berada dalam amal ini

Bismillah.
Salam dakwah buat semua.

Berada dalam amal dakwah ini,
banyak memberi kita permata-permata pengalaman yang begitu berharga.

Hidup bertambah pengertiannya.
Hidup bertambah manisnya.

Pengalaman-pengalaman ini terlalu mahal aku kira.
Kerana terlalu sukar untuk mendapatkannya di tempat lain.

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan berukhuwwah kerana Allah jika bukan dari ‘duduk sebentar beriman sejenak’ bersama rakan-rakan usrah ?

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan menghayati lembaran sirah Rasulullah S.A.W  jika bukan  dari pencerahan dan taujihat dari murabbi/ murabbiyah tersayang yang begitu menyejukkan mata kita ?

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan rasa ditarbiyyah dengan tarbiyyah Islamiyyah jika bukan dari medan ini ?

Berada dalam medan amal ini,
kita akan menjadi terlalu sibuk dengannya.

Kerana tanggungjawab yang membebankan kita sudah cukup menyedarkan hati kita dari memikirkan waktu-waktu rehat dan waktu-waktu memenuhi kehendak diri sendiri.

Daie, membenarkan amalnya yang berbicara.
Dia tidak akan sesekali tergolong dalam angkatan manusia yang hanya berdakwah dengan menggunakan mulut.
Percakapan yang penuh dengan pencerahan, penuh dengan kata-kata yang menyucikan jiwa,
tapi seakan terlupa telinga dirinya sendiri juga mendengar kata-kata yang sama.

Bila seorang daie itu membenarkan amalnya yang berbicara,
seluruh manusia akan terlopong melihat sebegitu banyak hammasah yang ada pada dirinya.
Dia tidak menghiraukan lagi kata-kata manusia.

Ke mana sahaja tapak kakinya melangkah,
Dengan sesiapa sahaja dia berbual,

hanya dakwah yang dia bawa !

Sampai meremang bulu roma mereka yang melihat.
Manakan tidaknya,
kesungguhan dirinya dalam mengerjakan amal dakwah ini begitu jelas terbukti !
Setiap titik peluhnya, segala lelahnya menjadi bukti buat tatapan manusia.

Wahai manusia,
tidakkah kau berasa cemburu tatkala melihat entiti sebegini.
Begitu qawi iradahnya,
begitu tinggi tummuhatnya !
Setidak-tidaknya, mereka ini menang ke atas diri mereka sendiri !

Tetapi kau tetap berada di takuk yang sama.
Dan pada takuk ini, sebenarnya kau masih tercari-cari apa yang sebenarnya kau mahu dalam hidup.
Pada takuk ini, kau berpening-pening kepala memikirkan keresahan hidup yang tanpa sudah.

Dan akhirnya, kau akan kepenatan begitu sahaja.
Kepenatan sehingga kau lelah dan menjadi mayat hidup di atas muka bumi ini !

Seorang daie itu terus optimis terhadap dirinya sendiri.
Dia berusaha untuk mengawal apa yang boleh dikawalnya.
Apa yang tidak boleh dikawalnya, dia menyerahkan kepada Allah untuk menguruskan segalanya.

************

Amal dakwah kita ini memerlukan amal yang muntij dan berganda.
Muntij memerlukan kepada penyusunan dan pengagihan kerja yang teramat banyak.
Berganda meminta-minta segala jenis pengorbanan dari diri si daie itu sendiri supaya matlamat agama-Nya tercapai.

Amal dakwah ini mutawassil.
Akan terus bersambung kerana pendokong-pendokong agama-Nya akan tetap ada.
Maka, mengapa harus kita yang berusaha keras mencari sini-sana angkatan dakwah ini ??

Dan berdirinya kita dalam jalan ini kerana apa ??

Aku tahu,
medan amal ini telah memberi keyakinan kepada ruh kamu bukan ?
Ia nya telah menyegarkan iman kamu semua yang dahulunya layu.
Ia nya telah memberi cahaya kepada hati kamu yang dulunya malap.
Ia nya telah menjadikan diri kamu seolah lebih berharga memegang gelaran ummah yang terbaik ini.

Mengertilah, bukan ini sahaja manfaatnya kepada kita.
Medan amal dakwah ini telah menjadikan diri kita persis seekor kuda.

Kuda tunggangan perang  yang berlari kencang,
sampai terpercik keluar api dengan pukulan kakinya,
Lalu, menyerbu tengah kumpulan-kumpulan musuh.

Kita berterusan menjadi kuda tunggangan dakwah ini.
Kita menyanggupi dakwah dan tarbiyyah mendahului segala aspek kehidupan kita.
Kita merelakan kehendak agama ini menjadi lebih utama.

Ya, kita hamba kepada dakwah ini !
Namun, bukan seperti hamba-hamba ketika zaman Arab jahiliyyah dahulu yang mengikut arahan tuannya tanpa rela !

Kita mendapat taraf hamba yang lebih mulia.
Hamba yang bekerja dengan penuh keikhlasan.
Hamba yang akan mendapat balasan yang cukup mulia.

Dan sungguh, jalan dakwah ini tidak berniat langsung untuk menyusahkan kita.
Medan amal ini hanya mahu memberi kesenangan di sana kepada kita.

Medan amal ini bukan mahu membunuh kita,
tetapi ianya membukakan peluang untuk kita mati syahid mempertahankannya !

Medan amal ini bukan mahu mengambil harta-harta, masa-masa kita sesuka hati tanpa tujuan,
tetapi medan amal ini mahu melatih kita agar tidak terlalu memperhambakan dunia dan menggandaikannya untuk jalan Allah itulah yang paling mulia !

Medan amal ini bukan mahu menghina kita dengan segala tohmahan yang kita dapat tika melaksanakannya,
tetapi medan amal ini bertindak mengangkat darjat diri dan iman kamu di sisi-Nya !

Medan dakwah ini bukan kemiskinan para pendokongnya saat kamu sendiri yang perlu mempertahankan kemuliaanya,
tetapi medan amal ini mahu memberikan peluang buat kamu untuk membuktikan kamu adalah golongan hamba-hamba-Nya yang benar-benar bekerja !

Mengertilah, inilah sebaik-baik medan buat seorang manusia yang bernama hamba !

Bila kita punyai kefahaman yang cukup jelas,
maka kita akan merelakan segalanya untuk medan amal ini.

Dari kefahaman, akan lahirnya amal tanpa henti.
Dan kau pun mula menyerang kumpulan manusia untuk memberikan kefahaman yang sama.
Lalu, membentuk satu batalion tentera yang akan menjulang tinggi kalimah-Nya !

Tidak kau merasa cukup mulia dengan keberadaan diri kau dalam medan ini ?
Bersyukurlah !

Ada lagi manusia di luar sana yang masih tercari-cari.
Ada lagi manusia di luar sana ternanti-nanti tangan-tangan dua’t yang akan menyelamatkan mereka.
Ada manusia di luar sana yang  sedang menunggu kehadiran kita dengan hati dan telinga penuh sedia.

Bayangkan sahaja dengan keupayaan fantasi yang boleh menyuntik semangat anda,
sehingga anda rindu untuk merasa kesakitan dalam medan amal ini.

Taraf hamba yang paling mulia.
Barisan para anbiya’, para sahabat yang menanti anda di syurga sana.
Senyuman Rasulullah S.A.W yang cukup manis buat ummat yang cukup Baginda cintai.

Seharusnya, para dua’t mendidik hatinya untuk sentiasa dia menyedari bahawa dirinyalah yang memerlukan medan amal ini !
Kerana, dia tahu jika dia memilih medan amal yang lain, kemuliaan dirinya tidak akan tercapai.

Keberadaan diri kita dalam medan amal ini adalah satu rezeki yang teramat agung dari-Nya !
Maka, wajiblah kita untuk terus berusaha meneruskannya dan menyampaikan kepada generasi-generasi yang akan datang.

Inilah warisan yang paling adzhim buat manusia.
Hendak mewariskan harta-benda, sudah habis dikorbankan untuk jalan dakwah.
Maka, kesucian medan amal ini sahaja yang tertinggal.

Warisan ini tidak boleh diwariskan begitu sahaja atas nama Islam.
Warisan ini juga bukan warisan sembarangan atas pertalian darah.

Warisan ini adalah warisan kefahaman.
Warisan ini adalah warisan yang penuh cinta.
Warisan ini adalah satu risalah kebenaran.
Warisan ini bekalan buat mereka sampai ke sana nanti agar bisa ke tempat yang sama seperti kita tuju !

Mengapa kita perlu mewariskannya ?
Kerana kemenangan yang mahu kita capai, bukannya satu keajaiban.
Kemenangan yang mahu kita capai itu, bukan juga satu mukjizat.

Kemenangan yang kita kejar itu perlu kepada tenaga-tenaga yang memperjuangkannya.

Yakinlah, kemenangan ini tidak akan datang dari manusia-manusia yang duduk menongkat dagu.
Kemenangan ini juga tidak akan datang dari manusia-manusia yang hanya berdoa dan beribadah sepanjang masa.
Kemenangan ini juga tidak akan datang kepada manusia yang hanya berniat untuk mendapatkannya.

Kemenangan ini hanya akan datang buat manusia yang menggunakan kesempatan yang masih ada untuk beramal sepuasnya !
Mereka kini sedang berada dalam sebuah bahtera penyelamat yang bertindak untuk menyelamatkan manusia yang kelemasan.

Marilah bersama kami, hidup dalam sebuah kehidupan yang bernama, ‘ Kehidupan seorang pendakwah’  sementara peluang masih lagi melambai.

sekian,
mylittlepencil 

ketaatan yang sempurna

Bismillah.

Salam dakwah.

Lama rasanya tidak menulis di ruang ini.
Diri sendiri pula yang terasa rindu ingin mengarang kata, melontar rasa.

Moga ini hadiah buat diri saya sendiri dan para pembaca.

*********

Ketaatan yang sempurna.
Hadiah yang terlalu bernilai.

Bukan senang untuk peroleh ketaatan dari sesuatu kepada sesuatu.
Apatah lagi seorang manusia.

Kerana sesama manusia mempunyai pendiriannya,
punyai egonya,
punyai prinsipnya,
punyai kelemahannya.

” Mengapa aku perlu taat padanya ? “

Sampai timbul soalan,
adakah perlu kita taat kepada seorang yang bernama manusia ?

Jawabnya,
Ya, andai orang itu benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah.
Dan ditambah menggunakan timbang-tara akal kita sendiri.

Selagi tidak melanggar syariat agama, selagi itu ketaatan harus dijaga.

Ketaatan yang sempurna adalah faktor asasi tanzhim sesebuah jemaah.
Tanpa wujudnya ketaatan yang sempurna, ahli sesebuah jemaah akan hilang prinsipnya.

Ahli kepada sesebuah jemaah harus mengerti bahawa mereka adalah jundiyyah salimah kepada jemaah mereka.
Amal yang terlalu banyak harus dibahagikan.
Tugasan yang banyak harus ditentukan sebaiknya.
Maka, ahli kepada sesebuah jemaah harus iltizam kepada keputusan ketuanya !

Berdirinya kita dalam jemaah adalah sebagai satu wasilah yang telah kita putuskan dalam gerakan menyelamatkan ummah ini.
Semua pendekatan atau ‘promosi-promosi’ untuk menyampaikan dakwah ini sebagai satu cara hidup yang  baru dalam masyarakat kita fikirkan dan kita jalankan.
Tetap kita ingat, tidak semestinya matlamat menghalalkan cara.

Sumber  matlamat kita adalah intisari-intisari Al-Quran dan sunnah, sirah Rasulullah dan para sahabat terus menjadi panduan untuk tetap berada atas jalan yang lurus ini.

