festival filem ummah

Aku mencari-cari,
siapa yang akan membelaku,
aku ternanti-nanti,
siapakah orangnya yang merinduiku,
siapakah orangnya yang berhajat untuk sujud di lantaiku.

Aku mencari-cari,
siapa yang akan membelaku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
orang yang masih mampu nyenyak dalam tidurnya,
sedangkan Aku masih ternanti-nanti.

Aku mencari-cari,
siapa yang akan membelaku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
orang yang masih bermain-main dalam pelajarannya,
sedangkan anak-anak kecil di sekelilingku,
gigih belajar di sekolah mereka,
jiwa mereka berteriak, “ Idhrib idhrib Tel Aviv.”

Aku mencari-cari,
siapa yang akan membelaku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
orang yang terlalu lama menghadap computer riba mereka,
sedangkan pejuang-pejuangku, “ Keseronokan kami menjaga sempadan Gaza sepanjang malam sama seperti keseronokan kamu menghadap laptopmu itu !”

Aku mencari-cari,
siapa yang mahu membebaskan aku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
orang yang masih berhibur dengan dunianya sendiri,
betapa kedekutnya dia,
betapa miskin perasaannya.

Aku mencari-cari,
pencarian masih tidak berhenti,
siapa yang mahu membebaskan Aku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
menonton sketsa-sketsa lakonan yang palsu,
Apakah tidak cukup tayangan asli dari tempatku untuk menggegarkan jantung  kamu semua ?

Pencarian berhasil,
ketika Aku mencari,
Aku terjumpa Salahuddin Al-Ayubi,
dia berjaya menyatukan seluruh negara Arab untuk membebaskanku,
Kemudian,
Aku berjumpa pula dengan Imam As-Syahid Hassan Al-Banna,
dia menghantar tentera-tentera tarbiyyahnya untuk mempertahankanku,
Lalu Aku berjumpa lagi,
As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin,
si tua lumpuh di atas kerusi roda,
hidup dan matinya mulia,
nama dijunjung ahli langit,
wangi tubuh syahidnya, haruman syurga.

Aku ingin bertanya,
“Bilakah tiba masanya Aku berjumpa pula dengan kamu semua ?”,
Aku masih ternanti-nanti,
tangan pembelaan,
kerana Aku ditawan lagi.

*****

Kota mulia, Palestin milik kita yang tercinta telah banyak mencetak pejuang-pejuang hebat dunia. Malah, seisi dunia kini bukan hanya menyaksikan Palestin. Mesir, Syria, Rohingya kini turut menjadi pentas perjuangan dunia.

Bukan ibarat pentas lakonan yang sekadar memaparkan lakonan para pelakon yang tidak punya perasaan. Bukan juga ibarat pentas lakonan yang sekadar menayangkan kisah menyayat hati yang terkadang jauh dari realiti, malah ada yang tidak dapat diterima oleh logik akal.

Media memberi pelbagai khabar berita. Pastinya, kita sebagai para penonton melihatnya dengan pelbagai jenis tafsiran dan komen. Memberi rating terhadap lakonan yang dihasilkan. Soalnya, adakah tafsiran, pandangan, firasat, komen dan rating kita itu tadi adalah benar ?

Negara-negara ini  ibarat pentas lakonan asli. Malah, kota tersebut menjadi pentas perjuangan bagi rakyat-rakyatnya. Setiap saat mereka punya peluang untuk menjadi hamba yang syahid. Negara-negara tersebut  seolah menjadi tempat latihan terbaik untuk melahirkan tentera-tentera yang terbaik persis Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya.

“ Para rahib di malam hari, dan penunggang kuda di malam hari. Ada dapat melihat dari mereka pada malam hati berdiri di depan mihrab dengan memegang janggut, menggerakkan kepala seperti gerakan orang sihat, menangis seperti orang yang bersedih dan mengatakan, “ Wahai dunia tipulah orang selain Aku.” Namun begitu fajar menyinsing, seruan jihad menggema memanggil para mujahidin, maka anda akan melihatnya bagai singa yang berada di atas punggung kudanya. Ia berteriak dengan lantang, sehingga membahana di seluruh medan peperangan.”

 

 

Saya ambil Sheikh Ahmad Yassin sebagai contoh.  Sheikh Ahmad Yassin adalah tentera terbaik meskipun beliau lumpuh. Semangatnya itu sentiasa membakar semangat pemuda-pemuda di sekelilingnya untuk terus berjuang bumi Palestin. Kesyahidan beliau menambahkan lagi kesan yang positif. Meskipun jasad beliau meninggalkan dunia, namun ruh perjuangan terus menghidupkan para pejuang di sana.

Apa yang patut kita kagumi, Sheikh Ahmad Yassin tidak memandang kelemahan beliau sebagai satu penghalang untuk menjadi seorang pejuang. Apa yang cacat hanyalah fizikalnya semata. Dan kecacatan tersebut tidak sedikitpun menjadi alasan bagi beliau untuk mengelak dari menjadi orang terkedepan dalam perjuangan !

Beliau adalah tokoh terbaik dalam membuktikan orang yang lemah fizikal juga mampu untuk memberikan sumbangan yang betapa tinggi nilainya !

Iman dan aqidahnya tidak cacat.
Semangatnya sempurna saya kira.
Dan kesempurnaan itulah yang menjadikan beliau kuat berbanding orang yang normal fizikalnya.

Beliau antara pelakon terbaik pilihan Allah untuk tontonan kita semua. Dan beliau berjaya membawa watak tersebut dengan begitu baik sekali apabila ceritanya ditamatkan dengan penamat yang begitu agung !

Tiada pengakhiran kehidupan yang lebih mulia selain mati mempertahankan kalimah-Nya.
Tiada pengakhiran kehidupan yang lebih mulia selain darah syahid itu menjadi titisan terakhir tubuh badan seorang hamba.
Tiada pengakhiran kehidupan yang lebih mulia selain dari kematian yang menghidupkan !

Dan kini, bumi Mesir juga sedang mempamerkan ‘lakonan’ yang sama. ‘Pelakon-pelakon’ terbaik mereka cukup ramai. Masing-masing membawa pulang ‘piala kemenangan’ dalam ‘Festival Filem Rabaah’. Himpunan manusia di sana bukanlah himpunan manusia di dalam sebuah konsert bersorak gembira melihat artis kesayangan mereka.

Ya, mereka juga bersorak. Tetapi sorakan mereka adalah sorakan kumpulan manusia yang siddiq. Sorakan kebenaran penuh semangat siang dan malam.  Sorakan mereka adalah untuk menolak segala ketidak adilan yang berlaku di negara mereka. Saya kira, sorakan mereka itu cukup menggerunkan sampailah 14 Ogos menjadi tarikh pilihan untuk pihak tentera memusnahkan tempat himpunan mereka itu.

Sehingga kini, simbol Rabaah menjadi lambang perjuangan satu dunia. Kebanyakan negara menyokong perjuangan mereka dan tidak melepaskan peluang untuk berhimpun di negara masing-masing.

Ya, wabak ‘berhimpun’ dan ‘Dataran Rabaah’ nampaknya telah merebak ke seluruh dunia !

Syukur alhamdulillah !
Dunia kini semakin kenal akan erti perjuangan yang sebenar. Tambahan lagi, dunia berpeluang untuk mengenali para pejuang serta peribadi diri seorang pejuang. Gambar-gambar dan apa jua maklumat perihal mereka kita kongsikan. Saat ini sangat manis untuk ummat Islam seisi dunia !

Paha kiri dicubit, paha kanan yang terasa.

Moga perasaan ini terpelihara selamanya.
Ambil tahu akan perihal yang berlaku di negara-negara Islam.
Rasa sedih dengan saudara-saudara seaqidah yang tertindas.

Moga perasaan ini bukanlah palsu.
Bukanlah bersifat sementara atau time-oriented.
Bukanlah bersifat luaran semata.
Bukanlah hanya gelojak rasa tidak puas hati atau rasa marah kerana dua rasa ini tidak asli untuk orang-orang yang beriman.

Aslinya rasa peduli ummah ini adalah kerana iman itu sendiri.
Maka, berimanlah untuk mempunyai ruh seorang pejuang.
Dan imanilah perjuangan ini tidak kira masa, tempat dan keadaan.

Biarpun tentera musuh lebih ramai.
Biarpun senjata musuh lebih canggih.
Biarpun strategi musuh lebih mantap.

Kita tidak akan jemu dengan perjuangan ummah ini.
Kita tidak akan berganjak dari titik perjuangan ini.

Kita bersama-sama mereka semua.
Dalam festival filem ummah ini.

Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. (Al-Anfaal:65)

****

mari berangkat !
mari berangkat !

Mari berangkat,
wahai batalion ummah,
biar bergetar jiwa musuh,
biar telinga mereka takjub dengan derap perjuangan,
biar mata mereka terpana melihat gagah tubuh.

Mari berangkat,
wahai batalion ummah,
kita berjalan semua jenis jalan,
sampai lemah keletihan,
jiwa kuat terus bertahan,
bukti jiwa syahid yang tak pernah tergoyahkan.

Mari berangkat,
wahai batalion ummah,
berjalan terus ke hadapan,
tiada lagi tapak keraguan,
sampai pada Tuhan  itulah tujuan.

Sekian,
mylittlepencil

Advertisements

ilmu dan tsaqafah : sekularisme moden

Bismillah.

Apa beza antara ilmu dan pengetahuan ?
Saya pasti ramai yang tidak tahu apa perbezaan yang sebenarnya wujud antara dua perkataan tersebut.

Kebanyakan kita menganggapnya sama.
Ilmu adalah pengetahuan.
Dan pengetahuan itu adalah ilmu.
Malah, kadang-kadang kita gabungkan kedua-dua perkataan ini menjadi ilmu pengetahuan.

Kita salah.
Selama ini kita hanya leka dengan ilmu atau kepakaran kita sendiri sampai kita lupa betapa kita juga dituntut untuk menimba pengetahuan.

Ilmu di dalam bahasa arab adalah ‘ilm.
Manakala pengetahuan adalah tsaqafah.

Mari saya bawakan contoh.
Seorang pelajar jurusan ekonomi menghafal kedudukan negara di dalam peta dunia.
Ekonomi itu adalah ilmu pelajar tersebut.
Manakala, kedudukan peta dunia itu adalah pengetahuannya.

Bagaimana pula keadaannya jika seorang pelajar itu memang memerlukan dia untuk menghafal kedudukan negara dalam peta dunia sebagai pengkhususannya ?
Maka, di ketika ini sejarah itu adalah ilmunya.
Dan ekonomi adalah pengetahuannya.

