dalam menyambut kepulangan fitrah

Bismillah.

Salam Aidilfitri buat tetamu yang datang menyinggah.
Di kesempatan yang mulia ini, saya ingin memohon maaf di atas segala salah dan silap yang saya lakukan, sama ada sengaja atau tidak sengaja.

******

Bakal menyambut fitrah yang akan kembali.
Dan telah berlalunya satu bulan yang amat barakah bagi mereka yang beriman.

Perginya satu, datang satu yang kemudian.
Sudah menjadi adat, ada pertemuan pasti ada perpisahan.

Saat bertemunya kita dengan Ramadhan,
Hati melonjak keriangan.

Ya, di ketika inilah pahala amal ibadat digandakan berlipat-lipat kali ganda.
Ya, di ketika inilah qiyamulail senang untuk dilakukan kerana mudah bangun awal (sahur).
Ya, di ketika inilah nafsu makan dan minum dapat dilatih dengan lebih sempurna (bulan seterusnya, senang sikit nak diet).

Tidak, ini adalah tanggapan hamba Ramadhaniyyin, bukan rabbaniyyin.
Tanggapan bagi mereka yang beriman dengan keadaan, bukan beriman dengan Allah itu sendiri.
Memang benar, Ramadhan adalah hadiah dari Allah kepada kita.
Tetapi bukankah Ramadhan juga ada penghabisannya ?
Maka, apakah erti kehambaan kita pada bulan yang lainnya ?
Dan apakah keimanan kita akan terhenti di situ ?

Sungguh, hamba yang rabbbani itu beriman pada Tuhannya setiap masa.
Setiap ketika.
Setiap keadaan.
Setiap tempat.

Kerana dia tahu, dia adalah hamba kepada Tuhannya sepanjang masa selagi nyawanya belum diambil, selagi nafasnya belum terhenti.

Allahuakbar !
Allahuakbar !
Allahuakbar !

Laungan takbir kemenangan dilaungkan.
Berkumandang di televisyen, corong-corong radio.
Paling manis adalah apabila kita sendiri yang melaungkannya, bukanlah sekadar mendengar.

Namun, dalam beroleh kemenangan, telah adakah kebebasan ?
Telah wujudkah kesedaran dan keinsafan ?
Telah datangkah satu pembaharuan ?

Kebebasan dalam erti kata hamba kepada Allah, bukan lagi hamba kepada hawa nafsu.

Kesedaran dan keinsafan dalam beribadah. Muhasabah kembali nilai-nilai ibadah yang dipersembahkan kepada Allah sebelum ini.

Satu pembaharuan yang melahirkan seorang insan yang seolah baru sahaja dilahirkan dari  rahim ibunya. Suci dan bersih.

Mengapa kepada fitrah yang baru ?
Bulan Ramadhan adalah satu bulan penyucian.
Satu bulan pembersihan.

Penyucian buat ruhiyyah seorang hamba.
Pembersihan buat hati seorang manusia.

Setelah bergelumang dunia, dilanda badai-badai kehidupan selama 11 bulan lamanya, kita dihadiahkan satu bulan untuk kita seolah berehat sebentar dari penatnya dunia.

Untuk peroleh kembali tenaga.
Untuk peroleh kembali kesejahteraan rohani.

Ahlan wasahlan Ya Ramadhan !
Ucapan agung diucapkan bagi menyambut kedatangannya.
Ternyata tetamu-tetamunya dipilih dengan teliti.
Dan barakahnya bulan ini adalah bagi sesiapa mereka yang berusaha ke arahnya.

Dan kini,
Selamat tinggal Ramadhan.
Pelbagai persoalan mula timbul dalam benak pemikiran.

Apakah aku sempat berjumpa dengan Ramadhan pada tahun-tahun seterusnya ?
Ah, tidak berani untuk dijamin sesiapa.

Apakah Ramadhan yang baru sahaja selesai ini telah aku manfaatkan sebaiknya ?

Dan kini, setelah berakhirnya Ramadhan kita kembali kepada fitrah yang asalnya.
Ada sesetengah pendapat mengatakan adalah kerana ada ibadat tertentu tidak boleh dilakukan pada bulan-bulan lain melainkan Ramadhan sahaja.
Ada pula pendapat kerana syaitan telah dilepaskan dari belenggu mereka dan akan kembali dengan kerja mereka menghasut manusia dan mengheret manusia ke arah kecelakaan.

