MAKA DUNIA INI MILIKNYA

Bismillahirrahmanirrahim.
Bukanlah niat pada awalnya ingin menjadikan laman dakwah ini untuk menulis tentang dunia kedoktoran. Tetapi tidak salah untuk saya aplikasi prinsip dakwah Rasulullah SAW ‘ sampaikan walau satu ayat’, bercerita serba sedikit tentang nota alam perubatan.

Masyarakat secara amnya mengetahui bahawa kesihatan adalah satu unsur penting dalam kehidupan. Tetapi tidak ramai yang menganggap kesihatan adalah satu amanah malah terlalu sedikit orang yang bersyukur tentang nikmat sihat.

Wasiat seorang mujaddid dakwah, Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (ISHAB) di dalam ‘Wajibat Al-Akh’ (Kewajipan seorang Muslim):

“Hendaklah engkau bersegera melakukan check up secara berkala atau berubat, begitu penyakit terasa mengenaimu. Disamping itu perhatikan faktor-faktor penyebab kekuatan dan perlindungan tubuh serta hindarilah faktor-faktor penyebab lemahnya kesihatan.
Hendaklah engkau menjauhi sikap berlebih-lebihan dalam mengambil kopi, teh, dan minuman perangsang yang lain. Elakkan sama sekali merokok.
Hendaklah engkau perhatikan kebersihan dalam segala hal baik tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman, badan dan tempat kerja kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.”

Terlebih dahulu sebelum ISHAB memberitahu tentang kewajipan ini, Allah SWT juga telah menerangkan satu asas penting untuk kesihatan:

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Al-A’raf: 31)
Dunia kesihatan semakin berkembang seiring dengan bertambahnya pesakit-pesakit kronik di Malaysia. Penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung kini menjadi pemangsa utama.
Apa yang kita perlu fahami tentang hakikat kesihatan?
1) Allah yang menyembuhkan (Wa iza maridhtu fahuwa yashfin)
Tiada yang lain melainkan Allah As-Syafii, yang Maha Menyembuhkan segala penyakit luaran mahupun dalaman.
Percaya pada asma’-Nya adalah pasak aqidah,  simbolik keimanan dan sejauh mana kekuatan tawakkal kita kepada-Nya. Ini ‘mindset’ yang perlu kita ada sebelum berjumpa dengan mana-mana pegawia perubatan kerana mereka hanyalah jalan untuk membantu pesakit untuk sembuh.
Nyawa bukanlah terletak dalam tangan-tangan pegawai perubatan yang merawat kerana yang memegangnya adalah kuasa Allah. Kerana itu, kerap kali saya akan berpesan kepada waris pesakit bahawa tugas dan kewajipan saya hanyalah membantu sebaik mungkin namun usaha saya juga berada dalam qada’ dan qadar Allah. Jika ditakdirkan kematian, maka tiada sesiapalah boleh menghalangnya.
Percayalah, kesihatan anda adalah satu nikmat yang tidak mampu dibayar dengan duit, pangkat atau harta.
2) Kaedah Fiqh: Pilihlah satu kemudharatan yang lebih ringan diantara dua kemudharatan (وضدُّه تزاحمُ المفاسدِ فارْتَكِب الأدنى من المفاسد )/ kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan (الضرر الأشد يزال بالضرار الأخف )

Golongan pegawai perubatan bukanlah ingin tunjuk pandai dan mengatakan bahawa kami lah ‘Tuhan’ dalam dunia penyakit. Cuma dalam berikhtiar, pilihlah juga untuk berikhtiar dengan perubatan moden. Janganlah memilih ikhtiar yang memudaratkan apatah lagi yang menyalahi aqidah (tok bomoh jampi bukan guna ayat Quran, susuk dan sebagainya).

Orang yang sakit adalah golongan yang terdesak. Tunjuk sahaja apa jalan singkat/ testimoni walaupun pada caranya tidak dapat diterima akal  untuk sembuh, pasti mereka akan mudah terpedaya tanpa menyedari bahawa ikhtiar mereka itu lebih membahayakan.

“…dan janganlah kalian campakkan diri kalian ke dalam kebinasaan..” (Al-Baqarah: 195)
Saya tidak akan pernah menyalahkan rawatan alternatif kerana ilmu Allah adalah terlampau luas. Ilmu kedoktoran yang ada pada setiap pegawai perubatan juga terbatas. Namun, tuduhan melulu jangan dilemparkan bahawa dunia sains perubatan ini tidak selamat, penuh dengan tipu helah yahudi, ubat adalah racun atau dadah semata, doktor adalah golongan zionis.
Jika beginilah tuduhannya, maka lebih hinalah Ibnu Sina (Bapa Perubatan Islam) yang sangat gemilang dan ternyata anda tidak mengenali beliau! Kitab ‘Qanun Fi Tibb’ yang ditulis beliau menjadi rujukan Eropah buat ratusan tahun.
“Tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan  mengembalikan kesihatan ketika hilang”. (Ibnu Sina/Avicenna)
Jika benarlah kesihatan hanya akan datang dengan selawat, maka sudah pasti akan ada hadis yang diriwayat Rasulullah SAW. Begitu juga dengan dakyah-dakyah palsu yang menjual agama untuk membenarkan segalanya.
Hal yang merungsingkan pegawai perubatan apabila cara ikhtiar pesakit mereka adalah lebih membahayakan. Jika benar perubatan moden ini juga memudharatkan, maka pilihlah kemudharatan yang lebih ringan.
Sungguh, datang ke hospital dalam keadaan organ-organ di dalam badan yang sudah teruk adalah satu kerosakan yang tidak dapat diundur walaupun dengan menggunakan kuasa magis!

3) Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”(Hadis Riwayat Bukhari)

Salah satu hak tubuh badan juga adalah kesihatan untuk menunaikan amal ibadah dan meneruskan pekerjaan seharian. Ibarat mencurah air ke daun keladi apabila pesakit hanya menganggap nasihat pegawai perubatan sekadar nasihat kosong. Nasihat kami adalah untuk membantu supaya penyakit anda terkawal dan tidak akan menyebabkan komplikasi panjang yang akhirnya menjadikan penyakit anda lebih rumit untuk dirawat.

Ramai pesakit begini, terkadang saya sudah putus asa. Ibarat cinta bertepuk sebelah tangan kerana pihak pegawai perubatan sahaja yang beria untuk menyelamatkan pesakit. Tetapi pesakit hanya mengambil mudah. Ubat ditinggalkan, nasihat tidak dipedulikan, rawatan susulan diabaikan.

Tunaikanlah tanggungjawab ke atas jasad anda sendiri. Berdosalah kita bila tidak menjaga hak jasad sebaiknya.

Tugas pegawai perubatan sudah selesai. Kami hanya akan dipertanggungjawabkan sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik.

 

 “ Barang siapa yang berada dalam keadaan badan yang sihat, aman dalam penghidupannya dan memiliki makanan seharian yang cukup maka seolah-olah dunia ini miliknya.” ( Riwayat at Tirmizi)

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s