Bukan sedang mengubah

Dalam dakwah kita selalu diterapkan kita harus menjadi agen pengubah kerana itulah sifat dakwah. Setiap objek dakwah yang ditarbiah harus mengubah diri sendiri dan sekelilingnya. Semestinya perubahan itu ke arah yang lebih baik dan meningkat naik.

Satu demi satu contoh Allah memperlihat kepada kita ikon ikon dakwah yang unggul iaitu barisan para anbia akan kisah mereka dengan begitu terperinci dengan asas asas dakwah yang penting.

Ya setiap kisah mempunyai pengajaran tersendiri sama ada yang tersurat mahupun tersirat.

Melihat kepada ikon dakwah atau bahasa yang lebih mudah iaitu ikutan semestinya mempamerkan bahawa seruan atau tujuan sebenar para anbia menyampaikan dakwah itulah fokus mereka. 

Kerana itu cacian dan makian mengatakan para anbia kita adalah ahli magis, ahli sastera bangsa Arab atau apa jua  adalah tohmahan yang tidak berasas kerana Islam berasal dari Allah SWT. Bukan dari manusia yang menyampaikan. Ingat, manusia hanya objek yang menyampaikan. Subjeknya milik Allah SWT.

Terbukti  bahawa milik kebenaran adalah milik Allah yang mutlak. Saya kira perubahan yang dibawa oleh para anbia adalah perubahan yang agung kerana ia punya asas yang jitu dan padu. Islam itu akarnya. Berpegang pada Islam dengan kuat, dipukul badai pun kita tidak akan mudah hanyut. 

Sifat perubahan yang ada pada dakwah bersifat persuasif. Ia punya magnet kukuh yang sekaligus mampu untuk menarik orang sekeliling menerima dakwah Islam yang baik. Para sahabat Muhammad SAW mana mungkin tertarik akan kebenaran jika tiada ikon yang menunjukkan cara hidup Islam yang sebenar.

Muhammad SAW yang sedang ber’dagang’ asing dengan dakwah Islamnya, Muhammad SAW tidak menjaja dirinya. Diri seorang daie adalah komukinasi dakwah itu dengan Tuhannya. Hanya alat.

Kerana dakwah Rasulullah SAW itu mengajak kepada Islam, para sahabat menjadi asyik dan taasub kepada Islam. Berpegang kuat kepada aqidah Allah, bukan menyembah Baginda. Kerana itu para sahabat mampu berubah hatta seorang Umar RA yang digeruni.

Kini, kita mengira kita menjadi ikon dakwah kita menyangka kita sedang mengubah sesuatu. Tetapi sebenarnya tidak. Dunia kini menyaksikan masyarakat taksub pada objek bukan pada subjek Islam yang sebenar. Masyarakat kehilangan dan sesat bermain dengan mainan taasub kepada peribadi seseorang. Paling malang, mereka sangka mereka sedang berubah, tetapi sebenarnya tidak.

Mereka hanya berubah mengikut indikator ikon, bukan mengikut indikator yang telah Islam letakkan. Berterusan hanyut sehingga apabila satu peribadi lain yang juga menyampaikan kebenaran, dikiranya salah kerana bukan dinyatakan oleh ikon yang disembah tadi.

“Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, danjuga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul. ” (Surah al-Ma’idah (5): 77). 

Sikap keterlaluan dan melampau sama ertinya dengan taasub.  Masyarakat kita terlupa untuk tasamuh iaitu kelapangan dada dan keterbukaan akal fikiran. Kita lupa larangan dari Allah SWT telah diberi sejak terhadap umat terdahulu.

Sikap taasub adalah sikap yang tertutup yang hanya tertakluk pada pandangan sendiri dan mengaburi pandangan dan peranan orang lain seolah hanya dia yang berhak memimpin. Walhal ilmunya belum ‘cukup masak’ lebih bahaya jika itu bukan bidangnya.

Kita lupa Allah menjadikan Islam ini bersifat wasata atau sederhana dan seimbang.

“Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. ” (Surah al-Baqarah (2): 143). 

Mengajak orang kepada dakwah Islam adalah mudah kerana Islam ini sifatnya memudahkan. Tidak perlu meletakkan diri dalam kesusahan untuk beriman kepada Allah SWT. Fenomena berpegang kepada peribadi sehingga taasub menjadikan masyarakat kita jumud, menidakkan perubahan fatwa fatwa serta ijtihad atau tajdid (perubahan) tertentu. Makin menjauh dari Islam yang sebenar.

Fenomena mengikut peribadi tertentu juga menjadikan kita pelampau sehingga sanggup mengeluarkan kata kata kesat. 

Betapa bahaya corak penyampaian dakwah seperti ini kesannya kepada masyarakat. Kita akan berpecah belah dan tidak lagi akan berpegang pada Islam yang sebenar. Akan terbahagi kepada kelompok kelompok manusia tertentu yang akhirnya bukannya menyembah Tuhan yang satu.

Tanpa sedar, kita menyembah satu objek yang juga makhluk Tuhan. Kembalikan penghayatan agama ini kepada Tuhannya.

Buang ‘berhala moden’ kerana seorang manusia bukanlah jaminan seorang manusia yang lain terhadap amal ibadat dan ketundukan kepada Tuhan yang Ahad. Hanya pada Allah jaminan kita semua. 

Mana mungkin pahalanya diberi kepada kita untuk memberatkan timbangan amalan di bahu kanan kita di akhirat kelak. Mana mungkin juga seorang manusia mampu meringankan azab kubur seorang manusia yang lain.

Pulangkan kembali sembahan kita pada Tuhan. Jika tidak, kita bukan sedang mengubah dan berubah.

Taasub pada manusia hanya akan menjauhkan kita dari jalan kebenaran. Tugas kita sebagai penyampai Islam adalah menceritakan tentang Islam. Dakwah bukan bisnes untung rugi dan mempamerkan tentang diri sendiri untuk membenarkan agama itu untuk ditunggang.

Dakwah Islam tugas mutlaknya adalah mengajak manusia kepada Tuhan. Bukan menambah ‘Tuhan’ yang lain.

Sekian.

KEGAGALAN UKHUWAH KITA

Bila berbicara tentang ukhuwah, terlalu banyak yang ingin diceritakan. Kenangan manis dalam bersahabat menjadi sumber kekuatan untuk terus bekerja dalam jalan dakwah sehingga kini.

Teringat lagi zaman belajar, bermalam di mana mana rumah akhawat. Singgah sahaja, pasti dijamu makanan. Pendek kata, boleh buat macam rumah sendiri. Duit dan segalanya hampir dikongsi bersama.

Berjaulah pun bersama. Berziarah pun bersama. Ya, segalanya dilakukan bersama. Ukhuwah ketika zaman belajar, begitulah manisnya.

Bila masing masing sibuk dengan tuntutan tanggungjawab dan hidup masing masing, jaluran ukhuwah makin tertebar luas. Malah, dugaannya semakin hebat.

Inilah saya kira ‘kecairan tarbiah’ yang terlihat dari luar. Bukanlah manhaj kita yang lemah, cuma pembentukan setiap rukun dalam usrah usrah kita tidak melalui satu proses pembentukan yang mutlak. Kita merasakan usrah itu sekadar satu peristiwa biasa dalam  kehidupan kita tanpa merasakan itu adalah proses untuk membaik pulih setiap satu insan dalam saf jemaah.