Namun, bagi saya,
Fitrah yang dimaksudkan adalah fitrah manusia yang memerlukan agama Islam sebagai cara hidupnya.

Kami terjaga (di petang hari) dalam fitrah Islam, dan kalimat ikhlas dan dalam agama Nabi kami, Muhammad S.A.W dan dalam millat (ajaran) bapa kami Ibrahim yang hanif (lurus) sedang dia bukan seorang musyrik.

Doa ma’thur yang kerap kita ulang setiap pagi dan petang.
Memberi keyakinan kepada kita agar menjadikan Islam itu adalah fitrah seorang manusia.

Apa jua agama anutannya, Islam adalah yang terbaik.
Apa jua pegangannya, Islam adalah sebaik-baik pegangan.
Apa jua celupan atau tali pergantungan, Islam adalah sebaik-baik pilihan.

Bulan Ramadhan seolah membuka hijab hati yang dahulunya payah untuk memahami erti sebuah kehambaan.
Bulan Ramadhan seolah memberi nafas kepada jasad yang dahulunya hanya bergantung kepada kebahagiaan yang dijanjikan dunia.

Kesimpulannya, bulan Ramadhan adalah satu bulan yang ingin mengajar kita agar kita kembali kepada fitrah kita yang sebenarnya.

Dan bila fitrah telah tersedia dengan baik ketika Ramadhan, maka kita akan menjadi produk yang tahan lama pada bulan-bulan seterusnya sehinggalah kita bertemu semula dengan bulan Ramadhan yang seterusnya, biiznillah.

Bulan Ramadhan, bulan untuk mengecas kembali.
Bulan Ramadhan, bulan latihan.
Bulan Ramadhan, bulan persediaan.

6 bulan sebelum bertemu Ramadhan,
” Ah, lama sudah aku merindu. Cepatlah kau datang memberi kasih kepadaku. ”

Setelah bertemu Ramadhan,
” Tidak puas aku memadu kasih  denganmu. Sebulan itu ku rasakan bagaikan sedetik yang berlalu begitu sahaja.”

Rindunya kita terhadap Ramadhan bagaikan Qaisy yang merindui Lailanya.
Sayangnya kita terhadap Ramadhan bagaikan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
Cintanya kita terhadap Ramadhan bagaikan sang isteri yang tidak pernah berbelah bahagi cintanya terhadap suami tercinta.

Begini hebatkan penangan Ramadhan ?
Ya, sebegini hebatnya.
Malah, lebih hebat lagi.
Sehingga tertangis tangisan-tangisan kesyahduan menangisi pemergian.
Sehingga muram wajah tatkala mengerjakan terawih pada malam yang terakhir.

Biarlah nafsu itu lebur rantainya dari badan ketika Ramadhan.
Biarlah kita terlepas dari perangkap sama duniawi ketika Ramadhan.

Dalam menyambut kepulangan sebuah fitrah,
Maka wajarlah dan haruslah,

PERSEDIAAN KE ARAHNYA SERAPI YANG MUNGKIN !

*******

Untuk kamu. 

Buat yang saya kenal dan saya tidak kenal,
Buat yang saya pernah bersua dan tidak pernah bersua,
Saya meminta seribu kemaafan dari kalian.

Moga Ramadhan yang telah berlalu adalah antara Ramadhan yang terbaik.
Dan berdoalah dari awal agar Ramadhan seterusnya menyambutmu kembali.
Teruskanlah keistiqamahan kamu dalam beribadat yang telah kau latih selama sebulan lamanya.

Allahumma balighna Ramadhan !

Eid Mubarak! Taqabbalaha minna wa minkum…

p/s : akan bersolat sunat Hari Raya bersama Ikhwanul Muslimin. moga Allah permudahkan !

Raya Korban-Irbid

Rumah Muriyyat sudah mula sibuk mengemas rumah, masak-masak di dapur untuk sajian hari esok. Mee kari menjadi hidangan untuk tetamu hari esok.

Esok hari yang istimewa buat seluruh umat Islam, tetapi saya kurang pasti tentang penghayatannya terhadap perayaan ini. Kerana negara tercinta saya sendiri cuti hanya sehari sahaja, tetapi negara Arab, cutinya sampai seminggu.

Korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S bukan korban biasa-biasa, menjadi  tanda ketaan seorang hamba kepada tuhannya. Jika ditanya emak atau ayah mana sanggup menyembelih anaknya sendiri, tidak ada yang sanggup. Tetapi kesanggupan Nabi Ibrahim membuktikan segalanya, tiada apa yang mampu menghalang perintah Yang Maha Esa. Dan apatah lagi apabila anak sendiri merelakannya jua.

