tolok ukur kecantikan jahiliah

Kecantikan begitu sinonim dengan wanita atau perempuan. Ciptaan kaum Hawa ini sememangnya ingin sentiasa kelihatan cantik malah suka dipuji cantik.

Ayat menggiur dari kaum Adam “cantiknya awak hari ni!” atau “awak la perempuan paling cantik yang pernah saya tengok sepanjang hidup!” menjadi umpan untuk mengambil hati seorang wanita. Pick up line yang semakin maju mengikut peredaran zaman tetapi tidak lari tema asalnya iaitu wanita dan kecantikan.

Kecantikan(jamil) adalah fitrah yang Allah berikan kepada semua manusia, malah Tuhan sendiri menyukai sesuatu yang bernama kecantikan. Tetapi dunia kini menyaksikan seorang manusia menjadi kuda tunggangan kepada kecantikan sedang kecantikan bukanlah satu makhluk yang hidup!

Produk-produk kecantikan pelbagai jenis di pasaran semakin banyak  ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Namakan apa sahaja bahan asas yang anda rasakan sesuai, pasti ada di dunia ini. Teknologi sekarang juga memudahkan proses untuk memilikinya.

Saya kira, keadaan ini mendatangkan kebaikan dan keburukan. Membuka peluang keusahawanan tanda meraikan berniaga adalah sunnah Baginda SAW, serta menolong para wanita di luar sana untuk merawat masalah-masalah kecantikan yang kronik.

Namun, pada satu sudut pandang yang lain, saya terfikirkan keadaan wanita yang kurang berkemampuan tetapi obses membeli produk-produk sebegini? Tidakkah mereka tertekan tatkala tanpa sedar mereka telah membazirkan wang pada hal yang tidak berapa penting berbanding hal yang lebih penting.

Sudahlah ekonomi negara merosot, dan masih banyak keperluan lain yang memerlukan penggunaan. Sekadar ala kadar, saya kira tidak salah. Tetapi budaya berlebihan-lebihan ingin menjadi cantik itu yang salah.

al-ahzab-33

Kerana itulah kalimah tabarrajna digunakan oleh Allah, bukanlah kalimah jamil/jamilah yang lazim kita dengar. Tabarrajna ini berasal dari perkataan asal burj. Burj membawa erti kata menara dalam Bahasa Melayu.

Apa yang ada pada sebuah menara?
Ya, sebuah menara di mana-mana pun di atas muka bumi ini adalah signifikan kebanggaan menonjol yang ingin dipamerkan supaya orang yang melihatnya merasa tertarik. Lihat sahaja menara-menara terkenal dunia kesemuanya menjadi lambang yang cukup mahsyur.

Sebut Menara Eiffel, di dalam kepala kita akan terlintas Kota Paris. Sebut Menara Condong Pisa pasti kita membayang negara Itali, kota romantis terkenal dunia. Beginilah sifat sebuah menara, kemegahan yang mengasyikkan!

Di dalam firman surah Al-Ahzab ayat 33 di atas, Allah tidak menggunakan kalimah jamil/jamilah menjadi bukti bahawa:

  1. Menjadi cantik tidak salah, malah satu tuntutan dalam agama.
  2. Cantik adalah fitrah manusia yang boleh diraikan.

Betapa indah Allah ingin mengabadikan maksud cantik yang sebenar di dalam Islam. Saya yakin terlalu banyak salah faham seorang manusia dalam mendefinasikan sebuah kecantikan yang sebenar. Antaranya adalah:

  1. Kecantikan luaran lebih penting dari kecantikan dalaman.
  2. Kecantikan untuk dipamerkan dan dipuji oleh orang sekeliling.

Saya tidak menundingkan kesemua salah faham ini berlaku kerana salah pihak wanita sahaja kerana wanita adalah mangsa keadaan kepada sebuah kecantikan.

Konsep pertama yang perlu difahami adalah : wanita solehah tidak memandang dan tidak dipandang. Tidak memandang merujuk kepada perihal malu seorang Muslimah yang menjaga batas pandangannya.

