Travelog Sepanyol : pada qasr tarbiyyah

29 Januari 2014
Paris Charles de Gaulle-Madrid, Spain
Easyjet Flight departs at 6.40 a.m.

Bermulalah pengembaraan kami yang kedua. Masih lagi berbekalkan niat yang sama dan pesanan ketua jaulah yang masih lagi aku semat dalam hati.

“ Kita adalah pengembara, bukannya pelancong.”

Sampai sahaja di bumi Madrid, Sepanyol kami duduk terlebih dahulu untuk membincangkan tentang duit perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh setiap seorang daripada kami (perbelanjaan intra-city). Kemudian, kami terus menaiki metro menuju ke stesen Nueros Ministerious (stesen bas) untuk meletakkan beg bagasi kami di loker (consigna) yang disediakan di sana. Destinasi kami yang pertama adalah stadium Real Madrid. Di stadium, kami hany mengambil di hadapan stadium tersebut. Dek kerana ramai antara kami bukanlah peminat setia apa jua pasukan bola sepak antarabangsa mahupun tempatan, maka kami tidak memilih untuk masuk ke dalam stadium tersebut yang mengenakan bayaran sebanyak 19 euro. Hanya dua orang ukhti sahaja yang masuk ke dalam stadium tersebut.

Stadium Real Madrid FC
Stadium Real Madrid FC

“ Jam 2.30 petang nanti kita jumpa di hadapan stadium semula.”

Sementara itu, kami yang masih berbaki berjalan-jalan di kawasan sekitar stadium tersebut. Masa yang ada digunakan untuk membeli barang keperluan, mencari peta Madrid serta mencari kawasan kedutaan Malaysia yang terletak di kawasan yang sama. Jam menunjukkan hampir 2.30 membantutkan urusan kami untuk mencari bangunan kedutaan Malaysia. Maka, kami membuat keputusan untuk pergi sahaja ke stadium untuk berjumpa kembali dengan dua orang akhawat itu tadi.

Kami tiba di hadapan stadium, tetapi bayang mereka berdua masih belum kelihatan. Lalu, untuk mengisi masa lapang yang ada ketua jaulah bertanyakan kami tentang awan. Banyak soalannya dan tidak dapat aku ingati kesemuanya. Antaranya ialah :

  1. Apakah definisi awan ?
  2. Mengapa wap air tidak turun di tempat lain selain bumi ?
  3. Mengapa air hujan yang turun tidak masin ?

Aku gagal memberi jawapan yang berdasarkan dalil, hanya menggunakan logik akal semata. Ketua jaulahku sedang membaca buku Tauhid Zindani. Buku ini bagi aku memang teramat membantu dalam proses mentadabbur alam terutamanya.

Saudaraku !Jadilah orang yang memerhatikan awan

bagaimana pada waktu petang ia berterbangan.

Tuhan menghantarnya kepada kita sebagai rahmat

                adakah kamu bersyukur atas nikmat tersebut.

Lalu matahari menguasai laut

                untuk dibangkitkan wap air daripadanya.

Diangkat airnya ke atas

                melepasi bukit-bukau yang tinggi.

Dan diliputinya udara sejuk

                bagi memberhentikan kenaikannya ke langit.

Sekiranya Dia mahu, dijadikan udara panas

                maka kita tidak mendapat walau setitis hujan.

Dia menghalau tiupa angin dalam keadaan bertebaran

                hujan turun selepas awan diperah.

Tidak ada bukit-bukau yang dapat menghalangnya

                jika Dia mahu, hujan akan turun di sebalik bukit-bukau.

Diciptanya yang lain seumpamanya, dan digerakkannya

                dengan takdir-Nya, ia terus bergerak.

Sekiranya ia melimpah dari langit sekaligus

                manusia akan ditimpa kebinasaan yang cepat.

Ini, apabila ia turun dalam bentuk curahan dalam sesebuah negeri

                bagaimanakah jika dicurahkan air sebesar bukit ?

Tetapi ia turun supaya berlembut ke atas kita…dalam bentuk titisan hujan

                sebahagiannya bertukar menjadi sungai-sungai

Sebahagiannya diserap tanah

                supaya ia tidak menjadi penghalang sekalin makhluk.

Tetapi bukan di tempat yang dalam sangat

                Memadai disimpan dalam bekas besar pada lapisan

Di dalam bekas daripada batu bata

                ia disimpan untuk kemudahan bagi manfaat manusia.

Lihatlah betapa hinanya pentadbiran

                pentadbiran orang yang tidak mempunyai pemikiran?

Daripada berhala tuli atau tabiat semula jadi

                yang taat kepada Tuhannya?

Atau tiada keraguan sebenarnya, semuanya menjadi saksi

                bahawa penjaganya adalah Tuhan yang Satu

Berapa kalikah orang Islam ditimpa kemarau

                lalu mereka meninggalkan bebanan dan batu penghalang

Mereka meminta daripada Tuhan jalan keluar

                lalu mereka berhak mendapat kejayaan dan mereka mendapat jalan keluar

Adakah kudrat alam (nature) atau berhala yang memakbulkannya ?

                atau Yang Maha Mendengar pelepas segala bala.

HASIL PENA : Abdul Rahman Qadhi (diambil dari kitab Tauhid Zindani)

 

Begitu cantik sekali apa yang kami bualkan. Ini adalah elemen yang aku sukai apabila jaulah bersama akhawat. Ada hal-hal faedah yang akan kami bualkan untuk mengisi masa lapang. Sememangnya semakin banyak kita dapat sesuatu ilmu yang baru, semakin kita ini terlampau kurang ilmunya.

Seterusnya, setelah dua orang akhawat itu keluar daripada stadium Real Madrid, kami terus berjalan menuju Great Mosque of Madrid untuk menunaikan solat di sana. Perasaan menunaikan solat di rumah Allah adalah satu perasaan yang luar biasa bagi kami semua.  Bukanlah mudah seperti di bumi Mesir yang mempunyai banyak masjid di sini dan boleh sembahyang di mana-mana sahaja.

Masjid di Madrid
Masjid di Madrid

Berbeza sungguh dengan negara yang bukan Islam meskipun dahulu adalah negara yang gemilang dengan berdirinya tamadun Islam dan pimpinan khilafah Islamiyyahnya. Kemudian, kami menuju ke Royal Palace. Malangnya, kami agak lewat ketika itu dan jualan tiket sudahpun ditutup. Maka, kami hanya bergambar dari luar.  Seterusnya, kami menuju ke Plaza Mayor untuk membeli belah sedikit cenderahati di sana. Plaza Mayor ini terdiri daripada sebuah bangunan yang berbentuk segi empat tepat, mempunyai 9 pintu masuk dan 237 balkoni. Plaza Mayor ini antara kawasan yang biasanya digunakan untuk melihat bullfights.

gereja berhampiran Royal Palace
gereja berhampiran Royal Palace
Plaza Mayor
Plaza Mayor

Kami juga berkesempatan untuk singgah ke sebuah pasar yang terkenal dalam kalangan penduduk tempatan yang dikenali dengan nama Mercado de San Miguel. Pasar yang mula dibina antara tahun 1913-1916 ini terletak berhampiran sahaja dengan Plaza Mayor. Kaki kami pula yang sudah mula sakit sakit kerana berjalan jauh setiap hari.