Ar-Rasul qudwatuna.

Kisah-kisah Rasulullah S.A.W dan para sahabat menjadi cerminan dan pengajaran buat dua’t yang sedang meneruskan dan menyambung perjuangan risalah kebenaran ini.

Lihat sendiri contoh teladan yang telah ditunjukkan.
Jelaslah bahawa Rasulullah S.A.W mengajar kita untuk melaksanakan tugas dan beban dakwah ini sebagai seorang manusia biasa yang mengikut fitrahnya.

Seorang daie itu juga penat.
Seorang daie itu juga punya perasaan.
Seorang daie itu juga ada kemahuannya.

Maka, dalam madrasah tarbiyyah ini kita bina segalanya bersumbukan dakwah dan tarbiyyah.
Kita belajar untuk menjadi golongan manusia yang faham (al-fahmu).
Kita jelas dengan mehnah-mehnah dan tabiat jalan dakwah.

Bukanlah kita menjadi daie yang kosong, tidak mengambil langsung pengajaran di atas jalan ini.
Berjalan bersahaja, tanpa sedar sudah di penghujungnya.

Akan berjayakah sebuah dakwah andai seorang daie itu tidak ditarbiyyah imannya ?

Akan berjayakah sebuah dakwah andai seorang daie itu tidak punya perancangan yang teliti ? 

Akan berjayakah sebuah dakwah andai seorang daie itu tidak istiqamah dalam amalnya ?

Gerakan yang munazzhom terbina dari iman yang ‘amiq, tanzhim yang daqiq dan amal mutawasil.
Dan harus kita fahami, mewujudkan tanzhim di dalam gerakan dakwah ini bukanlah matlamat kita, ia sekadar wasilah untuk memudahkan kerja.

Matlamat kerja kita lebih besar !

Matlamat kita adalah prinsip kita.
Matlamat kita juga adalah matlamat Al-Quran.
Matlamat kita adalah untuk mengepalai pemerintahan di atas muka bumi.
Kita mahu ketuanan  di atas muka bumi ini milik Islam dan orang-orang yang beriman.

Perjuangan kita adalah pengorbanan kita !
Kita buang segala kepentingan dunia.
Kita dahulukan segala kehendak jalan ini semata mahu membeli sebuah tempat di syurga sana.

Maka, kita sudah tidak punya masa untuk bermain-main dan terlalu memikirkan isu-isu yang picisan !

Al-Quran dusturuna.

Al-Quran sendiri akan menjadi pengadil tatkala manusia di sekeliling meragui tindak-tanduk kita.
Al-Quran memegang mahkamah keadilan yang paling adil kerana asalnya dari Rabb yang Maha Adil !

Pada Al-Quran terkandung segalanya.
Kata-kata pemujuk hati tatkala hati ini sedang sedih seakan tidak dapat lagi menerima segala cabaran yang datang.
Kata-kata pemberi semangat yang sering memujuk hati untuk menyentuh redha-Nya.
Kata-kata nasihat dari seorang Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.
Kisah-kisah pengajaran dari ummat, ketabahan para anbiya’  terdahulu memang cukup di jiwa.

KETAATAN DALAM JALAN DAKWAH

Wajib bagi seorang daie untuk menjaga ketaatannya kepada jalan dakwah.
Terus bekerja dan beramal sebaiknya.

Kita tidak merasakan lemah dan lelah dengan mahkamah manusia yang sememangnya tidak adil.
Bagi kita, itu hanyalah sebuah penghalang yang akan menghentikan amal kita.
Sedangkan kita punya impian yang terlalu besar.

Impian di hari semalam terus menggerakkan hari-hari baru yang mendatang.
Kita berpegang kepada peristiwa-peristiwa lepas yang banyak menyimpan beribu kenangan,
manis dan pahit.

Nikmat mahupun cabaran kurnia dari Ilahi.
Apa sahaja jenis gangguan terhadap para dua’t, fizika, kebendaan dan moral akan berterusan berpuluh tahun lamanya.
Tetapi, kita masih lagi mampu untuk bertahan dan menghadap duri-duri yang menyeksa ini.
Bisanya menyengat sampai ke hati.

Tidak syak lagi, bahawa mereka yang kekal bertahan itulah golongan yang paling mulia !
Merekalah yang mati di tali gantung, dipenjara diseksa.
Namun, ketangkasan dan prinsip mereka menegakkan kebenaran menjadi ingatan sampai hari ini !

Maka sekiranya hari itu silih berganti,
Membawa nikmat dan derita tidak terperi,
Peristiwa-peristiwa sedemikian tidak mungkin melemahkan pendirian kami,
Perbuatan yang tidak menyenangkan itu tidak mungkin menghina kami. 

Janganlah kita menghina diri sendiri dengan cepatnya kita berputus asa.
Pantang datang cabaran, terus jatuh terduduk atas bumi.

Janganlah kita menghina diri kita dengan membiarkan prinsip kita cukup mudah diumbang-ambingkan oleh sikap-sikap taghut.
Pantang diusik sedikit, mudah sekali bertoleransi.

Fahamilah hakikat bahawa jalan dakwah ini bagi mereka yang bersiap-sedia untuk terdedah kepada segala bentuk derita.
Kesabaran akan terus terlatih dan menjadi penyumbang pahala di sisi-Nya.

Jangan risau,
Boneka-boneka kejahilan itu akan kalah juga satu hari nanti !
Mereka yang menganggu ketenteraman bumi ini akan hancur berkecai.

Dan untuk menghancurkan mereka ini kita perlukan kader-kader dakwah yang ikhlas melakukan kerja-kerja dakwah sepenuh hati didokong iman yang benar.

TAAT & TAKSUB 

Namun, taatnya kita  tidak akan sesekali mencapai taraf taksub.
Kerana taksub itu taat yang keterlaluan.

Sikap ini mengundang dosa kerana jika terus dipertahankan, akan menolak jauh kebenaran yang sebenar.
Saat ini, pengikut-pengikut yang taksub ini tidak akan dapat lagi mengawal lagi kelakuan mereka semata membela ketaatan mereka yang sampah itu !

Cukuplah sekadar memberi ketaatan.
Ketaatan yang sempurna.

Percayalah, orang yang kau taati itu,
akan sampai satu saat dimana mereka juga akan melakukan kesalahan.
Malah, mungkin besar dari kesalahan-kesalahan biasa.

Tika ini, terimalah seadanya bahawa mereka juga manusia.
Taat yang kau berikan kepada mereka hanyalah semata kerana mereka itu antara manusia-manusia yang beriman, yang boleh dipercaya.
Nasihatilah mereka.
Jangan segan-silu menegur kerana dalam memberi ketaatan ada juga tatasusilanya.

Lihat contoh  para pengikut Syiah yang kini terlalu taksub kepada ketua mereka.
Habis punah segalanya !

Pengikut-pengikut yang taksub ini persis batu-bata yang dibakar terlalu lama sampai hitam legam warnanya.
Bentuknya berubah serta-merta.

Golongan ini tidak lagi menjaga keistiqamahan mereka,
bertindak tanpa kasih-sayang,
menghakimi yang lain,
dan tidak lagi beriltizam dengan kesatuan dalam jemaah.

Batu-bata ini telah rosak terus dan hanya akan membuat kekecohan dan kekacauan di dalam saff para dua’t ini.
Berbeza dengan batu-bata yang lemah, masih boleh digunakan cuma memerlukan sedikit lagi proses pembakaran.

Golongan ini masih boleh dilatih.
Tetapi bagi mereka yang telah melampaui batas, kita tidak akan dapat apa-apa faedah dari mereka !

Pandanglah dengan teliti,
tidak semestinya batu-bata yang dibakar lama akan menjamin kekuatan sesebuah gerakan dakwah.
Apa sahaja jenis nyalaan apinya, memberi impak yang berbeza kepada setiap jenis batu-bata.

Batu-bata dari tanah, kita jua dari tanah.
Menjadi bezanya, siapa yang benar-benar menjadi asas yang kukuh demi membangunkan kejayaan yang agung ini !

lama benar rehatnya

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Moga para dua’t terus berhemah dan terus menapak langkah atas jalan dakwah.

Jangan pernah berenggang dengan jalan dakwah.
Jangan pernah berhenti untuk belajar dari jalan dakwah.
Jangan lupa untuk mengutip pengalaman dalam jalan dakwah.

Paling utama,
jangan keraskan hati engkau wahai dua’t !

Teruskan memberi rasa dan syu’ur pada hati.
Teruskan memberi kehidupan pada hati.
Teruskan memberi isi yang bermanfaat untuk hati.

Dengan kerasnya hati, kau akan cepat sekali memilih untuk berehat.
Berehat dari jalan dakwah.

Kau merasa selamat.
Semakin lama semakin hilang kemahuan kau untuk berdakwah.
Semakin lama semakin kurang giatnya usaha dalam dakwah.
Semakin lama semakin hilang kehangatan Islam dalam dirinya.

Terlalu lama kerehatan,
lebih teruk apabila kerehatan itu dilayan dan semakin berpanjangan.

Kerehatan adalah satu proses yang merbahaya buat seorang daie.
Kerehatan boleh mencipta kekaratan.
Kerehatan adalah satu kebahagiaan yang palsu.
Kerehatan adalah kemusnahan.

Sampaikan membaca Al-Quran tidak lagi punya rasa.
Sampaikan bila bertahajjud juga hilang syahdunya.
Sampaikan bila menatap muka-muka ukhtinya, manisnya ukhuwwah tidak lagi seperti dulu.

Lalu, sampaikan dia berfikir,
Apakah dia patut meninggalkan jalan yang kian suram ini ?
Dalam erti kata yang lain, dia ingin meninggalkan gerabak dakwah ini.

Akhirnya, dia akan mendapati dia jauh dari sifat-sifat orang mukmin yang khusyuk solatnya,
yang berangkat dengan rasa ringan mahupun berat,
yang menginfaqkan diri dan hartanya,
yang sentiasa merindui mati syahid,
yang bergetar hatinya tatkala bertasbih nama Tuhannya,
yang memegang tali agama Allah ini dengan penuh erat,
yang mencelup dirinya dengan sibghatullah yang kamilah.

Dia kehilangan sifat-sifat ini !

Tidak dapat tidak, kadang-kadang kita tidak menyedari hakikat ini.
Maka, kita terlupa untuk menjauhkan diri daripadanya.
Kita terlupa untuk menjaga diri dari halangan ini.

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingatinya Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan kitab. Kemudian, berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (Al-Hadid : 16 )

Allah melarang kita,
meminta kita untuk berwaspada dari mihnah ini.

Kerana seorang daie tiak boleh bergerak tanpa hatinya.
Seorang daie tidak boleh bergerak seperti cawan yang kosong.

Kerna, bagaimana cawan yang kosong boleh mengisi cawan yang lainnya ?

Bagaimana layang-layang yang seakan sudah putus talinya hendak berarak dalam mendung kelabu ?

Bagaimana seorang daie ini mahu memberikan kehidupan sedangkan dia ‘mati’ ?

Bagaimana dia ingin menunjuk arah orang lain sedang dia sendiri hilang arah ?

Sungguh, derita benar keadaan itu !
Derita untuk dirinya.
Dan derita juga buat manusia sekelilingnya.

Maka, berpeluk tebuh menjadi pilihannya.
Mendiamkan diri menanti sinar mentari yang bakal menjelma.

Sungguhpun, seorang daie itu tidak patut berasa aman senantiasa.
Terlupa akan mehnah-mehnah dakwah yang tersedia buat dirinya.

Tidak kenal batas masa,
jarak dan usia,
Memecah bahagia,
Punah indah,
Hingga akhirnya perjuangan kita,
Nyata bersama kita,
Tidak perlu menjemput,
Sendiri datang menyapa. 

