Jurnal Doa Ramadan 2016

Bismillahirrrahmanirrahiim.

Di sini, saya kongsikan jurnal doa Ramadan saya untuk tahun ini.

1
234567891011121314151617181920IMG_20160615_085630IMG_20160615_085639IMG_20160615_085655

IMG_20160616_100927

IMG_20160615_085728IMG_20160615_085805

IMG_20160615_085815IMG_20160615_085822IMG_20160615_085850

IMG_20160615_085858

IMG_20160616_100847IMG_20160616_100901 (1)

Tidak pernah terlambat untuk berdoa.

#‎doasenjatamukmin‬
‪#‎berdoatandakehambaan‬
‪#‎mogaistiqamah‬
‪#‎onedayonedoa‬
‪#‎HumansofRamadan‬

P/S: maafkan saya bagi doa doa yang mungkin tidak berapa jelas tulisannya, tidak tertulis maknanya.

P/S: laman web yang bagus untuk dijadikan rujukan (http://www.theidealmuslimah.com/2014/07/02/ramadan-dua-list-guidelines-tips-dua-suggestions/)

Jurnal Ramadan 2015 saya(himpunan d0a)

Status FB pada Ramadan lepas:

Antara aktiviti jurnal Ramadan saya tahun ini adalah memperkayakan dan menyempurnakan segala tuntutan (orang, ikhwah akhawat, negara, ummah) yang perlu didoakan.

Saya kira tidak terlambat lagi untuk saya kongsikan kepada semua buat bekal tambahan doa doa baru yang boleh menjadi amalan harian sempena Ramadan kali ini malah selepasnya.

‪#‎onedayonedoa‬
‪#‎hafaldoabaruituseronok‬
‪#‎icandoit‬
‪#‎bekalandoasebelumberbuka‬

12345

 

78910

11

12

13

141516

17

18
sambungan doa hari ke-16

19

20

2122

23
sambungan doa hari ke-20

24

25
sambungan doa hari ke-21

 

26

27
sambungan doa hari ke-22

28

29
sambungan doa hari ke-23

30

3233

34
sambungan doa hari ke-26

35

 

36
sambungan doa hari ke-27

37

38
sambungan doa hari ke-28

39

40
sambungan doa hari ke-29

41

42
sambungan doa hari ke-30

 

Ini adalah himpunan doa-doa yang saya hafal pada Ramadan lepas. Jurnal Ramadan tahun ini, akan disusuli dengan himpunan doa-doa yang baru pula untuk dihafal inshaAllah!

surat dari Ramadhan

Ke hadapan dirimu,

Saat ahli falak melihat anak bulanku, lalu aku datang berjumpa dengan sekalian mukmin yang diizinkan-Nya. Ada golongan kamu yang tidak sempat berjumpa denganku ataupun  hanya sempat bersamaku seketika. Ku harapkan mereka ini pergi pada waktu dan keadaan yang terbaik, inshaAllah.

4994showing

Padaku, banyak kelebihan yang diketahui para mukmin. Setiap saat di dalamku tidak wajar untuk dibazirkan begitu sahaja kerana pahala setiap kebaikan itu digandakan dengan berkali-kali gandanya.

Aku tidak tahu kategori nasibku. Apakah bahagia atau malang?
Apakah aku benar-benar berjasa kepada kumpulan makhluk yang bernama manusia?

Aku melihat pelbagai jenis kamu menyambut kedatanganku. Ada yang menyambut bahagia kerana mereka ini merindui kedatangan mereka 6 bulan yang lalu. Ada yang menyambut hanya sambil lalu kerana kedatanganku hanya rutin dalam kalendar Islam.

Aku menangis tatkala ada manusia yang merungut dengan kedatanganku kerana bagi mereka, aku ini hanya memenatkan mereka!

Jangka hidupku pendek. Pejam celik pejam celik, kamu semua pasti tidak sedar hari-hari yang telah dilalui bersamaku terlalu singkat. Masaku sama sahaja  (30 hari) bagi semua manusia yang diizinkan oleh Tuhanku namun natijah kamu yang lahir selepas bersamaku berbeza-beza!

Aku bahagia melihat kamu yang berjaya memanfaatkan ku dengan sebaiknya.
Sebaliknya, aku kasihan bagi mereka yang hanya sama sahaja (di takuk lama). Tiada kemenangan bagi mereka.

Saat puasa diperintahkan oleh Allah tanggal 10 Syaaban tahun ke-2 hijrah, aku membawa bersamaku satu amanah yang cukup berat iaitu taqwa. Barangsiapa yang berpuasa, mereka akan menjadi orang-orang yang bertaqwa.

Telahanku, kamu silap. Puasa bukanlah sekadar satu syarat untuk menjadikan seorang manusia itu bertaqwa namun lebih dari itu. Ayat-ayat di dalam kitabullah tidak sunyi dari berbincang hal taqwa yang ternyata begitu banyak ciri-ciri orang yang bertaqwa.

Sesetengah kamu mengambil jalan mudah hanya menggunakan puasa yang berada bersamaku untuk menjadi manusia yang bertaqwa, dan akhirnya mereka ini menjadi hamba kepadaku, bukan lagi kepada Tuhanku.

Aku mahu menceritakan bahawa sesungguhnya kamu semua harus menggunakanku sebaiknya. Kamu harus mengajar diri mereka untuk memberi erti tentangku yang cukup mendalam dalam hidup. Aku mahu kamu membayangkan syurga dan itu yang akan menguatkanmu untuk berhempas pulas beramal kerananya.

Aku mahu kamu bangun pagi bukan sekadar untuk menjamah sedikit makanan (sahur), tetapi aku mahu pagiku itu diisi dengan munajat meminta keampunan, air mata yang membasahi pipi meminta untuk menjadi hamba yang diredhai serta sujud-sujud tanda tunduk dan menyerah diri kepada Tuhanku.

Seterusnya, kamu meneruskan sepanjang hari bersamaku dengan menahan segala nafsu, bukanlah sekadar terbatas pada nafsu minum dan makan. Aku mahu kamu menjaga keseluruhan anggota kerana Tuhanku telah berfirman di dalam KitabNya bahawa setiap dari anggota tubuh badan manusia itu akan menjadi saksi pada setiap amal yang dikerjakan.

Wahai manusia, sedarlah!

Bukan sekadar itu, aku mahu hari-hariku dilalui dengan hubungan yang baik sesama kamu. Aku tidak mahu kamu hanya berkelakuan baik dengan Tuhanku, tetapi tidak menunaikan hak-hak orang di sekeliling!

Aku mahu melihat akhlak kamu itu saling menghormati, saling membantu, saling meringankan beban dan saling mengingatkan antara satu sama lain. Aku mahu kedatanganku ini menjadi asbab untuk memperkuat silaturahim sesama kamu, malah satu ummat ini!

Aku mahu kamu mengingati umat Islam yang berada jauh. Aku mahu kamu mengingati orang yang sering memerlukan agar kamu mengerti bahawa pada harta  ada hak-hak manusia lain selain dirimu sendiri. Kerana itulah, zakat fitrah datang bersamaku.

Zakat fitrah, sahabat baikku ini juga wajib ke atas manusia yang mampu untuk membayarnya. Kadar bayaran yang telah ditetapkan bukanlah ibarat kita membayar untuk membeli sesuatu, tetapi untuk mendapatkan sesuatu. Andai mereka siddiq (benar) dalam membayar zakat fitrah, harta mereka sekaligus telah dibersihkan oleh Allah kerana mereka ini golongan yang telah merelakan hak mereka.

Aku mahu kamu menghiasi malam-malamku dengan solat sunat tarawih. Aku tidak kisah sama ada jika kamu ingin melakukannya sebanyak 8 atau 20 rakaat kerana itu tergantung pada daya masing-masing. Aku tidak pernah niat untuk memaksa. Juga aku tidak kisah kamu ingin melakukannya sendirian di rumah atau secara berjemaah.

Cuma aku mahu memberitahu kamu, bahawa bertarawihlah meskipun solat ini bukanlah wajib. Kamu tidak akan bertemu tarawih dengan yang sahabatku yang lain seperti Muharram, Safar, Rejab, Syaaban dan lain-lain. Solat sunat tarawih inilah antara tarikan ‘diri’ku. (ternyata aku bertuah!)

Aku tidak sanggup untuk melihat golongan yang kalah/merugi kerana aku ini ibarat bonus dalam pekerjaan  kamu sebagai hamba dan khalifah atas muka bumi. Sayangnya bagi kamu yang tidak ternanti-nanti untuk bersama denganku.

Kini usiaku telah mencapai 1435 tahun lamanya. Dalam diari hidupku, aku telah melihat manusia yang berbeza-beza merentasi zaman. Mari aku ceritakan kepadamu tentangku berada dalam zaman seorang nabi mulia, Muhammad SAW bersama sahabatnya  menjadikan aku amat bangga berada bersama mereka.

Mereka ini generasi Al-Quran yang unik. Mereka malah bersiap sedia berbulan-bulan sebelumnya untuk bertemuku. Kedatanganku disambut dengan riang dan senyuman sambil mereka berkata, “ Ahlan ya Ramadhan!”. Mereka menantiku ibarat menanti kedatangan kekasih mereka!

Malah, aku ingat lagi salah satu saat manisku bersama dengan mereka. Peperangan pertama dalam sejarah umat Islam itu masih lekat diingatanku. Aku menyaksikan kemenangan agung seramai 313 orang muslimin melawan 1000 anggota tentera musyrikin. Mereka berperang ketika itu demi menegakkan nama dan mengejar redha Tuhanku.

Tidak hairanlah Tuhanku menghantar bantuan kepada mereka dengan diturunkan 3000 malaikat menunjukkan betapa Tuhanku ini belas kasihan kepada mereka pejuang-pejuang agama Tuhanku.

Pada tahun ke-6 Hijrah, sekali lagi aku merayakan kemenangan bersama mereka saat kota yang telah lama mereka dirindui itu mereka masuk tanpa ada rasa takut. Berhala-berhala di sekitar Mekah dimusnahkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat sendiri.

Azan dilaungkan oleh Bilal bin Rabah yang mulia. Kesemua musyrikin Mekah yang ketika itu ketakutan masuk ke dalam rumah masing-masing. Sangka mereka akan dibunuh, bahkan pengampunan yang diberi kepada mereka oleh Sang Nabi yang mulia. Allahuakbar !

Zaman demi zaman aku lalui bersama umat manusia. Tanggal 92 Hijrah aku bersama dengan seorang panglima perang yang hebat. Tariq bin Ziyad namanya. Beliau dihantar oleh Musa bin Nusair untuk menawan kota Andalus (Spain).

“ Selamat tinggal sahabat-sahabatku. Teruslah berjihad di jalan Allah. Sebarkan Islam ke seluruh dunia.” kata Tariq lalu disambut oleh Musa bin Nusair,

“Selamat jalan panglima yang berjasa. Semoga Tuhan mempertemukan kita semula. Sekiranya tidak di dunia, kita pasti bertemu di akhirat.”

Aku masih ingat bagaimana Tariq bin Ziyad memilih tenteranya.

“ Saya mahu memilih yang terbaik antara kamu. Mereka yang bangun sembahyang tahajjud malam tadi diminta berdiri. Merekalah yang saya pilih  bagi bersama saya ke kampung Maktum. Tentera yang terbaik, pasti peroleh pertolongan daripada yang Maha Berkuasa.”

Aku juga teringat bagaimana Tariq bin Ziyad membakar kapal-kapal milik tenteranya untuk meningkatkan semangat tenteranya ketika itu.

“Wahai saudara-saudaraku, di belakang kita laut, dihadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini bagi syahid ataupun mencapai kemenangan. Dan kita tidak akan pulang sebelum mencapai matlamat itu!”

*sedikit kecewa kerana saya tidak sempat ke Jabal Tariq (Gibraltar)

Bertuah sungguh diriku dapat berjumpa dengannya…

Hariku yang ke-25(Jumaat) tahun 658 Hijrah (1260 M) aku menyaksikan kebangkitan umat Islam membuat serangan balas ke atas tentera musuh yang telah membunuh sejuta manusia negara yang mereka takluki. Kali ini aku berjumpa sekali lagi dengan insan hebat bernama Saifudin Qutuz bersama tenteranya bertempur di Ain Jalut.

“Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temanku aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin akan dicabuli akan ditanggung orang yang tidak turut berjihad.”

Dalam pertempuran ini, umat Islam beroleh kemenangan! 10 bulan sahaja sudah cukup bagi beliau untuk menjatuhkan Tartar yang bermaharajalela di bumi Islam selama lebih 40 tahun.

Aku berharap agar dapat berjumpa lagi pahlawan hebat persis Saifudin dan tenteranya. Ameen!

*****

Zaman demi zaman berlalu.

Kini, aku sedih. Generasi kini tidak lagi seperti dahulu. Kamu kini malah tidak lagi segan untuk bermaksiat di dalamku. Kalau dahulu, sekurang-kurangnya aku dihormati.

Ada dalam kalangan kamu yang memakai hijab semata menyambut kedatanganku. Bilangan kamu yang datang ke masjid juga bertambah dek keranaku. Malah, amalan sedekah juga diperbanyakkan ketika ini. Kamu berlumba-lumba keranaku.

Aku gembira tetapi dalam masa yang sama aku juga sedih. Aku takut kamu hanya tergoda dengan balasan yang bakal diperoleh tetapi  terlampau jauh lagi dari apa yang sebenarnya ada pada ‘pati’ku. Kehadiranku barangkali hanya berjaya membasahkan kamu selama 30 hari semata.

Sedangkan padaku ada bekal untuk kamu bertahan sampai ketemu lagi kita di lain masa andai kita diberi peluang.

Anggaplah  ini pertemuan terakhirku dengan kamu semua. Malam Al-Qadr yang wujud dalam salah satu malamku itu patut diburui kerana itu yang akan memanjangkan umur amalmu selama 83 tahun lamanya.

Aku menunggu kiriman surat balasan darimu.

Sekian sahaja dariku,
Ramadhan 1435H.

Travelog Sepanyol : pada qasr tarbiyyah

29 Januari 2014
Paris Charles de Gaulle-Madrid, Spain
Easyjet Flight departs at 6.40 a.m.

Bermulalah pengembaraan kami yang kedua. Masih lagi berbekalkan niat yang sama dan pesanan ketua jaulah yang masih lagi aku semat dalam hati.

“ Kita adalah pengembara, bukannya pelancong.”

Sampai sahaja di bumi Madrid, Sepanyol kami duduk terlebih dahulu untuk membincangkan tentang duit perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh setiap seorang daripada kami (perbelanjaan intra-city). Kemudian, kami terus menaiki metro menuju ke stesen Nueros Ministerious (stesen bas) untuk meletakkan beg bagasi kami di loker (consigna) yang disediakan di sana. Destinasi kami yang pertama adalah stadium Real Madrid. Di stadium, kami hany mengambil di hadapan stadium tersebut. Dek kerana ramai antara kami bukanlah peminat setia apa jua pasukan bola sepak antarabangsa mahupun tempatan, maka kami tidak memilih untuk masuk ke dalam stadium tersebut yang mengenakan bayaran sebanyak 19 euro. Hanya dua orang ukhti sahaja yang masuk ke dalam stadium tersebut.

Stadium Real Madrid FC
Stadium Real Madrid FC

“ Jam 2.30 petang nanti kita jumpa di hadapan stadium semula.”

Sementara itu, kami yang masih berbaki berjalan-jalan di kawasan sekitar stadium tersebut. Masa yang ada digunakan untuk membeli barang keperluan, mencari peta Madrid serta mencari kawasan kedutaan Malaysia yang terletak di kawasan yang sama. Jam menunjukkan hampir 2.30 membantutkan urusan kami untuk mencari bangunan kedutaan Malaysia. Maka, kami membuat keputusan untuk pergi sahaja ke stadium untuk berjumpa kembali dengan dua orang akhawat itu tadi.

Kami tiba di hadapan stadium, tetapi bayang mereka berdua masih belum kelihatan. Lalu, untuk mengisi masa lapang yang ada ketua jaulah bertanyakan kami tentang awan. Banyak soalannya dan tidak dapat aku ingati kesemuanya. Antaranya ialah :

  1. Apakah definisi awan ?
  2. Mengapa wap air tidak turun di tempat lain selain bumi ?
  3. Mengapa air hujan yang turun tidak masin ?

Aku gagal memberi jawapan yang berdasarkan dalil, hanya menggunakan logik akal semata. Ketua jaulahku sedang membaca buku Tauhid Zindani. Buku ini bagi aku memang teramat membantu dalam proses mentadabbur alam terutamanya.

Saudaraku !Jadilah orang yang memerhatikan awan

bagaimana pada waktu petang ia berterbangan.

Tuhan menghantarnya kepada kita sebagai rahmat

                adakah kamu bersyukur atas nikmat tersebut.

Lalu matahari menguasai laut

                untuk dibangkitkan wap air daripadanya.

Diangkat airnya ke atas

                melepasi bukit-bukau yang tinggi.

Dan diliputinya udara sejuk

                bagi memberhentikan kenaikannya ke langit.

Sekiranya Dia mahu, dijadikan udara panas

                maka kita tidak mendapat walau setitis hujan.

Dia menghalau tiupa angin dalam keadaan bertebaran

                hujan turun selepas awan diperah.

Tidak ada bukit-bukau yang dapat menghalangnya

                jika Dia mahu, hujan akan turun di sebalik bukit-bukau.

Diciptanya yang lain seumpamanya, dan digerakkannya

                dengan takdir-Nya, ia terus bergerak.

Sekiranya ia melimpah dari langit sekaligus

                manusia akan ditimpa kebinasaan yang cepat.

Ini, apabila ia turun dalam bentuk curahan dalam sesebuah negeri

                bagaimanakah jika dicurahkan air sebesar bukit ?

Tetapi ia turun supaya berlembut ke atas kita…dalam bentuk titisan hujan

                sebahagiannya bertukar menjadi sungai-sungai

Sebahagiannya diserap tanah

                supaya ia tidak menjadi penghalang sekalin makhluk.

Tetapi bukan di tempat yang dalam sangat

                Memadai disimpan dalam bekas besar pada lapisan

Di dalam bekas daripada batu bata

                ia disimpan untuk kemudahan bagi manfaat manusia.

Lihatlah betapa hinanya pentadbiran

                pentadbiran orang yang tidak mempunyai pemikiran?

Daripada berhala tuli atau tabiat semula jadi

                yang taat kepada Tuhannya?

Atau tiada keraguan sebenarnya, semuanya menjadi saksi

                bahawa penjaganya adalah Tuhan yang Satu

Berapa kalikah orang Islam ditimpa kemarau

                lalu mereka meninggalkan bebanan dan batu penghalang

Mereka meminta daripada Tuhan jalan keluar

                lalu mereka berhak mendapat kejayaan dan mereka mendapat jalan keluar

Adakah kudrat alam (nature) atau berhala yang memakbulkannya ?

                atau Yang Maha Mendengar pelepas segala bala.

HASIL PENA : Abdul Rahman Qadhi (diambil dari kitab Tauhid Zindani)

 

Begitu cantik sekali apa yang kami bualkan. Ini adalah elemen yang aku sukai apabila jaulah bersama akhawat. Ada hal-hal faedah yang akan kami bualkan untuk mengisi masa lapang. Sememangnya semakin banyak kita dapat sesuatu ilmu yang baru, semakin kita ini terlampau kurang ilmunya.

Seterusnya, setelah dua orang akhawat itu keluar daripada stadium Real Madrid, kami terus berjalan menuju Great Mosque of Madrid untuk menunaikan solat di sana. Perasaan menunaikan solat di rumah Allah adalah satu perasaan yang luar biasa bagi kami semua.  Bukanlah mudah seperti di bumi Mesir yang mempunyai banyak masjid di sini dan boleh sembahyang di mana-mana sahaja.

Masjid di Madrid
Masjid di Madrid

Berbeza sungguh dengan negara yang bukan Islam meskipun dahulu adalah negara yang gemilang dengan berdirinya tamadun Islam dan pimpinan khilafah Islamiyyahnya. Kemudian, kami menuju ke Royal Palace. Malangnya, kami agak lewat ketika itu dan jualan tiket sudahpun ditutup. Maka, kami hanya bergambar dari luar.  Seterusnya, kami menuju ke Plaza Mayor untuk membeli belah sedikit cenderahati di sana. Plaza Mayor ini terdiri daripada sebuah bangunan yang berbentuk segi empat tepat, mempunyai 9 pintu masuk dan 237 balkoni. Plaza Mayor ini antara kawasan yang biasanya digunakan untuk melihat bullfights.

gereja berhampiran Royal Palace
gereja berhampiran Royal Palace
Plaza Mayor
Plaza Mayor

Kami juga berkesempatan untuk singgah ke sebuah pasar yang terkenal dalam kalangan penduduk tempatan yang dikenali dengan nama Mercado de San Miguel. Pasar yang mula dibina antara tahun 1913-1916 ini terletak berhampiran sahaja dengan Plaza Mayor. Kaki kami pula yang sudah mula sakit sakit kerana berjalan jauh setiap hari.