Saat berderai jatuh titisan air mata suci Ibrahim,

Melihatkan keteguhan iman anaknya Ismail,

Dikala saat  itulah bermula sejarah agung,

Erti sebuah pengorbanan,

Pengorbanan yang menuntut segalanya,

Meskipun nyawa yang menjadi taruhan,

Dan apa jua pengorbanan,

Pasti ada kerelaan.

salam aidiladha 2010

ikhlas dari mylittlepencil

malam 9 Zulhijjah yang sepi, sarat dengan kerinduan

 

 

 

 

jalan-jalan raya….

Hari ini hari yang penat. Penat dengan banyak perkara. Penat beraya antara sebab yang utama. Cuma tiga rumah yang saya ziarah, tapi kalau dah berbual, memang lama, sampai lupa tengok jam. Petang balik dari beraya, kena pula bawak adik-adik jalan-jalan di taman. Memang penat…

Alkisahnya, beraya di rumah rakan-rakan yang istimewa. Mereka istimewa, masakan yang istimewa dan waktu istimewa digunakan untuk perkara yang istimewa (buang masa berborak2). Dan ini gambar-gambarnya.

—————————————————————————————————————————————–

Tapi ini bukan isunya yang sebenar. Isu yang sebenar, saya dan  seorang budak istimewa sempat bertadabbur ayat Al-Quran dalam kereta kepunyaan ibunya.

Ini waktu yang paling istimewa. Sudah lama tidak terbasuh hati. Sudah lama kering. Sudah lama tidak terkena tembakan yang berdas-das. Dan yang paling istimewa, dia sendiri yang meminta. Sayu sungguh melihat dia. Dia yang telah menjalinkan hubungan ukhuwwah kerana-Nya dengan saya sudah lama.

Terima kasih ALLAH kerana pertemukan kami :))

—————————————————————————————————————————————–

Kami mentadabbur ayat Al-Maidah bermula dari ayat 51 sehingga 57.

Ayatnya sangat menarik dan memberi semangat terutama tatkala kesusahan.

Dan yang paling saya tertarik, dengan ayat ini,

Sesungguhnya,penolongmu hanyalah ALLAH, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, seraya tunduk (kepada) ALLAH ” (5:55)

Dalam ayat ini ALLAH cuba untuk menceritakan kepada  kita bahawa  wajib, sepatutnya dan mesti meminta pertolongan kepada yang sepatutnya. Tidak ada lagi yang lain. Semua yang ALLAH nyatakan dalam firman-Nya adalah yang paling sesuai buat kita, sebagai orang-orang yang beriman.

Dalam ayat (51-57) ini, ALLAH telah menyeru tiga kali kepada orang-orang yang beriman dengan seruan-seruan yang penting dan bermakna (sila rujuk).

Secara langsung membuktikan bahawa iman adalah titik penting dalam perancanaan hidup seorang Muslim. Islam dan iman mana mungkin dipisahkan, bahkan tidak patut diceraikan.

Jangan ada islam sahaja, kelak anda tidak akan yakin kepada ALLAH.

Jangan ada iman sahaja, tetapi tidak ada agama sebagai panduan  hidup anda.

Mesti ada dua-dua.

Tetapi dunia sekarang, hanya ada Islam. Iman entah ditinggalkan dimana-mana. Mengaku bangga pada nama dan agama sendiri, tetapi bila bermain dengan hati, entah yakin atau tidak dengan kuasa Ilahi, entah redha atau tidak dengan ketentuan-Nya dan entah kan menerima atau tidak segala hukum-hakam yang telah ditetapkan.

Mengapa saya berkata begini ?

Kerana agama Islam agama ummah. Kerana agama Islam perlukan penganutnya beriman sepenuh jiwa dan hati. Kerana Islam akan berbunga indah dengan hiasan iman ini.

Cuba tanya diri sendiri, dimana anda letak kedua-duanya.

p/s : tidak ada idea untuk menulis, tetapi mahu juga menulis :P

kunjungan

Saya sudah lama merancang sebenarnya, untuk beraya di rumah kawan lama, rapat sejak sekolah rendah lagi. Kalau dulu, sama-sama berbual sampai maghrib (alamak), jalan-jalan pergi pasar malam dan bergelak ketawa bersama. Masuk alam sekolah menengah terpisah, seorang sekolah sini, seorang lagi sekolah sana. Tetapi tetap baik.