Tidak dipandang merujuk kepada perihal wanita Muslimah ini bukanlah bahan tayangan/jualan terbuka kepada seluruh umat manusia. Wanita Muslimah hanya layak dipandang (dalam kata lainnya menjadi qurratu a’yun@penyejuk mata) buat mahramnya sahaja. Jika ia belum berkahwin, selayaknya ia hanya berhak menjadi penyejuk mata buat ayahanda dan ibundanya. Jika ia sudah berkahwin, kecantikan dirinya adalah penyejuk mata buat suami tercinta.

Mengapa dalam hal ‘tidak dipandang’ para wanita menjadi mangsa keadaan?
Apabila kecantikannya tidak dihargai oleh orang-orang yang berhak, maka seorang wanita mencari sumber lain penghargaan kecantikannya walhal sumber lain itu tidak berhak untuk memandang kecantikannya.

Buat para ayah di luar sana, saya anjurkan anda pujilah anak-anak perempuan. Katakan pada mereka bahawa mereka cantik dan mereka adalah penyejuk mata anda. Buat para suami, pujilah isteri anda kerana andalah selayaknya menikmati kecantikan mereka! (acknowledgement) 

Jangan biar orang lain mengambil hakmu wahai para ayah dan suami. Dan buat kamu para wanita, ingatlah pandangan mata orang yang berhak WAJIB kamu jaga. Jangan di dalam rumah kamu kelihatan hodoh tetapi di luar rumah kamu kelihatan persis bidadari!

Kembali kepada budaya berlebih-lebihan dalam kecantikan. Bagaimana dikatakan berlebih-lebihan dalam kecantikan(erti sebenar tabarruj jahiliah)?

  1. Apabila kecantikan itu terkeluar dari landasan agama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariah(beautification in non-shariah compliance way)
  2. Apabila kecantikan luaran membuatkan kita terlupa akan hakikat kecantikan dalaman(TERLUPA: taqwa adalah sebenar-benar dan sebaik-baik perhiasan).
  3. Apabila kecantikan mengundang pembaziran demi pembaziran dilakukan.
  4. Apabila kecantikan mula memberi kesan buruk kepada fizikal(kesan kepada kesihatan diri) atau ruhani diri(tertekan, timbul rasa riak, bangga diri, lupa diri, iri hati dll).
  5. Apabila kecantikan menjatuhkan maruah kamu malah menjauhkan kamu dari kemuliaan seorang wanita Muslimah (menjadi bahan usikan dan perbualan lelaki, menjadi mangsa kekejaman lelaki dll)

Mari kita selami pula erti kata jahiliah. Melalui rujukan saya ceramah Ustaz Nouman Ali Khan, jahiliah membawa maksud tidak tahu(not knowing) dan tidak berfikir(not thinking). Kata beliau lagi, “You don’t know the impact the way you dress on yourself, and you don’t know the impact you dress on another people…this is tabarruj jahiliah. You’re not thinking clearly.”

Tabarruj jahiliah adalah kecantikan yang tidak berada pada lorong yang betul.

2

 

Kecantikan hakiki yang sepatutnya dimiliki oleh seorang wanita Muslimah adalah kecantikan yang memberi kebaikan dan manfaat.

Beauty does not have any specific measurements. Take note about the original beauty deep down inside you because that’s what matter. Get off the scale and live your life. You are beautiful!

Sekian,
mylittlepencil

P/S: Saya bukan mengeji produk-produk kecantikan apatah lagi mengeji cara-cara yang dilakukan wanita untuk menjadi cantik, hanya semata ingin mengetengahkan hakikat kecantikan yang sebenar.

 

Sumber rujukan: https://www.youtube.com/watch?v=9jqJvzSecWw

jangan cepat melatah!

Bismillah. Ah, sudah lama rasanya tidak menulis di sini.

Berteduh di bawah satu bendera Malaysia bersama anda semua membuat kita tidak kering minda dari  isu-isu yang menarik di Malaysia. Tipulah jika kita mengatakan bahawa kita tidak ambil endah langsung. Sedangkan saya sendiri tergelak melihat upacara Raja Bomoh Malaysia berjampi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan di tepi sebuah lebuhraya kononnya dia ingin mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut.