Mercado de San Miguel
Mercado de San Miguel

Seterusnya kami  semua terus menuju ke Puerta Del Sol untuk melihat sebuah monument yang unik dan menara loceng di sana. Menara loceng terebut berbunyi setiap kali upacara makan Twelve Grapes dan sambutan tahun baru. Di sana juga, terdapat satu monumen menarik yang diberi nama Bear and the Madrono Tree.

Bear and Madrono Tree
Bear and Madrono Tree

Ketika berhenti berehat di luar sebuah kedai membeli-belah sementara menunggu akhawat yang lain, seorang ukhti bertanya kepadaku, “ Bagaimana nak ithar ?”

Jawab aku, “ Ithar memang susah sebab itu nak ithar memerlukan mujahadah.”

Ithar banyak mengajar aku dalam mengurangkan ego diri sendiri walaupun hakikatnya seorang manusia itu akan mempertahankan ego dirinya. Aku sendiri banyak berperang dengan diri sendiri dalam melawan kehendak diriku sendiri. Ithar memerlukan banyak latihan. Bagi aku, ithar bukanlah soal lebih atau kurang dalam kawan kita mendapat sesuatu tapi ithar adalah lebih dari itu.

Ithar adalah pengorbanan kita dalam menjalin hubungan ukhuwwah fillah. Dan tidak rugipun dalam ithar kepada ukhti kita di sekeliling. Apabila segalanya kerana Allah, segalanya akan menjadi mudah. Seterusnya, kami terus pulang semula ke stesen bas dan berehat sahaja di sana. Kami menunaikan solat secara sembunyi di dalam kawasan loker simpanan beg (kawasan yang agak luas). Perjalanan ke tempat lain akan diteruskan pada jam 6.00 pagi nanti.

Kesemua akhawat kelihatan begitu penat dek kerana berjalan seharian pada hari ini. Rehat yang tidak proper (tidur atas kerusi dan di dalam kenderaan) menjadikan kepenatan itu tidaklah terubat dengan sebaiknya. Terkadang kepenatan ini menjadikan mood seseorang itu tidak berapa baik. Ketika berjaulah ke United Kingdom dahulu, aku telah merasai kesemuanya.

Penatnya memang tidak terhingga berjalan ke hulu-hilir dengan beg bagasi yang besar. Sememangnya sebagai seorang manusia kita perlu belajar menguruskan emosi kita sebaik yang mungkin. Manusia sememangnya tidak dapat lari dari emosi dirinya sendiri, tapi manusia boleh mengawalnya.

Moga setiap dari emosi-emosi kita itu datang kerana Allah.

Jam 12.30 tengah malam, kami bersiap sedia untuk menaiki bas menuju ke kawasan lain pula. Bas bakal bertolak jam 1.00 pagi dan perjalanan dijangka mengambil masa selama 5 jam.

Adios Madrid.

****

30 Januari 2014
Bienvenue Cordoba !

Sebut sahaja Cordoba, kita semua tahu bahawa kota ini satu ketika dahulu menjadi kebanggaan ummat Islam. Kami sampai di stesen bas di Cordoba tepat jam 6.00 pagi. Suhu yang begitu sejuk menjadikan kami menggeletar. Aku masih lagi mengantuk kerana tidur yang tidak berapa lena di dalam bas. Seorang demi seorang dari kami pergi ke tandas untuk mengambil wudhuk untuk berqiamullail dan solat subuh di situ.

Kegigihan beribadah pada musim sejuk membuatkan aku teringat pada satu hadis Nabi Muhammad S.A.W yang berbunyi : Musim dingin terasa seperti musim semaian bagi orang beriman.

Imam Al-Baihaqi menambah : Musim dingin seperti musim semaian bagi orang beriman. Siangnya begitu singkat, maka ia gunakan untuk berpuasa dan malamnya begitu panjang, maka ia gunakan untuk solat malam.

Kebiasaannya, musim dingin kita merasakan begitu susah untuk melaksanakan ibadah. Kata Ibnu Rejab rahimahullah hal ini berlaku kerana dua alasan. Pertama, kerana jiwa begitu berat untuk bangun kerana kondisi yang begitu dingin dan kedua rasa sulit untuk menyempurnakan wudhuk.

Disebutkan dalam hadis Sahih Muslim dari Abu Hurairah, dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda : “ Mahukah kaliah untuk aku tunjukkan atas sesuatu yang dengannya Allah menghapus kesalahan-kesalahan dan mengangkat darjat ? ” Mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda, “ Menyempurnakan wudhu pada sesuatu yang dibenci (seperti keadaan yang sangat dingin), banyaknya langkah kaki ke masjid, dan menunggu solat yang berikutnya setelah solat. Itulah ribath.”

Al-Qodhi Abul Walid Al-Baji berkata, “ Asal kata ribath adalah terikat pada asalnya. Artinya di sini, ia menahan dirinya (dari kemalasan) untuk tetap melakukan ketaatan.

Aku berdoa agar sentiasa diberi kekuatan dan kemudahan dalam beribadah ketika musim sejuk. Dingin di Cordoba juag mengingatkan aku akan kesejukan mereka yang dalam serba kekurangan. Bagaimana agaknya mereka menahan sejuk sedangkan aku dan akhawat memakai dua tiga lapis pakaian ?

Setelah itu, aku dan akhawat menunaikan solat Subuh berjemaah sementara kawasan stesen bas masih belum lagi penuh dengan orang ramai. Risau juga untuk menunaikan solat di tengah-tengah khalayak begini. Setelah itu, aku bersama dua orang lagi akhawat menyiapkan sarapan pagi. Setelah menyimpan beg di loker yang disediakan di stesen bas tersebut, kami mula bergerak ke destinasi yang pertama seawal jam 10.00 pagi. Destinasi kami yang pertama adalah Istana Cordoba atau dikenali dengan nama Alcazar. Ketika sedang menuju ke sana, kami berjumpa dengan dua orang lagi akhawat yang turut berjaulah ke negara yang sama dengan kami.

IMG_1351

IMG_1354

Dek kerana masa mencemburui kami, kami membuat keputusan untuk tidak masuk ke dalam istana tersebut dan berkejar untuk membeli tiket masuk ke Madinah Az-Zahra. Kami menuju ke Madinah Az-Zahra menggunakan perkhidmatan bas khas yang telah disediakan dengan bayaran 18 euro (termasuk tiket masuk). Tiba sahaja di sana, kami diminta untuk masuk ke dalam muzium kecil dan auditorium terlebih dahulu untuk diberi sedikit pengenalan mengenai kota ini.

IMG_1365

Betapa kagum aku melihat pelbagai artifak yang dipamerkan di dalam muzium dan kekaguman aku bertambah saat melihat tontonan video yang telah disediakan. Penerangan yang diterangkan di dalam video tidaklah berat sebelah (sebab video disediakan oleh orang bukan Islam). Khalifah diperkenalkan sebagai wakil Allah di atas muka bumi dan mentadbir muka bumi ini dengan iman mereka.