 

Ujian yang mendatang menyapu bersih kotoran-kotoran yang tersembunyi dalam sebuah kebenaran.
Ujian yang mendatang bertujuan melatih ketahanan iman.
Ujian yang mendatang merapatkan hubungan antara hamba dan tuan.

Bukannya dengan ujian, kita dihina.
Bukannya dengan ujian, kita disingkirkan.

Dengan ujian, ia adalah nikmat dalam bencana.
Dengan ujian, jalan dakwah ini sentiasa bersih dari penyelewengan.
Dengan ujian, pendokong-pendokong dakwah mendapat manfaat.

Ujian dan bencana bukanlah satu impak atas kesalahan yang dilakukan.
Ujian adalah sunatullah dalam jalan dakwah.

Siapa yang tidak diuji, maka dia tidak lagi bekerja.
Siapa yang tidak diuji, maka dia bukan berada atas jalan dakwah.

Allah tidak akan pernah membiarkan penolong-penolong agama-Nya sendirian.

Pasti ada bantuan-Nya.
Cuma kita yang tidak menyedarinya kerana kadangkala bantuan itu datang tanpa kita sedar.

Tugas ujian adalah menduga kita.
Tugas musuh adalah menakut-nakutkan kita, melempar sejuta fitnah, menyeksa zahir dan batin.

Mereka sudah melaksanakan tugas mereka.
Maka kita, perlu kekal bertahan.
Bertahan dengan benteng iman.

Musuh-msuh Allah tidak akan pernah berhenti bekerja kerana mereka terlalu cemburu akan tentera-tentera pembela kebenaran.
Dalam hati mereka, tersimpan satu hasad dengki yang begitu busuk.
Langsung, tekad mereka cukup kuat untuk menghancurkan mereka yang berada di atas jalan dakwah.

Pelbagai strategi disusun, pelbagai aktiviti dirangka,
demi untuk memesongkan para dua’t dari akidah yang suci ini,
dan menakut-nakutkan manusia lain untuk mengenal Islam, jihad dan dakwah.

Pada keadaan ini,
masihkah kita mahu merancang waktu berehat ?
atau memilih untuk berehat selama mana suka ?

Membiarkan mereka terus membina ‘kemajuan’,
tetapi kita tertinggal di belakang.
Mereka terus menghantui ummah dengan suara-suara kejahilan,
manakala kita menyimpan diam suara kebenaran.

Sungguh,
dakwah Islamiyyah adalah kata penuh hikmah,
menyentuh akal fikiran,
menyuci hati dan nurani.

Dakwah menyeru kepada fitrah manusia.
Tetapi, kehadiran musuh tidak dapat kita menidakkannya.
Mereka tetap menemani kita,
dalam sedar atau tidak sedar,
dalam keadaan nampak atau tidak nampak.

Itulah mereka !
Yang tidak pernah berhenti menyatakan permusuhan ke atas para dua’t ilallah.

Apapun,
ujian yang menimpa para dua’t akan silih berganti.

Ujian punya hikmahnya yang tersendiri.
Membezakan antara yang benar dan dusta.

Melalui ujian , dapat dikenal pasti siapa yang benar-benar ikhlas, dan siapa yang tidak.
Melalui ujian, nyatalah keadilan Allah itu setimpal pada tiap-tiap golongan.

Kata-kata Imam As-Syahid Hassan Al-Banna :

Di kala kamu telah memulakan perjalanan di jalan para pendokong dakwah dan ujian-ujian ini boleh jadi panjang, adakah kamu sanggup bertahan ?

Dalam pada itu kita tidak menafikan adanya kesalahan yang telah kita lakukan kerana kita adalah manusia. Kita pun bukanlah maksum yang terpelihara dari segala kesalahan. Pada hakikatnya, barangsiapa yang bekerja, tentu terdedah kepada kesalahan dan orang yang tidak bekerja tidak akan terdedah kepada kesalahan. Tetapi kesalahan yang mungkin kita lakukan itu hanyalah merupakan kesalahan juz’iyyah atau kesalahan perseorangan yang terjadi sebagai natijah ijtihad dari pemikiran manusia yang terbatas dalam batas niat yang baik yang kita berharap mendapat pahala darinya. Di samping itu kita mestilah mengambil faedah dan pelajaran darinya.

Apa yang ingin saya simpulkan,

dalam rehat juga ada ujiannya kerana hidup ini keseluruhannya adalah ujian.

Hadapilah ujian sebagai manusia.
Menerima ujian sebagai seorang hamba.

Dakwah ini akan tertegak andai para pendokongnya dilatih dengan kepayahan,
bukan kemudahan. 

si pemancing itu

Dan di petang itu,
Dia sedang memancing,
Di tepi Nil yang menyimpan mangsanya,
Setia menanti,
Sambil berilham apa yang bakal terjadi.

Dan di petang itu,
Redup cahaya,
Merpati terbang menghampiri,
Bebas benar nampaknya,
Tidak sepertinya,
Masih tetap menanti,
Duduk lesu di atas tikar usang.

Dan di petang itu,
Dia kembali mengamati,
Apakah elok dia memancing begini,
atau,
Terbang bebas persis merpati tadi ?
Dia terus berharap,
Memancing tadi lebih diredhai.

Dan di petang itu,
Dia terus mencipta soal,
Berapa lama lagi ?
Apakah salah umpan yang diberi ?
Atau aku bukan pemancing yang mahir ?
Atau aku hamba yang tidak punya rezeki ?

Dan di petang itu,
Dia melihat lagi,
Pemancing lain pulang,
Tangkapan banyak,
Ada mengucap syukur,
Ada membayang kemewahan,
Apa aku ini tidak cukup maju ?
Atau memang usahaku ini hanya jalanan ?

 ********

Seorang daie itu ibarat pemancing.
Tugasnya memancing sekalian manusia. Lebih tepat, hati-hati manusia.
Umpannya terkadang kena, terkadang tidak.
Ini resamnya.

Dan ada juga yang sudahpun memakan umpan setelah sekian lama,
sengaja melepaskannya kerana umpan itu ternyata kian basi.
Malah, meloyakan tekak mereka !

Untuk membaca takdir atau rezeki yang bakal dapat, memang susah sekali.
Kerana bukan pada tangan kita yang mengawalnya.
Segala usaha dicurahkan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Sama ada dari mangsa, mahupun untuk diri sendiri.

Jauh sekali untuk mengharapkan penghargaan manusia.
Apatah lagi mengharapkan dakwah ini sebagai sumber rezeki.

Dakwah adalah sumber ruhiyyah bagi seorang daie.
Biar terus gemilang cahaya rabbani dalam diri.
Meskipun seorang atau jamaie, dia tetap menyala dalam kegelapan.
Kerana dia bertahan menggunakan kekuatan imannya yang mantap dan aqidahnya yang jelas.
Fikrahnya akan dibawa akan terus menyucikan dirinya sendiri dan ummah ini !

Tidak dapat tidak, dakwah ini memang memberi manfaat untuk diri kita sendiri.
Ternyata, bertebarannya para dua’t pada medan jihad ini bukan satu kerugian.
Masa dan harta yang dilaburkan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Tiada yang terbaik selain dari ini kerana yang terbaik itulah dari usaha diri sendiri, bukan menumpang atas penat lelah usaha manusia yang lain.

Di kala umpan tidak mengena,
jangan sesekali kau menyimpan pelbagai jenis buruk sangka.
Mungkin kerana selera ikan itu terlalu tinggi.
Maka, wajib bagi kau untuk memberi umpan yang amat berkualiti.

Mungkin juga kerana tempat yang kau pergi tidak strategik.
Ikan-ikan di situ kebanyakkannya sudahpun memakan umpan-umpan yang sebelum ini telahpun datang kepada mereka.

Mungkin juga salahnya pada diri kau sendiri.
Sudahlah umpannya begitu,
cara memancing masih juga tidak diubah dari dulu.

Maka, jangan kau pelik tatkala melihat orang seperti kamu yang juga memancing itu mendapat tangkapan yang lebih banyak.
Mereka merancang dengan jaya dan melaksanakannya.
Mereka terus berfikir bagaimana cara untuk maju ke hadapan.

Semakin banyak langkah yang mereka tapak ke depan, semakin jauhlah kau tertinggal di belakang !

Dan tidak dapat tidak.
Musuh dalam diam juga memerhati mesra.
Menunggu masa untuk menyambar.

Dalam keadaan kita menyampaikan dakwah al-haq ini, ada juga golongan manusia yang juga berdakwah.
Fikrah mereka ini kabur !
Fahaman mereka penuh kebatilan !

Mereka berdakwah kepada golongan manusia untuk semakin menjauhi agama.
Mereka berdakwah kepada golongan manusia untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Dengan dakwah yang mereka jalankan, mereka mendapat keuntungan duniawi !

**********

Daie itu akan sentiasa faqir di sisi-Nya.
Dan sentiasa tampak hina.

Jangan sesekali merasa bangga dengan kesedaran atau ilmu yang kau ada.
Taklifan sebagai seorang daie ini bukan persis jawatan-jawatan besar.
Ia adalah satu kerja yang bakal memenatkan kau.

Ia adalah satu kerja yang bakal menidakkan segala kehendak diri sendiri.
Ia adalah satu kerja yang bakal merampas kerehatan dan keselesaan yang sebelum ini dinikmati.

Kerja-kerja dakwah ini bakal mengisi keseluruh kehidupan sehingga nafas terhenti.
Kerana peribadi seorang daie itu bukan sekadar memenuhi isi bumi,
tetapi kehadirannya seolah rahmat bagi alam semesta.

Di mana adanya dia, manusia pasti beroleh cahaya.
Di mana adanya dia, manusia pasti mendengar kebenaran.
Di mana adanya dia, manusia semakin mendapat pencerahan.
Di mana adanya dia, sekeliling peroleh manfaat.

Inilah kitaran hidup seorang daie.
Siang dan malamnya turut berganti sama seperti yang lain.
Dugaan akan terus melintang,
cabaran akan terus menghalang.

Dan dalam kepenatannya itu, dia harus juga berpenat dalam menyerah diri.
Menyimpul segala kekecewaan dan kepenatan pada Tuhan.
Bersujud untuk peroleh semula kekuatan.
Mati syahid sentiasa menjadi permintaan.

Inilah hakikat seorang daie, aura mereka ternyata berbeza dari manusia yang lain !

Malah, mereka wajib untuk menjadikan diri mereka lain dari yang lain !

Yakinlah wahai dua’t,
Apa yang kau tuju bukan di dunia,
Apa yang kau sedang buat bukan satu kerja biasa.

Kerja ini harus kau jaga keikhlasan niatnya.
Kerja ini harus kau jaga kesuciannya.
Kerja ini harus kau jaganya daripada sebarang fitnah.

Yakinlah wahai dua’t,
pulangannya di syurga sana,
Keredhaan-Nya sedang menunggu pemiliknya,
Rasulullah menanti penuh mesra umatnya,
Para sahabat ternanti-nanti siapa gerangan yang mereka cemburui.

Berjalanlah di mana sahaja.
Jalan-jalan besar atau jalan-jalan kecil.
Kutip segala pengalaman sebagai bekalan.
Jadikan  dakwah ini sebagai sumbu kehidupan.

Memancinglah di mana saja lokasi yang kau temui.
Di pantai indah, di tengah pulau ataupun hanya sebatang sungai kecil mengairi bumi.
Selagi ada mangsa, usaha tidak akan pernah berhenti.
Selagi ada mangsa, segala tenaga akan dicurah.
Selagi ada mangsa, kau sentiasa beranggapan peluang sentiasa cerah.

