Travelog Paris : Pada menara dakwah

24 Januari 2014
Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir.

jaulah KAMI
jaulah KAMI

Tepat jam 11.00 pagi, aku tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Ya, pagi ini aku akan terbang menuju ke sebuah negara untuk menikmati keindahan sebuah tarbiyyah. Ramai orang di sini tetapi tidaklah hingar-bingar. Fikirku, semua sedang menunggu dan ternanti-nanti akan pemandangan di tempat yang bakal mereka tuju. Ataupun sedih untuk meninggalkan bumi Mesir ini.

Untuk aku, pelbagai perkara di dalam minda meskipun semalam ketika mengemas segala persiapan untuk berjaulah, hati dan akal masih lagi terkejut. Mendapat taklifat sebagai bendahari jaulah menjadikan aku lebih bersemangat walaupun aku agak merasa terbeban sedikit pada awalnya. Jika aku tidak berjaya memegang amanah dengan baik, aku akan menzalimi kesemua ahli jaulahku dan aku tidak boleh lagi dipercayai oleh sesiapapun !

Aku takut akan hukuman manusia.
Apatah lagi hukuman Allah yang lebih seksa azabnya.

Aku duduk sambil berbalas-balas mesej Whatsapp dengan umi tercinta. Katanya, jangan lupa akan hadiah istimewa untuk hari lahirnya pada 4 Februari nanti. Apabila aku bertanya kepadanya apa yang dimahunya, pantas umi menjawab, “ Beg tangan .”

Aku tersenyum melihat keletahnya walaupun tidak nampak di mata. Hanya dengan membayangkan senyuman dan kegembiraannya jika aku berjaya menunaikan kehendaknya membuat aku bahagia.

Alangkah bahagianya hidup ini dengan memberi.
Alangkah bahagianya hidup ini apabila dapat membahagiakan orang yang disayangi.

Setelah berbalas-balas mesej dengannya, aku mengatakan kepadanya untuk menyelesaikan mutabaah amal pada hari itu. Taklifanku untuk membaca juzuk 8 (ODOJ) masih lagi belum tamat. Al-Kahfi yang biasa aku lazimi juga masih belum aku baca. Aku membaca Al-Quran sehinggalah kesemua ahli jaulah aku tiba.

-Sebelum check-in –

Ketua jaulah mengajak kami berkumpul untuk sesi set kompas. Kami diberikan satu buku kecil untuk mmbuat catatan terindah (yang mana aku sedang menggunakannya sekarang), satu teks tazkirah tentang tokoh-tokoh Islam dan Winter Kit dari naqibah masing-masing.

Ketua jaulah aku mengingatkan bahawa jaulah adalah tempat untuk kita mempraktikkan segala teori yang telah kita pelajari. Betapa juga niat adalah teramat penting kerana jaulah ini ‘hidup’ kerana niat. Niat kerana Allah akan menjadikan apa jua yang datang dan menimpa sepanjang jaulah ini nanti adalah semata untuk meningkatkan iman kami semua.

Kata ketua jaulahku, “ Kita bukan pelancong. Kita adalah pengembara.”

Pengembara itu bukan hanya berjalan, tetapi dia belajar dari perjalannya. Pengembara bukan hanya penat berjalan, tetapi dia lelah kerana mecari setiap inci pengajaran dari perjalanannya.Teringat aku pada Ibnu Battuta. Katanya, “ Travelling it leaves you speechless, the turns you into a storyteller.” Buku yang paling popular dikarang oleh Ibnu Battuta bertajuk Rihla yang bermaksud Perjalanan.

Sementara menunggu panggilan untuk masuk ke pintu masuk, aku menghabiskan bacaan Al-Quran yang masih berbaki. Setelah itu, aku memasang niat.

Begitu banyak dan pelbagai jenis niat.
Aku harap kesemuanya tercapai.
Biiznilah.

Bismillahirrahmanirrahim.
LX 237 1540 (Cairo-Zurich)

*********

IMG_1039

8.27 pm
Zurich International Airport

Flight delay.
Itu yang tertera pada skrin untuk penerbangan kami yang seterusnya. Zurich, Switzerland hanyalah tempat untuk kami transit selama satu jam di sini.

Kami mengambil masa seketika untuk berehat dan pergi ke tandas. Kawasan lapangan terbang yang sememangnya bagus dalam jaringan internet membuatkan semua orang terdiam seketika menatap telefon pintar dan tablet masing-masing.

Tiba-tiba seorang ukthti berkata, “ Bila semua orang dapat internet…….”

Sungguh, tamparan hebat buat aku ketika itu. Teringat satu petikan kata oleh Albert Einstein : Jelas menjadi menggemparkan bahawa teknologi telah melampaui kemanusiaan kita.

Aku tutup internet dan tablet untuk lebih fokus pada jaulah kali ini.  Fokus kepada niat dan hadaf. Fokus terhadap tugasan yang telah tersedia untuk dijalankan. Kesempatan ini aku ambil untuk membaca tazkirah tentang seorang tokoh yang hebat ketika zaman Bani Umaiyyah dahulu.

Kata Muhammad bin Ali bin Al-Husain : “Apakah engkau tahu, setiap kaum itu ada seorang cendekiawan dan cendekiawan Bani Umaiyyah adalah Umar bin Abdul Aziz. Dia akan dibangkitkan di hari kiamat kelak sebagai satu ummah.”

Datuknya adalah tokoh sanjungan hatiku, khalifah Ummar Al-Khattab. Bacaanku tentang kisah Umar Abdul Aziz mengingatkan aku pada seorang pemimpin di Mesir.