Usrah tetap dan selamanya akan menjadi proses utama kita dibentuk sebelum digerakkan untuk melaksanakan segala amali dakwah. Keberjayaan pembinaan dakwah dan kemenangannya terletak pada setiap individu dalam jemaah dakwah.

Kita ibarat telah kehilangan kesan positif persahabatan dalam dakwah. Kita merasa selamat berselindung di bawah satu nama organisasi yang selamat berdaftar tanpa menyedari bahawa sebenarnya hati kita sekadar bersatu pada nama bukanlah pada kerjasama dalam kerja kerja dakwah sebagaimana difirmankan Allah dalam surah saff, ayat 4.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Mengapakah ukhuwah kita gagal?
1) Ukhuwah kita mempunyai kepentingan tertentu tanpa memikirkan kepentingan dan pengaruh ukhuwah dalam gerak kerja dakwah.

Contoh mudah, berukhuwah kita hanya untuk mengaut keuntungan dunia tanpa mengharapkan keuntungan akhirat . Tanpa sapaan bicara salam yang mulia memulakan perbualan, terus bertalu talu gambar produk yang dijual. Sudah lah sebarang khabar tidak pernah ditanya, tiba tiba mesej menawarkan sama ada berminat atau tidak ingin membeli produk atau menjadi agen jualan di bawahnya.

Kita terlupa prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ adalah amat penting dalam gerak kerja dakwah. Titik tolak dari gerak kerja dakwah yang berkesan adalah dari ukhuwah yang berjaya.

Lihat hati pejuang dakwah seramai 313 yang bertaut bersama Rasulullah SAW menjadi pelapis pertama dalam sejarah perang yang dimenangi Islam. Mana mungkin tanpa keimanan yang kuat dan ukhuwah yang begitu terkesan, para sahabat  tanpa persiapan yang cukup mampu berhadapan dengan 1000 tentera musyrikin Mekah pada ketika itu.

Adakah para sahabat  mempunyai kepentingan tertentu menjadi ahli perang Badar pada ketika itu?
Pastinya, kepentingan mereka bukan kepentingan duniawi.

2) Komunikasi yang lemah

Ya, ukhuwah kita mempunyai seni komunikasi yang lemah. Komunikasi kita sesama ikhwah akhawat telah kehilangan empati dan simpati.

Proses komunikasi tidak akan berlaku jika tiada timbal balik/respon. Atau dalam kata lain, komunikasi ini bukanlah satu arah. Mana mungkin kita biarkan seorang ikhwah/akhawat berbual sendirian tanpa dibalas. Begitu jugalah ketika seseorang ikhwah atau akhawat bertanya, maka perlukan diberi ijabah/jawapan yang dipinta.

Komunikasi yang bagus akan memberi kesan positif dalam gerak kerja dakwah antaranya:
1)  mengenal pasti dan menganalisis tenaga kerja dan masa depan dakwah
2) ruang lingkup idea yang lebih luas terutama dalam kerangka strategi dan penyelesaian masalah dakwah serta jemaah
3) mengetahui kapasiti dan potensi setiap ahli dalam jemaah dakwah
4) mengenalpasti dan menganalisis segala faktor luaran dan dalaman yang menggugah kestabilan jemaah dakwah
5) mendidik sikap yang positif antaranya: sikap keterbukaan, empati dan saling mendukung
6) kesamarataan dalam melakukan tugasan dakwah (bukan berat sebelah)

Kita terlupa untuk berkomunikasi sama ada secara verbal atau non verbal, secara fizikal mahupun alam maya (media sosial) dengan ikhwah akhawat yang lain sedangkan laungan ‘Ukhuwah Teras Kegemilangan’ satu seruan yang dibanggakan satu ketika dahulu.

Bertahanlah ikhwah akhawat dalam saf ukhuwah yang kukuh sekiranya kemenangan dakwah itu menjadi impian kita bersama.

Kemenangan dakwah ini terletak pada kita. Mahukah kita mengubah semula nilai ukhuwah kita demi keberlangsungan dakwah ini?

Sekian,
mylittlepencil





TOKSISITI TARBIAH

Sudah lama tidak menulis tentang tarbiah barangkali kerana tarbiah semakin mencair atau menjadi semakin toksik dalam diri. Bagi mereka yang mencari erti tarbiah sebenar cukuplah sekadar diterangkan tarbiah ini adalah mendidik diri dalam bentuk 3 elemen utama iaitu: jasad, hati dan akal untuk menjadi insan yang baik.

Semestinya tarbiah yang baik adalah tarbiah yang berasaskan Islam sebagaimana ajarannya dibawa oleh Rasulullah SAW.  
Asas Islam dan tarbiah berpadanan pada prinsipnya iaitu berterusan dan menghasilkan insan yang lebih baik dari sehari ke hari.

Namun begitu, perlu difikirkan toksisiti tarbiah juga boleh terjadi walaupun agenda tarbiah yang dibawa adalah Islam yang mutlak.
Apa itu toksisiti tarbiah?

Situasi di mana tarbiah tidak lagi melahirkan insan insan yang baik dan rahmah.


1) DIRI
Dalam sistem tarbiah, penilaian, pemeringkatan, analisis dan proses mengenal pasti kelebihan dan kelemahan setiap individu adalah rutin. Hakikatnya tarbiah juga kita berbincang perihal seseorang demi kebaikannya. Tarbiah lah yang mengikat rasa kasih dan sayang untuk kita terus mengajak seseorang agar kekal membawa tanggungjawab seorang khalifah.

Namun, pada pandangan saya secara peribadi kelihatan sistem pemeringkatan sudah menampakkan kesan tidak baik atau boleh disebut sebagai kurang relevan. Pada ketika ini, sistem merit based harus diselit sekali untuk menghargai ahli yang meluangkan masa dan tenaga demi setiap tugasan di dalam dakwah di kala mungkin rakan satu peringkat dengannya ‘tidur’. Kualiti juga harus disaring semula demi kebaikan jemaah.


Atas pengaruh tarbiah juga, seseorang itu boleh menjadi terlampau ekstrim atau seseorang itu jadi lemau melayu. Mungkin seseorang terlalu ekstrim sehingga melupakan tanggungjawabnya yang lain. Mungkin juga seseorang menjadi lemau melayu dan memeram menjadi insan yang tidak berubah apatah lagi untuk melakukan perubahan.


Kedua duanya adalah toksisiti tarbiah. Produk tarbiah yang berkesan adalah melahirkan insan seimbang dunia akhiratnya, tepat bertindak di medannya. Hebat teratur urusan produktiviti dunia dan akhiratnya. Kita tidak mahu insan insan ditarbiah ini mudah hanyut dan selalu hanyut dibawa kehendak dunia yang laju melekakan manusia.


2) KERJA DAKWAH
Sebuah jemaah dakwah malahan mana mana organisasi akan tetap berlaku keadaan di mana banyaknya kerja tetapi sikitnya tenaga. Ini seperti sudah menjadi resam dan adat untuk kita telan dan laluinya.


Sesetengah ahli akan terasa penatnya kerana kerja dakwah hanya terbeban di atas pundaknya sahaja. Bahasa mudahnya kerja hanya di atas bahu yang sama. Tiada lagi istilah volunterism. Voluteerism juga kelihatan sudah tidak relevan dalam mana mana jemaah dakwah. Lebih utama adalah untuk mendidik kefahaman tentang tanggungjawab sebelum mengharap mana-mana ahli untuk sukarela melakukan sebarang kerja dakwah.