Kesimpulannya, bukan semua orang mempunyai kadar serta jenis  ilmu dan pengetahuan yang sama.

Amat besar kesannya, jika seseorang itu hanya menuntut ilmu semata daripada mempelajari segala pengetahuan yang boleh diperolehi daripada kehidupan ini sendiri.

Meskipun pengetahuan ini tidak akan diuji di dalam peperiksaan seperti ilmu yang kita ada, namun itu tidak melambangkan bahawa pengetahuan ini tidak penting.

Kedua-duanya punyai nilai istimewa yang tersendiri.
Ilmu dan pengetahuan saling melengkapi.

Teringat saya akan satu kisah tentang seorang tokoh.
Beliau adalah seorang peguam di Mesir (Syabin Al-Qanathir) yang sangat disegani. Pada satu hari, ketika beliau sedang bermain ayam di hadapan rumahnya (ketika hari cuti), beliau didatangi oleh dua orang pemuda. Dua orang pemuda tersebut berbual dengannya mengenai sejarah dan politik dunia untuk mengalihkan perhatian beliau daripada sibuk bermain dengan ayam tadi.

Beliau menjadi amat hairan dari mana datangnya pengetahuan yang begitu luas pada dua orang pemuda ini sedangkan mereka berdua hanya bersekolah sehingga darjah enam sahaja.

Lalu beliau bertanya, “ Dari mana kamu berdua tahu kesemua perkara ini ?”
Lalu, salah seorang daripada mereka menjawab, “ Kami belajar di madrasah Ikhwan Muslimin.”

Di sinilah bermulanya titik tolak peguam tersebut menyertai Ikhwan Muslimin sehinggalah akhir hayatnya.Malah, beliaulah peguam pertama yang menyertai Ikhwan Muslimin ketika itu.

Tahukah anda siapa peguam tersebut ?
Beliau adalah Umar Abdul Fattah bin Abdul Qadir Musthafa Tilmisani (Umar Tilmisani) yang merupakan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin yang ketiga selepas Hassan Hudhaibi.

Satu ketika dahulu, apabila Anwar Sadat(Perdana Menteri Mesir) menuduh pergerakan Ikhwan Muslimin dengan tuduhan-tuduhan palsu, Umar menjawab dengan sopan dan tegas, “Sesiapa pun yang berlaku zalim kepadaku, biasanya saya adukan kepada kamu. Kerana kamu adalah rujukan tertinggi selepas Allah bagi orang yang mengadu. Sekarang, kezaliman itu datang daripada kamu, kerana itu saya adukan kamu kepada Allah.”

Islam adalah ilmu dan pengetahuan.
Kelemahan kita adalah apabila kita hanya menggantungkan kepandaian seseorang hanya pada ilmunya. Sedangkan mungkin sahaja pengetahuannya lebih luas dari kita !

Dek kerana inilah, ummat kita semakin tenggelam.
Tenggelam dalam kebodohan meskipun sudah memiliki ilmu yang banyak  dan tinggi.
Sekularisme moden.

Kita mengasingkan ilmu dan tsaqafah..
Dengan ilmu kita merasakan segalanya sudah cukup.
Kita tidak perlu lagi pada tsaqafah.

Apatah lagi bagi orang yang bukan ilmu yang dituntutnya adalah bukan ilmu agama.
Tinggallah agama itu hanya pada solatnya, puasanya, dan zakatnya semata.
Agama dipisahkan dari keseluruhan kehidupan.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah berkata, “Sungguh keberadaan agama Islam dan keberlangsungan dunia ini adalah dengan keberadaan ilmu agama, dengan hilangnya ilmu akan rosaklah dunia dan agama. Maka kukuhnya agama dan dunia hanyalah dengan kekukuhan ilmu.”

Maka, bagi kamu yang tidak memiliki pengkhususan di dalam ilmu agama, carilah tsaqafah agama ini.
Bagi kamu yang sudah sedia berada di dalam lapangan ilmu agama, carilah tsaqafah kehidupan yang masih banyak ini.
Seperti tsaqafah komunikasi, tsaqafah tentang politik dan sebagainya.

Bagi kita, ilmu dan tsaqafah keduanya penting
Bukan setakat mengejar manusia dengan ilmu yang ada, tetapi dia juga mengejar manusia dengan tsaqafah yang banyak.

Seorang doktor boleh membentang hebat tentang sejarah dunia.
Seorang guru boleh menjadi seorang jurugambar dakwah yang hebat.
Seorang ustaz boleh membentang ekonomi negara dengan dahsyat.
Seorang petani boleh memberikan ceramah agama yang mantap isinya.

Ini impian kita.
Untuk berdiri teguh dan seiring dengan manusia, kita wajib mempunyai kelebihan dan daya tarikan.
Dan sedikit sebanyak kelebihan dan daya tarikan itu datang dari ilmu dan tsaqafah yang kita ada.

Ilmu dan tsaqafah Islam kita bukanlah seperti ilmu-ilmu dan teori-teori Barat. Ilmu dan tsaqafah kita mempunyai ciri-ciri tertentu, memenuhi tuntutan fitrah seorang manusia serta mempunyai prinsip-prinsip yang luhur.

Ilmu dan tsaqafah kita mendidik kita untuk terus beraqidahkan Allah semata. Bukan menjadikan kita semakin lupa diri dan meletakkan segalanya pada dunia.

Karakteristik tsaqafah Islamiyah sangat banyak, yang terpenting adalah: tsabat(tetap), syumul (komprehensif), tawazun (seimbang), wahdah (kesatuan), dan harakah (gerakan).

Ilmu dan tsaqafah kita mempunyai landasan-landasan tertentu.

Landasan yang pertama adalah :

Perumpamaan petunjuk dari ilmu yang dengannya Allah mengutusku adalah bagaikan hujan lebat yang menimpa bumi. Di antaranya ada tanah subur yang menyerap air dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan serta rumput yang banyak. Ada pula tanah keras yang dapat menampung air sehingga berguna bagi masyarakat, mereka dapat minum dan bertani. Tapi ada pula tanah yang keras kering, tidak dapat menahan air dan tidak pula menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Demikianlah contoh orang yang memahami agama Allah Swt. dan apa yang dengannya Allah mengutusku itu berguna baginya, ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain; dan perumpamaan orang yang enggan menolehkan kepalanya sedikit pun ke arahnya dan tidak mau menerima petunjuk Allah yang dengannya Ia telah mengutusku (HR. Bukhari Muslim).

Sedangkan landasan yang kedua, misalnya dijelaskan dalam firman-Nya,

Dan bahwa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus. Karena itu ikutilah dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (lain) yang hanya akan mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Itulah yang diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa (Al-An’am: 153)

Adapun landasan yang ketiga, misalnya dijelaskan dalam firman-Nya,

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (Ar-Rum: 30).

(Sumber : hassanalbanna.com)

Ilmu dan tsaqafah kita bukanlah ilmu dan tsaqafah yang menjadikan kita lebih jahil.

Islam yang kaffah(sempurna) merangkumi juga aspek ilmu dan tsaqafah.
Maka, kita sebagai seorang mukmin wajib menjauhi ilmu dan tsaqafah yang sia-sia.

Ya, saya tidak mahu menyenaraikan ilmu dan tsaqafah yang sia-sia.
Mari bersama kita fikirkan sendiri.

Jalan dakwah ini sewajaranya menjadikan kita penuntut ilmu dan pencari tsaqafah yang hebat.
Dan kita beramal menggunakan keduanya.

الإسلام نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا فهو دولة ووطن أو حكومة وأمة وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء وهو مادة وثروة أو كسب وغنى وهو جهاد ودعوة أو جيش وفكرة كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء بسواء

 Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan  dan umat. Ia adalah akhlak  dan  kekuatan  ataupun  rahmat  dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang  ataupun  keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta  ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah  yang  benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita. (Usul Pertama dari Usul 20)

Gabungkan dalam alam kehidupan.
Agar hidup kita bukan hanya tergantung pada ilmu yang ada.
Agar hidup kita bukan juga hanya tergantung pada tsaqafah yang ada.

Kadang-kadang kita terlupa.
Alam ini terlalu luas.
Ada masa, kita hanya memilih ilmu untuk diamalkan.
Ada masa tertentu, kita hanya memilih tsaqafah untuk dipraktikkan.

Jujurnya, saya sendiri.
Masih menggagahi diri untuk menambah tsaqafah pada diri.
Ilmu perubatan yang dituntut selama enam tahun setengah ini fikir saya tidak cukup untuk membuatkan saya bertahan sampai akhir hayat.

Sungguh, ilmu dan tsaqafah terlalu banyak.
Dapatkah kita menjadi golongan manusia yang bersungguh-sungguh dalam keduanya ?

Muhasabah.
Moga-moga kita cemerlang dunia dan akhirat dengan ilmu dan tsaqafah yang kita ada.

Perbaharui niat.
Kerana proses menuntut ilmu dan mencari tsaqafah bukanlah satu hal yang mudah.

daie : beremosi atau sensitif ?

” Anak usrah ana terlalu lambat bergerak. Tak tahu lagi macamana nak buat.”

” Orang yang tak pergi daurah ni memang la pemalas. Ingat apa, daurah ni main main ke ? Daurah ni lah satu satunya tempat untuk kita dapatkan manhaj tarbiyyah kita. Kalau tak datang, dekat mana lagi nak dapat ? ”

” Ana geram tengok bermaksiat sana sini. Apa ingat Allah tak nampak ke semua tu ? ”

Ayat ayat di atas lazim dilontarkan dalam keadaan penuh emosi oleh seorang daie.
Ya, dalam keadaan emosi yang pelbagai tanpa memikiran apa perasaan orang di sekeliling mereka.

Dan mereka mengganggap dengan emosi seperti ini orang di sekeliling mereka akan terkesan. Kononnya, merekalah daie yang mempunyai emosi yang didasari ketaqwaan dan iman. Sedangkan sebenarnya mereka tersilap !

Kini, daie daie yang bergerak menggunakan emosi terlalu ramai.
Mereka merasa menggerakkan dakwah ini menggunakan emosi bakal membantu dan melajukan lagi perjalanan dakwah mereka.

Mereka merasa melantunkan kata kata dakwah untuk menyeru manusia menggunakan emosi akan memberi kesan yang mendalam pada hati sasaran sasaran mereka.

Aduhai, sungguh rugi daie seperti ini !
Ketahuilah sesungguhnya emosi hanya akan melambatkan lagi perjalanan dakwah mereka.
Membawa dakwah menggunakan emosi juga hanya akan meninggalkan kesan yang buruk pada ummat manusia.

Malah, mungkin ummah manusia terasa mual melihat keadaan daie yang seperti ini.