Tanpa dakwah, kau tidak bernyawa.
Tanpanya, hidup kau lesu lemah tidak bermaya.
Tanpanya, cinta kau seolah tidak berbunga mekar.
Tanpanya, hidup kau seolah hilang arah.

Dengannya,

Matlamat perjuangan sentiasa suci.
Tujuan kau sentiasa jelas.
Cinta kau sentiasa satu.

 

sekian,
mylittlepencil~

patah hati

Bismillah.

Salam untuk semua.
Kali terakhir aku menulis pada hari terakhir bulan Mac.
Dan ini adalah entri yang pertama untuk bulan ini.

********

Ya benar, aku sedang patah hati.
Patah hati dengan keadaan yang sama, berlaku untuk pada satu tempoh masa yang lama.

Sudah ramai di sekeliling perasan akan tranformasi yang aku lakukan.
Kurang untuk berkomunikasi.
Kurang untuk melemparkan senyuman.
Kurang untuk berkongsi.

Aku lebih banyak berfikir.
Melayani kemarau panjang dalam hati.
Menikmati kesunyian seorang diri.

Beribu persoalan yang ditanya,

” Mana awak yang dulu ? “

” Awak dah menghilang terlalu jauh, [mylittlepencil] “

” Dari UK hari tu akak perasan awak yang lama menghilang.”

Betul. Aku tidak lagi seperti dahulu.
Seorang yang begitu semangat.
Hilang girangnya.
Selalu nampak lemah, tidak bermaya.

Kini, apa yang aku mampu lontarkan adalah kata-kata yang kosong, tidak dari hati.
Bagai madah yang tiada lagu.

Dan keadaan ini sedang memunahkan diriku sendiri.
Apakah aku sedang tersungkur mati ?

Atau, aku sedang sampai di satu persimpangan hidup yang terlalu mendesak ?
Atau, ini satu proses aku dilahirkan semula ?
Atau aku mula menindakkan sunatullah jalan dakwah ini ?

Entah aku sendiri tidak tahu.

Yang pasti,
Aku merasakan impianku punah.
Mimpi aku lebur.
Harapanku sia-sia.

Aku merasakan diri ini tidak berguna.

********

Aku bagaikan sudah terlupa bagaimana rasanya menjadi seorang murabbi.
Aku bagaikan sudah terlupa tugasku adalah membina dan mentarbiyyah.

Sehingga sampai di satu tahap aku selesa menyampaikan dakwah secara umum.
Hanya berceloteh di laman-laman terbuka, tidak perlu khusus kepada mutarabbi (orang yang tertentu).

Sehingga sampai di satu tahap, aku  merasakan aku seorang daie yang tidak punya rezeki.
Rezeki dalam dakwah.

Makan cukup.
Pakaian cukup.
Duit juga cukup.

Tetapi hasil-hasil dakwah entah menghilang ke mana !

Dan bila tidak punya rezeki seperti orang lain, hatiku cepat sekali hancur.
Hatiku cepat sekali kecewa.
Hatiku cepat sekali sebak.

( Apakah aku lupa bahawa hati-hati manusia ini dipegang-Nya ? )

Sedih melihat gerabak dua’t yang melaju ini, sedangkan aku masih berada di tapak yang sama.
Sedih tatkala mengenangkan murabbi-murabbi lain seronok berkongsi rasa mentarbiyyah anak usrah mereka, sedangkan aku tidak mampu berkata apa.

Terasa hidupku ini malam sentiasa, tiada siang menjelma.
Tiada pelangi-pelangi indah.

Sudah terlalu lama aku berada di medan ini.
Berhempas pulas menjala sana-sini.
Masa berganti masa,

aku merasakan begitu sia-sia.
Tetap tiada hasilnya.
Manusia seolah kaku, tiada apa-apa tindakbalas.
Dan mereka ikut  bersama aku merasa selesa.

Aku merasa selesa baik sendirian.
Dan mereka selesa dengan kegiatan mereka seharian.

Begitulah.

Uzlah seorang daie kononnya !
Padahal aku terasa benar aku sedang cuba lari dari amanat yang aku sedar betapa penting untuk aku menggalasnya.
Dan kini, keluhan demi keluhan yang tercipta.

Dan kekecewaan aku semakin berganda.
Air mata yang disimpan dalam takungan jiwa, akhirnya melebur begitu sahaja.

Hendak diluahkan tetapi tidak tahu bagaimana.
Lalu, rasa itu aku simpan sendirian.

Semangat dakwah aku yang dahulunya membara merah menyala, kini bertukar biru malap hendak padam.

Kata murabbiyahku,
” Al-waqtu ‘ilaj.”

Masa itu adalah ubat.

Benarlah katanya.
Tetapi sebenarnya tetap tidak dapat mengubat kekesalan dalam hati.
Aku hanya bertindak mendiamkan diri saat dia berkata begitu.

Aku kini seolah berada dalam sebuah ambulan, cuma tidak tahu untuk dihantar ke hospital yang mana.
Kesakitan yang amat sangat.
Luka dalam hati sudah makin parah.

Jika tidak diubati segera, maka aku akan mati.
Mati meninggalkan kamu semua dalam medan dakwah ini.

***********

Wahai dua’t,
Kamu yang bergelar murabbi,

Janganlah kamu putus asa dalam membina.
Mutarabbi-mutarabbi yang kamu ada itu adalah rezeki dari yang Maha Kaya.

Diberi-Nya hati-hati insan untuk kau dekati.
Dihadiahkan-Nya jasad-jasad insan untuk kau tarbiyyah menjadi jundi.

Tarbiyyahlah mereka dengan tarbiyyah yang muntij.
Bina mereka dengan penuh keikhlasan dan penuh rasa rendah diri.

Keluarkan kalam-kalam suci yang dapat menyucikan jiwa mereka.
Pupuk rasa rindu agar rindu itu menjadi penguat ukhuwwah kamu bersama.

Meskipun medan menjadi seorang murabbi ini terlalu payah,
tetapi percayalah, apa yang Allah sedang berikan buat kamu adalah satu latihan dan pengalaman.

Jika kamu berjaya dalam latihan ini,
maka, hati mereka akan kau miliki.

Jika kamu pergunakan pengalaman ini sebaiknya,
maka, tidak akan kau ulangi kesilapan yang sama.

Untungnya kamu !

Lemparilah rasa syukur dengan gigihnya usaha kau membina mereka.
Gunakan segala kemahiran dan kebolehan yang ada
Warnai mereka dengan pelbagai warna.

Pegang mereka seerat-eratnya bagaimana eratnya pegangan kau kepada tali-Nya.
Jadilah bagai seorang ibu yang sedang menjaga anaknya.
Jadilah bagai seorang guru yang tidak lokek menyedeqahkan ilmunya.
Jadilah telinga buat mereka, sanggup mendengar apa sahaja.

Sungguh, kebersamaan hati itu harus ada antara kamu kerana itulah ikatan yang menjaga kesucian ikatan aqidah kamu !

Wahai dua’t,
Kamu yang  masih sedang berhempas pulas,

Jangan pernah putus asa.
Andai kau merasa begitu, maka berkongsilah.

Yakinlah,
Kau seorang daie yang sedang merubah realiti.
Dan realiti yang kau sedang cuba ubah, bukanlah satu realiti biasa.

Kau sedang membantu ummah untuk menganjak paradigma mereka !
Kau sedang cuba menyedarkan merea dari lena yang lama !
Kau sedang merubah apa yang sebenarnya cukup payah untuk diubah !

Sempurnanya dakwah bila kau beriltizam dengannya.
Sempurnanya dakwah bila kau tetap bertahan memikul tugas meskipun terasa di bahu berat benar bebannya.
Sempurnanya dakwah bila kau mampu untuk bersabar walau bagaimana dahsyat sekalipun gangguan, siksaan, tentangan dan penolakan yang kau terima.

Jadilah kamu dengan manusia itu sepohon pokok buah-buahan, mereka melemparkannya dengan batu dan dia (pokok) melemparkan mereka dengan buahnya – Imam Syahid Hassan Al-Banna. 

Marhalah taarif  memang satu marhalah yang payah.
Bukanlah bererti kau akan hilang kesusahannya tatkala kau bergerak ke satu marhalah yang lain.

Setiap marhalah punya resamnya, punya cabarannya !

Pada tahapan inilah, kedaieyan kau akan tercabar.
Semampu mana untuk kau memberi segala yang ada.
Semampu mana untuk kau mengeluarkan tenaga.

Pendek kata, selagi belum tutup mata, kerja kerja kerja dan terus bekerja !

Ad-daie illalah mesti mengetahui apa yang diperlukan manusia.
Dia mesti menyiasat dan mencari penyelesaian kepada pelbagai jenis masalah.
Dia mesti bijak mengatur langkah dalam apa yang dilakukannya.

Jauhkan diri dari sifat yang tergopoh-gapah.
Jauhkan diri dari meminta-minta hasil atau natijah dari dakwah yang kau lakukan.
Jauhkan diri kau dari berbesar hati apabila manusia mula mengurumuni engkau mendengar seruan-seruan dakwah.

Segala bicara dakwah kau ini tidak akan sunyi dari gertakan-gertakan musuh Islam.
Maka, bertabahlah  dan bersabarlah !

Jangan cepat celaru.
Jangan cepat melatah.

Yakinlah bahawa kepimpinan jahiliyyah ini akan bertukar tangan.
Matahari sekadar gerhana, bukan tenggelam buat selama-lamanya.
Pelangi masih muncul walau lebat hujan yang melanda.

Jangan terlalu gopoh-gapah !

Ibarat kau sedang memetik buah sebelum waktu ianya masak.

Hai Ikhwanul Muslimin terutama yang gopoh-gapah dari kamu dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar kamu yang meliputi ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak menyalahi batas-batas itu, dan aku telah berpuas hati dengannya. Kepuasan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya. Ya…..boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik bunga sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini lalu pergi mencari dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia. (Imam Syahid Hassan Al-Banna)

 

*********

Cuma pesanannya,
jangan kamu contohi aku.

Aku ini terlalu lemah.
Ini situasi dan keadaan yang terbaik ketika ini bagiku.
Ini latihan seorang hamba dari tuannya.

Ambil mana yang jernih.
Buang mana yang keruh.

sekian,
mylittlepencil yang sedang mengubati jiwanya.  

jiwa penghormatan

Bismillah.

Salam dakwah.
Terasa lama benar sudah tidak berjumpa dengan  laman penulisan sendiri.
Apatah lagi untuk memperuntukkan masa yang begitu lama duduk di hadapan  laptop lama-lama.
Memang perlu merancang masa dengan begitu berdisiplin.

*******************

Bagi aku, jiwa penghormatan ini kian menghilang.
Orang yang perlu menghormatinya terkapai-kapai masih mencari apa yang perlu dihormati.
Dan apa yang perlu dihormati masih lagi dibuang begitu sahaja tanpa dihormati.

Dunia kini,
aku sendiri tidak pasti apa lagi yang manusia hormati.

Agama.
Maruah.
Bangsa.

Perkara-perkara ini seolah tidak pernah mendapat tempat di dalam hati dan akal mereka.
Malah, perkara ini mungkin tidak pernah ada dalam kehidupan mereka.

Apa yang mereka hormati adalah,
HAK DIRI MEREKA SENDIRI !

Apa yang penting, adalah diri sendiri.
Dan mereka mengharapkan manusia yang lain menghormati hak diri mereka.

Agama telah hilang penghormatannya.
Maruah juga telah hilang penghormatannya.

Agama dipermainkan dan diperhamba mengikut kehendak nafsu sendiri.
Maruah juga dicabul dan dilacur sesuka hati.

Akhirnya, lahirlah satu keadaan ummah yang tidak lagi dihormati.