Madinat Az-Zahra (kota yang suci) adalah pusat pemerintahan Khalifah Abdul Rahman yang ketiga (zaman Bani Umaiyyah) satu ketika dahulu. Ianya dibina dengan menggunakan sistem teres dek kerana kota tersebut terletak di kawasan yang berbukit. Hatiku begitu sayu apabila melihat tinggalan sejarah itu. Kawasan masjid yang masih lagi kelihatan tinggalannya cukup luas bagi khalifah dan rakyatnya untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Sepanjang aku berjalan di sana, aku membayangkan khalifah berjalan ke sana-sini untuk melihat rakyatnya dan menyelesaikan urusan pentadbiran. Allahuakbar !

sekitar Madinat Az-Zahra 1
sekitar Madinat Az-Zahra 1
sekitar Madinat Az-Zahra 2
sekitar Madinat Az-Zahra 2
sekitar Madinat Az-Zahra 3
sekitar Madinat Az-Zahra 3
sekitar Madinat Az-Zahra 4
sekitar Madinat Az-Zahra 4
aku melihat Mezquita (masjid) dari kejauhan
aku melihat Mezquita (masjid) dari kejauhan

Jam 1.30 petang kami bertolak pulang dari Madinah Az-Zahra dengan menaiki bas yang sama. Sebelum pulang, ketua jaulah mengajak kami berkumpul seketika untuk sama-sama berkongsi ibrah yang kami dapat.  Bagi aku sendiri, melawat ke Madinah Az-Zahra ini bukanlah seperti kita melawat tinggalan sejarah yang lain. Madinah Az-Zahra meninggalkan kesan yang mendalam buat diriku kerana ia punya aura yang tersendiri.

KAMI di Madinat Az-Zahra
KAMI di Madinat Az-Zahra

Aku kini punya perasaan merindui ustaziyatul alam itu.
Betapa seisi alam ini memerlukannya !

aku dan teman seusrah yang berjaulah bersama " Wakil Ruhul Istijabah ke Sepanyol"
aku dan teman seusrah yang berjaulah bersama
” Wakil Ruhul Istijabah ke Sepanyol”

Destinasi kami yang seterusnya adalah Roman Bridge dan Masjid Cordoba. Roman Bridge ini adalah jambatan hasil binaan ketika empayar Rom menguasai Sepanyol satu ketika dahulu namun ianya terbiar. Apabila Islam berjaya tersebar luas di sini, khalifah ketika itu mengarahkan agar jambatan itu dibaikpulih kembali. Kata ukhtiku, pemandangan di kawasan jambatan itu kelihatan menarik apabila tiba waktu senja.

Roman Bridge
Roman Bridge

Seterusnya, kami menuju pula ke Masjid Cordoba yang telah pun ditukarkan menjadi gereja. Ketika masuk ke dalam masjid tersebut, perasaan hiba mula menyapa kami. Monolog hatiku, ‘ Bagaimana milik yang dahulunya milik kami dahulu bertukar tangan menjadi milik kamu semua ?’

Dahulu, ketika Islam menjadi tamadun paling gemilang di dunia, Masjid Cordoba ini menjadi tumpuan serata dunia. Masjid ini bukanlah sekadar masjid menjadi tempat ibadah kaum muslim bahkan dijadikan juga sebagai tempat untuk menuntut ilmu pengetahuan. Tokoh-tokoh terhebat seperti Ibnu Rusyd dan Az-Zahrawi lahir dari masjid ini. Malah, barangkali mereka pernah mengajar anak-anak murid mereka di masjid ini dahulu !

Masjid Cordoba 1
Masjid Cordoba 1
Masjid yang telah bertukar menjadi gereja
Masjid yang telah bertukar menjadi gereja
tinggalan ukiran ayat Al-Quran di dinding Masjid Cordoba
tinggalan ukiran ayat Al-Quran di dinding Masjid Cordoba

Masjid ini juga mempunyai sebuah perpustakaan besar yang menghimpun puluhan ribu dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Dikatakan bahawa setiap tahun perpustakaan ini menjadi tempat tumpuan seramai 400,000 pengunjung mengalahkan sebuah  perpustakaan lain di Eropah satu ketika dahulu.  Dahulu, masjid ini terang-benderang dengan cahaya lampu tetapi kini malap seolah terkena juga tempias akan kejatuhan kita dahulu.

Kini, masjid ini ditukar menjadi gereja. Pelbagai ukiran manusia yang tidak munasabah pada fikiran saya untuk diletakkan di dalam sebuah masjid. Lambang salib juga ada di mana-mana. Namun, masih ada ukiran-ukiran ayat Al-Quran yang masih dipelihara-Nya.

Perasaan itu datang lagi.
Perasaan rindu akan ustaziyatul alam.

Aku ingin sekali melihat sekalian alam ini mengamalkan cara hidup yang sempurna, dan tiada lain yang lebih sempurna melainkan Islam. Ternyata, kejatuhan ummah kini memerlukan semula kebangkitan dan penyelamat. Bagi kita, kebangkitan ini asasnya adalah iman dan dakwahlah yang menjadi bahtera penyelamat.

Seterusnya, kami meneruskan lagi perjalanan untuk memberi cenderahti dari Cordoba tetapi malangnya kedai-kedai tersebut tutup begitu awal. Lalu , kami membuat keputusan untuk kembali sahaja ke stesen bas untuk melepaskan lelah di sana dan menunaikan solat. Sepetang di stesen bas, ada yang mengambil kesempatan untuk membaca Al-Quran, mengecas telefon dan ada juga yang tertidur.

Tidak lama selepas itu, stesen bas Cordoba dibanjiri orang Malaysia. Rupanya tiket bas mereka sama dengan kami.

Malam ini, perjalanan diteruskan lagi.
Selamat tinggal Cordoba.

******

30 Januari 2014
Seville- jam 9.00 malam

Alhamdulillah, kami selamat tiba di stesen bas Seville. Aku berdebar sebenarnya kerana tempat ini berada di bawah jagaanku. Sebelum jaulah lagi, ketua jaulah telah membahagikan tempat-tempat kepada setiap ahli jaulah untuk menjadi ketua perjalanan. Aku risau kerana persiapanku tidaklah berapa mencukupi seperti orang lain yang lebih hebat daripadaku membentangkan pelbagai kisah di tempat mereka.

Tanpa berlengah, aku terus ke kaunter bas untuk bertanyakan cara untuk kami semua menuju ke hotel tempat kami bakal menginap sepanjang berada di Seville ini. Aku tidaklah berapa mahir akan bahasa Latin, Cuma berbekalkan sedikit ayat-ayat asas untuk memudahkan lagi perjalanan. Pakcik di kaunter menyatakan bahawa tiada bas untuk ke sana. Aku pula berfikir, jika berjalan akan penat sudahlah dengan beg bagasi pula setiap seorang.

Aku mengajak mereka turun ke perhentian bas dan meminta pertolongan daripada penduduk tempatan. Dia mengajak kami menaiki bas dan menunjukkan kami jalan tempat yang perlu kami berhenti. Dari situ, kami perlu berjalan kaki untuk ke hotel kami. Aku yang sememangnya manusia yang mudah menjadi pening untuk membaca peta meskipun sudah dibantu satu aplikasi yang aku kira cukup memuaskan  (Triposo Spain).

Perjalanan yang jauh terasa begitu sukar kerana dalam masa yang sama perut kami semua juga minta untuk diisi. Aku bertawakkal kepada Allah dan berdoa agar kelemahan aku ini tidak menzalimi ukhti-ukhtiku yang lain. Alhamdulillah, kami selamat tiba di jalan yang bernama San Clemente dan berjaya menemui hotel kami yang bernama Pension La Montorena.

