dakwah : peluang membuktikan

Bismillah.

Jalan dakwah ini satu peluang untuk kita semua membuktikan.

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan : ” Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi ? (Al-Ankabuut : 2) 

Membuktikan hak syahadah bukanlah sekadar pada telunjuk jari yang terangkat ketika solat.
Membuktikan iman pada amal-amal dengan rasa ikhlas dan ihsan sehingga darjat amal itu sampai pada tahap ahsanu ‘amala.
Membuktikan segala anggota yang dikurniakan oleh Allah untuk menyeru manusia ke arah kebaikan dan berusaha mencegah segala kemungkaran yang ada.
Membuktikan bahawa perjuangan bukanlah satu kata yang tergantung pada semangat, tetapi pada ruhnya !
Membuktikan bahawa cabaran demi cabaran itu memberi gentaran tetapi tidak mampu mematahkan semangat.

Pembuktian demi pembuktian.
Inilah jalan dakwah atau jalan amal kita.
Jika kita tidak membuktikan, maka apa yang akan terbukti di akhirat kelak ?

Kita bukan sekadar mahu membukti dengan gelaran sebagai seorang daie kerana gelaran itu juga milik ramai lagi para dua’t yang jauh lebih hebat dari kita. Malah, sejak dari dulu lagi Rasulullah S.A.W mengajar kita untuk membuktikan serta melatih para sahabat untuk membuktikan.

Lihat, pembuktian mereka bukan biasa-biasa.
Pembuktian mereka tiada tolok bandingnya.

Mereka membuktikannya dengan bersungguh-sungguh.

Kita sering terlupa dengan hak pembuktian ini.
Ambil mudah dan bila beramal ibarat sekadar melepaskan batuk di tangga.
Atau peribahasa baru buat para dua’t, ‘ Ibarat melepaskan semangat hanya pada nafas’.

Begitulah.
Akhirnya, pembuktian kita sama sahaja seperti orang lain.
Tiada apa yang istimewa. Tiada apa yang berharga.

TIdak cukup hanya dengan kita bersoseh-soseh tentang dakwah dan tarbiyyah tetapi kita tidak lagi memaknai sepenuhnya dakwah dan tarbiyyah dalam keseluruhan kehidupan kita.

Tidak cukup dengan hanya berbangga diri dengan menjadi kader dakwah dan ahli sebuah jemaah dakwah tetapi tidak pernah menjadi pemikir dakwah.

Ayuh, berfikirlah tentang dakwah !

Bumi Mesir sekarang menyaksikan pembuktian-pembuktian mulia di kala pihak musuh membuktikan mereka berkuasa atas segalanya.

Musibah yang menimpa di sana adalah peluang kepada mereka untuk membuktikan. Membuktikan bahawa ketika musibah ini menjadi luka, dakwahlah yang menjadi penyembuhnya. Musibah itu mungkin memakan jasad mereka, tetapi ruh dan semangat mereka memarakkan mereka yang masih hidup dan meneruskan perjuangan.

Kita pihak musuh sibuk mengejar target duniawi mereka, kita gunakan jalan dakwah ini untuk membuktikan bahawa segala perancangan kita tertakluk pada kuasa-Nya kerana kita beriman pada tadbir Rabbani.

Kalimat-kalimat kita menjadi boneka lilin
Jika kita mati untuk mempertahankannya
Maka saat itulah ruh merambahnya
Hingga kalimat-kalimat itu hidup selamanya
(Sayyid Qutb)

Bayangkan jika kata-kata ini hanya menjadi desiran nafas, didengar sebelah telinga kemudian terus keluar melalui telinga sebelah lagi.

Andai berjuta kata-kata hebat yang lahir dari orang yang hebat sekalipun, tanpa pembuktian pada amalnya, kata-kata tersebut hanyalah satu kehampaan dalam jiwanya sendiri.

Seolah memberi khutbah Jumaat yang penuh dengan seruan dan teori dan akhirnya melahirkan para dua’t yang sibuk ‘duduk mengaji’ berbanding beramal di luar masjid.

Begitulah para dua’t sekarang yang menjadi ahli ibadah yang bermain-main !

Jangan pernah kita terlupa dalam memberikan bukti.
Sama ada dalam keadaan sedar atau tidak, setiap inci anggota akan membuktikan segalanya  di hadapan Allah pada hari akhir nanti.

Di kala itu, kita tidak lagi mempunyai apa-apa kesempatan untuk meminta kembali ke dunia dan menghasilkan bukti-bukti untuk menyelamatkan diri daripada diseksa.

****

Ruh seorang daie itu bukan sekadar menggoncang. Tetapi ianya ruh yang mengubah !
Ruh yang membuktikan.

Dakwah bukan menjadi kesempatan-kesempatan yang palsu.
Kita guna bila kita suka, buang bila kita mempunyai kesempatan-kesempatan yang kita rasakan lebih berguna.