Umar menoleh kepada ketua polis seraya berkata : “ Kamu tidak perlu mengingati saya. Saya hanya orang Islam biasa. Saya datang dan pergi seperti kamu. ”

Doktor Mursi juga begitu. Kini satu dunia mengenalinya. Tidak kiralah sama ada dengan pandangan yang positif atau negatif, pastinya satu dunia kini sedang mengkaji akan dirinya. Segala berita yang berkaitan dirinya dibaca dan diambil tahu. Aku yakin lambat laun mereka akan mengetahui tentang kebenaran insan yang hebat ini.

Sambil aku membaca, aku menyapa seorang wanita di sebelahku. Kebetulan pula, destinasi kami sama. Cuma berbeza tujuannya. Dia mengatakan kepadaku destinasinya ke sana adalah untuk melawat teman lelakinya di sana. Aku tidak bertanya banyak. Dia kini seorang pelajar yang sedang menghabiskan PhD di dalam bidang alam sekitar.

“ Where are you from ?” tanya dia kepadaku.
Aku menjawab, “ Malaysia.”

“ I don’t know about this country.” Aku terkejut bila mendengar responnya. Aku mengulang-ngulang nama negaraku banyak kali. Dan akhirnya dia tersenyum.

“ Oh yeah..i know Malaysia. I have some friends who did some research about environment in Malaysia.”

Perbualan kami berakhir.
Dan perjalanan kami diteruskan lagi.

Bismillahirrahmanirrahim.
LX 646 (Zurich-Paris CDG (Charles De Gaulle))
9.45 malam

******

25 Januari 2014
Aeroport Paris Charles de Gaulle

Alhamdulillah kami selamat tiba di Paris. Kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap ahli jaulah masing-masing.Belum lagi keluar menjelajah kota Paris, telah banyak gambar yang kami tangkap walaupun masih berada di dalam lapangan terbang. Kami tiba lewat malam dan terus menuju ke tandas untuk mengambil wudhuk.

“ May Allah protect all of you.”

Inilah kata-kata terakhir sebelum dia pergi. Kata-katanya yang amat membekas pada jiwa aku ketika aku sedang ingin mengambil beg bagasi. Namanya Rahmah. Dia berasal dari Turki yang juga mempunyai kewarganegaraan Perancis. Aku bertanya kepadanya samada ada atau tidak mana-mana tempat solat yang disediakan  untuk kami menunaikan solat. Meskipun aku dapat mengagak jawapannya, tetapi ingin juga aku bertanya sebagai wasilah usaha untuk menunaikan kewajipan agama.

Jawabnya, “ No. There is no place for pray. Just pray anywhere you feel safe. ”

Kami menunaikan solat di tempat yang agak terlindung kerana agama Islam tidaklah diterima berapa baik di negara ini. Maka, ketentuan Allah untuk kami tiba lewat malam di sini adalah yang terbaik.

Inilah tarbiyyah berada di negara bukan Islam. Kita harus bersiap-sedia dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi. Keasingan (ghuraba’) sememangnya amat terasa dan terserlah. Pakaian dan perbuatan kita segalanya diperhatikan. Di ketika ini, rasa izzah terhadap agama Islam akan terbina dan diuji. Mujur Allah mendatangkan kepada kami ingatan melalui seorang ukhti. Dia mengajak kami untuk mentadabbur ayat kedua di dalam surah Al-Hijr yang bermaksud,

“ Orang kafir itu kadang-kadang (nanti di akhirat) menginginkan, sekiranya mereka dahulu (di dunia) menjadi orang muslim.”

Merasai menjadi seorang Muslim itu istimewa memerlukan pendidikan hati dan jiwa yang berterusan. Dunia kini yang semakin moden menjadikan agama kita ini tampak ketinggalan zaman sedangkan Allah telah menciptakannya dengan sifat sempurna selama mana selagi akhirat itu belum tiba.

Arakiannya, begitu banyak jenis penganut agama ini. Ada yang hanya menggunakan agama ini dengan terlampau ekstrem sehingga manusia di sekeliling takut padanya. Ada juga manusia yang terlampau ambil mudah sehingga mudah sekali untuk digoyahkan prinsip dan keyakinan dirinya. Ada juga manusia yang hanya mengaku Islam tetapi amal tidak menyerupai amal seorang Muslim.

Agama Islam adalah agama yang agama yang paling syumul dan praktikal.  Mana mungkin Allah menciptakan satu manhaj atau cara hidup yang akan membebankan hamba-hambaNya melainkan hamba-hambaNya itu merasakan agama ini adalah satu bebanan. Islam adalah agama fitrah yang sememangnya sesuai dengan jiwa sekalian manusia sepertimana seorang manusia yang sibuk dan bosan dengan kehidupan di kota yang akhirnya kembali kepada alam untuk menenangkan dirinya.

Kita lihat perjalanan pelbagai fahaman di dunia ini yang akhirnya membawa kepada kerosakan. Walaupun kemenangan dicapai dan ramai manusia yang tertarik akan fahaman-fahaman tersebut, namun akhirnya fahaman itu tidak akan kekal dan kemudian manusia-manusia itu tadi berpaling kepada  fahaman yang lain pula.

Saat aku sedang menulis ini, ada dalam kalangan ahli jaulah yang sedang tidur. Tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang sedang membaca Al-Quran (menghabiskan ODOJ masing-masing).

Saat ini aku masih lagi terus menulis untuk menghilangkan rasa letih. Aku tidak mahu tertinggal walau sedikit saat-saat manis berada di dalam jaulah ini.