Pekerjanya, Manuel begitu baik hati. Dia cuba sedaya upaya berbahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan kami meski aku tahu hal itu sangat ssuah. Warganegara Sepanyol sangat menjaga bahasa mereka. Malah, dia tolong mengangkat beg-beg kami yang berat itu dan juga turut memberikan kami peta Seville untuk kegunaan kami semua. Sungguh, peta itulah yang aku nanti-nantikan selama ini !

Kami masuk ke dalam bilik penginapan. Kami berpuas hati dengan bilik yang luas, kelengkapan bilik yang tersedia elok cuma lantainya sahaja begitu terasa kedinginannya. Kami berehat sebentar, menunaikan solat serta menjamu selera yang disediakan oleh seorang ukhti. Setelah itu, kami berehat di katil masing-masing dan bersedia pula untuk menjelajah Seville sehari suntuk pada hari esok.

*****

31 Januari 2014
Seville

Pagi itu, kami keluar dari rumah setelah bersapran pagi. Perjalanan kaki dimulakan menghala ke Cathedral of Seville. Gereja ini merupakan antara gereja yang begitu megah dan agung. La Giralda, sebuah menara yang satu ketika dahulu digunakan oleh muazzin untuk mengumandangkan azan juga terdapat dalam perkarangan gereja ini.

La Giralda
La Giralda
KAMI di taman oren sekitar La Giralda
KAMI di taman oren sekitar La Giralda

Sebelum masuk ke dalam, aku menceritakan terlebih dahulu tentang gereja ini meskipun ilmu yang ada tidaklah banyak mana. Arakiannya, gereja itu bukanlah tarikan utama untuk aku membawa akhawat yang lain ke sana, tetapi untuk sama-sama melihat menara La Giralda yang dahulunya menjadi kebanggaan kita. Kini, menara tersebut dipasang 8 biji loceng besar dan dibunyikan pada waktu-waktu tertentu. Terdapat sebuah taman oren di perkarangan luar gereja tersebut. Indah sungguh pemandangannya !

Mana pernah saya melihat tanaman buah oren begitu subur melainkan di bumi Sepanyol ini. Namun begitu, kami tidak boleh sesuka hati mengambilnya. Sebabnya sampai sekarang kami masih lagi tertanya-tanya.

Seterusnya, aku membawa teman jaulah menuju ke Real Alcazar yang sangat berdekatan dengan gereja tersebut.  Setelah membayar bayaran masuk sejumlah 2 euro, kami berasa amat teruja untuk melihat tinggalan Islam yang agung ini. Arkitek yang membina istana ini membinanya dengan konsep taman syurga dunia. Penuh dengan elemen-elemen keindahan tanaman pokok-pokok dan juga buah-buahan ! Buah-buahan yang utama sudah pastinya buah oren dan terdapat juga pohon lemon menandakan pengaruh Islam bertapak di istana tersebut kerana lemon berasal dari tanah milik orang Islam satu ketika dahulu.

Real Alcazar 1
Real Alcazar 1

Kalimah Allah di dindingnya juga masih tertera jelas. Istana tersebut mempunyai tiga pengaruh besar dari segi seni binanya iaitu : Gothik, Renaissance dan Islam. Air pancut yang banyak terdapat di kawasan istana menggunakan sistem hidraulik namun aku tidak pasti sama ada adakah sistem itu yang masih digunapakai hingga sekarang.

Real Alcazar 2
Real Alcazar 2
Real Alcazar 3
Real Alcazar 3
Real Alcazar 4
Real Alcazar 4
Real Alcazar 5
Real Alcazar 5
Real Alcazar 6
Real Alcazar 6

Konsep syurga yang dibawa untuk membina istana tersebut amat menyentuh hati aku. Bila berjalan di sekitar istana, menjadikan aku seronok. Seronok membayangkan aku dan akhawat berjalan-jalan di taman syurga, memetik buahan, wangian syurga yang sememangnya harum. Tapi aku juga takut.

Takut bukan syurga tempat akhirku kelak. Aku merasakan syarat-syarat kelayakan untuk masuk ke dalam syurga masih lagi di tahap yang terlampau rendah.

Seterusnya perjalanan bersambung lagi menuju ke Plaza De Espana. Kawasan ini menjadi tempat tumpuan pelancong kerana bentuk bangunannya yang cukup unik. Plaza ini satu ketika dahulu digunakan sebagai pusat pemerintahan sepertimana Putrajaya di Malaysia. Dikatakan penggambaran filem juga telah banyak dilakukan di sini seperti Lawrence of Arabia (highly suggested movie) dan Star Wars. Plaza yang mempunyai ruang yang cukup luas ini terletak di dalam sebuah taman yang bernama Parque de Maria Luisa.

Plaza De Espana
Plaza De Espana

Setelah mengambil gambar di sekitar Plaza, kami menuju ke taman untuk berbasikal bagi menikmati keindahan taman yang cukup luas itu. Aku tidak berminat untuk bersiar-siar di taman ketika ini. Aku hanya duduk menunggu mereka sambil membelek-belek peta Seville untuk mencari jalan pulang ke rumah kembali. Dan aku juga mula membaca Al-Kahfi kerana aku masih juga memulakannya lagi !

Kami mengambil keputusan untuk bersolat di rumah dan berehat seketika sebelum menuju ke tempat yang seterusnya. Usai solat, kami keluar semula. Kali ini perjalanan kaki agak dekat dengan kawasan hotel tempat kami menginap. Metropol Palasol (Plaza De Al Carnacion) yang menjadi daya tarikan di Seville menjadi tempat tujuan kami yang seterusnya. Bangunan yang sebahagian besarnya dari kayu ini berbentuk  seperti cendawan. Bayaran masuk tidaklah terlalu mahal dan disertakan pula dengan minuman percuma. Ketika sedang berjalan ada seorang ukhti bertanya kepadaku, “ Apa yang akak dapat datang sini ?”

replika Metropol Palasol
replika Metropol Palasol
Metropol Palasol yang sebenar
Metropol Palasol yang sebenar

 

dari tingkat atas Metropol Palasol
dari tingkat atas Metropol Palasol

Sungguh, terlalu banyak yang aku dapat daripada jaulah kali ini. Aplikasi tarbiyyah jaulah, rasa hati yang hidup dengan ukhuwwah kerana Allah dan lain-lain lagi. Bagiku, Paris adalah simbolik kepada menara dakwah itu sendiri. Sejauh mana kita ingin berusaha untuk menjadikan dakwah ini perkara yang paling terkedepan mengatasi hal-hal yang lain dan setinggi mana impian kita untuk membina ustaziyatul alam itu sendiri.

Sepanyol pula simbolik kepada qasr tarbiyyah (istana tarbiyyah). Bagaimana tarbiyyah dahulu menjadi nadi utama dalam dakwah. Tanpa tarbiyyah, tidaklah bergeraklah dakwah. Aku selalu memikirkan, bagaimana khalifah terdahulu memastikan tarbiyyah ini berjalan dengan baik meski Islam berada di puncak dunia ketika itu sedangkan realitinya apabila kita sudah maju ke hadapan, kita akan memandang enteng perkara-perkara sebegini yang akhirnya akan menyebabkan keruntuhan Islam itu sendiri sebagaimana yang menimpa kita pada tahun 1924 sehingga sekarang.

