secoret tentang perubahan

Bismillah.

Entri pertama untuk Mei ini.
Seluruh alam berubah kerana alam ini adalah makhluk yang hidup.

Dan manusia juga adalah antara ahli penting dalam organisasi alam ini. Sungguh, untuk mengubah alam ini manusia itu terlebih dahulu patut berubah.

Benda lazim yang kita bualkan adalah dakwah dan tarbiyyah ini sifatnya mengubah.
Mengubah seorang individu Muslim ke arah yang lebih baik.
Mengubah satu keadaan biasa menjadi luar biasa.
Mengubah seluruhnya.

Sungguh, Al-Quran itu mengajarkan perubahan !
Lihat apa yang terjadi kepada Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang berubah setelah menerima hentakan wahyu.

Langsung terus mereka menjadi ibarat singa yang garang.
Beridentiti dengan identiti Al-Quran.

changes 3

Dulu mereka mati, tetapi kedatangan Al-Quran menghidupkan mereka dari segala aspek kehidupan.

“ Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? ” (6 : 122)

Al-Quran banyak berpesan kepada orang-orang yang beriman kepadanya tentang perubahan. Perubahan yang diajarkan oleh Al-Quran adalah perubahan-perubahan yang penting.

Perubahan yang diajarkan oleh Al-Quran bukan hanya meliputi satu aspek semata.
Perubahan ini adalah secara kaffah.
Bukanlah sekadar fizikal yang berubah, tetapi jasmaninya tidak.
Bukanlah sekadar ruhiyyah yang maju ke hadapan, tetapi jasadiyyah masih tertinggal di belakang.

Paling buruk apabila tiada perubahan pun yang berlaku.
Dan bagi seorang daie teramat buruk baginya andai dia sibuk mencanangkan perubahan tetapi dia sendiri masih berada di bawah selimut untuk berlindung daripada satu keadaan yang bernama perubahan.

Dia cuba untuk mengecualikan dirinya daripada perubahan dengan mereka pelbagai alasan. Habis semua perubahan ditangguhkan masanya sehingga langkahnya di dalam perubahan tidak dapat diteruskan.

Akhirnya, dia tidak tiba di garisan penamat yang sebenarnya di kala orang lain sudahpun tiba di garisan penamat sebuah perubahan atau melalui simpang-simpang perubahan.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (13: 11)

Ayat ini menandakan bahawa Allah SWT selalu mengawasi manusia dengan memerintahkan para malaikat-Nya untuk mengawasi apa sahaja yang dilakukannya dalam/untuk mengubah diri, kondisi dan keadaan mereka. Kerana Allah SWT tidak akan mengubah nikmat atau bencana, kemuliaan atau kerendahan, kedudukan dan kehinaan kecuali jika orang-orang itu mahu mengubah perasaan, perbuatan, dan kenyataan hidup mereka sendiri. (Syed Qutb)

APA TAKRIF SEBENAR SEBUAH PERUBAHAN ?
Apa kata Hamka tentang ayat di atas ?

Katanya, ayat ini terkenal dengan pengunggulan Allah SWT atas kekuatan dan akal budi yang dianugerahkan-Nya kepada manusia. Sehingga manusia dapat bertindak sendiri dan mengendalikan dirinya sendiri di bawah naungan Allah SWT. Manusia berkuasa atas dirinya sendiri dalam lingkungan yang ditentukan Allah SWT. Maka manusia wajib berusaha sendiri menentukan garis hidupnya. Ia tidak boleh hanya menyerah menghadapi kehidupan ini.

Perubahan adalah peluang.
Perubahan adalah satu kuasa.
Perubahan adalah pencarian baru di dalam kehidupan.
Perubahan adalah kenikmatan.

Ini simpul saya.
Dalam kamus kehidupan, kita harus mengertikan perubahan ini dengan pengertian yang lebih bermakna, pengertian yang lebih luas.

Tiada perubahan bermakna kita sudahpun berputus asa pada sebuah kehidupan.
Peredaran masa yang berlalu di dalam kehidupan ini adalah bertujuan untuk kita memantau sejauh mana perubahan yang telah kita lakukan.

Kerana itulah, perubahan itu perlu kita lakukan sehingga ke akhir fasa kehidupan kita kelak.
Perubahan tiada had masanya. Jika kita sengaja menghentikan sebuah perubahan sedangkan masa kehidupan kita masih berjalan, itu sudah menandakan kita manusia yang mati !

Perubahan adalah interaksi kita dengan kehidupan.
Sedikit atau banyak, nilainya tetap sebuah perubahan.
Perubahan itu sendiri adalah satu nilai yang berharga.

The value of change is not depends on small or big. its count on your effort to make it.

“ Korang duduk dalam dakwah ni dah memang jadi macam ni terus ke ?”

Saya pernah ditanya soalan ini oleh seorang ukhti. Pelik agaknya.
Dan kepelikan itu adalah harga sebuah perubahan.

Manusia akan terus berubah.
Cuma yang berbeza adalah arah dan masa yang diambil untuk mencapai sebuah perubahan.

Ke arah yang lebih baik atau ke arah yang lebih buruk ?
Atau ianya satu perubahan yang tiada arah tuju ?