Terkadang saya memikirkan, bagaimana kita semua akan matang di dalam ‘sekolah pemikiran’ Malaysia yang mendidik rakyatnya begini. Kita dihujani dengan pelbagai isu dalam keadaan kita begitu cetek ilmu. Sudahlah begitu, memikirkan sesebuah isu itu dengan lebih serius pun kita tidak mahu.

Buah-buah pemikiran aneh pun turut terpamer.
Sampai blank saraf-saraf otak dibuatnya!

Isu-isu begini seolah menukarkan cara pemikiran kita yang sebelum ini lebih matang kepada cara berfikir budak sekolah rendah. Saat ini kita mengimani setiap manusia itu bebas melontarkan pandangan masing-masing. Tetapi malangnya setiap dari kita melontarkan pandangan yang  begitu bodoh!

Malah, akhlak juga menjadi keji hanya dengan mengeluarkan pendapat.
Agama juga turut mendapat tempiasnya.

blablabla

Kita lontarkan pandangan tanpa kita mengkaji hujung pangkal sesebuah isu. Lebih buruk, kita mendakwahi manusia yang lain untuk mengikut pendapat kita itu dan mengaku itulah pendapat yang paling benar.

Wahai para dua’t, mengertilah kita harus siddiq dalam melontarkan pandangan.

Ya, kita sememangnya bebas dalam memberikan pendapat tetapi tidaklah sampai melanggar hak etika terhadap manusia yang lain. Dalam konsep ini, kita harus beralah dan terus mengkaji.

Jangan kerana isu-isu yang berlaku di sekeliling kita, kita cepat melatah. Kita bukan lagi manusia yang memandang sesebuah isu itu dari permukaannya sahaja, tetapi kita memandang dengan cahaya akal seorang pemikir.

Antum wahai dua’t sewajarnya mengeluarkan pendapat yang paling bernas sekali kerana pendapat-pendapat kitalah yang diperlukan oleh ummah ini. Tidaklah mengatakan bahawa pendapat kita paling benar, tetapi sekurang-kurangnya pendapat kita mempunyai landasan agama yang betul.

Jangan pelik, dalam kebersamaan kita merasakan Raja Bomoh itu tidak logik, ada lagi rakyat Malaysia yang merasakan kuasa-kuasa mistik begitu satu hal yang bernas tatkala satelit-satelit canggih tidak mampu lagi untuk mencari pesawat MH370!

Kelakar bukan?
Buktinya, masyarakat kita masih lagi ada yang percaya pada perkara-perkara tahyul yang telah pun difirmankan  oleh Allah sejak dahulu lagi.

“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir, mereka mengajarkan  sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat Harut dan Marut di negeri Babilonia. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan, “Sesungguhnya kami hanyalah cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kafir. Maka mereka mempelajari dari keduanya apa yang (dapat) memisahkan antaranya seorang (suami) dengan isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dengan sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barangsiapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak dapat mendapat keuntungan di akhirat, Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dengan sihir, sekiranya mereka tahu. ” (2:102)

Isu-isu sebegini yang akan mengusik akal-akal suci kita akan sentiasa berlaku, malah mungkin lebih hebat lagi pabila masa akan datang. Tetapi, sebagaimana dahsyat pun isu di Malaysia, kita masih lagi kekurangan dua perkara iaitu : sensitifnya hati dan bergeraknya amal.

Sensitifnya kita sebagai manusia tidak hanya boleh dinilai dengan kelantangan kita dalam mengeluarkan sebuah pendapat. Tanda wajib yang menunjukkan kita sensitif ialah :

  1. Kita kaji dengan teliti
  2. Kita merujuk dari orang-orang yang alim dalam bidang tersebut
  3. Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah

Saya lihat, tidak ramai daie yang akan berbuat begini. Kebanyakannya hanya cakap membabi-buta tanpa usul periksa. Ini satu petanda bencana yang besar dalam ummat ini tatkala seorang daie itu pun turut sama mencair dengan masyarakat dalam mengeluarkan pendapat.

