagi dan petang atau malam.
Ayat 17-27 dari surah Ar-Ruum menjadi pilihan aku untuk mengubati hati-hati kami semua. Sungguh,alam dan manusia antara elemen terpenting yang saling dikaitkan antara satu sama lain.

Bertemankan angin yang sejuk di tepi sungai, terasa dekat benar hati ini dengan pencipta agungku saat itu. Syukur alhamdulillah, hati ini masih diberi rasa itu. Tidak ramai yang berpeluang menikmati apa yang sedang aku nikmati ini. Memerhati tanda-tanda keagungan Allah bagiku mendamaikan jiwa.

Kau tahu, Alam ini Allah hadiahkan untuk khalifah-khalifahNya untuk diimarahkan.Dan natijah kita di hari akhir nanti segalanya bergantung kepada cara kita mengimarahkan bumi ini.

Ramai manusia yang tidak mengetahui caranya. Dan bagiku aku sendiri baru mendapat pencerahan tentangnya saat mengenali jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Aku diajar untuk menjadi ‘abid dan khalifah. Aku akui inilah jalan yang terbaik untuk menggapai redha-Nya !

Alhamdulillah !

Kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang terakhir iaitu Suspension Bridge. Jambatan ini adalah antara yang tertua dan tidak mempunyai tiang dibawahnya. Kata seorang ukhti, lazimnya pelajar bidang arkitek sememangnya amat menyukai jambatan ini kerana keunikannya.

Setelah puas bergambar, kami bertolak pulang ke rumah dengan menaiki teksi.

Setibanya dirumah, seusai solat kami menjamu selera dengan makanan yang disediakan oleh tuan rumah merangkap ukhti tercinta. Sambil makan, sambil kami berkongsi cerita tentang ragam dakwah dan tarbiyyah di bumi masing-masing. Dan perkongsian ini seolah meraikan pengalaman kami sebagai para dua’t di muka bumi Allah yang tercinta ini.

Mula jam 9 malam, kami berkumpul di ruang tamu untuk mendapat sedikit pencerahan. Tajuk yang dipilih adalah akhlak Islamiyyah. Satu konsep baru yang aku pelajari adalah akhlak ini adalah hasil cetusan jiwa yang melahirkan perbuatan tanpa disengaja.

Sudah tentu, akhlak yang terbaik adalah akhlak yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Akhlak jugalah antara tujuan risalah Islam yang akhirnya melahirkan manusia yang berperibadi mulia.

Semestinya,akhlak yang baik adalah dari hasil didikan iman yang sempurna. Orang-orang yang beriman tidak dapat tidak akhlaknya wajib mulia kerana Islam itu sendiri agama yang mulia.

Setelah habis sesi pencerahan hati ini, kami terus berehat dek kerana kepenatan berjalan-jalan siang tadi.

Sekian,
mylittlepencil at Bristol, United Kingdom

****************************************

4 Februari 2012
Bristol, United Kingdom 

Hari ini dimulai dengan lebih baik dari semalam. Selesai sahaja solat Subuh dan membaca Ma’thurat berjemaah, kami mendapat tazkiyyah dari seorang ukhti tercinta. Penceritaan perihal Saidina Uthman bin Affan, khalifah yang ketiga cukup membuat aku kagum padanya.

Manakan tidak, sedangkan Rasulullah S.A.W dan malaikat sendiri berasa malu yang teramat sangat pada beliau, apatah lagi aku sebagai seorang muslimah.

Tidak dapat ku bayangkan apa yang akan terjadi pada diriku andai al-haya’ hilang dari jiwa. Rasa malu yang berasaskan iman itu aku kira antara aset terpenting untuk menjadikan diri aku mahal, terpelihara dan terjaga.

Allahu Allah, kau peliharalah iman dan rasa malu dalam diriku ini.

Jam pukul 9 pagi, kami bersiap-siap untuk mengelilingi bandar Bath yang perjalanannya hanya memakan masa selama 10 minit dengan menaiki keretapi.

Aku terlalu gembira.
Inilah kali pertama menaiki London Bus ( dua tingkat) berwarna merah. Kalau dahulu, hanya sekadar mampu melihat, tetapi kali ini diberi peluang oleh Allah untuk merasa.

Sebelum menaiki bas tersebut untuk sesi ‘ City Sightseeing ‘ , kami melawat sebuah kedai roti yang mempunyai dapur yang tertua. Sungguh, rotinya lembut dan lazat !

Sedang menaiki bas tersebut, aku terpana melihat keajaiban dan keagungan Allah.
Apakah mereka tidak merasa kagum seperti yang aku rasa ?

Tidakkah mereka fikir bahawa pemandangan sehebat ini datang dari Allah yang Maha Besar ?

Subhanallah !
Aku bertasbih sendirian.

kenderaan yang dinanti tiba.