Untuk memberi takrif sebenar sebuah perubahan, terlebih dahulu kita wajib mempunyai hala tuju dan perancangan. Bukan sekadar mimpi indah dan mainan mulut sebelum tidur, “ Aku nak berubah.”

Erti perubahan yang sebenar adalah mujahadah untuk maju ke hadapan menuju ke arah yang lebih baik di alam realiti dengan kerangka masa yang ada.

Perubahan bukan mimpi,
perubahan bukan fantasi,
perubahan adalah pergerakan.

Perubahan bukan untuk manusia-manusia robot.
Perubahan adalah kepunyaan mereka yang berkehendakkan padanya.

BAGAIMANA PERUBAHAN SEORANG DAIE ?
Dalam tarbiyyah ada anjakannya.
Dalam dakwah ada kemajuannya.

Dakwah dan tarbiyyah tidak berkehendakkan seorang daie yang sama sahaja keadaannya.
Jalan ini memerlukan jiwa-jiwa orang yang hidup.
Jalan ini memerlukan jiwa-jiwa yang mahu berubah dan mengubah.

Ya, berubah dan mengubah.
Mereka berubah bukan hanya untuk diri mereka, tetapi mereka juga berubah untuk ummah.
Dengan perubahan diri mereka, mereka akan mengajak ummah untuk sama-sama berubah.

Sungguh, perubahan itu hanya milik mereka.
Hati mereka yang  tidak punya penyakit.
Hati mereka yang punya kesungguhan.
Hati mereka yang mencintai sebuah perubahan !

Mereka mendasari perubahan itu dengan iman.
Dengan iman, mereka menyuluh dan berjalan dalam jalan perubahan.
Jalan perubahan yang disuluh iman adalah jalan yang benar-benar lurus !

Jalan perubahan yang disuluh iman adalah jalan penyucian.
“ Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy-Syams :9-10)

Sehingga menjadikan orang yang berada di dalam jalan perubahan ini mempunyai jiwa yang kaya.
Mana mungkin seorang daie itu tercicir dari gerabak perubahan sedangkan dirinya adalah salah seorang agen pengubah  ummah.

Dengan perubahan dirinya, cukup untuk dijadikan tauladan buat manusia yang lain.
Meskipun bukan contoh yang terbaik, sekurang-kurangnya mujahadah di dalam sebuah perubahan itu ada harganya !

Perubahan seorang daie bukanlah bahan mainan.
Perubahan seorang daie bukanlah atas dasar semakan atau kehendak murabbinya.
Perubahan seorang daie bukanlah bahan lakonan atau tayangan di hadapan mad’u atau mutarabbi mereka.

Perubahan seorang daie adalah kejujuran dirinya terhadap Tuhannya.
Perubahan seorang daie adalah peluang dirinya untuk berbakti pada dakwah dan tarbiyyah ini.
Perubahan seorang daie adalah kata hatinya kepada Tuhan yang disayangnya.

Perubahan seorang daie terletak pada nilai syahadahnya !

Inilah perubahan seorang daie.

Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka.
(Mafhum hadis Rasulullah SAW)

changes 2.jpg

Mari mengajar diri kita untuk menjadi seorang daie yang mendepani sebuah perubahan.
Perubahan demi perubahan.

Perubahan yang langkahnya ke hadapan.
Perubahan yang arahnya menuju kebaikan.
Perubahan yang baginya langkah penting dalam sebuah kehidupan.

Ingat, tiada perubahan bagi orang yang masih kedekut untuk berkorban.
Tiada perubahan bagi orang yang hati dan jiwanya dalam kematian.

Sekian,
sekadar entri yang ringkas mengenai sebuah perubahan.

profesionalisma kita

Berada di atas satu jalan yang payah, memang memerlukan mujahadah.
Berhadapan dengan sekalian manusia, memerlukan profesionalisma.

Mujahadah dan profesionalisma itu kita adun elok untuk memperoleh redha-Nya.
Jika kita mengejar redha manusia, mungkin segala amal di dalam medan dakwah ini tiada nilainya. Malah, mungkin sahaja kita sendiri yang akan meninggalkannya apabila sudah penat.

PROFESIONALISMA KITA : KITA PENOLONG AGAMA ALLAH !
Inilah hakikat agung seorang daie. Menjadi penolong agama Allah mengangkat darjat dirinya. Kita menginfaqkan masa dan tenaga, bahkan nyawa untuk jalan dakwah ini sebagai bukti kesyukuran kita kepada-Nya.

Hidayah-Nya yang tidak tertanding nilai itu tidak layak untuk kita balas dengan amal-amal yang biasa. Kita wajib untuk membalasnya dengan semampu-mampunya !

Sampai kita mati, kita harus membayarnya !
Apatah lagi kita ini adalah penyambung tali-tali dakwah daripada generasi terawal dahulu. Kita tidak mahu dakwah ini terhenti begitu sahaja. Jauh sekali untuk kita meninggalkan dakwah ini pada generasi manusia yang bakal merosakkannya.

Bila kita diberi peluang untuk beramal, kita jangan melepaskannya.
Jangan beri peluang kepada musuh-musuh agama Allah untuk menyekat gerak kerja dakwah mereka. Kita harus ingat tangan-tangan mereka tidak sehebat tangan Allah. Tangan-tangan (kuasa) mereka hanya mampu menghalang secara lahiriah, tetapi hakikat batiniah kamu itu dipunya oleh Allah.

