COVID, MEDIA DAN DAKWAH KITA (II)

Perbincangan dilanjutkan. Usrah saya pada malam ini mengingatkan kembali kehangatan dakwah sebagai bisnes utama seorang khalifah.

Imbuhan bisnes dakwah mungkin tidak jelas seperti bisnes-bisnes lain yang jelas kelihatan untungnya sejumlah amaun duit masuk ke dalam akaun bank. Imbuhan dakwah ini mungkinlah penyebab kita kadang tersasar daripada tujuan asal kita membawanya sebagai satu tanggungjawab.

Kerana imbuhan itu tidak jelas pada mata!

Push factors kita juga tidak kuat.
Lebih hebat leaders bisnes memandu anak didik mereka berbanding seorang naqib/naqibah mampu mempengaruhi anak-anak usrah untuk berbuat sesuatu.

Barangkali kena menggaji seorang ikhwah atau akhawat untuk membawa usrah?
Atau menggaji anak usrah untuk mengikut daurah atau wasilah tarbawi yang lain?

Satu hari, hal ini tidak mustahil.
Mungkin sahaja apabila mana-mana organisasi dakwah yang mempunyai sumber ekonomi yang kukuh, mampu menggaji seramai mungkin murabbi ke sana sini untuk menyantuni seluruh ummat manusia dengan dakwah.

Inilah yang dinamakan ‘bisnes’ dakwah. Dan seperti yang saya katakan sebelum ini, bisnes yang baik terletak pada media yang baik.

Keadaan norma baharu memaksa seluruh dunia bergantung kepada media sosial terutamanya dalam aspek membaiki ekonomi. Lihat sahajalah berapa ramai kebanjiran manusia menyertai perniagaan atas talian untuk menstabilkan semula ekonomi. Dan ini juga penting dalam perhatian kita wahai ikhwah akhawat.

Kebanjiran ikhwah dan akhawat berpusu-pusu di dalam media sosial mempromosikan barang jualan masing-masing. Saya amat berbangga melihat keberanian mereka menceburkan diri dalam satu bidang yang saya sendiri pun berfikir banyak kali sebelum melakukannya. Saya rasa jadi pegawai perubatan lebih senang berbanding menjadi seorang peniaga!

Namun begitu, kebanjiran ini juga ada kurang manisnya. Saya bertanya kepada ramai akhawat sekeliling berkenaan hal ini. Mereka juga setuju bahkan memuji  ikhwah akhawat berani menonjolkan diri sendiri di media sosial tetapi ada beberapa cara yang tidak berkenan di hati seperti isu tabarruj, isu tajarrud dan sebagainya. Secara umumnya, tatacara sebagai seorang Muslim hilang sedikit demi sedikit.

Bisque and Black Text Traditional Nature Quote Instagram Post

Saya tidak akan menyentuh hal ini dengan panjang kerana tiap satu dari kita punyai pandangan yang berbeza. Jangan jadikan usrah dan jemaah sebagai penghalang segalanya. Sebaliknya jadikan usrah dan jemaah sebagai push factor yang kuat dan mampu mendorong kita menjadi peniaga Islam yang berkualiti, mengikut tatacara sunnah Rasulullah SAW. Kaji semula selok belok cara Baginda SAW berniaga.

Malah, aset terbesar Baginda SAW adalah sifat al-amin yang menjadikan Khadijah RA ingin menjadikan Baginda sebagai salah seorang pedagang barang-barang dagangannya.

Ya, kualiti ini yang perlu dikejar oleh seorang Muslim yang berniaga. Jangan mudah tertipu dengan strategi perniagaan yang melampaui batas Islam meskipun hal itu mampu menggandakan hasil jualan berlipat kali ganda.

******

Perbincangan entri saya yang sebelum ini menerima lambakan komen positif. Ramai akhawat berkongsi pendapat dan kesemuanya saya raikan!

Isu warga media yang tidak diberikan imbuhan sesuai dengan sumbangan mereka kepada jemaah. Masalah ini boleh dirumuskan kepada beberapa faktor penting:

  1. Komunikasi yang lemah
  2. Keadaan norma baharu di mana media sosial kini menjadi kerjaya, bukan sahaja minat
  3. Peruntukan
  4. Profesionalisme

Kita rumuskan satu persatu demi memperbaiki hal ini untuk kelansungan dakwah pada masa hadapan.