Mercado de San Miguel
Mercado de San Miguel

Seterusnya kami  semua terus menuju ke Puerta Del Sol untuk melihat sebuah monument yang unik dan menara loceng di sana. Menara loceng terebut berbunyi setiap kali upacara makan Twelve Grapes dan sambutan tahun baru. Di sana juga, terdapat satu monumen menarik yang diberi nama Bear and the Madrono Tree.

Bear and Madrono Tree
Bear and Madrono Tree

Ketika berhenti berehat di luar sebuah kedai membeli-belah sementara menunggu akhawat yang lain, seorang ukhti bertanya kepadaku, “ Bagaimana nak ithar ?”

Jawab aku, “ Ithar memang susah sebab itu nak ithar memerlukan mujahadah.”

Ithar banyak mengajar aku dalam mengurangkan ego diri sendiri walaupun hakikatnya seorang manusia itu akan mempertahankan ego dirinya. Aku sendiri banyak berperang dengan diri sendiri dalam melawan kehendak diriku sendiri. Ithar memerlukan banyak latihan. Bagi aku, ithar bukanlah soal lebih atau kurang dalam kawan kita mendapat sesuatu tapi ithar adalah lebih dari itu.

Ithar adalah pengorbanan kita dalam menjalin hubungan ukhuwwah fillah. Dan tidak rugipun dalam ithar kepada ukhti kita di sekeliling. Apabila segalanya kerana Allah, segalanya akan menjadi mudah. Seterusnya, kami terus pulang semula ke stesen bas dan berehat sahaja di sana. Kami menunaikan solat secara sembunyi di dalam kawasan loker simpanan beg (kawasan yang agak luas). Perjalanan ke tempat lain akan diteruskan pada jam 6.00 pagi nanti.

Kesemua akhawat kelihatan begitu penat dek kerana berjalan seharian pada hari ini. Rehat yang tidak proper (tidur atas kerusi dan di dalam kenderaan) menjadikan kepenatan itu tidaklah terubat dengan sebaiknya. Terkadang kepenatan ini menjadikan mood seseorang itu tidak berapa baik. Ketika berjaulah ke United Kingdom dahulu, aku telah merasai kesemuanya.

Penatnya memang tidak terhingga berjalan ke hulu-hilir dengan beg bagasi yang besar. Sememangnya sebagai seorang manusia kita perlu belajar menguruskan emosi kita sebaik yang mungkin. Manusia sememangnya tidak dapat lari dari emosi dirinya sendiri, tapi manusia boleh mengawalnya.

Moga setiap dari emosi-emosi kita itu datang kerana Allah.

Jam 12.30 tengah malam, kami bersiap sedia untuk menaiki bas menuju ke kawasan lain pula. Bas bakal bertolak jam 1.00 pagi dan perjalanan dijangka mengambil masa selama 5 jam.

Adios Madrid.

****

30 Januari 2014
Bienvenue Cordoba !

Sebut sahaja Cordoba, kita semua tahu bahawa kota ini satu ketika dahulu menjadi kebanggaan ummat Islam. Kami sampai di stesen bas di Cordoba tepat jam 6.00 pagi. Suhu yang begitu sejuk menjadikan kami menggeletar. Aku masih lagi mengantuk kerana tidur yang tidak berapa lena di dalam bas. Seorang demi seorang dari kami pergi ke tandas untuk mengambil wudhuk untuk berqiamullail dan solat subuh di situ.

Kegigihan beribadah pada musim sejuk membuatkan aku teringat pada satu hadis Nabi Muhammad S.A.W yang berbunyi : Musim dingin terasa seperti musim semaian bagi orang beriman.

Imam Al-Baihaqi menambah : Musim dingin seperti musim semaian bagi orang beriman. Siangnya begitu singkat, maka ia gunakan untuk berpuasa dan malamnya begitu panjang, maka ia gunakan untuk solat malam.

Kebiasaannya, musim dingin kita merasakan begitu susah untuk melaksanakan ibadah. Kata Ibnu Rejab rahimahullah hal ini berlaku kerana dua alasan. Pertama, kerana jiwa begitu berat untuk bangun kerana kondisi yang begitu dingin dan kedua rasa sulit untuk menyempurnakan wudhuk.

Disebutkan dalam hadis Sahih Muslim dari Abu Hurairah, dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda : “ Mahukah kaliah untuk aku tunjukkan atas sesuatu yang dengannya Allah menghapus kesalahan-kesalahan dan mengangkat darjat ? ” Mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda, “ Menyempurnakan wudhu pada sesuatu yang dibenci (seperti keadaan yang sangat dingin), banyaknya langkah kaki ke masjid, dan menunggu solat yang berikutnya setelah solat. Itulah ribath.”

Al-Qodhi Abul Walid Al-Baji berkata, “ Asal kata ribath adalah terikat pada asalnya. Artinya di sini, ia menahan dirinya (dari kemalasan) untuk tetap melakukan ketaatan.

Aku berdoa agar sentiasa diberi kekuatan dan kemudahan dalam beribadah ketika musim sejuk. Dingin di Cordoba juag mengingatkan aku akan kesejukan mereka yang dalam serba kekurangan. Bagaimana agaknya mereka menahan sejuk sedangkan aku dan akhawat memakai dua tiga lapis pakaian ?

Setelah itu, aku dan akhawat menunaikan solat Subuh berjemaah sementara kawasan stesen bas masih belum lagi penuh dengan orang ramai. Risau juga untuk menunaikan solat di tengah-tengah khalayak begini. Setelah itu, aku bersama dua orang lagi akhawat menyiapkan sarapan pagi. Setelah menyimpan beg di loker yang disediakan di stesen bas tersebut, kami mula bergerak ke destinasi yang pertama seawal jam 10.00 pagi. Destinasi kami yang pertama adalah Istana Cordoba atau dikenali dengan nama Alcazar. Ketika sedang menuju ke sana, kami berjumpa dengan dua orang lagi akhawat yang turut berjaulah ke negara yang sama dengan kami.

IMG_1351

IMG_1354

Dek kerana masa mencemburui kami, kami membuat keputusan untuk tidak masuk ke dalam istana tersebut dan berkejar untuk membeli tiket masuk ke Madinah Az-Zahra. Kami menuju ke Madinah Az-Zahra menggunakan perkhidmatan bas khas yang telah disediakan dengan bayaran 18 euro (termasuk tiket masuk). Tiba sahaja di sana, kami diminta untuk masuk ke dalam muzium kecil dan auditorium terlebih dahulu untuk diberi sedikit pengenalan mengenai kota ini.

IMG_1365

Betapa kagum aku melihat pelbagai artifak yang dipamerkan di dalam muzium dan kekaguman aku bertambah saat melihat tontonan video yang telah disediakan. Penerangan yang diterangkan di dalam video tidaklah berat sebelah (sebab video disediakan oleh orang bukan Islam). Khalifah diperkenalkan sebagai wakil Allah di atas muka bumi dan mentadbir muka bumi ini dengan iman mereka.

Madinat Az-Zahra (kota yang suci) adalah pusat pemerintahan Khalifah Abdul Rahman yang ketiga (zaman Bani Umaiyyah) satu ketika dahulu. Ianya dibina dengan menggunakan sistem teres dek kerana kota tersebut terletak di kawasan yang berbukit. Hatiku begitu sayu apabila melihat tinggalan sejarah itu. Kawasan masjid yang masih lagi kelihatan tinggalannya cukup luas bagi khalifah dan rakyatnya untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Sepanjang aku berjalan di sana, aku membayangkan khalifah berjalan ke sana-sini untuk melihat rakyatnya dan menyelesaikan urusan pentadbiran. Allahuakbar !

sekitar Madinat Az-Zahra 1
sekitar Madinat Az-Zahra 1
sekitar Madinat Az-Zahra 2
sekitar Madinat Az-Zahra 2
sekitar Madinat Az-Zahra 3
sekitar Madinat Az-Zahra 3
sekitar Madinat Az-Zahra 4
sekitar Madinat Az-Zahra 4
aku melihat Mezquita (masjid) dari kejauhan
aku melihat Mezquita (masjid) dari kejauhan

Jam 1.30 petang kami bertolak pulang dari Madinah Az-Zahra dengan menaiki bas yang sama. Sebelum pulang, ketua jaulah mengajak kami berkumpul seketika untuk sama-sama berkongsi ibrah yang kami dapat.  Bagi aku sendiri, melawat ke Madinah Az-Zahra ini bukanlah seperti kita melawat tinggalan sejarah yang lain. Madinah Az-Zahra meninggalkan kesan yang mendalam buat diriku kerana ia punya aura yang tersendiri.

KAMI di Madinat Az-Zahra
KAMI di Madinat Az-Zahra

Aku kini punya perasaan merindui ustaziyatul alam itu.
Betapa seisi alam ini memerlukannya !

aku dan teman seusrah yang berjaulah bersama " Wakil Ruhul Istijabah ke Sepanyol"
aku dan teman seusrah yang berjaulah bersama
” Wakil Ruhul Istijabah ke Sepanyol”

Destinasi kami yang seterusnya adalah Roman Bridge dan Masjid Cordoba. Roman Bridge ini adalah jambatan hasil binaan ketika empayar Rom menguasai Sepanyol satu ketika dahulu namun ianya terbiar. Apabila Islam berjaya tersebar luas di sini, khalifah ketika itu mengarahkan agar jambatan itu dibaikpulih kembali. Kata ukhtiku, pemandangan di kawasan jambatan itu kelihatan menarik apabila tiba waktu senja.

Roman Bridge
Roman Bridge

Seterusnya, kami menuju pula ke Masjid Cordoba yang telah pun ditukarkan menjadi gereja. Ketika masuk ke dalam masjid tersebut, perasaan hiba mula menyapa kami. Monolog hatiku, ‘ Bagaimana milik yang dahulunya milik kami dahulu bertukar tangan menjadi milik kamu semua ?’

Dahulu, ketika Islam menjadi tamadun paling gemilang di dunia, Masjid Cordoba ini menjadi tumpuan serata dunia. Masjid ini bukanlah sekadar masjid menjadi tempat ibadah kaum muslim bahkan dijadikan juga sebagai tempat untuk menuntut ilmu pengetahuan. Tokoh-tokoh terhebat seperti Ibnu Rusyd dan Az-Zahrawi lahir dari masjid ini. Malah, barangkali mereka pernah mengajar anak-anak murid mereka di masjid ini dahulu !

Masjid Cordoba 1
Masjid Cordoba 1
Masjid yang telah bertukar menjadi gereja
Masjid yang telah bertukar menjadi gereja
tinggalan ukiran ayat Al-Quran di dinding Masjid Cordoba
tinggalan ukiran ayat Al-Quran di dinding Masjid Cordoba

Masjid ini juga mempunyai sebuah perpustakaan besar yang menghimpun puluhan ribu dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Dikatakan bahawa setiap tahun perpustakaan ini menjadi tempat tumpuan seramai 400,000 pengunjung mengalahkan sebuah  perpustakaan lain di Eropah satu ketika dahulu.  Dahulu, masjid ini terang-benderang dengan cahaya lampu tetapi kini malap seolah terkena juga tempias akan kejatuhan kita dahulu.

Kini, masjid ini ditukar menjadi gereja. Pelbagai ukiran manusia yang tidak munasabah pada fikiran saya untuk diletakkan di dalam sebuah masjid. Lambang salib juga ada di mana-mana. Namun, masih ada ukiran-ukiran ayat Al-Quran yang masih dipelihara-Nya.

Perasaan itu datang lagi.
Perasaan rindu akan ustaziyatul alam.

Aku ingin sekali melihat sekalian alam ini mengamalkan cara hidup yang sempurna, dan tiada lain yang lebih sempurna melainkan Islam. Ternyata, kejatuhan ummah kini memerlukan semula kebangkitan dan penyelamat. Bagi kita, kebangkitan ini asasnya adalah iman dan dakwahlah yang menjadi bahtera penyelamat.

Seterusnya, kami meneruskan lagi perjalanan untuk memberi cenderahti dari Cordoba tetapi malangnya kedai-kedai tersebut tutup begitu awal. Lalu , kami membuat keputusan untuk kembali sahaja ke stesen bas untuk melepaskan lelah di sana dan menunaikan solat. Sepetang di stesen bas, ada yang mengambil kesempatan untuk membaca Al-Quran, mengecas telefon dan ada juga yang tertidur.

Tidak lama selepas itu, stesen bas Cordoba dibanjiri orang Malaysia. Rupanya tiket bas mereka sama dengan kami.

Malam ini, perjalanan diteruskan lagi.
Selamat tinggal Cordoba.

******

30 Januari 2014
Seville- jam 9.00 malam

Alhamdulillah, kami selamat tiba di stesen bas Seville. Aku berdebar sebenarnya kerana tempat ini berada di bawah jagaanku. Sebelum jaulah lagi, ketua jaulah telah membahagikan tempat-tempat kepada setiap ahli jaulah untuk menjadi ketua perjalanan. Aku risau kerana persiapanku tidaklah berapa mencukupi seperti orang lain yang lebih hebat daripadaku membentangkan pelbagai kisah di tempat mereka.

Tanpa berlengah, aku terus ke kaunter bas untuk bertanyakan cara untuk kami semua menuju ke hotel tempat kami bakal menginap sepanjang berada di Seville ini. Aku tidaklah berapa mahir akan bahasa Latin, Cuma berbekalkan sedikit ayat-ayat asas untuk memudahkan lagi perjalanan. Pakcik di kaunter menyatakan bahawa tiada bas untuk ke sana. Aku pula berfikir, jika berjalan akan penat sudahlah dengan beg bagasi pula setiap seorang.

Aku mengajak mereka turun ke perhentian bas dan meminta pertolongan daripada penduduk tempatan. Dia mengajak kami menaiki bas dan menunjukkan kami jalan tempat yang perlu kami berhenti. Dari situ, kami perlu berjalan kaki untuk ke hotel kami. Aku yang sememangnya manusia yang mudah menjadi pening untuk membaca peta meskipun sudah dibantu satu aplikasi yang aku kira cukup memuaskan  (Triposo Spain).

Perjalanan yang jauh terasa begitu sukar kerana dalam masa yang sama perut kami semua juga minta untuk diisi. Aku bertawakkal kepada Allah dan berdoa agar kelemahan aku ini tidak menzalimi ukhti-ukhtiku yang lain. Alhamdulillah, kami selamat tiba di jalan yang bernama San Clemente dan berjaya menemui hotel kami yang bernama Pension La Montorena.

Pekerjanya, Manuel begitu baik hati. Dia cuba sedaya upaya berbahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan kami meski aku tahu hal itu sangat ssuah. Warganegara Sepanyol sangat menjaga bahasa mereka. Malah, dia tolong mengangkat beg-beg kami yang berat itu dan juga turut memberikan kami peta Seville untuk kegunaan kami semua. Sungguh, peta itulah yang aku nanti-nantikan selama ini !

Kami masuk ke dalam bilik penginapan. Kami berpuas hati dengan bilik yang luas, kelengkapan bilik yang tersedia elok cuma lantainya sahaja begitu terasa kedinginannya. Kami berehat sebentar, menunaikan solat serta menjamu selera yang disediakan oleh seorang ukhti. Setelah itu, kami berehat di katil masing-masing dan bersedia pula untuk menjelajah Seville sehari suntuk pada hari esok.

*****

31 Januari 2014
Seville

Pagi itu, kami keluar dari rumah setelah bersapran pagi. Perjalanan kaki dimulakan menghala ke Cathedral of Seville. Gereja ini merupakan antara gereja yang begitu megah dan agung. La Giralda, sebuah menara yang satu ketika dahulu digunakan oleh muazzin untuk mengumandangkan azan juga terdapat dalam perkarangan gereja ini.

La Giralda
La Giralda
KAMI di taman oren sekitar La Giralda
KAMI di taman oren sekitar La Giralda

Sebelum masuk ke dalam, aku menceritakan terlebih dahulu tentang gereja ini meskipun ilmu yang ada tidaklah banyak mana. Arakiannya, gereja itu bukanlah tarikan utama untuk aku membawa akhawat yang lain ke sana, tetapi untuk sama-sama melihat menara La Giralda yang dahulunya menjadi kebanggaan kita. Kini, menara tersebut dipasang 8 biji loceng besar dan dibunyikan pada waktu-waktu tertentu. Terdapat sebuah taman oren di perkarangan luar gereja tersebut. Indah sungguh pemandangannya !

Mana pernah saya melihat tanaman buah oren begitu subur melainkan di bumi Sepanyol ini. Namun begitu, kami tidak boleh sesuka hati mengambilnya. Sebabnya sampai sekarang kami masih lagi tertanya-tanya.

Seterusnya, aku membawa teman jaulah menuju ke Real Alcazar yang sangat berdekatan dengan gereja tersebut.  Setelah membayar bayaran masuk sejumlah 2 euro, kami berasa amat teruja untuk melihat tinggalan Islam yang agung ini. Arkitek yang membina istana ini membinanya dengan konsep taman syurga dunia. Penuh dengan elemen-elemen keindahan tanaman pokok-pokok dan juga buah-buahan ! Buah-buahan yang utama sudah pastinya buah oren dan terdapat juga pohon lemon menandakan pengaruh Islam bertapak di istana tersebut kerana lemon berasal dari tanah milik orang Islam satu ketika dahulu.

Real Alcazar 1
Real Alcazar 1

Kalimah Allah di dindingnya juga masih tertera jelas. Istana tersebut mempunyai tiga pengaruh besar dari segi seni binanya iaitu : Gothik, Renaissance dan Islam. Air pancut yang banyak terdapat di kawasan istana menggunakan sistem hidraulik namun aku tidak pasti sama ada adakah sistem itu yang masih digunapakai hingga sekarang.

Real Alcazar 2
Real Alcazar 2
Real Alcazar 3
Real Alcazar 3
Real Alcazar 4
Real Alcazar 4
Real Alcazar 5
Real Alcazar 5
Real Alcazar 6
Real Alcazar 6

Konsep syurga yang dibawa untuk membina istana tersebut amat menyentuh hati aku. Bila berjalan di sekitar istana, menjadikan aku seronok. Seronok membayangkan aku dan akhawat berjalan-jalan di taman syurga, memetik buahan, wangian syurga yang sememangnya harum. Tapi aku juga takut.

Takut bukan syurga tempat akhirku kelak. Aku merasakan syarat-syarat kelayakan untuk masuk ke dalam syurga masih lagi di tahap yang terlampau rendah.

Seterusnya perjalanan bersambung lagi menuju ke Plaza De Espana. Kawasan ini menjadi tempat tumpuan pelancong kerana bentuk bangunannya yang cukup unik. Plaza ini satu ketika dahulu digunakan sebagai pusat pemerintahan sepertimana Putrajaya di Malaysia. Dikatakan penggambaran filem juga telah banyak dilakukan di sini seperti Lawrence of Arabia (highly suggested movie) dan Star Wars. Plaza yang mempunyai ruang yang cukup luas ini terletak di dalam sebuah taman yang bernama Parque de Maria Luisa.

Plaza De Espana
Plaza De Espana

Setelah mengambil gambar di sekitar Plaza, kami menuju ke taman untuk berbasikal bagi menikmati keindahan taman yang cukup luas itu. Aku tidak berminat untuk bersiar-siar di taman ketika ini. Aku hanya duduk menunggu mereka sambil membelek-belek peta Seville untuk mencari jalan pulang ke rumah kembali. Dan aku juga mula membaca Al-Kahfi kerana aku masih juga memulakannya lagi !