Perkuatkan semangat kamu untuk terus kekal menjadi barisan manusia yang menolong agama Allah. Jangan tersingkir dari barisan ini saat kamu ditapis Allah satu hari nanti.

Lalu, mengapa saya katakan menjadi penolong agama Allah ini adalah profesionalisma kita ?
Kerana amal dakwah ini sahajalah cara yang sesuai buat kamu untuk menjernihkan kembali iman di dalam hati manusia.  Lebih untung, amal dakwah ini menjauhkan kita daripada segala aktiviti yang tidak elok malah jalan dakwah ini juga turut mengislah (memperbaiki) diri kita sendiri !

Betapa untung bukan ?
Berada di dalam jalan dakwah meletakkan diri kita di dalam sunnah termulia Baginda S.A.W. Di kota Mekah satu ketika dahulu, insan agung inilah yang mengetuk pintu-pintu rumah untuk menyampaikan dakwah. Saban hari, itulah tugas Baginda di samping tugas mentarbiyyah para sahabat yang dicintai.

Lalu, bagaimana untuk mendapatkan profesionalisma yang terhebat ?
Berusahalah untuk menjadi penolong agama Allah yang terhebat. Mustawa (peringkat) penolong-penolong agama Allah ini berbeza-beza. Maka, bermujahadahlah kamu untuk mencapai mustawa yang tertinggi di sisi-Nya !

PROFESIONALISMA KITA : KITA BERAMAL DENGAN  DAKWAH
Wajib untuk kita sentiasa memperbanyakkan amal kerana kita tidak tahu mana satu amalan yang benar-benar bernilai di sisi-Nya.
Dia yang Maha Teliti  akan menyemak setiap amalan kita.

Ikhlaskah hamba-Ku ini ?

Dan katakanlah, “ Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” ( 9 : 105 )

Allah memberi peluang untuk kita beramal di dalam medan dakwah ini sebagai salah satu cara untuk kita menolong diri sendiri saat dihisab nanti.

Mengapa kita perlu beramal ?
Kerana kita bukan generasi manusia yang hanya hanyut dengan kejayaan silam sebelum ini. Ternyata, kemenangan agung dulu itu sudah dirampas. Kini, Islam  seolah-olah dipijak oleh dunia. Lebih teruk, ummat Islam  sendiri yang mengeji agama ini !

Pernahkah kamu membayangkan bahawa Islam satu ketika dahulu sebenarnya satu agama yang amat dihormati satu ketika dahulu ?

Ya, itulah pemandangan dahulu.
Lihat di sekitar kita sekarang. Sedikit sekali manusia yang benar-benar mengamalkan Islam secara syumul dalam keseluruhan kehidupan mereka.

Mengapa kita perlu untuk terus beramal ?
Kerana kita hendak mencetak generasi yang beramal. Bukan sekadar penyokong di belakang ataupun orang-orang yang berdiam diri.

Kita mahu menyampaikan seruan “ Hayya ‘alal amal.”
Marilah kita beramal !

Kita harus meyakini bahawa peluang untuk beramal ini adalah salah satu hakikat penciptaan Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Mana mungkin seorang manusia itu melanggar sunnatullah.

Siapa yang berusaha, maka dia yang akan mendapat hasilnya.
Lalu, nilai amal bagaimana yang harus kita kejar ?

Amal  sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah.

…….Bekerjalah wahai keluarga Dawud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur.
(14 : 13)

Amal kita amal yang bersungguh-sungguh.

Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu dan akan Kami uji perihal kamu. (47:31)

Amal yang membuahkan kehidupan yang baik.

Barangsiapa mengerjakan kebaikan, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (16:97)

 

Amal yang terbaik.
Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya. (18:7)

Amal yang ihsan.
……Maka sekarang khabarkanlah kepadaku perihal ihsan. Rasulullah menjawab : Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya ia melihat engkau….. (Hadis riwayat Muslim)

Amal yang menuju Allah.
Katakanlah (Muhammd), “ Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang telah menerima wahyu, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa.” Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya. (18:110)

Amal yang penuh muhasabah.
Katakanlah (Muhammad), “ Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya ?” (Iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya. (18:103-104)

Untuk memperoleh kesemua nilai amal di atas, wajib untuk kita mulai dakwah ini dengan niat yang baik dan ikhlas. Amal ada tiga bahagian, iaitu :

 

  1. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah adalah ibadat seorang hamba.
  2. Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala adalah ibadat seorang saudagar.
  3. Amal  yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan sebagai melaksanakan hak kehambaan adalah ibadat seorang yang merdeka.

 

Maka, jadikanlah amal dakwah yang dikerjakan sebagai amal seorang daie yang merdeka. Tidak rugi bagi kamu yang memerdekakan diri dengan agama ini kerana inilah kemerdekaan yang paling agung !

Sungguh, amal yang terbaik adalah amalan yang dikerjakan sesuai dengan peribadi seseorang  mengikut waktu dan keadaan di ketika itu.

PROFESIONALISMA KITA : OBJEK MEDAN KITA ADALAH  MANUSIA
Apa jua jenis manusia, apa jua jenis respon mereka, hendaklah kau berlaku baik terhadapnya.

