surat dari Ramadhan

Ke hadapan dirimu,

Saat ahli falak melihat anak bulanku, lalu aku datang berjumpa dengan sekalian mukmin yang diizinkan-Nya. Ada golongan kamu yang tidak sempat berjumpa denganku ataupun  hanya sempat bersamaku seketika. Ku harapkan mereka ini pergi pada waktu dan keadaan yang terbaik, inshaAllah.

4994showing

Padaku, banyak kelebihan yang diketahui para mukmin. Setiap saat di dalamku tidak wajar untuk dibazirkan begitu sahaja kerana pahala setiap kebaikan itu digandakan dengan berkali-kali gandanya.

Aku tidak tahu kategori nasibku. Apakah bahagia atau malang?
Apakah aku benar-benar berjasa kepada kumpulan makhluk yang bernama manusia?

Aku melihat pelbagai jenis kamu menyambut kedatanganku. Ada yang menyambut bahagia kerana mereka ini merindui kedatangan mereka 6 bulan yang lalu. Ada yang menyambut hanya sambil lalu kerana kedatanganku hanya rutin dalam kalendar Islam.

Aku menangis tatkala ada manusia yang merungut dengan kedatanganku kerana bagi mereka, aku ini hanya memenatkan mereka!

Jangka hidupku pendek. Pejam celik pejam celik, kamu semua pasti tidak sedar hari-hari yang telah dilalui bersamaku terlalu singkat. Masaku sama sahaja  (30 hari) bagi semua manusia yang diizinkan oleh Tuhanku namun natijah kamu yang lahir selepas bersamaku berbeza-beza!

Aku bahagia melihat kamu yang berjaya memanfaatkan ku dengan sebaiknya.
Sebaliknya, aku kasihan bagi mereka yang hanya sama sahaja (di takuk lama). Tiada kemenangan bagi mereka.

Saat puasa diperintahkan oleh Allah tanggal 10 Syaaban tahun ke-2 hijrah, aku membawa bersamaku satu amanah yang cukup berat iaitu taqwa. Barangsiapa yang berpuasa, mereka akan menjadi orang-orang yang bertaqwa.

Telahanku, kamu silap. Puasa bukanlah sekadar satu syarat untuk menjadikan seorang manusia itu bertaqwa namun lebih dari itu. Ayat-ayat di dalam kitabullah tidak sunyi dari berbincang hal taqwa yang ternyata begitu banyak ciri-ciri orang yang bertaqwa.

Sesetengah kamu mengambil jalan mudah hanya menggunakan puasa yang berada bersamaku untuk menjadi manusia yang bertaqwa, dan akhirnya mereka ini menjadi hamba kepadaku, bukan lagi kepada Tuhanku.

Aku mahu menceritakan bahawa sesungguhnya kamu semua harus menggunakanku sebaiknya. Kamu harus mengajar diri mereka untuk memberi erti tentangku yang cukup mendalam dalam hidup. Aku mahu kamu membayangkan syurga dan itu yang akan menguatkanmu untuk berhempas pulas beramal kerananya.

Aku mahu kamu bangun pagi bukan sekadar untuk menjamah sedikit makanan (sahur), tetapi aku mahu pagiku itu diisi dengan munajat meminta keampunan, air mata yang membasahi pipi meminta untuk menjadi hamba yang diredhai serta sujud-sujud tanda tunduk dan menyerah diri kepada Tuhanku.

Seterusnya, kamu meneruskan sepanjang hari bersamaku dengan menahan segala nafsu, bukanlah sekadar terbatas pada nafsu minum dan makan. Aku mahu kamu menjaga keseluruhan anggota kerana Tuhanku telah berfirman di dalam KitabNya bahawa setiap dari anggota tubuh badan manusia itu akan menjadi saksi pada setiap amal yang dikerjakan.

Wahai manusia, sedarlah!