Aku bersama akhawat lain pulang ke rumah,menunaikan solat Asar dan Zohor (jama’ ta’khir) di rumah seorang ukhti. Malah,dia sempat memasak makanan untuk mengalas perut kami semua sedangkan aku tahu dia sendiri penat.

Pada asalnya, memang kami telah membawa bekalan nasi goreng. Tetapi, rezeki nampaknya tidak menyelebahi kami kerana kami tertinggalnya di dalam sebuah kedai kopi.
Memang tidak dapat dinafikan rasa lapar yang meminta-minta perut untuk diisi.

Tapi apakan daya,
rezeki-Nya hanya untuk yang Dia kehendaki.
Allah Maha Teliti terhadap rezeki hamba-hambaNya.

Apa yang sudah menjadi milik kita tidak semestinya menjadi milik kita.
Besar sungguh tarbiyyah dariNya !
Alhamdulillah !

Aku yakin apa jua keadaan kita, dimana saja kita berada, itulah yang terbaik !
Dan yang terbaik itu hanya datang dari-Nya.

Selepas berehat sebentar, kami mula bergerak pulang ke rumah ukhti yang menjadi tempat penginapan kami selama berada di Bristol.

Pada malam itu, semuanya hanya berehat sementara menunggu makan malam disiapkan. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan menelefon ibu dan ayah mereka menceritakan keadaan mereka disini.

Bermula jam 9 malam, aku bersama akhawat lain mendapat pencerahan.

Tamayyuz di mihwar sya’bi.
Aku belajar cukup banyak ilmu baru.

Ukuran kemenangan itu pada kesolehan

Kenyataan ini membuat aku cukup takut dan gentar.

Kerana aku takut kemenangan itu tidak dapat ku capai dek kerana bebanan dosa yang terlalu banyak !

Ditambah pula dengan kenyataan Saidina Umar Al-Khattab R.A : Aku lebih takuti dosa-dosa kamu lebih dari kekuatan musuh yang akan mengalahkan kamu.

Kau tahu,
dosa-dosa kita adalah mudharat besar kepada dakwah dan ummah.

Faktor kemenangan kita yang utama adalah taqarrub ila Allah.

Sungguh, aku harap aku dapat hadami pernyataan-pernyataan di atas dengan hati yang suci.

Selesai sudah peringatan hari ini. Alhamdulillah, pembuka dan penutup hari ditutup dengan ingatan-ingatan kepada Allah.

Faiza faraghta fansob.

********************************

5 Februari 2012
Bristol-Cardiff 

Pagi kami bermula awal hari ini. Tepat jam 8 lebih, kami sudah mula bergerak untuk menaiki bas ke Cardiff. Tiket yang sudah awal ditempah menambah kecepatan kami bersiap.

Tetapi ada juga dalam kalangan akhawat kami yang terlewat. Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Kata seorang ukhti,
” Allah nak uji 10 muwasafat tarbiyyah kita.”

Seketika itu, aku terasa malu dengan perihal diriku sebagai seorang Muslim.
Aku kasihankan mereka yang tertinggal namun dalam masa yang sama masih lagi terngiang-ngian di telingaku kata-kata pemandu bas,
” I have to be ON TIME ”

Seolah pak cik itu pula yang lebih memahami dariku. Apapun, aku yakin dia menang dalam mengamalkan apa yang sepatutnya orang Islam amalkan.

Perjalanan diteruskan. Duduk dalam bas memang selesa. Sambil bertadabbur alam, sambil aku lafazkan kata-kata pujian buat-Nya dalam hati.

15 minit selepas sampai di Cardiff, dua orang ukhti kami datang menjemput. Berterusan kami berjalan kaki untuk ke rumahnya.

Seperti biasa, tetamu akan dilayan istimewa seperti mana kami.
Selepas menjamah makanan tengahari yang disediakan, kami berjalan di sekitar Cardiff.

Bandarnya tenang dan mendamaikan.
Ramai orang Muslim yang berasal dari negara Bangladesh tinggal disini dan berjaya membina sebuah masjid untuk kemudahan mereka.

Kami berjalan dan terus berjalan menikmati keindahan alam ciptaan Allah.

Moga segala kepenatan kami dibayar dengan ganjaran yang terbaik dari-Nya.

Sekitar bandar Cardiff memang lengkap dengan segala kemudahan dan tempat untuk membeli-belah.

Sesudah itu, kami meneruskan perjalanan ke Cardiff  Bay.

Sekali lagi,
suasananya begitu mendamaikan.
Burung-burung juga turut berzikir bersama kami.
Matahari tika itu seakan melambai untuk meninggalkan kami.

Kemudian, seorang ukhti mengajak kami untuk mentadabbur alam bersamanya.

Dia membacakan ayat 191 dari surah Ali-Imran yang bermaksud,

” (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ” Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.

Inilah yang menyebabkan kami sangat gembira berjaulah bersama akhawat.

Kami dapat mengingati Allah bersama-sama.
Mesti banyak yang kami dapat. Mesti banyak yang kami belajar.