The Prophet S.A.W also said, “ There is nothing heavier in the believer’s scale than a noble character. ”(collected by Abu Dawud, At-Tirmidzi who declared it as Hasan Sahih)

It is crystal clear that nobleness of character creates sociability and harmony.

Objek dakwah kita adalah manusia kerana manusialah yang akan menggerakkan sebuah perubahan itu. Maka, untuk memulakan perubahan itu, manusia itu terlebih dahulu perlu berubah.

Ternyata, berurusan dengan manusia memang susah. Tidak kesemua urusan dengan manusia kita boleh berpuas hati dengan mudah. Namun, itulah urusan sesama hamba-hambaNya yang lemah.

Apa yang termampu untuk kita lakukan adalah berikan yang terbaik dan berakhlak mulia dengan kesemua manusia. Kita mahu qudwah kita sebagai seorang daie juga sebagai salah satu cara kita untuk menyampaikan dakwah meskipun terkadang memang amat pahit untuk melakukannya !

Biar masa dan pengalaman kamu untuk terus menjadikan kamu sebagai seorang daie yang matang. Matang dalam berfikiran, matang dalam menerima pandangan manusia, matang dalam segala-galanya.

Percayalah, akhirnya kematangan  itu akan menjadikan kita seorang daie yang lebih berjiwa besar. Dan, kematangan kita ini akan mengajar kita betapa penting untuk kita meneruskan langkah dalam jalan dakwah ini.

Bermuamalah (berurusan) dengan manusia mengajar kita keadilan dalam beramal. Keadilan dalam beramal memberi kebebasan kepada setiap manusia untuk beramal dengan amalan yang mulia dengan cara yang sesuai dengan dirinya namun masih berada dalam landasan syarak.

Maka, kita tidak berhak sama sekali untuk mengadili nilai amalan orang lain apatah lagi untuk menghukum seseorang itu berdasarkan apa yang dikerjakannya.

“ Bagaimana pula berurusan dengan golongan yang berlainan jantina ?”

Perlunya profesional dalam mengendalikan hubungan dengan golongan yang berlainan jantina.  Batasnya perlu dijaga oleh iman, bukan nafsu dan kehendak diri sendiri.

Sungguh, saya sendiri dahulu agak kekok untuk menerima golongan yang berlainan jantina untuk bekerjasama dalam mengendalikan sesuatu kerana saya risau batas itu tidak dapat dijaga dengan elok.

Namun, saya mula belajar satu perkara.
Perbezaan antara ikhtilat syarie dan ikhtilat yang tidak syarie. (boleh rujuk entri lama saya)

Untungnya saya bekerjasama dengan mereka yang juga memahami dan juga berusaha untuk menjaga batas-batas hubungan antara laki-laki dan perempuan.

Pentingnya, kedua-dua belah pihak wajib mendidik sensitiviti mereka untuk lebih cakna akan hal ini.  Carilah cara-cara untuk menjaga batasan tersebut sebagaimana yang telah diajar oleh Islam kerana itulah cara penjagaan yang terbaik.

Menjaga hubungan sesama manusia bukan sekadar bererti menjaga diri sendiri tetapi dalam masa yang sama kita juga menjaga maruah agama !

sekian,
mylittlepencil

 

busyra yang menipu

Bismillah.

Salam dakwah.
Salam Ramadhan buat semua.

Semoga bersungguh-sungguh kamu semua dalam berlumba mencari lailatul qadar-Nya dan keredhaann-Nya, inshaAllah.

Buang mana yang keruh, ambil mana yang jernih.
Di ketika inilah, kita berusaha untuk menyental sampai bersih segala sikap-sikap buruk kita,
dan mendidik sifat-sifat mahmudah dalam diri.

*********
Ingin saya bertanya kepada anda semua,
Pernah anda berasa tertipu dengan satu khabar berita yang kononnya menggembirakan ?

Perasaan yang pada mulanya gembira, mengempis akhirnya.
Pada mulanya senyum, tangis akhirnya.

Tahukah anda sebenarnya, berita yang gembira itu tidak selamanya gembira.
Dan berita yang menyedihkan itu tidak selamanya menyedihkan.

Kerana Allah itu yang Maha Adilnya.
Dia rezekikan buat sekalian manusia ini dua perasaan yang berlawanan.
Gembira dan sedih.
Suka dan benci.

Dan tugas kita sebagai manusia, bersikap adil kepada perasaan ini.
Letakkan di tempat yang sepatutnya.

Mana mungkin perasaan gembira itu anda letak pada berita yang menyedihkan.
Inilah keunikan manusia.

Tetapi, malangnya ada golongan manusia yang tertipu dengan berita-berita yang dikhabarkan ini.
Bila mana tibanya berita tersebut, mereka tidak merasakan apa-apa dalam hati.
Malah, lebih teruk jika perasaan berlawanan dengan apa yang berlaku.

Kesannya, manusia menjadi celaru dengan diri mereka sendiri.
Tidak tahu apa yang patut diperbuat.

Akhirnya, menjadi gila !

Sewajarnya manusia ambil kisah dengan berita-berita yang dikhabarkan setiap hari……

Lihat semula rentetan sirah Rasulullah dan para sahabat satu ketika dahulu.
Allah S.W.T sendiri yang melatih diri mereka untuk bersikap adil dengan berita-berita yang dikhabarkan-Nya.