Hanya mengharap pada volunteerism, akan hanya ada individualism tanpa memikirkan kesan buruknya yang utama adalah kejahilan bermaharajalela.


 Sesetengah ahli pula suka menunding jari kepada yang lain untuk melakukan kerja. Hanya dikatakan itu dan ini tanpa memahami keadaan ahli jemaah yang lain. Tanpa sedikitpun keadaan ahli disoal selidik. Tentang keluarganya, tentang ibu ayahnya, tentang ekonominya, tentang rumahtangga dan anak anaknya. Dan pelbagai lagi kerana kita melupakan rahmah di dalam jalinan ukhuwah sesama ahli dalam sesebuah jemaah. 


Paling menyedihkan apabila sebarang teguran dipandang serong dan tidak mengambil sikap untuk muhasabah dan perbaiki. Apabila teguran diberi, malah dirasakan bersama dengan jemaah dakwah adalah beban yang amat berat walhal kita lupa hidup saling berpesan adalah budaya indah satu ketika dahulu.


3) TUA DAN MUDA
Ya, bersama dengan jemaah dakwah memerlukan kerjasama yang baik antara yang tua dan muda. Yang tua memandu dengan pengalaman mereka. Yang muda mengatur dengan kebijaksanaan dan tenaga mereka. Strategi pengalaman dan tenaga yang betul akan menghasilkan kejayaan yang agung. 


Namun, toksisiti boleh berlaku apabila tiada kefahaman antara keduanya. Tiada perbincangan atau persefahaman yang diambil sebulat suara dalam melakukan sesuatu. Apatah lagi jika tiada fleksibiliti berlaku untuk meraikan pandangan kedua belah pihak yang akhirnya menghancurkan gerak kerja jemaah.


Kita telah sedar bahawa toksisiti tarbiah ini memang berlaku kerana kita terikat dengan jemaah. Mereka yang tidak mengenal apa itu jemaah, dakwah dan lain-lain tidak akan merasakan apa apa.

Beruntunglah bagi mereka yang masih merasa apa jua perasaan terhadap jemaah. Rasa sayang mahupun rasa tidak senang, benci, terkilan dan sebagainya ketahuilah bahawa terdetiknya rasa itu mendatangkan tanggungjawab.


Sekurang kurangnya tanggungjawab untuk memperbaiki diri dengan Islam walaupun satu hari nanti kita memilih untuk tidak lagi bersama dengan jemaah.


Carilah jalan untuk perbaiki segalanya. Bukan lagi tugas atau beban jemaah untuk membaik pulih setiap individu di dalamya. Ia adalah kerja diri sendiri. 

Tiada lagi komunikasi antara kita

Sebarang jenis perhubungan atau sebarang urusan yang bagus terhasil dari komunikasi yang bagus.

Ingin saya bercerita sedikit. Baru-baru ini terasa sedikit penat dengan tugasan dunia selaku pegawai perubatan apatah lagi hendak diseimbangkan dengan tugasan sebagai isteri, ibu kepada dua anak kecil, murabbiah dan dakwah.

Biasalah manusia, apabila hilang kawalan dalam urusannya, masa sudah mencemburui, hakikat jasadiyah yang sudah meminta ingin rehat, kita akan penat. Ini lumrah.

Tempoh hari saya ada bertanya kepada suami.

“Kenapa Allah jadikan kepala kita ni tak berhenti fikir pasal dakwah?”

“Kenapa Allah titipkan rasa serba salah pada hati kalau tak buat kerja dakwah?”

“Kenapa Allah tak bagi peluang pada kita untuk beralasan untuk lari dan mengelak dari buat kerja kerja ini?”

“Kenapa orang lain boleh lari, kenapa bukan kita?”

Jujurnya aku bukan manusia hebat. Tuhan dan suami menjadi saksi. Betapa solat kadangkala tertingggal untuk ditunaikan tepat pada waktunya. Betapa amalan solat malam sangat jarang dilakukan. Betapa lagi amalan sunat lain amat lemah.

Allahurabbi. Aku bukan lagi diri aku yang dulu mampu untuk berbuat segala yang sunat dengan serba serbi lengkap. Kini sedikit demi sedikit telah menghilang nikmat dan kehendak untuk melakukan amalan amalan sunat.

Mudah sahaja suami menjawab.

“Hidayah. Bukan hidayah Islam, tetapi hidayah untuk ingin meneruskan dalam melakukan kerja kerja ini.”

Saya balas, “Hebat sangat ke kita bang? Mutabaah amal pun rasanya tak layak sungguh untuk pandu manusia lain. Entah siapa siapa kita jadikan anak usrah kita. Layakkah kita?”

Suami terdiam. Aku pun terdiam. Rahsia Allah barangkali kenapa sesetengah manusia Allah berkehendakkan untuk kita teruskan kerja kerja ini. Sesetengah kelompok manusia Allah rehatkan seketika atau barangkali atas izinNya seseorang manusia itu berhenti terus dari membuat kerja-kerja dakwah.

Istimewa sangat kah aku?
Tidak sesekali. Aku terasa amat hina. Malah kalau dikirakan ikut kehinaan aku, aku malu untuk bersama dengan jemaah, bersama dengan dakwah.

Tapi entah kenapa puas mencuba untuk larikan diri dari buat kerja ini, tapi akal tetap memikirkan. Hati tetap merasakan. Ibarat tidak dapat membuangnya begitu sahaja. Dan kini , aku mulai terasa penat kerana bebannya tertanggung sendiri.

Maafkan aku ya Allah kerana terasa penat dan serabut ini. Aku manusia.

Namun, untuk muhasabah bersama, aku kira ada satu aspek penting yang ingin dibincangkan bersama. Komunikasi antara kita. Ya, komunikasi yang lemah inilah menghasilkan proses perkenalan (taaruf) yang lemah dalam mana mana organisasi apatah lagi jemaah dakwah.

Dalam model komunikasi mesti ada 3 elemen penting:
1) Sender (pengirim)
2) Channel (medium)
3) Receiver (penerima)
4) Feedback (tindak balas/balasan)

Ya inilah kelemahan kita yang paling utama kerana selagi komunikasi yang tidak selesai, masalah internal jemaah tidak akan pernah selesai.

Masalah internal yang paling ketara adalah:
1) Tiada volunterism.
2) Pengagihan tanggungjawab yang tidak seimbang (hanya orang yang sama melakukan kerja).
3) Tidak merasakan tanggungjawab untuk menjawab atau menyahut sebarang soalan atau untuk menyelesaikan masalah.

Kesannya?
1) Sesetengah ahli akan penat kerana hilangnya timbang rasa(considerate).
2) Kerja tidak akan pernah selesai malah diduga pula dengan masalah yang kian bertambah.
3) Islam tidak akan tertegak kerana lemahnya komunikasi sesama pendakwah.

Begitulah hakikatnya wahai ikhwah akhawat sekalian. Kadang kala sampai rasa segan ingin menjadi ‘sender’ sedangkan tiada sebarang feedback yang akan kita terima.

Ya, putus asa.

Dan ya, diri sendiri mengakui memang terkadang penat dan merasa ingin berhenti. Tapi seperti yang aku katakan, seolah tertahan dari Tuhan untuk aku tiba tiba berhenti begitu sahaja.