Jam 4.00 pagi kesemua ahli jaulah telah pun bangun dari tidur dan bersiap sedia. Sebelum kami bertolak, ketua jaulah menaklifkan kepadaku untuk memberi kata-kata pembuka sebelum meneruskan perjalanan pada hari baru. Aku mengingatkan bahawa diriku sendiri dan teman jaulah akan betapa pentingnya untuk mensyukuri nikmat berjaulah ini. Setiap langkah kaki yang diizinkan oleh Allah untuk menapaki setiap langkah di atas muka bumi Paris ini adalah kurniaan Allah semata. Andaikata sebarang musibah melanda atau kesulitan melanda, aku mengingatkan agar kami semua ingat akan urusan orang lain yang mungkin lebih sulit dari urusan kami. Mutabaah amal juga jangan dilupakan meskipun fizikal akan menjadi amat penat sepanjang tempoh jaulah ini. Tazkirah aku diakhiri dengan bacaan doa rabithah dan doa naik kenderaan.

Sesampainya kami di kawasan kaunter tiket, kami melihat kaunter tiket masih lagi tutup. Sangkaan kami, kaunter tiket akan dibuka awal. Kami duduk terlebih dahulu menunggu. Setelah menunggu hampi sejam lebih, tiket dibeli dan kami terus menaiki keretapi menuju ke Chatelet Les Halles untuk menaiki keretapi yang lain pula menuju ke Gare de Lyon.

Setibanya di Gare de Lyon, kami bergegas mencari kawasan lapang yang agak tertutup untuk menunaikan solat Subuh berjemaah dan bersarapan  di sana. Ketika aku dan seorang ukhti sedang mengambil wudhuk, kami dimarahi kerana telah membasahkan lantai dek kerana air wudhuk kami yang jatuh menitis ke lantai. Kami terdiam seketika. Salah kami juga kerana tidak ambil berat tentang hal itu. Sudahlah, lelaki dan perempuan bercampur di dalam satu tandas, kami dikejutkan lagi dengan kemarahan mak cik penjaga tandas tadi yang memarahi kami dalam Bahasa Perancis. Aku dan ukhti tersebut meneruskan sahaja untuk mengambil wudhuk. Jauh sekali untuk kami merasa marah dan menarik muka. Kami membiarkannya sahaja.

Setelah selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, kami bersarapan bersama-sama. Menikmati juadah bersama-sama mengeratkan lagi hubungan antara kami. Berkongsi lauk yang sederhana dalam kuantitinya itu membuatkan hati aku sedikit syahdu. Syahdu dengan ukhuwwah yang aku jalinkan dengan mereka. Ukhuwwah yang mengajar kami semua untuk tidak mementingkan diri sendiri dan lebih mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri. Selesai makan, kami bergegar menuju platform untuk menaiki keretapi ke destinasi seterusnya.

Bon voyage  seketika kota Paris.
Di sana, ada nikmat besar yang sedang menanti kami di sana. Pastinya, tidak rugi kami ke sana.
Paris Gare de Lyon-Besancon Viotte Centre Ville
8.53-11.23 pagi

******

Besancon Viotte Centre Ville-Beyt Rijal Ghuraba’

IMG_1075

Kami selamat tiba di Besancon pada jam 11.23 pagi. Kami ingin berjumpa dengan permata-permata dakwah di sini. Aku menghantar mesej kepada seorang ukhti untuk memberitahu bahawa kami telah tiba di sini. Dia meminta kami untuk menunggu sehingga jam 12.30 tengahari kerana dia juga sedang menuju ke tempat itu dengan membawa seorang lagi ukhti yang lain.

Setelah dia sampai, kami terus bersalaman dan berangkat ke rumah beliau dengan menaiki bas. Namun begitu, kami tidak dapat masuk ke rumahnya kerana berlaku sedikit masalah. Ukhti tersebut membuat keputusan untuk membawa kami menikmati makan tengahari di sebuah restoran halal yang terdapat di sekitar tempat tinggalnya. Setelah memesan makanan dengan agak pening melihat menu dalam bahasa Perancis, kami mulakan sesi taaruf. Sungguh, aku paling menyukai sesi ini !

Taarur bagi aku adalah nyawa di dalam sebuah ukhuwwah. Tanpa taaruf, kita tidak akan berjaya mengenali akhawat kita dengan sebaik mungkin. Tanpa mengenali seorang ukhti dari setiap sudut dirinya, kita tidak akan mampu untuk memperbaiki ukhuwwah menjadi ukhuwwah yang lebih baik. Taaruf secara terus mahupun tidak, itu adalah nikmat termulia buat jiwa-jiwa hamba yang beriman.

Semalam, aku ada membaca sebuah buku sepanjang perjalanan menuju ke Besancon. Tajuk buku ini adalah Jalan Cinta Para Pejuang yang ditulis oleh Salim A. Fillah. Salah satu topik di dalam buku ini membicarakan tentang cinta. Robert J Sternberg memperkenalkan sebuah teori tentang cinta yang bernama A Triangular Theory of Love. Segitiga itu mengandungi tiga komponen utama iaitu :

Keintiman (intimacy)
Ghairah (passion)
Komitmen (commitment)

Ukhuwwah adalah sebuah hubungan akrab yang penuh dengan dengan komitmen. Di dalam bahasa Arab, persahabatan kita sebut sebagai khullah yang membawa makna kasih sepertimana Allah menamakan Nabi Ibrahim A.S sebagai khalilullah. Mana mungkin sebuah hubungan yang akrab tidak dilanda ujian. Love is a sweet torment.