Setelah puas menangkap gambar di sana, kami membuat keputusan untuk turun dari sana dan meneruskan perjalanan ke destinasi lain pula. Sambil aku dan seorang ukhti turun bersama, dia menyatakan kepadaku, “Walaupun kita pergi ke satu tempat tanpa tour guide, tidak tahu apa yang orang lain tahu tapi dengan jaulah tarbiyyah ini kita merasa sudah cukup.”

Kita tidak dapat menafikan bahawa seorang daie itu harus kaya dengan tsaqafahnya. Terletak pada seorang daie itu untuk tahu apa yang patut dan menggunakannya untuk dakwah. Kita tidak akan dihukum dan diberi dosa atas segala ilmu yang kita tidak tahu terutamanya jika kita bukan ahli di dalam ilmu tersebut. Apa yang penting adalah untuk kita memenuhkan akal dan hati kita dengan ilmu-ilmu yang membantu dakwah dan tarbiyyah. Bukankah seorang mukmin yang ingin berjaya dia perlu melepaskan dirinya dari hal yang sia-sia ?

Jujurnya bagi saya, saya tidak mempunyai pengetahuan yang luas di setiap tempat yang dilawati, namun saya bangga kerana saya mencari maklumatnya dengan usaha sendiri. Dan akhawat lain juga begitu. Melihat mereka bercerita aku merasa begitu kagum.

‘ Tak perlu guna tour guide pun takpe dah ni.’, aku bermonolog sendirian. Mempunyai pemandu lawatan adalah satu bonus kerana kita akan tahu lebih banyak. Aku juga sendiri menanti untuk melawat ke negara lain dengan memakai pemandu pelancong yang mempunyai input yang banyak untuk aku juga mengeluarkan output yang banyak !

Selepas itu, kami menuju ke kawasan membeli-belah untuk membeli apa yang patut dan dibawa pulang. Kemudian, kami berhenti menikmati makan malam di sebuah restoren halal sambil berbual-bual dan melayan suhu yang agak sejuk pada malam itu. Kami pulang ke hotel dengan menaiki bas dan berehat kerana masing-masing sudah keletihan.

Pagi esok, kami perlu bangun awal untuk daftar keluar dari hotel dan pada jam 12.00 tengahari kami akan bertolak ke tempat lain pula.

Adios Seville !

******

1 Februari 2014
Qarnatah (Granada)

Qarnatah (Granada)
Qarnatah (Granada)

Jam 3 petang kami tiba di stesen bas Granada. Kami duduk sebentar sambil mengisi perut yang lapar kemudian terus menaiki bas menuju ke tempat penginapan kami yang bernama Los Montes yang terletak berhampiran dengan Plaza Nueva, sebuah kawasan yang agak sibuk di Granada. Plaza Nueva adalah kawasan yang strategik kerana kenderaan awam yang banyak, kedai makan halal yang juga serta mempunyai banyak jenis kedai seperti pasaraya, farmasi dan tempat untuk menukar wang asing.

Kami berehat seketika di dalam bilik dan menunaikan solat jamak ta’khir kemudian terus keluar untuk mengenali Granada dengan lebih dekat. Kami pergi ke sebuah kedai untuk bertanyakan tentang tiket masuk ke Alhamra’ (Alhambra). Prosedur untuk membeli tiket yang sedikit rumit membuatkan kami sedikit resah jika tidak dapat masuk ke sana. Alhamra’ (Alhambra) adalah tempat tumpuan pelancong dari serata dunia yang juga merupakan salah satu bukti tamadun Islam satu ketika dahulu. Pada mulanya, kami sedikit kecewa kerana kad debit seorang ukhti tidak boleh digunakan untuk membeli tiket tersebut.

Kami mengambil keputusan untuk menegur mana-mana sahaja orang Malaysia dan meminjam kad kredit mereka untuk membeli tiket tersebut. Aku ternampak dua orang pelajar Malaysia dan terus menegur mereka. Apabila aku menyatakan tentang kegagalan kami untuk membeli tiket tersebut, mereka menjawab, “Datang awal dan kemudian beratur je kat sana. inshaAllah dapat. Datang awal barisan tak panjang mana lagi.”

Maka, kami membuat keputusan untuk datang awal sahaja ke sana sebelum Subuh untuk beratur dan membeli tiket. Seterusnya, kami berjalan menuju ke tempat jualan cenderahati yang terletak di satu kawasan yang bernama Alcaiceria. Setelah selesai, kami terus balik ke bilik hotel untuk menikmati makan malam dan bersedia untuk keesokan harinya.

******

2 Februari 2014
Qarnatah (Granada)

Pagi itu, aku dan ahli bilik aku terbangun lewat menyebabkan kami tidak sempat mengejar mereka yang terlebih dahulu sebelum Subuh sudah bertolak menuju Alhamra’ (Alhambra) untuk membeli tiket di sana. Aku dan ahli bilik yang lain merasa amat bersalah kerana mereka sanggup bangun awal dan berkorban demi teman jaulah yang lain. Aku malu ! Pabila melihat telefon sendiri, sudah banyak missed call tanda seawal pagi mereka telah berusaha untuk mengejutkan kami.

Setelah solat subuh dan bersarapan, giliran kami pula untuk menempuh angin pagi bersuhu sifar darjah celcius menuju ke Alhamra’. Ketika kami keluar, sudah ada kedai-kedai makan yang mula beroperasi dan kami terus berjalan kaki berpandukan peta elektronik menuju ke sana. Jalan menuju ke sana mendaki bukit yang menyebabkan kami mudah sekali penat dan aku sendiri kerap kali berhenti dan mengeluh penat.

Mendaki sesuatu yang melawan graviti adalah sesuatu yang susah kerana arahnya berlawanan. Tarikan graviti yang sememangnya kuat menyebabkan kita perlu gigih berusaha untuk melawannya. Begini juga aku kira melawan jahiliyyah dan segala kebiasaan hidup kita yang sebelum ini. Memang susah kerana jahiliyyah mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Semakin kita melemah, semakin mudah jahiliyyah akan merasuki semula ruh dan hati kita. Tatkala aku mendaki menuju ke Alhamra’ aku juga teringatkan betapa susah payah Islam satu ketika dahulu untuk mencapai kemenangan. Kesusahan dan pengorbanan inilah yang perlu kami para dua’t rasai jika kami juga berkehendakkan kemenangan yang sama. Andai seorang daie itu mendaki menuju puncak dakwah dengan membawa beban jahiliyyah dirinya, itu hanya akan melambatkan lagi perjalanannya.

Rasa penat terubat sedikit apabila Alhamra’ mula kelihatan. Dari dahulu, aku berhajat untuk menjejakkan kaki ke sini bagi melihatnya dengan mataku sendiri sehingga aku membeli sebuah buku panduan khas yang menerangkan tentang selok-belok Alhamra’. Aku mahu menatap kalimah-kalimah Allah di dindingnya, aku mahu menyentuh tiang-tiangnya dengan tanganku sendiri. Aku ingin mengabadikan kenangan di sini.