Ada satu tekanan dari belakang untuk aku terus buat walaupun aku penat, walaupun aku puas cari alasan untuk lari atau mengelak. Walaupun mulut berulang kali melafazkan ayat ingin keluar dari jemaah atau dakwah ini, tetapi tertahan jua.

Entah apa rasanya.
Tidak sampai hatikah?
Tidak cukup pahala lagikah?

Aku bukan ingin menghakimi apa yang dilalui oleh setiap insan yang menyertai mana mana jemaah dakwah. Siapa aku untuk memposisikan atau mencabar kemuliaan seseorang. Siapa juga aku ingin mempersoalkan permasalahan setiap insan. Siapa aku ingin mendabik dada menjaja kepentingan diri aku sendiri?

Sekadar menulis untuk mengingatkan diri dan menenangkan hati sendiri.

Pedihnya jalan bersendirian tetapi inilah hakikat jalan dakwah yang aku belajar bila pulang ke medan sebenar.

Aku harap Tuhan tahan aku daripada aku melakukan perkara perkara yang tidak sepatutnya. Aku harap Tuhan jaga diri aku sehingg akhir hayatku.

Meskipun penat.
Meskipun aku tinggal seorang.

Moga Allah jaga diri kita semua. Dan sesungguhnya Allah lah yang menjaga dakwah ini.

COVID, MEDIA DAN DAKWAH KITA (II)

Perbincangan dilanjutkan. Usrah saya pada malam ini mengingatkan kembali kehangatan dakwah sebagai bisnes utama seorang khalifah.

Imbuhan bisnes dakwah mungkin tidak jelas seperti bisnes-bisnes lain yang jelas kelihatan untungnya sejumlah amaun duit masuk ke dalam akaun bank. Imbuhan dakwah ini mungkinlah penyebab kita kadang tersasar daripada tujuan asal kita membawanya sebagai satu tanggungjawab.

Kerana imbuhan itu tidak jelas pada mata!

Push factors kita juga tidak kuat.
Lebih hebat leaders bisnes memandu anak didik mereka berbanding seorang naqib/naqibah mampu mempengaruhi anak-anak usrah untuk berbuat sesuatu.

Barangkali kena menggaji seorang ikhwah atau akhawat untuk membawa usrah?
Atau menggaji anak usrah untuk mengikut daurah atau wasilah tarbawi yang lain?

Satu hari, hal ini tidak mustahil.
Mungkin sahaja apabila mana-mana organisasi dakwah yang mempunyai sumber ekonomi yang kukuh, mampu menggaji seramai mungkin murabbi ke sana sini untuk menyantuni seluruh ummat manusia dengan dakwah.

Inilah yang dinamakan ‘bisnes’ dakwah. Dan seperti yang saya katakan sebelum ini, bisnes yang baik terletak pada media yang baik.

Keadaan norma baharu memaksa seluruh dunia bergantung kepada media sosial terutamanya dalam aspek membaiki ekonomi. Lihat sahajalah berapa ramai kebanjiran manusia menyertai perniagaan atas talian untuk menstabilkan semula ekonomi. Dan ini juga penting dalam perhatian kita wahai ikhwah akhawat.

Kebanjiran ikhwah dan akhawat berpusu-pusu di dalam media sosial mempromosikan barang jualan masing-masing. Saya amat berbangga melihat keberanian mereka menceburkan diri dalam satu bidang yang saya sendiri pun berfikir banyak kali sebelum melakukannya. Saya rasa jadi pegawai perubatan lebih senang berbanding menjadi seorang peniaga!

Namun begitu, kebanjiran ini juga ada kurang manisnya. Saya bertanya kepada ramai akhawat sekeliling berkenaan hal ini. Mereka juga setuju bahkan memuji  ikhwah akhawat berani menonjolkan diri sendiri di media sosial tetapi ada beberapa cara yang tidak berkenan di hati seperti isu tabarruj, isu tajarrud dan sebagainya. Secara umumnya, tatacara sebagai seorang Muslim hilang sedikit demi sedikit.

Bisque and Black Text Traditional Nature Quote Instagram Post

Saya tidak akan menyentuh hal ini dengan panjang kerana tiap satu dari kita punyai pandangan yang berbeza. Jangan jadikan usrah dan jemaah sebagai penghalang segalanya. Sebaliknya jadikan usrah dan jemaah sebagai push factor yang kuat dan mampu mendorong kita menjadi peniaga Islam yang berkualiti, mengikut tatacara sunnah Rasulullah SAW. Kaji semula selok belok cara Baginda SAW berniaga.

Malah, aset terbesar Baginda SAW adalah sifat al-amin yang menjadikan Khadijah RA ingin menjadikan Baginda sebagai salah seorang pedagang barang-barang dagangannya.

Ya, kualiti ini yang perlu dikejar oleh seorang Muslim yang berniaga. Jangan mudah tertipu dengan strategi perniagaan yang melampaui batas Islam meskipun hal itu mampu menggandakan hasil jualan berlipat kali ganda.

******

Perbincangan entri saya yang sebelum ini menerima lambakan komen positif. Ramai akhawat berkongsi pendapat dan kesemuanya saya raikan!

Isu warga media yang tidak diberikan imbuhan sesuai dengan sumbangan mereka kepada jemaah. Masalah ini boleh dirumuskan kepada beberapa faktor penting:

  1. Komunikasi yang lemah
  2. Keadaan norma baharu di mana media sosial kini menjadi kerjaya, bukan sahaja minat
  3. Peruntukan
  4. Profesionalisme

Kita rumuskan satu persatu demi memperbaiki hal ini untuk kelansungan dakwah pada masa hadapan.

KOMUNIKASI YANG LEMAH

Komunikasi antara kedua-dua belah pihak bersifat lemah. Bila melibatkan kerja-kerja dalam dakwah yang menggunakan kemahiran khusus yang ada pada ikhwah atau akhawat, perlu ada apresiasi selain bergantung harap pada balasan syurga semata. Ini perlu dilihat case by case.

Semestinya kita tahu kerja dakwah yang terlampau banyak ini masih lagi tidak cukup tenaga ahli dalam jemaah untuk menampungnya. Bahkan, semua kerja hanya terpusing dalam bulatan orang yang sama sahaja.

Pi mai pi mai, tang tu jugak!

Dalam hal ini, kita perlu teliti dan perhalusi bilangan tugasan, nilai tugasan, bilangan tenaga dan sebagainya. Jika komunikasi pengagihan tugas pada ahli bersifat lemah dan tidak seimbang, lama-kelamaan strategi dakwah kita akan tumpul. Dakwah tidak lagi menjadi kepercayaan kita bersama.

Sudahlah kerja berlambak, konflik pula tidak kunjung habisnya dek kerana komunikasi yang lemah.

NORMA BAHARU

Telah saya sebutkan tadi, norma baharu banyak mengubah keadaan dan cara hidup kita. Boleh jadi kita orang yang tidak pernah berani berkata-kata di khalayak ramai, tiba tiba menjadi orang yang mampu update FB Live saban hari.

Begitu juga dengan orang yang terlibat dengan media sosial khususnya. Minat sudah bertukar menjadi kerjaya untuk menyara kehidupan. Kita perlu ada empati yang tinggi dan menghargai orang-orang yang telah menjadikan minat mereka sebagai kerjaya.

Ada nilai sentimental yang tinggi di situ!