Sepanjang saya berada di dalam jalan dakwah dan tarbiyyah, di sinilah saya banyak memaknai apa itu ukhuwwah yang sebenar. Ukhuwwah itu adalah satu perasaan dalam hati yang mana setiap orang yang berukhuwwah perlu menyucikan niatnya dalam berukhuwwah dan berterusan menjaga ukhuwwah serta memastikan iman itulah yang menjadi obor nyalaan kepada sebuah ukhuwwah.

Ukhuwwah inilah menjadikan saya sentiasa teringat kepada murabbi-murabbi, rakan seurah, akhawat-akhawat, anak-anak usrah dan semua yang saya kenal. Aku rindu pada mereka semua !

Setelah siap makan, kami menziarahi sebuah lagi rumah akhawat yang bernama Muawiyah. Sampai sahaja di sana, kami terpegun melihat keadaan rumahnya. Begitu kemas !

Sungguh, inilah qudwah terbaik buat seorang Muslim terhadap orang lain sama ada sesama Muslim atau orang yang bukan seaqidah dengannya. Malu sendiri apabila terkenangkan keadaan rumah sendiri di bumi Mesir sana. Katanya orang dakwah, tetapi aplikasi amal yang tidak sama aplitudenya dengan percakapan yang tanpa henti. Jujurnya bagi saya sendiri, hal-hal kecil seperti inilah yang menjadi kelemahan kita semua yang akhirnya menjadikan kita hilang common sense dan kita pun lupa untuk mengambil berat tentangnya.

Sibuk dengan kerja dakwah bukanlah satu alasan. Apatah lagi kemalasan tidak langsung boleh diterima. Akhlak kita adalah penyumbang terbesar dalam orang ramai menerima dakwah kita.

Apakah orang akan menerima dakwah kita tatkala melihat akhlak kita yang buruk ?

Setelah menunaikan solat jama’ taqdim Zohor dan Asar serta menjamu keenakan buah oren, kami pun pulang semula ke rumah ukhti yang menjemput kami tadi.  Sampai di sana, aku terus mencari katil dan tertidur. Penat yang teramat sangat. Bangkit sahaja dari tidur, aku malu sendiri. Terus aku mengambil wudhuk dan menunaikan solat. Kemudian mandi untuk menyegarkan diri kerana ada tetamu dari negara lain yang juga bakal tiba di sini.

Allah, indah sungguh pertemuan di dalam jalan dakwah. Sekali berjumpa, terus menjadi mesra. Meskipun masing-masing tidak lagi mengenali sedalam-dalamnya, tetapi ada satu perkara yang pasti akan kami bualkan dalam satu frekuensi yang sama, dakwah dan tarbiyyah di tempat masing-masing !

Setelah makan malam bersama-sama, kami mengadakan satu sesi taaruf tiga negara (Jordan-Mesir-Perancis) yang lebih formal. Ibarat kata seorang ukhti yang mengendalikan majlis tersebut, “ Inilah jiran-jiran kita nanti di taman syurga !”

Allahuakbar, indahnya !

Kami diminta untuk masuk tidur lebih awal untuk bangun qiam pada keesokan harinya. Moga tenaga yang kami jana sewaktu tidur nanti adalah tenaga yang akan memuntinjkan untuk segala aktiviti kami pada keesokan harinya. Sebelum aku masuk tidur, aku menyiapkan dahulu bacaan ODOJ yang masih berbaki bersama dua orang ukhti untuk menyemak bacaan tajwid masing-masing.

Setelah itu, aku berwhatsapp dengan seorang ukhti untuk meluahkan sedikit rasa terkilan di hati. Biarlah apa yang terjadi itu menjadi rahsia. Cuma aku tertarik untuk berkongsi dengan kamu semua nasihat yang dia berikan padaku. Nasihatnya berbunyi, “ walirabbika fasbir.”

Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah !

Selamat malam.

******

26 Januari 2014
Besancon (Beyt Rijal Ghuraba’)

Pagi itu dimulakan ibadah. Hidup. Walaupun kepenatan semuanya dengan jaulah, tetapi tidak lemah semangat dan tidak beralasan untuk terus beribadah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah. Setelah selesai solat Subuh dan membaca Mathurat secara berjemaaah, kami menyiapkan diri dan bersarapan bersama-sama. Pagi itu dimulakan sesi tazkirah Umar Abdul Aziz dan anaknya Abdul Malik. Ya, hari ini giliran aku untuk menyampaikannya !

Kisahnya begitu terkesan pada hidupku. Kisah Umar Abdul Aziz mentarbiyyah anaknya untuk menjadi pembela agama sepertinya menjadi inspirasi aku sehingga kini untuk aku terus bersemangat dalam urusan membina manusia. Dalam satu kisah, Abdul Malik mengingatkan ayahnya untuk tidak berehat dan betapa Umar Abdul Aziz seronok menerima ingatan tersebut dari anaknya.

“ Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan daripada sulbi ayah seorang anak yang mampu membantu agama ayah.”

Inilah kata-kata dari seorang ayah kepada anaknya. Serta merta aku teringat kepada ayahku dan ayah-ayah kepada akhawat yang lain. Betapa beruntung kita yang beramal dengan jalan dakwah ini kerana amalan seorang anak soleh itu menjadi bekal buat mereka di alam kubur nanti. Alangkah indahnya jika ayah dan ibu bapa kita pergi di saat kita sedang berada di kemuncak kerja dakwah.

Serta merta juga aku teringat kepada ayahku. Dia yang pada mulanya agak sukar menerima keberadaan aku dan kesibukan yang melanda diriku di dalam jalan dakwah. Tetapi sekarang, dialah antara orang pertama yang sentiasa mendoakan aku agar terus tsabat dalam kerja yang membantu agama Allah ini.