Musuh memandang kita dengan pandangan, ” Ah, mereka ini senang sahaja dihancurkan meski ramai. Tidak perlu kita bersusah-susah, mereka sendiri sudahpun membantu kita ! “

Ya, di puncak kehancuran inilah, penghormatan kian hilang.
Taklifan sebagai seorang khalifah tidak lagi dijunjung.
Taklifan sebagai khairu ummah tidak lagi ada di hati.

Beginilah.
Semakin lama semakin menghilang.

Bagaimana mahu mengharapkan orang lain akan menghormati jika bukan diri sendiri yang memulakannya ?

Bagaimana mahu menghormati sedangkan kita tidak berusaha untuk mencari apa yang perlu dihormati ?

Lihatlah dunia kini,
Mereka yang tidak berhak dihormati, seisi dunia menyanjungnya !
Apa yang tidak berhak dihormati, seisi dunia menghormatinya !

Penghormatan kini hilang dari tempat yang sebenarnya !
Dan kumpulan manusia-manusia yang sedar kini cuba untuk mengembalikannya !

Lalu mereka ini dipandang asing.
Apa yang mereka serukan mendapat tohmahan.
Apa yang mereka dakwahkan mendapat  penghinaan.

Wahai dua’t,
Ketahuilah.
Kamu itu jiwa-jiwa penghormatan.

Jiwa-jiwa yang menghormati hak-Nya.
Jiwa-jiwa yang menghormati deen ini.
Jiwa-jiwa yang menghormati keadaan manusia.
Jiwa-jiwa yang akan senantiasa menghormati beban dakwah ini.

Inilah jiwa seorang daie.
Dia bukan menggalas beban dakwahnya tanpa penghormatan.
Apatah lagi penghormatan itu tiada keikhlasan dan tiada kejujuran.

Apatah lagi jika penghormatan itu kamu sendiri yang mencabulnya !
Dan tinggallah diri kau seorang daie yang tiada penghormatan.

ISLAM 

Kita menghormati Islam dan mahu mengajak ummah yang kian tenggelam ini menghormati Islam.
Kita mesti menyedarkan mereka betapa perlu mereka merasa mulia dengan nikmat Islam ini.
Betapa mereka perlu merasakan dengan Islam, hidup mereka akan terasa lebih sempurna.
Barulah jalan-jalan yang lurus akan tertayang di hadapan mereka.
Yang kemudiannya jalan lurus itu tadi membawa mereka kepada keagungan-Nya.

Menghormati agama ini pastinya bukan mudah.
Perlu dimulakan  dengan pendidikan jiwa sebagai seorang hamba.
Barulah, jalan penghormatan akan terbuka.

Soalnya, mengapa perlu menghormati agama ini ?
Bukanlah terlalu subjektif apabila menghormati benda yang tidak kita nampak ?

Kerana itu aku katakan harus dimulai dengan tarbiyyah jiwa.
Apabila kau kenal agama ini dengan sebenar-benarnya, secara kaffah,
barulah kau tahu bagaimana cara untuk menghormatinya.

Fitrah kita yang utama adalah deen ini.
Jika kita kehilangan fitrah ini, maka akan kehilanganlah diri seorang manusia.

Maka, akan berkelanalah seorang manusia yang sesat di atas muka bumi ini.
Persis seekor binatang ternakan.
Punya mata, tetapi tidak melihat.
Punya telinga, tetapi tidak mendengar.
Punya hati, tetapi tidak memahami.

Miliki segala pancaindera, tetapi hidup masih lagi seperti robot buatan manusia.

Jika kita belajar untuk menghormati deen ini, maka secara tidak langsung penghormatan diri sendiri akan mengikut.
Bukan meminta manusia untuk menghormati kita,

tapi biarlah kehormatan itu pada agama atau cara hidup yang sedang kita amali.
Sekurang-kurangnya mereka menyanjung penganut-penganut agama Islam ini.

DAKWAH 

Seharusnya kita sebagai seorang daie, perlu menggalas beban dakwah ini penuh penghormatan.
Penghormatan kepada dakwah ini sendiri, dan penghormatan penuh kepada taburan manusia yang bakal menerima dakwah ini.

Lalu, bagaimana menghormati beban dakwah ini ?

Dengan kau menjadikan dakwah ini sebagai imej diri.
Ke mana kau berjalan dan berlari, akan kau bawa.
Sepenuh masa kau hidup, hanya udara dakwah yang kau hembus.

Dakwah ini keutamaan hidup kau.
Dakwah ini menjadi tujuan hidup kau.

Tidak perlu menunggu gelaran orang lain, gelarkan diri kau sebagai seorang daie.
Tapi bukan dengan gelaran yang penuh lagakan.

Tapi gelaran yang penuh dengan kehinaan.
Gelaran yang cukup menggerunkan diri sendiri.
Gelaran yang cukup menjadi peringatan buat diri sendiri.

Gelaran inilah yang tidak akan membuat kau tidak sombong untuk menangis.
Gelaran inilah yang akan menghilangkan ego dan sikap terlalu menidakkan orang lain.
Gelaran inilah yang akan menjadikan tunduk bersujud kepada bumi sebagai hamba yang benar-benar rendah tarafnya !

Dan tanda kau menghormati beban dakwah ini adalah kau berserah sepenuhnya kepada Ilahi segala natijah yang bakal diperoleh.

Sama ada orang suka atau tidak,
sama ada orang menerimanya ataupun tidak,

Batas buat kau adalah pada hanya pada gemilangnya usaha.
Dalam tangan kau, bukan hasilnya.

Malah, mungkin tangan kau yang berusaha itu tidak pernah dipandang-Nya.
Maka, sucikanlah hati.
Ikhlaskanlah jiwa.

Agar, jalan dakwah ini tidak kotor dek debu-debu kehinaan yang akhirnya memakan diri sendiri.

Dan,
dalam mengajak manusia harus juga penuh penghormatan.
Penuh dengan santunan dan budi bahasa yang pekerti.

Halus nasihatnya.

Hidup kita penuh perkongsian yang terkandung di dalamnya penuh hikmah dan kebaikan.
Perbincangan antara daie dan mad’u.

Bukannya pertelagahan yang membuang masa.
Dan apa yang dicari hasil dari perkongsian dan perbincangan adalah kebenaran,
bukan mencari siapa yang lebih benar.

Dalam menyeru mahupun menegur manusia,
harus ada penghormatan.

Menghormati keadaan hati manusia.
Memerhati elok apa kehendak mereka.
Memahami sebaiknya apa yang perlu kau sediakan buat mereka.

Kita bukan daie yang penuh dengan kalam-kalam paksaan.
Apatah lagi keluhan.
Apatah lagi cacian.

Kita juga manusia.
Nasihatilah manusia sebagaimana kau mahu dinasihati.
Pergaulilah manusia sebagaimana kau mahu dipergauli.

Bersumpahlah demi kesucian dakwah ini,
Kau akan menjaga nama baiknya.

Bersumpahlah demi kesucian dakwah ini,
Kau akan membunuh manusia dengan kasih sayang sepenuh jiwa.

Bersumpahlah demi kesucian dakwah ini,
Kau akan terus menyanjungnya dengan setinggi-tinggi iradah yang ada.

Bersumpahlah demi kesucian dakwah ini,
Kau akan terus menghormatinya !

Bersumpahlah demi kesucian  dakwah ini,
Kau akan terus berlaku jujur.

************************

Jangan biarkan dunia ini hidup tanpa penghormatan.
Manusia tidak lagi menghormati resam alam.
Maka, alam tidak akan lagi menghormati manusia.

Jika tiada lagi penghormatan,
Maka akan pincanglah hubungan yang ada.

Alam ini akan rosak dan punah.
Dan generasi manusia juga akan turut punah.

sekian,
mylittlepencil 

harta kita

Bismillah.

Salam dakwah buat semua pembaca.

Hari-hari yang mendatang kebelakangan ini memang memenatkan.
Masa semakin pantas berlari ke hadapan meninggalkan diri ini yang masih terbeban dengan pelbagai jenis tanggungjawab.

Lalu, tertinggal di belakang.
Tenaga empat kerat dikerahkan sebaik mungkin untuk menyelesaikan segalanya.
Mujur, masih ada iman sebagai harta yang paling berharga.

Rasanya, tanpa harta yang satu ini, mungkin pancit di tengah jalan.

Di atas dunia,
pelbagai jenis cara manusia berurusan dengan harta.

Ada yang bekerja keras mengejarnya sehingga terlupa urusan yang lainnya.
Ada yang bertindak menyimpannya, tidak kurang juga ada yang menyedeqahkannya.
Ada manusia  yang berbangga-bangga dengan harta yang ada.
Malah, ada manusia yang sekadar mengumpulnya. Memang hobi mereka untuk melihat harta biar sentiasa ada.
Paling pelik, ada manusia yang bercinta dengan harta mereka !
Mencium-cium harta yang mereka ada.

Namun, cara yang paling baik adalah,
berkerja keras mengumpulnya untuk digunakan pada jalan yang baik,
memberi kepada sesiapa sahaja yang memerlukan,
tidak rasa berat untuk melepaskannya.
Paling penting, jangan pernah cinta terhadap harta yang ada !

Tugas mencari harta adalah sebahagian tanggungjawab kita sebagai seorang khalifah di atas muka bumi.
Mengimarahkan bumi dan berusaha sehabis baik.
Tidak akan ada harta yang turun dari langit.
Sudah tamat zaman mukjizat.
Sunatullahnya, siapa yang berusaha dialah yang akan mendapat hasilnya.

Jangan sesekali tertinggal bahagian di dunia.
Meskipun kau seorang daie.
Kerana segala jenis amal kita di atas dunia akan ditanya.
Jangan memandang enteng pada urusan dunia.

Zuhudnya kita bukan meninggalkan dunia keseluruhannya.
Beruzlahnya kita bukan dengan membenci dunia dan isi-isinya.

Kita berzuhud dengan cara tidak terlalu gembira apabila mendapat nikmat dunia dan apabila kehilangannya tidak berduka.

Zuhud bukan bererti mengharamkan apa yang halal atau mengabaikan harta tetapi menganggap apa yang ada di sisi Allah itulah yang lebih berharga daripada segala apa yang dia ada.

Persis seorang manusia yang berpakaian indah dan bersih tetapi jauh sekali berniat untuk menunjuk-nunjuk.
Inilah zuhud yang sebenar-benarnya !

Beruzlahnya kita bukan menyepikan diri dari masyarakat.
Beruzlahnya kita bukan bererti menghabiskan sepenuh masa berzikir di masjid.

Ini bukan uzlah seorang daie.
Ini hanyalah kelakuan seorang ‘abid yang bermain-main dengan ibadahnya sendiri !

Berbezanya keupayaan fizikal dan rohani kita sepertimana bezanya makanan jasadi dan ruhiyyah kita.

Badan manusia akan tetap memerlukan makanan dari bumi meskipun kau cuba untuk menahan lapar sehingga akhirnya kau yang mati kelaparan.

Manakala, ruhiyyah manusia akan tetap memerlukan peringatan-peringatan dari-Nya meskipun kau cuba untuk lari daripadanya sehingga akhirnya kau mengakhiri nafas dalam keadaan yang alpa.

Masing-masing ada kawasannya !
Masing-masing tidak boleh ditukar fungsinya !

Kesilapan besar akan berlaku andai fizikal dan ruhiyyah itu dipaksa bekerja pada medan yang ianya tidak diciptakan untuk itu.

Sebagai contoh, jika hati yang menggilai harta, pakaian, makanan dan segala jenis keperluan duniawi, itu tandanya fikirannya sedang rosak !
Sewajarnya, dia hanya mengisi bahagian-bahagian tersebut mengikut keperluan jasadi bukan kehendak hatinya.