Alhamdulillah atas segala  nikmat ukhuwwah fillah ini, Ya Allah !

Seterusnya, kami ke rumah seorang akh yang telah kami jumpa di Mesir sebelum ini. Beliau merupakan antara aktivis Aqsa Syarif yang menyertai rombongan AQSA2GAZA.

Di Mesir, beliau sempat berkongsi pengalamannya sepanjang berada di Palestin.

Kunjungan kami ke rumahnya,kami diberi pencerahan lain yang bertajuk Ghazwul Fikr.
Serangan pemikiran.

Jika dahulu, peperangan antara umat Islam dan kafir pasti tentera Islam yang menjuarai.
Iman menjadi sumber kekuatan mereka.
Jihad pula menjadi daya tarikan mereka untuk mengejar syurga.

Tetapi sekarang, umat Islam tewas dengan diri mereka sendiri!

Alahai orang-orang yang beriman,

apakah terlalu lemah dirimu walaupun kau mempunyai senjata dan raja segala perisai.

Sudahlah lemah,
Dipijak-pijak pula.
Sudahlah bertambah lemah,
diguna pula sebagai keldai tunggangan yang menurut sahaja.

Allahu Rabbi,
Moga Kau bangkitkan kembali jiwa-jiwa yang kian lemah dan terlena ini.
Moga Kau menjadikan kami ini tergolong dalam saff-saff penolong agama-Mu inshaAllah !

Setelah itu, kami dihidangkan juadah makan malam yang disediakan.
Lazat sungguh untuk kami yang sedang kelaparan ini.
Alhamdulillah !

Hampir saat untuk berpisah, kami saling bersalaman, berpelukan dan berciuman pipi ke pipi.

” Datanglah ke Mesir nanti ” pelawa kami kepada tuan rumah.

Sungguh, layanan istimewa begini berhak untuk kami balas !

Seterusnya kami terus berjalan pulang untuk berkemas dan berehat secukupnya.
Melihat tiket keretapi menuju ke Manchester yang seawal 4.35 pagi membuat aku sedikit penat.

Moga-moga rehat malam ini cukup membekalkan tenaga tika bangun seawal jam 3 pagi esok untuk bersiap-siap.

Sekian,
menunggu keesokan harinya andai diberi keizinan dari Allah !

********************************

6 Februari 2012
Cardiff-Manchester-Lancaster

Seawal jam 4 pagi kami sudah mula bergerak ke stesen keretapi agar tidak ketinggalan. Sampai sahaja di tempat teksi yang ditempah, kami mula bergerak.

Keretapi sunyi.
Pagi-pagi begini siapa yang mahu merantau melainkan jika urusan benar-benar penting. Dan itu termasuk aku dan akhawat yang lain.

Hanya mampu duduk sambil tahan mengantuk.
Sambil memerhati kegelapan yang masih pekat di luar tingkap.

Benar-benar tidak tahu apa yang perlu dibuat.
Kalau membaca, takut tertidur. Jika tertidur, terlepas pula waktu Subuh.

Macam biasa, mainkan lagu yang disimpan di dalam telefon.

Lagu yang dimainkan : Nyanyian sepi
Penyanyi : Opick

Lagu yang mengisahkan tentang alam kematian yang bakal ditempuh satu hari nanti.
Pengakhiran yang baik atau buruk, kita yang tentukan.

Mengapa dipilih lagu ini kerana aku merasakan suasananya berpadanan.
Gelap dan sepi.
Itulah persamaan antara suasana malam dan alam kubur.

Hanya membiarkan lagu ini berkali-kali. Setidak-tidaknya menjadi peringatan buat diri sendiri.

Masuk sahaja waktu Subuh, terus tunaikan solat.

Akhirnya terlelap juga buat seketika. Selepas bangun, aku masih lagi terus mentadabbur alam.

Subhanallah !
Bekas-bekas salji sepanjang perjalanan memang terlalu indah.
Memutihkan segala permukaan yang ada.
Berbekas benar pada mata yang memandang.

Berhenti sahaja di sebuah stesen, masuk seorang wanita lantas duduk di sebelahku. Terus dia membuka Kindle kepunyaannya dan membaca apa yang ada.
Aku sekadar melihat keletahnya.

Aku bermuhasabah.
Jika dia mampu, mengapa tidak aku.

Aku mencari buku yang dibawa. Fiqh Sirah menjadi pilihanku. Sememangnya karangan Said Ramadhan Al-Buti membuatku lebih faqih dalam memahami pembawa risalah agung, Rasulullah S.A.W.

Sampai di Manchester. Hanya transit disitu sementara menunggu keretapi seterusnya untuk bertemu akhawat Lancaster.

Perjalanan keretapi kedua hanya sama seperti tadi.
Cuma kali ini, aku menyampaikan sedikit tazkirah buat ukhti yang lain.