Bukan sekadar itu, aku mahu hari-hariku dilalui dengan hubungan yang baik sesama kamu. Aku tidak mahu kamu hanya berkelakuan baik dengan Tuhanku, tetapi tidak menunaikan hak-hak orang di sekeliling!

Aku mahu melihat akhlak kamu itu saling menghormati, saling membantu, saling meringankan beban dan saling mengingatkan antara satu sama lain. Aku mahu kedatanganku ini menjadi asbab untuk memperkuat silaturahim sesama kamu, malah satu ummat ini!

Aku mahu kamu mengingati umat Islam yang berada jauh. Aku mahu kamu mengingati orang yang sering memerlukan agar kamu mengerti bahawa pada harta  ada hak-hak manusia lain selain dirimu sendiri. Kerana itulah, zakat fitrah datang bersamaku.

Zakat fitrah, sahabat baikku ini juga wajib ke atas manusia yang mampu untuk membayarnya. Kadar bayaran yang telah ditetapkan bukanlah ibarat kita membayar untuk membeli sesuatu, tetapi untuk mendapatkan sesuatu. Andai mereka siddiq (benar) dalam membayar zakat fitrah, harta mereka sekaligus telah dibersihkan oleh Allah kerana mereka ini golongan yang telah merelakan hak mereka.

Aku mahu kamu menghiasi malam-malamku dengan solat sunat tarawih. Aku tidak kisah sama ada jika kamu ingin melakukannya sebanyak 8 atau 20 rakaat kerana itu tergantung pada daya masing-masing. Aku tidak pernah niat untuk memaksa. Juga aku tidak kisah kamu ingin melakukannya sendirian di rumah atau secara berjemaah.

Cuma aku mahu memberitahu kamu, bahawa bertarawihlah meskipun solat ini bukanlah wajib. Kamu tidak akan bertemu tarawih dengan yang sahabatku yang lain seperti Muharram, Safar, Rejab, Syaaban dan lain-lain. Solat sunat tarawih inilah antara tarikan ‘diri’ku. (ternyata aku bertuah!)

Aku tidak sanggup untuk melihat golongan yang kalah/merugi kerana aku ini ibarat bonus dalam pekerjaan  kamu sebagai hamba dan khalifah atas muka bumi. Sayangnya bagi kamu yang tidak ternanti-nanti untuk bersama denganku.

Kini usiaku telah mencapai 1435 tahun lamanya. Dalam diari hidupku, aku telah melihat manusia yang berbeza-beza merentasi zaman. Mari aku ceritakan kepadamu tentangku berada dalam zaman seorang nabi mulia, Muhammad SAW bersama sahabatnya  menjadikan aku amat bangga berada bersama mereka.

Mereka ini generasi Al-Quran yang unik. Mereka malah bersiap sedia berbulan-bulan sebelumnya untuk bertemuku. Kedatanganku disambut dengan riang dan senyuman sambil mereka berkata, “ Ahlan ya Ramadhan!”. Mereka menantiku ibarat menanti kedatangan kekasih mereka!

Malah, aku ingat lagi salah satu saat manisku bersama dengan mereka. Peperangan pertama dalam sejarah umat Islam itu masih lekat diingatanku. Aku menyaksikan kemenangan agung seramai 313 orang muslimin melawan 1000 anggota tentera musyrikin. Mereka berperang ketika itu demi menegakkan nama dan mengejar redha Tuhanku.

Tidak hairanlah Tuhanku menghantar bantuan kepada mereka dengan diturunkan 3000 malaikat menunjukkan betapa Tuhanku ini belas kasihan kepada mereka pejuang-pejuang agama Tuhanku.

Pada tahun ke-6 Hijrah, sekali lagi aku merayakan kemenangan bersama mereka saat kota yang telah lama mereka dirindui itu mereka masuk tanpa ada rasa takut. Berhala-berhala di sekitar Mekah dimusnahkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat sendiri.

Azan dilaungkan oleh Bilal bin Rabah yang mulia. Kesemua musyrikin Mekah yang ketika itu ketakutan masuk ke dalam rumah masing-masing. Sangka mereka akan dibunuh, bahkan pengampunan yang diberi kepada mereka oleh Sang Nabi yang mulia. Allahuakbar !