Bila mana Allah memberitahu mereka tentang nikmat-nikmat syurga.
Mereka mula menggambarkan,
mereka mula tersenyum dan akhirnya mereka yakin dengan berita-berita gembira ini.

Datang apa sahaja desakan dan siksaan dari kafir Quraisy, mereka semakin kuat dek kerana janji-janji Allah kepada mereka.

Di saat, mereka mula lemah,
Allah menghantar khabar gembira bahawa sifat sabar itu sifat ahli-ahli syurga.

Ingatkah anda pada kisah tiga seorang sahabat sahabat Rasulullah S.A.W yang teramat sedihnya ?
Salamnya tidak dijawab oleh para sahabat.
Tambahan, Rasulullah S.A.W pula menghalang dirinya daripada mendekati isterinya.

Jujurnya, kali pertama saya mendengar kisah ini.
Saya berasa biasa.
Mungkin kerana sudah biasa berada dalam keadaan dibenci dan diboikot orang.
Tetapi, setelah mentadabbur dalam kisah ini, memang menyayat hati.

Inilah kisah Ka’ab bin Malik, Hilai bin Umayyah, dan Mararah bin Rabi’ yang melakukan kesalahan  terlewat menyertai rombongan kaum Muslimin dalam satu peperangan.

Kisah tentang perang ini cukup popular dengan kisah mereka bertiga.

Dan terhadap tiga orang yang ditinggalkan. Hingga ketika bumi terasa sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah (pula merasa) sempit bagi mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari siksaan Allah, melainkan kepada-Nya saja, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang. ( 9 : 118)

Lihat cara Allah menyampaikan khabar gembira buat mereka bertiga.
Gembiranya hati bukan kepalang setelah Allah menerima taubat mereka.

Kegembiraan itu bukan sahaja buat mereka bertiga, tetapi juga buat para sahabat yang lain.
Apatah lagi Rasulullah S.A.W sendiri !

Inilah cara para sahabat menerima apa jua khabar gembira.
Mereka bijak meletakkan perasaan dan menyusun amal mereka.

Tidak seperti kita.
Membaca tentang nikmat-nikmat syurga, tidak terasa apa.
Membaca ancaman dan gertakan tentang siksaan-nya, juga tidak terasa apa.

Mana perginya hati kita dalam menerima khabar-khabar seperti ini ?

Apatah lagi mahu mengambil pengajaran, jauh sekali.
Manusia selalu terlupa,
mudah lupa,
dan suka buat-buat lupa.

Apa yang kita ingat, hanya bahagia.
Apa yang kita ingat, hanya diri sendiri.
Apa yang kita ingat, hanya kesenangan.

Kita lupa akan khabar yang Allah beritakan kepada kita.
Betapa dunia ini hanyalah sebuah permainan.
Permainan yang memberi imaginasi kebahagiaan yang tidak kekal selamanya.
Permainan yang bakal melekakan.

 Oh dunia ini
Penuh kepalsuan
Oh mungkinkah tiada
Keikhlasan
Apakah ini
Suatu pembalasan
Ku sedar kebesaranMu Tuhan.

Aku bagai seorang
Kembara jalanan
Terumbang ambing
Di lautan gelora
Mencari kebahagiaan
Dahan untuk menumpang kasih
Mungkinkah suratan
Hidup kau selalu keseorangan
(Janji Manismu-Aishah)

Ya, dunia ini satu khabar gembira yang sedang menipu diri kamu.
Dunia menabur janji-janji manis, yang kesemuanya palsu !
Di sebalik kegembiraan ini terselindung satu siksaan yang teramat pedihnya.

“Mereka itu orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 86)

Lalu, mengapa Allah mengirimkan berita palsu ini buat hamba-hambaNya ?
Kerana Allah itu Maha Adil !

Telah saya katakan tadi, Allah mencipta penuh keseimbangan.
Diberinya akhirat, dan diberi juga dunia.

 “Dan carilah dalam kurniaan yang Allah berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu dari di dunia.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Dunia bukan tempat mencari kebahagiaan di dunia semata.
Kerana memang sifat dunia ini membahagiakan secara tidak langsung,
meskipun terkadang kita perlu gigih berusaha untuk mendapatkannya.

Yang benarnya,
dunia ini tempat untuk mencari kebahagiaan di sana.
Di sana, kamu akan kekal abadi.
Di sana, kebahagiaannya kekal, tidak akan hilang.
Malah, dihadiahkan berjuta-juta nikmatnya.

Tidak dapat digambarkan dengan pancaindera yang ada.
Betapa indahnya !

Lalu, mengapa manusia masih lagi mengejar dunia walaupun telah dikhabarkan berita tentang neraka dan segala siksaan-Nya ?

Kerana manusia itu memandang dunia ini dengan pandangan mata kasar sampai mata hati menjadi buta.
Mata hati  mereka terhijab sehingga mereka terlupa hakikat penciptaan mereka.
Sampai mereka terlupa kepada siapa mereka patut memperhambakan diri.

Sampai sudah, mereka akan terus tertipu dengan berita-berita dunia.
Dunia yang tidak akan pernah habis dengan propaganda.
Dunia yang tidak akan pernah bosan untuk menghiburkan manusia.