Sambil aku memberi, sambil mereka menjenguk ke luar.
Takjub atas kebesaran Ilahi.
Sudah kelihatan biri-biri di ladang-ladang yang cukup luas.

Tiba di Lancaster, kami disambut oleh dua orang ukhti yang sebaya denganku. Tersenyum manis menyambut kami bersama beg yang begitu banyak.

Seterusnya, berjalan ke perhentian bas untuk menuju rumah mereka.

Dijamu dengan pelbagai jenis makanan (seperti biasa).
Sempat aku menelefon umi yang berada di kejauhan. Inilah kali pertama aku mendengar suaranya yang teramat gembira kerana keberadaan aku di bumi orang. Aku menyambut dengan penuh madah,
” Jalan kat negara orang ni akan best kalau kita betul-betul hayati segala peluang yang Allah beri. Kalau sekadar jalan biasa, memang tak dapat apa-apa.”

Tiap apa yang Allah beri, ada fungsi dan hikmahnya !

Setelah bersiap-siap untuk keluar melawat Lancaster University sambil menghantar kedua orang ukhti tadi ke kelasnya, kami terus menaiki bas untuk ke sana.

Subhanallah !
Pemandangan yang cantik ini membuatkan aku bertambah kagum atas kebesaranmu Ya Allah.

Dari atas bas,
kelihatan deretan rumah yang tersusun cantik.
Langit yang terbentang begitu luas.
Cuaca yang elok menambah lagi keserian.

Subhanallah.
Subhanallah.
Subhanallah.

Mengambil gambar pemandangan sememangnya menjadi hobi aku dari dulu.
Cuma, kamera tidaklah secanggih mana.
Kebetulan pula, ukhtiku membawa DSLRnya, lalu aku meminta jasa baiknya untuk menunaikan hasrat.

Setelah berpusing habis di kawasan sekitar Lancaster University, kami dibawa untuk melihat biri-biri dengan lebih dekat lagi.

Mereka seolah tidak menghiraukan kehadiran kami di situ.
Tetap melakukan aktiviti mereka tanpa rasa diancam.
Dan kami pula mengambil kesempatan suasana yang tenang ini untuk mengambil gambar mereka sepuas-puasnya.

Berjalan pulang sepanjang lorong yang tidak berapa luas, melihat rumah-rumah binaan inggeris membuatkan kami tidak henti-henti melafazkan perkataan,

” Cantiknya. Cantiknya.”

Akhirnya kami menaiki bas kembali untuk pulang ke rumah.

Malam itu, selepas makan malam, kami duduk-duduk berehat sambil berbual-bual mesra.

Tiba-tiba aku ditegur,

” Eh akak. Tak kenal saya ke ? Izzati yang usrah kat Temerloh hari tu.”

Subhanallah.
Allah menemukan aku dengan dia. Dulu hanya berbasi-basa hendak datang ke sini. Tak sangka rezeki dari Allah murah. Dapat pula berjumpa dengan teman usrah dulu.

Melihat keletah akhawatku memilih tudung dan jubah membuat aku tersenyum gembira.
Gembira melihat pelbagai warna dan corak yang ada.

Malam itu, lebih kurang jam 9 aku bersama seorang ukhti duduk bersama seorang akhawat jurusan perakaunan dari Lancaster Univercity.

Hadis 11-20 menjadi agenda pada malam itu. Marathon tema utama hadis-hadis tersebut membuat aku faham sedikit. Andai perlukan pencerahan lagi nanti, boleh tanya pada naqibah sendiri.

Selesai sahaja pembentangan, aku terus masuk ke bilik tidur.
Penat yang teramat sangat. Pasang niat dengan harapannya dapat bertahajjud pada pagi esok.

Faiza faraghta fansob.

Sampai di sini sahaja kali ini.
Sekian,
mylittlepencil di Lancaster.

******************************

7 Februari 2012
Lancaster-Leeds

Pagi itu aku bangun,terus bingkas ke bilik air untuk mengambil wudhu’.
Sambil bersiap,sambil mengejutkan akhawat yang lain.

Sudah lewat rasanya.
Astaghfirullah.
Apakah ada dosa-dosa tersembunyi sehingga aku susah benar untuk bangun malam berjumpa dengan-Nya.

Tiba di sebuah bilik lain, aku melihat seorang ukhti sedang bersujud.

Allahuakbar.
Kau menang wahai ukhtiku.
Aku kalah.
Aku beruntung mempunyai ukhti seperti kamu.

Terima kasih atas muhasabah yang berharga ini.

Pagi itu aku sekadar mengemas barang. Mahu keluar lewat sedikit, mungkin selepas solat Zuhur.
Mengemas barang sedikit terlebih dahulu agar tidak kelam-kabut kemudiannya.

Usai solat, aku bersama seorang ukhti yang lain berjalan ke arah bandar. Memang, berjalan kaki menjadi budaya orang di sini. Untuk kami, memang penat. Tetapi, berjalan memang bagus untuk kesihatan jantung. Sebab itulah, mereka sihat. Dan mereka pun kuat.