PERUNTUKAN

Perlu kita ketahui bahawa orang yang terlibat dengan kerjaya di media sosial ini juga menggunakan peruntukan khusus. Peruntukan khusus ini kita tidak boleh ‘tutup mata’ begitu sahaja dan menganggap segalanya kebajikan.

Peruntukan komputer riba.
Peruntukan bayaran langganan internet.
Peruntukan langganan software tertentu.

Bukan murah kesemuanya!

Apatah lagi jika ikhwah akhawat kita yang telah membuat keputusan untuk menjadi fulltimer jemaah sepenuh masa. Dari mana akan datang sumber duitnya kalau bukan dari poket-poket ikhwah akhawat sekelilingnya.

PROFESIONALISME

Mana-mana organisasi perlu bergerak secara profesional dalam segala hal. Lagi-lagi hal melibatkan strategi  atau rancangan dakwah yang berkait rapat dengan peruntukan wang.

Terbaiknya, ada hitam dan putih antara kedua-dua belah pihak. Catitkan dalam perjanjian untuk mengelakkan masalah pada masa akan datang. Urusan rasmi atau tidak rasmi sebaiknya direkodkan untuk kita jadikan panduan pada masa akan datang.

Pendokumentasian yang bagus juga adalah kunci kejayaan sebuah bisnes. Dokumentasi yang tersusun dan terancang membantu dakwah untuk lebih lancar.

Ikhwah akhawat,
Ala kulli haal, ini adalah satu fasa kecil dalam fasa dakwah kita. Fasa dimana kita perlu memperbaiki silaturahmi kita meskipun secara maya. Apa jua masalah yang berlaku ada kemanisan dan pengajarannya yang tersendiri.

Tidak dapat kita nafikan, masalah yang berlaku untuk menghidupkan kembali apa yang telah lama ‘mati’. Masalah mengajar kita untuk mendewasakan cara fikir.

Masalah yang berlaku membuatkan kita kembali berfikir,

‘Apa lagi yang aku tidak buat terhadap ikhwah akhawat sekelilingku?’

Sekian.

 

 

 

 

 

 

COVID, MEDIA DAN DAKWAH KITA

Assalamualaikum buat semua ikhwah akhawat seperjuangan!

Di sebalik hikmah wabak virus Corona yang melanda negara, memaksa kita para dua’t untuk lebih berseni dan versatil dalam dakwah. Hebat bukan pengajaran ini buat kita semua meskipun banyak dugaan yang terpalit dalam kehidupan terutamanya dari sudut ekonomi.

Saya bangga melihat anggota jemaah  memberi komitmen pada media jemaah yang mempamerkan segala wasilah tarbiyah sedaya upaya demi menjaga nilai islam dalam diri.

Tidak pernah terlintas, sebegini besar impaknya. Dulu terasa mustahil untuk kita buat usrah, daurah, jilsah secara online. Nah, zaman sekarang mempamerkan kita mesti belajar segala skil ini demi kelansungan dakwah.

Pendakwah moden arus bergerak seiring dengan dunia. Mana mungkin kita ingin bersaing sekiranya dalam garis masa kemajuan dunia tetapi kita tercicir di belakang. Jika kita para pendakwah yang bijak dan ingin sentiasa berada di hadapan, kita akan menggunakan setiap sisi media sosial untuk menampilkan Islam sebagai cara hidup yang terbaik.

Fikirkan bagaimana untuk mendekati barisan remaja alaf baru dengan Islam jika anda sendiri tiada media sosial seperti Twitter atau TikTok untuk mendekati mereka?

Jangan rasa berdosa untuk menggunakan media sosial kerana niat kita adalah untuk mendepani dunia dakwah sebagai trend masa kini. Tidak dapat saya nafikan bahawa metode lama sudah ketinggalan zaman.  Kita harus mempunyai pengaruh media yang kuat untuk mengajak manusia.

Saya suka apabila melihat ikhwah atau akhawat yang menonjolkan diri mereka sebagai influencer atau entrepreneur dalam masyarakat. Ya, mereka mudah untuk mendekati masyarakat dan saranan mereka mudah diterima.

Skill melakukan usrah atas talian/online yang lancar.
Skill untuk menguruskan daurah atas talian menggunakan Google Meet.
Skill untuk menguruskan ceramah secara langsung melalui FB live, Youtube Live dan pelbagai lagi.
Skil edit poster atau apa jua bahan media.

Semua ini bukan mudah bagi seseorang untuk melakukannya bahkan ada antara ikhwah akhawat yang menjadikannya sebagai kerjaya! Hebat bukan?

Dan semestinya orang yang paling hebat merencanakan hal ini dalam jemaah adalah ikhwah akhawat yang memang berkecimpung dalam media.  Media juga adalah salah satu frontliner untuk mana mana organisasi.

Tidak peliklah Dewan Pemuda Pas Malaysia sendiri pun guna FB Ads untuk kutip derma bagi Muktamar mereka. Bagi saya, ini adalah tindakan yang bijak. Teknik pemasaran mereka hebat!

Ya, dakwah adalah bisnes kita. Bukankah bisnes yang bagus disokong dengan media yang bagus?

Tiada media, lapuklah sesuatu fahaman apatah lagi untuk bertahan lama dalam arus semasa.

Saya yakin kita selalu ahli jemaah kagum atas kebolehan yang dimiliki mereka. Namun, kelihatan kadang kala kita mengambil kesempatan.

“Enta ada kamera, enta AJK medialah.”
“Enti pandai main Adobe kan? Buatkan poster untuk program ni.”
“Enta pandai setting multiple camera kan. Minta tolong untuk satu program.”

Semuanya kita anggap kerja automatik. Tiada langsung budi bicara yang formal sebagai tanda hormat. Kita terlupa, mereka juga manusia biasa.

Kita wajib menghargai bakat yang ada pada ikhwah akhawat. Jangan pandang rendah dan ambil mudah apatah lagi jika itu kerjaya mereka.

Kerja media juga melibatkan masa.
Kerja media juga melibatkan tenaga.
Kerja media juga melibatkan kepakaran.
Kerja media bukan percuma.

Ramai ikhwah akhawat di dalam media yang hancur hati apabila kita terus mengambil kesempatan terhadap mereka. Lama kelamaan mereka penat.

“Enta niatkanlah untuk dakwah. Moga Allah ganjari dengan pahala tertinggi.”
“Enti anggap ini jihad untuk dakwah. Enti dah lama dalam IKRAM kan?”

Ayat klise tarbawi ini jangan sesekali digunakan sebagai balasan atau imbuhan. Tidak sesuai.

Mereka juga ada anak dan isteri untuk disara.
Mereka juga ada barang keperluan untuk dibeli.
Mereka juga ada bil untuk dibayar.
Mereka juga ingin meneruskan kehidupan sebagaimana biasa.

Renungilah semula. Jangan terlalu miskin jiwa sampai tegar membiarkan ikhwah akhawat ‘berjihad’ dalam dakwah sedangkan kita tidak pernah tahu akan kesusahan hidup mereka.

Terlalu miskin jiwa juga menghampiri kekufuran.

Keperluan wang tiada kaitan dengan pahala.
Kita selaku pihak wajib memberikan imbuhan jika perlu.
Pahala adalah urusannya dengan Tuhan.

Mengapa kita ingin ambil alih kerja Tuhan memberi ‘pahala’ kepada kerja ikhwah akhawat?

Jangan melabel nilai ‘jihad’ begitu mudah sesedap kata.