Orang yang terlalu beremosi hanya menunjukkan mereka adalah orang yang paling kurang sekali ruhiyyahnya.

Orang yang terlalu beremosi adalah manusia yang menunjukkan kegopohan mereka untuk mencapai hasil dalam pekerjaan mereka.

Orang yang beremosi adalah orang yang tidak lagi ditarbiyyah sebenarnya.

Sungguh, tarbiyyah itulah yang mengubah emosi kepada sensitiviti.
Apakah perbezaan antara keduanya ?

******
Emosi vs Sensitiviti

Emosi dan sensitiviti adalah dua keadaan hati yang amat berbeza. Penting untuk seorang daie membezakan antara keduanya. Kerana dua jenis keadaan hati ini akan memberi kesan terhadap dakwah mereka.

Lazimya, emosi yang terlebih dahulu ditunjukkan. Kemudian, barulah perasaan akan mengikutinya. Emosi bertindak sebagai pengarah dalam keadaan seorang manusia di bawah kesedarannya.

Kerana itulah, emosi yang akan menjuarai kerana emosi mempunyai intensi yang lebih kuat. Malah, emosi mampu untuk mempengaruhi tindakan seseorang.

Emosi adalah satu rasa yang sama sekali tidak selaras atau menyimpang dari batas normal sehingga mampu untuk mengganggu diri dan persekitaran orang yang beremosi tersebut.

Bagaimana pula keadaan seorang daie yang beremosi ?

Seorang daie akan senantiasa diprovok dengan pelbagai jenis ujian dan keadaan manusia. Sampai satu tahap, mereka akan mula rasa tertekan melihat keadaan ummah ini.

Akhirnya, mereka menjadi seorang daie yang amat bengis berhadapan dengan masyarakat.

Semua hal yang terjadi serba tidak kena.
Itu salah, ini salah. Kesemuanya salah.
Ia mahukan manusia mengikut caranya seratus peratus sedangkan manusia di sekelingnya mempunyai hati yang berbeza beza.

Seterusnya, daie yang beremosi itu tadi mengambil langkah yang lebih agresif. Perancangannya mula tidak tersusun. Tindakannya melulu.

Dan akhirnya, apabila dia tidak dapat mencapai natijah dakwah kehendaknya, dia akan menangis sendirian dalam keadaan marah.

Inilah keadaan seorang daie yang hatinya mula dikuasai oleh emosi.
Sungguh, kumpulan daie yang seperti ini tidak akan dapat mengenal objek dakwah mereka sebaiknya.

Apatah lagi untuk mengharapkan kemenangan dalam dakwah !
Daie yang meletakkan emosi sebagai kuasa yang paling utama di dalam hatinya adalah seorang daie yang telah kehilangan adabnya !

” Habis tu, kalau tengok ummah takda emosi, takde perasaan, macamana kita nak selamatkan mereka ?”

Antara cemburu buta dengan cemburu kerana sayang apa bezanya ?
Ada bezanya…

*****

Hakikatnya, seorang daie itu perlu cerdas dalam emosinya.

Individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi adalah seorang individu yang boleh mengawal perasaan dan tindakannya sendiri, mempunyai daya ketahanan untuk mencapai matlamat hidup, boleh mengurus perasaan negatif serta mudah menjalinkan hubungan dengan orang lain.
– Azromihana binti Azmi ( http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah/risalah06/html)

Bukan membuang emosi, tetapi cerdas beremosi.
Seorang daie itu wajib meletakkan emosi di tempat yang sepatutnya. Bukannya pada semua keadaan, ia beremosi.

Lihat kecerdasan emosi yang ditunjukkan di dalam Islam.

Dia (Yaakub) berkata, ” Sebenarnya hanya dirimu sendiri yang memandang baik urusan (yang buruk) itu. Maka (kesabaranku) adalah kesabaran yang baik. Mudah mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya padaku. Sungguh, Dialah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana. (12:83)

Ya, kesabaran adalah salah satu kecerdasan emosi yang wajar dimiliki oleh setiap mukmin. Kerana balasan orang yang sabar ini akan diganjari sebaik baik pahala.

Tidak akan bersama dengan Allah orang yang keluh kesah.
Daie yang beremosi tidak akan tenang.

Lalu, apa gantinya ?
Jadilah seorang daie yang sensitif jiwanya.

Daie yang sensitif jiwanya adalah seorang daie yang tenang.
Daie yang sensitif jiwanya adaah seorang daie yang tersusun emosi serta tindakannya.

Daie yang sensitif jiwanya tidak akan melupakan dirinya sendiri.

Namun, sensitif yang saya jelaskan di sini bukanlah sensitif yang tidak elok seperti cepat terasa dan sebagainya.

Sensitif di sini, dasarnya adalah iman.
Bukan sensitif yang dasarnya emosi atau nafsu.

Keimanan itu berkadar terus dengan sensitiviti.
Semakin kuat iman seseorang, semakin kuat sensitivitinya.

20130603-160206.jpg

Apabila kita sudah terlajak jauh ke hadapan di dalam medan dakwah ini, kita mula meninggalkan hal hal asas.

Orang melihat kita menjadi orang yang paling terkedepan, sedangkan dalam diam kita menyimpan hati kita yang begitu lemah serta penuh dengan emosi.

Inilah salahnya kita.
Kita tidak lagi memandang sensitiviti itu sebagai hasil diri kita ditarbiyyah.
Akhirnya, kita bergerak ke hadapan dengan langkah langkah yang penuh emosi.

Kerja yang semakin bertimbun, tanggungjawab yang begitu banyak membuatkan kita tidak lagi berupaya untuk mencari masa untuk memperbaki keadaan hati kita sendiri.

Ya, meskipun usrah atau halaqah kita berjalan seperti biasa, apa yang dilontarkan di dalamnya adalah sekadar lontaran lontaran emosi.

Mungkin sahaja, murabbiyah atau ahli ahli usrah kita sendiri buntu atau bosan kelihat keadaan kita yang seperti ini. Datang usrah pun penuh dengan emosi !

Sesibuk mana pun kita, lapangkanlah waktu untuk memperbaiki hati.
Kerana syaitan akan menggunakan segala seninya unuk menyesatkan tanpa kita sedar.

Dan apabila kita mula beremosi, maka telah bermulalah godaan syaitan sebenarnya.
Sang daie itu menyangka emosinya itu adalah rasa sensitivitinya, tapi sebenarnya tidak !

Inilah jahiliyyah seorang daie apabila dia mula lupa untuk berhubung dan menyerahkan segalanya pada qada’ dan qadar Allah S.W.T.

Dia lupa bahawa usahanya itu hanyalah untuk dirinya sendiri, manakala natijah natijah dakwahnya adalah tertakluk pada rezeki-Nya.

Dakwah ini adalah kepunyaan Allah bukannya milik individu. Allah telah mengajar orang orang yang beriman bahawa dakwah terikat dengan kehendak-Nya, bukan kepada para dua’t.

Nasib setiap individu daripada dakwah ini ialah sesiapa yang beramal untuknya maka Allah akan memuliakannya dengan sebab amalnya dan sesiapa yang meninggalkan beramal untuk dakwah maka Allah akan menjauhkan kebaikan daripadanya dan dakwah tidak akan mendapat mudarat sedikitpun.
– Asy Syahid Abdul Qadir Audah-

Dia mengatakan dia yakin, tapi sebenarnya tidak.
Dia melontarkan rasa yakin kepada Allah dengan emosi, bukan dengan sensitiviti.

Betapa untung daie yang menggunakan sensitiviti dalam dakwah dan tarbiyyah dirinya kerana rasa sensitiviti itulah penyelamat tatkala kita mula diuji dengan pelabagai ujian.

Rasa sensitiviti itulah yang akan menjadi penyelamat di kala kita begitu risau dengan perjalanan dakwah ini.

Rasa sensitiviti itulah yang akan menjadikan kita seorang daie yang berpijak pada dunia yang realiti, bukan dunia fantasi dalam mimpinya sendiri.

Rasa sensitiviti itulah yang akan mengawal diri kita tatkala emosi cuba untuk memonopoli hati dan jiwa kita.

Maka wahai daie, di manakah letaknya sensitiviti dirimu ?
Atau selama ini kau adalah seorang daie yang beremosi ?

Muhasabah kembali.
Dan terus bermuhasabah.

Kembalilah membina diri dengan sensitiviti, bukan dengan emosi.

Dakwah tidak memerlukan jiwa seorang daie yang beremosi kerana ia hanya membawa dirinya sendiri.

Tetapi dakwah memerlukan jiwa jiwa yang tinggi sensitivitinya kerana daie seperti ini akan membawa diri mereka dan orang lain bersama sama.

Sekian,
mylittlepencil

busyra yang menipu

Bismillah.

Salam dakwah.
Salam Ramadhan buat semua.

Semoga bersungguh-sungguh kamu semua dalam berlumba mencari lailatul qadar-Nya dan keredhaann-Nya, inshaAllah.

Buang mana yang keruh, ambil mana yang jernih.
Di ketika inilah, kita berusaha untuk menyental sampai bersih segala sikap-sikap buruk kita,
dan mendidik sifat-sifat mahmudah dalam diri.

*********
Ingin saya bertanya kepada anda semua,
Pernah anda berasa tertipu dengan satu khabar berita yang kononnya menggembirakan ?

Perasaan yang pada mulanya gembira, mengempis akhirnya.
Pada mulanya senyum, tangis akhirnya.

Tahukah anda sebenarnya, berita yang gembira itu tidak selamanya gembira.
Dan berita yang menyedihkan itu tidak selamanya menyedihkan.

Kerana Allah itu yang Maha Adilnya.
Dia rezekikan buat sekalian manusia ini dua perasaan yang berlawanan.
Gembira dan sedih.
Suka dan benci.

Dan tugas kita sebagai manusia, bersikap adil kepada perasaan ini.
Letakkan di tempat yang sepatutnya.

Mana mungkin perasaan gembira itu anda letak pada berita yang menyedihkan.
Inilah keunikan manusia.

Tetapi, malangnya ada golongan manusia yang tertipu dengan berita-berita yang dikhabarkan ini.
Bila mana tibanya berita tersebut, mereka tidak merasakan apa-apa dalam hati.
Malah, lebih teruk jika perasaan berlawanan dengan apa yang berlaku.

Kesannya, manusia menjadi celaru dengan diri mereka sendiri.
Tidak tahu apa yang patut diperbuat.

Akhirnya, menjadi gila !

Sewajarnya manusia ambil kisah dengan berita-berita yang dikhabarkan setiap hari……

Lihat semula rentetan sirah Rasulullah dan para sahabat satu ketika dahulu.
Allah S.W.T sendiri yang melatih diri mereka untuk bersikap adil dengan berita-berita yang dikhabarkan-Nya.