Selepas habis sesi tazkirah, kami meneruskan pula pengisian yang seterusnya iaitu bina’ ad-dakwah (pembinaan dakwah) dari seorang ukhti kabiir di Perancis.  Kami diingatkan semua tentang prinsip, manhaj serta fikrah dakwah kami. Kemudian, kami berehat seketika untuk menunaikan solat sunah Dhuha dan menyambung pula sesi pengisian yang kedua bertajuk Sidqu ad-dakwah.

Ukhti yang memberikan pengisian memulakan pengisian dengan 7 habits of highly effective teenagers. 7 kebiasaan tersebut adalah :

-Be proactive
-Begin with end in minds
-Think win win
-Synergize
-Stand to understand before to be understood
-Sharpen the saw

Betapa 7 kebiasaan ini amat berguna buat seorang daie. Be proactive bukanlah sekadar aktif di dalam menjalankan segala amal dakwah tetapi berani untuk mengambil tanggungjawab-tanggungjawab lain dalam kehidupan. Hal ini menyedarkan saya bahawa seorang daie itu bukanlah sahaja akal dan hatinya penuh dengan bahan-bahan yang melibatkan tsaqafah dakwah sahaja, malah penuh juga dengan ilmu-ilmu lain seperti ekonomi, hal isu semasa, falsafah, sejarah dan lain-lain lagi.

Sidqu ad-dakwah.
Benar melakukan dakwah dengan sebenar-benar dakwah. (Siddiq) Benar di dalam lima perkara iaitu niat, fikrah, perkataan, amal dan sedeqah. Kerana hasil dari setiap kebenaran kita daripada kelima-lima elemen ini akan memberi kita kekuatan yang berbaza-beza untuk kita melakukan kerja dakwah.

Sebagai contoh, jika seseorang itu siddiq (benar) dalam niatnya maka, dia akan mendapat kekuatan indifaq (motivasi) untuk terus beramal dengan dakwah dan tarbiyyah. Seterusnya melahirkan seorang daie yang berani untuk mengambil tanggungjawab.

Bagi seorang daie yang siddiq dalam fikrahnya, dia akan mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan apa jua situasi. Dia akan menjadi seorang daie yang akan memahami sebuah permasalahan dan mencari jalan penyelesaian untuk mengubati masalah tersebut.

Setelah habis pengisian, kami menikmati makan tengahari dan solat berjemaah. Sesi bersambung dengan sesi re-cap semula isi-isi penting di dalam kedua-dua pengisian tadi. Petang itu, kami keluar berjalan-jalan untuk sesi mentadabbur alam. Sungguh, sesi mentadabbur alam petang itu merehatkan diri seketika daripada memikirkan tarikan dunia yang kita rasakan lebih menarik sampai kita lupa bahawa Allah pemilik seisi dunia.

sekitar Besancon
sekitar Besancon

Alam yang diciptakan mempunyai faedahnya bagi seorang manusia yang sentiasa berfikir. Fungsinya adalah untuk sentiasa mengingatkan manusia yang mudah sekali terlupa. Betapa susah untuk seorang manusia mendapat perasaan dekat dengan Tuhan andai hanya membuka mata.

Alam perlu ditadabbur, barulah segala keindahan alam akan kita kembalikan kepada Allah SWT. Kami berkumpul seketika untuk bermain permainan kotak beracun. Permainan tersebut bertujuan untuk memecahkan tembok antara kami (ice breaking). Saya juga terkena racun tersebut !

Lalu, saya mencabut soalan. Soalan yang saya dapat meminta saya untuk menyatakan tiga keistimewaan diri. Terus saya menjawab,

“ Pendek, suka menulis dan tinggi sense of humour.”

Ringkas sahaja saya menjawab. Saya sendiri masih membina dan mengenali diri sendiri agar saya dapat membaiki segala kelemahan yang ada serta menggunakan segala keistimewaan dan kebolehan untuk dakwah dan tarbiyyah. Pastinya, aku ingin menjadi manusia yang terbina muwasafat tarbiyyahnya. Aku ingin menjadi manusia yang bermanfaat buat orang lain. Aku tidak mahu menjadi manusia yang lupa diri.

Setelah itu, kami semua berjalan pulang bersama-sama kembali ke rumah dan menjalankan segala kewajipan sebelum sesi perkongsian tiga negara malam ini bermula. Sesi tersebut adalah untuk menceritakan perihal dakwah yang berbeza-beza  di tempat masing-masing. Sesi perkongsian ini bertujuan untuk berkongsi masalah  dan cara penyelesaian sesama kami. Setiap soalan yang ditanya, dijawab dengan sebaik mungkin.  Perkongsian seperti ini akan membuatkan kita semakin mengenal keadaan dakwah di banyak tempat dan menyediakan kita terhadap apa sahaja kemungkinan yang bakal kita terima.

Lewat malam, setelah habis sesi perkongsian, kami masuk ke bilik tidur untuk mengumpul tenaga keesokan harinya pula.

*******

27 Januari 2014
Beyt Rijal Ghuraba’, Besancon.

Hari ini adalah hari terakhir kami di tempat ini. Akhawat yang belajar di sini pun sudah ke kuliah. Seperti biasa, hari dimulakan dengan sesi tazkirah selepas Subuh dari seorang ukhti yang belajar di Jordan. Tajuk tazkirahnya berkisarkan tentang keikhlasan yang diambil daripada buku yang bertajuk Rakaizud Dakwah.