Kami mengambil keputusan untuk bersolat di rumah dan berehat seketika sebelum menuju ke tempat yang seterusnya. Usai solat, kami keluar semula. Kali ini perjalanan kaki agak dekat dengan kawasan hotel tempat kami menginap. Metropol Palasol (Plaza De Al Carnacion) yang menjadi daya tarikan di Seville menjadi tempat tujuan kami yang seterusnya. Bangunan yang sebahagian besarnya dari kayu ini berbentuk  seperti cendawan. Bayaran masuk tidaklah terlalu mahal dan disertakan pula dengan minuman percuma. Ketika sedang berjalan ada seorang ukhti bertanya kepadaku, “ Apa yang akak dapat datang sini ?”

replika Metropol Palasol
replika Metropol Palasol
Metropol Palasol yang sebenar
Metropol Palasol yang sebenar

 

dari tingkat atas Metropol Palasol
dari tingkat atas Metropol Palasol

Sungguh, terlalu banyak yang aku dapat daripada jaulah kali ini. Aplikasi tarbiyyah jaulah, rasa hati yang hidup dengan ukhuwwah kerana Allah dan lain-lain lagi. Bagiku, Paris adalah simbolik kepada menara dakwah itu sendiri. Sejauh mana kita ingin berusaha untuk menjadikan dakwah ini perkara yang paling terkedepan mengatasi hal-hal yang lain dan setinggi mana impian kita untuk membina ustaziyatul alam itu sendiri.

Sepanyol pula simbolik kepada qasr tarbiyyah (istana tarbiyyah). Bagaimana tarbiyyah dahulu menjadi nadi utama dalam dakwah. Tanpa tarbiyyah, tidaklah bergeraklah dakwah. Aku selalu memikirkan, bagaimana khalifah terdahulu memastikan tarbiyyah ini berjalan dengan baik meski Islam berada di puncak dunia ketika itu sedangkan realitinya apabila kita sudah maju ke hadapan, kita akan memandang enteng perkara-perkara sebegini yang akhirnya akan menyebabkan keruntuhan Islam itu sendiri sebagaimana yang menimpa kita pada tahun 1924 sehingga sekarang.

Setelah puas menangkap gambar di sana, kami membuat keputusan untuk turun dari sana dan meneruskan perjalanan ke destinasi lain pula. Sambil aku dan seorang ukhti turun bersama, dia menyatakan kepadaku, “Walaupun kita pergi ke satu tempat tanpa tour guide, tidak tahu apa yang orang lain tahu tapi dengan jaulah tarbiyyah ini kita merasa sudah cukup.”

Kita tidak dapat menafikan bahawa seorang daie itu harus kaya dengan tsaqafahnya. Terletak pada seorang daie itu untuk tahu apa yang patut dan menggunakannya untuk dakwah. Kita tidak akan dihukum dan diberi dosa atas segala ilmu yang kita tidak tahu terutamanya jika kita bukan ahli di dalam ilmu tersebut. Apa yang penting adalah untuk kita memenuhkan akal dan hati kita dengan ilmu-ilmu yang membantu dakwah dan tarbiyyah. Bukankah seorang mukmin yang ingin berjaya dia perlu melepaskan dirinya dari hal yang sia-sia ?

Jujurnya bagi saya, saya tidak mempunyai pengetahuan yang luas di setiap tempat yang dilawati, namun saya bangga kerana saya mencari maklumatnya dengan usaha sendiri. Dan akhawat lain juga begitu. Melihat mereka bercerita aku merasa begitu kagum.

‘ Tak perlu guna tour guide pun takpe dah ni.’, aku bermonolog sendirian. Mempunyai pemandu lawatan adalah satu bonus kerana kita akan tahu lebih banyak. Aku juga sendiri menanti untuk melawat ke negara lain dengan memakai pemandu pelancong yang mempunyai input yang banyak untuk aku juga mengeluarkan output yang banyak !

Selepas itu, kami menuju ke kawasan membeli-belah untuk membeli apa yang patut dan dibawa pulang. Kemudian, kami berhenti menikmati makan malam di sebuah restoren halal sambil berbual-bual dan melayan suhu yang agak sejuk pada malam itu. Kami pulang ke hotel dengan menaiki bas dan berehat kerana masing-masing sudah keletihan.

Pagi esok, kami perlu bangun awal untuk daftar keluar dari hotel dan pada jam 12.00 tengahari kami akan bertolak ke tempat lain pula.

Adios Seville !

******

1 Februari 2014
Qarnatah (Granada)

Qarnatah (Granada)
Qarnatah (Granada)

Jam 3 petang kami tiba di stesen bas Granada. Kami duduk sebentar sambil mengisi perut yang lapar kemudian terus menaiki bas menuju ke tempat penginapan kami yang bernama Los Montes yang terletak berhampiran dengan Plaza Nueva, sebuah kawasan yang agak sibuk di Granada. Plaza Nueva adalah kawasan yang strategik kerana kenderaan awam yang banyak, kedai makan halal yang juga serta mempunyai banyak jenis kedai seperti pasaraya, farmasi dan tempat untuk menukar wang asing.

Kami berehat seketika di dalam bilik dan menunaikan solat jamak ta’khir kemudian terus keluar untuk mengenali Granada dengan lebih dekat. Kami pergi ke sebuah kedai untuk bertanyakan tentang tiket masuk ke Alhamra’ (Alhambra). Prosedur untuk membeli tiket yang sedikit rumit membuatkan kami sedikit resah jika tidak dapat masuk ke sana. Alhamra’ (Alhambra) adalah tempat tumpuan pelancong dari serata dunia yang juga merupakan salah satu bukti tamadun Islam satu ketika dahulu. Pada mulanya, kami sedikit kecewa kerana kad debit seorang ukhti tidak boleh digunakan untuk membeli tiket tersebut.

Kami mengambil keputusan untuk menegur mana-mana sahaja orang Malaysia dan meminjam kad kredit mereka untuk membeli tiket tersebut. Aku ternampak dua orang pelajar Malaysia dan terus menegur mereka. Apabila aku menyatakan tentang kegagalan kami untuk membeli tiket tersebut, mereka menjawab, “Datang awal dan kemudian beratur je kat sana. inshaAllah dapat. Datang awal barisan tak panjang mana lagi.”

Maka, kami membuat keputusan untuk datang awal sahaja ke sana sebelum Subuh untuk beratur dan membeli tiket. Seterusnya, kami berjalan menuju ke tempat jualan cenderahati yang terletak di satu kawasan yang bernama Alcaiceria. Setelah selesai, kami terus balik ke bilik hotel untuk menikmati makan malam dan bersedia untuk keesokan harinya.

******

2 Februari 2014
Qarnatah (Granada)

Pagi itu, aku dan ahli bilik aku terbangun lewat menyebabkan kami tidak sempat mengejar mereka yang terlebih dahulu sebelum Subuh sudah bertolak menuju Alhamra’ (Alhambra) untuk membeli tiket di sana. Aku dan ahli bilik yang lain merasa amat bersalah kerana mereka sanggup bangun awal dan berkorban demi teman jaulah yang lain. Aku malu ! Pabila melihat telefon sendiri, sudah banyak missed call tanda seawal pagi mereka telah berusaha untuk mengejutkan kami.

Setelah solat subuh dan bersarapan, giliran kami pula untuk menempuh angin pagi bersuhu sifar darjah celcius menuju ke Alhamra’. Ketika kami keluar, sudah ada kedai-kedai makan yang mula beroperasi dan kami terus berjalan kaki berpandukan peta elektronik menuju ke sana. Jalan menuju ke sana mendaki bukit yang menyebabkan kami mudah sekali penat dan aku sendiri kerap kali berhenti dan mengeluh penat.

Mendaki sesuatu yang melawan graviti adalah sesuatu yang susah kerana arahnya berlawanan. Tarikan graviti yang sememangnya kuat menyebabkan kita perlu gigih berusaha untuk melawannya. Begini juga aku kira melawan jahiliyyah dan segala kebiasaan hidup kita yang sebelum ini. Memang susah kerana jahiliyyah mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Semakin kita melemah, semakin mudah jahiliyyah akan merasuki semula ruh dan hati kita. Tatkala aku mendaki menuju ke Alhamra’ aku juga teringatkan betapa susah payah Islam satu ketika dahulu untuk mencapai kemenangan. Kesusahan dan pengorbanan inilah yang perlu kami para dua’t rasai jika kami juga berkehendakkan kemenangan yang sama. Andai seorang daie itu mendaki menuju puncak dakwah dengan membawa beban jahiliyyah dirinya, itu hanya akan melambatkan lagi perjalanannya.

Rasa penat terubat sedikit apabila Alhamra’ mula kelihatan. Dari dahulu, aku berhajat untuk menjejakkan kaki ke sini bagi melihatnya dengan mataku sendiri sehingga aku membeli sebuah buku panduan khas yang menerangkan tentang selok-belok Alhamra’. Aku mahu menatap kalimah-kalimah Allah di dindingnya, aku mahu menyentuh tiang-tiangnya dengan tanganku sendiri. Aku ingin mengabadikan kenangan di sini.

Alhamra'
Alhamra’
tiket masuk Alhamra'
tiket masuk Alhamra’

Kalimah La Ghalib Illallah yang bermaksud Tiada penguasa selain Allah tertera di mana-mana sahaja dinding Alhamra’. Bagaimana khalifah dahulu merasakan kuasa yang lebih tinggi dari mereka adalah Yang Maha Berkuasa. Meletakkan kalimah itu di dinding untuk ingatan mereka sendiri agar mereka tidak menjadi hamba yang lupa diri. Kalimah ini menghidupkan iman khalifah dan seisi istana, Allahuakbar !

tiga bahagian utama Alhamra'
tiga bahagian utama Alhamra’
Alhamra' 1
Alhamra’ 1
Medina di Alhamra'
Medina di Alhamra’
buku yang aku gunakan sepanjang berjalan di dalam Alhamra'
buku yang aku gunakan sepanjang berjalan di dalam Alhamra’
Tiada Penguasa selain Allah !
Tiada Penguasa selain Allah !
Alhamra'
Alhamra’
lubang-lubang udara untuk memastikan pengaliran udara di Alhamra'
lubang-lubang udara untuk memastikan pengaliran udara di Alhamra’
Alhamra' 2
Alhamra’ 2
Alhamra' 3
Alhamra’ 3
Alhamra' 4
Alhamra’ 4
Alhamra' 5
Alhamra’ 5
Alhamra' 6 : General Life
Alhamra’ 6 : General Life
Alhamra' 7
Alhamra’ 7

Peringatan sebegini membuat aku menjadi syahdu seketika yang memikirkan keadaan manusia sekaraang, bahkan aku sendiri yang terkadang susah untuk menerima sebuah peringatan. Sama ada kita membiarkannya sahaja ataupun menolaknya. Apatah lagi jika perkara yang sentiasa diingatkan itu adalah perkara yang sama sampaikan kita merasa bosan.

Aku berfikir lagi.

Tidak bosankah orang Islam dahulu kala melihat kalimah yang serupa ini ?
Bagaimana hanya dengan kalimah pendek ini menjadikan mereka manusia yang menang ?

Sungguh bersih jiwa mereka menerima dan menghayati sebuah peringatan. Puas sungguh kami bergambar di sini tetapi masih tidak mampu mengalahkan lensa mata kurniaan Allah. Tinggalan Alhamra’ ini banyak memberi kesan pada hati kami semua. Tinggalan sejarah ini merupakan satu bukti yang menunjukkan mereka boleh.

Jika mereka boleh mengapa tidak kita ?
Mari kita mula untuk membangunkan Islam di dalam diri kita dahulu sebelum kita membangunkan Islam itu di dalam sebuah negara. Setelah penat menjelajahi Alhamra’, kami berjalan keluar meninggalkan perasaan sayu mula menyelubungi. Aku mendoakan agar setiap orang yang berkunjung ke sini mendapat pengajaran yang besar buat jiwa mereka. Kami meneruskan perjalanan menuju ke sebuah masjid di sana untuk menunaikan solat. Masjid tersebut terletak di Albaycin, sebuah perkampungan orang Moorish (orang Muslim di Sepanyol). Dari perkarangan masjid tersebut, Alhamra’ boleh dilihat dengan jelas dan tampak begitu indah. Merahnya Alhamra’ itu sungguh memukau ditambah pula dengan cahaya matahari petang yang bersinar.

Masjid Granada
Masjid Granada
dari perkarangan masjid, Alhamra' boleh dilihat dengan jelas
dari perkarangan masjid, Alhamra’ boleh dilihat dengan jelas

Sewaktu masuk ke dalam perkarangan masjid, kami bertemu dengan seorang wanita Muslim yang baru sahaja keluar dari masjid sambil mengendong anaknya. Dia bernama Aisha dan berasal dari United States. Dia tersangat mesra orangnya. Tanpa berlengah kami terus masuk ke dalam masjid untuk berwudhuk dan menunaikan solat.

Selepas solat, ada ukhti yang tertidur kerana terlalu keletihan dek perjalanan yang terlalu jauh pada hari ini. Setelah memberi peluang kepada mereka untuk berehat seketika, kami menuju pula ke Sacromonte yang juga sebuah perkampungan yang terkenal di Granada. Perkampungan tersebut dengan rumah di dalam gua dan tarian Flamenco. Namun begitu, untuk menuju ke sana juga jalannya mendaki bukit yang mengambil masa selama 20 minit berjalan kaki. Semuanya menolak untuk ke sana dan membuat keputusan untuk singgah makan di Plaza Nueva.

Kami pulang ke Plaza Nueva dengan menaiki bas. Setelah menjamu selera di sebuah restoran halal, kami singgah sebentar di sebuah kedai runcit untuk membeli sedikit makanan ringan untuk malam ini. Pada malam nanti, kami semua sudah membuat keputusan untuk duduk kumpul bersama-sama dan berkongsi rasa hati masing-masing.

Kami duduk berkumpul pada jam 8.00 malam. Seorang ukhti memulakan sesi malam itu dengan mentadabbur Al-Quran (aku sudah lupa surah mana) dan masing-masing berkongsi ayat yang paling menyentuh hati mereka. Pada mulanya, aku tidak mahu bercakap kerana aku begitu kering-kontang dan dahagakan pengisian. Aku begitu malas untuk berkongsi. Tetapi, mereka menunggu-nunggu untuk aku bercakap meskipun aku tahu mereka cukup mengantuk.

Aku mengajak mereka untuk sama-sama memanfaatkan saki-baki jaulah yang masih ada. Aspek persekitaran jaulah yang semenangnya membantu kami semua untuk lebih dekat kepada Allah. Aku mahu mereka merasai jaulah ini perasaan.  Menjadi orang yang baru dengan perasaan yang baru. Saat aku menulis ini, aku terkenangkan betapa gembiranya manusia-manusia yang bersabar. Dalam kita berhadapan atau berurusan dengan manusia, perasaan yang tidak elok akan selalu hadir dalam hati.

Apatah lagi, andai sesuatu hubungan itu berlandaskan Allah maka bertambah hebatlah ujiannya! Aku mengajak mereka untuk menjadi manusia yang lebih hebat dengan perasaan. Daie yang mantap jiwanya, yang tinggi semangat juangnya adalah seorang daie yang begitu sensitif jiwanya namun hatinya tidak mudah diusik dengan perasaan-perasaan yang buruk dan remeh.

Setelah selesai sesi sharing, aku dan rakan sebilik pulang ke bilik kerana esok merupakan giliran kami pula yang menyediakan sarapan dan makan malam. Kali ini, biar kami pula yang berkorban !

Sampai jam 3.00 pagi, barulah makanan siap dimasak. Aku menyimpan di dalam bekas makanan dan kemudian masuk tidur untuk sesi jaulah keesokan harinya pula.

*******

3 Februari 2014
Qarnatah (Granada)

Pagi ini kami merancang untuk pergi ke Sierra Nevada, pergunungan salji di Sepanyol dengan menaiki bas. Namun begitu, kami terlewat sampai dan sudahpun terlepas tiket bas jam 10.00 pagi. Maka, kami membuat keputusan untuk pergi ke sana pada sesi petang dan aku bersama seorang ukhti beratur untuk membeli tiket.

Namun begitu, tiket yang sudah dibeli tidak menepati pula masa kami. Malam nanti, kami akan ke destinasi terakhir di Sepanyol dengan menaiki keretapi selama lapan jam. Rancangan untuk ke Sierra Nevada  kami batalkan dan kami terus menuju ke Madrasah yang satu ketika dahulu milik kita. Madrasah ini terletak di jalan yang bernama Calle Oficios.

mimbar di dalam Madrasah
mimbar di dalam Madrasah
Madrasah 1
Madrasah 1

Ruang madrasah of Granada memaparkan tempat berwudhuk, surau untuk menunaikan solat dan ruang asrama.  Antara tokoh hebat yang pernah belajar di sekolah ini adalah Ibnu Al-Khatib yang berguru dengan Ibn Al-Fajjar, Ibn Marzuq, Ibnu Al-hayy (bahasa dan undang-undang), Ibn Al-Hakam dan Ibn Al-Yayyab serta Sheikh yahya ibn Hudayl (perubatan dan falsafah).

Madrasah ini mula dibina pada tahun 1349 oleh Sultan Yusuf I. Sekarang, bangunan ini menjadi sebahagian daripada bangunan Univercity of Granada. Kami singgah sebentar pulang ke hotel untuk bersolat sebelum menuju ke lokasi berikutnya. Kami meneruskan lagi perjalanan menuju ke sebuah taman yang percuma bayaran masuknya. Pada mulanya, kami tersalah naik bas dan menyebabkan kami harus berpatah semula ke tempat asal. Setelah ketua perjalanan di Granada meneliti dengan lebih teliti, akhirnya kami berjaya menaiki bas yang betul.

Petang itu, cuaca tidak begitu baik. Kami terpaksa menunggu di luar terlebih dahulu memandangkan taman tersebut mempunyai waktu melawat yang tertentu. Habis kami dibasahi hujan yang tidak begitu lebat. Sudahlah cuaca yang sejuk, ditambah pula dengan hujan yang membasahi bumi ketika itu. Tiada apa yang kami panjatkan melainkan doa dan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Apabila pintu taman sudah dibuka, kami masuk ke dalam dan hanya mengambil masa sejam untuk berjalan di kawasan taman yang dekat sahaja.

sekitar taman
sekitar taman
sekitar taman 2
sekitar taman 2
sekitar taman 3
sekitar taman 3
IMG_1710
aku di taman

Setelah itu, kami menaiki bas untuk pulang kembali ke Plaza Nueva dan mengambil beg bagasi bersama-sama kami dan makan malam di sebuah kedai makan yang menjual makanan halal. Kami menjamu selera hingga jam hampir menunjukkan 8 malam dan kemudian bertolak ke stesen keretapi.

Adios Granada.

*****

4 Februari 2014
Di dalam keretapi
Granada-Barcelona Sants
Koc 3, kerusi bernombor 08D

Selamat hari lahir umi !

Suhu di dalam keretapi begitu panas sehingga menyebabkan tidurku tidak berapa lena. Ya, kami berada di dalam keretapi  sepanjang malam. Kami bertolak pada jam 9.30 malam dan akan tiba keesokan harinya. Jam 6.00 pagi aku bangun dan pergi ke tandas untuk mengambil wudhuk. Aku menyalakan lampu kecil (yang hanya bernyala untuk tempat dudukku) untuk membaca Al-Quran.

Setelah tiba waktu Subuh, aku menunaikan Solat serta membaca Mathurat. Sepanjang perjalanan menuju ke sana, laluan yang kami lalui berada di tepian laut. Indah sungguh pemandangan melihat matahari terbit di laut begini.

Subhanallah ! Segala puji hanya bagi Allah.
Aku terkesima merenung luar ke tingkap dan kemudian mengeluarkan pen dan kertas untuk menyambung penulisanku. Tiba sahaja di Barcelona, kami meletakkan beg di dalam loker berbayar yang disediakan. Kami mencari tempat duduk untuk bersarapan terlebih dahulu sambil mendengar tazkirah pagi yang disampaikan oleh seorang ukhti. Berbekalkan nasi goreng dan sambal ikan bilis memang amat menyelerakan untuk kami yang kelaparan.

Destinasi pertama kami di Barcelona sudah tentulah Stadium Barcelona FC, sebuah pasukan bola sepak antarabangsa yang cukup terkenal. Namun, kami hanya melihat dari luar. Menangkap gambar dan terus menuju ke kedai khusus menjual barangan bertemakan pasukan bola sepak ini. Sama ada mahu atau tidak, aku sendiri harus juga ke kedai ini memandangkan dua orang adik lelakiku berhajatkan baju yang original milik pasukan ini.

hadapan Stadium Barcelona FC
hadapan Stadium Barcelona FC

Habis membeli belah, kami menuju pula ke sebuah taman yang cukup luas dan indah yang diberi nama Park Guell. Park Guell ini adalah taman yang terkenal kerana direka oleh seorang arkitek yang cukup terkenal bernama Antoni Gaudi. Taman ini mula dibina pada tahun 1900 hingga 1994 mempunyai keluasan 0.1718km2. Semasa berkunjung ke sana, kami juga terserempak dengan beberapa pemuzik jalanan yang mengalunkan muzik yang mengasyikkan.