Dan baik sampai sekarang, walau saya sudah sambung belajar di perantauan (dia di universiti tempatan).

Akhirnya pada satu petang, saya sampai juga ke rumahnya, walaupun rumah kami di lorong yang sama (hehe,mcm jauh sgt je). Dia hidangkan makanan kegemaran saya, mee kari. Dia masak sendiri. Dia guna duit dia sendiri untuk beli barang-barang tu (ni, dia yg ckp). Saya datang bukan seorang, tetapi bersama lagi 4 biji perut-perut manusia yang lapar (adik-adik). Dia layan kami semua sampai tak menang tangan, maklumlah lapar kan, macam-macam yang kami berlima nak..

—————————————————————————————————————————————–

Yang saya paling suka, nama dia, nama dia IMAN. Sedap sangat. Nama dia mampu untuk memberi semangat pada saya. Semangat untuk bertahan atas segala dugaan yang saya terima. Semangat untuk lebih menambah ibadat. Semangat untuk menjadi Muslim dan Mukmin yang lebih sejati.

Dan saya menjadikan nama dia sebagai peransang untuk memotivasi nama saya. Ringkas tapi penuh dengan makna. Banyak perkataan iman ALLAH sebut dalam Al-Quran. ALLAH selalu seru orang-orang beriman (Ya ayyuhallazina amanu)

Apa maksud iman secara basic ?

Iman itu meyakini.

Yakin terhadap apa ?

Yakin terhadap ALLAH.

Yakin yang bagaimana ?

Yakin dengan sepenuhnya.

Sepenuhnya bagaimana ?

Yakin bahawa ALLAH lah segalanya yang menguasai langit dan bumi. Yakin bahawa ALLAH yang berhak menentukan hidup kita bagaimana.

—————————————————————————————————————————————-

ini ada sedikit gambar beraya di rumah dia :)

p/s : apa-apa pun saya bangga sebab dia menghabiskan makanan kami yang tak habis……dia kate dia tak suke membazir….membazir amalan syaitan :)

p/s : thankz to kak husna…(dapat duit raya). seronok beraya rumah akak :)

suasana Raya 2010

ini hanyalah gambar semata-mata…untuk berkongsi kegembiraan…pada Syawal kali ini…

—————————————————————————————————————————————————

Saya tahu, kegembiraan dan kesempatan saya meraikan Syawal bersama keluarga adalah pemberian dari-Nya.

Alhamdulillah, terima kasih Ya ALLAH…akan ku gunakan nikmat ini sebaiknya…

Nikmat yang Kau beri terlampau banyak Ya ALLAH, sehingga tak ternilai harganya, hingga hujung usiaku, aku pasti aku tidak mampu membayarnya kecuali dengan ketaatanku dan kepatuhanku kepada-Mu Ya ALLAH….

Ya ALLAH, inilah aku, hamba yang tidak akan pernah berhenti bersyukur kepada-Mu Ya ALLAH, kerana aku tahu ada yang tidak sebaik nasibku.

Ya ALLAH, kau kekalkanlah ikatan keluarga kami, dan temukanlah kami semua di Jannah-Mu Ya ALLAH.

Amin Ya Rabb…

p/s : bersyukurlah kepada ALLAH~

great Syawal 2010

Semalam hari berlalu dengan lancar. Hari Raya yang pertama bersama keluarga setelah dua tahun di perantauan. Alhmdulillah, terima kasih Ya ALLAH. Itu hadiah dari-Mu. Istimewa sangat-sangat.

Dapat solat sunat Aidilfitri. Dapat salam tangan umi dengan abah serta adik-adik. Dapat salam tangan atuk jugak. Dapat makan masakan umi di pagi raya. Dapat ziarah kubur arwah atuk. Dapat ziarah sanak-saudara.

Alhamdulillah….thank you ALLAH, for giving me a great Syawal this time.

———————————————————————————————————————-

Lepas solat sunat Raya, saya pulang ke rumah. Syahdu juga khutbah pagi itu. Terima kasih ustaz, khutbah ustaz menyentuh hati saya.

Bila balik rumah, adegan salam-menyalam antara ahli keluarga. Jujurnya, saya rasa gementar mahu bersalam dengan kedua orang tua. Banyak sangat dosa saya terhadap mereka. Tetapi, saya cuba untuk menyorokkan muka gementar dengan senyum bersahaja depan umi dan abah.