Dakwah bukan tempat kita mencari titik perhentian perjuangan yang palsu.
Bila kita dapat beribu alasan untuk mengelak, lalu kita gunakannya untuk kepentingan diri kita sendiri.

Dakwah bukan tempat untuk kita sekadar bermimpi sampai sudah dan akhirnya kita menemui jalan buntu akan bagaimana kita ingin mencapainya.

Dakwah adalah tempat untuk kita mencari peluang untuk membuktikan dua amanah yang kita junjung sejak mula kita mengenali dakwah ini.

Peranan seorang ‘abid dan khalifah tidak hanya berjalan atas titian-titian memakmurkan muka bumi tetapi terjalan atas jalan utama iaitu jalan dakwah dan tarbiyyah ini.

Dakwah yang tenang, namun lebih gemuruh
Dari  tiupan taufan yang menderu…

Dakwah yang rendah hati, namun lebih perkasa
Dari keangkuhan gunung yang menjulang…

Dakwah yang dekat, namun lebih luas
Dari belahan bumi seluruhnya…
(Hassan Al-Banna, Ilasy Syabab)

Kita tanya pada diri kita semula.
Apa yang telah kita buktikan sepanjang hidup ini.

Islam memberikan ransangan yang luar biasa dahsyat demi penyelesaian budaya yang menyusun salah satu dari halaman-halaman sejarah paling membanggakan dalam tarikh umat manusia. Dan, katanya ransangan itu diperoleh dengan mengatakan ‘ya’ pada akal, dan ‘tidak’ pada belenggu-belenggu. ‘Ya’ untuk tindakan, dan ‘tidak’ bagi kemalasan. ‘Ya’ bagi kehidupan yang beragama, dan ‘tidak’ untuk kerahiban.

(Leopold Weiss, The Road to Mecca)

Atau kita sudah terlupa bahawa hakikat kehidupan ini satu pembuktian ?

Pembuktian di dunia akan mempengaruhi pengiktirafan di akhirat kelak.
Moga kita tidak terlupa…

Dan moga kita sentiasa diberi petunjuk atas apa yang perlu kita buktikan dan cara kita membuktikan sentiasa lurus.

setelah sekian lama tidak menulis,
mylittlepencil

muhasabah pejuang

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Semoga Allah sentiasa memberkati usia yang telah kita lalui, mahupun yang akan datang.

********************

Terkesan dengan ayat di atas. Rasa macam kena berdas-das meriam menembak ruang jiwa saya yang kononnya mengaku pejuang agama-Nya.

Takut satu hari nanti, kalah memperjuangkan agama sendiri kerana dosa yang terlalu banyak pada diri, bukan kerana kelemahan strategi perjuangan.

Kekalahan yang diberikan-Nya kerana  mempunyai jiwa pejuang yang tidak suci dan haprak !

Seru itu dan ini, pelbagai benda didakwahkan, namun terlupa akan diri sendiri.

Ingin saya mengimbas kembali tentang Perang Badar kepada anda.

Tentera Muslimin yang hanya seramai 313, namun mereka berjaya berlawan dengan 1000 tentera Musyrikin Mekah. Jika difikirkan secara logik, orang Islam memang tidak akan menang. Tentera yang sedikit dan peralatan untuk berperang yang tidak mencukupi seperti tentera lawan.

Namun, mereka berperang dengan menggunakan kekentalan iman yang berada dalam jiwa-jiwa mereka. Dan kerana iman yang berharga itulah, Allah mengurniakan bantuan para Malaikat dan kemenangan kepada tentera muslimin.

Tentera Muslimin bukan sekadar mempertaruhkan nyawa, tetapi juga iman mereka dan semangat mereka untuk berjihad !

Bila iman yang menjadi pertaruhan, hanya Allah yang tahu betapa kuatnya seorang pejuang.

Pada saya, jika dibandingkan antara kuasa iman dan keinginan untuk mendapatkan syahid, itu lebih tinggi daripada  berapa ramai atau secanggih manapun alatan perang.

Kekuatan yang datang dari Allah itu lebih berharga !

Kekuatan yang datang dari yang Maha Kuasa !

Agaknya inilah kekuatan pejuang-pejuang kita di Palestin sana, walaupun kanak-kanak hanya berbekalkan batu, namun jiwa berbekalkan satu senjata yang amat padu. Iman mereka ! Semangat mereka untuk berjihad !

Meskipun sehingga sekarang tidak mengecapi kemenangan untuk mengambil semula tanah tercinta mereka, inshaAllah kemenangan itu akan pasti menjelang juga waktunya.

Allah masih ingin memberi peluang kepada mereka di sana untuk merebutkan gelaran syuhada’. Allah ingin memberikan peluang kepada mereka untuk mengumpul sebanyak pahala yang mungkin.

Malang sekali bagi kita, peluang itu seakan tidak pernah datang menjengah. Mungkin kerana kita tidak mengikhlaskan diri kita untuk menjadi pejuang agama-Nya  seikhlas yang mungkin.