Bila mana Allah memberitahu mereka tentang nikmat-nikmat syurga.
Mereka mula menggambarkan,
mereka mula tersenyum dan akhirnya mereka yakin dengan berita-berita gembira ini.

Datang apa sahaja desakan dan siksaan dari kafir Quraisy, mereka semakin kuat dek kerana janji-janji Allah kepada mereka.

Di saat, mereka mula lemah,
Allah menghantar khabar gembira bahawa sifat sabar itu sifat ahli-ahli syurga.

Ingatkah anda pada kisah tiga seorang sahabat sahabat Rasulullah S.A.W yang teramat sedihnya ?
Salamnya tidak dijawab oleh para sahabat.
Tambahan, Rasulullah S.A.W pula menghalang dirinya daripada mendekati isterinya.

Jujurnya, kali pertama saya mendengar kisah ini.
Saya berasa biasa.
Mungkin kerana sudah biasa berada dalam keadaan dibenci dan diboikot orang.
Tetapi, setelah mentadabbur dalam kisah ini, memang menyayat hati.

Inilah kisah Ka’ab bin Malik, Hilai bin Umayyah, dan Mararah bin Rabi’ yang melakukan kesalahan  terlewat menyertai rombongan kaum Muslimin dalam satu peperangan.

Kisah tentang perang ini cukup popular dengan kisah mereka bertiga.

Dan terhadap tiga orang yang ditinggalkan. Hingga ketika bumi terasa sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah (pula merasa) sempit bagi mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari siksaan Allah, melainkan kepada-Nya saja, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang. ( 9 : 118)

Lihat cara Allah menyampaikan khabar gembira buat mereka bertiga.
Gembiranya hati bukan kepalang setelah Allah menerima taubat mereka.

Kegembiraan itu bukan sahaja buat mereka bertiga, tetapi juga buat para sahabat yang lain.
Apatah lagi Rasulullah S.A.W sendiri !

Inilah cara para sahabat menerima apa jua khabar gembira.
Mereka bijak meletakkan perasaan dan menyusun amal mereka.

Tidak seperti kita.
Membaca tentang nikmat-nikmat syurga, tidak terasa apa.
Membaca ancaman dan gertakan tentang siksaan-nya, juga tidak terasa apa.

Mana perginya hati kita dalam menerima khabar-khabar seperti ini ?

Apatah lagi mahu mengambil pengajaran, jauh sekali.
Manusia selalu terlupa,
mudah lupa,
dan suka buat-buat lupa.

Apa yang kita ingat, hanya bahagia.
Apa yang kita ingat, hanya diri sendiri.
Apa yang kita ingat, hanya kesenangan.

Kita lupa akan khabar yang Allah beritakan kepada kita.
Betapa dunia ini hanyalah sebuah permainan.
Permainan yang memberi imaginasi kebahagiaan yang tidak kekal selamanya.
Permainan yang bakal melekakan.

 Oh dunia ini
Penuh kepalsuan
Oh mungkinkah tiada
Keikhlasan
Apakah ini
Suatu pembalasan
Ku sedar kebesaranMu Tuhan.

Aku bagai seorang
Kembara jalanan
Terumbang ambing
Di lautan gelora
Mencari kebahagiaan
Dahan untuk menumpang kasih
Mungkinkah suratan
Hidup kau selalu keseorangan
(Janji Manismu-Aishah)

Ya, dunia ini satu khabar gembira yang sedang menipu diri kamu.
Dunia menabur janji-janji manis, yang kesemuanya palsu !
Di sebalik kegembiraan ini terselindung satu siksaan yang teramat pedihnya.

“Mereka itu orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 86)

Lalu, mengapa Allah mengirimkan berita palsu ini buat hamba-hambaNya ?
Kerana Allah itu Maha Adil !

Telah saya katakan tadi, Allah mencipta penuh keseimbangan.
Diberinya akhirat, dan diberi juga dunia.

 “Dan carilah dalam kurniaan yang Allah berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu dari di dunia.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Dunia bukan tempat mencari kebahagiaan di dunia semata.
Kerana memang sifat dunia ini membahagiakan secara tidak langsung,
meskipun terkadang kita perlu gigih berusaha untuk mendapatkannya.

Yang benarnya,
dunia ini tempat untuk mencari kebahagiaan di sana.
Di sana, kamu akan kekal abadi.
Di sana, kebahagiaannya kekal, tidak akan hilang.
Malah, dihadiahkan berjuta-juta nikmatnya.

Tidak dapat digambarkan dengan pancaindera yang ada.
Betapa indahnya !

Lalu, mengapa manusia masih lagi mengejar dunia walaupun telah dikhabarkan berita tentang neraka dan segala siksaan-Nya ?

Kerana manusia itu memandang dunia ini dengan pandangan mata kasar sampai mata hati menjadi buta.
Mata hati  mereka terhijab sehingga mereka terlupa hakikat penciptaan mereka.
Sampai mereka terlupa kepada siapa mereka patut memperhambakan diri.

Sampai sudah, mereka akan terus tertipu dengan berita-berita dunia.
Dunia yang tidak akan pernah habis dengan propaganda.
Dunia yang tidak akan pernah bosan untuk menghiburkan manusia.

Sungguh, dunia ini hanya mengosongkan jiwa mereka.
Ruh masih lagi tercari-cari akan bahagia yang sebenar.

Kerana itu, mereka tidak dapat merasa apa-apa tatkala membaca berita-berita yang dikirimkan-Nya.

Betapa menyesal golongan ini nanti, tatkala melihat bumi ini dimamah kehancuran saat tibanya hari kiamat kelak !

The acts of this life are the destiny of the next.
Eastern Proverb

Ramai manusia yang terlupa.
Hidup ini adalah untuk kehidupan di sana nanti.

Bagusnya manusia itu apabila hidup di sini dia berusaha untuk bahagia,
dan untuk kehidupannya di sana juga dia berusaha untuk bahagia.

Barulah kemenangan yang dicapainya, kemenangan yang abadi.
Kemenangan seorang mukmin yang sejati.

Refleksi semula diri.
Jangan biarkan diri terus ditipu dan tertipu.

Tipah tertipu lagi !

Dunia ini bukannya  teman sejati,
dia hanya memberikan kenangan yang terindah,
saat kita sedih dan berduka,
penuh penyesalan,
kita ditinggalkan sendiri……

Selagi mampu untuk memperhambakan diri di bawah naungan langit-Nya,
Selagi mampu berharap kasih dan rahmat-Nya,
Selagi mampu untuk meminta pengampunan-Nya,

Gagahkanlah diri untuk terus menjalankannya,
untuk mengejarnya…

Hidup ini satu proses menuju cahaya,
dikelilingi dunia teramat gelapnya,
gunakan petunjuk dari-Nya untuk meniti jalan yang ada.

Sebuah peribahasa Rusia,

Бережёного Бог бережёт (Berezhonogo bog berezhot)
God keeps those safe who keep themselves safe.

Bendera-bendera dunia akan terus berkibar,
Tiupan sangkakala bakal menghancurkan,
tinggallah bendera akhirat menghakimi segala.

sekian,
mylittlepencil
~melihat dunia dengan mata hatinya

p/s :
seperti juga  Hari Raya. Kita terlalu digembar-gemburkan ‘berita gembira’  tentangnya sampai terlupa Lailatul Qadar yang teramat       indah itu TT_TT

meminta umur yang panjang

Bismillah.

Ramai orang di atas dunia meminta umur yang panjang,
namun berbeza tujuan dan kehendak mereka.

Ramai orang di atas dunia meminta umur yang panjang,
namun berbeza nilai kepanjangannya.

Ramai orang di atas dunia meminta umur yang panjang,
namun sedikit sekali yang benar-benar meminta umur yang bermanfaat.

Cuba lewati setiap hitung masa yang kita ada.
Saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, dekad….

Dan masa akan terus berlalu memberi umur kepada dunia dan seisinya.
Tanpa masa, sesuatu itu tidak boleh dikira betapa berharganya ia.

Ya, seperti harta simpanan di muzium-muzium,
semuanya dicatatkan masa.

Ada yang sudah beratus tahun nilainya,
Ada yang sudah beribu-ribu tahun lamanya.

Begitulah kerangka masa dalam sebuah kehidupan.
Akan terus membantu sebuah keadaan mencipta sebuah sejarah.

Mana mungkin sebuah keadaan akan tercatat tanpa masa.
Mana mungkin juga sebuah peristiwa akan diingat tanpa adanya masa.

Wahai para dua’t,
Pernahkah menjadi kehendak  engkau meminta umur yang panjang ?

Umur yang panjang untuk dipakai sepenuhnya oleh kerja dakwah ini.
Umur yang panjang untuk menabur sisa-sisa amal buat bekalan diri.

Umur yang panjang sebagai seorang daie.
Umur yang panjang sebagai seorang ‘abdi.

Bagi kita,
umur yang panjang itu menyimpan tummuhat yang tertinggi.
Mencapai kemenangan, menjadikan kalimah Ilahi kalimah yang disanjungi.

Pernahkah kita termimpi-mimpi,
umur yang panjang itu kita bukan sekadar menghiasi kehendak diri,
membayangi harta-harta yang bakal dimiliki,
membayangi anak-anak yang bakal mewarisi,

Tapi,
dalam umur yang panjang itu,
bukan sekadar ini, malah lebih tinggi !!

Kehendak kita ini melebihi umur yang panjang kita hajati.
Dan dengan umur yang panjang inilah kita berbakti.

Berbakti dengan amal-amal dakwah.
Ya, bukan sekadar cukup,
tapi sungguh,
kerja-kerjanya amat memenatkan.
Memerlukan seluruh tenaga empat kerat berperang dengan kehendak diri sendiri.
Merempuh lautan manusia,
Bersedia untuk dipanggil bila-bila masa.
Itulah kader-kader dakwah !

Mereka bukan manusia yang mencipta pelbagai persoalan,
mereka juga bukan yang bermalas-malasan,
Bila mereka diseru,
mereka terus menjawab.

Inilah ruhul istijabah seorang daie, konsekuensi dari iman yang ditarbiyyah.
Umur kita bukan sekadar umur yang panjang,
Tetapi umur kita adalah umur dakwah.

Bagaimana kita akan menjadi bermanfaat kepada dakwah ?
Bagaimana kita mahu menjadikan umur ini sebagai saksi kepada segala amal dakwah ?