Pusing-pusing bandar untuk membeli barang yang telah lama dihajati dan hadiah buat ummi tercinta. Akhirnya, setelah difikirkan berkali-kali saya membeli barang yang paling diminatinya.

Kemudian, terus berjalan pulang ke rumah untuk mengemas barang siap sepenuhnya kerana kami akan bertolak ke Leeds malam ini untuk berjumpa akhawat di sana pula.

Sedih benar bila mahu meninggalkan ukhti tercinta.

Kami sampai awal. Jam baru menunjukkan 6.40 petang sedangkan tiket keretapi kami pada 6.52 petang.
Masa banyak. Andai dibuang begitu sahaja, aku akan menjadi orang yang rugi.

Al-waqtu kassaif.
Fain lam yaqta’,qata’ka.

Masa itu pedang.
Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu.

Aku menyambung bacaan Fiqh Sirahku kembali. Ingatan kepada Rasulullah memang cukup memberi semangat kepada aku untuk terus menjadi daie kerdil di atas muka bumi Allah ini.

Perjalanan ke Leeds cukup mengambil masa yang lama. Hampir tertidur aku dibuatnya. Mengantuk sungguh. Sunyi dan dingin pula suasananya.

Sampai sahaja, kami mengambil teksi untuk ke rumah akhawat di Kelso Gardens.

Selepas makan malam, aku menyepikan diri seketika untuk bertafakkur sebentar.

Saat itu, aku tidak tahu apa yang aku rasa.
Rindukan akhawat yang lain.
Tertekan dengan keadaan sekeliling.
Rasa badan yang kurang menyihatkan dan agak penat.

Akhirnya aku menangis sendirian diselang-seli gelak tawa mereka dari bilik sebelah.

Aku menyampaikan rasa hati kepada seorang ukhti di bumi Ireland sana.
Aku mengadu segalanya.

Banyak pesanan darinya. Menjadi tazkiyyah buat diriku.

” Kita kena kuat. Ini tarbiyyah dari Allah. Mungkin ada dosa-dosa tersembunyi yang Allah nak hapuskan. Apapun, kebergantungan memang kepada Allah kena kuat.”

Terima kasih ukht.
Aku terasa ingin memeluk dia sekuat-kuatnya. Biarkan bahu dia merasai air mataku yang sedang keguguran.

Allahu Allah.
Moga Allah menguatkan aku.

Aku hanya diam membatu malam ini. Menenangkan hati sambil berehat. Duduk sahaja atas katil, dada mula rasa sesak.

Lelah menyerang.
Ukhti menghulurkan ubat dan air madu buatku untuk melegakan sakit.
Namun, air madu itu tumpah di atas katil.

Mahu menangis lagi di dalam hati kerana telah menyusahkan begitu ramai orang.

Penat berfikir sehingga aku tertidur begitu sahaja tanpa sedar.

Sekian,
mylittlepencil di Leeds.

****************************

8 Februari 2012
Leeds

Hari ini bermula indah. Pagi-pagi selepas Subuh aku mencari kerja di dapur.
Mengemas apa yang patut.

Kemudian, datang seorang ukhti dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah yang kami singgah.

Sebaya juga denganku.
Manis juga senyumannya.

Dia yang akan membawa kami bersiar-siar di Leeds dek kerana tiada kelas pada hari ini.

Selepas kami bersarapan dengan penuh enaknya, dia mengajak kami bertadabbur seketika sebagai set kompas pada hari ini.

Agar perjalanan kami ini tidak sia-sia.
Agar perjalanan kami diberkati.
Agar perjalanan kami lebih bermakna.

Surah Al-Insan menjadi pilihan. Katanya, surah ini surah kegemarannya. Serupa denganku kerana surah ini kegemaranku juga.

Ayat-ayat dalam surah ini menceritakan tentang manusia, syurga, neraka dan jalan yang perlu seorang manusia itu pilih.

Allah menceritakan segala nikmat syurga kerana Allah tahu nikmat dunia ini tidak akan pernah sempurna. Allah memberikan gambaran-gambaran syurga yang menyerupai alam untuk memudahkan kita membayangkannya. Supaya bila melihat alam, kita terasa dekat dengannya.

Matlamat kita adalah redha-Nya.
Sumber pendorong kita adalah syurga-Nya !

Allahu Allah,
banyak benar aku bermuhasabah pada hari ini.
Terima kasih Allah !
Terima kasih ukhtiku sayang !

Kami memulakan perjalanan menuju ke sebuah pasar di Leeds. Bagai pasar malam kalau di Malaysia. Terasa lebih dekat lagi kerana hari ini jualan dari Asia.

Maka, inilah kali pertama

saya mendengar lagu hindustan di tengah-tengah bandar ini.

Menambah kejutan apabila kami terjumpa seorang pakcik yang berasal dari Sarawak. Memang sudah lama dia bekerja di situ.