Alhamra'
Alhamra’
tiket masuk Alhamra'
tiket masuk Alhamra’

Kalimah La Ghalib Illallah yang bermaksud Tiada penguasa selain Allah tertera di mana-mana sahaja dinding Alhamra’. Bagaimana khalifah dahulu merasakan kuasa yang lebih tinggi dari mereka adalah Yang Maha Berkuasa. Meletakkan kalimah itu di dinding untuk ingatan mereka sendiri agar mereka tidak menjadi hamba yang lupa diri. Kalimah ini menghidupkan iman khalifah dan seisi istana, Allahuakbar !

tiga bahagian utama Alhamra'
tiga bahagian utama Alhamra’
Alhamra' 1
Alhamra’ 1
Medina di Alhamra'
Medina di Alhamra’
buku yang aku gunakan sepanjang berjalan di dalam Alhamra'
buku yang aku gunakan sepanjang berjalan di dalam Alhamra’
Tiada Penguasa selain Allah !
Tiada Penguasa selain Allah !
Alhamra'
Alhamra’
lubang-lubang udara untuk memastikan pengaliran udara di Alhamra'
lubang-lubang udara untuk memastikan pengaliran udara di Alhamra’
Alhamra' 2
Alhamra’ 2
Alhamra' 3
Alhamra’ 3
Alhamra' 4
Alhamra’ 4
Alhamra' 5
Alhamra’ 5
Alhamra' 6 : General Life
Alhamra’ 6 : General Life
Alhamra' 7
Alhamra’ 7

Peringatan sebegini membuat aku menjadi syahdu seketika yang memikirkan keadaan manusia sekaraang, bahkan aku sendiri yang terkadang susah untuk menerima sebuah peringatan. Sama ada kita membiarkannya sahaja ataupun menolaknya. Apatah lagi jika perkara yang sentiasa diingatkan itu adalah perkara yang sama sampaikan kita merasa bosan.

Aku berfikir lagi.

Tidak bosankah orang Islam dahulu kala melihat kalimah yang serupa ini ?
Bagaimana hanya dengan kalimah pendek ini menjadikan mereka manusia yang menang ?

Sungguh bersih jiwa mereka menerima dan menghayati sebuah peringatan. Puas sungguh kami bergambar di sini tetapi masih tidak mampu mengalahkan lensa mata kurniaan Allah. Tinggalan Alhamra’ ini banyak memberi kesan pada hati kami semua. Tinggalan sejarah ini merupakan satu bukti yang menunjukkan mereka boleh.

Jika mereka boleh mengapa tidak kita ?
Mari kita mula untuk membangunkan Islam di dalam diri kita dahulu sebelum kita membangunkan Islam itu di dalam sebuah negara. Setelah penat menjelajahi Alhamra’, kami berjalan keluar meninggalkan perasaan sayu mula menyelubungi. Aku mendoakan agar setiap orang yang berkunjung ke sini mendapat pengajaran yang besar buat jiwa mereka. Kami meneruskan perjalanan menuju ke sebuah masjid di sana untuk menunaikan solat. Masjid tersebut terletak di Albaycin, sebuah perkampungan orang Moorish (orang Muslim di Sepanyol). Dari perkarangan masjid tersebut, Alhamra’ boleh dilihat dengan jelas dan tampak begitu indah. Merahnya Alhamra’ itu sungguh memukau ditambah pula dengan cahaya matahari petang yang bersinar.

Masjid Granada
Masjid Granada
dari perkarangan masjid, Alhamra' boleh dilihat dengan jelas
dari perkarangan masjid, Alhamra’ boleh dilihat dengan jelas

Sewaktu masuk ke dalam perkarangan masjid, kami bertemu dengan seorang wanita Muslim yang baru sahaja keluar dari masjid sambil mengendong anaknya. Dia bernama Aisha dan berasal dari United States. Dia tersangat mesra orangnya. Tanpa berlengah kami terus masuk ke dalam masjid untuk berwudhuk dan menunaikan solat.

Selepas solat, ada ukhti yang tertidur kerana terlalu keletihan dek perjalanan yang terlalu jauh pada hari ini. Setelah memberi peluang kepada mereka untuk berehat seketika, kami menuju pula ke Sacromonte yang juga sebuah perkampungan yang terkenal di Granada. Perkampungan tersebut dengan rumah di dalam gua dan tarian Flamenco. Namun begitu, untuk menuju ke sana juga jalannya mendaki bukit yang mengambil masa selama 20 minit berjalan kaki. Semuanya menolak untuk ke sana dan membuat keputusan untuk singgah makan di Plaza Nueva.

Kami pulang ke Plaza Nueva dengan menaiki bas. Setelah menjamu selera di sebuah restoran halal, kami singgah sebentar di sebuah kedai runcit untuk membeli sedikit makanan ringan untuk malam ini. Pada malam nanti, kami semua sudah membuat keputusan untuk duduk kumpul bersama-sama dan berkongsi rasa hati masing-masing.

Kami duduk berkumpul pada jam 8.00 malam. Seorang ukhti memulakan sesi malam itu dengan mentadabbur Al-Quran (aku sudah lupa surah mana) dan masing-masing berkongsi ayat yang paling menyentuh hati mereka. Pada mulanya, aku tidak mahu bercakap kerana aku begitu kering-kontang dan dahagakan pengisian. Aku begitu malas untuk berkongsi. Tetapi, mereka menunggu-nunggu untuk aku bercakap meskipun aku tahu mereka cukup mengantuk.

Aku mengajak mereka untuk sama-sama memanfaatkan saki-baki jaulah yang masih ada. Aspek persekitaran jaulah yang semenangnya membantu kami semua untuk lebih dekat kepada Allah. Aku mahu mereka merasai jaulah ini perasaan.  Menjadi orang yang baru dengan perasaan yang baru. Saat aku menulis ini, aku terkenangkan betapa gembiranya manusia-manusia yang bersabar. Dalam kita berhadapan atau berurusan dengan manusia, perasaan yang tidak elok akan selalu hadir dalam hati.

Apatah lagi, andai sesuatu hubungan itu berlandaskan Allah maka bertambah hebatlah ujiannya! Aku mengajak mereka untuk menjadi manusia yang lebih hebat dengan perasaan. Daie yang mantap jiwanya, yang tinggi semangat juangnya adalah seorang daie yang begitu sensitif jiwanya namun hatinya tidak mudah diusik dengan perasaan-perasaan yang buruk dan remeh.

Setelah selesai sesi sharing, aku dan rakan sebilik pulang ke bilik kerana esok merupakan giliran kami pula yang menyediakan sarapan dan makan malam. Kali ini, biar kami pula yang berkorban !

Sampai jam 3.00 pagi, barulah makanan siap dimasak. Aku menyimpan di dalam bekas makanan dan kemudian masuk tidur untuk sesi jaulah keesokan harinya pula.

*******

3 Februari 2014
Qarnatah (Granada)

Pagi ini kami merancang untuk pergi ke Sierra Nevada, pergunungan salji di Sepanyol dengan menaiki bas. Namun begitu, kami terlewat sampai dan sudahpun terlepas tiket bas jam 10.00 pagi. Maka, kami membuat keputusan untuk pergi ke sana pada sesi petang dan aku bersama seorang ukhti beratur untuk membeli tiket.