Park Guell 1
Park Guell 1
Park Guell 2
Park Guell 2

Kami berhenti seketika untuk mengambil ibrah di taman ini.Untuk menuju ke taman ini, kami perlu mendaki bukit terlebih dahulu. Teknologi memudahkan segalanya. Eskalator disediakan untuk memudahkan orang ramai berkunjung ke sini. Aku mengambil eskalator itu sebagai ibrah. Dalam kesusahan pasti ada kemudahan, pasti ada rukhsah yang Allah berikan untuk kita mengharungi cabaran dalam kehidupan. Cuma kita mungkin kadang-kadang kita terlupa akan kemudahan yang Allah berikan kerana kita menganggap kemudahan itu hanyalah kecil sedangkan besar nilainya !

Rumah Antoni Gaudi di dalam Park Guell
Rumah Antoni Gaudi di dalam Park Guell

Setelah puas berjalan di sekitar taman, kami menuju pula ke sebuah gereja yang belum lagi siap sejak dimulakan pembinaannya pada tahun 1883 dulu. Gereja ini juga direka khas oleh Antoni Gaudi. Apabila beliau meninggal, di kala itu hanya 15 hingga 25 peratus gereja ini siap dibina. Bayaran masuk yang dikenakan digunakan untuk membiayai pembinaan gereja ini.

Gereja Sagrada Familia
Gereja Sagrada Familia

Mengenangkan bangunan yang belum siap ini, mengingatkan kami pada usaha dakwah seluruh dunia yang masih belum sampai kepada kemuncaknya. Suatu hari nanti, pasti inshaAllah ! Bangunan dakwah yang kita bina sememangnya mengambil masa yang lama, malah Rasulullah SAW sendiri tidak sempat melihatnya. Tetapi, Rasulullah SAW telah meninggalkan batu asas yang teramat kukuh untuk menuju kegemilangan ini.

Saya terfikir bagaimana ada orang masih lagi mahu meneruskan pembinaan gereja ini sedangnya pengasasnya telah lama pergi melainkan mereka amat menyanjungi Antoni Gaudi. Dan  kita juga memilih untuk menyanjungi seseorang yang lebih hebat iaitu Rasulullah SAW lalu memilih untuk melakukan kerja dakwah seperti Baginda !

Seterusnya, kami terus berjalan menuju ke kedai berhampiran untuk memberi cenderahati dan kemudian berhenti makan tengahari di sebuah kedai makan yang menyediakan nasi Paella (paelle bermaksud periuk). Nasi Paella ini menjadi menu wajib jika kita berkunjung ke sini. Bahan utama untuk menyediakan makanan ini adalah za’faran, sayur, minyak zaitun dan daging.

Jam sudah menunjukkan hampir jam 7 malam. Kami semua tidak mahu tertinggal untuk melihat Magic Fountain of Montjuic, terletak berhampiran Plaza d’Espanya, yang cukup popular. Air pancut ini mempunyai warna dan iramanya yang tersendiri. Kami terus menaiki metro untuk menuju ke sana. Ketua jaulah aku begitu laju menuju kea rah sana sehingga kami agak tertinggal di belakang. Rupa-rupanya, air pancut tersebut tidaklah buka setiap hari. Kami agak merasa agak hampa.

Kami terus berjalan menuju ke destinasi yang seterusnya. Sebuah menara yang agak unik kerana mempunyai cahaya yang cantik pada waktu malam bernama Torre Agbar. Menara ini direka oleh seorang arkitek Perancis yang bernama Jean Nouvel. Menara ini merupakan hak milik sebuah syarikat air Barcelona bernama Aigues de Barcelona.

Torre Agbar
Torre Agbar

Kami tidak sempat untuk berkunjung ke Monumen Columbus di tepi pantai kerana masa yang begitu mencemburui kami. Akhirnya, kami dibawa oleh ketua perjalanan Barcelona untuk membeli belah di tengah pusat bandar. Di ketika inilah aku mencari hadiah buat umi kerana tepat jatuh pada hari lahirnya. Puas juga aku mencari gaya beg yang sesuai dengan dirinya. Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya menjumpainya ! Aku juga berkesempatan menemani seorang ukhti yang ingin membeli sepasang kasut di sana, namun dia tidak membelinya kerana harga yang mahal.

Seterusnya, kami berjalan dengan pantas untuk kembali ke stesen keretapi dan mengeluarkan beg. Aku agak tertinggal di belakang kerana menemani seorang ukhti yang terseliuh kakinya. Aku meminta yang lain agar pergi dahulu untuk mengeluarkan beg kami berdua.

Tiket kami tidak diterima mesin !
Kami sudah lewat untuk menuju ke lapangan terbang dan keretapi terakhir yang beroperasi adalah pada jam 11.16 malam. Ada seorang pelajar lelaki (pelajar di sana) cuba untuk membantu kami. Katanya, tiket yang kami beli hanya boleh digunakan pada waktu siang. Kami meminta bantuan dari pegawai yang bertugas di situ lalu dia mengecop tiket kami dengan cop yang khas. Kami turun ke bawah dan berkejar untuk masuk ke dalam keretapi.

Aku dan dua orang lagi ukhti tertinggal di luar manakala yang lain sempat masuk ke dalam. Pintu sudah ditutup. Kami cemas. Bagaimana ingin ke lapangan terbang melainkan hanya menunggu keretapi api paling awal iaitu pagi esok ! Akhawat yang berada di dalam juga susah hati melihat kami yang di luar.

Keretapi mula bergerak.
Tiba-tiba, ada seorang lelaki Pakistan menegur kami ?
“ Why your friends inside the train ?”
“ We are going to the airport but we missed the train.”

“ No. this is the last station. The train is going to the parking right now.”

Ini bermakna, mereka yang perlu keluar. Jika tidak, tiada siapa yang akan perasan bahawa mereka sedang berada di dalam keretapi tersebut. Tanpa berlengah, ketua jaulah aku terus mengejar pegawai yang bertugas untuk menghentikan keretapi api tersebut dan membawa yang lain keluar.

Alhamdulillah, mereka berjaya keluar. Masing-masing ketawa sendiri mengenangkan apa yang telah terjadi. Kalaulah kesemuanya sekali masuk ke dalam keretapi itu tadi, alamatnya semua orang akan masuk parking.

“ Inilah yang Allah bagi pada kita. Setiap kesulitan ada kemudahannya.”

Kami menunggu keretapi yang sebenar (yang sepatutnya kami naiki) di platform sebelah. Ketika kami sedang tunggu di sana, aku perasan bahawa kami sedang diperhatikan. Namun, aku tidak mahu bersangka buruk. Mungkin benar pak cik itu sedang menunggu keretapi juga seperti kami.

Ketika sedang ingin menaiki keretapi, telefon bimbit ketua jaulahku hilang namun sempat seorang ukhti mengambil semula dari pakcik itu tadi. Pick pocket rupanya !

Kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai di lapangan terbang. Kami mengemas beg buat kali terakhir dan menyumbatkan segala barang agar muat kesemuanya. Sebelum tidur untuk seketika, kami bersolat terlebih dahulu dan menikmati bekal makanan malam yang telah dibeli sewaktu perjalanan tadi.

Adios Espana !

5 Februari 2014
LX 1951 BARCELONA-ZURICH (flight departs at 0625)
LX 236 ZURICH-CAIRO (flight departs at 0945)

******

5 Februari 2014
Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir

Kami sampai ke rumah kedua kami. Sesudah selesai urusan di imigresen, kami mengambil beg bagasi dan singgah sebentar di surau untuk menunaikan solat sebelum pulang ke rumah. Ketua jaulah meminta kami untuk berkumpul seketika untuk memberi khulasah (kesimpulan) dari jaulah ini.

Setelah selesai solat, kami membuka majlis. Masing-masing memohon maaf  antara satu sama lain dan menyatakan rasa hati sepanjang berada di dalam jaulah ini. Sayu sungguh untuk berpisah begini meskipun kami belajar di tempat yang sama. Ada yang sudah menitikkan air mata dan merasa sebak.

Agaknya, ruh jaulah ini betul-betul menyerap ke dalam diri kami !
Aku tidak bercakap banyak. Aku menyatakan rasa syukur kerana berjaya mengaplikasikan tarbiyyah ketika jaulah yang mana telah aku belajar melalui kesilapanku sendiri dalam jaulah sebelum ini. Aku juga meminta maaf andai ketika menjadi ketua perjalanan untuk Seville, tidak banyak yang aku ceritakan.

Moga-moga ukhuwwah antara kami berkekalan sampai bila-bila. Dan memori inilah menjadi pengubat untuk terus kekal berada dalam jalan dakwah ini hingga akhirnya !

Kami menutup majlis dengan bacaan doa rabithah seorang ukhti dan bersalam-salaman sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Sekian untuk jaulah musim sejuk kali ini,
mylittlepencil

Travelog Paris : Pada menara dakwah

24 Januari 2014
Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir.

jaulah KAMI
jaulah KAMI

Tepat jam 11.00 pagi, aku tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Ya, pagi ini aku akan terbang menuju ke sebuah negara untuk menikmati keindahan sebuah tarbiyyah. Ramai orang di sini tetapi tidaklah hingar-bingar. Fikirku, semua sedang menunggu dan ternanti-nanti akan pemandangan di tempat yang bakal mereka tuju. Ataupun sedih untuk meninggalkan bumi Mesir ini.

Untuk aku, pelbagai perkara di dalam minda meskipun semalam ketika mengemas segala persiapan untuk berjaulah, hati dan akal masih lagi terkejut. Mendapat taklifat sebagai bendahari jaulah menjadikan aku lebih bersemangat walaupun aku agak merasa terbeban sedikit pada awalnya. Jika aku tidak berjaya memegang amanah dengan baik, aku akan menzalimi kesemua ahli jaulahku dan aku tidak boleh lagi dipercayai oleh sesiapapun !

Aku takut akan hukuman manusia.
Apatah lagi hukuman Allah yang lebih seksa azabnya.

Aku duduk sambil berbalas-balas mesej Whatsapp dengan umi tercinta. Katanya, jangan lupa akan hadiah istimewa untuk hari lahirnya pada 4 Februari nanti. Apabila aku bertanya kepadanya apa yang dimahunya, pantas umi menjawab, “ Beg tangan .”

Aku tersenyum melihat keletahnya walaupun tidak nampak di mata. Hanya dengan membayangkan senyuman dan kegembiraannya jika aku berjaya menunaikan kehendaknya membuat aku bahagia.

Alangkah bahagianya hidup ini dengan memberi.
Alangkah bahagianya hidup ini apabila dapat membahagiakan orang yang disayangi.

Setelah berbalas-balas mesej dengannya, aku mengatakan kepadanya untuk menyelesaikan mutabaah amal pada hari itu. Taklifanku untuk membaca juzuk 8 (ODOJ) masih lagi belum tamat. Al-Kahfi yang biasa aku lazimi juga masih belum aku baca. Aku membaca Al-Quran sehinggalah kesemua ahli jaulah aku tiba.

-Sebelum check-in –

Ketua jaulah mengajak kami berkumpul untuk sesi set kompas. Kami diberikan satu buku kecil untuk mmbuat catatan terindah (yang mana aku sedang menggunakannya sekarang), satu teks tazkirah tentang tokoh-tokoh Islam dan Winter Kit dari naqibah masing-masing.

Ketua jaulah aku mengingatkan bahawa jaulah adalah tempat untuk kita mempraktikkan segala teori yang telah kita pelajari. Betapa juga niat adalah teramat penting kerana jaulah ini ‘hidup’ kerana niat. Niat kerana Allah akan menjadikan apa jua yang datang dan menimpa sepanjang jaulah ini nanti adalah semata untuk meningkatkan iman kami semua.

Kata ketua jaulahku, “ Kita bukan pelancong. Kita adalah pengembara.”

Pengembara itu bukan hanya berjalan, tetapi dia belajar dari perjalannya. Pengembara bukan hanya penat berjalan, tetapi dia lelah kerana mecari setiap inci pengajaran dari perjalanannya.Teringat aku pada Ibnu Battuta. Katanya, “ Travelling it leaves you speechless, the turns you into a storyteller.” Buku yang paling popular dikarang oleh Ibnu Battuta bertajuk Rihla yang bermaksud Perjalanan.

Sementara menunggu panggilan untuk masuk ke pintu masuk, aku menghabiskan bacaan Al-Quran yang masih berbaki. Setelah itu, aku memasang niat.

Begitu banyak dan pelbagai jenis niat.
Aku harap kesemuanya tercapai.
Biiznilah.

Bismillahirrahmanirrahim.
LX 237 1540 (Cairo-Zurich)

*********

IMG_1039

8.27 pm
Zurich International Airport

Flight delay.
Itu yang tertera pada skrin untuk penerbangan kami yang seterusnya. Zurich, Switzerland hanyalah tempat untuk kami transit selama satu jam di sini.

Kami mengambil masa seketika untuk berehat dan pergi ke tandas. Kawasan lapangan terbang yang sememangnya bagus dalam jaringan internet membuatkan semua orang terdiam seketika menatap telefon pintar dan tablet masing-masing.

Tiba-tiba seorang ukthti berkata, “ Bila semua orang dapat internet…….”

Sungguh, tamparan hebat buat aku ketika itu. Teringat satu petikan kata oleh Albert Einstein : Jelas menjadi menggemparkan bahawa teknologi telah melampaui kemanusiaan kita.

Aku tutup internet dan tablet untuk lebih fokus pada jaulah kali ini.  Fokus kepada niat dan hadaf. Fokus terhadap tugasan yang telah tersedia untuk dijalankan. Kesempatan ini aku ambil untuk membaca tazkirah tentang seorang tokoh yang hebat ketika zaman Bani Umaiyyah dahulu.

Kata Muhammad bin Ali bin Al-Husain : “Apakah engkau tahu, setiap kaum itu ada seorang cendekiawan dan cendekiawan Bani Umaiyyah adalah Umar bin Abdul Aziz. Dia akan dibangkitkan di hari kiamat kelak sebagai satu ummah.”

Datuknya adalah tokoh sanjungan hatiku, khalifah Ummar Al-Khattab. Bacaanku tentang kisah Umar Abdul Aziz mengingatkan aku pada seorang pemimpin di Mesir.

Umar menoleh kepada ketua polis seraya berkata : “ Kamu tidak perlu mengingati saya. Saya hanya orang Islam biasa. Saya datang dan pergi seperti kamu. ”

Doktor Mursi juga begitu. Kini satu dunia mengenalinya. Tidak kiralah sama ada dengan pandangan yang positif atau negatif, pastinya satu dunia kini sedang mengkaji akan dirinya. Segala berita yang berkaitan dirinya dibaca dan diambil tahu. Aku yakin lambat laun mereka akan mengetahui tentang kebenaran insan yang hebat ini.

Sambil aku membaca, aku menyapa seorang wanita di sebelahku. Kebetulan pula, destinasi kami sama. Cuma berbeza tujuannya. Dia mengatakan kepadaku destinasinya ke sana adalah untuk melawat teman lelakinya di sana. Aku tidak bertanya banyak. Dia kini seorang pelajar yang sedang menghabiskan PhD di dalam bidang alam sekitar.

“ Where are you from ?” tanya dia kepadaku.
Aku menjawab, “ Malaysia.”

“ I don’t know about this country.” Aku terkejut bila mendengar responnya. Aku mengulang-ngulang nama negaraku banyak kali. Dan akhirnya dia tersenyum.

“ Oh yeah..i know Malaysia. I have some friends who did some research about environment in Malaysia.”

Perbualan kami berakhir.
Dan perjalanan kami diteruskan lagi.

Bismillahirrahmanirrahim.
LX 646 (Zurich-Paris CDG (Charles De Gaulle))
9.45 malam

******

25 Januari 2014
Aeroport Paris Charles de Gaulle

Alhamdulillah kami selamat tiba di Paris. Kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap ahli jaulah masing-masing.Belum lagi keluar menjelajah kota Paris, telah banyak gambar yang kami tangkap walaupun masih berada di dalam lapangan terbang. Kami tiba lewat malam dan terus menuju ke tandas untuk mengambil wudhuk.

“ May Allah protect all of you.”

Inilah kata-kata terakhir sebelum dia pergi. Kata-katanya yang amat membekas pada jiwa aku ketika aku sedang ingin mengambil beg bagasi. Namanya Rahmah. Dia berasal dari Turki yang juga mempunyai kewarganegaraan Perancis. Aku bertanya kepadanya samada ada atau tidak mana-mana tempat solat yang disediakan  untuk kami menunaikan solat. Meskipun aku dapat mengagak jawapannya, tetapi ingin juga aku bertanya sebagai wasilah usaha untuk menunaikan kewajipan agama.

Jawabnya, “ No. There is no place for pray. Just pray anywhere you feel safe. ”

Kami menunaikan solat di tempat yang agak terlindung kerana agama Islam tidaklah diterima berapa baik di negara ini. Maka, ketentuan Allah untuk kami tiba lewat malam di sini adalah yang terbaik.

Inilah tarbiyyah berada di negara bukan Islam. Kita harus bersiap-sedia dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi. Keasingan (ghuraba’) sememangnya amat terasa dan terserlah. Pakaian dan perbuatan kita segalanya diperhatikan. Di ketika ini, rasa izzah terhadap agama Islam akan terbina dan diuji. Mujur Allah mendatangkan kepada kami ingatan melalui seorang ukhti. Dia mengajak kami untuk mentadabbur ayat kedua di dalam surah Al-Hijr yang bermaksud,

“ Orang kafir itu kadang-kadang (nanti di akhirat) menginginkan, sekiranya mereka dahulu (di dunia) menjadi orang muslim.”

Merasai menjadi seorang Muslim itu istimewa memerlukan pendidikan hati dan jiwa yang berterusan. Dunia kini yang semakin moden menjadikan agama kita ini tampak ketinggalan zaman sedangkan Allah telah menciptakannya dengan sifat sempurna selama mana selagi akhirat itu belum tiba.

Arakiannya, begitu banyak jenis penganut agama ini. Ada yang hanya menggunakan agama ini dengan terlampau ekstrem sehingga manusia di sekeliling takut padanya. Ada juga manusia yang terlampau ambil mudah sehingga mudah sekali untuk digoyahkan prinsip dan keyakinan dirinya. Ada juga manusia yang hanya mengaku Islam tetapi amal tidak menyerupai amal seorang Muslim.

Agama Islam adalah agama yang agama yang paling syumul dan praktikal.  Mana mungkin Allah menciptakan satu manhaj atau cara hidup yang akan membebankan hamba-hambaNya melainkan hamba-hambaNya itu merasakan agama ini adalah satu bebanan. Islam adalah agama fitrah yang sememangnya sesuai dengan jiwa sekalian manusia sepertimana seorang manusia yang sibuk dan bosan dengan kehidupan di kota yang akhirnya kembali kepada alam untuk menenangkan dirinya.

Kita lihat perjalanan pelbagai fahaman di dunia ini yang akhirnya membawa kepada kerosakan. Walaupun kemenangan dicapai dan ramai manusia yang tertarik akan fahaman-fahaman tersebut, namun akhirnya fahaman itu tidak akan kekal dan kemudian manusia-manusia itu tadi berpaling kepada  fahaman yang lain pula.

Saat aku sedang menulis ini, ada dalam kalangan ahli jaulah yang sedang tidur. Tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang sedang membaca Al-Quran (menghabiskan ODOJ masing-masing).

Saat ini aku masih lagi terus menulis untuk menghilangkan rasa letih. Aku tidak mahu tertinggal walau sedikit saat-saat manis berada di dalam jaulah ini.

Jam 4.00 pagi kesemua ahli jaulah telah pun bangun dari tidur dan bersiap sedia. Sebelum kami bertolak, ketua jaulah menaklifkan kepadaku untuk memberi kata-kata pembuka sebelum meneruskan perjalanan pada hari baru. Aku mengingatkan bahawa diriku sendiri dan teman jaulah akan betapa pentingnya untuk mensyukuri nikmat berjaulah ini. Setiap langkah kaki yang diizinkan oleh Allah untuk menapaki setiap langkah di atas muka bumi Paris ini adalah kurniaan Allah semata. Andaikata sebarang musibah melanda atau kesulitan melanda, aku mengingatkan agar kami semua ingat akan urusan orang lain yang mungkin lebih sulit dari urusan kami. Mutabaah amal juga jangan dilupakan meskipun fizikal akan menjadi amat penat sepanjang tempoh jaulah ini. Tazkirah aku diakhiri dengan bacaan doa rabithah dan doa naik kenderaan.