Seronok benar katanya dapat berjumpa dengan kami.

Waktu Zohor sudah masuk.
Kami sekadar bersolat di ruang yang sedikit terlindung. Jujurnya, bagi aku agak malu untuk solat secara terbuka di negara ini tetapi aku akan dimalukan di hari akhir nanti andai alasan yang tidak munasabah ini menjadi penghalang untuk aku bersolat.

Seterusnya, kami bergerak ke Royal Armories yang memakan masa 15 minit berjalan kaki untuk ke sana. Tempat ini adalah tempat yanp mempamerkan sejarah peperangan dan alatan peperangan terdahulu dan moden.

Memang seronok benar bergambar. Tetapi sedih kerana tidak dapat benar-benar menghayati. Bagi aku, untuk memahami sejarah memang ambil masa yang lama. Malangnya, masa amat mencemburui kami.

Salji di Leeds masih lagi kelihatan. Sebuah sungai juga kami lihat masih lagi keras. Sengaja kami mencampakkan salji untuk melihat sejauh mana ketahannannya.

Subhanallah !
Seterusnya, kami menyambung perjalanan kaki ke bandar untuk membeli-belah apa yang patut.
Memang diskaun di mana-mana tempat.
Terasa diuji.
Aku harus membeli yang perlu, bukan kehendak nafsu.
Aku punya iman.
Membazir adalah amalan musuhku.

Ya Allah,
Jauhkanlah aku dari mendahului nafsu daripada iman di hatiku.

Jam sudah menunjukkan tepat 4.40 petang, aku bersama beberapa orang ukhti pulang ke rumah terlebih dahulu menaiki teksi meninggalkan yang lain kerana mereka masih mahu membeli-belah.

Ketika sedang berehat, kami menerima kunjungan seorang ukhti yang dari dulu lagi aku mahu berkenalan dengannya.

Mesra sungguh dia dengan kami semacam sudah lama kenal walhal baru saja berjumpa.
Telah pun berkahwin dan punyai 3 orang anak yang sangat comel.

Dia memasak juadah istimewa khas untuk kami, tetamu dari Mesir.

Laksa !
Ditambah lagi apabila seorang ukhti dari rumah yang lain memasak mee rebus untuk kami.

Memang kami dan semua akhawat makan penuh selera !

Usai makan, kami bertaaruf dengan semua akhawat yang ada.

Bergelak-ketawa sambil bertanya dan menjawab soalan.

Malam itu seolah menjadi saksi kemesraan kami.

Takkan aku lupakan kenangan yang berharga ini.

Setelah itu, aku bersama dua ukhti yang lain membuat sesi perkongsian tentang dakwah dan tarbiyyah kawasan masing-masing.

Meskipun kawasan berbeza, namun tetap aku suka berkongsi kerana aku tahu mereka amat faham. Mereka bagaikan paha kanan yang turut terasa andai paha kiri dicubit.

Moga Allah redha akan jalan yang kami pilih ini.
Moga Allah menjadikan hati kami terus tsabat dalam jalan ini, inshaAllah !

Namun, aku sekali lagi tanpa sedar dek kepenatan yang amat sangat.

Sekian,
mylittlepencil di Leeds

*****************************

9 Februari 2012
Leeds-London

Sudah seawal jam 1.40 pagi mula bergerak keluar dari rumah menuju destinasi terakhir jaulah kami, Kota London yang begitu terkenal.

Alhamdulillah, kali ini kami sampai awal sebelum bas sampai. Perjalanan yang bermula jam 2 pagi ini mengambil masa enam jam untuk sampai ke sana.

Dalam bas sunyi sahaja.
Pada fikiranku, bukan sahaja kami yang mahu menyambung tidur, tetapi juga hasrat penumpang-penumpang yang lain.

Bergerak sahaja bas, aku membaca doa naik kenderaan dan bertawakkal kepada Allah. Moga perjalanan ini selamat sampai ke sana.

Namun, aku tidak boleh menyambung tidur. Terlalu asyik melihat permandangan di luar. Meskipun malam, namun diterangi cahaya-cahaya lampu yang indah. Terdengar juga sisa-sisa perbualan penumpang dari belakang. Aku hanya diam sambil bermuhasabah dan bertafakkur.

Aku tertidur sekejap cuma dan kemudian tersedar kembali. Tidur dan jaga berterusan bergilir. Entah mengapa begitu. Hati tenang sahaja. Tetapi badan cukup penat sebenarnya.

Akhirnya, aku memutarkan lagu-lagu kegemaran yang ada. Buat peneman di kala tiada teman berbicara.

Lagu kegemaran : Forgotten Promises
Penyanyi : Sami Yusuf

Lirik lagu ini amat bermakna bagiku.

We are one human kind,
Sister side by side,
We’ll no regret,
We will not forget.

Tiba waktu Subuh, aku kejutkan ukhti di sebelah untuk menunaikan solat.