Namun begitu, tiket yang sudah dibeli tidak menepati pula masa kami. Malam nanti, kami akan ke destinasi terakhir di Sepanyol dengan menaiki keretapi selama lapan jam. Rancangan untuk ke Sierra Nevada  kami batalkan dan kami terus menuju ke Madrasah yang satu ketika dahulu milik kita. Madrasah ini terletak di jalan yang bernama Calle Oficios.

mimbar di dalam Madrasah
mimbar di dalam Madrasah
Madrasah 1
Madrasah 1

Ruang madrasah of Granada memaparkan tempat berwudhuk, surau untuk menunaikan solat dan ruang asrama.  Antara tokoh hebat yang pernah belajar di sekolah ini adalah Ibnu Al-Khatib yang berguru dengan Ibn Al-Fajjar, Ibn Marzuq, Ibnu Al-hayy (bahasa dan undang-undang), Ibn Al-Hakam dan Ibn Al-Yayyab serta Sheikh yahya ibn Hudayl (perubatan dan falsafah).

Madrasah ini mula dibina pada tahun 1349 oleh Sultan Yusuf I. Sekarang, bangunan ini menjadi sebahagian daripada bangunan Univercity of Granada. Kami singgah sebentar pulang ke hotel untuk bersolat sebelum menuju ke lokasi berikutnya. Kami meneruskan lagi perjalanan menuju ke sebuah taman yang percuma bayaran masuknya. Pada mulanya, kami tersalah naik bas dan menyebabkan kami harus berpatah semula ke tempat asal. Setelah ketua perjalanan di Granada meneliti dengan lebih teliti, akhirnya kami berjaya menaiki bas yang betul.

Petang itu, cuaca tidak begitu baik. Kami terpaksa menunggu di luar terlebih dahulu memandangkan taman tersebut mempunyai waktu melawat yang tertentu. Habis kami dibasahi hujan yang tidak begitu lebat. Sudahlah cuaca yang sejuk, ditambah pula dengan hujan yang membasahi bumi ketika itu. Tiada apa yang kami panjatkan melainkan doa dan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Apabila pintu taman sudah dibuka, kami masuk ke dalam dan hanya mengambil masa sejam untuk berjalan di kawasan taman yang dekat sahaja.

sekitar taman
sekitar taman
sekitar taman 2
sekitar taman 2
sekitar taman 3
sekitar taman 3
IMG_1710
aku di taman

Setelah itu, kami menaiki bas untuk pulang kembali ke Plaza Nueva dan mengambil beg bagasi bersama-sama kami dan makan malam di sebuah kedai makan yang menjual makanan halal. Kami menjamu selera hingga jam hampir menunjukkan 8 malam dan kemudian bertolak ke stesen keretapi.

Adios Granada.

*****

4 Februari 2014
Di dalam keretapi
Granada-Barcelona Sants
Koc 3, kerusi bernombor 08D

Selamat hari lahir umi !

Suhu di dalam keretapi begitu panas sehingga menyebabkan tidurku tidak berapa lena. Ya, kami berada di dalam keretapi  sepanjang malam. Kami bertolak pada jam 9.30 malam dan akan tiba keesokan harinya. Jam 6.00 pagi aku bangun dan pergi ke tandas untuk mengambil wudhuk. Aku menyalakan lampu kecil (yang hanya bernyala untuk tempat dudukku) untuk membaca Al-Quran.

Setelah tiba waktu Subuh, aku menunaikan Solat serta membaca Mathurat. Sepanjang perjalanan menuju ke sana, laluan yang kami lalui berada di tepian laut. Indah sungguh pemandangan melihat matahari terbit di laut begini.

Subhanallah ! Segala puji hanya bagi Allah.
Aku terkesima merenung luar ke tingkap dan kemudian mengeluarkan pen dan kertas untuk menyambung penulisanku. Tiba sahaja di Barcelona, kami meletakkan beg di dalam loker berbayar yang disediakan. Kami mencari tempat duduk untuk bersarapan terlebih dahulu sambil mendengar tazkirah pagi yang disampaikan oleh seorang ukhti. Berbekalkan nasi goreng dan sambal ikan bilis memang amat menyelerakan untuk kami yang kelaparan.

Destinasi pertama kami di Barcelona sudah tentulah Stadium Barcelona FC, sebuah pasukan bola sepak antarabangsa yang cukup terkenal. Namun, kami hanya melihat dari luar. Menangkap gambar dan terus menuju ke kedai khusus menjual barangan bertemakan pasukan bola sepak ini. Sama ada mahu atau tidak, aku sendiri harus juga ke kedai ini memandangkan dua orang adik lelakiku berhajatkan baju yang original milik pasukan ini.

hadapan Stadium Barcelona FC
hadapan Stadium Barcelona FC

Habis membeli belah, kami menuju pula ke sebuah taman yang cukup luas dan indah yang diberi nama Park Guell. Park Guell ini adalah taman yang terkenal kerana direka oleh seorang arkitek yang cukup terkenal bernama Antoni Gaudi. Taman ini mula dibina pada tahun 1900 hingga 1994 mempunyai keluasan 0.1718km2. Semasa berkunjung ke sana, kami juga terserempak dengan beberapa pemuzik jalanan yang mengalunkan muzik yang mengasyikkan.

Park Guell 1
Park Guell 1
Park Guell 2
Park Guell 2

Kami berhenti seketika untuk mengambil ibrah di taman ini.Untuk menuju ke taman ini, kami perlu mendaki bukit terlebih dahulu. Teknologi memudahkan segalanya. Eskalator disediakan untuk memudahkan orang ramai berkunjung ke sini. Aku mengambil eskalator itu sebagai ibrah. Dalam kesusahan pasti ada kemudahan, pasti ada rukhsah yang Allah berikan untuk kita mengharungi cabaran dalam kehidupan. Cuma kita mungkin kadang-kadang kita terlupa akan kemudahan yang Allah berikan kerana kita menganggap kemudahan itu hanyalah kecil sedangkan besar nilainya !

Rumah Antoni Gaudi di dalam Park Guell
Rumah Antoni Gaudi di dalam Park Guell

Setelah puas berjalan di sekitar taman, kami menuju pula ke sebuah gereja yang belum lagi siap sejak dimulakan pembinaannya pada tahun 1883 dulu. Gereja ini juga direka khas oleh Antoni Gaudi. Apabila beliau meninggal, di kala itu hanya 15 hingga 25 peratus gereja ini siap dibina. Bayaran masuk yang dikenakan digunakan untuk membiayai pembinaan gereja ini.

Gereja Sagrada Familia
Gereja Sagrada Familia

Mengenangkan bangunan yang belum siap ini, mengingatkan kami pada usaha dakwah seluruh dunia yang masih belum sampai kepada kemuncaknya. Suatu hari nanti, pasti inshaAllah ! Bangunan dakwah yang kita bina sememangnya mengambil masa yang lama, malah Rasulullah SAW sendiri tidak sempat melihatnya. Tetapi, Rasulullah SAW telah meninggalkan batu asas yang teramat kukuh untuk menuju kegemilangan ini.

Saya terfikir bagaimana ada orang masih lagi mahu meneruskan pembinaan gereja ini sedangnya pengasasnya telah lama pergi melainkan mereka amat menyanjungi Antoni Gaudi. Dan  kita juga memilih untuk menyanjungi seseorang yang lebih hebat iaitu Rasulullah SAW lalu memilih untuk melakukan kerja dakwah seperti Baginda !