MAKA DUNIA INI MILIKNYA

Bismillahirrahmanirrahim.
Bukanlah niat pada awalnya ingin menjadikan laman dakwah ini untuk menulis tentang dunia kedoktoran. Tetapi tidak salah untuk saya aplikasi prinsip dakwah Rasulullah SAW ‘ sampaikan walau satu ayat’, bercerita serba sedikit tentang nota alam perubatan.

Masyarakat secara amnya mengetahui bahawa kesihatan adalah satu unsur penting dalam kehidupan. Tetapi tidak ramai yang menganggap kesihatan adalah satu amanah malah terlalu sedikit orang yang bersyukur tentang nikmat sihat.

Wasiat seorang mujaddid dakwah, Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (ISHAB) di dalam ‘Wajibat Al-Akh’ (Kewajipan seorang Muslim):

“Hendaklah engkau bersegera melakukan check up secara berkala atau berubat, begitu penyakit terasa mengenaimu. Disamping itu perhatikan faktor-faktor penyebab kekuatan dan perlindungan tubuh serta hindarilah faktor-faktor penyebab lemahnya kesihatan.
Hendaklah engkau menjauhi sikap berlebih-lebihan dalam mengambil kopi, teh, dan minuman perangsang yang lain. Elakkan sama sekali merokok.
Hendaklah engkau perhatikan kebersihan dalam segala hal baik tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman, badan dan tempat kerja kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.”

Terlebih dahulu sebelum ISHAB memberitahu tentang kewajipan ini, Allah SWT juga telah menerangkan satu asas penting untuk kesihatan:

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Al-A’raf: 31)
Dunia kesihatan semakin berkembang seiring dengan bertambahnya pesakit-pesakit kronik di Malaysia. Penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung kini menjadi pemangsa utama.
Apa yang kita perlu fahami tentang hakikat kesihatan?
1) Allah yang menyembuhkan (Wa iza maridhtu fahuwa yashfin)
Tiada yang lain melainkan Allah As-Syafii, yang Maha Menyembuhkan segala penyakit luaran mahupun dalaman.
Percaya pada asma’-Nya adalah pasak aqidah,  simbolik keimanan dan sejauh mana kekuatan tawakkal kita kepada-Nya. Ini ‘mindset’ yang perlu kita ada sebelum berjumpa dengan mana-mana pegawia perubatan kerana mereka hanyalah jalan untuk membantu pesakit untuk sembuh.
Nyawa bukanlah terletak dalam tangan-tangan pegawai perubatan yang merawat kerana yang memegangnya adalah kuasa Allah. Kerana itu, kerap kali saya akan berpesan kepada waris pesakit bahawa tugas dan kewajipan saya hanyalah membantu sebaik mungkin namun usaha saya juga berada dalam qada’ dan qadar Allah. Jika ditakdirkan kematian, maka tiada sesiapalah boleh menghalangnya.
Percayalah, kesihatan anda adalah satu nikmat yang tidak mampu dibayar dengan duit, pangkat atau harta.
2) Kaedah Fiqh: Pilihlah satu kemudharatan yang lebih ringan diantara dua kemudharatan (وضدُّه تزاحمُ المفاسدِ فارْتَكِب الأدنى من المفاسد )/ kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan (الضرر الأشد يزال بالضرار الأخف )

Golongan pegawai perubatan bukanlah ingin tunjuk pandai dan mengatakan bahawa kami lah ‘Tuhan’ dalam dunia penyakit. Cuma dalam berikhtiar, pilihlah juga untuk berikhtiar dengan perubatan moden. Janganlah memilih ikhtiar yang memudaratkan apatah lagi yang menyalahi aqidah (tok bomoh jampi bukan guna ayat Quran, susuk dan sebagainya).

Orang yang sakit adalah golongan yang terdesak. Tunjuk sahaja apa jalan singkat/ testimoni walaupun pada caranya tidak dapat diterima akal  untuk sembuh, pasti mereka akan mudah terpedaya tanpa menyedari bahawa ikhtiar mereka itu lebih membahayakan.

“…dan janganlah kalian campakkan diri kalian ke dalam kebinasaan..” (Al-Baqarah: 195)
Saya tidak akan pernah menyalahkan rawatan alternatif kerana ilmu Allah adalah terlampau luas. Ilmu kedoktoran yang ada pada setiap pegawai perubatan juga terbatas. Namun, tuduhan melulu jangan dilemparkan bahawa dunia sains perubatan ini tidak selamat, penuh dengan tipu helah yahudi, ubat adalah racun atau dadah semata, doktor adalah golongan zionis.
Jika beginilah tuduhannya, maka lebih hinalah Ibnu Sina (Bapa Perubatan Islam) yang sangat gemilang dan ternyata anda tidak mengenali beliau! Kitab ‘Qanun Fi Tibb’ yang ditulis beliau menjadi rujukan Eropah buat ratusan tahun.
“Tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan  mengembalikan kesihatan ketika hilang”. (Ibnu Sina/Avicenna)
Jika benarlah kesihatan hanya akan datang dengan selawat, maka sudah pasti akan ada hadis yang diriwayat Rasulullah SAW. Begitu juga dengan dakyah-dakyah palsu yang menjual agama untuk membenarkan segalanya.
Hal yang merungsingkan pegawai perubatan apabila cara ikhtiar pesakit mereka adalah lebih membahayakan. Jika benar perubatan moden ini juga memudharatkan, maka pilihlah kemudharatan yang lebih ringan.
Sungguh, datang ke hospital dalam keadaan organ-organ di dalam badan yang sudah teruk adalah satu kerosakan yang tidak dapat diundur walaupun dengan menggunakan kuasa magis!

3) Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”(Hadis Riwayat Bukhari)

Salah satu hak tubuh badan juga adalah kesihatan untuk menunaikan amal ibadah dan meneruskan pekerjaan seharian. Ibarat mencurah air ke daun keladi apabila pesakit hanya menganggap nasihat pegawai perubatan sekadar nasihat kosong. Nasihat kami adalah untuk membantu supaya penyakit anda terkawal dan tidak akan menyebabkan komplikasi panjang yang akhirnya menjadikan penyakit anda lebih rumit untuk dirawat.

Ramai pesakit begini, terkadang saya sudah putus asa. Ibarat cinta bertepuk sebelah tangan kerana pihak pegawai perubatan sahaja yang beria untuk menyelamatkan pesakit. Tetapi pesakit hanya mengambil mudah. Ubat ditinggalkan, nasihat tidak dipedulikan, rawatan susulan diabaikan.

Tunaikanlah tanggungjawab ke atas jasad anda sendiri. Berdosalah kita bila tidak menjaga hak jasad sebaiknya.

Tugas pegawai perubatan sudah selesai. Kami hanya akan dipertanggungjawabkan sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik.