Setelah solat, aku terus berjaga melihat siang yang akan menggantikan malam sebentar lagi.
Dari pekat malam lama kelamaan menjadi cerah.

Tiba sahaja di tempat perhentian bas, kami menunggu ketibaan ukhti yang akan menjemput dan membawa kami ke rumahnya.

Sampai sahaja di rumahnya, aku mengambil peluang untuk tidur seketika. Kemudian, turun ke tingkat bawah untuk bersarapan bersama akhawat lain.

Setelah solat jama’ qasar Zohor-Asar, kami bersiap-siap untuk menjelajah kota London.

Memang inilah yang kami nanti-nantikan !

Semua memang tersenyum kegembiraan !

Alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada kami untuk menikmatinya.

Destinasi pertama : Tower Bridge

Di sini kami hanya melihat-lihat sambil mengambil gambar.
Kelihatan juga Tower of London dari jauh.

Destinasi kedua : London Eye

Ini menjadi impianku sejak dari dulu untuk melihatnya. Memang besar dan teramat canggih buatannya. Sekali naik 18 Pounds Sterling akan dikenalan.

Dan paling menarik adalah kawasan sekitarnya kerana terdapat pelakon-pelakon jalanan yang begitu handal menakut-nakutkan kami.

Destinasi ketiga : Big Ben

Jam besar yang terletak di House of Parliament ini sememangnya amat menarik. Sepanjang masa memang menjadi tarikan pelancong. Jam ini juga antara salah satu mercu tanda Kota London.

Destinasi keempat : Embassy of Malaysia (London)

Kami diajak oleh seorang ukhti untuk merasai makanan Melayu di sini.

Terubat rasa rindu pada negara tercinta melhat sajian makanan dan minuman yang tersedia. Melihat rakuyat sendiri  berbual-bual rancak dalam Bahasa Melayu.

Mengubat rindu sungguh !

Destinasi kelima : Kedai cenderahati

Di sini aku dan akhawat lain mengambil peluang untuk memborong segala apa yang ada.

Mula kalut kerana terlalu banyak pilihan di sini !

Destinasi keenam : Tempat membeli-belah

Kami membeli apa lagi yang dirasakan perlu untuk melengkapkan lagi pemergian kami dari bumi ini.

Sedang kami menunggu akhawat yang lain siap, salji turun buat kesekalian kalinya.

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

Terasa benar dipilih oleh Allah.
Ketulan-ketulan ais ini rezeki dari-Nya buat kami.
Dari berteduh dalam sebuah kedai, aku bersama akhawat lain sengaja bermain salji di luar. Tidak mungkin akan dilepaskan peluang keemasan ini.

Memang puas bergambar !
Habis basah kami dibuatnya.

Tiba-tiba terdengar bunyi orang bermain muzik.
Begitu rancak dan tangkas dia bermain.
Pada mulanya memang tercari-cari di mana, kemudian aku ternampak sekumpulan manusia  mengerumuni beliau.

Aku mengajak seorang ukhti untuk melihat lebih dekat.
Hendak tahu alat apa yang digunakannya.
Ini persoalan yang harus dijawab.

Bila aku makin mendekat,
Subhanallah !
Dia hanyalah seorang pemuzik jalanan yang menggunakan batang besi, baldi dan periuk !
Hasil ketukan-ketukan beliau mampu menghasilkan bunyi yang amat sedap.
Memang berbakat !

Asyik kami berdua melihatnya !
Maha Kuasamu Ya Allah yang memberikan segala keistimewaan kepada hamba-hambaMu.

Aku hanya mampu berkata,
” Kadang-kadang memang pemuzik jalanan lebih berbakat kalau nak banding dengan pemuzik lain.”

Setelah mendengar satu lagu, kami dan berdua beredar. Namun, beliau terus meneruskan perjuangan mencari rezeki.

Sambil kami melintas jalan, muziknya mengiringi pemergian kami.

Salji juga masih tidak berhenti.
Setelah selesai urusan di sana, kami terus pulang ke rumah menaiki tube.

Sedih.
Terasa benar kami seakan memberi lambaian yang terakhir.

Pulang sahaja ke rumah, kami sekali lagi mengisi perut yang kelaparan.

Setelah itu, mereka masuk berehat sementara aku berjaga agar tidak terlewat untuk perjalanan hari esok.

Flight to Cairo :
9.15 am from Heathrow Airport, London.

Perjalanan untuk ke lapangan terbang makan masa satu jam paling lewat.
Perlu berada di lapangan terbang seawal jam 6 pagi.
Dan akhawat yang tidur perlu dikejutkan jam 4 pagi.

Memang kena awal !

Moga Allah memberi tenaga kepadaku untuk bertahan dengan secawan kopi yang sudah siap dibancuh ini.

Sekian,
mylittlepencil di London,
hari kedua terakhir.

*****************************

10 Februari 2012
Heathrow, London-Cairo

Alhamdulillah, aku berjaya menahan mengantuk dengan kekuatan yang diberi Allah.