Kerana itu, apabila kita berada di dalam sebuah sistem halaqah, kita wajib membincangkan qadaya ummat ini dengan lebih dalam. Penuh dengan perasaan dan fakta yang berkaitan. Kita para dua’t tidak mahu menjadi  ‘keratan-keratan akhbar’ kepada masyarakat yang menyampaikan pendapat-pendapat yang kosong.

Apa yang saya takuti, kita akan dibunuh dengan isu-isu yang melanda ini. Sampai kita tertinggal dari memikirkan hal-hal yang lebih aula. Sudahnya, kita hanya tenggelam dalam memikirkan hal-hal picisan begini  dan fikiran kita hilang kemuliaannya!

Kemuliaan dalam berfikir ini sebagaimana yang telah Allah angkat di dalam Al-Quran dengan seruan , “Wahai orang-orang yang berfikiran”, “Wahai orang-orang yang berilmu” memberi satu nilai yang besar dan berharga buat ummat manusia. Bukan sekadar membezakan dari makhluk-makhluk Allah yang lain, bahkan turut membezakan kita dari golongan-golongan manusia yang tidak menggunakan akal ini dengan sebaiknya.

Betapa beruntung buat manusia yang menghargai nikmat akalnya!
Mari kita nilai semula akal kita.

Berapa ramai dari kita yang saban hari memikirkan hal ummah sehingga tidak tidur malam?
Berapa ramai dari kita yang mengkaji sesebuah isu itu sedalam-dalamnya ?
Berapa ramai dari kita yang mampu membentangkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis berkaitan dengan segala isu yang terjadi?
Berapa ramai dari kita yang memikirkan hal-hal yang penting ?
Berapa ramai dari kita yang mengosongkan pemikiran dari hal yang sia-sia?

 

Isu MH370.
Isu Ustaz Don.
Isu Karpal Singh.
Isu Palestin.
Isu konsert.
Isu anak luar nikah yang semakin berlambak. (atau masih ada yang merasakan ini bukan satu isu yang penting?)
Isu masalah maksiat berleluasa.

Lihat, banyak masalahnya bukan. Belum lagi dicampur dengan masalah-masalah peribadi kita. Lambakan masalah ini akan kian bertimbun sekiranya kita tidak bergerak dalam sebuah amal. Sebuah amal yang dapat menyelesaikan masalah-masalah ini semua.

Ya, aku yakin para dua’t semuanya sedang bekerja.
Maka, tenggelamlah dalam lautan kepenatan dan hamparan kesibukanmu beramal!

Ini peluang keemasan untuk kita bekerja keras dalam menyelesaikan masalah-masalah di atas. Pastinya, kamu tahu apa puncanya bukan?

Sistem amal kita : mengubati punca kepada sebuah penyakit, bukan hanya simptom-simptomnya sahaja yang kita rawat.

Jangan menjadi daie di bawah tempurung. Hanya selesa berada sesama kelompok kamu sahaja mendengar pendapat-pendapat sesama dua’t.  Sesekali kita bicara bersama mad’u-mad’u kita untuk mengetahui apa dalam benak pemikiran mereka supaya kita belajar sesuatu tentang realiti dunia.

Musim telah berubah.
Kini manusia bukan sekadar menerima, tetapi mereka bijak berfikir dan mengolah tentangnya.
Manusia kini bukan lagi manusia-manusia kampung.
Manusia kini semuanya sudah berani melalak!

Isu-isu yang berlaku sekarang memberi gambaran betapa dahsyat dunia akan datang.
Juga, betapa kronik akan keadaan ummah ini.

Mungkin musuh sedang bertepuk tangan gembira melihat kita begini.
Di sana mereka meraikan ‘kebodohan’ kita.
Di sini kita sibuk merayakan betapa ‘cerdik’nya  cara kita menyambut pelbagai isu yang terjadi.

Maka, para dua’t bersedialah masuk ke dalam ummah ini!

Memerlukan otak-otak yang geliga.
Ihtimamlah  dengan tarbiyyah,
dan bergeraklah dengan laju dalam jalan dakwah ini.

Mari kita ajak semua manusia untuk sama-sama menjadi peta fikiran yang bijak.
Jangan cepat rebah dan melebur sahaja nilai kemanusiaan itu.

sekian,
mylittlepencil
sekadar coretan pendek