Tanda-tanda keikhlasan seseorang adalah dia hanya mengharapkan keredhaan Allah semata. Terdapat empat hambatan yang akan sentiasa menggugat keikhlasan kita iaitu nafsu, hawa,dunia dan syaitan. Takut benar aku andai menjadi seorang daie yang ikhlas namun amalnya di hari kiamat nanti hanyalah seperti debu-debu yang berterbangan. Naudzubillah !

Keikhlasan itu sendiri memerlukan keikhlasan. Tanpa keikhlasan, kehidupan kita adalah sebuah kehidupan yang kosong. Tanpa keikhlasan, amal-amal yang kita kerjakan tidak akan mencapai tahapan ihsaan. Menjaga keikhlasan di dalam segala amalan adalah susah kerana itu keikhlasan ini memerlukan latihan dan pengorbanan. Ditambah pula keikhlasan ini teramat mudah untuk dipengaruhi oleh pelbagai faktor sama ada faktor dalaman atau luaran.

Setelah tamat sesi tazkirah, aku meneruskan sesi sharing personal bersama akhawat Jordan untuk menjawab segala soalan dan memberi bantuan sebanyak mana yang aku mampu dengan keberadaan aku di dalam jalan dakwah barulah setahun jagung. Apa yang telah aku pelajari, aku terangkan dengan sebaik mungkin kepada mereka. Aku merasa amat bersyukur dapat meluangkan masa bersama mereka.

Ah, pertemuan ini terlalu singkat. Jam demi jam berlalu dan masa terus mencemburui kami. Saki baki masa yang ada aku gunakan untuk bersarapan pagi serta menyiapkan diri. Pada pagi itu, kami akan pulang kembali ke kota Paris dan berjelajah di sana pula.

Sungguh, saat perpisahan adalah satu saat yang sedih bagi kami semua. Aku berharap kisah ukhuwwah kami tidak hanya tamat di sini. Mengenali mereka semua walaupun sebentar adalah kenangan terindah. Jika Allah bertanya kepadaku satu hari nanti siapakah mereka ini, akan aku jawab, “ Mereka ini bidadari-bidadari dakwah.”

Jika Allah bertanya adakah kau menyintai mereka, akan aku jawab, “ Ya Allah, saat aku berjumpa dengan mereka saat itu jugalah aku menyebarkan cintaku kepada mereka hanya semata keranaMu Ya Allah. Demi Allah, aku tidak rugi walau sedikitpun menyintai dan bertemu dengan mereka di dalam jalan dakwah ini.”

Masing-masing antara kami peroleh tarbiyyah. Tarbiyyah menerima tetamu, merelakan segala apa yang ada di dalam rumah untuk digunakan tetamu, melayan segala kehendak tetamu dan sebagainya. Kami pula sebagai tetamu mendapat tarbiyyah menjadi tetamu kepada akhawat di sini. Buat akhawat yang telah banyak berkorban menerima kami sebagai tetamu, kami meminta maaf atas segala kelemahan dan kesalahan yang telah kami lakukan. Moga segala kelemahan dan kesalahan yang kami lakukan ini tidak membekas di jiwa kamu semua dan semuanya adalah datang dari kelemahan kami sebagai seorang manusia.

Sudah tentu, kami juga mengalu-alukan kamu semua untuk berjaulah ke tempat kami semula.
Bon Voyage Besancon.

Besancon Viotte Centre Ville-Paris Gare de Lyon
(12.28pm-3.06 pm)

******

Paris Gare de Lyon-Mary’s Hotel-kota Paris

Alhamdulillah, kami berjaya sampai di stesen keretapi. Destinasi kami yang seterusnya adalah menuju ke hotel sepanjang kami berada di ibu kota Perancis ini. Kami mempunyai sedikit masalah memandangkan tidak tahu lokasi sebenar hotel tersebut. Mujurlah datang dua orang lelaki yang cukup prihatin akan hal kami. Salah seorang daripada mereka adalah warganegara Vietnam dan seorang lagi adalah lelaki Perancis yang menikahi seorang perempuan cina. Bagaimanapun, lokasi yang mereka tunjukkan membawa kami agak jauh dari kedudukan hotel yang sebenar. Akhirnya, seorang ukhti meneliti peta yang ada padanya dan membawa kami ke lokasi yang lebih tepat berpandukan alamat yang telah diberi.

Alhamdulillah, lokasi hotel berjaya ditemui dan kami mendaftar masuk (check-in) untuk meletakkan beg serta menunaikan solat. Tidak lama selepas itu, ketua jaulah membawa kami untuk keluar bersiar-siar. Kami menaiki metro daripada stesen Oberkamph  menuju ke stesen Ieha. Stesen tersebut merupakan stesen metro yang paling hampir dengan menara Eiffel. Ketua jaulah membawa kami ke sana untuk melihat menara Eiffel yang bercahaya indah pada waktu malam.

sekitar Paris
sekitar Paris
sekitar Paris 2
sekitar Paris 2

Diceritakan oleh ketua jaulah kami bahawa menara ini menggunakan sebanyak beratus ribu lampu untuk menyalakannya sahaja ! Menara ini merupakan ilham dari seorang lelaki yang bernama Eiffel. Pada ketika beliau menyuarakan ideanya untuk membina menara ini, ideanya tidak diterima oleh ramai orang. Namun, Eiffel tidak menyerah kalah dan begitu tinggi azamnya untuk membina juga menara ini !

“ Kita bina dahulu. Andai kata selepas 20 tahun menara ini tidak mendapat perhatian, kita akan robohkan.”