Tepat jam 4 pagi, aku mula mengejutkan akhawat yang lain dari tidur mereka.

Mula mereka bergilir masuk ke tandas. Kemudian terus bergegas siap untuk ke lapangan terbang.

Manakala seorang ukhti kesayanganku pula sibuk menyediakan ‘sahur’ perjalanan kami pada pagi Jumaat yang barakah ini.

Siap sahaja mengemas beg, terus bergegas ke dapur untuk makan.

Masa semakin suntuk.
Kami perlu bergerak pantas.

Bermulalah kepayahan kami apabila terpaksa mengangkat beg yang sangat berat menaiki anak-anak tangga. Memang penat benar. Terasa hilang tenaga.

Sehingga pukul 6.10 pagi, keretapi masih jua belum tiba.
Solat subuh pun belum.
Daftar masuk pun belum.

Rupa-rupanya, keretapi tersebut ditunda selama 25 minit atas alasan tertentu. Terpaksalah kami bergerak ke stesen keretapi yang lain.

Duduk sahaja dalam gerabak, kami menarik nafas kelegaan sambil melepaskan penat.
Alhamdulillah.
Setelah itu, kami menunaikan solat dalam keretapi sahaja dek kesuntukan masa.

Ghuraba’ dalam gerabak.
Memang ada yang memandang pelik kepada kami. Namun, inilah pelengkap hidup kami sebagai orang-orang yang beriman.

Pukul 7 pagi, kami masih lagi belum sampai.
Masa terasa begitu cepat berlalu.
Dalam hati sebenarnya teramat risau, takut-takut lewat pula sampai di lapangan terbang nanti.
Namun,berjaya ditenangkan sedikit dengan melihat salji yang meliputi bumi di luar tingkap.

Subhanallah.

Subhanallah.
Subhanallah.

Menakjubkan.
Kau lah yang Maha Hebat !

Sampai di stesen yang dituju, langkah dipercepatkan. Kelihatan ada akhawat yang menunggu kami untuk tolong mengangkat barang.

Alhamdulillah.
Indahnya ukhuwwah fillah !
Dan salah seorang daripadanya pernah aku jumpa dalam sebuah program satu ketika dahulu.

Bermulalah kekalutan yang kedua.
Di tempat daftar masuk begitu sesak dengan ramai manusia.

Alhamdulillah.
Urusan dipermudahkan.
Beg juga tidak lebih beratnya.
Passport dan tiket ada bersama.

Selesai sahaja pemeriksaan keselamatan, aku terus berlari menuju ke arah pintu berlepas.

Sudah lewat.
Moga-moga tidak ketinggalan.
Alhamdulillah.
Pintu yang sepatutnya ditutup jam 8.50 masih lagi dibuka.

Dan aku harap akhawat di belakangku juga sempat.

Sampai di dalam kapal terbang, terus mencari tempat duduk berdasarkan nombor yang tercatat dalam tiket penerbangan.

Beberapa minit kemudian, akhawat lain sampai.
Lega.
Kerisauan sedikit terubat.

Lama juga menunggu di dalam kapal terbang. Mungkin dalam 15-20 minit lamanya.

Cukup membuatkan aku rasa begitu mengantuk dan akhirnya tertidur.

Hampir kepada waktu untuk berlepas, aku terjaga.

Ini antara saat yang paling aku suka.
Saat kapal terbang melakukan penerbangannya.
Saat lajunya kapal terbang di atas landasan sehingga mampu terbang ke atas.

Penerbangan waktu pagi memang menggamit pandangan.

Cukup indah awan-awan yang kelihatan.
Putih suci.
Allahuakbar !

Banyak persoalan yang timbul dalam pemikiran.

Apakah aku telah menjadi orang yang benar-benar baru setelah berjaulah ke bumi United Kingdom ini ?

Apakah aku telah melepasi ujian-ujian yang telah Allah berikan ?

Apakah aku cuba untuk menerima dengan baik segala tarbiyyah dari-Nya ?

Apakah hak ukhuwwah itu aku telah jalankan dengan sempurna ?

********

Sepanjang perjalanan ini,
Aku ingin meminta maaf,
Sama ada yang berjaulah sama denganku,
mahupun yang menerima kedatanganku.

Sepanjang perjalanan ini,
Maafkanlah segala kekhilafanku,
Andai hak ukhuwwah itu tidak tertunai,
Andai aku ini terlalu banyak ragamnya,
Terlalu banyak masam muka.

Akhawatku,
Tidak sempat aku meninggalkan kata-kata cinta buatmu kerana waktu kita berjumpa sekejap cuma,
Tidak sempat aku coretkan surat-surat layang buat tatapan kamu semua,
Tapi percayalah,
Aku tidak pasti akan lupa pada kamu semua.

sekian,
travelog tarbiyyah United Kingdom.

2 thoughts on “Travelog : United Kingdom

Leave a comment