Seterusnya, kami terus berjalan menuju ke kedai berhampiran untuk memberi cenderahati dan kemudian berhenti makan tengahari di sebuah kedai makan yang menyediakan nasi Paella (paelle bermaksud periuk). Nasi Paella ini menjadi menu wajib jika kita berkunjung ke sini. Bahan utama untuk menyediakan makanan ini adalah za’faran, sayur, minyak zaitun dan daging.

Jam sudah menunjukkan hampir jam 7 malam. Kami semua tidak mahu tertinggal untuk melihat Magic Fountain of Montjuic, terletak berhampiran Plaza d’Espanya, yang cukup popular. Air pancut ini mempunyai warna dan iramanya yang tersendiri. Kami terus menaiki metro untuk menuju ke sana. Ketua jaulah aku begitu laju menuju kea rah sana sehingga kami agak tertinggal di belakang. Rupa-rupanya, air pancut tersebut tidaklah buka setiap hari. Kami agak merasa agak hampa.

Kami terus berjalan menuju ke destinasi yang seterusnya. Sebuah menara yang agak unik kerana mempunyai cahaya yang cantik pada waktu malam bernama Torre Agbar. Menara ini direka oleh seorang arkitek Perancis yang bernama Jean Nouvel. Menara ini merupakan hak milik sebuah syarikat air Barcelona bernama Aigues de Barcelona.

Torre Agbar
Torre Agbar

Kami tidak sempat untuk berkunjung ke Monumen Columbus di tepi pantai kerana masa yang begitu mencemburui kami. Akhirnya, kami dibawa oleh ketua perjalanan Barcelona untuk membeli belah di tengah pusat bandar. Di ketika inilah aku mencari hadiah buat umi kerana tepat jatuh pada hari lahirnya. Puas juga aku mencari gaya beg yang sesuai dengan dirinya. Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya menjumpainya ! Aku juga berkesempatan menemani seorang ukhti yang ingin membeli sepasang kasut di sana, namun dia tidak membelinya kerana harga yang mahal.

Seterusnya, kami berjalan dengan pantas untuk kembali ke stesen keretapi dan mengeluarkan beg. Aku agak tertinggal di belakang kerana menemani seorang ukhti yang terseliuh kakinya. Aku meminta yang lain agar pergi dahulu untuk mengeluarkan beg kami berdua.

Tiket kami tidak diterima mesin !
Kami sudah lewat untuk menuju ke lapangan terbang dan keretapi terakhir yang beroperasi adalah pada jam 11.16 malam. Ada seorang pelajar lelaki (pelajar di sana) cuba untuk membantu kami. Katanya, tiket yang kami beli hanya boleh digunakan pada waktu siang. Kami meminta bantuan dari pegawai yang bertugas di situ lalu dia mengecop tiket kami dengan cop yang khas. Kami turun ke bawah dan berkejar untuk masuk ke dalam keretapi.

Aku dan dua orang lagi ukhti tertinggal di luar manakala yang lain sempat masuk ke dalam. Pintu sudah ditutup. Kami cemas. Bagaimana ingin ke lapangan terbang melainkan hanya menunggu keretapi api paling awal iaitu pagi esok ! Akhawat yang berada di dalam juga susah hati melihat kami yang di luar.

Keretapi mula bergerak.
Tiba-tiba, ada seorang lelaki Pakistan menegur kami ?
“ Why your friends inside the train ?”
“ We are going to the airport but we missed the train.”

“ No. this is the last station. The train is going to the parking right now.”

Ini bermakna, mereka yang perlu keluar. Jika tidak, tiada siapa yang akan perasan bahawa mereka sedang berada di dalam keretapi tersebut. Tanpa berlengah, ketua jaulah aku terus mengejar pegawai yang bertugas untuk menghentikan keretapi api tersebut dan membawa yang lain keluar.

Alhamdulillah, mereka berjaya keluar. Masing-masing ketawa sendiri mengenangkan apa yang telah terjadi. Kalaulah kesemuanya sekali masuk ke dalam keretapi itu tadi, alamatnya semua orang akan masuk parking.

“ Inilah yang Allah bagi pada kita. Setiap kesulitan ada kemudahannya.”

Kami menunggu keretapi yang sebenar (yang sepatutnya kami naiki) di platform sebelah. Ketika kami sedang tunggu di sana, aku perasan bahawa kami sedang diperhatikan. Namun, aku tidak mahu bersangka buruk. Mungkin benar pak cik itu sedang menunggu keretapi juga seperti kami.

Ketika sedang ingin menaiki keretapi, telefon bimbit ketua jaulahku hilang namun sempat seorang ukhti mengambil semula dari pakcik itu tadi. Pick pocket rupanya !

Kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai di lapangan terbang. Kami mengemas beg buat kali terakhir dan menyumbatkan segala barang agar muat kesemuanya. Sebelum tidur untuk seketika, kami bersolat terlebih dahulu dan menikmati bekal makanan malam yang telah dibeli sewaktu perjalanan tadi.

Adios Espana !

5 Februari 2014
LX 1951 BARCELONA-ZURICH (flight departs at 0625)
LX 236 ZURICH-CAIRO (flight departs at 0945)

******

5 Februari 2014
Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir

Kami sampai ke rumah kedua kami. Sesudah selesai urusan di imigresen, kami mengambil beg bagasi dan singgah sebentar di surau untuk menunaikan solat sebelum pulang ke rumah. Ketua jaulah meminta kami untuk berkumpul seketika untuk memberi khulasah (kesimpulan) dari jaulah ini.

Setelah selesai solat, kami membuka majlis. Masing-masing memohon maaf  antara satu sama lain dan menyatakan rasa hati sepanjang berada di dalam jaulah ini. Sayu sungguh untuk berpisah begini meskipun kami belajar di tempat yang sama. Ada yang sudah menitikkan air mata dan merasa sebak.

Agaknya, ruh jaulah ini betul-betul menyerap ke dalam diri kami !
Aku tidak bercakap banyak. Aku menyatakan rasa syukur kerana berjaya mengaplikasikan tarbiyyah ketika jaulah yang mana telah aku belajar melalui kesilapanku sendiri dalam jaulah sebelum ini. Aku juga meminta maaf andai ketika menjadi ketua perjalanan untuk Seville, tidak banyak yang aku ceritakan.

Moga-moga ukhuwwah antara kami berkekalan sampai bila-bila. Dan memori inilah menjadi pengubat untuk terus kekal berada dalam jalan dakwah ini hingga akhirnya !

Kami menutup majlis dengan bacaan doa rabithah seorang ukhti dan bersalam-salaman sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Sekian untuk jaulah musim sejuk kali ini,
mylittlepencil

6 thoughts on “Travelog Sepanyol : pada qasr tarbiyyah

  1. Assalammualaikum saya fadzillah abdullah subor dari grup penjejak tamadun dunia..inshaallah sy akan ke spain untuk jejak sejarah islam di sana…sy sedang menyaipkan beberapa info…saya ade beberapa soalan nak tanya saudari..boleh contact sy melalui email?ni email sy fadzgreen@gmail.com..terima kasih :).. semoga Allah redha..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s