Sungguh, dunia ini hanya mengosongkan jiwa mereka.
Ruh masih lagi tercari-cari akan bahagia yang sebenar.

Kerana itu, mereka tidak dapat merasa apa-apa tatkala membaca berita-berita yang dikirimkan-Nya.

Betapa menyesal golongan ini nanti, tatkala melihat bumi ini dimamah kehancuran saat tibanya hari kiamat kelak !

The acts of this life are the destiny of the next.
Eastern Proverb

Ramai manusia yang terlupa.
Hidup ini adalah untuk kehidupan di sana nanti.

Bagusnya manusia itu apabila hidup di sini dia berusaha untuk bahagia,
dan untuk kehidupannya di sana juga dia berusaha untuk bahagia.

Barulah kemenangan yang dicapainya, kemenangan yang abadi.
Kemenangan seorang mukmin yang sejati.

Refleksi semula diri.
Jangan biarkan diri terus ditipu dan tertipu.

Tipah tertipu lagi !

Dunia ini bukannya  teman sejati,
dia hanya memberikan kenangan yang terindah,
saat kita sedih dan berduka,
penuh penyesalan,
kita ditinggalkan sendiri……

Selagi mampu untuk memperhambakan diri di bawah naungan langit-Nya,
Selagi mampu berharap kasih dan rahmat-Nya,
Selagi mampu untuk meminta pengampunan-Nya,

Gagahkanlah diri untuk terus menjalankannya,
untuk mengejarnya…

Hidup ini satu proses menuju cahaya,
dikelilingi dunia teramat gelapnya,
gunakan petunjuk dari-Nya untuk meniti jalan yang ada.

Sebuah peribahasa Rusia,

Бережёного Бог бережёт (Berezhonogo bog berezhot)
God keeps those safe who keep themselves safe.

Bendera-bendera dunia akan terus berkibar,
Tiupan sangkakala bakal menghancurkan,
tinggallah bendera akhirat menghakimi segala.

sekian,
mylittlepencil
~melihat dunia dengan mata hatinya

p/s :
seperti juga  Hari Raya. Kita terlalu digembar-gemburkan ‘berita gembira’  tentangnya sampai terlupa Lailatul Qadar yang teramat       indah itu TT_TT

muhasabah ukhuwwah

Bismillah.

Bingkisan kata yang bakal aku tulis ini adalah muhasabah untuk diriku sendiri dan moga-moga kamu juga mendapat pengajaran daripadanya.

Mahu aku kisahkan tentang bunga-bunga ukhuwwah yang semakin melayu.
Ukhuwwah yang dahulunya dari mereka di sekelilingku suci dan tulus.
Ukhuwwah yang dahulunya benar, tidak palsu.

Ukhuwwah yang dahulunya dari hati, bukan sekadar kata-kata luaran, berpegang-pegang tangan menyatakan kemesraan.

Kini, aku lihat ukhuwwah fillah itu sekadar menjadi lakonan.
Mereka lupa, tunjang asas ukhuwwah ini bertapak iman dalam hati.
Sumbunya, kejujuran dan berbaik sangka.
Tali yang mengikatnya, saling berpesan dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Apakah ukhuwwah hati dan ukhuwwah ‘kulit’ ini dari dua dimensi yang berbeza ?
Pabila mana sentuhan itu sekadar sentuhan, tidak ada kasih dan sayang.
Pabila mana senyuman itu sekadar senyuman, tidak ada lagi indahnya.

Dunia dakwah ibarat menjadi pentas lakonan kita para dua’t.
Kononnya, ukhuwwah atas dalam jalan dakwah inilah yang paling suci.
Bangga, duduk dalam saff yang sama.
Bangga, dengan ‘ukhuwwah till jannah’ yang tidak putus-putus diucapkan.

Terkadang ingin aku tanyakan kepada mereka,
” Apakah lakonan kamu ini sekadar untuk aku atau untuk orang lain sekali ? ”

Apakah mereka lupa bahawa ukhuwwah yang dijalinkan ini demi mencapai kemenangan di puncak sana.
Tummuhat kita yang tinggi itu.

Ketika kita berukhuwah di jalan Allah SWT, bukan hanya itu, kebangkitan Islam ada di depan mata.

Mungkin keyakinan aku kurang pada perkara ini.
Aku tidak cukup yakin untuk bersama-sama dengan mereka dalam mencapai kemenangan.
Kerana itulah, satu ketika dahulu aku lebih berminat untuk berseorang diri dalam menegakkan kebenaran.

Tetapi, Allah menemukan aku dengan mereka yang berada atas jalan yang sama.
Pastinya, pertemuan ini bukanlah kebetulan.
Ini perancangan Allah untuk kita, bersama.
Allah mahu kita membina kekuatan itu bersama-sama.
Allah mahu kita menang bersama-sama.

Allah mahu kita bersama-sama !
Berada di bawah naungan-Nya, berada di bawah dustur-Nya.
Berada pada jalan jihad yang sama.
Mampu berkorban harta dan nyawa.

Dan luar biasanya,
Kita punya pelbagai cara untuk menyatakan cinta.