Dan percayalah, andai semuanya kau penuhi menurut hati, jasad kau tidak akan berjaya menampung keinginan yang terlampau banyak itu !
Jangan menikmati, kerana dengan menikmati akan menjatuhkan darjat seorang manusia dan akhirnya menyebabkan dia sering berlebihan, melampau-lampau dan mengabaikan keadaan ruhnya.

Keutuhan rohani atau ruhiyyah kita yang terasing hanyalah bukti kepada ruhiyyah yang terlampau lemah, tidak mampu untuk bertahan.
Dia mungkin seronok dengan bersendirian, tetapi hakikatnya dia jauh tertinggal daripada orang lain.
Dia mungkin berasa selamat dengan rasa keasingan, tetapi hakikat sebenarnya dia sedang terpenjara dalam sebuah keadaan yang amat menyeksakan.

Aturan hidup kita,
apatah lagi untuk seorang daie, memang ruhiyyah kita desakan terhebat untuk bergerak dan berperanan.

Bergerak untuk membina manusia.
Berperanan dalam menyelamatkan ummah.
Betapa uniknya, dengan ruhiyyah yang kuat ini kita mampu menongkah medan amal yang pelbagai.
Bercampur dan bergaul dengan manusia, mempelajari kerenah mereka.

Kita bukan ahli ibadah yang terpenjara dengan dengan mimpi-mimpi indah khayalan diri sendiri.
Kita bukan ahli ibadah yang merasa selamat dan selesa dengan keadaan diri sendiri.

Percayalah, jika kita bersikap begini,
kita masih lagi sedang lena !

Dan harta seorang daie itu tentulah dakwahnya !

Kita merasa kaya dengannya.
Kita merasa izzah mempunyainya.
Kita merasai megah bersamanya.
Kita terlalu menyintainya tetapi kita mahu orang lain juga menyintainya !

Kerana itu, kita seolah mewariskan harta-harta ini kepada orang lain.
Bertujuan generasi selepas kita akan terus membawanya sehingga puncak  kemenangan.
Agar perwarisan harta ini akan terus terwaris kepada generasi ummah yang terbaik ini !

Kita bersama ‘harta’ ini, tidak akan pernah merasa sengsara seperti manusia yang mempunyai timbunan harta.
Paling tidak pun, kesengsaraan yang dirasa akan tetap mengembalikan kita kepada Allah yang Esa.
Akhirnya, kesengsaraan itu tadi bertukar menjadi gembira.

Sebenarnya, hakikat penjagaan dan pengembangan harta ialah dengan membelanjakannya pada jalan Allah.
Maka, sebaiknya diri engkau sendirilah bahan yang terbaik untuk dibelanjakan !

Dakwah tidak akan bergerak tanpa ada yang menyampaikannya.
Dakwah tidak akan sampai pada telinga manusia yang lain selagi tidak ada yang meneriakkannya.

Bukankah kau yang sepatutnya melakukan sedemikian ?
Belanjakan diri kau untuk jalan dakwah ini.

Korbankan segalanya.
Segala kemahuan dakwah kau turuti.
Segala hajat dakwah kau penuhi.

Jadikan harta dakwah ini adalah wahana yang terbesar untuk memperoleh pahala yang terbesar,
untuk mendapatkan rahmat-Nya dan Firdaus-Nya !

Jauh sekali kita ingin menjadikan harta ini menjadi wahana kejahatan, apatah lagi mengundang kemurkaan Allah !

Dan bersyukurlah,
harta dakwah yang kita peroleh ini bukan hasil ilmu kita,
sepertimana lagak Si Qarun : ” Bahawa harta yang aku peroleh adalah hasil keilmuanku.”

Harta dakwah ini limpah kurnia dari Allah S.W.T.
Tanda Dia sedang memberi kita satu sumber rezeki yang cukup memberi barakah ke dalam kehidupan kita.
Tanda Dia mahu kita bersama-Nya, mengenal jalan-jalan yang lurus.
Tanda Dia memanggil-manggil kita untuk menjadi saff-saff manusia yang menjadi penolong agama-Nya.

Perasankah kita, dengan harta dakwah inilah hidup kita mulai berubah.
Dengan harta dakwah inilah kita menjadi lebih pemurah.
Dengan harta dakwah inilah kita jauh dari menjadi penunggang harta dunia.

Inilah harta dakwah,
Memikat dan menggoda kita dengan cara yang benar-benar berbeza !

Kita tidak akan ditipu dan diperdaya seperti dunia luar.
Malah, ada yang dipergunakan !

Sebaliknya, kita dijanjikan kebahagiaan yang sejati.
Kita dijanjikan kemewahan yang berlipat-lipat kali ganda.
Kita dijanjikan juadah yang paling istimewa iaitu melihat wajah-Nya !

Allah tidak mahu melihat kita menderita tertipu dengan mainan dunia.
” Tipah tertipu ! “

Allah tidak mahu kita terjerat dengannya kerana kita bakal sengsara.

Berkali-kali telah Dia mengingatkan kita !

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. ( 57 : 20 )

 

Pinggirkan dunia dari hatimu.
Biar kau bebas segera.
Tidak perlu lagi untuk kita merasai derita itu.

Biar kita dengan harta kita.
Biarkan kita dengan hiburan kita.

Katakanlah (wahai Muhammad) : ” Dengan limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah mereka gembira dengan sebab itu (bukan dengan sebab lain). Ia lebih baik daripada (nikmat dunia) yang mereka himpunkan.” ( Yunus : 58 )

 

segenap nafasku mengenali

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Hakikatnya, kita patut mengenali seseorang itu terlebih dahulu sebelum menapak langkah menyintainya.
Benar atau tidak ?

Kata pepatah, ” Tak kenal, maka tak cinta.”
Benar atau tidak ?

Kita ambil contoh cara kita berkenalan atau bertaaruf sesama manusia.
Kita melafazkan salam dan melemparkan seikhlas senyuman kepadanya.
Kemudian, akan bermulalan bibit-bibit yang seterusnya.
Dalam keadaan tidak sedar, mashaAllah, sudah bertahun-tahun aku mengenalinya.

Begitulah,
Dan manusia ini sememangnya suka berkenalan terutama dengan sesuatu subjek yang dapat memancing minat mereka.
Ada sesetengah manusia memilih untuk mengenali seseorang berdasarkan kata hatinya.
Ada sesetengah manusia memilih untuk mengenali seseorang berdasarkan perawakan luaran orang yang ingin dikenalinya.
Tidap dapat dinafikan juga, ada sesetengah manusia berniat jahat untuk mengenali seseorang.

Pelbagai ragam manusia di atas muka bumi ini.

Namun,
sudahkah kita kirimkan salam buat Pencipta kita ?
sudahkan mashyur rupa-Nya di mata qalbi kita ?
sudahkan perbaringan kita sebelum tidur diusik rindu-rinduan kepada-Nya ?

Atau kita sudah terlampau jauh dari-Nya ?

Tertinggallah kita hanya memakan debu-debu rindu dari jauh.
Rugilah kita, hanya menghitung kehilangan masa sambil menahan dahaga.
Penat meraung seperti orang yang putus cinta.
Lama sudah kita merindu tetapi rindu itu seakan makin menghilang kerana kita tidak benar-benar mengenali siapa Dia yang sebenarnya.

Di manakah tempat Dia dalam hati kita ?

Kata Ibnul Qayyim : pengenalan yang dapat menimbulkan perasaan malu, kecintaan, keterikatan hati, kerinduan, taubat dan kedekatan dan hanya berharap kepada-Nya.

Inilah erti kata ma’rifatullah yang sebenarnya.
Bukan seperti perkenalan biasa yang kita praktikkan sesama manusia.
Bukan seperti perkenalan biasa yang bisa sahaja kita tidak  menghargai pun orang yang kita kenal itu.
Bukan seperti perkenalan biasa yang boleh sahaja kita berpura-pura dalam hubungan yang dijalinkan.

Saat mendengar panggilan-Nya, si polan menyambut baik.
Itulah tanda orang yang benar-benar mengenali-Nya.

Saat dihimpit pelbagai jenis kesempitan dalam kehidupan, si polan kembali kepada-Nya,
Itulah  tanda orang yang benar-benar mengenali-Nya.

Saat terasa berbuat salah dan segala apa yang Dia tidak menyukainya, si polan itu bertaubat,
Itulah tanda orang yang benar-benar mengenali-Nya.

Fitrah seorang manusia,
harus mengenali Penciptanya dengan baik dan sempurna !

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap ruh mereka (seraya berfirman), ” Bukankah Aku ini Tuhanmu ? ”  Mereka menjawab , ” Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi.”  (Kami lakukan yang demikian itu) agar itu di hari kiamat kamu tidak mengatakan, ” Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini.”   ( 7 : 172 )

Kita sudahpun memberi kesaksian nyata sebelum lahir ke alam dunia ini.
Sudahpun kita akui Dia adalah pemilik kita.
Dialah Rabbul ‘Alamin ini !

Maka, kesaksian itu hanya sia-sia jika kita tidak berusaha untuk mengenali-Nya,
memilih atau mengambil jalan untuk mendekati-Nya.

Jika kita tidak mencari siapa Dia yang sebenarnya,
maka hala tuju kita akan menjadi tidak menentu.
Jika kita tidak mencari siapa Dia yang sebenarnya,
akan kerap kita menyangka-nyangka kepada-Nya.

Jika kita tidak mencari siapa Dia yang sebenarnya,
kita akan semakin jauh, semakin jauh sehinggalah kita melupai-Nya !

Sudahlah jauh dari nyata,
Biarlah kasih dan sayang itu bersatu,
tetapi kau membiarkan perkenalan itu bermula hambar,
bagaimana cinta itu akan bermula ?
Atau kau memang memasang niat hanya ingin mengintai dari jauh ?
 

Bukankah kan harum mewangi hubungan itu andai jiwa kita mengenali perihal-Nya ?
Taman yang mekar dengan bunga-bunga cinta itu menyamankan nafas yang dihirup.
Denai sungai yang dilalui terasa benar indahnya !

Tidak inginkah kita mengenali-Nya dengan lebih bersungguh ?
Mengenali-Nya sebagai seorang hamba yang tidak punya apa-apa kekayaan selain Dia ?
Mengenali-Nya sebagai seorang khalifah yang tidaklah sekuat mana kudratnya melainkan segala kudrat itu datang dari-Nya ?

Katakanlah (Muhammad), ” Siapakah yang lebih kuat kesaksiannya ? ”  Katakanlah, ” Allah, Dia menjadi saksi antara aku dan kamu. Al-Quran ini diwahyukan kepadaku agar dengan itu aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang yang sampai (Al-Quran kepadanya). Dapatkah kamu benar-benar bersaksi bahawa ada tuhan-tuhan lain bersama Allah ? ”  Katakanlah, ” Aku tidak dapat bersaksi.”  Katakanlah, ” Sesungguhnya hanya Dialah Tuhan yang Maha Esa dan aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan (dengan Allah) ”  (6 : 19 )

Lafaz syahadah itu sudah cukup untuk mengikat hubungan kita dengan Dia.
Saat kita melafazkannya, kita sudah berjanji untuk memutuskan sebarang ikatan lain sebelum datangnya ikatan hati dengan Dia.

Pabila hati kita mula suci dari ikatan-ikatan luar yang mengikat itu, kita mula meletakkan Dialah cinta yang Ahad.
Tiada yang sebelum dan selepas-Nya yang  layak untuk menggantikan tempat tersebut.
Tiada yang patut kita lebihkan cinta melainkan cinta kepada-Nya sahaja cukup membuatkan kita mabuk bercinta !

Natijahnya,
apabila kita benar-benar mengenalinya barulah iman dan taqwa itu dapat dipupuk.
Barulah cinta itu akan lebih bermakna.