Bila cerita pada umi, saya kata saya malu. Dia hanya berkata,

“hek eleh”

Sudah gementar sebegini depan umi dan abah, bagaimana di hadapan Yang Maha Agung nanti. Sudah terhimpun banyak dosa rasanya. Tidak terkira. Malu dengan ALLAH. Rasa seperti tidak layak untuk masuk syurga-Nya. Tetapi aku tahu, ALLAH masih sayangkan aku. Terima kasih Ya ALLAH kerana membuka hatiku untuk masuk jalan tarbiyyah ini.

——————————————————————————————————————————————-

Berbual-bual dengan sanak-saudara. Mereka lebih banyak bertanya tentang pengalamanku belajar di perantauan dan tentang bidang pengajian yang ku ambil. Mereka memuji, tapi dalam hati aku, aku tahu mereka menaruh harapan kepadaku seperti mana umi dan abahku jua menaruh harapan.

aku cuma berkata, ” doakan saya ye, takut jadi gila pulak nanti”

mereka tersenyum.

———————————————————————————————————————————————

Dan di sini, saya ingin bercerita tentang salah seorang mak saudara saya. Dia sangat baik. Dia sangat faham akan perjuangan Islam. Dia sangat bersemangat. Dan bagi saya, dia sangat istimewa.

Dia kongsi rasa hati dia tentang kehancuran akhlak ummat Islam zaman sekarang. Saya sangat gembira bila dia sendiri yang membuka topik itu. Seronok berbual dengannya. Sebab dia faham Islam dengan baiknya.

Bila cakap dengan umi, saya memuji beliau, umi terus berkata.

“dia berubah sebab dia join usrah”

:)

p/s : sorry, entri panjang.

p/s : dapat lagi duit raya walaupun usia dah tua, sebab pak sedara kata, kamu besar dari segi umur, bukan badan kamu….”kamu sebesar budak darjah enam sekolah pak long”…..

munajat pagi Aidilfitri

Pagi yang hening ini.

Indah, sejuk-sejuk, dingin.

Hari ini pagi yang istimewa.

Pagi Jumaat.

Pagi Aidilfitri.

Syukur, Alhamdulillah kepada Yang Maha Agung dan Besar.

—————————————————————————————————————–

Takbir bergema. Seronok rasanya. Kemenangan yang telah diberi ALLAH kepada ummat Islam. Kena meraikannya bersama saudara-saudara seagama yang lain.

Mandi sunat Hari Raya. Pakai baju cantik-cantik. Kasi wangi-wangi sikit. Niatkan kerana ALLAH. Kerana ALLAH itu Maha Cantik dan sukakan kecantikan.

Hari inilah peluang diberikan kepada kita untuk berjumpa sanak-saudara, meminta maaf antara satu sama lain. Memaafkan kesalahan orang lain adalah salah satu ciri orang yang bertaqwa. Ini kriteria yang kita mesti penuhi untuk menggapai redha-Nya dan syurga-Nya.

Indahnya agama Islam. Sehingga sekecil-kecil sifat ini juga disebut di dalam Al-Quran (maaf, saya tak boleh nak ingat surah mana)

Sifat memaafkan kesalahan orang lain memerlukan keterbukaan hati yang amat luas. Perlu sentiasa lapang sahaja. Perlu sangat ikhlas kerana ALLAH untuk memaafkan kesalahan orang lain. Sedangkan ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita, apatah lagi antara kita sesama manusia.

Dan selepas memaafkan, tidak boleh diungkit kembali. Kerana perkara sebegini akan lebih mengeruhkan ukhuwah itu.

Dan sifat negatif sebegini akan menghalang motivasi diri anda dan anda telah membunuh semangat pada hari itu.

———————————————————————————————

Dan pada pagi Aidilfitri ini, kita telah kembali kepada fitrah asal kita. Syaitan dan nafsu akan kembali menghasut kita. Dan waktu inilah keberkesanan sebulan berpuasa akan terbukti, sama ada kita kuat ataupun lemah.

kepada pembaca blog ini,

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR DAN BATIN

SEMOGA RAMADHAN TAHUN HADAPAN MENJENGAH KITA LAGI.

p/s : menulis sambil menunggu waktu untuk solat hari raya :)

p/s lagi : jangan lupa bc al-kahfi…(boleh ke nak pesan mcm ni?)