Wahai dua’t,
dalam meminta umur yang panjang,
kau mintalah agar umur yang panjang ini sepenuhnya terisi dengan dakwah,
kau mintalah agar umur yang panjang ini akan sentiasa terpimpin dalam jalan yang lurus,
kau mintalah agar umur yang panjang ini menjadi penuh dengan impian-impian yang mulia,
kau mintalah agar umur yang panjang ini hammasahmu akan terus memuncak.

Lihat Nabi Nuh A.S yang berdakwah selama 950 tahun lamanya,
apakah kau mengira andai kita diberi peluang umur sepanjang itu,
kita mampu untuk bertahan menyampaikan kalam-kalam dakwah pada manusia ?

Untuk aku sendiri,
aku merasakan terlalu mustahil !

Tapi, tidak mustahil untuk kita menanam impian untuk memiliki umur dakwah yang sepanjang itu.
Sungguh, berada dalam nilai umur yang mulia menjadi impianku sejak dulu.

Puas sudah dengan umur yang dahulu,
hanya dibazirkan dengan urusan-urusan yang sia-sia,
penuh dengan catitan malaikat di sebelah kiri sahaja !

Tetapi kini,
Aku diperkenalkan dengan umur yang baru.
Kesucian terasa seolah persis baru dilahirkan ke dunia.
Bukan jasadku, tetapi ruhku.

Apa yang ingin ku capai,
bukan lagi untuk diriku sendiri,
tapi untuk agama ini.

Semacam langit yang tinggi itu senang  saja untuk dicapai !

Dalam umur yang panjang ini,
kita juga berhajatkan agar tali dakwah ini akan terus bersambung meskipun kita tahu ianya akan terjamin di bawah jagaan Allah !

Tetapi kita terus menyampaikan dan terus mencari generasi untuk mereka menikmati dakwah ini.
Untuk terus mereka menjaga diri dengan dakwah ini.

Kita tidak mahu mereka cuai dalam membina setiap saat dalam umur mereka.
Terleka dengan umpan-umpan dunia yang bakal memakan habis jiwa mereka.

Dan diri kita sendiri juga tidak mahu cuai dalam membina umur dalam jalan dakwah ini.
Sepanjang mana jalan dakwah,
sepanjang itu juga kita mahu menyemai cinta kepadanya,
selama itulah kita mahu hidup bersamanya, kerananya.

Kita tidak mahu kita dihisab dengan amalan yang tiada harga di sisi Allah.
Dan kerana itulah kita terus berjuang di atas jalan dakwah ini.
Kita tolak tepi semua hentakan dan bentakan manusia,
terus ke hadapan, merancang  dan mengatur langkah.

Dan apa yang ingin aku katakan sebenarnya adalah,
apabila kau meminta umur yang panjang,
kau mintalah juga kau akan sentiasa terpelihara atas jalan dakwah ini !

Panjangkanlah umur dengan cita yang mulia !

dalam detik kehidupan

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Dalam setiap detik kehidupan yang kita lalui ini, terlalu banyak pengalaman yang kita kutip.
Dan pengalaman itu kita simpan untuk dijadikan kenangan, dan dikongsikan untuk dijadikan teladan.

Inilah sebuah realiti.
Keadaan hidup yang sebenar mengajar kita agar mengatur langkah dengan lebih berhati-hati.
Keputusan yang dibuat berdasarkan pilihan yang diberikan mempengaruhi seluruhnya.
Sama ada jiwa kita, perasaan kita, amal kita dan keadaan sekeliling kita.

Alam realiti tidak akan pernah sama dengan alam khayalan yang kita impi-impi.
Apa yang kita rancang, tidak semestinya akan terjadi.
Apa yang kita mahu, tidak semestinya akan kita perolehi.
Apa yang kita sangka, tidak semestinya akan benar-benar menepati.

Kerana itulah,
sebuah kehidupan ini tidak akan pernah sunyi, tidak akan pernah tenang secara keseluruhannya.
Tiada manusia yang senantiasa bahagia dengan hidupnya,
sepertimana dalam lakonan filem-filem atau cerita-cerita  karangan manusia.

Inilah salah satu kelemahan manusia.
Melupakan hakikat sebuah kehidupan.
Sebuah kehidupan ini tidak akan pernah sempurna.
Namun, kehidupan ini meminta dari kita untuk terus belajar darinya.

Kerana kehidupan adalah salah satu cara belajar yang paling baik.
Tidak memerlukan tukang tunjuk atau guru.
Hanya memerlukan diri sendiri untuk merasai.

Tidak perlu mengharapkan orang lain untuk memberi kehidupan kepada diri,
kerana setiap dari kita semua diberi kehidupan masing-masing.

Ada yang kehidupannya begini, ada juga yang begitu.
Terlalu banyak coraknya, bermacam warnanya.
Inilah fitrah hidup seorang manusia.
Kehidupan yang pelbagai kerana manusia itu sendiri terdiri dari pelbagai jenisnya.

Tidak dapat tidak, kita tidak dapat memenuhi kehendak semua manusia.
Pastinya, kita sentiasa berusaha untuk menjadikan segalanya adalah terbaik untuk diri sendiri,
dan meninggalkan manfaat yang berguna buat yang lain.

Tidak dapat tidak  juga, kehidupan ini sentiasa menimbulkan persoalan-persoalan yang  sering mengganggu.
Ada yang terjawab, ada yang tidak.
Ada persoalan yang terlalu remeh, ada yang terlalu berat untuk difikirkan.
Malah, ada juga persoalan yang pelik untuk dipersoalkan !

” Mengapa mereka peroleh ini sedangkan aku yang berpenat lelah berusaha untuk mendapatkannya ? ”
” Ah, dia tidak layak untuk menerimanya.”

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( An-Nisa’ : 32)

Aduhai manusia,
Adakalanya kita ini terlalu menyempitkan fikiran pada satu perkara yang sebenarnya memerlukan diri kau untuk membuka minda.

Adakalanya kita ini terlalu membuang masa, berkerah tenaga demi menyelesaikan masalah yang tidak berapa penting sedangkan banyak lagi yang lebih penting !

Unik sungguh,
Pelbagai jenis pemikiran,
pelbagai jenis rasa hati,
pelbagai jenis ragam,
Namun, kita masih boleh dihimpunkan di tempat yang sama,

Iaitu dalam sebuah kehidupan,
Di atas muka bumi yang nyata ini !

Menunggu untuk bersatu kesemuanya,
Terlalu mustahil,
Menerima segalanya,
Itu yang terbaik.

Kerana itulah,
sebuah kehidupan ini tidak dapat tidak,
sikap saling hormat-menghormati  memberi jaminan untuk kita agar tidak dipinggirkan.
Jika tidak, kita seolah sedang memasuki alam yang cukup asing sedangkan kita melihat mereka seperti kita.
Jika tidak, dada kau akan merasa terlampau sesaknya.

Percayalah !

********************

Dalam kehidupan ini,
manusia diberi peluang untuk mempertahankan haknya.
Manusia diberi peluang untuk berbuat sesuka hati mereka.

Kesimpulannya,
Manusia diberi kuasa.
Lebih tepatnya, kuasa itu adalah berpunca dari hati.
Seperti seorang raja yang menitahkan segala titahnya.

Soalnya, apa yang memandui kuasa.
Kebenaran atau kebatilan ?
Kehendak atau keperluan ?

Dan siapakah pemilik kuasa yang sebenarnya ?
Allah yang Maha Membolak-balikkan hati-hati manusia.
Dialah pemilik kehidupan kita yang sebenarnya.
Apa yang kita sedang lakukan adalah,

Berlakon di atas sebuah pentas dengan aturan skrip yang tersedia.

Beramal sebaiknya untuk kehidupan yang lebih pasti selepas ini.
Tidaklah kita ini diciptakan sia-sia, tanpa tujuannya.
Dan tidak lain, hidup ini merupakan satu persaingan.
Persaingan untuk membuktikan diri masing-masing, ” Ya, akulah yang terhebat pada mata-Nya. ”

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir ? ( Al-An’aam : 32)

Dalam kehidupan ini,
Kita mesti memilih untuk menilai dengan dua neraca yang tersedia.
Antara neraca dia dan Dia.

Semestinya, keduanya memang berbeza.
Keduanya mempunyai nilai-nilai yang tersendiri.
Payahnya, apabila kita harus memilih salah satu darinya untuk menjadi hakim hidup seorang hamba.

Ramai manusia merasa selesa menepati neraca manusia,
sehinggakan mereka terlupa memenuhi neraca-Nya.
Sedangkan mereka tahu, berhadapan dengan pengadilan-Nya,

ternyata lebih menyeramkan !
Memerlukan lebih banyak persediaan !

 Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata: Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia! Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu. (Al-An’am : 31)

 

Kehidupan ini ada dua jenisnya.
Membina atau menghancurkan.
Berguna atau sia-sia.
Bermanfaat atau tiada guna.

Maka, pilihlah sebaiknya !
Kerana hidup ini akan menjadi seperti apa yang kau pilih.

Ketahuilah,
Batasan kehidupan yang sempurna ini bukanlah pada manusia.
Kesempurnaan itu datang dari yang Maha Sempurna.

Ya, kehidupan ini ada batasannya.
Batasan itulah yang akan melindungi kita dari melebihi apa yang sepatutnya.
Paling penting, batasan itu datang dari satu batasan yang cukup kukuh.

Batasan IMAN dan TAQWA.

Batasan ini akan menjamin kita berada dalam satu kawasan yang selamat.
Batasan inilah yang akan menyelamatkan kita.
Membawa kita kepada jalan yang sebenarnya.
Sentiasa kekal dalam landasan yang sepatutnya.

Bila ditanyakan tentang kehidupan,
yang muncul terus dalam kepalaku,

” Hidup ini adalah satu batasan.
Tugas kita adalah untuk sentiasa berada dalam keadaan yang dibataskan itu.”

Terkeluarnya kita, maka habislah.
Terbang keluar kita darinya, maka nayalah jawabnya.

La la la.
Lagu kehidupan ini tidak semuanya menyeronokkan.
Tidak seperti lagu-lagu yang berkumandang di corong telinga kita setiap hari.
Itu hanya lagu rekaan manusia yang terbatas akalnya.

Lagu sebenar kehidupan,
begitu pelbagai susunan iramanya.

Kehidupan yang penuh makna,
apabila kau selalu memberi, kurang meminta-minta.

Kehidupan yang penuh makna,
apabila kau terbang tinggi, tetapi tidak terlalu tinggi sehingga meninggalkan apa yang nyata.

Kehidupan yang penuh makna,
apabila kau memahami ragam manusia, bukan terlalu mempersoalkannya.

Kehidupan yang penuh makna,
apabila kau menjalankan segala amanah dengan sempurna, bukan menidakkannya.