Tetapi,
kini aku melihat kita seolah menyatakan cinta hanya sekadar tontonan umum.
Seperti siaran televisyen yang mahu meraih perhatian para penonton.
Rating tinggi, kita rasa seronok.

Terkadang, aku merasakan kemanisan itu patut mulanya dari hati.
Biarkan hati yang merasai perasaan itu daripada tangan yang menyentuh tangan ukhti lain terlebih dahulu.
Biarkan hati dulu yang ‘senyum’ daripada mulut yang melontar senyuman.

Biar hati itu rasa tenang tatkala apabila saling melihat wajah antara satu sama lain.
Bukan rasa mahu makin berjauh, bukan rasa benci yang bertambah.

Ukhuwwah tanpa kejujuran, bagi aku membinasakan.
Kerana anggota hanya akan penat menipu dan ditipu.
Keduanya akan terus berlakon selagi punya skrip.
Bila modalnya sudah habis, keduanya akan senyap sendiri.

Mulalah, sangkaan pula yang terbina.
Lebih banyak sangkaan, lebih membunuh perasaan dan segala kenangan manis yang ada.
Malah, kita lebih merasakan ‘aku lega bila dia tiada’.

Jangan tipu wahai ukhtiku.
Aku sendiri pernah merasai perasaan ini.
Sampai tahap allergi.
Bila dia tiada, aku selesa.
Bila dia tiada, aku gembira.

Aku akui, aku memang dari dulu teruk dalam berukhuwwah.
Peramah memang peramah, tetapi bila aku mula rasa tidak selesa,
Aku akan mula membina jarak dengannya.

” mind the gap. ”
” Sila jaga jarak anda.”

Semakin jauh aku dengannya, semakin aku tidak rasa apa-apa dalam hati.
Walaupun dia cuba untuk bermanis denganku,
walaupun dia cuba untuk bermesra denganku.

Hati mula tawar.
Bila hati sudah membina jarak, percayalah..
Ukhuwwah itu sudah lagi tidak ada maknanya.

Bahasa antara hati itu dipengaruhi oleh jarak.
Bila jaraknya jauh, maka kata-kata tidak akan sampai kepada hati yang dituju.
Hanya bila jaraknya dekat, barulah kau akan mampu memegang hatinya.

” Jujurnya, ana tak nampak usaha enti untuk berbaik dengan dia..” kata seorang ukhti kepadaku.

Aku muhabasah.
” Apa lagi hak dia yang aku tidak tunaikan ? ”

KEJUJURAN.
Aku terlalu bersangka pada dia sehingga membunuh kejujuran yang ada !

Teruknya aku !

Lalu, akhirnya aku memilih untuk berterus-terang dengannya.
Sungguh, kekuatan untuk berkata itu aku kumpul dalam masa yang agak lama.
Malah, aku juga perlu menunggu dia untuk bersedia.
Aku mahu diri aku tenang sewaktu aku berterus dengannya.
Aku tidak mahu hanya melontar kata penuh perasaan yang tidak elok.

Inilah perempuan. Bila sweet, sweet sangat. Tapi, bila bergaduh pun boleh tahan.”

Bukan sekadar mahu dia mendengar kataku, tetapi aku juga mahu bermuhasabah dengan ukhuwwah ini.
Sama-sama muhasabah.
Bukan saling menyalahkan.
Bukan untuk memenangkan diri sendiri.

Bersama-sama memulakan semula ukhuwwah yang baru.

Bukan lagi saatnya sekarang ini aku menipu diri aku sendiri dan aku menipu pada dia !
Hak aku untuk berterus-terang, dan hak dia untuk mendapat kejujuran daripada aku.

Pahit untuk dibuat, siksa untuk menelan.
Tapi, aku rasa lebih lega.
Meskipun, selepas berterus-terang harus punya masa juga untuk memberi kesihatan yang sepenuhnya,
tapi aku lebih selesa dengan keadaan yang sekarang.

Tidak terpenjara lagi dalam penipuan.

Berukhuwwah dalam kejujuran.
Berukhuwwah dari hati yang tidak penuh sangkaan.
Berukhuwwah yang ditajdid niatnya selalu.

Tidak akan aku lupakan peristiwa ini kerana bagi aku ini antara peristiwa termanis dalam hidupku.
Mengajar aku menjadi manusia yang lebih menghargai kehadiran mereka di sisi.
Ternyata, mereka banyak mengajar aku.

Sungguh, aku ini bukanlah yang terbaik.
Tetapi, aku akan cuba yang terbaik.

Kalaupun bukan untuk dia, untuk diri aku sendiri.
Revolusi untuk diri sendiri.

Sekarang, aku lebih banyak belajar daripada mengajar orang lain.
Aku banyak mengambil input daripada memberi input.

Aku mula berlatih untuk memberi ukhuwwah itu sesucinya.
Aku mula berlatih untuk memberi ukhuwwah itu seikhlasnya.

Moga-moga tidak ada lagi penipuan dalam ukhuwwah yang aku jalinkan.

Aku benar-benar mahu meneladani ukhuwwah sewaktu zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat dahulu.
Benar-benar mereka itu nampak impian mereka bersama.
Mereka jelas dengan peranan masing-masing.
Mereka memang berkongsi suka dan duka.

Mereka yang dahulunya, barisan para pemuda yang terkenal dengan kepuakan dan semangat kabilah,
mampu bernaung atas ‘bendera’ Islam yang satu.