 

 “ Barang siapa yang berada dalam keadaan badan yang sihat, aman dalam penghidupannya dan memiliki makanan seharian yang cukup maka seolah-olah dunia ini miliknya.” ( Riwayat at Tirmizi)

 

MESIR DAN PEMERGIANNYA

Bismillah.
Telah begitu lamanya rasa tidak menulis. Pemergian Dr Mohamed Morsi benar benar menyentuh benak hati.
Segala kenangan menjengah kembali bermula dari hari pertama saya sampai ke bumi Mesir sehingga saya meninggalkan bumi itu.
Jauh perjalanan, luas pemandangan.
Benar. Bumi Mesir telah memberikan segalanya yang menjadikan diri saya pada hari ini.
Tidaklah seseronok mereka yang belajar di negara negara Eropah, tapi bumi yang panas itulah yang mentarbiah.
Bumi yang penuh dengan ujian yang sangat menguji kesabaran.
Bumi yang penuh dengan masyarakat Arab yang mudah hilang sabar, bergaduh di mana mana pun boleh, malah solat di mana mana pun boleh.
Paling penting, bumi inilah yang melahirkan seorang mujaddid ummah, pengasas sebuah jemaah yang saya kira digeruni segenap bumi terutamanya orang orang yang membenci Islam.
Ya, dialah Imam As Syahid Hassan Al Banna, pengasas kepada jemaah Ikhwanul Muslimin.
Sebuah jemaah yang sangat gah di dalan dakwah! Jemaah yang telah bertapak selama lebih 80 tahun dan menguasai dakwah lebih 80 buah negara.
Jemaah ini jugalah yang banyak melahirkan orang orang yang syahid mempertahankan kalimahNya bermula dari pengasas jemaah ini yang ditembak mati pada usia 42 tahun.
Dengan kuasa Allah, syahidnya beliau menguatkan lagi gagasan dan jajahan takluk dakwah jemaah itu.
Bermulanya saya mengikut usrah dan tarbiah serta jemaah kerana saya begitu takjub dengan ukhuwwah dan dakwah yang dilakukan mereka.
Manakan tidak, manalah layak seorang pelajar perubatan, belajar sains untuk berdakwah. Dulu, saya fikirkan dakwah hanya kerja kerja orang lulusan agama.
Usrah dan jemaah ini membuatkan saya fikir kembali. Mengapa merasakan kerja dakwah hanya kerja ustaz ustazah?
Bukankah seluruh manusia di atas muka bumi Allah adalah khalifahNya yang wajib mengimarahkan bumiNya dan menegakkan Islam?
Kalau betul dakwah ini hanya kerja ustaz ustazah, sepatutnya bumi Malaysia sudah berubah kerana setiap tahun ribuan graduan Universiti Al Azhar pulang ke Malaysia setiap tahun. Tapi tidak, maksiat semakin berleluasa dan anak luar nikah semakin ramai dilahirkan. Malah, kini masyarakat ibarat sudah hilang kepercayaan pada golongan agamawan.
Dimana mereka?
Dimanakah kita?
Ya, saya pernah ditohmah oleh segolongan ustaz ustazah kerana mengikut usrah. Kata mereka, jemaah yang saya ikut adalah bodoh. Masih saya ingat peristiwa saya dikelilingi mereka di dalam sebuah bilik gelap. Takkan dapat saya lupakan, namun saya sudah maafkan mereka.
Biarlah mereka. Saya tidak mahu statik. Saya mahu jadi doktor yang luar biasa. Saya tidak perlu ada ijazah dalam bidang agama untuk melayakkan diri saya mempromosikan kepada serata bumi bahawa Islam adalah cara hidup yang terbaik.
Apa yang diperlukan adalah kefahaman atas tanggungjawab sebagai seorang khalifah dan berusaha untuk menyampaikan dakwah dalam apa jua cara atau medium terbaik.
Di dalam Ikhwan Muslimin sendiri, kebanyakan pendakwah terhebat adalah mereka yang profesional dan bukanlah spesifik mereka yang mengambil ijazah dalam bidang agama.
Bussinessman.
Peguam.
Doktor.
Jutawan.
Polis.
Cikgu.
Askar.
Dari segi pemakaian juga, mereka tampil dengan penampilan yang ‘smart’, bukanlah dakwah songkok berjubah. Mereka pakai kemeja, jam tangan, seluar slack bertali pinggang. Perempuan mereka, berjubah pelbagai warna dengan shawl labuh. Bukanlah warna hitam semata!
Saya pernah bersama mereka secara berhadapan walaupun agak kaku(bahasa Arab saya bukan bagus sangat haha) namun bahasa ‘dakwah’ kami sama.
Allah matlamat kami.
Rasul contoh ikutan kami.
Al Quran panduan kami.
Jihad itu jalan kami.
Mati di jalan Allah cita cita kami.
Malah, saya pernah berkongsi cerita dengan akhawat seperjuangan dari pelbagai negara yang juga berusaha melakukan dakwah.
Indonesia.
Thailand.
Zimbabwe.
Madagascar.
Turkiministan.
Uyghur.
Turki.
Singapore.
Dan pelbagai lagi.
Itulah saya kira pertemuan yang paling indah sepanjang saya mengikut usrah. Kerana dakwah yang sama, kami bersatu.
Terlalu banyak yang saya ingin saya coretkan di dalam satu entri. Semuanya kenangan yang menguatkan diri ini untuk melakukan dakwah di bumi Malaysia sehingga ke hari ini.
Kematian Dr Mohamed Morsi meninggalkan satu kesan yang sangat mendalam di dalan hati saya.
Apa yang perlu kita belajar wahai ikhwah akhawat?
  1. KEMATIAN ADALAH SATU HAL YANG PASTI, NAMUN CARA KEMATIAN BAGAIMANA YANG KITA MAHUKAN?
Dakwah Ikhwanul Muslimin telah menunjukkan kematian itu menghidupkan kerana orang orang yang syahid itu akan diangkat namanya dalam kalangan penghuni langit.
Malah, kematian itu lebih menguatkan dakwah.
“Wallahi, Demi Allah. Seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, agar aku menghentikan dakwah ini, niscaya aku tidak akan menghentikan dakwah ini hingga Allah memenangkannya atau aku binasa.”
Inilah lafaz Rasulullah SAW saat Baginda ditawarkan untuk menghentikan dakwah.
Beginilah impian kita wajarnya ikhwah dan akhawat. Kematian yang menjadi saksi kepada sebuah syahadah.
 2. KITA YANG MEMERLUKAN DAKWAH
Ya, kerana kita yang perlukan dakwah bukannya dakwah yang memerlukan kita. Agama Allah akan terus berjalan bersama dengan orang orang yang telah dipilihNya. Soalnya, tidak mahukah kita menjadi orang yang terpilih dan selamat dari satu tanggungjawab besar yang tidak kita laksanakan sementara masih hidup?
Dakwah bukanlah semata berkisarkan tentang ceramah agama.
Memberi kebaikan juga adalah dakwah.
Memudahkan urusan orang lain juga adalah dakwah.
Mengajar orang tentang Islam secara spontan dan santai juga adalah dakwah.
Dan ajarilah walau sepotong ayat juga adalah dakwah.
Masyarakat hanya akan berubah kerana dakwah. Kerana Islam yang sebenar hanya akan tertegak dengan dakwah.
Sekian,
mylittlepencil.

saudara ideologis

Pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah salah satu bentuk pergaulan. Pergaulan ini biasanya berlatarbelakangkan persamaan idea, gaya hidup, minat, saling memerlukan, cara berfikir dan berkongsi harapan yang sama. Dari situlah munculnya keterbukaan antara seorang lelaki dan perempuan yang akan memudahkan sebuah perbincangan.

Dalam nuansa agama, pergaulan ini dibahasakan oleh Allah di dalam Al-Quran dengan kata ukhuwwah. Keberadaan saya di dalam sebuah jemaah yang menggabungkan antara lelaki dan perempuan(bahasa soleh: ikhwah dan akhawat) membuka mata saya dengan lebih jelas apa yang dimaksudkan dengan ukhuwwah.