KOMUNIKASI YANG LEMAH

Komunikasi antara kedua-dua belah pihak bersifat lemah. Bila melibatkan kerja-kerja dalam dakwah yang menggunakan kemahiran khusus yang ada pada ikhwah atau akhawat, perlu ada apresiasi selain bergantung harap pada balasan syurga semata. Ini perlu dilihat case by case.

Semestinya kita tahu kerja dakwah yang terlampau banyak ini masih lagi tidak cukup tenaga ahli dalam jemaah untuk menampungnya. Bahkan, semua kerja hanya terpusing dalam bulatan orang yang sama sahaja.

Pi mai pi mai, tang tu jugak!

Dalam hal ini, kita perlu teliti dan perhalusi bilangan tugasan, nilai tugasan, bilangan tenaga dan sebagainya. Jika komunikasi pengagihan tugas pada ahli bersifat lemah dan tidak seimbang, lama-kelamaan strategi dakwah kita akan tumpul. Dakwah tidak lagi menjadi kepercayaan kita bersama.

Sudahlah kerja berlambak, konflik pula tidak kunjung habisnya dek kerana komunikasi yang lemah.

NORMA BAHARU

Telah saya sebutkan tadi, norma baharu banyak mengubah keadaan dan cara hidup kita. Boleh jadi kita orang yang tidak pernah berani berkata-kata di khalayak ramai, tiba tiba menjadi orang yang mampu update FB Live saban hari.

Begitu juga dengan orang yang terlibat dengan media sosial khususnya. Minat sudah bertukar menjadi kerjaya untuk menyara kehidupan. Kita perlu ada empati yang tinggi dan menghargai orang-orang yang telah menjadikan minat mereka sebagai kerjaya.

Ada nilai sentimental yang tinggi di situ!

PERUNTUKAN

Perlu kita ketahui bahawa orang yang terlibat dengan kerjaya di media sosial ini juga menggunakan peruntukan khusus. Peruntukan khusus ini kita tidak boleh ‘tutup mata’ begitu sahaja dan menganggap segalanya kebajikan.

Peruntukan komputer riba.
Peruntukan bayaran langganan internet.
Peruntukan langganan software tertentu.

Bukan murah kesemuanya!

Apatah lagi jika ikhwah akhawat kita yang telah membuat keputusan untuk menjadi fulltimer jemaah sepenuh masa. Dari mana akan datang sumber duitnya kalau bukan dari poket-poket ikhwah akhawat sekelilingnya.

PROFESIONALISME

Mana-mana organisasi perlu bergerak secara profesional dalam segala hal. Lagi-lagi hal melibatkan strategi  atau rancangan dakwah yang berkait rapat dengan peruntukan wang.

Terbaiknya, ada hitam dan putih antara kedua-dua belah pihak. Catitkan dalam perjanjian untuk mengelakkan masalah pada masa akan datang. Urusan rasmi atau tidak rasmi sebaiknya direkodkan untuk kita jadikan panduan pada masa akan datang.

Pendokumentasian yang bagus juga adalah kunci kejayaan sebuah bisnes. Dokumentasi yang tersusun dan terancang membantu dakwah untuk lebih lancar.

Ikhwah akhawat,
Ala kulli haal, ini adalah satu fasa kecil dalam fasa dakwah kita. Fasa dimana kita perlu memperbaiki silaturahmi kita meskipun secara maya. Apa jua masalah yang berlaku ada kemanisan dan pengajarannya yang tersendiri.

Tidak dapat kita nafikan, masalah yang berlaku untuk menghidupkan kembali apa yang telah lama ‘mati’. Masalah mengajar kita untuk mendewasakan cara fikir.

Masalah yang berlaku membuatkan kita kembali berfikir,

‘Apa lagi yang aku tidak buat terhadap ikhwah akhawat sekelilingku?’

Sekian.

 

 

 

 

 

 

Leave a comment