Kini aku sudah kenal siapa yang ku cinta.”
Tidak berbanggakah kita apabila berupaya untuk mengenali-Nya ?
Tidak bersyukurkah kita apabila dibukakan pintu hati dan diberi petunjuk jalan untuk mengenali-Nya ?
Tidak bahagiakah kita apabila cinta kita ini seakan bertepuk kedua-dua belah tangan ?

Usah ditanya mengapa Dia tidak mengenali kita kerana Dia Maha Mengetahui segalanya !
Dia Maha Mengetahui segala isi hati kita.
Dia Maha Mengetahui akan segala perihal diri kita lebih dari diri kita sendiri !

Bukan seperti ucap seorang ibu, ” Aku ni dah masak dengan perangai kau.”
Malah lebih dari itu !
Tiada batas masa buat-Nya.
Apa yang terjadi sebelum, semasa dan akan datang kepada kita, segalanya Dia tahu !

Tiada hijab bagi-Nya yang menghalang untuk Dia mengenali kita.
Cuma kita yang sengaja mewujudkan hijab itu tanpa kita sedar !

Kita menutup pintu untuk memberi laluan kepada hidayah-hidayah-Nya datang menyapa.
Kita buat-buat terlena apabila sapaan-sapaan-Nya datang mengucapkan salam sejahtera.

Hadiahnya, kemerdekaan buat kita

Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan syirik, mereka itulah orang-orang yang mendapat rasa aman dan mereka mendapat petunjuk. ( 6 : 82 )

Inilah kemerdekaan yang dirasai golongan hamba pada zaman Rasulullah ketika dahulu.
Dengan mengenal Allah dan Islam,
mereka dimerdekakan dari rasa perhambaan kepada manusia !

Perhambaan mereka hanya untuk Allah !
Laungan Ahad, Ahad, Ahad oleh Sayyidina Bilal Bin Rabah amat menggamit tuannya saat menyeksanya.
Pelik kerana hambanya itu masih tidak rasa terancam malah berterusan mengucapkan kata-kata itu.

Dan inilah buktinya, Bilal bin Rabah amat mengenali Rabbnya !
Dia amat mengenali pemilik ruhnya, pemunya kehidupannya !
Malah, dia berasa amat yakin akan segala segala ketentuan dari-Nya !

Dan Bilal telah pun dikurniakan kemerdekaan seperti itu.
Kita ?
Masih lagi berteduh di tempat kemerdekaan yang usang, yang tidak akan bertahan lama.
Merdeka bagi kita hanya sebagai satu sambutan pembebasan daripada cengkaman musuh.
Lupakah kita untuk merdeka dari perhambaan nafsu sendiri ?

Hadiahnya, ketenangan buat kita

(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenteram. (13 : 28 )

 

Hadiah ketenteraman yang sejati.
Terasa setiap langkah dilindungi.
Terasa setiap saat dalam kehidupannya terjamin.

Tidak mahukan kita mengejar ketenteraman ini sedangkan dunia luar terlampau huru-hara buat kita ?
Tidak mahukan kita peroleh ketenteraman ini sedangkan sebenarnya dunia luar semakin menyerabutkan hidup kita ?

Ketenteraman janjian dunia hanya sekadar hiburan picisan di tepi jalanan yang masih panjang.
Makin disuap, makin kita mahu.
Makin kita mahu, semakin kita leka.
Hingga beberapa kali kenyang pun, masih terasa laparnya !

***********

Maka, berilah peluang kepada hati kita untuk mengenali-Nya.
Menjadi satu urgensi buat kita.
Bulatkan tekad dan ikutlah segala kemahuan-Nya.
Tinggalkan segala larangan-Nya.
Tidak terlambat lagi bukan untuk mencari siapa Dia yang sebenarnya ?

 

sekian,
mylittlepencil 

sebuah drama perjuangan

Bismillah.

Salam dakwah buat semua pembaca yang aku kasihi.
Sekiannya, sudah 88 tahun lamanya kita menikmati keadaan Islam itu berada di bawah.
Tidak begemerlapan bagai era Turki Uthmaniyyah dahulu.

Tarikh 3 Mac itu berulang kembali, seperti mana tarikh 3 Mac yang sebelum ini berlalu.
Wajib kita sebagai pejuang agamanya untuk terus muhasabah diri.
Dan meneruskan usaha membina anak-anak tangga kegemilangan itu.

Kerana, kita yakin kemenangan pasti kan muncul kembali.
Kekalahan dan penindasan ini akan sirna !

*************

Kini, sebuah drama peperangan ditayangkan sekali lagi.
Episod demi episod yang menyayat hati terus berlaku.
Satu demi satu perihal ummat Islam dirobek begitu sahaja.

Kini, terasa seperti sempitnya dunia.
Seakan mereka mahu mengatakan kepada kita,

Ah, kehadiran orang-orang Islam di atas muka bumi ini tidak memberi apa-apa impak kepada kita. Boleh dipakai bila mahu, dan juga boleh dibuang bila mahu.”

Persis inilah kelakuan mereka terhadap kita.
Kita dihina dan diberi tohmahan yang cukup menggetarkan jiwa.
Sudahlah mental disiksa, fizikalnya juga begitu.

Bagai jauh benar bintang di atas awan itu.
Memang terlalu susah untuk mencapainya tanpa azam yang tinggi.
Apatah lagi jika hanya berangan-angan sehingga terleka tanpa ada sedikitpun usaha.

Begitulah kemenangan.
Sukar untuk mendapatkannya, tetapi tidak mustahil !
Kerana apa yang berlaku ini adalah proses pengulangan sejarah.

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukmin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu bermegah kerana ramainya bilanganmu, (dan) jumlah yang banyak itu sedikitpun tidak memberi manfaat kepadamu, dan bumi yang luas itu telah kamu rasa sempit, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan juga kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang- orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir”. (Surah at-Taubah: 25-26)

Jika dibuka kembali tirai sejarah Islam, jarang bilangan tentera Islam melebihi tentera musuh.
Tetapi mereka mampu menjuarainya,

dengan bekal dan kekuatan yang mereka ada.
Sebaik-baik bekal adalah taqwa.
Sebaik-baik kekuatan adalah kekuatan berkonsekuensi dari iman.

Inilah rahsia mereka !
Maka, mereka turun ke medan perang dengan tiada gentarnya terhadap musuh.
Mereka memotivasikan diri dengan begitu positif.

Bau-bau syurga yang harum mewangi menyapa mereka dari jauh.
Darah pada tubuh mereka hasil tikaman musuh nanti itulah impian mereka.
Mereka telah menempah tempat mereka di syurga lebih awal dari kita !

Mereka menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat.
Bergema dari jauh, ” Ya, kami mahu mati.”
Mereka dirasuk sehingga musuh yang ramai itu menjadi takut untuk berhadapan  dengan himpunan manusia yang mempunyai semangat sebegini !

 “Dan perangilah mereka, sehiggalah tidak ada lagi fitnah (gangguan-gangguan terhadap umat Islam dan agama Islam ) dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah (Islam mengatasi agama-agama yang lain). Maka jika mereka berhenti (dari kekafiran), sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka lakukan. Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong ”. (Al-Anfaal : 39-40 )

Ayat ini cukup menyentuh jiwa kecilku mengenangkan para pejuang Palestin, Syria dan dimana-mana sahaja mereka yang sedang sibuk memperdagangkan nyawa mereka.

Terbaru, apa yang melandai bumi Syams (nama lama) cukup dahsyat.
Keamanan mereka tergugat.
Keselamatan mereka terancam.
Keimanan mereka menjadi bahan mainan.

Namun, mereka terus berjuang.
Inilah cara mereka menunjukkan bukti kepada penyaksian syahadah mereka !

Takkan Melayu hilang di dunia,
             Takkan Islam itu hilang buat selama-lamanya ! 

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Merekalah para as-Sodiqun (orang-orang yang benar sikap dan pegangannya)”.
( Al-Hujurat: 15 )

Terpandang ayat ini cukup mengingatkan aku kepada mereka.
Mereka sedang beriang-ria di sana menggadaikan nyawa mereka.
Bertadhiyyah sehabis baik.

Persis sebuah rapsodi keriangan.
Kita ?

Sedang lagi membina keindahan seboleh mungkin hidup di atas dunia.
Drama kehidupan kita sedang berada di puncak keselesaan yang tertinggi.
Senyuman tidak pernah lekang.
Kita hanya peduli akan hal-hal yang berkait rapat dengan diri sendiri.
Ah, mereka di sana. Aku di sini. Biarkan mereka di sana kerana aku akan tetap berada di sini. Aku masih selamat. Masa masih banyak. Lagipun, siapa mereka untuk aku kerana aku ini sememangnya tiada sebarang pertalian darah dengan mereka.”

Inilah kelemahan ummat Islam yang pernah melanda saat jatuhnya khilafah Islamiyyah satu ketika dahulu.
Kita berasa selamat dan selesa.
Kita semakin jauh dari semboyan-semboyan jihad.
Kita semakin cinta kepada dunia dan takut untuk berhadapan dengan kematian.
Kita semakin leka dengan permainan dunia yang cukup menghiburkan ini.
Kita semakin gemar melatih diri menjadi keldai-keldai tunggangan nafsu.

Inilah diri kita yang sekarang.
Kerana itu, kita tidak pernah peduli akan perihal manusia seaqidah dan seislam dengan kita di tempat-tempat lain.
Jiran sebelah-menyebelah tidak kita layan, apatah lagi bagi mereka yang jauh dari pandangan mata.

Perang sudah tamat.”
Inilah kata hati kita yang kononnya memberika keyakinan.
Hakikatnya, palsu !

Kita tersenyum lebar.
Senjata sudah kita lucutkan, peluru sudah kita habiskan.
Askar-askar dan pendekar-pendekar sudahpun pulang ke rumah masing-masing.

Dirasakan tiada bezanya antara kita dan musuh.
Musuh sudah berani bersalam dan bergambar bersama kita.

Lakonan demi lakonan akan terus dilakonkan dengan baik oleh musuh.
Bantuan kononnya dihantar.
Sesi dialog antara pemimpin akan terus tersiar di media.
Pujian-pujian bodoh mula lahir dari mulut kita yang sebenarnya buta !

Soalnya,
Apakah benar perang ini sudah bubar ?

Buka mata hati !
Apakah sebutir peluru itu mendapat bunga sebagai gantinya ?
Apakah sedas tembakan itu mendapat emas sebagai pulangannya ?
Apakah nyawa-nyawa manusia yang melayang itu tampak indah di mata kamu ?
Apakah dengan melihat ketakutan mereka menjadi satu hiburan untuk kamu ?

Atau, kau sebenarnya musuh dalam selimut ?

Lebih bergemar berbunuhan dengan orang Islam sendiri berbanding berperang dengan musuh.
Kau lebih gemar mengambil nyawa mereka berbanding menikam musuh yang ada di depan mata.

Maaf, ini bukan cerita sebenar.
Mata kau sedang dipalsukan.
Hati kau sedang dibutakan.

Mana pergi logik akal ?
Mana pergi rasa sensitif yang dibina iman ?
Mana pergi semangat juang yang ada satu ketika dahulu ?

Perang ini masih belum tamat.
Ada rakan-rakan kita di sana yang perlu kita selamatkan.
Mereka memerlukan bantuan kita.
Mungkin jauh sekali untuk kita menjejakkan kaki ke sana, tetapi sekurang-kurangnya kau berdoalah buat mereka.
Sekurang-kurangnya, kau ingat pada mereka.
Sekurang-kurangnya, kau peduli tentang mereka.

Sudah-sudahlah sibuk menunaikan hak diri kau sendiri, sekarang tunaikan pula tanggungjawab kau terhadap mereka.