Islam sebagai Dinullah telah mengatur kehidupan antar sesama manusia dengan rincinya. Islam sangat menjaga agar hubungan kerja sama antara laki-laki dan perempuan (ikhwan dan akhwat) hendaknya bersifat umum dalam urusan-urusan muamalat bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara mereka yang bukan mahrom atau jalan-jalan bersama. Kerjasama antara keduanya bertujuan agar mereka melaksanakan apa yang menjadi kewajiban-kewajibannya.

Interaksi diantara mereka mestinya tidak mengarah pada hubungan yang bersifat nafsu syahwat, artinya interaksi mereka tetap dalam koridor kerjasama semata (amal jama’i) dalam menggapai berbagai kemaslahatan dakwah dan dalam melakukan berbagai macam aktivitas yang bermanfaat, tanpa diwarnai oleh ‘kepentingan individu lainnya’.

(Farid Ma’ruf)

Dakwah menjadi penyatu terbaik untuk kita saling bekerjasama bagaimana agama membenarkan pernikahan antara seorang lelaki dan perempuan. Saya kira, sudah berlalu zaman ‘hanya lelaki yang buat kerja di luar rumah’ dan ‘perempuan biarkan di dapur’ kerana zaman sudah merubah peranan seorang lelaki dan wanita.

Meskipun begitu, terdapat lagi banyak kekurangan antara pergaulan ikhwah dan akhawat yang cuba untuk kita rawati. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang masalah ikhtilat kerana bagi saya masalah itu terlalu luas untuk dibahaskan.

Prinsipnya mudah, Allah tahu apa yang anda buat dan kita tahu kelemahan nafsu kita. Uruskan supaya iman terjaga, dan nafsu tidak berahi. Letakkan benteng yang sepatutnya agar hati terjaga. Jangan kerana dosa ikhtilat ini menghilangkan keberkahan dalam gerak kerja dakwah kita.

(jangan tipu Tuhan kerana nafsu yang berlebihan tidak akan pernah mengajak kepada hal yang baik)

Ikhwah dan akhawat tidak akan pernah dapat menyatu fahaman dengan mudah. Kerana, keduanya adalah makhluk yang berbeza fitrahnya dicipta Allah. Malah terkadang, bergaduh dan bertekak ketika perbincangan itu lebih kerap berlaku berbanding mencapai kata sepakat.

Saya kira kita masih lagi kurang dalam erti meraikan persamaan antara ikhwah dan akhawat. Bila persamaan tidak diraikan, akhirnya natijah negatif yang terhasil.

  1. Gerak kerja dakwah tidak tersusun, apatah lagi hendak diselaraskan.
  2. Masalah lebih banyak timbul.
  3. Ketidakpuasan hati yang akan melahirkan emosi-emosi yang tidak bagus.
  4. Berdiam diri lebih disukai berbanding memberi output kepada jemaah.
  5. Hanyut kembali ke dalam corak perhubungan lelaki dan perempuan yang tidak dibenarkan syarak.

Apa persamaan antara ikhwah dan akhawat?

  1. KITA MENGGALAS TANGGUNGJAWAB DAKWAH YANG SAMA
    Tiada bezanya antara tanggungjawab dakwah antara ikhwah dan akhawat. Masing-masing punya tanggungjawab yang sama, yang mungkin berbeza adalah lapangan kerja. Kadar jihad dan pahala yang perlu dipungut keduanya adalah sama kerana bukan hanya ikhwah mengejar Firdaus, begitu juga dengan kita para akhawat.

    Agenda dakwah inilah yang akan menjaga perhubungan kita untuk sentiasa berada pada landasan yang betul kerana pada agenda inilah kita menyatukan himmah dan impian kita bersama. Kita adalah saudara seideologis yang bergerak bersama. Maka, jangan sesekali tinggalkan ikhwah atau akhawat begitu sahaja ketika merancang untuk memajukan dakwah. Sentiasa bertukar buah fikiran agar dakwah ini lebih terkedepan.

  2. KITA MENDAPAT PERINTAH MENUNDUKKAN PANDANGAN YANG SAMA DARI TUHAN
    Allah Swt berfirman : Katakanlah kepada laki-laki yang mukmin, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Sikap demikian adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tahu atas apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita mukmin, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (QS An-Nur : 30-31).

    Bukan ikhwah sahaja menjaga pandangan, dan bukan akhawat sahaja yang perlu menahan lebih perasaan malu mereka. Kedua-duanya perlu saling menundukkan pandangan. Perhalusi semula cara kita berkomunikasi.

    Adakah kita pernah meletakkan sesuatu yang tidak perlu pada tempatnya?
    Adakah kita berlebih-lebihan pada suatu perkara?
    Adakah cara kita berkomunikasi itu bertujuan mencari kelemahan sebelah pihak?

    Rekonstruksi semula komunikasi kerana ianya perlu untuk dakwah. Carilah ceramah atau buku yang boleh membantu kita mengenal subjek lelaki dan perempuan dengan lebih mendalam. Lebih bagus…

    Nikahlah untuk menikmati sebuah evolusi budaya yang baru. Evolusi budaya baru dimana doktrin kewanitaan bagi para akhawat harus mula dibiasakan. Bukan sahaja dari gaya penampilan dan memakai minyak wangi, malah dari cara merajuk, merayu dan bersikap manja di hadapan seorang ikhwan. Kini, ia telah menjadi seorang isteri!

    Ya, tarbiah begini ini tidak ada materi pembinaannya, tidak pernah ada pelajarannya. Maka, nikahlah seandainya terdapat ikhwah akhawat di luar sana yang ingin menikmati evolusi budaya perkongsian dua hidup dengan cara yang halal.

    Evolusi menyesuaikan diri ketika dua peribadi yang berbeza bertemu di dalam sebuah rumah.

    Evolusi menyesuaikan diri ketika dua selera yang berbeza bertemu di meja makan.

    Evolusi menyesuaikan diri ketika dua otak berbeza ingin mencapai kata sepakat.

    Ya, evolusi ini memainkan peranan penting agar hati kita mudah terbelai dan boleh memahami suasana hati orang lain terutama hati yang berlainan jantina.

    (Status FB saya 20 Jun 2016)

 

Jurnal Doa Ramadan 2016

Bismillahirrrahmanirrahiim.

Di sini, saya kongsikan jurnal doa Ramadan saya untuk tahun ini.

1
234567891011121314151617181920IMG_20160615_085630IMG_20160615_085639IMG_20160615_085655

IMG_20160616_100927

IMG_20160615_085728IMG_20160615_085805

IMG_20160615_085815IMG_20160615_085822IMG_20160615_085850

IMG_20160615_085858

IMG_20160616_100847IMG_20160616_100901 (1)

Tidak pernah terlambat untuk berdoa.

#‎doasenjatamukmin‬
‪#‎berdoatandakehambaan‬
‪#‎mogaistiqamah‬
‪#‎onedayonedoa‬
‪#‎HumansofRamadan‬

P/S: maafkan saya bagi doa doa yang mungkin tidak berapa jelas tulisannya, tidak tertulis maknanya.

P/S: laman web yang bagus untuk dijadikan rujukan (http://www.theidealmuslimah.com/2014/07/02/ramadan-dua-list-guidelines-tips-dua-suggestions/)