Renung-renungkan.

sekian dari saya.

p/s : kata-kata di atas merupakan antara seruan Abu Bakar As-Siddiq dalam surat beliau menjelang Perang Yarmuk

tali penyelamat 2

Bismillah.

Salam dakwah. Salam ukhuwwah.

Semoga hari ini anda sihat dan kuat untuk beribadah kepada-Nya.

*********************************

Tali penyelamat.

Saya telah ceritakan tentang buku ini pada entri yang lepas.

Semalam, seorang ukhti menyambung lagi perjalanan kami dalam menuju jalan untuk menyelamatkan kami semua dari bahang api neraka. Untuk lebih memahami erti perjalanan dakwah yang sedang kami lalui ini.

Semua muslim dan mukmin mempunyai hadaf yang sama dalam tujuan hidup mereka. Mahukan redha Allah, mahu menjadi penghuni syurga dan mahu terselamat dari api neraka.

Dan ini semua menjadi asbab untuk kita mendapat a’fwu dan maghfirah dari-Nya. Namun begitu, apakah kita telah mengetahui jalan yang sebenarnya untuk kita menjauhi api neraka ?

Meskipun kebanyakannya telah mengetahui jalan ini, namun mereka terkadang terhenti di tengah jalan, malah lebih menyayat hati, tidak lagi mampu untuk meneruskannya lagi.

Hanya sekadar tahu, tidak cukup untuk kita mencapai hadaf kita. Peka terhadap segala mihnah yang datang, dan mendapat pertolongan Allah sebelum meneruskan perjalanan yang panjang ini merupakan antara cara untuk lebih istimrar dan menyempurnakan perjalanan ini.

Ini jalan ke arah kebenaran, jalan menuju hidayah-Nya, jalan yang mustaqim. Namun dalam perjalanan ini, pada permulaannya ramai orang yang menyertai, tetapi pada akhirnya, bilangan yang didapati hanya boleh dibilang jari.

Mungkin sewaktu berlari ke arah jalan ini, ada yang disekat kejahilan lama, ada yang tergoda dek nafsu sendiri, atau yang sengaja berhenti kerana merasakan jalan ini terlalu sukar, atau ada yang terlalu terhibur melihat nikmat dunia.

***************************************

 

Larian yang kita lakukan di atas jalan yang kita pilih ini, mesti kita teruskan meskipun nyawa dan harta kita habis kita gadaikan.

Larian ini mesti kita teruskan kerana kita tahu selagi hadaf tidak tercapai, tidak mungkin kita akan dapat mencium bau syurganya, apatah lagi memasukinya.

Larian ini bukan berganti-ganti, kita tidak boleh menyerahkannya kepada orang lain begitu sahaja selagi kudrat masih ada dalam diri dan selagi amanat belum terpatri.

Larian ini bukan singkat, malah jauh lagi, setinggi langit jauhnya, seluas alam panjangnya.

Larian ini bukan sekejap, lamanya larian ini sepanjang nyawa yang berada dalam diri. Selagi nyawa tidak lagi utusan Allah Malaikat Izrail mencabutnya, selagi itu akan kita harungi jalan ini. Malah, hembusan nafas terakhir mahu ku hembuskan pada jalan ini !

 

Ada satu ungkapan syair arab yang sangat puitis bahasanya :

Wahai jiwa, telah datang seruan kepadamu,

Seruan ini adalah seruan kebenaran, yang diseru kepadamu,

Berapa banyak telah seruan yang sampai kepadamu, tetapi kau menolak,

Malah, kau sahut seruan kejahilan ketika seruan kebenaran sampai kepadamu.

 

Credit to : Dr. Magdy Alhelaly ( minta para pembaca sedeqahkan Al-Fatihah kepadanya)

 

shita’ seorang Muslim

Bismillah.

Salam dakwah.

Moga anda sentiasa sihat dan kuat untuk melakukan ibadat hari ini.

*********************************

Ada satu hadis yang ingin saya kongsikan kepada semua yang saya fikirkan amat sesuai untuk diaplikasikan kepada para pembaca yang berada di negara yang ada musim sejuk terutamanya.

“Musim sejuk umpama musim bunga bagi seorang Mu’min : Malamnya
panjang maka dia bangun untuk mendirikan Qiamulail, dan siangnya pendek
maka dia berpuasa.”

Maka selepas ini, sila kurangkan tidur.

Dari Ibnu Mas’ud r.a katanya:

“Ada seorang lelaki yang disebut-sebut di sisi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu bahawa orang tersebut tidur di waktu malam sampai ke pagi – yakni tidak bangun untuk bersolat malam, lalu beliau sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “orang itu sudah dikencingi syaitan dalam kedua-dua telinganya” atau beliau sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “di telinganya.”

(Muttafaqun ‘alaih)

“Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi: “Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!” Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah ta’ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu’, lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersolat, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas.”

(Muttafaqun ‘alaih)