Beginilah rayuan Eiffel untuk membina juga menara ini. Kini, menara ini merupakan lambang keagungan kota Paris. Para pelancong tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa pergi ke menara ini meskipun menara ini hanyalah diperbuat daripada besi semata. Terbuktilah bahawa tidak rugi Eiffel dengan azamnya untuk mendirikan juga menara ini. Jika tidak, kota Paris tidak akan daya tarikannya yang tersendiri !

Lantas melihat menara Eiffel ini mengingatkan aku pada banyak perkara. Pertama, aku teringatkan betapa indahnya segala apa yang ada di muka bumi ini dan perlunya semua itu dikembalikan kepada Allah. Kedua, melihat kemegahan Menara Eiffel membuatkan aku teringat akan kemegahan tamadun Islam satu ketika dahulu. Walaupun sekarang hanya menjadi tinggalan sejarah tetapi pastinya ia pernah berdiri megah satu ketika dahulu. Kerana tamadun Islam itu, satu dunia akan menyanjungi, mengenali dan menghormati agama kita. Dengan kemegahan Islam, satu dunia akan tunduk menyembah Allah sebagai Tuhan sekalian alam.

Paris terkenal dengan Menara Eiffel, Islam mahu terkenal dengan apa ?

KAMI di hadapan Eiffel Tower
KAMI di hadapan Eiffel Tower
Eiffel Tower in night
Eiffel Tower in night

Kemegahan yang kita kejar bukanlah dari aspek fizikal yang wajib dibuktikan dengan menara atau apa jua binaan-binaan, tetapi kemegahan teguhnya nilai Islam dalam setiap individu Muslim itu sendiri. Itu yang paling penting bagi diri kita yang mempercayai bahawa tujuh maratib amal itu adalah amal yang berkesan.  Menara dakwah itulah sasaran kita. Kita mahu Islam itu yang terkenal dan dikenali serata dunia. Kita tidak mahu orang menganggap Islam ini hanyalah pada ibadah semata, tetapi lebih dari itu.

Menghayati kegigihan Eiffel,
buat aku malu,
mengapa harus aku mudah lemah,
putus asa lalu menyerah,
Patutnya aku kuat dan teguh,
Sebab Eiffel berjaya bina menaranya,
saat orang keliling tidak menerima,
aku juga mahu bina menara,
menara yang terdiri dari batu-bata manusia,
dari jauh nanti,
orang dapat lihat,
Islam itu indah rupanya.

Seterusnya, kami terus berjalan-jalan di sekitar menara tersebut. Ketua jaulah sempat memberikan kami taklifat kepada kami semua dan meminta kami untuk mencari jawapan sepanjang berjaulah.

tugasanku
tugasanku

Kami akhirnya pulang ke hotel untuk berehat, menunaikan solat serta menikmati makan malam yang dimasak oleh seorang ukhti tercinta dengan hanya menggunakan periuk nasi. Hebat sungguh !

Mata aku sudah mengantuk, namun masih ada lagi tugas-tugas kecil yang belum aku siapkan. Moga Allah terus memberkati jaulah kami.
Bon nuit, Paris.

******

28 Januari 2014
Hari bermula dengan tazkirah selepas Subuh oleh ketua jaulah sendiri sambil bersarapan bubur yang juga dimasak olehnya. Tazkirah yang diberikan olehnya berkisarkan sejarah Islam di bumi Perancis satu ketika dahulu.  Islam berkembang di Paris melalui peperangan.

Abdur Rahman (Gabenor Andalusia) yang ketika itu sangat tinggi semangatnya untuk menyebarkan dakwah di bumi Perancis lalu berperang dengan Charles Martell yang dikenali sebagai The Hammer. Charles Martell bersiap sedia untuk berperang dilengkapi pula dengan kelengkapan dan kepakaran dalam berperang. Abdur Rahman meninggal dunia di dalam peperangan tersebut. Selepas itu, tiada lagi peperangan yang berlaku.

Kebatilan yang tersusun boleh mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Ekoran dari hal ini, tentera Islam kalah dan sehingga sekarang Islam tidak dapat diterima baik di bumi Perancis. Seterusnya, tentera Perancis tadi menawan Morocco dan Tunisia.

Banyak ibrah yang kami dapat pelajari dari kisah ini. Dalam kita ingin meneruskan dakwah ini, kita perlu menjadi seorang daie yang muntij gerak kerjanya. Kerja dakwah kita wajib mempunyai strategi dan susunan, bukan semata kehendak ingin menyebarkan dakwah. Tanpa persediaan yang rapi, amat mudah bagi musuh untuk mengambil kesempatan dan bertindak ke atas kita. Natijahnya, kita akan dikalahkan dengan kekalahan yang mungkin sahaja menyebabkan dakwah tidak dapat lagi disebarkan.

IMG_1215

Seterusnya, kami bergerak keluar dari hotel dan menuju ke taman di sekitar Menara Eiffel. Setelah puas bergambar di sana, kami menuju pula ke Place De La Concorde dengan hanya berjalan kaki yang agak jauh. Di sana terdapat sebuah tiang yang dikatakan milik kerajaan Mesir pada zaman dahulu. Tiang ini kemudiannya dihadiahkan kepada kerajaan di sini.

Tiang Concorde
Tiang Concorde

Seterusnya, kami bergerak menuju ke sebuah taman  yang cukup luas berhampiran dengan tiang tersebut sambil mentadabbur Al-Quran. Pada mulanya, kami semua memang tidak tahan akan kesejukan yang melanda. Namun, kata-kata ketua jaulah membakar semula semangat kami.

di taman
di taman

Katanya, “ Semoga setiap getaran tubuh kita menahan kesejukan ini diredhai oleh Allah.”