Sesampainya kami di kawasan kaunter tiket, kami melihat kaunter tiket masih lagi tutup. Sangkaan kami, kaunter tiket akan dibuka awal. Kami duduk terlebih dahulu menunggu. Setelah menunggu hampi sejam lebih, tiket dibeli dan kami terus menaiki keretapi menuju ke Chatelet Les Halles untuk menaiki keretapi yang lain pula menuju ke Gare de Lyon.

Setibanya di Gare de Lyon, kami bergegas mencari kawasan lapang yang agak tertutup untuk menunaikan solat Subuh berjemaah dan bersarapan  di sana. Ketika aku dan seorang ukhti sedang mengambil wudhuk, kami dimarahi kerana telah membasahkan lantai dek kerana air wudhuk kami yang jatuh menitis ke lantai. Kami terdiam seketika. Salah kami juga kerana tidak ambil berat tentang hal itu. Sudahlah, lelaki dan perempuan bercampur di dalam satu tandas, kami dikejutkan lagi dengan kemarahan mak cik penjaga tandas tadi yang memarahi kami dalam Bahasa Perancis. Aku dan ukhti tersebut meneruskan sahaja untuk mengambil wudhuk. Jauh sekali untuk kami merasa marah dan menarik muka. Kami membiarkannya sahaja.

Setelah selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, kami bersarapan bersama-sama. Menikmati juadah bersama-sama mengeratkan lagi hubungan antara kami. Berkongsi lauk yang sederhana dalam kuantitinya itu membuatkan hati aku sedikit syahdu. Syahdu dengan ukhuwwah yang aku jalinkan dengan mereka. Ukhuwwah yang mengajar kami semua untuk tidak mementingkan diri sendiri dan lebih mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri. Selesai makan, kami bergegar menuju platform untuk menaiki keretapi ke destinasi seterusnya.

Bon voyage  seketika kota Paris.
Di sana, ada nikmat besar yang sedang menanti kami di sana. Pastinya, tidak rugi kami ke sana.
Paris Gare de Lyon-Besancon Viotte Centre Ville
8.53-11.23 pagi

******

Besancon Viotte Centre Ville-Beyt Rijal Ghuraba’

IMG_1075

Kami selamat tiba di Besancon pada jam 11.23 pagi. Kami ingin berjumpa dengan permata-permata dakwah di sini. Aku menghantar mesej kepada seorang ukhti untuk memberitahu bahawa kami telah tiba di sini. Dia meminta kami untuk menunggu sehingga jam 12.30 tengahari kerana dia juga sedang menuju ke tempat itu dengan membawa seorang lagi ukhti yang lain.

Setelah dia sampai, kami terus bersalaman dan berangkat ke rumah beliau dengan menaiki bas. Namun begitu, kami tidak dapat masuk ke rumahnya kerana berlaku sedikit masalah. Ukhti tersebut membuat keputusan untuk membawa kami menikmati makan tengahari di sebuah restoran halal yang terdapat di sekitar tempat tinggalnya. Setelah memesan makanan dengan agak pening melihat menu dalam bahasa Perancis, kami mulakan sesi taaruf. Sungguh, aku paling menyukai sesi ini !

Taarur bagi aku adalah nyawa di dalam sebuah ukhuwwah. Tanpa taaruf, kita tidak akan berjaya mengenali akhawat kita dengan sebaik mungkin. Tanpa mengenali seorang ukhti dari setiap sudut dirinya, kita tidak akan mampu untuk memperbaiki ukhuwwah menjadi ukhuwwah yang lebih baik. Taaruf secara terus mahupun tidak, itu adalah nikmat termulia buat jiwa-jiwa hamba yang beriman.

Semalam, aku ada membaca sebuah buku sepanjang perjalanan menuju ke Besancon. Tajuk buku ini adalah Jalan Cinta Para Pejuang yang ditulis oleh Salim A. Fillah. Salah satu topik di dalam buku ini membicarakan tentang cinta. Robert J Sternberg memperkenalkan sebuah teori tentang cinta yang bernama A Triangular Theory of Love. Segitiga itu mengandungi tiga komponen utama iaitu :

Keintiman (intimacy)
Ghairah (passion)
Komitmen (commitment)

Ukhuwwah adalah sebuah hubungan akrab yang penuh dengan dengan komitmen. Di dalam bahasa Arab, persahabatan kita sebut sebagai khullah yang membawa makna kasih sepertimana Allah menamakan Nabi Ibrahim A.S sebagai khalilullah. Mana mungkin sebuah hubungan yang akrab tidak dilanda ujian. Love is a sweet torment.

Sepanjang saya berada di dalam jalan dakwah dan tarbiyyah, di sinilah saya banyak memaknai apa itu ukhuwwah yang sebenar. Ukhuwwah itu adalah satu perasaan dalam hati yang mana setiap orang yang berukhuwwah perlu menyucikan niatnya dalam berukhuwwah dan berterusan menjaga ukhuwwah serta memastikan iman itulah yang menjadi obor nyalaan kepada sebuah ukhuwwah.

Ukhuwwah inilah menjadikan saya sentiasa teringat kepada murabbi-murabbi, rakan seurah, akhawat-akhawat, anak-anak usrah dan semua yang saya kenal. Aku rindu pada mereka semua !

Setelah siap makan, kami menziarahi sebuah lagi rumah akhawat yang bernama Muawiyah. Sampai sahaja di sana, kami terpegun melihat keadaan rumahnya. Begitu kemas !

Sungguh, inilah qudwah terbaik buat seorang Muslim terhadap orang lain sama ada sesama Muslim atau orang yang bukan seaqidah dengannya. Malu sendiri apabila terkenangkan keadaan rumah sendiri di bumi Mesir sana. Katanya orang dakwah, tetapi aplikasi amal yang tidak sama aplitudenya dengan percakapan yang tanpa henti. Jujurnya bagi saya sendiri, hal-hal kecil seperti inilah yang menjadi kelemahan kita semua yang akhirnya menjadikan kita hilang common sense dan kita pun lupa untuk mengambil berat tentangnya.

Sibuk dengan kerja dakwah bukanlah satu alasan. Apatah lagi kemalasan tidak langsung boleh diterima. Akhlak kita adalah penyumbang terbesar dalam orang ramai menerima dakwah kita.

Apakah orang akan menerima dakwah kita tatkala melihat akhlak kita yang buruk ?

Setelah menunaikan solat jama’ taqdim Zohor dan Asar serta menjamu keenakan buah oren, kami pun pulang semula ke rumah ukhti yang menjemput kami tadi.  Sampai di sana, aku terus mencari katil dan tertidur. Penat yang teramat sangat. Bangkit sahaja dari tidur, aku malu sendiri. Terus aku mengambil wudhuk dan menunaikan solat. Kemudian mandi untuk menyegarkan diri kerana ada tetamu dari negara lain yang juga bakal tiba di sini.

Allah, indah sungguh pertemuan di dalam jalan dakwah. Sekali berjumpa, terus menjadi mesra. Meskipun masing-masing tidak lagi mengenali sedalam-dalamnya, tetapi ada satu perkara yang pasti akan kami bualkan dalam satu frekuensi yang sama, dakwah dan tarbiyyah di tempat masing-masing !

Setelah makan malam bersama-sama, kami mengadakan satu sesi taaruf tiga negara (Jordan-Mesir-Perancis) yang lebih formal. Ibarat kata seorang ukhti yang mengendalikan majlis tersebut, “ Inilah jiran-jiran kita nanti di taman syurga !”

Allahuakbar, indahnya !

Kami diminta untuk masuk tidur lebih awal untuk bangun qiam pada keesokan harinya. Moga tenaga yang kami jana sewaktu tidur nanti adalah tenaga yang akan memuntinjkan untuk segala aktiviti kami pada keesokan harinya. Sebelum aku masuk tidur, aku menyiapkan dahulu bacaan ODOJ yang masih berbaki bersama dua orang ukhti untuk menyemak bacaan tajwid masing-masing.

Setelah itu, aku berwhatsapp dengan seorang ukhti untuk meluahkan sedikit rasa terkilan di hati. Biarlah apa yang terjadi itu menjadi rahsia. Cuma aku tertarik untuk berkongsi dengan kamu semua nasihat yang dia berikan padaku. Nasihatnya berbunyi, “ walirabbika fasbir.”

Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah !

Selamat malam.

******

26 Januari 2014
Besancon (Beyt Rijal Ghuraba’)

Pagi itu dimulakan ibadah. Hidup. Walaupun kepenatan semuanya dengan jaulah, tetapi tidak lemah semangat dan tidak beralasan untuk terus beribadah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah. Setelah selesai solat Subuh dan membaca Mathurat secara berjemaaah, kami menyiapkan diri dan bersarapan bersama-sama. Pagi itu dimulakan sesi tazkirah Umar Abdul Aziz dan anaknya Abdul Malik. Ya, hari ini giliran aku untuk menyampaikannya !

Kisahnya begitu terkesan pada hidupku. Kisah Umar Abdul Aziz mentarbiyyah anaknya untuk menjadi pembela agama sepertinya menjadi inspirasi aku sehingga kini untuk aku terus bersemangat dalam urusan membina manusia. Dalam satu kisah, Abdul Malik mengingatkan ayahnya untuk tidak berehat dan betapa Umar Abdul Aziz seronok menerima ingatan tersebut dari anaknya.

“ Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan daripada sulbi ayah seorang anak yang mampu membantu agama ayah.”

Inilah kata-kata dari seorang ayah kepada anaknya. Serta merta aku teringat kepada ayahku dan ayah-ayah kepada akhawat yang lain. Betapa beruntung kita yang beramal dengan jalan dakwah ini kerana amalan seorang anak soleh itu menjadi bekal buat mereka di alam kubur nanti. Alangkah indahnya jika ayah dan ibu bapa kita pergi di saat kita sedang berada di kemuncak kerja dakwah.

Serta merta juga aku teringat kepada ayahku. Dia yang pada mulanya agak sukar menerima keberadaan aku dan kesibukan yang melanda diriku di dalam jalan dakwah. Tetapi sekarang, dialah antara orang pertama yang sentiasa mendoakan aku agar terus tsabat dalam kerja yang membantu agama Allah ini.

Selepas habis sesi tazkirah, kami meneruskan pula pengisian yang seterusnya iaitu bina’ ad-dakwah (pembinaan dakwah) dari seorang ukhti kabiir di Perancis.  Kami diingatkan semua tentang prinsip, manhaj serta fikrah dakwah kami. Kemudian, kami berehat seketika untuk menunaikan solat sunah Dhuha dan menyambung pula sesi pengisian yang kedua bertajuk Sidqu ad-dakwah.

Ukhti yang memberikan pengisian memulakan pengisian dengan 7 habits of highly effective teenagers. 7 kebiasaan tersebut adalah :

-Be proactive
-Begin with end in minds
-Think win win
-Synergize
-Stand to understand before to be understood
-Sharpen the saw

Betapa 7 kebiasaan ini amat berguna buat seorang daie. Be proactive bukanlah sekadar aktif di dalam menjalankan segala amal dakwah tetapi berani untuk mengambil tanggungjawab-tanggungjawab lain dalam kehidupan. Hal ini menyedarkan saya bahawa seorang daie itu bukanlah sahaja akal dan hatinya penuh dengan bahan-bahan yang melibatkan tsaqafah dakwah sahaja, malah penuh juga dengan ilmu-ilmu lain seperti ekonomi, hal isu semasa, falsafah, sejarah dan lain-lain lagi.

Sidqu ad-dakwah.
Benar melakukan dakwah dengan sebenar-benar dakwah. (Siddiq) Benar di dalam lima perkara iaitu niat, fikrah, perkataan, amal dan sedeqah. Kerana hasil dari setiap kebenaran kita daripada kelima-lima elemen ini akan memberi kita kekuatan yang berbaza-beza untuk kita melakukan kerja dakwah.

Sebagai contoh, jika seseorang itu siddiq (benar) dalam niatnya maka, dia akan mendapat kekuatan indifaq (motivasi) untuk terus beramal dengan dakwah dan tarbiyyah. Seterusnya melahirkan seorang daie yang berani untuk mengambil tanggungjawab.

Bagi seorang daie yang siddiq dalam fikrahnya, dia akan mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan apa jua situasi. Dia akan menjadi seorang daie yang akan memahami sebuah permasalahan dan mencari jalan penyelesaian untuk mengubati masalah tersebut.

Setelah habis pengisian, kami menikmati makan tengahari dan solat berjemaah. Sesi bersambung dengan sesi re-cap semula isi-isi penting di dalam kedua-dua pengisian tadi. Petang itu, kami keluar berjalan-jalan untuk sesi mentadabbur alam. Sungguh, sesi mentadabbur alam petang itu merehatkan diri seketika daripada memikirkan tarikan dunia yang kita rasakan lebih menarik sampai kita lupa bahawa Allah pemilik seisi dunia.

sekitar Besancon
sekitar Besancon

Alam yang diciptakan mempunyai faedahnya bagi seorang manusia yang sentiasa berfikir. Fungsinya adalah untuk sentiasa mengingatkan manusia yang mudah sekali terlupa. Betapa susah untuk seorang manusia mendapat perasaan dekat dengan Tuhan andai hanya membuka mata.

Alam perlu ditadabbur, barulah segala keindahan alam akan kita kembalikan kepada Allah SWT. Kami berkumpul seketika untuk bermain permainan kotak beracun. Permainan tersebut bertujuan untuk memecahkan tembok antara kami (ice breaking). Saya juga terkena racun tersebut !

Lalu, saya mencabut soalan. Soalan yang saya dapat meminta saya untuk menyatakan tiga keistimewaan diri. Terus saya menjawab,

“ Pendek, suka menulis dan tinggi sense of humour.”

Ringkas sahaja saya menjawab. Saya sendiri masih membina dan mengenali diri sendiri agar saya dapat membaiki segala kelemahan yang ada serta menggunakan segala keistimewaan dan kebolehan untuk dakwah dan tarbiyyah. Pastinya, aku ingin menjadi manusia yang terbina muwasafat tarbiyyahnya. Aku ingin menjadi manusia yang bermanfaat buat orang lain. Aku tidak mahu menjadi manusia yang lupa diri.

Setelah itu, kami semua berjalan pulang bersama-sama kembali ke rumah dan menjalankan segala kewajipan sebelum sesi perkongsian tiga negara malam ini bermula. Sesi tersebut adalah untuk menceritakan perihal dakwah yang berbeza-beza  di tempat masing-masing. Sesi perkongsian ini bertujuan untuk berkongsi masalah  dan cara penyelesaian sesama kami. Setiap soalan yang ditanya, dijawab dengan sebaik mungkin.  Perkongsian seperti ini akan membuatkan kita semakin mengenal keadaan dakwah di banyak tempat dan menyediakan kita terhadap apa sahaja kemungkinan yang bakal kita terima.

Lewat malam, setelah habis sesi perkongsian, kami masuk ke bilik tidur untuk mengumpul tenaga keesokan harinya pula.

*******

27 Januari 2014
Beyt Rijal Ghuraba’, Besancon.

Hari ini adalah hari terakhir kami di tempat ini. Akhawat yang belajar di sini pun sudah ke kuliah. Seperti biasa, hari dimulakan dengan sesi tazkirah selepas Subuh dari seorang ukhti yang belajar di Jordan. Tajuk tazkirahnya berkisarkan tentang keikhlasan yang diambil daripada buku yang bertajuk Rakaizud Dakwah.

Tanda-tanda keikhlasan seseorang adalah dia hanya mengharapkan keredhaan Allah semata. Terdapat empat hambatan yang akan sentiasa menggugat keikhlasan kita iaitu nafsu, hawa,dunia dan syaitan. Takut benar aku andai menjadi seorang daie yang ikhlas namun amalnya di hari kiamat nanti hanyalah seperti debu-debu yang berterbangan. Naudzubillah !

Keikhlasan itu sendiri memerlukan keikhlasan. Tanpa keikhlasan, kehidupan kita adalah sebuah kehidupan yang kosong. Tanpa keikhlasan, amal-amal yang kita kerjakan tidak akan mencapai tahapan ihsaan. Menjaga keikhlasan di dalam segala amalan adalah susah kerana itu keikhlasan ini memerlukan latihan dan pengorbanan. Ditambah pula keikhlasan ini teramat mudah untuk dipengaruhi oleh pelbagai faktor sama ada faktor dalaman atau luaran.

Setelah tamat sesi tazkirah, aku meneruskan sesi sharing personal bersama akhawat Jordan untuk menjawab segala soalan dan memberi bantuan sebanyak mana yang aku mampu dengan keberadaan aku di dalam jalan dakwah barulah setahun jagung. Apa yang telah aku pelajari, aku terangkan dengan sebaik mungkin kepada mereka. Aku merasa amat bersyukur dapat meluangkan masa bersama mereka.

Ah, pertemuan ini terlalu singkat. Jam demi jam berlalu dan masa terus mencemburui kami. Saki baki masa yang ada aku gunakan untuk bersarapan pagi serta menyiapkan diri. Pada pagi itu, kami akan pulang kembali ke kota Paris dan berjelajah di sana pula.

Sungguh, saat perpisahan adalah satu saat yang sedih bagi kami semua. Aku berharap kisah ukhuwwah kami tidak hanya tamat di sini. Mengenali mereka semua walaupun sebentar adalah kenangan terindah. Jika Allah bertanya kepadaku satu hari nanti siapakah mereka ini, akan aku jawab, “ Mereka ini bidadari-bidadari dakwah.”

Jika Allah bertanya adakah kau menyintai mereka, akan aku jawab, “ Ya Allah, saat aku berjumpa dengan mereka saat itu jugalah aku menyebarkan cintaku kepada mereka hanya semata keranaMu Ya Allah. Demi Allah, aku tidak rugi walau sedikitpun menyintai dan bertemu dengan mereka di dalam jalan dakwah ini.”

Masing-masing antara kami peroleh tarbiyyah. Tarbiyyah menerima tetamu, merelakan segala apa yang ada di dalam rumah untuk digunakan tetamu, melayan segala kehendak tetamu dan sebagainya. Kami pula sebagai tetamu mendapat tarbiyyah menjadi tetamu kepada akhawat di sini. Buat akhawat yang telah banyak berkorban menerima kami sebagai tetamu, kami meminta maaf atas segala kelemahan dan kesalahan yang telah kami lakukan. Moga segala kelemahan dan kesalahan yang kami lakukan ini tidak membekas di jiwa kamu semua dan semuanya adalah datang dari kelemahan kami sebagai seorang manusia.

Sudah tentu, kami juga mengalu-alukan kamu semua untuk berjaulah ke tempat kami semula.
Bon Voyage Besancon.

Besancon Viotte Centre Ville-Paris Gare de Lyon
(12.28pm-3.06 pm)

******

Paris Gare de Lyon-Mary’s Hotel-kota Paris

Alhamdulillah, kami berjaya sampai di stesen keretapi. Destinasi kami yang seterusnya adalah menuju ke hotel sepanjang kami berada di ibu kota Perancis ini. Kami mempunyai sedikit masalah memandangkan tidak tahu lokasi sebenar hotel tersebut. Mujurlah datang dua orang lelaki yang cukup prihatin akan hal kami. Salah seorang daripada mereka adalah warganegara Vietnam dan seorang lagi adalah lelaki Perancis yang menikahi seorang perempuan cina. Bagaimanapun, lokasi yang mereka tunjukkan membawa kami agak jauh dari kedudukan hotel yang sebenar. Akhirnya, seorang ukhti meneliti peta yang ada padanya dan membawa kami ke lokasi yang lebih tepat berpandukan alamat yang telah diberi.

