Tiada lagi komunikasi antara kita

Sebarang jenis perhubungan atau sebarang urusan yang bagus terhasil dari komunikasi yang bagus.

Ingin saya bercerita sedikit. Baru-baru ini terasa sedikit penat dengan tugasan dunia selaku pegawai perubatan apatah lagi hendak diseimbangkan dengan tugasan sebagai isteri, ibu kepada dua anak kecil, murabbiah dan dakwah.

Biasalah manusia, apabila hilang kawalan dalam urusannya, masa sudah mencemburui, hakikat jasadiyah yang sudah meminta ingin rehat, kita akan penat. Ini lumrah.

Tempoh hari saya ada bertanya kepada suami.

“Kenapa Allah jadikan kepala kita ni tak berhenti fikir pasal dakwah?”

“Kenapa Allah titipkan rasa serba salah pada hati kalau tak buat kerja dakwah?”

“Kenapa Allah tak bagi peluang pada kita untuk beralasan untuk lari dan mengelak dari buat kerja kerja ini?”

“Kenapa orang lain boleh lari, kenapa bukan kita?”

Jujurnya aku bukan manusia hebat. Tuhan dan suami menjadi saksi. Betapa solat kadangkala tertingggal untuk ditunaikan tepat pada waktunya. Betapa amalan solat malam sangat jarang dilakukan. Betapa lagi amalan sunat lain amat lemah.

Allahurabbi. Aku bukan lagi diri aku yang dulu mampu untuk berbuat segala yang sunat dengan serba serbi lengkap. Kini sedikit demi sedikit telah menghilang nikmat dan kehendak untuk melakukan amalan amalan sunat.

Mudah sahaja suami menjawab.

“Hidayah. Bukan hidayah Islam, tetapi hidayah untuk ingin meneruskan dalam melakukan kerja kerja ini.”

Saya balas, “Hebat sangat ke kita bang? Mutabaah amal pun rasanya tak layak sungguh untuk pandu manusia lain. Entah siapa siapa kita jadikan anak usrah kita. Layakkah kita?”

Suami terdiam. Aku pun terdiam. Rahsia Allah barangkali kenapa sesetengah manusia Allah berkehendakkan untuk kita teruskan kerja kerja ini. Sesetengah kelompok manusia Allah rehatkan seketika atau barangkali atas izinNya seseorang manusia itu berhenti terus dari membuat kerja-kerja dakwah.

Istimewa sangat kah aku?
Tidak sesekali. Aku terasa amat hina. Malah kalau dikirakan ikut kehinaan aku, aku malu untuk bersama dengan jemaah, bersama dengan dakwah.

Tapi entah kenapa puas mencuba untuk larikan diri dari buat kerja ini, tapi akal tetap memikirkan. Hati tetap merasakan. Ibarat tidak dapat membuangnya begitu sahaja. Dan kini , aku mulai terasa penat kerana bebannya tertanggung sendiri.

Maafkan aku ya Allah kerana terasa penat dan serabut ini. Aku manusia.

Namun, untuk muhasabah bersama, aku kira ada satu aspek penting yang ingin dibincangkan bersama. Komunikasi antara kita. Ya, komunikasi yang lemah inilah menghasilkan proses perkenalan (taaruf) yang lemah dalam mana mana organisasi apatah lagi jemaah dakwah.

Dalam model komunikasi mesti ada 3 elemen penting:
1) Sender (pengirim)
2) Channel (medium)
3) Receiver (penerima)
4) Feedback (tindak balas/balasan)

Ya inilah kelemahan kita yang paling utama kerana selagi komunikasi yang tidak selesai, masalah internal jemaah tidak akan pernah selesai.

Masalah internal yang paling ketara adalah:
1) Tiada volunterism.
2) Pengagihan tanggungjawab yang tidak seimbang (hanya orang yang sama melakukan kerja).
3) Tidak merasakan tanggungjawab untuk menjawab atau menyahut sebarang soalan atau untuk menyelesaikan masalah.

Kesannya?
1) Sesetengah ahli akan penat kerana hilangnya timbang rasa(considerate).
2) Kerja tidak akan pernah selesai malah diduga pula dengan masalah yang kian bertambah.
3) Islam tidak akan tertegak kerana lemahnya komunikasi sesama pendakwah.

Begitulah hakikatnya wahai ikhwah akhawat sekalian. Kadang kala sampai rasa segan ingin menjadi ‘sender’ sedangkan tiada sebarang feedback yang akan kita terima.

Ya, putus asa.

Dan ya, diri sendiri mengakui memang terkadang penat dan merasa ingin berhenti. Tapi seperti yang aku katakan, seolah tertahan dari Tuhan untuk aku tiba tiba berhenti begitu sahaja.

Ada satu tekanan dari belakang untuk aku terus buat walaupun aku penat, walaupun aku puas cari alasan untuk lari atau mengelak. Walaupun mulut berulang kali melafazkan ayat ingin keluar dari jemaah atau dakwah ini, tetapi tertahan jua.

Entah apa rasanya.
Tidak sampai hatikah?
Tidak cukup pahala lagikah?

Aku bukan ingin menghakimi apa yang dilalui oleh setiap insan yang menyertai mana mana jemaah dakwah. Siapa aku untuk memposisikan atau mencabar kemuliaan seseorang. Siapa juga aku ingin mempersoalkan permasalahan setiap insan. Siapa aku ingin mendabik dada menjaja kepentingan diri aku sendiri?

Sekadar menulis untuk mengingatkan diri dan menenangkan hati sendiri.

Pedihnya jalan bersendirian tetapi inilah hakikat jalan dakwah yang aku belajar bila pulang ke medan sebenar.

Aku harap Tuhan tahan aku daripada aku melakukan perkara perkara yang tidak sepatutnya. Aku harap Tuhan jaga diri aku sehingg akhir hayatku.

Meskipun penat.
Meskipun aku tinggal seorang.

Moga Allah jaga diri kita semua. Dan sesungguhnya Allah lah yang menjaga dakwah ini.

Leave a comment