Ayat yang ditadabbur menceritakan tentang nikmat-nikmat yang telah Allah sediakan buat manusia. Manusia yang sememangnya perlu sentiasa diingatkan. Kita sering terlupa untuk mensyukuri apa yang telah ada malah terus meminta-minta apa yang kita rasakan masih tidak mencukupi.

Astaghfirullah !

Nikmat Allah yang tidak terkira nilainya ini sepatutnya menjadikan kita hamba yang sentiasa dekat pada-Nya. Tanpa kesemua nikmat yang berada di sekeliling kita sekarang, kita tidak akan dapat bertahan untuk hidup di atas dunia walaupun untuk sesaat ! Betapa kita terlalu mudah menganggap segalanya adalah kepunyaaan kita sedangkan segalanya itu adalah pinjaman dari Allah semata.

Seterusnya, kami meneruskan lagi perjalanan ke sebuah lagi destinasi yang menjadi kebanggaan rakyat Perancis iaitu Musee de Lourve La Pyramide untuk melihat pyramid kaca di sana. Kami tidak mampu untuk bayar masuk ke dalam muzium yang terlampau besar itu. Bahkan, masa pula amat mencemburui kami. Hanya mengambil beberapa gambar, kami meneruskan lagi perjalanan menuju Cathedrale Notre-Dame de Paris. Sebuah gereja besar yang dikatakan tempat wajib untuk dilawat jika sampai ke kota ini.

Piramid kaca
Piramid kaca

Arakiannya, bagi kami ia hanyalah sebuah bangunan cantik. Aku hanya menangkap sekeping gambar sebagai bukti telah sampai. Itupun hanyalah gambar dari jauh. Seterusnya, kami menuju ke kedai-kedai berhampiran yang menjual cenderahati. Sepanjang saya berjaulah, inilah masanya yang paling sukar kerana semua yang diingati dan kita ingin benar membelikan sesuatu untuknya. Tetapi, kewangan tidaklah membenarkan segalanya. Kami semua sedaya-upaya untuk memilih dan membuat keputusan yang terbaik.

“ Eh, handset B [bukan nama sebenar] mana ?”

Kata-kata seorang ukhti mengejutkan kami. Telefon bimbitnya hilang. Diseluk penyeluk saku handal  yang sememangnya terkenal di kota ini. Mujur salah seorang ukhtiku sempat mengambilnya kembali dan penyeluk saku itu sempat melarikan diri dengan muka yang tidak bersalah. Seorang ukhti memujuk ukhti tersebut sambil menyatakan, “ Allah sayangkan kak B. Dia masih rezekikan telefon bimbit itu menjadi milik akak.”

Setelah selesai dengan urusan membeli-belah, kami bergerak pula menuju ke sebuah masjid yang terdapat di kota Paris. Alhamdulillah ketua jaulah yang cekap dengan peta yang terdapat di dalam telefon bimbitnya, kami berjaya sampai ke masjid tersebut. Kami menunaikan solat di sana dan berhenti rehat seketika. Berada bersama golongan monoriti di dalam sebuah masjid sesama Muslim membuatkan kami begitu terharu. Tambahan pula, sudah lama kami tidak bersembahyang  bersama imam di masjid.

IMG_1280

Kebanyakan muslimat menegur kami dan bertanya kami berasal daripada negara mana. Aku hanya terdiam dan tidak banyak berbual dengan mereka kerana aku risau suasana masjid menjadi bising. Kami sempat  bergambar sekejap dan kemudian mereka ingin pulang ke rumah mereka.

“ May Allah gather us in together in jannatul Firdaus.”, doa mereka sebelum meninggalkan kami.

Mereka bukanlah warganegara asli Perancis. Ada dalam kalangan mereka berasal dari Tunisia, Jazirah Arab, Morokko dan lain-lain. Mereka telah lama bermukin di sini. Ada seorang makcik yang sehingga sekarang aku terbayang-bayang keceriaan wajahnya, malangnya aku terlupa untuk bertanyakan namanya. Dia mengajak kami untuk makan malam di rumahnya dan menawarkan duit sekiranya kami memerlukan. Kami terpaksa menolak kerana malam ini kami perlu ke lapangan terbang untuk meneruskan perjalanan ke tempat lain pula, inshaAllah !

Aku benar-benar berharap agar ini bukanlah kali terakhir berjumpa dengan mereka. Alunan mereka membaca Al-Quran masih lagi terngiang-ngiang di telingaku saat ini. Setelah itu, kami keluar dari masjid dan bertanya kepada seorang pakcik di masjid akan kedudukan restoran halal di sini. Dengan pantas dia membawa kami ke sana.

Seterusnya kami menyinggah ke sebuah pasaraya utnuk membeli barang dan kembali semula ke hotel untuk mengambil beg. Kami menuju ke Gare du Nord dan seterusnya ke Aeroport Charles de Gaulle terminal 2.

Selamat tinggal bumi Perancis. Pasti sekali kami semua bakal merindui bumi ini dan isi-isinya. Bumi yang telah memberi seribu kenangan yang begitu bermakna. Segala memori yang tercipta akan kami simpan dengan baik.

Dan bumi ini juga yang telah mengajar aku dari tidak suka merujuk peta kepada yang suka !

Malam ini kami hanya bermalam di lapangan terbang sama seperti kami mula-mula sampai dahulu. Saat aku menulis ini, beberapa orang ukhtiku sudah tidur dan ada yang menghabiskan urusan mereka yang masih tidak selesai.

Sekian sahaja kisah kami di bumi Perancis.
Bon Voyage Perancis.

Perjalanan kami bakal bersambung ke sebuah lagi negara.
Negara yang telah lama saya hajati.

akan bersambung….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s