Alhamdulillah, lokasi hotel berjaya ditemui dan kami mendaftar masuk (check-in) untuk meletakkan beg serta menunaikan solat. Tidak lama selepas itu, ketua jaulah membawa kami untuk keluar bersiar-siar. Kami menaiki metro daripada stesen Oberkamph  menuju ke stesen Ieha. Stesen tersebut merupakan stesen metro yang paling hampir dengan menara Eiffel. Ketua jaulah membawa kami ke sana untuk melihat menara Eiffel yang bercahaya indah pada waktu malam.

sekitar Paris
sekitar Paris
sekitar Paris 2
sekitar Paris 2

Diceritakan oleh ketua jaulah kami bahawa menara ini menggunakan sebanyak beratus ribu lampu untuk menyalakannya sahaja ! Menara ini merupakan ilham dari seorang lelaki yang bernama Eiffel. Pada ketika beliau menyuarakan ideanya untuk membina menara ini, ideanya tidak diterima oleh ramai orang. Namun, Eiffel tidak menyerah kalah dan begitu tinggi azamnya untuk membina juga menara ini !

“ Kita bina dahulu. Andai kata selepas 20 tahun menara ini tidak mendapat perhatian, kita akan robohkan.”

Beginilah rayuan Eiffel untuk membina juga menara ini. Kini, menara ini merupakan lambang keagungan kota Paris. Para pelancong tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa pergi ke menara ini meskipun menara ini hanyalah diperbuat daripada besi semata. Terbuktilah bahawa tidak rugi Eiffel dengan azamnya untuk mendirikan juga menara ini. Jika tidak, kota Paris tidak akan daya tarikannya yang tersendiri !

Lantas melihat menara Eiffel ini mengingatkan aku pada banyak perkara. Pertama, aku teringatkan betapa indahnya segala apa yang ada di muka bumi ini dan perlunya semua itu dikembalikan kepada Allah. Kedua, melihat kemegahan Menara Eiffel membuatkan aku teringat akan kemegahan tamadun Islam satu ketika dahulu. Walaupun sekarang hanya menjadi tinggalan sejarah tetapi pastinya ia pernah berdiri megah satu ketika dahulu. Kerana tamadun Islam itu, satu dunia akan menyanjungi, mengenali dan menghormati agama kita. Dengan kemegahan Islam, satu dunia akan tunduk menyembah Allah sebagai Tuhan sekalian alam.

Paris terkenal dengan Menara Eiffel, Islam mahu terkenal dengan apa ?

KAMI di hadapan Eiffel Tower
KAMI di hadapan Eiffel Tower
Eiffel Tower in night
Eiffel Tower in night

Kemegahan yang kita kejar bukanlah dari aspek fizikal yang wajib dibuktikan dengan menara atau apa jua binaan-binaan, tetapi kemegahan teguhnya nilai Islam dalam setiap individu Muslim itu sendiri. Itu yang paling penting bagi diri kita yang mempercayai bahawa tujuh maratib amal itu adalah amal yang berkesan.  Menara dakwah itulah sasaran kita. Kita mahu Islam itu yang terkenal dan dikenali serata dunia. Kita tidak mahu orang menganggap Islam ini hanyalah pada ibadah semata, tetapi lebih dari itu.

Menghayati kegigihan Eiffel,
buat aku malu,
mengapa harus aku mudah lemah,
putus asa lalu menyerah,
Patutnya aku kuat dan teguh,
Sebab Eiffel berjaya bina menaranya,
saat orang keliling tidak menerima,
aku juga mahu bina menara,
menara yang terdiri dari batu-bata manusia,
dari jauh nanti,
orang dapat lihat,
Islam itu indah rupanya.

Seterusnya, kami terus berjalan-jalan di sekitar menara tersebut. Ketua jaulah sempat memberikan kami taklifat kepada kami semua dan meminta kami untuk mencari jawapan sepanjang berjaulah.

tugasanku
tugasanku

Kami akhirnya pulang ke hotel untuk berehat, menunaikan solat serta menikmati makan malam yang dimasak oleh seorang ukhti tercinta dengan hanya menggunakan periuk nasi. Hebat sungguh !

Mata aku sudah mengantuk, namun masih ada lagi tugas-tugas kecil yang belum aku siapkan. Moga Allah terus memberkati jaulah kami.
Bon nuit, Paris.

******

28 Januari 2014
Hari bermula dengan tazkirah selepas Subuh oleh ketua jaulah sendiri sambil bersarapan bubur yang juga dimasak olehnya. Tazkirah yang diberikan olehnya berkisarkan sejarah Islam di bumi Perancis satu ketika dahulu.  Islam berkembang di Paris melalui peperangan.

Abdur Rahman (Gabenor Andalusia) yang ketika itu sangat tinggi semangatnya untuk menyebarkan dakwah di bumi Perancis lalu berperang dengan Charles Martell yang dikenali sebagai The Hammer. Charles Martell bersiap sedia untuk berperang dilengkapi pula dengan kelengkapan dan kepakaran dalam berperang. Abdur Rahman meninggal dunia di dalam peperangan tersebut. Selepas itu, tiada lagi peperangan yang berlaku.

Kebatilan yang tersusun boleh mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Ekoran dari hal ini, tentera Islam kalah dan sehingga sekarang Islam tidak dapat diterima baik di bumi Perancis. Seterusnya, tentera Perancis tadi menawan Morocco dan Tunisia.

Banyak ibrah yang kami dapat pelajari dari kisah ini. Dalam kita ingin meneruskan dakwah ini, kita perlu menjadi seorang daie yang muntij gerak kerjanya. Kerja dakwah kita wajib mempunyai strategi dan susunan, bukan semata kehendak ingin menyebarkan dakwah. Tanpa persediaan yang rapi, amat mudah bagi musuh untuk mengambil kesempatan dan bertindak ke atas kita. Natijahnya, kita akan dikalahkan dengan kekalahan yang mungkin sahaja menyebabkan dakwah tidak dapat lagi disebarkan.

IMG_1215

Seterusnya, kami bergerak keluar dari hotel dan menuju ke taman di sekitar Menara Eiffel. Setelah puas bergambar di sana, kami menuju pula ke Place De La Concorde dengan hanya berjalan kaki yang agak jauh. Di sana terdapat sebuah tiang yang dikatakan milik kerajaan Mesir pada zaman dahulu. Tiang ini kemudiannya dihadiahkan kepada kerajaan di sini.

Tiang Concorde
Tiang Concorde

Seterusnya, kami bergerak menuju ke sebuah taman  yang cukup luas berhampiran dengan tiang tersebut sambil mentadabbur Al-Quran. Pada mulanya, kami semua memang tidak tahan akan kesejukan yang melanda. Namun, kata-kata ketua jaulah membakar semula semangat kami.

di taman
di taman

Katanya, “ Semoga setiap getaran tubuh kita menahan kesejukan ini diredhai oleh Allah.”

Ayat yang ditadabbur menceritakan tentang nikmat-nikmat yang telah Allah sediakan buat manusia. Manusia yang sememangnya perlu sentiasa diingatkan. Kita sering terlupa untuk mensyukuri apa yang telah ada malah terus meminta-minta apa yang kita rasakan masih tidak mencukupi.

Astaghfirullah !

Nikmat Allah yang tidak terkira nilainya ini sepatutnya menjadikan kita hamba yang sentiasa dekat pada-Nya. Tanpa kesemua nikmat yang berada di sekeliling kita sekarang, kita tidak akan dapat bertahan untuk hidup di atas dunia walaupun untuk sesaat ! Betapa kita terlalu mudah menganggap segalanya adalah kepunyaaan kita sedangkan segalanya itu adalah pinjaman dari Allah semata.

Seterusnya, kami meneruskan lagi perjalanan ke sebuah lagi destinasi yang menjadi kebanggaan rakyat Perancis iaitu Musee de Lourve La Pyramide untuk melihat pyramid kaca di sana. Kami tidak mampu untuk bayar masuk ke dalam muzium yang terlampau besar itu. Bahkan, masa pula amat mencemburui kami. Hanya mengambil beberapa gambar, kami meneruskan lagi perjalanan menuju Cathedrale Notre-Dame de Paris. Sebuah gereja besar yang dikatakan tempat wajib untuk dilawat jika sampai ke kota ini.

Piramid kaca
Piramid kaca

Arakiannya, bagi kami ia hanyalah sebuah bangunan cantik. Aku hanya menangkap sekeping gambar sebagai bukti telah sampai. Itupun hanyalah gambar dari jauh. Seterusnya, kami menuju ke kedai-kedai berhampiran yang menjual cenderahati. Sepanjang saya berjaulah, inilah masanya yang paling sukar kerana semua yang diingati dan kita ingin benar membelikan sesuatu untuknya. Tetapi, kewangan tidaklah membenarkan segalanya. Kami semua sedaya-upaya untuk memilih dan membuat keputusan yang terbaik.

“ Eh, handset B [bukan nama sebenar] mana ?”

Kata-kata seorang ukhti mengejutkan kami. Telefon bimbitnya hilang. Diseluk penyeluk saku handal  yang sememangnya terkenal di kota ini. Mujur salah seorang ukhtiku sempat mengambilnya kembali dan penyeluk saku itu sempat melarikan diri dengan muka yang tidak bersalah. Seorang ukhti memujuk ukhti tersebut sambil menyatakan, “ Allah sayangkan kak B. Dia masih rezekikan telefon bimbit itu menjadi milik akak.”

Setelah selesai dengan urusan membeli-belah, kami bergerak pula menuju ke sebuah masjid yang terdapat di kota Paris. Alhamdulillah ketua jaulah yang cekap dengan peta yang terdapat di dalam telefon bimbitnya, kami berjaya sampai ke masjid tersebut. Kami menunaikan solat di sana dan berhenti rehat seketika. Berada bersama golongan monoriti di dalam sebuah masjid sesama Muslim membuatkan kami begitu terharu. Tambahan pula, sudah lama kami tidak bersembahyang  bersama imam di masjid.

IMG_1280

Kebanyakan muslimat menegur kami dan bertanya kami berasal daripada negara mana. Aku hanya terdiam dan tidak banyak berbual dengan mereka kerana aku risau suasana masjid menjadi bising. Kami sempat  bergambar sekejap dan kemudian mereka ingin pulang ke rumah mereka.

“ May Allah gather us in together in jannatul Firdaus.”, doa mereka sebelum meninggalkan kami.

Mereka bukanlah warganegara asli Perancis. Ada dalam kalangan mereka berasal dari Tunisia, Jazirah Arab, Morokko dan lain-lain. Mereka telah lama bermukin di sini. Ada seorang makcik yang sehingga sekarang aku terbayang-bayang keceriaan wajahnya, malangnya aku terlupa untuk bertanyakan namanya. Dia mengajak kami untuk makan malam di rumahnya dan menawarkan duit sekiranya kami memerlukan. Kami terpaksa menolak kerana malam ini kami perlu ke lapangan terbang untuk meneruskan perjalanan ke tempat lain pula, inshaAllah !

Aku benar-benar berharap agar ini bukanlah kali terakhir berjumpa dengan mereka. Alunan mereka membaca Al-Quran masih lagi terngiang-ngiang di telingaku saat ini. Setelah itu, kami keluar dari masjid dan bertanya kepada seorang pakcik di masjid akan kedudukan restoran halal di sini. Dengan pantas dia membawa kami ke sana.

Seterusnya kami menyinggah ke sebuah pasaraya utnuk membeli barang dan kembali semula ke hotel untuk mengambil beg. Kami menuju ke Gare du Nord dan seterusnya ke Aeroport Charles de Gaulle terminal 2.

Selamat tinggal bumi Perancis. Pasti sekali kami semua bakal merindui bumi ini dan isi-isinya. Bumi yang telah memberi seribu kenangan yang begitu bermakna. Segala memori yang tercipta akan kami simpan dengan baik.

Dan bumi ini juga yang telah mengajar aku dari tidak suka merujuk peta kepada yang suka !

Malam ini kami hanya bermalam di lapangan terbang sama seperti kami mula-mula sampai dahulu. Saat aku menulis ini, beberapa orang ukhtiku sudah tidur dan ada yang menghabiskan urusan mereka yang masih tidak selesai.

Sekian sahaja kisah kami di bumi Perancis.
Bon Voyage Perancis.

Perjalanan kami bakal bersambung ke sebuah lagi negara.
Negara yang telah lama saya hajati.

akan bersambung….

kerna kemenangan itu bukan mukjizat

Mesir.

Hanya dua perkataan.
Banyak tarbiyyahnya.

Untuk penghuni asalnya sendiri.
Dan juga untuk yang bermastautin di sini.

Kita memandang situasi Mesir dengan dengan banyak pandangan dan penilaian.
Natijahnya melahirkan banyak jenis manusia.
Bagus juga.

Setidak-tidaknya tertunjuk juga belang kita semua tatkala kita digentar isu ummah begini.

Situasi pertama.
“ Jangan senyum langsung. Mesir tengah macam ni, kau boleh lagi senyum-senyum.”
“ Relaks la bro. Takkan beraya dengan family pun tak boleh kot. Syawal lagi ni.”

Kematangan kita yang masih kurang dalam menerima isu ummah meskipun kita telah membaca banyak berita dari negara seperti Palestin, Syria, Mesir dan lain-lain.

Situasi kedua.
“ Kau tengok tentera si Sisi tu. Umno versi Mesir. Kejam !”
Alahai terlalu mudah fitnah ditabur oleh sesetengah manusia yang kelihatannya terlalu menyamakan apa yang ada di bumi Malaysia dengan bumi Mesir.

Apa yang terjadi di Mesir ini bukanlah medan politik seperti di negara kita untuk kita lazat bercanda.
Ini medan perjuangan yang sedang mereka hadapi yang mereka hadapi peluru dengan anggota badan mereka sendiri.

Situasi ketiga.
“ Apalah Ikhwan ni. Dok guna budak budak kecil bawa kain kapan berarak. Mereka ni mak ayah yang takda otak ke bawa anak anak ke tempat bahaya macam ni. Haish.”

Alahai ini juga.
Terlalu mudah menabur pandangan tanpa menyedari sebenarnya mereka lebih hebat mentarbiyyah anak-anak berbanding kita di bumi Malaysia.

Satu sudut pandang mungkin kita memandang cara mereka mentarbiyyah anak-anak terlalu ekstrem.

Namun, satu sudut pandang yang lain kita terlupa bahawa sirah dahulu telah mempamerkan betapa kanak-kanak dahulu ditarbiyyah awal tentang jihad kerana sistem pendidikan mereka bukan seperti sistem pendidikan sekarang yang terlalu sekular !

Situasi keempat.
“ Hmm tengoklah ni Ikhwan ada sorok senjata rupanya.” sambil membelek-belek akhbar.

Dahsyat.
Campur tangan media dalam sesuatu perkara memang akan merosakkan pemikiran ummah terutamanya jika media tersebut adalah media yang merosakkan dan hanya menerbitkan berita-berita palsu.

Malang sungguh nasib orang seperti ini.
Nasib yang menerbitkan berita.
Juga, nasib  yang mempercayai berita yang diterbitkan.

Sungguh, media antara senjata yang paling berkesan di sesebuah medan walaupun ia tidak seperti senjata yang mempunyai peluru !

Situasi kelima.
“ Tengok la tentera dengan polis di Mesir tu. Same je dengan tentera dan polis kat Malaysia ni. Ntah pape. Rosak negara macam ni.”

Aduhai, ini juga tafsiran yang tidak matang.
Tidak dapat saya nafikan polis dan tentera di sini menerima arahan daripada ketua mereka. Sama ada mereka benar-benar seronok dengan tugasan mereka itu saya tidak pasti.

Kita serahkan segalanya pada Allah.
Pada yang menjalankan tugas baik dengan penuh ihsan dan ikhlas, mengapa perlu kita samakan sahaja semua.

Takkanlah kerana setitik nila, rosak susu sebelanga ?

Situasi keenam.
“ Ala orang mesir ni. Time ni jugak pilih masa nak berhimpun segala bagai. Tengah nak exam apa semua. Haih. Sem baru ntah bila pulak nak mula.”

Jangan ditanya mengapa mereka memilih inilah masanya untuk menegakkan kebenaran kerana inilah masa yang terbaik diatur oleh Allah. Mereka tidak mampu lagi menunggu setelah ditipu berpuluh tahun lamanya.

Allah S.W.T  telah memilih masa ini sebelum mereka memilihnya.
Allah S.W.T telah merancangnya dengan Maha Bijaksana.

Situasi yang paling malang adalah apabila wujud orang yang tidak mempedulikan langsung.
Membaca pun tidak ingin.
Mendoakan pun tidak.

Sudahnya, apa-apa pun tidak.

Tidak mengapa.
Pilihan masing-masing dalam dunia dan keadaan masing-masing.
Pastinya, saya yakin orang-orang yang beriman akan cakna akan perihal saudaranya seluruh dunia.
Allah akan memberikan yang terbaik buat kita semua, inshaAllah !

Kita punya pilihan.
Mereka yang berjuang juga punya pilihan.

Jangan ditanya mengapa mereka turun juga berhimpun meskipun tahu apa yang terhidang hanyalah kematian kerana mereka yang berjuang telah memilih.

Sebelum anda menafsirkan, berfikirlah sematangnya.
Sebelum anda memberi sebarang kenyataan atau komen, pilihlah kata-kata yang berhikmah.
Sebelum anda menyebarkan sesuatu, carilah maklumat dari sumber yang betul.

Jangan lupa.
Kita tidak benar-benar berada di tempat mereka.
Kita hanya mata-mata beriman yang memandang dari jauh.

Maka, jadilah orang yang memiliki mata dan akal yang terbaik !
Semoga Allah membimbing kita semua.

*****

Satu ketika dahulu.
Pada tarikh 12 September 1940.

Seorang lelaki telah menyampaikan syarahannya di Universiti Islam Aligarh, India.

“ Saudara-saudara ! Dalam ceramah ini saya akan terangkan proses kemunculan negara Islam sebagai satu natijah tabiie. ”

Beliau mengingatkan tentang keinginan manusia yang di kala itu terlalu menginginkan sebuah negara Islam sehingga rangkai kata ‘Negara Islam’ itu sudah tidak asing lagi.

Sehinggalah sekarang !
Perseorangan ataupun secara jemaah pastinya semua memainkan peranan yang penting dalam mencapai matlamat ini.

Namun, manusia masih  tidak mengetahui cara yang betul untuk mencapainya.

Mencapai matlamat ini bukan mudah serta memerlukan revolusi yang berakar umbikan agama yang benar !

Berlawan dengan faktor-faktor luar yang akan menghalang memerlukan satu jangka masa yang amat panjang, keyakinan yang tinggi, keteguhan berpegang pada prinsip dan usaha yang berterusan.

Mari saya bawakan sedikit sejarah Ikhwan Muslimin di beberapa buah negara.

Turki.
Necmetti Erbakan (Najmuddin Erbakan) adalah seorang jurutera yang satu ketika dahulu pernah menjadi Perdana Menteri di Turki hanya selama setahun (1996-1997).  Dia mempunyai hubungan yang baik dengan Ikhwan Muslimin mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik. Dia mem’bina’ orang untuk menyertai pilihanraya dengan harapan akan tertubuh sebuah kerajaan Islam yang berjaya. Namun, akhirnya dia digulingkan oleh pihak tentera dan diharamkan untuk menyertai politik buat selama-lamanya.

Pada tahun 1973, ketika negara-negara Arab (Mesir dan Syria) ingin menentang Yahudi, Malik Faisal  (Raja Arab Saudi) berkata dia akan memotong sumber minyak kepada mana-mana negara yang akan memberi bantuan kepada Israel. Dia merupakan seorang raja yang sangat tawadhu’ dan anti-amerika.  Namun, akhirnya dia ditembak oleh anak saudaranya sendiri yang baru pulang dari Amerika !

Jordan.
Satu ketika dahulu seorang raja yang bernama Malik Hussin juga mengiktiraf Ikhwan Muslimin maka dakwah tersebar dengan luasnya. Amerika di ketika itu tidak suka akan hal ini berniat untuk menikahkan beliau dengan Permaisuri Nur yang merupakan seorang Yahudi.  Setelah berkahwin, dia dikurniakan seorang anak lelaki. Mengikut tradisi, apabila seorang raja mangkat maka penggantinya mestilah terdiri  adik-beradik baginda sendiri. Namun, perancangan Amerika terlebih dahulu mendahului kerana anak hasil perkahwinan dengan Permaisuri Nur pula yang diangkat menjadi raja. Pelik !

Sudan.
Hassan Tulabi merupakan seorang pemuda  Ikhwan Muslimin di sana yang akhirnya keluar dari Ikhwan dan menubuhkan parti politik dengan gabungan jeneral-jeneral tentera ketika itu. Dia melakukan demikian dengan harapan untuk membina daulah islamiyyah. Namun, Umar Basyir seorang tentera ketika itu membuat rampasan kuasa yang mana akhirnya membuang Hasan Tulabi.