Ingat, warna kulit kita dan musuh tidak akan selamanya sama !
Aqidah menjadi pemisah.
Kita berada di pihak yang benar, maka kalimah kebenaran itu harus dijulang sehingga menaungi bumi ini satu hari nanti !
Kalimah kebatilan itu tidak sepatutnya menjulang tinggi ke langit !

Jangan ketinggalan jauh di belakang sewaktu orang lain sedang sibuk membina asas menuju kemenangan.
Tiada kuasa ajaib atau sebarang hadiah dari langit akan turun begitu sahaja.
Tamat sudah masanya andai  kau bersikap menyerahkan segalanya pada takdir.
Tiba sudah masanya untuk kau terjaga dari lena yang sudah lama.

Kini, bukan sekadar hak kemanusiaan yang tercalar,
Malah hak agama kita semakin hilang dari genggaman.

Bila lagi perlembagaan dunia ini akan mendaulatkan Islam ?
Tidakkah kau ternanti-nanti masanya ?

Bilakah masanya kau akan melihat musuh cukup mengagumi dan menghormati deen kita ini ?
Tidakkah kau mahu ini yang terjadi ?

Bilakah tiba masanya kau mahu menunaikan janji ?
Atau kau sudah terlupa akannya ?

Sekalipun seluruh dunia ini tidak mahu menolong,
kau bangkitlah seorang diri untuk menjadi wira-wirawati cekap menangkap musuh bagai serigala.

Sekalipun seluruh dunia tidak mengendahkan keadaan mereka,
kau bertahanlah seorang diri umpama kubu yang sedang megah !

Kesedaran juga adalah satu bantuan yang tidak ternilai harganya.

LET’S SAVE SYRIA.
” Syria in pain, do we really care ? “ 

gadis berpurdah hitam

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Moga hidup kamu tidak sunyi tatkala laman penulisan ini tidak diisi dengan bahan bacaan yanng baru.
Sekarang ini, terlalu banyak sumber-sumber yang mendekatkan kita kepada deen kita yang satu ini.

Hanya bergantung kepada kita, sama ada mahukannya atau tidak.

**********

Alkisahnya, baru-baru ini, ayah kesayangan ada menujukan sebuah lagu khas buat anaknya ini.
Jujurnya, tersentuh.
Kami menjadi lebih rapat dari sebelumnya.
Mungkin dia lebih menyukai diri aku yang sekarang berbanding diriku yang dahulu.

Katanya, ini lagu yang dia minat satu ketika dahulu.

Di bawah bangunan berpuluh tingkat
Di tengah-tengah
Kota yang megah
Sedang aku mencari erti
Apa itu indah
Apa itu suci

Lalu melintas gadis berpurdah hitam
Inginku tanya ke mana arahnya
Mungkinkah ada jawapan di sana
Sampaikan
Sampaikan utusan mulia
Sampaikan
Sampaikan itu jawabnya

Duhai gadis berpurdah hitam
Lambang keimanan
Cahaya kesucian
Bawalah aku ke arah tujuan
Ertinya indah kalau beribadah
Ertinya suci bersihkan diri

Kumpulan Kembara
Lagu: M. Nasir / Senikata: S. Amin Shahab 

Kali pertama aku mendengar lagu ini, hati tidak merasakan apa-apa yang luar biasa.
Hanya sekadar lagu yang menyebut tentang manisnya Islam ini.
Islam bermakna penyucian diri dan sememangnya Allah mengehendaki kita untuk senantiasa menyucikan diri.

Kali kedua aku mendengar lagu ini, hati masih lagi rasa biasa.
Cuma terbuai dengan rasa betapa istimewanya diri ini mendapat sebuah lagu dari seorang ayah !

Kali ketiga aku mendengar, aku mula mengambil ibrah.

Pada aku, seorang daie persis gadis yang berpurdah hitam.
Melintas di mana-mana sahaja akan menjadi tumpuan.

Bukan kerana cantiknya kita,
Bukan kerana popularnya kita,

Tapi kerana betapa asingnya kita !

Pakaian kita tidak sama dengan pakaian mereka.
Kelakuan kita dianggap pelik.
Perasaan kita dipermain-mainkan.

Seringkali, kita tersepit antara dua keadaan.
Menyelamatkan manusia dengan cara yang mereka suka sehingga meninggal prinsip-prinsip kita,

atau,

Bersikap tegas dengan prinsip yang ada dan bergantung kepada manusia sama ada mereka menyukainya atau tidak.

Dan pabila kita melintas jalan-jalan dunia ini,
Tidak dinafikan ada manusia yang cuba untuk mendekati.
Mereka ingin meminta tapi tidak tahu bagaimana ingin memulakan bicara.

Mereka tahu apa yang mereka mahukan, tetapi mereka masih malu untuk membuka kata.
Tetapi ada juga manusia yang memang memandang enteng kepada kita.
Bukan setakat menjauhi,
malah mengajak manusia yang lain untuk juga menjauhi kita !

Macamlah kita ini membawa satu jenis virus yang terlampau bahaya sehingga mampu membunuh mereka !
Macamlah kita ini satu kumpulan manusia yang ingin memberi himpunan masalah kepada mereka !

Ya, kadang-kadang beginilah hakikat manusia.

di tengah-tengah kota yang megah

Kita umat pertengahan yang sedang berada di tengah-tengah keadaan dunia yang sedang dikuasai jahiliyyah yang kian menghanyutkan sekalian ummat manusia.

Manusia tidak memberi perhatian kepada suara-suara kita.
Hanya nyanyian-nyanyian jahiliyyah yang mampu menghiburkan hati mereka.

Mereka merasa cukup puas dengan apa yang sajian-sajian dunia.
Makin lama, makin terasa enaknya.
Makin lama, makin rasa ketagih untuk mendapatkannya.

Maka, kita tetap terus bertahan menyajikan makanan penyucian jiwa,
makanan buat ruh-ruh mereka yang terperangkap di dalam sebuah penjara yang cukup menyeksakan itu !
Kita berterusan bekerja dan menghidangkan ma’idah-ma’idah ini walapun terdengar di corong telinga,

” Masakan apa ini, tidak sedap langsung.”
” Mana datangnya masakan sepelik ini.” 

Lalu, kita merintih seorang diri dalam hati.
Alangkah indahnya andai mereka tahu apa yang sebenarnya patut mereka cari.

Di dalam kemegahan jahiliyyah inilah, kita juga patut berasa megah (‘izzah) dengan risalah yang kita bawa.
Kita patut rasa menang dengan tanggungjawab yang tergalas kerana sekurang-kurangnya kita sudah menjalankannya.

Tetaplah merasa enak dengan hidangan yang ada.
Tetaplah tabah membawanya ke mana-mana kerana pasti masih ada manusia yang mahu menerimanya.
Jika hanya seorang manusia pun tidak mengapa !

Bukankah dengan rasa ‘izzah ini kita akan merasa lebih kuat dan keyakinan akan memuncak tinggi ?
Maka, untuk para dua’t sekalian,
jadilah gadis berpurdah hitam yang merasa cukup ‘izzah pada agama Islam ini !

Sampaikan
sampaikan utusan mulia 

Risalah yang terhenti tanggal 1924 dahulu, kini bersambung dan terus bersambung.
Rantaiannya terus memanjang.
Jalanya terus melebar ke pelusuk dunia.
Manusia yang menjadi kuda-kuda tunggangan dakwah kian bertambah.

Menyampaikan,
memang ini tanggungjawab kita.

Walau sepotong ayat.
Jika kau tidak bisa berbicara, tunjukkan melalui qudwah hasanah yang ada.
Jika kau tidak bisa juga, kau sebarkanlah melalui dengan sejumlah wasilah (cara) dengan bakat yang ada.
Jika kau tidak bisa juga, aku juga tidak tahu lagi bagaimana.

Kerana sememangnya tugas kita adalah MENYAMPAIKAN !

Bila kita menyempurnakan tugas ini, barulah kita memulakan langkah membina seorang manusia.
Dan jika kita tidak mula proses menyampaikan, bagaimana manusia yang lain akan mengetahui tentangnya ?

Sampaikan, sampaikan !
Itu jawabnya. 

Jangan pernah kecewa,
kerana masih ada manusia yang memerlukan khidmat kita.

Cuma mereka sedang berada di tengah-tengah kota yang menghanyutkan itu dan tidak tahu ke mana arah yang sepatutnya dituju.
Dan mereka tidak bisa mencarinya sendirian tanpa ada yang menunjukkan jalan.

Orang sesat juga bertanya,
Apatah lagi mereka yang seolah sudah buta dari kebenaran ?

Sedang aku mencari erti
Apa itu indah
Apa itu suci

Ya, mereka dalam keadaan terkial-kial.
Mereka ibarat bayi yang baru cuba untuk bertatih melintas jalan.
Jika tidak tahu melintas dengan betul,

mereka akan mati dilanggar mana-mana kereta yang sedang memecut laju.
Bukan sahaja fizikalnya yang ranap, malah yang dalamnya turut punah !

Itulah dahsyatnya keadaan alam sekarang ini !

Lalu melintas gadis berpurdah hitam

Dia melihat kita berjalan melintasinya.
Masihkah kita mahu hanya melintasinya begitu sahaja ?

Tanpa bertanya ke mana arah tujuannya ?
Tanpa memberitahunya mana satu jalan yang betul ?
Tanpa memberi apa-apa jawapan kepadanya ?

Alangkah sedihnya diri seorang daie andai kau masih begini.
Memang kau tidak bersemangat sebenarnya dalam menyebarkan dakwah ini.
Sepatah haram pun tidak terkata.
Sedangkan manusia itu menunggu-nunggu apa yang bakal kau ucapkan !

Dia telah membuka hatinya.
Dia telah menadahkan telinganya.
Dia masih lagi menanti….

Tetapi, tetap kau masih lagi membisu tidak berkata.
Sehingga kau membiarkan dia melintasi sendirian,
tanpa dia mengetahui apa akibatnya jika dia melintas jalan dunia ini begitu sahaja.

Dan saat dia mula menapak langkah melintasi jalan,
kau masih lagi berdiam diri.

Sehinggalah……….

Sehinggalah………kau mendengar satu dentuman bunyi yang begitu kuat,
Lalu kau toleh ke belakang…….

Kau melihat,
dia sudah terdampar di tengah-tengah jalan,
mengalir keluar darah di setiap penjuru tubuhnya, membasahi pakaiannya.
Sebuah kereta baru sahaja melanggarnya.

Lalu kau meluru laju kepadanya dengan rasa bangga menjadi manusia yang pertama menghulurkan bantuan padanya sedangkan sebenarnya kau sudah terlewat !

” Akan aku bawa kamu ke hospital dengan kadar yang segera. “
” Tak usah. Nyawa aku sudah di hujung tanduk. Aku kesuntukan masa.”

Lalu, dia bertanya kepada kita,
” Mengapa tidak kau beritahu padaku akan bahaya ini ? “ 

Sambil tangannya erat memegang tangan kita.
Dan akhirnya, nafasnya tamat.
Pegangannya lemah dan terkulai.

Kini, siapa pula yang menangis ?
Bukankah kau tahu apa yang ingin disampaikan tetapi kau masih memilih untuk menyimpan kata-kata tersebut dalam hati !

Wahai para dua’t,
Janganlah kau bersikap begini hingga ke akhirnya !

Kelak,
Kau adalah manusia yang mendapat kerugian yang berlipat-kali ganda !

Pastikan di saat kau bertemu Tuhanmu di sana nanti,
Kau adalah manusia yang mulia !

Kau mulia dengan janji yang telah ditunaikan.
Kau mulia dengan segala usaha yang telah dicurahkan.