Bunga-bunga kehidupan,
tidak selalu mekar,
tidak selalu harum,
kan layu juga akhirnya,

apa yang perlu,
adalah berterusan menyiramnya.

Hidup adalah persediaan menghadapi akhirat, pengurusan diri dalam mencari penghasilan, mengecap kenikmatan yang tidak diharamkan, mempertajam akal, dan menyucikan diri.
Selain dari semua itu adalah kerosakan atau tipuan.
(Al-Qarni)

My life is my message. (Mahatma Gandhi)

sekian,
mylittlepencil
~yang sedang cuba memahami realiti sebuah kehidupan~ 

sebuah bicara tentang hijrah

Bismillah.

Nabi Muhammad bersabda, ” Hati itu ada empat. Hati yang bersih terdapat lampu yang bersinar. Itulah hati orang mukmin. Dan hati yang hitam dan terbalik. Itulah hati orang kafir. Hati yang tertutup dan terikat pada penutupnya. Itulah hati orang munafiq. Hati yang dilapisi iman dan kemunafikan. Perumpamaan iman yang bagaikan sayuran yang ditumbuhkan oleh air yang enak. Perumpamaan kemunafikan itu bagaikan luka yang dikembangkan oleh nanah berdarah. Sekiranya salah satu itu berkuasa padanya, maka dia menguasainya.”

Hati adalah raja kepada segala.
Hati penentu amal kita.
Hati tempat tinggalnya niat dan iman kita.

Ini tafsiran biasa bagi hati-hati manusia.
Bukan secara fizikal, tetapi secara ruhaninya.
Bukan secara lahiriah, tetapi secara batinnya.

Tetapi, kali ini ingin saya kenalkan tafsiran baru bagi hati-hati manusia.
Khususnya, para mukmin.

Hati, puncanya kehendak manusia untuk berhijrah.

Dalam seketul daging ini, tersembunyi satu fitrah manusia.
Satu fitrah menginginkan kebenaran.
Satu fitrah mendambakan petunjuk.
Satu fitrah yang mencari-cari Tuhannya.

Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan merugilah bagi orang yang mengotorinya.
(Asy-Syams : 7-10)

Sungguh, hati seorang mukmin itu tidak akan pernah berada di tengah-tengah.
Terkadang memilih kebaikan, terkadang memilih untuk melakukan kejahatan.
Terkadang memilih untuk beradab, terkadang memilih untuk nakal seketika.
Kerana, baginya

TIADA JALAN TENGAH !

Hati hanya satu.
Maka, hanya satu jalan yang dibenarkan untuk mewarnainya.
Namun begitu, kini dalam selautan manusia yang semakin membanjiri bumi ini,
Kurang mereka memilih jalan kemenangan ini.

Jalan yang satu ini menjadi satu-satu (jarang-jarang).
Hanya segelintir sahaja memilihnya.

Antara peluang dan kehendak.
Manusia sering tertanya-tanya.

” Masih adakah peluang untuk aku berubah ? ”

Soalan yang kurang waras saya kira.
Kerana peluang untuk melakukan amal kebaikan bagi ummat manusia sentiasa terbuka.
Tanyakan pada diri anda,

” Adakah aku ini tergolong dalam golongan hamba-hamba-Nya yang mahu berubah ? ”

Manusia tiba di atas jalan,
terkadang tidak tahu tentang kebenaran jalan yang dipilihnya,
yang dituju pun tidak ketahui,
ada yang laju meneruskan langkah,
ada juga segelintir yang sengaja memerlahankan langkah,
ada yang berhenti di pertengahan jalan,
sambil berteriak, ” Ah, aku sudah penat.”

sudah terkulai lama dengan tiduran yang nyenyak,
bangkitlah,
jangan sampai terlupakan jalan cahaya.

Inilah manusia.
Niat awal untuk memilih jalan, adakalanya sudah kekurangan di situ.
Apatah lagi usaha untuk mencarinya.

Datang pula lubuk-lubuk peluang,
Maka ditepisnya begitu sahaja.
Dan ramai juga yang berpening-pening kepala,
Kerana terlalu banyak tangan manusia yang menghulurkan kebenaran melalui seruan mereka.

Tarik nafas yang panjang,
berhenti sejenak,
bertadabbur seketika,
berjalan,
perhatikan,

Dan tafsirlah apakah erti kebenaran yang sebenar.
Dan tanya pada imanmu, mana satu pilihan idaman kalbu.

Ah, apa yang saya karutkan ini.
Alkisahnya, saya pernah pada berada dalam keadaan yang sama.
Dan akhirnya, saya mencari dahulu diri saya sendiri.
Atau dalam erti kata lain,
saya evaluasi keadaan iman.

Kalau iman sudah kata nak, maka Allah sendiri yang akan memudahkan jalannya.
Alhamdulillah, pada keadaan sekarang inilah saya tercari-cari sejak dahulu lagi.

Dalam sungai kebenaran membasuh kesemua jahiliyyah diri.
Dalam hembusan udara al-haq yang tidak lagi menyesakkan dada.

Mungkin inilah nilai Islam yang sebenar.
Kebenaran.
Dan kebenaran ini tidak cukup hanya untuk kita nikmati seorang diri.
Perlu mengajak manusia yang lain juga, membuka mata dan telinga mereka,

untuk sama-sama berada atas landasan kebenaran.
Jangan penjarakan fitrah hati dengan kehendak nafsu anda yang sentiasa membuak-buak.

Sehingga akhirnya,
” Aku bosanlah ! ”

Bosan bercampur penat.
Akhirnya, mereka inilah golongan manusia yang memencilkan diri.
Selesa berada dalam tempurung jiwa ciptaan sendiri.

Tahukah anda, istilah selesa ini tidak berada dalam kamus hidup seorang manusia yang berusaha mencari kebenaran.
Paksaan juga tidak akan berkesan ke atas diri mereka ini.

Kerana dunia ini sudah cukup gempar dengan haru-biru yang menyerabutkan jiwa-jiwa keamanan.
Dan hati manusia itu, jika dipaksa mereka akan cepat sahaja meninggalkan jalan kebenaran yang mereka pilih.

Apapun jua kebenaran yang bakal mendatang menghiasi perjalanan hidupmu,
Selidiklah,
Selamilah,
pelajarilah,
dan amati rasa kepuasan mereka berada dalam jalan mengenal Allah ini.

Sungguh, rasa cinta kepada kebenaran itu adalah buah keimanan yang masak ranum dalam hati.
Dan keimanan itulah yang mendahului perjalanan kita untuk memaknai apa itu hijrah yang sebenar.

Hijrah yang benar-benar puas dalam mencari makna kehidupan yang sebenar.
Tidak lagi tersimpul mati dalam benak pemikiran.

” Untuk apakah aku dipilih untuk berada di atas muka bumi ini ? ”
” Ke manakah hala tuju hidupku yang sebenar ? ”
” Benarkah ada lagi kehidupan selepas kehidupan di dunia ini, maka perlukah aku berjuang untuknya ? ”

Hijrah yang dipilih oleh hati kita sendiri.
Hijrah yang memberi kegembiraan di alam seterusnya nanti.
Atau lebih manis,

Hijrah yang diberi petunjuk oleh Allah dan iman kita sendiri !
Hijrah ini menyediakan diri kita untuk menjadi tetamu Sang Pecinta.
Hijrah ini tidak mengajar untuk membantutkan cita-cita, malah lebih tinggi.

Sepertimana hijrahnya Rasulullah ke Kota Madinah,
seperti itu jugalah nilai erti penghijrahan diri.

Syahadah yang kita imani membawa kita kepada sebuah perjalanan hijrah.
Menjadi manusia yang lebih baru dan tinggi maruahnya.
Menjadi manusia yang lebih kuat keazamannya.
Menjadi manusia yang lebih bersedia untuk menghadapi hari-hari yang bakal mendatang.

Travelog syahadah akan mencipta satu pengalaman kehidupan yang sangat manis.
Dari syahadah membawa kepada hidayah.
Dari hidayah yang membawa kepada dakwah.

Anda manusia yang bijak dan matang.
Anda telah melihat sketsa-sketsa kehidupan masa kini.
Dan anda punyai kematian untuk dijadikan peringatan.

Manusia yang bijak itu sentiasa,
bersiap-sedia,
mengambil pengajaran,
dan mencari kebenaran.

Jangan biarkan ego mendahului,
Sebaliknya biarlah iman yang memonopoli.

Jangan biarkan manusia lain memenjara usaha anda,
Sebaliknya usaha sebaik mungkin, pecahkan segala tembok yang ada.

Jangan biarkan kebenaran itu dipalsukan,
Sebaliknya kebenaran atas kebenaran itu yang lebih mulia.

Jangan sesekali kecundang dengan halangan,
Sebaliknya jadikan halangan-halangan itu sebagai penanda kau perlu lebih cekal.

Ingat !
Kita dimuliakan kerana Islam. Maka sekiranya kita mencari  kemuliaan selain dari Islam, nescaya  Allah akan menghina kita. (Saidina Umar Al-Khattab)

Dan, jangan sesekali takut pada jalan kebenaran.
Kerana kelak, kau yang akan menjadi manusia yang paling gelabah di hadapan-Nya !