Mesir.
Siapa yang tidak kenal dengan jeneral tentera yang bernama Jamal Abdul Naser. Seorang tentera yang mempunyai hubungan rapat dengan Ikhwan Muslimin bernama Jeneral Mohammed Najib telah berpakat dengan beliau untuk menubuhkan sebuah negara Islam dan menjatuhkan raja. Jamal Abdul Naser yang ketika itu bersetuju dan membuat perjanjian palsu !

Benar, raja digulingkan tetapi Amerika telah menghubungi dan membuat satu pakatan lain dengannya yang akhirnya Jamal Abdul Naser menangkap kesemua ahli Ikhwan Muslimin. Malah, ada yang dihukum gantung.

Perkara yang sama berulang kembali pada tahun 1981 (zaman pemerintahan Anwar Sadat).

Dan sejarah Mesir terus terukir sehingga sekarang.
Inilah permainan musuh.

Sungguh, mereka (Ikhwan Muslimin) telah dilatih hebat oleh Allah dalam berhadapan dengan musuh yang handal dan licik dengan muslihat-muslihat mereka. Proses latihan yang mereka jalani ini bakal menjadikan diri mereka punyai semangat Islam yang benar-benar sejati. Dilatih melalui penderitaan, penyeksaan, pemulauan, dan sebagainya, sampailah semangat keunggulan itu akan memenuhi hati dan jiwa mereka.

Muhasabah.
Adakah kita tergolong dalam golongan manusia yang siddiq dalam menjunjung amanah dakwah ini ?

Apa yang ingin saya jelaskan adalah bukanlah pujian kepada mereka.
Untuk mengatakan bahawa menyertai Ikhwan Muslimin adalah kunci masuk syurga adalah jauh sekali !
Apatah lagi untuk menjamin bahawa orang-orang jemaah ini adalah orang yang termulia dan terpelihara dari kesalahan kerana mereka juga manusia biasa seperti kita !

Tetapi yang ingin saya jelaskan adalah tentang hakikat perjuangan itu sendiri.

*****

RABAAH-Lambang perjuangan baru
RABAAH-Lambang perjuangan baru

Betapa susah untuk menegakkan kebenaran.
Alam perjuangan bukanlah alam dunia yang normal.
Alam perjuangan adalah alam yang teramat berbeza !

Betapa susah untuk kita meyakini bahawa sebuah kemenangan itu akan datang.
Bila masanya tidak akan dapat dijawab meskipun orang itu adalah orang yang paling hebat berjuang.

Buat  para pejuang semua,
jangan cepat melatah, ambil tindakan yang terburu-buru dan cepat kecewa (frust).

Kemenangan ini hanya akan tercapai apabila lahirnya manusia yang membawanya, benar-benar yakin dengannya, beramal dengannya sekadar kemampuan mereka, cuba membawa orang lain bersamanya dan berjihad sepenuhnya dengan segala apa yang ada padanya.

Sungguh, dunia kini sedang mencari satu sumber baru untuk membebaskan diri daripada perhambaan kepada manusia. Revolusi yang bakal kita lakukan bukanlah revolusi ilmu atau ekonomi.

Bukan seperti Revolusi Perancis.
Bukan seperti Revolusi Rusia.

Revolusi yang kita impikan adalah revolusi Islam !

Dan lelaki tadi mengakhiri syarahannya,

“ Telah menjadi kenyataan dalam tugas ini memerlukan kualiti kepercayaan, fahaman Islam yang sejati, satu tujuan, kuasa pengadilan yang kuat dan pengorbanan kepentingan sendiri dan tamak sepenuhnya. Orang-orang yang kuat tekad dikehendaki di dalam tujuan ini dan apabila menerima kebenaran akan menumpukan sepenuhnya tanpa menghiraukan perkara-perkara lain. Walau apapun yang terjadi di atas dunia ini mereka tidak akan berganjak walau seinci pun dari jalan yang digariskan oleh Al-Quran. Mereka mesti bersedia mengorbankan segala prospek kejayaan di dunia. Mereka mesti tidak ragu-ragu lagi memeranjatkan harapan ibu bapa dan kawan-kawan. Mereka tidak boleh berasa hiba kerana terpisah dari keluarga dan sahabat handai. Mereka mesti bersedia untuk berjuang menentang apa saja : masyarakat, kerajaan, undang-undang, negara, negeri dan lain-lain yang cuba menghalang pencapaian cita-cita mereka. Orang yang menjulang dan memuliakan perkataan Allah sahaja yang akan dapat mengulangi kejayaan Revolusi Islam tersebut sekali lagi. Sekarang saya tamatkan subjek ini dengan kata-kata penutup. Saya telah menjalankan tugas saya dan saya telah memberitahu saudara-saudara apa yang ada dalam jiwa saya. Tanggungjawab menukar hati anda bukanlah hak saya.”

-Abu Al-A’la Al Maududi-

Jangan menyerah.
Tidak akan menyerah.

Mungkin inilah semangat mereka yang sedang berjuang ketika ini.
Mereka tidak mengenal erti putus asa.

****

Buat kamu yang tidak pernah mengenal erti perjuangan, mungkin ini adalah salah satu contoh yang kamu boleh ambil iktibar daripadanya. Malah, kamu boleh sahaja  mencari contoh-contoh lain.

Buat kamu yang memandang rendah atau negatif akan sebuah perjuangan , ketahuilah bahawa sebenarnya kamu tidak layak untuk memandang begitu.

Buat kamu yang sedang berjuang, belajarlah dari mereka bagaimana  untuk kekal bertahan.

Buat kamu yang sedang berfikir untuk berhenti berjuang, fikirkanlah buat kali kedua.

sekian,
mylittlepencil

Potensi fitrah seorang daie ( sempena Aidilfitri)

Bismillah.

20130810-151526.jpg

Alhamdulillah !
Sudah masuk hari yang ketiga di dalam bulan Syawal, bulan kemenangan yang diberi kepada ummat Islm seluruhnya setelah berpuasa di dalam bukan Ramadhan.

Ramadhan meninggalkan kita terlalu cepat.
Tidak puas rasanya beribadah dan menghambakan diri kepada Tuhan Ramadhan dalam masa sebulan.

Setiap siang dan malamnya.
Setiap pagi dan petangnya.
Setiap saat dan minitnya.
Setiap jam dan harinya.
Tiap tiap hari dalam bulan Ramadhan terasa amat istimewa bagi jiwa jiwa orang mukmin yang benar benar merai dan merasai kehadirannya.

Namun, apakan daya.

Tangan kita semua tidak mampu untuk menghalang pemergiannya.
Bukan seperti layang layang yang diikat dengan tali untuk menahannya daripada tiupan angin yang kuat.

Ramadhan adalah makhluk Tuhan.
Dia akan datang dan pergi mengikut kehendak Tuannya.

Moga moga taqwa itu menjadi natijah Ramadhan yang direzekikan oleh Allah kepada kita semua.
InshaAllah !

Dan berdoalah agar Ramadhan akan direzekikan kepada kita sampai kita mati nanti.

*******

Aidilfitri bagi seorang daie tidak akan melupakan dia tentang Ramadhan.
Sebaliknya, dia akan terus merindui Ramadhan sehingga ia berjumpa lagi pada masa akan datang.

Aidilfitri bagi seorang daie bukanlah bermakna seorang daie itu tidak boleh menyambutnya dengan penuh keceriaan dan keseronokan.

Ketika Aidilfitri lah, seorang daie itu pulang kepada fitrah dirinya yang mempunyai potensi yang luar biasa setelah keluar dari madrasah Ramadhan.

Syaitan yang telah dibebaskan daripada ikatannya ia hadapi dengan penuh kekuatan.
Mutabaah amalnya yang digandakan pada bulan Ramadhan dijaga dengan elok (istiqamah).

Bukannya selepas Ramadhan, seorang daie itu akan bertambah lembik dan lemah imannya !

Sungguh, Islam ini adalah fitrah yang terbaik buat ummat Islam seluruhnya.
Dengan fitrah yang suci ini, kita diajar untuk mengikat diri dengan kalimah La Ilaha Illa Allah yang begitu kuat akarnya !

Ketika peringkat awal dakwah Islam disebarkan, Islam menghadapi satu keadaan yang cukup besar untuk diubahnya.

Waqi’ ( keadaan Mekah) ketika itu menyediakan agama yang disembah ketika itu mempunyai kepentingan yang tertentu, kuasa kuasa serta didokong sejarah yang kuat.

Datang Islam mengubah seluruhnya !
Manusia tidak lagi memperhambakan diri kepada manusia dan dunia.

Dengan fitrah yang suci inilah, dakwah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah berjaya membuahkan kemenangan sehingga Islam menjadi Ustaziyatul Alam satu ketika dahulu.

Namun, kemenangan itu hanyalah kini tinggal kenangan.
Puncanya yang utama adalah kerana kita tidak meyakini Islam ini adalah fitrah yang terbaik dan kita tidak kembali kepadanya !

Sebaliknya, kita cuba mencari fitrah lain yang kita sangka lebih sesuai untuk diri kita tanpa mengetahui hakikat diri seorang manusia itu sendiri.

Alangkah ruginya !

Sungguh, inilah hakikat Islam yang kian dilupakan.
Kita tidak merasakan lagi Islam ini adalah satu-satunya manhaj yang paling sesuai untuk sistem untuk manusia.

Kita tidak merasakan Islam ini satu manhaj yang unik, yang mampu menempatkan manusia dalam keadaan penyelerasan dengan perjalanan hidup seluruhnya.
Kita lebih memilih kemajuan dalam sains dan nikmat nikmat dunia yang lain yang akhirnya hanya akan memperbodohkan diri kita !

Kita merasakan Islam ini satu fitrah yang teramat payah. Dikatakan Islam ini tidak ideal, tidak amali dan tidak sesuai dengan alam realiti.

Sedangkan sebaliknya, hanyalah fitrah Islam ini yang sesuai dengan fitrah manusia dan lebih mengenali seorang manusia berbanding fitrah yang lain.

Kini.
Fitrah Islam sudah tidak berjaya untuk mempengaruhi kehiupan seorang mukmin.
Alangkah buruknya jika seorang daie itu juga berasa sedemikian rupa.

Bagaimana dia akan menyebarkan dan menggalas beban dakwah ini tanpa dia terlebih dahulu meyakini kesucian dan kemurniaan fitrah ini ?

Dapatkah dia mempotensikan dirinya pada puncak yang tertinggi ?
Sudah tentu tidak.

Kerana fitrah ini memerlukan orang yang yakin kepadanya.
Dengan kefahaman yang mendalam terhadap fitrah inilah yang membina garisan garisan yang mantap menuju ke arah kemenangan !

Mari kita menghisab diri kita semula.
Apakah setelah berkali kali kita merayakan Hari Raya Aidilfitri ini, kita telah benar benar kembali kepada fitrah yang satu ini.

Apakah kita telah membuang ikatan ikatan yang lain dan hanya berpaut pada satu ikatan sahaja ?

Apakah kita telah berjaya mengeluarkan diri dari belenggu dunia dan nafsu diri sendiri ?

Apakah kita telah benar benar bertaqwa kepada Allah sampai menolak diri kita untuk menjadi seorang hamba pada setiap saat dalam hidup kita ?

Percayalah, Islam mempunyai kekuatannya yang tersendiri !

******

20130810-151622.jpg

Fitrah agama ini juga tidak bergerak atas dasar keajaiban dan hanya bergantung harap kepada Allah semata untuk Dia menjaga agama-Nya sendiri.

Dakwah kita bukan dakwah gua. Dakwah kita mengajar kita untuk melaksanakan fikrah di mana saja kita berada.

Ini adalah kesilapan yang besar apabila seorang manusia itu menunggu nunggu akan ketibaan suatu yang luar biasa dalam mencapai kemenangan untuk agama ini.

Fitrah agama ini tidak akan maju ke hadapan melainkan ada segolongan manusia yang membawanya, yakin dengannya, beramal dengannya sekadar pada kemampuan mereka, cuba membawanya orang lain berjihad sepenuhnya dengan segala apa yang ada hikmahnya.

Namun, kita hanya mengambil aspek aspek tertentu.
Kita menyangka kita akan menang hanya kerana berasbabkan iman dan status sebagai seorang yang beragama Islam.

Dalam peperangan Uhud, Allah mengajar ummat Islam ketika itu agar benar benar mengerti akan fitrah agama ini.

Wajarnya, semangat untuk bekerja dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini semakin tinggi bagi para dua’t selepas keluarnya dari madrasah Ramadhan.

Bermuhasabahlah !

Moga moga setiap kali kita kembali kepada fitrah kita akan menyedari akan hakikat dan potensi fitrah ini inshaAllah.

Memang benarlah.

Kemenangan Islam ini hanyalah berbekalkan potensi fitrah.
Bukan dengan harta kekayaan.
Bukan dengan kemajuan kehidupan.
Paling penting, bukan dengan keajaiban.

Moga hiburan hiburan dunia yang melekakan ini tidak akan melupakan kita untuk sentiasa kembali kepada fitrah ini.

Allah telah menjanjikan kepada orang orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia redhai. Dan Dia benar benar mengubah ( keadaan ) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjad aman sentisa. Mereka ( tetap ) menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Tetapi barangsiapa ( tetap ) kafir setelah ( janji ) itu, maka mereka itulah orang orang yang fasiq. ( 24:55 )

Salam Aidilfitri.
Allahu akbar wallilahil hamdu.

Sekian,
mylittlepencil

kau dan aku

Kau dan aku.
Kau dan aku,
manusia yang beriman,
duduk mengikut lingkaran,
setulus jiwa,
sesuci kalbu,
memeluk dakwah,
ia harta yang tak mahu dilepaskan.

Kau dan aku,
terjalin hubungan,
demi dakwah,
bagai bunga tak pernah layu,
tambah mesra,
bersama itu yang terbaik,
mengerti tentang hubungan,
terjalin sebab Tuhan,
andai kerana dunia,
baik dilupakan.

Zaman berganti zaman,
kerja dakwah mencemburui,
punah kemesraan,
terlalu mudah,
ukhuwwah dijual beli,
dulu tempatnya di hati,
kini telah hilang singgahsananya.
“ Layakkah ukhuwwah diperkotak-katikkan begitu dek kerana kesibukan dalam kerja dakwah ?”

Kau dan aku,
dulu sempat bersentuhan tangan,
kini bertegur sapa,
hanya ibarat angin lalu,
duduk berlingkaran tidak lagi jana keimanan.

Kau dan aku,
pernahkah kita cuba membaiki,
dari membiar ukhuwwah futur begitu,
dari membiar ukhuwwah hilang deria rasanya,
sedar atau tidak,
asas kemenangan itu semakin hilang sengatnya.

Kau dan aku,
kita mahu tsabat sampai akhir,
tepati janji untuk bersama,
saling mencinta sampai selamanya,
ternyata kita memerlukannya,
ia pengubat badai-badai dakwah,
pelega kehidupan buat sang daie.

Kau dan aku,
menyusuri perjalanan,
meniti kedewasaan,
dalam jalan ini,
usia dakwah yang dikurniakan,
mari kita hiasi,
dengan ukhuwwah yang basah.

mengenal Si Qarun

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di bumi, lalu memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka ? Orang-orang itu lebih hebat kekuatannya daripada mereka dan (lebih banyak) peninggalan-peninggalan (peradaban)nya di bumi, tetapi Allah mengazab mereka kerana dosa-dosanya. Dan tidak akan ada sesuatu pun yang melindungi mereka dari (azab) Allah. (40:21)

 

Alkisahnya…
Cuti musim sejuk kali ini, saya merelakan diri buat kali pertama perjalanan saya dirancang oleh orang lain. Dan ternyata, orang-orang lain yang merancang tersebut sungguh istimewa di hati saya.

Alhamdulillah, diilhamkan oleh Allah untuk menerima pelawaan mereka. Sungguh, memang banyak pengajaran yang saya peroleh.

***

Sesungguhnya Qarun termasuk kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya, “Janganlah engkau terlalu bangga. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang membanggakan diri. ”

Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagian di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat demikian.

Dia (Qarun) berkata, “ Sesungguhnya aku diberi (harta itu) semata-mata kerana ilmu yang ada padaku. ” Tidakkah dia tahu, bahawa Allah telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta ? Dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka.

Maka keluarlah dia (Qarun) kepada kaumnya dengan kemegahannya. Orang-orang yang menginginkan kehidupan dunia berkata, “ Mudah-mudahan kita mempunyai harta kekayaan seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keuntungan yang besar.”

Tetapi orang-orang yang dianugerahkan ilmu berkata, “ Celakalah kamu ! Ketahulah pahala lebih baik bagi orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, dan (pahala yang besar) itu hanya diperoleh oleh orang-orang yang sabar.”

Maka Kami benamkan dia (Qarun) bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya satu golongan pun yang akan menolongnya selain Allah, dan dia tidak termasuk orang-orang yang dapat membela diri.

Dan orang-orang yang kelmarin mengangankan kedudukannya (Qarun) itu berkata, “ Aduhai, benarlah kiranya Allah yang melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya dan membatasi (bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya). Sekiranya Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya pada kita, tentu Dia akan membenamkan kita pula. Aduhai, benarlah kiranya tidak akan beruntung orang-orang yang mengingkari (nikmat Allah).” (28:76-82)

***

Saya diberi peluang oleh Allah untuk mentadabbur alam dengan kesan tinggalan sejarah yang ternyata memang disebut di dalam Al-Quran. Alhamdulillah !

Memang beruntung menjadi orang-orang yang beriman, punya kitab yang menerangkan sejarah yang begitu tinggi nilainya dan tinggalan sejarahnya masih dipelihara-Nya sampai sekarang.

Terkadang saya pelik, mengapa tempat-tempat sejarah begini tidak dibangunkan, tidak dijadikan tarikan utama untuk memberi pengajaran kepada ummat manusia. Sebaliknya kawasan ini seolah ditinggalkan usang dan tidak dimajukan langsung. Mungki kerana tidak mempunyai landskap yang cantik berbanding kawasan-kawasan yang lain.

Saya berimaginasi, agaknya kalaulah orang bukan Islam yang datang melawat tempat-tempat sebegini, mungkin pintu hati mereka akan lebih terbuka untuk mengenali agama Islam dengan lebih dekat. Ya, agama kita juga punya keunikan dan kisahnya tersendiri!

Agama kita bukan agama yang kosong, tetapi agama kita adalah raja segala isi dunia ini !

“ Ada orang pernah cerita dekat saya, kenapa tempat-tempat ni kosong dan tempat-tempat di negara orang putih banyak pemandangan yang cantik. Sebab dekat negara luar, tiada orang nak berzikir kepada Allah, lalu Allah memperbanyakkan tumbuhan untuk berzikir kepada-Nya. Dan tempat-tempat yang tak banyak tumbuhan, dan banyak orang Islam di sekelilingnya untuk berzikir kepada Allah.” kata anak usrah saya.

Allahu Allah !

***

DAIE : KITA PUNYA DUA BAHAGIAN
Kita semua mempunyai dua bahagian untuk dikerjakan. Bahagian dunia dan bahagian akhirat. Jika salah satunya kita beratkan, maka tidak seimbanglah kehidupan yang kita jalani di atas muka bumi ini.

Sama ada menjadi ahli ibadah yang bermain-main (hanya fokus akhirat) atau menjadi orang yang asyik dengan dunia sampai lupa diri.

Ya, kita harus mengajar diri kita untuk mengejar kedua-dua bahagian ini dengan kelajuan yang berbeza, bukannya membiarkan salah satunya tidak dikejar langsung.

Dan kelajuan untuk mengejar kedua-dua bahagian ini sememangnya wajib berbeza kerana hadaf (tujuan) kita mengejar keduanya juga berbeza. Lainlah kalau hadaf keduanya adalah sama !

Lalu, bagaimana hadaf seorang daie dalam mengerjakan kedua-dua bahagian ini ?
Hadafnya wajib sama dan kelajuan yang bakal digunakannya juga sama.

Namun, nilai dunia dan akhirat berbeza bagi seorang daie berbanding manusia-manusia yang lain.
Dunia untuk seorang daie tidak sama nilainya dunia kepada si Qarun yang akhirnya ditimpakan azab oleh Allah S.W.T. Nilai dunia bagi seorang daie ibarat  tempat persinggahan, dan dia juga tahu di tempat persinggahan ini dia juga wajib melakukan yang terbaik.

