COVID, MEDIA DAN DAKWAH KITA

Assalamualaikum buat semua ikhwah akhawat seperjuangan!

Di sebalik hikmah wabak virus Corona yang melanda negara, memaksa kita para dua’t untuk lebih berseni dan versatil dalam dakwah. Hebat bukan pengajaran ini buat kita semua meskipun banyak dugaan yang terpalit dalam kehidupan terutamanya dari sudut ekonomi.

Saya bangga melihat anggota jemaah  memberi komitmen pada media jemaah yang mempamerkan segala wasilah tarbiyah sedaya upaya demi menjaga nilai islam dalam diri.

Tidak pernah terlintas, sebegini besar impaknya. Dulu terasa mustahil untuk kita buat usrah, daurah, jilsah secara online. Nah, zaman sekarang mempamerkan kita mesti belajar segala skil ini demi kelansungan dakwah.

Pendakwah moden arus bergerak seiring dengan dunia. Mana mungkin kita ingin bersaing sekiranya dalam garis masa kemajuan dunia tetapi kita tercicir di belakang. Jika kita para pendakwah yang bijak dan ingin sentiasa berada di hadapan, kita akan menggunakan setiap sisi media sosial untuk menampilkan Islam sebagai cara hidup yang terbaik.

Fikirkan bagaimana untuk mendekati barisan remaja alaf baru dengan Islam jika anda sendiri tiada media sosial seperti Twitter atau TikTok untuk mendekati mereka?

Jangan rasa berdosa untuk menggunakan media sosial kerana niat kita adalah untuk mendepani dunia dakwah sebagai trend masa kini. Tidak dapat saya nafikan bahawa metode lama sudah ketinggalan zaman.  Kita harus mempunyai pengaruh media yang kuat untuk mengajak manusia.

Saya suka apabila melihat ikhwah atau akhawat yang menonjolkan diri mereka sebagai influencer atau entrepreneur dalam masyarakat. Ya, mereka mudah untuk mendekati masyarakat dan saranan mereka mudah diterima.

Skill melakukan usrah atas talian/online yang lancar.
Skill untuk menguruskan daurah atas talian menggunakan Google Meet.
Skill untuk menguruskan ceramah secara langsung melalui FB live, Youtube Live dan pelbagai lagi.
Skil edit poster atau apa jua bahan media.

Semua ini bukan mudah bagi seseorang untuk melakukannya bahkan ada antara ikhwah akhawat yang menjadikannya sebagai kerjaya! Hebat bukan?

Dan semestinya orang yang paling hebat merencanakan hal ini dalam jemaah adalah ikhwah akhawat yang memang berkecimpung dalam media.  Media juga adalah salah satu frontliner untuk mana mana organisasi.

Tidak peliklah Dewan Pemuda Pas Malaysia sendiri pun guna FB Ads untuk kutip derma bagi Muktamar mereka. Bagi saya, ini adalah tindakan yang bijak. Teknik pemasaran mereka hebat!

Ya, dakwah adalah bisnes kita. Bukankah bisnes yang bagus disokong dengan media yang bagus?

Tiada media, lapuklah sesuatu fahaman apatah lagi untuk bertahan lama dalam arus semasa.

Saya yakin kita selalu ahli jemaah kagum atas kebolehan yang dimiliki mereka. Namun, kelihatan kadang kala kita mengambil kesempatan.

“Enta ada kamera, enta AJK medialah.”
“Enti pandai main Adobe kan? Buatkan poster untuk program ni.”
“Enta pandai setting multiple camera kan. Minta tolong untuk satu program.”

Semuanya kita anggap kerja automatik. Tiada langsung budi bicara yang formal sebagai tanda hormat. Kita terlupa, mereka juga manusia biasa.

Kita wajib menghargai bakat yang ada pada ikhwah akhawat. Jangan pandang rendah dan ambil mudah apatah lagi jika itu kerjaya mereka.

Kerja media juga melibatkan masa.
Kerja media juga melibatkan tenaga.
Kerja media juga melibatkan kepakaran.
Kerja media bukan percuma.

Ramai ikhwah akhawat di dalam media yang hancur hati apabila kita terus mengambil kesempatan terhadap mereka. Lama kelamaan mereka penat.

“Enta niatkanlah untuk dakwah. Moga Allah ganjari dengan pahala tertinggi.”
“Enti anggap ini jihad untuk dakwah. Enti dah lama dalam IKRAM kan?”

Ayat klise tarbawi ini jangan sesekali digunakan sebagai balasan atau imbuhan. Tidak sesuai.

Mereka juga ada anak dan isteri untuk disara.
Mereka juga ada barang keperluan untuk dibeli.
Mereka juga ada bil untuk dibayar.
Mereka juga ingin meneruskan kehidupan sebagaimana biasa.

Renungilah semula. Jangan terlalu miskin jiwa sampai tegar membiarkan ikhwah akhawat ‘berjihad’ dalam dakwah sedangkan kita tidak pernah tahu akan kesusahan hidup mereka.

Terlalu miskin jiwa juga menghampiri kekufuran.

Keperluan wang tiada kaitan dengan pahala.
Kita selaku pihak wajib memberikan imbuhan jika perlu.
Pahala adalah urusannya dengan Tuhan.

Mengapa kita ingin ambil alih kerja Tuhan memberi ‘pahala’ kepada kerja ikhwah akhawat?

Jangan melabel nilai ‘jihad’ begitu mudah sesedap kata.

Leave a comment