Zaman demi zaman aku lalui bersama umat manusia. Tanggal 92 Hijrah aku bersama dengan seorang panglima perang yang hebat. Tariq bin Ziyad namanya. Beliau dihantar oleh Musa bin Nusair untuk menawan kota Andalus (Spain).

“ Selamat tinggal sahabat-sahabatku. Teruslah berjihad di jalan Allah. Sebarkan Islam ke seluruh dunia.” kata Tariq lalu disambut oleh Musa bin Nusair,

“Selamat jalan panglima yang berjasa. Semoga Tuhan mempertemukan kita semula. Sekiranya tidak di dunia, kita pasti bertemu di akhirat.”

Aku masih ingat bagaimana Tariq bin Ziyad memilih tenteranya.

“ Saya mahu memilih yang terbaik antara kamu. Mereka yang bangun sembahyang tahajjud malam tadi diminta berdiri. Merekalah yang saya pilih  bagi bersama saya ke kampung Maktum. Tentera yang terbaik, pasti peroleh pertolongan daripada yang Maha Berkuasa.”

Aku juga teringat bagaimana Tariq bin Ziyad membakar kapal-kapal milik tenteranya untuk meningkatkan semangat tenteranya ketika itu.

“Wahai saudara-saudaraku, di belakang kita laut, dihadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini bagi syahid ataupun mencapai kemenangan. Dan kita tidak akan pulang sebelum mencapai matlamat itu!”

*sedikit kecewa kerana saya tidak sempat ke Jabal Tariq (Gibraltar)

Bertuah sungguh diriku dapat berjumpa dengannya…

Hariku yang ke-25(Jumaat) tahun 658 Hijrah (1260 M) aku menyaksikan kebangkitan umat Islam membuat serangan balas ke atas tentera musuh yang telah membunuh sejuta manusia negara yang mereka takluki. Kali ini aku berjumpa sekali lagi dengan insan hebat bernama Saifudin Qutuz bersama tenteranya bertempur di Ain Jalut.

“Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temanku aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin akan dicabuli akan ditanggung orang yang tidak turut berjihad.”

Dalam pertempuran ini, umat Islam beroleh kemenangan! 10 bulan sahaja sudah cukup bagi beliau untuk menjatuhkan Tartar yang bermaharajalela di bumi Islam selama lebih 40 tahun.

Aku berharap agar dapat berjumpa lagi pahlawan hebat persis Saifudin dan tenteranya. Ameen!

*****

Zaman demi zaman berlalu.

Kini, aku sedih. Generasi kini tidak lagi seperti dahulu. Kamu kini malah tidak lagi segan untuk bermaksiat di dalamku. Kalau dahulu, sekurang-kurangnya aku dihormati.

Ada dalam kalangan kamu yang memakai hijab semata menyambut kedatanganku. Bilangan kamu yang datang ke masjid juga bertambah dek keranaku. Malah, amalan sedekah juga diperbanyakkan ketika ini. Kamu berlumba-lumba keranaku.

Aku gembira tetapi dalam masa yang sama aku juga sedih. Aku takut kamu hanya tergoda dengan balasan yang bakal diperoleh tetapi  terlampau jauh lagi dari apa yang sebenarnya ada pada ‘pati’ku. Kehadiranku barangkali hanya berjaya membasahkan kamu selama 30 hari semata.

Sedangkan padaku ada bekal untuk kamu bertahan sampai ketemu lagi kita di lain masa andai kita diberi peluang.

Anggaplah  ini pertemuan terakhirku dengan kamu semua. Malam Al-Qadr yang wujud dalam salah satu malamku itu patut diburui kerana itu yang akan memanjangkan umur amalmu selama 83 tahun lamanya.

Aku menunggu kiriman surat balasan darimu.

Sekian sahaja dariku,
Ramadhan 1435H.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s