Dan, seorang daie itu akan meneruskan hidupnya di atas dunia ini berpandukan nilai atau neraca akhirat kerana di itulah raja segala neraca. Neraca dunia mungkin sekadar berfungsi sebagai muhasabah dirinya sendiri serta diserikan lagi dengan nilai pertimbangan manusia di sekelilingnya.

Tetapi, seorang daie itu wajib tajarrud (berlepas diri) daripada nilai dunia ini, bukannya terlalu lama berpegang kepadanya. Baginya, untuk hidup bahagia dia sendiri yang harus mengawal nilai dunia dan menggunakannya untuk menuju nilai yang lebih kekal di akhirnya nanti (nilai akhirat).

Sungguh, manusia yang bijak adalah manusia yang mengawal dunianya !

Ternyata, Si Qarun tewas dalam mengawal dunianya. Dia terlalu asyik, terlalu cintakan dunia sampai dia lupa tempat yang harus ditujunya. Akhiranya, Si Qarun tersebut yang dikawal dunia.

Sungguh, pada hakikatnya Si Qarun tersebut sudah merosakkan dunia dan akhiratnya sendiri !
Ibrah yang terlalu besar. Mahukah kita menjadi seorang manusia yang merosakkan kehidupannya sendiri sedangkan kehidupan di atas muka bumi ini adalah salah satu nikmat-Nya yang paling besar sekali ?

***

DAIE : BAGAIMANA BAHAGIAN DUNIA KITA ?
Senang saya simpulkan, ustaziyatul alam itu adalah maratib amal kita yang tertinggi untuk bahagian kita di atas dunia ini.

Jika Allah tidak mahu kita menjadi seorang hamba yang menyintai dunia, mengapa Allah memberikan dunia kepada kita ? Bukankah itu kezaliman buat kita ?

Jauh sekali Allah ingin menzalimi kita. Allah menyediakan dunia sebagai tempat untuk kita beramal. Allah tidak pernah memberikan dunia kepada kita kerana hakikatnya kita sekadar  meminjam daripada-Nya !

Jika Allah memberikannya kepada kita, ternyata memang tidak akan ada manusia yang akan masuk ke syurga kerana semuanya akan terlalu cintakan dunia kerana dunia ini sungguh banyak daya tarikannya. Dunia ini jangan dibiarkan begitu sahaja, tetapi jika ia semakin mendekat dengan hati kita, jauhkan diri serta merta.

Sungguh, dunia tempat manusia untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang khalifah, tetapi juga tempat manusia termakan tipu daya. Seperti mana Si Qarun yang termakan pujuk rayu dunia, akhirnya diri serta merta dihina oleh Allah S.W.T.

Lalu, di mana bahagian dunia ini untuk seorang daie ?
Wahai daie, sungguh bahagian dunia ini buat kita semua terlampau sedikitnya. Anggaplah diri kita hanya mengemis demi mendapatkan keredhaan-Nya. Mengemis itu bukan saya maksudkan seorang daie itu menjadi pengemis.

Jangan jadi  seorang daie yang kononnya zuhud. Berpakaian compang-camping, rambut kusut masai, dan bertindak hanya duduk di masjid dengan alasan tidak mahu bercampur-gaul dengan ummah kerana ummah ini terlalu gelap dalam jahiliyyah.

Tetapi jadilah daie yang kemas, yang mempunyai daya tarikan, dan keluar bertemu masyarakat untuk berdakwah kepada mereka. Jadi seorang daie yang tajarrud. Kita wajib melatih diri untuk berlepas diri dari ikatan-ikatan yang hanya akan merosakkan pengabdian diri kita sebagai seorang hamba kepada Allah S.W.T.

KH.Hilmy Aminudin memaknai tajarrud sebagai ketulusan pengabdian kader dakwah bukanlah meninggalkan semuanya untuk dakwah tetapi membawa semuanya demi kejayaan dakwah.

DAIE : BAHAGIAN AKHIRAT KITA
Negeri akhirat itu Kami jadikan bagi orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu bagi orang-orang yang bertaqwa.

Barangsiapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka dia akan mendapat (pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya itu, dan barangsiapa yang datang dengan (membawa ) kejatahan, maka orang-orang yang telah mengerjakan kejahatan itu hanya diberi balasan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan. (28:83-84)

Seorang daie itu wajib menghayati semula nilai akhirat dalam dirinya. Sejauh mana dia sudah berusaha untuk mencapat nilai akhirat yang betapa tingginya.
Sungguh, seorang daie itu wajib menjadikan nilai akhirat itu sebagai neraca seluruh aspek dalam kehidupannya. Bukanlah sekadar menjadikan nilai akhirat itu sekadar neraca untuk dakwah dan tarbiyyah semata.

Dan, jangan kotori nilai akhirat ini dengan benda-benda yang tidak bernilai kerana kelak kita sendiri yang akan merosakkan amalan diri sendiri.

Bukankah kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertawa itu bermula dari permulaan seorang daie itu dalam meletakkan nilai akhirat itu nilai yang tertinggi dalam kehidupannya ?

Kita tidak mahu menjadi seperti Si Qarun yang memandang nilai akhirat dengan pandangan yang hina dan mengangkat nilai dunia terlampau tinggi.

Kita tidak mahu menjadi seperti Si Qarun yang mempunyai pengakhiran yang hina sebegitu. Diterbalikkan muka bumi seolah terlalu hina untuk dunia ini menerima seorang hamba Allah sepertinya !

Dari Ibnu Umar R.A  berkata : Rasulullah S.A.W memegang pundak kedua pundak saya seraya bersabda : Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara “,

 

SEKITAR GAMBAR DI SANA

Istana Qarun
Istana Qarun
Tasik Qarun
Tasik Qarun
Of 'Us'
Of ‘Us’
Istana Qarun 2
Istana Qarun 2
Pohon tamar di sekitar Fayoum (Fayoum adalah bandar yang subur)
Pohon tamar di sekitar Fayoum (Fayoum adalah bandar yang subur)
Kincir Air Nabi Musa A.S
Kincir Air Nabi Musa A.S
Menaiki bot di tasik Qarun
Menaiki bot di tasik Qarun
Kerusi Si Qarun di dalam istananya
Kerusi Si Qarun di dalam istananya
sekitar Istana Qarun 3
sekitar Istana Qarun 3
pemandangan sekitar Fayoum
pemandangan sekitar Fayoum

Sekian,
mylittlepencil at Fayoum

rentetan tarbiyyah Palestina

Kebelakangan ini saya sibuk benar dengan urusan-urusan berkaitan Palestin !
Ini bukan keluhan. Ini adalah kebanggaan.
Sekurang-kurangnya saya disibukkan dengan hal yang berfaedah.

Alhamdulillah !

Jujurnya dahulu, saya hanya memperjuangkan isu ummah dengan perasaan.
Terlalu tipikal saya kira. Hanya semboyan emosi yang berbunyi, tetapi ilmu tentangnya tiada.

Allahu Allah.
Peluang yang telah Allah berikan buat saya duduk di dalam medan yang menambahkan lagi tanggungjawab dan tumpuan terhadap kerja-kerja cakna ummah saya gunakan sebaiknya !

Ya, pilihan Allah amat tepat.
Terlalu banyak ibrah (pengajaran) yang saya dapat.
Memang padanlah dengan diri sendiri yang sebelum ini mungkin ibarat sekadar berlakon dalam filem, Aku Sayang Palestin tetapi tidak pernah menjiwai wataknya !

Mana mungkin perjuangan itu sekadar semangat, harus punya perasaan bersamanya.
Mana mungkin perjuangan itu sekadar perasaan, harus punya ilmu tentangnya.

Pada pendapat saya, ketiga-tiga elemen ini adalah teramat penting bila kita memperjuangkan sesuatu. Sama seperti juga kita memperjuangkan dakwah dan tarbiyyah ini.

Semangat yang kuat, perasaan bangga (izzah) kepada Islam dan segala ilmu tentang dakwah kita gabungkan menjadi satu kombinasi yang akan menjadikan dakwah ini lebih muntij (berkesan).

PEJUANG
Bila kita menggelarkan diri kita sebagai seorang pejuang, biarkan diri kita penat kerananya.
Biarkan kaki kita lemah kerananya, biarkan nafas kita lelah kerananya.

Perjuangan adalah satu bentuk pengorbanan.
Di dunia ini, kita adalah musafir perjuangan.
Perjuangan adalah sebaik-baik medan untuk kita membuktikan segala pengorbanan.
Mana mungkin orang yang berjuang tidak berkorban.
Dan, mana mungkin orang yang berkorban itu tidak berjuang.

Saya sendiri belajar. Betapa bila kita mula disibukkan dengan urusan-urusan dakwah, kita perlu tanamkan dalam diri betapa masa rehat diri sendiri itu wajib dikurangkan !

Dan, segala masa yang ada wajib dimanfaatkan sebaiknya.
Waktu pagi, saya juga ke kuliah seperti pelajar-pelajar yang lain. Walaupun terkadang mengantuk dan agak bosan dengan apa yang diajar, tetapi saya gagahkan juga diri untuk terus memberi tumpuan di dalam kelas.

Apa jua jenis amal yang dikerjakan, kita wajib ihsan dan ahsan.
Bukan dalam amal dakwah semata !

Itulah qudwah yang mampu saya tunjukkan sebagai seorang hamba yang lemah.

“ Orang-orang ikut usrah, ikut dakwah ni semangat di luar. Tetapi dalam kelas mengantuk.”

Wahai para dua’t, elakkanlah dakwah dan tarbiyyah ini difitnah dek keranamu.
Kerana jalan dakwah dan tarbiyyah ini mengajar kita untuk menjadi sebaik-baik contoh kepada manusia.

Jalan dakwah dan tarbiyyah ini mengajar kita untuk berusaha sebaik-baiknya dalam apa jua jenis amal yang soleh.

Pernah saya katakan kepada seorang ukhti,
“ Kalau bukan natijah kita yang menjadi qudwah hasanah kepada orang di luar sana, biarlah fokus kita di dalam kelas, usaha kita datang ke kelas awal berbanding orang lain yang menjadi qudwah. Jadikan amal kita sebagai seorang pelajar itu ihsan dan ahsan.”

29 NOVEMBER 2012
Kepuasan bekerja untuk Palestin meskipun persediaan agak lambat. Pada tarikh ini, saya bersama ikhwah dan akhawat yang lain membuka satu booth jualan amal di universiti tempat kami belajar.

Sebelum melangkah masuk ke kelas, saya sempat singgah melihat ikhwah dan akhawat melakukan persediaan kerana kelas mereka sedikit lewat berbanding saya.

Melangkah masuk ke dalam kelas, fikiran mula melayang teringatkan booth tersebut. Tidak senang duduk. Fikiran juga agak kacau ketika itu kerana banyak hal yang tidak sempat diselesaikan.

Mesej yang sampai di telefon bimbit dibalas segera. Jujurnya, tumpuan saya di dalam kelas hilang seketika. Sampailah satu ketika, ukhti yang duduk di sebelah saya merampas telefon bimbit tersebut.

“ Ihsan dan ahsan. Dalam kelas kena beri tumpuan. Dah, jangan main handset.” Dia mengingatkan saya.
Walaupun pada mulanya, saya agak marah tetapi itulah nasihat yang tidak akan saya lupakan.

Terima kasih kepadanya !
Habis sahaja kelas, saya terus menuju ke booth tersebut. Alhamdulillah !
Booth kami mendapat sambutan yang agak memberansangkan.

Segalanya dikembalikan kepada Allah. Kalau tidak diizinkan-Nya, booth ini tidak akan dapat dijalankan dan orang pun tidak dapat melapangkan masa untuk singgah ke booth tersebut.

Alhamdulillah !
Alhamdulillah !
Alhamdulillah !

Buat semua ikhwah dan akhawat yang penat bekerja, yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, moga keikhlasan antum dibalas dengan pahala-Nya berlipat kali ganda, inshaAllah !

Hanya sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang mampu saya hadiahkan.

Sekitar Booth (1)
Sekitar Booth (1)

 

Sekitar Booth (2)
Sekitar Booth (2)

 

Sekitar Booth (3)
Sekitar Booth (3)

 

Sekitar Booth (4)
Sekitar Booth (4)
Sekitar Booth (5)
Sekitar Booth (5)

 

poster-poster yang dijual
poster-poster yang dijual
Of 'Me' Aqsa Syarif activist
Of ‘Me’ Aqsa Syarif activist

3 DISEMBER 2012

Kesempatan bersama dengan Pengerusi Aqsa Syarif Malaysia, Dr. Hafidzi Mohd Nor serta ahli rombongan yang lain dalam satu program dimanfaatkan sebaiknya.

Pelbagai info dan taujihat yang diperoleh. Bukan seperti ceramah-ceramah biasa. Ceramah daripada mereka benar-benar membangkitkan kesedaran dari lubuk jiwa saya.

sekitar program
sekitar program

THERE IS NO WAITING MOMENTS WHEN IT  IS  ABOUT UMMAH !

Palestin diserang, kita akan terus bertindak. Itulah keadaan pejuang yang benar-benar memperjuangkan ummah. Masa tidak boleh ditangguh. Segala tenaga akan dikerahkan sepantasnya.

Mereka di sana sentiasa memerlukan kita. Mereka di sana menanti masa untuk syahid di jalan yang mulia, tetapi kita ?

Sekadar  ‘syahid’  di atas katil melepaskan penat lelah dengan urusan seharian. Apakah nilainya sama dengan nilai syahid mereka di sana ?

HINAKAN DIRI HANYA DI HADAPAN ALLAH, BUKAN DI HADAPAN MUSUH KITA !

Inilah keyakinan kita bila berhadapan dengan musuh. Kita wajib berkeras dengan mereka. Musuh telah menyiksa orang-orang yang seaqidah dengan kita, maka apakah layak kita berdiam diri ?

Mana mungkin kita akan tunduk dengan kehendak musuh kerana musuh hanya berniat menghinakan kita serendah-rendahnya. Hanya di hadapan-Nya kita berhak menghinakan diri.

Lalu, bagaimana cara terbaik untuk menghinakan diri di hadapan Allah bila berkata tentang isu ummah ?

Kita doakan mereka dengan sesungguhnya. Kita memberi bantuan yang sebenar-benar bantuan kepada mereka. Mana-mana peluang yang membolehkan kita untuk menyumbang, menyumbanglah !

Siapa lagi yang boleh mereka percayai kalau tidak kita yang  satu aqidah dengan mereka ?

Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya. Pada wajah mereka tampak tanda-tanda bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam Taurat dan sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam Injil, iaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya, kemudian tunas itu semakin kuat, lalu menjadi besar dan tegak lurus di atas batangnya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan di antara mereka, ampunan dan pahala yang besar. (48:29)

WALAUPUN TIADA APA UNTUK DIBERI, MAKA BERILAH !

Diceritakan kepada kami yang mendengar ceramah ketika itu, pelbagai jenis derma yang diterima.
Ada yang menderma, berpuluh ribu.
Ada yang menderma, berbelas-belas ringgit cuma.
Malah, ada yang mendermakan puisi  untuk membangkitkan kesedaran ramai !

Katanya, “ Saya tidak punya apa untuk menderma, bolehkah saya mendermakan puisi ini ?”
Tersentuh benar hati saya mendengarkan kisah ini.
Allahu Allah !

4 DISEMBER 2012
Seawal jam 5 pagi saya bersama barisan ikhwah dan akhawat menunggu di lapangan terbang Kaherah untuk menyambut ketibaan rombongan A2G ER 11 ( AQSA TO GAZA EMERGENCY RELIEF 11) yang akan meneruskan perjalanan mereka ke Gaza.

 

Ahli-ahli rombongan yang bakal tiba bukan calang-calang orangnya !
Artis-artis terkenal ini dipilih khas oleh Allah untuk menjadi tetamu-tetamu ke tanah suci Palestina.
Tidak ketinggalan juga Ustazah Maznah dan suaminya, ketua rombongan, crew Vision Works, jurukamera dan wartawan Astro Awani yang juga turut serta.

Barisan artis yang kini mengumpul pahala di Gaza !
Barisan artis yang kini mengumpul pahala di Gaza !

Lama juga kami menunggu di luar ketika itu. Normal, perjalanan agak sedikit tersekat di bahagian imigresen menyebabkan mereka keluar agak lambat meskipun penerbangan sampai tepat pada waktunya.

‘ Reaksi bagaimana yang patut aku berikan ? Patutkah aku terkinja-kinja ingin bergambar dengan artis-artis yang bakal tiba ini ? ’

Saya bermonolog sendirian.
Memikirkan akhlak yang paling baik untuk dipaparkan.
Akhirnya saya membuat keputusan sekadar melihat artis ini dari jauh sambil mendoakan mereka.

Moga mereka terus dianugerahkan hidayah oleh Allah.
Melihatkan peluang yang Allah berikan kepada mereka untuk ke Gaza memberikan keyakinan kepada saya bahawa tiada yang mustahil di dalam jalan dakwah.

JANGAN KETEPIKAN SEGALA KEMUNGKINAN DALAM JALAN DAKWAH !

Hidayah akan diberikan kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki walaupun kita tidak menyangka sama sekali dialah yang telah dipilih.

Siapa menyangka pelawak terkenal  terdetik kesedaran dalam hatinya untuk cinta akan Palestin ?
Siapa sangka pelakon-pelakon ini yang dipilih oleh Allah ?

Allahu Akbar !
Allahu Akbar !
Allahu Akbar !

Selesai menyambut mereka, saya bergegas ke kuliah kerana kelas bakal bermula jam 8 pagi. Alhamdulillah, walaupun mengantuk yang amat sangat, Allah permudahkan urusan saya untuk terus memberikan tumpuan.

Sesudah habis kelas pada hari tersebut, saya dihubungi oleh seorang ukhti yang turut bersama saya menyambut ahli rombongan di lapangan terbang pagi tadi.

Katanya, dia serba salah dengan cara dia berkongsi keseronokannya di dalam status Facebooknya. Dia takut rasa bangga akan mendatangkan natijah yang buruk ke atas jalan dakwah ini.

Saya katakan  kepadanya, “ Itulah tarbiyyah untuk kita semua. Macam Ikhwan Muslimin sendiri mereka tidak pernah mendapat tarbiyyah memegang pemerintahan sampailah saat Dr. Morsi dilantik menjadi Presiden Mesir. Tarbiyyah duduk di penjara mereka sudah puas lalui. Maka, Allah berikan tarbiyyah yang tidak lagi mereka lalui supaya mereka terus belajar dan belajar.”

Saya menyambung lagi, “ Macam juga kita. Kita tidak pernah ditarbiyyah dengan tarbiyyah berhadapan dengan populariti seperti ini. Tarbiyyah di mana Aqsa Syarif mula mendapat perhatian artis, artis-artis mula ikut usrah dan sebagainya. Dan tarbiyyah ini bukanlah sengaja diberi oleh Allah tanpa kita belajar daripadanya. Tarbiyyah untuk enti, tarbiyyah untuk ana juga. Banyakkan beristighfar ya.”

Wajib kita ingat, segala natijah dalam jalan dakwah ini adalah hadiah daripada Allah.
Bukannya hasil usaha kita semata-mata.

Segala-galanya tidak akan berlaku tanpa izin Allah.
Segala-galanya tidak akan mudah jika tidak dipermudahkan oleh Allah.
Segalanya tidak akan berlaku jika tidak kerana Allah !

Ketahuilah, Allah yang sebenarnya mengawal natijah dakwah ini. Kerja kita hanya terus berusaha dan membuka peluang kepada orang lain untuk mengenal dakwah dan tarbiyyah dengan lebih dekat.

Kebanggaan tentang natijah dakwah itu wajib untuk kita elakkan. Allah berhak memberi dan menariknya bila-bila masa sahaja.

Perbanyakkan muhasabah !

Mereka merasa berjasa kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah, “ Janganlah kamu merasa berjasa kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kamu kepada keimanan, jika kamu orang yang benar.” (49 : 17)

barisan akhawat yang menanti ketibaan rombongan
barisan akhawat yang menanti ketibaan rombongan
ketibaan ahli rombongan
ketibaan ahli rombongan
artis ditemuramah oleh media
artis ditemuramah oleh media

 

hadiah dari seorang ukhti. katanya , " Nah, hadiah untuk pejuang Gaza ! "
hadiah dari seorang ukhti. katanya , ” Nah, hadiah untuk pejuang Gaza ! “

 

sekian,
mylittlepencil

p/s : all pictures credit to Aeidah Hassan
p/s : sebarang maklumat terkini boleh dirujuk di Facebook Aqsa Syarif atau Kelab IKRAMMesir