iman mengajar kita mencintai manusia

Bismillah.
Salam Ramadhan Kareem untuk kesemua pembaca yang senantiasa dihujani rahmat Allah sentiasa, inshaAllah !
Moga tidak terlambat lagi untuk anda semua menghayati bahagian kedua Ramadhan kali ini. Mohonlah maghfirah dari-Nya untuk dosa-dosa yang sengaja dan tidak sengaja anda lakukan, dosa-dosa yang kecil dan besar, dan dosa anda kepada sesiapa sahaja di atas muka bumi ini.
Paling penting, mohonlah keampunannya seikhlas mungkin.
******
Iman dan kehidupan,
Iman mengajar cinta akan kehidupan,
Iman juga mengajar cinta akan kematian,
Iman mengajar cinta terhadap manusia,
Iman juga mengajar cinta terhadap alam dan seisinya.
Bagaimana ?
Akan terasa jika kita menghamparkan tikar iman ke dalam seluruh kehidupan kita.
Segalanya kita nilai dengan iman.
Segalanya atas kehendak iman.
Segalanya untuk meningkatkan dan memelihara iman.
Mana mungkin seorang mukmin itu melakukan sesuatu perkara yang sia-sia.
Kerana dia tahu, perkara yang sia-sia tidak akan membuahkan imannya.
Kerana dia tahu, perkara yang sia-sia adalah bukan atas kehendak imannya.
Kerana dia tahu, perkara yang sia-sia tiada nilai langsung dalam iman.
Kesimpulannya, iman adalah sangat penting dalam hidup seorang manusia.
Apatah lagi bagi mereka yang bergelar mukmin.
Walaupun kesimpulan in seringkali dibuat oleh akal, namun terasa sukar sekali untuk diterjemahkan kepada hati dan amal.
Ramadhan hadiah untuk orang beriman.
Syurga hadiah untuk orang beriman.
Malah, iman adalah hadiah paling berharga untuk orang beriman.
Dengan iman, kita bertambah yakin.
Dengan iman, ruhiyyah bertambah hidup.
Dengan iman, pengharapan seakan menjadi kenyataan.
Dari persperktif dakwah dan tarbiyyah sendiri, kita tahu bahawa tarbiyyah ini adalah untuk menjaga iman kita sebagai seorang manusia.
Manusia tidak dapat menjamin keadaan imannya selagi mana dia sendiri tidak berusaha untuk menjaganya.
Ijlis bina nukmin sa’ah.
Duduk sebentar, beriman sejenak.
Kalam yang seolah menjadi kelaziman apabila mula mengenal usrah dan sebagainya. Dan kalam ini seolah memberi pengertian mengapa kita sertai semua ini.
Betapa pentingnya untuk memelihara iman kita walaupun sejenak.
Mukmin yang sedar betapa penting untuk memelihara iman dirinya, dia adalah seorang manusia yang tahu nilai dirinya.
Tanpa iman, hidup seorang manusia terasa hambar.
Tanpa iman, hidup seorang manusia hanya menyimpan anganan kosong.
Tanpa iman, hidup seorang manusia ibarat mengharapkan kebahagiaan yang tidak akan datang.
********
Bagaimana iman mengajar kita menyintai manusia yang lain ?
Hakikatnya, memang orang beriman itu perlu menyintai segenap manusia.
Kerana mereka adalah cucu-cucu Adam A.S.
Kerana mereka menyembah Tuhan yang sama.
Kerana pegangan aqidah mereka sama.
Kerana musuh yang perlu mereka perangi adalah sama.
Kerana matlamat dan tujuan hidup mereka juga adalah sama.
Dengan iman, kita buang segala sempadan dan apa jua pangkal perpisahan.
Berbezanya warna kulit, kaum, bangsa dan tempat asal itu hanyalah bukti betapa Allah itu adalah Maha Bijaksana.

Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui. (30 : 22 )

Mana mungkin sempadan itu yang kita gunakan semata mencapai matlamat kita sahaja.
Ternyata di situ, ini adalah bukti kepada kepentingan sendiri semata.
Dan siapa kita untuk meletakkan sempadan itu ?
Bukankah Allah telah mengatakan bahawa manusia yang terbaik dalam kalangan kamu adalah yang paling bertaqwa ?
Bukankah Allah telah mengajar kita untuk menghormati segenap ciptaan-Nya ?
Bukankah dakwah ini sendiri mengajar kita untuk menyeru kepada seluruh umat manusia sehingga tertegaknya kalimah al-haq di atas muka bumi ini ?
Bukankah hadis Rasulullah menyeru kita untuk mengambil hal urusan muslim yang lain ?
Maka, masihkah kita berperikemanusiaan andai masih diletakkan sempadan itu ?
Seru apa sahaja,
Banggalah dengan apa sahaja,
Percayalah,
Ia hanya terhenti di situ.
Seru Islam,
Merasai izzah dengan Islam,
Percayalah,
Kau akan menang.

Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti. (49 : 13 )

Memang Allah mencipta kepelbagaian ini untuk kita saling mengenal.
Saling berkongsi semangat perjuangan.
Saling berkongsi kasih dan sayang.
Sungguh, orang yang beriman itu tiada perasaan kebanggan tentang keturunan darah, kebanggan daerah tempat lahir, tidak ada rasa dengki antara berbagai-bagai lapisan masyarakat atau pertentangan kelas dan tidak ada rasa kedengkian perseorangan. Yang ada hanyalah perasaan cinta dan kasih sayang, persamaan dan persaudaraan antara segenap umat manusia. (dipetik dari kata-kata Yusuf Al-Qardhawi)
Melayu yang Islam.
Atau,
Muslim yang berbangsa Melayu.
Kita ini Islam pada yang utama.
Kerana ini adalah cara hidup kita yang sebenar-benarnya.
Melayu atau apa jua jenis bangsa.
Malaysia atau apa jua negara.
Bahasa Malaysia atau apa jua bahasa.
Ini hanyalah garisan sempadan secara lahiriah, bukan batiniah.
Ini hanyalah identiti ‘palsu’.
Identiti kita yang sebenar adalah, ” Aku adalah Islam ! ”
Perbezaan ini, jika diteliti dengan betul, inilah yang akan menghancurkan hammasah kita semua membina barisan-barisan yang kukuh untuk memperjuangkan agama ini.
Bayangkan dalam satu batalion tentera yang menghimpunkan sekalian tentera-tentera Islam untuk membebaskan Palestin,
” Woi, kau melayu duduk sanelah. Melayu kat belah kanan sana.”
” Apahal pulak mamat Omputih ni menyelit kat sebelah aku. ”
” Walaweh, orang Arab ni main kasar pulak dengan aku. Kang ada yang makan penampor ni. Tak start lagi perang dengan Israel, kang dengan dia ni aku perang dulu.”
(ok, ini hanya imaginasi saya semata)
” Wahai sekalian tentera di bawah pimpinanku, bersatu hatilah kalian semua. Kita semua mempunyai matlamat yang sama. Maka, cintailah kematian ini lebih dari hidupmu. Bayangkan syurga di hadapan matamu. ” kata ketua mereka semua.
Dan jika perbezaan ini yang kita pertahankan, kita telah menutup identiti kita yang sebenar.
Kerana Islam membahagikan manusia kepada dua golongan sahaja.

” Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, sesungguhnya tipu daya syaitan itu sangat lemah.” (4 : 76 )

Kebencian orang-orang yang beriman itu hanyalah pada satu lapangan sahaja.
Benci kerana Allah.
Benci kerana mempertahankan kebenaran.
Dan jika perbezaan ini yang kita pertahankan, kita tidak lagi mengenal musuh kita yang sebenar.

Sirah Islam yang gemilang satu ketika dahulu, juga memperlihatkan khalifah-khalifah Islamiyyah memperjuangkan agama Islam, menegakkan kebenaran.
Mereka menolak perbezaan-perbezaan ini kerana yang lebih penting adalah seruan kebenaran.
Kerana mereka tahu, kesemua golongan manusia berhak menerima Islam.
Dan agama Islam ini adalah sebenar-sebenar agama untuk seluruh manusia yang berada di atas muka bumi ini.
Dan jika kita meletakkan perbezaan ini di tempat yang utama, di manakah letaknya ummat Islam yang lain tetapi berbeza bahasanya, berbeza bangsanya, berbeza negaranya dalam kepentingan kita memperjuangkan dakwah ini ?

Palestin.
Iraq.
Turkistan.
Somalia.
Mereka tidak menagih simpati kita untuk mengambil berat akan hal mereka.
Memang menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil berat tentang mereka.
Islam mengikat hati-hati penganutnya untuk menangis bersama-sama, bergembira sama-sama.
Islam mengajar ummatnya untuk saling bergantungan antara satu sama lain.
Islam menyuruh ummatnya mengikat kekuatan berteraskan aqidah kerana itulah kekuatan yang teramat hebat.
Maka, para dua’t sekalian,
Haruslah kau memahami erti perjuangan yang sebenar,
Allah ghayahmu,
Syahid setinggi-tinggi citamu,
Kesatuan hatimu,
Bersama kesatuan hati dua’t-duat yang lain,
Menjadi ombak besar,
Yang bakal membelah taghut !
p/s : Malaysia-Thailand-Somalia-Indonesia-Mesir-Turkistan-Filipina
Iftar jamaie bersama antunna benar-benar mengajar erti rabithah hati kepada ana.
Betapa dakwah ini bersifat a’lamiah !
Moga kita semua terus tsabat inshaAllah !

p/s : terkesan setelah membaca buku Iman Wal Hayah (Iman & Kehidupan) karangan Dr. Yusuf Al-Qardhawi.

bila alam menjadi bingkai kehidupan

Bismillah.

Salam dakwah buat pembaca semua.

Semoga hari ini alam masih menampakkan hikmah penciptaannya kepada kita semua supaya kita boleh senantiasa mengambil pengajaran darinya.

Kerana alam itu sememangnya makhluk Allah yang sangat taat !

********

Segan tatkala mata ini memandang alam setiap kali memandang mereka.
Segan dengan zikir mereka yang sentiasa berpanjangan kepada Allah.
Segan dengan ketaatan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada pencipta mereka.

Dan milik-Nya apa yang ada di langit dan bumi. Semuanya hanya kepada-Nya tunduk. (30 : 26 )

Sungguh, benarlah Allah mencipta alam ini untuk menjadikan sumber muhasabah kehidupan kita semua !
Bukan sekadar menjadi hiasan mata, bualan mulut.
Tapi untuk mata hati menglihat dan mentadabbur dan bertafakur mengenainya.

Kecantikan alam itu memang tiada tolok bandingnya.
Syukur kepada Allah yang menciptakan mata sebagai alat untuk kita melihat.
Dan syukur juga kepada Allah menciptakan alam sebagai satu objek untuk dilihat.

Namun, apa perasaan kita bila melihat tanpa berfikir sejenak mengenainya ?
Atau itu sememangnya rutin yang kita lakukan sehari-harian.
Bila bangun, masih akan nampak matahari dan awan menghiasi langit.
Bila berjalan, masih akan nampak pepohon meredupkan pandangan.
Bila malam, masih akan nampak bulan yang bercahaya di atas sana, ditemani bintang-bintang.

Mungkin kerana kita melihatnya sebagai rutin, bukan sebagai satu hadiah kepada kita dari Allah.
Maka, kita tidak merasakan keistimewaan itu.

Alam yang banyak mengajar manusia.
Mereka ini tentera yang sangat patuh.
Lihat sahaja pada ombak yang memukul pantai.
Adakalanya tenang sahaja.
Adakalanya menjadi tsunami yang menerpa bumi.
Ini semuanya atas perintah Allah.
Dia yang mengatur segalanya.

Sungguh, kita tidak dapat menidakkan kehadiran dan kemanisan alam dalam kehidupan kita.
Bila alam menjadi bingkai kehidupan kita, akan mengembalikan rasa kagum kita kepada-Nya.

Alam ini akan kelihatan kosong bagi mereka yang tidak berfikir.
Alam ini akan kelihatan tiada apa bagi mereka yang tidak cuba menghayatinya.

Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya, Dia memperlihatkan kilat kepadamu untuk (menimbulkan) ketakutan dan harapan, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan air itu dihidupkannya bumi setelah mati (kering). Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mengerti. ( 30 : 24 )

 

Atau masih kita rasa ada kelemahan pada alam yang telah Allah ciptakan ini ?
Kita rasakan tidak cantik air itu berwarna biru.
Kita rasakan burung perlu lebih sayapnya dari dua.
Kita rasakan langit itu akan jatuh satu hari nanti kerana tiada tiang memegangnya.

Yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Tidak akan kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan yang Maha Pengasih. Maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat ? Kemudian, ulangi pandangan(mu), sekali lagi (dan) sekali lagi, nescaya pandanganmu akan kembali kepada-mu tanpa menemukan cacat dan ia (pandanganmu) dalam keadaan letih. ( 67 : 3-4 )

Tidak ada kelemahan pada alam ini.
Segalanya tampak cantik.
Seakan sesuai dengan warna dan sifat yang telah Allah berikan.
Pandanglah berulang-ulang kali, nescaya kamu akan terasa satu nafas muhasabah yang sangat segar.
Jika kamu tidak beroleh kekuatan dari manusia (ukhuwwah), maka alam juga mempunyai kuasa itu.

Dan alam ini adalah untuk menunjukkan betapa hebatnya pencipta kita, pencipta alam ini.
Malah, Dia pencipta segala-galanya.
Segalanya di bawah tadbiran-Nya.
Guguran dedaunan, bilangan titisan hujan yang turun di satu tempat.
Semuanya diketahui-Nya.
Dan bertambah indah apabila alam ini saling bergantungan antara manusia.
Alam memerlukan kita, dan kita memerlukan alam.

Keluarlah menerokai keindahan bumi Allah.
Tatapilah sepuas mata kita yang dikurniakan Allah ini.
Tatkala kau ingin melakukan kebinasaan di atas bumi, ingatlah bukan sahaja Allah, malah alam ini turut memandang kamu.
Tatkala kau terasa malas untuk mengingati-Nya, maka ingatlah kepada zikir alam ini yang tidak pernah henti bertasbih memuji-Nya.
Tatkala kau terasa lemah, lesu, maka kau hayatilah kekuatan angin yang mampu menumbangkan segala di bawah kehendak-Nya.

Sungguh, apatah lagi bagi kita para dua’t, kita perlu lebih dekat kepada alam.
Kerana alam akan berkomunikasi dengan kita jika kita berusaha untuk memahami bahasa mereka.

Ada satu perumpamaan yang dibuat.
Daie ini bagai titisan hujan.

Dan Allah-lah yang mengirimkan awan, lalu (dengan itu ) menggerakkan awan , maka Kami arahkan awan itu ke suatu negeri yang mati (tandus) lalu dengan hujan itu Kami hidupkan bumi setelah mati (kering). Seperti itulah kebangkitan itu (35 : 9 )

Jika kita hayati semula kejadian hujan,
bermulanya dengan proses kondensasi.
Tersejatnya wap-wap air yang bersih dan suci.
Wap-wap air naik sendirian (individually).
Bayangkan kalau yang tersejat, air-air yang kotor, penuh kuman, rosaklah bumi.
Dan kemudian dikumpulkan dalam awan titisan-titisan air sehingga awan menjadi berat.
Dan awan yang berat itu digerakkan oleh angin ke tempat-tempat yang memerlukannya.
Lalu menyuburkan kawasan tersebut.

Perumpamaan yang cukup indah diberi oleh murabbiah kesayangan saya.
Katanya daie ini ibarat titisan hujan.
Daie ini perlu menjadi titisan air hujan yang bersih.
Bersih hatinya dari jahiliyyah.
Dan dikumpulkan di awan beramai-ramai.
Inilah lambang amal jamaie.
Kita bukan buat kerja berseorangan.
Kita buat kerja dakwah ini beramai-ramai.
Tautan ukhuwwah dibina erat bersama.
Lalu, turunlah titisan hujan itu ke muka bumi.
Semacam kita yang ditakdirkan ke mana sahaja, pasti dakwah itu akan kita bawa.
Macam para sahabat yang dihantar ke mana jua, Islam itu yang lebih utama.
Macam nila dititikkan ke dalam satu baldi air, maka birulah airnya.
Bertempatnya kita di suatu tempat meninggalkan kesan.
Bukanlah keberadaan kita di situ hanya sia-sia.

Kita para dua’t ibarat titisan hujan yang turun muka bumi, menyegarkan.
Bukan merosakkan.
Cuba lihat hujan asid, yang telah dicemari kotoran.
Maka akan merosakkan tempat yang ia hujani.
Semacam itu juga jika anda seorang daie yang masih berat dengan beban-beban jahiliyyah, anda hanya akan merosakkan dakwah itu sendiri.

Allah bersumpah dengan alam ciptaan-Nya.
Allah berfirman tentang alam dalam kalam-Nya.
Alam juga seperti kita, dari Allah ia datang, kepada Allah jua kembalinya.
Pada hari ini, mungkin kita masih mampu menghargainya.
Pada saat hari dimamahnya bumi, ditiup sangkakala, tiada lagi peluang buat kita.

 

Benarkan jiwa kita untuk mencintai alam,
Alam telah memberi persembahan menarik untuk bersama-sama dengan manusia,
Andai diri masih kaku,
Sekadar menjadi harapan palsu, 
Jangan pernah merasakan begitu,
Rasailah perdampingan dengan alam,
Jadikan alam ini sebagai satu kitab yang mengajarkan suatu ilmu, 
Biarkan sahaja hati kita ini mencintai alam,
Akan datanglah cinta kepada pencipta-Nya.

 

p/s : cuba tanya rakan-rakan yang suka ambil-ambil gambar, mereka mesti rasa sangat kagum kan. terasa muhasabah yang sangat banyak. Allahu rabbi !

-gambar yang cantik bukan datang dari cara mereka mengambill gambar, tapi alam ini yang sebenarnya super-cantik. kamera itu hanya mainan cahaya- (photographer jgn terasa)

p/s : terkesan baru-baru ini kami mentadabbur alam dan qiamullail open-air.

 

walau seribu batu

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

*****

Walau seribu batu,
Kita akan tetap berjalan,
Kita akan tetap berlari,
Malah,
Kita akan tetap merangkak sekalipun,
Kerna kita tahu jalan dakwah ini masih panjang.

Walau seribu batu,
Aku tahu aku akan banyak terjatuh,
Namun jatuhnya aku,
Bukan tanda aku tidak akan bangkit kembali,
Aku akan tetap bangkit,
Dan kini aku pasakkan,
Aku tidak akan jatuh lagi dalam lubang yang sama.

Walau seribu batu,
Menghabiskannya sudah pasti dalam masa yang lama,
Dan aku tahu,
Dalam masa yang lama itu,
Aku akan banyak diduga,
Dan aku akan terus diduga dan diduga lagi,
Aku tahu itu bukan dugaan melemahkan,
Itu dugaan menguatkan,
Maka,
Akan ku hadapinya setabah mungkin.

Waalu seribu batu,
Aku kelihatan keseorangan,
Aku mengatur langkah sendiri,
Aku menangis sendiri,
Aku jatuh dan bangun sendiri,
Namun aku tidak akan lupa,
Dia yang sentiasa ada.

 

Kita cakap, jalan dakwah ini terlalu panjang.
Lalu kita simpan anganan yang panjang.
Dan kita berusaha sesungguhnya untuk mencapainya.
Namun,  dalam menyimpan anganan, adakah kita telah puas berusaha ?

Mungkin ya, mungkin tidak.
Pastinya, jalan dakwah bagi saya telah lama bermula dari dulu.
Sejak zaman Rasulullah lagi. Dan kini legasi dakwah itu diteruskan lagi oleh barisan-barisan yang faham akannya.
Baik yang muda mahupun yang tua.
Pemuda banyak tenaganya.
Yang tua banyak pengalamannya.

Kita saling melengkapi.
Dan kita bakal menggantikan mereka tidak lama lagi.
Kitalah pemuda itu.
Kitalah golongan itu.

Jadi, mulai sekarang janganlah kau terlalu menghimpitkan diri dengan masalah kau sendiri.
Jelas, masih banyak masalah yang perlu fikirkan.
Bukan memandang enteng begitu sahaja.
Kita bermimpi untuk ummah.
Kita bekerja untuk ummah.

Jika bukan kita yang menjadi pemuda itu,
Atau menunggu pemuda-pemuda yang lain berusaha ke arahnya,
Di manakah kita saat itu ?

Jadilah pemuda yang faham.
Jadilah pemuda yang cintakan akhirat lebih dari cinta dunia.
Jadilah pemuda yang tinggi himmahnya.
Jadilah pemuda yang khusyuk ibadahnya.
Jadilah pemuda yang murni akhlaknya.

Kerana ummah ini perlukan kita.
Ummah memerlukan golongan pemuda macam kita.

Pemuda itu tunggak sebuah negara.
Negara yang hancur akan terhasil dari pemuda-pemuda yang hancur.
Pemuda yang hancur akan menghasilkan negara yang hancur.

Mahukan kita menjadi pemuda yang hancur dan leka ?
Leka dari tanggungjawab sebenar.
Hancur dalam pembinaan dirinya.

Ya, sebab itulah lengkapilah diri kau wahai pemuda,
Dengan Islam agamamu yang sebenar,
Tarbiyyah yang bakal menjamin keadaan dirimu,
Dakwah yang bakal memandui perjalananmu yang masih jauh itu.

Usah lah kita merasakan kita terlalu selesa dengan dunia.
Kerana tanpa sedar, dunia ini kian tenggelam.
Tenggelam dalam kelekaan.
Dan kitalah,
golongan pemuda yang bakal mengejutkan dunia.

Kejutkan ummah,
Bangkitkan semangat ummah,
Jangan pernah putus asa dengan usahamu,

Kita bukan sahaja pemuda bangsa,
Malah bukan sahaja pemuda untuk sebuah negara,
Kita adalah pemuda ummah ini !

Wahai pemuda,
Sedarlah !

Kita bukan ingin menjadi pemuda yang sia-sia,
Kiat ingin menjadi pemuda yang berguna,
Berguna untuk bangsa,
Berguna untuk negara,
Malah berguna untuk agama.

Kita barisan pemuda yang memberi khidmat,
Setiap masa, setiap tempat,
Sebagai hamba kepada Allah,
Sebagai khalifah kepada bumi,
Sebagai daie kepada dakwah,
Sebagai penolong kepada agamaNya,
Sebagai pembantu kepada manusia.

sekian,
dari seorang pemudi yang akan terus menjaga hammasahnya demi agama !