Kekuatan saff mereka memang luar biasa.
Warna-warna mereka membentuk pelangi yang terlampau indahnya.

Yang mampu untuk katakan,
tanyalah pada diri kau sendiri.

Apakah kau selesa dengan jalinan ukhuwwah sekarang ?
Apakah kau sudah benar-benar menunaikan hak  hati kau padanya ?
Apakah kau sebenarnya memang dekat dengannya ?

Moga kamu juga di luar sana mampu untuk merevolusikan diri bersamaku.
Mulakan semula andai kau terpaksa memulakannya semula.
Masih lagi tidak terlambat.

Jangan terus memaksa diri untuk merasa selesa andai kau sebenarnya tidak selesa.
Jangan terus memberikan lakonan-lakonan palsu andai kau sebenarnya tersiksa.

Banyakkan muhasabah diri.
Banyakkan berdoa.

Dan, banyakkan perbaiki hubungan dengan-Nya.
Setiap kali kau bertindak, pastikan hati kau ada bersama.

Jadikan kasih sayang yang bertambah dari hari ke hari itu semakin menguatkan.
Bina kenangan-kenangan manis ini agar boleh kau ceritakan pada generasi akan datang sambil berkata,
” Inilah sumber kekuatan dakwah kami bersama.”

Lontarkan kata-kata yang penuh hormat dan lembut.
Jangan perli, kerana ukhti kau adalah manusia yang juga punya hati.
Dia bukan tunggul batu yang mampu menerima semua.
Baling telur pun tak  kisah !

Kawal tingkah laku.
Hormati dia,
jaga batas antara kau dan dia.

Jaga prasangka.
Andai tiba sesuatu perkara yang kau tidak puas hati, teruskan bertanya kepadanya.
Andai kau tidak selesa dia berbuat sebegitu, teruskan bercakap padanya.

Keredhaan dalam berukhuwwah itu kita mahu kejar bersama bukan ?
Pastinya, banyak onak dan duri.
Maka, tempuhilah bersama, bukan seorang diri.

Pastinya, akan tiba masa kau dan dia diduga,
Malah, akan sentiasa diduga,
Tika itu, kau galilah semula keikhlasan dan kejujuran kau bersahabat dengannya…

Jangan terlalu banyak memerhatikan orang lain dalam berukhuwwah,
tetapi perhatikanlah diri kau sendiri bagaimana cara kau berukhuwwah…

Moga Allah menyucikan hati-hati kita selalu dalam berukhuwwah.

sekian,
mylittlepencil
~dari hati seorang akhawat yang berukhuwwah 

dari hati seorang anak

Bismillah.
Salam  dakwah buat semua.

Segala kesyukuran kita limpahkan kepada Allah S.W.T kerana kita masih lagi berkesempatan meraikan 3 Ramadhan pada sanah ini.
Moga, kita menjadi tetamu agungnya hingga ke akhir nanti, inshaAllah !

********

Sekali lagi,
entri kali ini bukanlah berkenaan dengan semangat Ramadhan.
Mungkin di lain masa akan aku ceritakan bagaimana perasaanku menyambut Ramadhan kali ini.

Entri kali ini tentang belenggu yang telah lama aku alami.
Persoalan yang tidak pernah punya jawapan skema.
Setiap orang yang aku tanya, pasti punya hujah yang berbeza-beza.

bagaimana kalau kita tersepit antara menjadi seorang daie yang bergerak dan anak yang solehah ? 

Aku tidak tahu bagaimana ingin memulakannya.
Khasnya, aku ingin tujukan entri ini buat barisan para daieyah khususnya kerana pada aku, keperempuanan kita sedikit sebanyak menjadi satu batas untuk kita bertindak sebebas sebagaimana orang lelaki (dalam berdakwah)

Mengapa aku berkata begitu ?
Kerana aku merasakan kita para Muslimah ini tidak akan lari daripada menjadi bahan fitnah manusia.
Ke mana-mana kita berjalan, pasti ada mata-mata yang menatap.
Apa-apa sahaja kita katakan, pasti ada telinga yang menangkap suara-suara merdu yang kita lontarkan.

Pada aku, wanita ini sengatan yang berbisa.
Sekali terkena, pasti mengambil masa yang lama untuk mengubatinya.

Beruntungnya kita wahai para daieyah sekalian,
kita berdiri di atas jalan dakwah ini.

Kita dipandu untuk mengutamakan apa yang perlu.
Iman yang dibina di dalam tarbiyyah secara tidak langsung membina rasa malu.
Dan rasa malu itulah kita gunakan sebagai perisai untuk bertahan dalam medan yang sebenar.

Dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang daieyah, kita juga punya tanggungjawab lain.
Kita jugalah tolibah di tempat pengajian.
Kita jugalah anak solehah kepada kedua ibu bapa.
Kita jugalah seorang kakak yang punya adik-adik.
Kita jugalah bakal isteri kepada seorang suami satu hari nanti.
Kita jugalah bakal ibu kepada anak-anak yang bakal lahir.

Sedarlah, kita adalah muslimah untuk ummah !
Perhiasan dunia yang teramat cantiknya.

Adakah tanggungjawab  yang lain, yang terlalu banyak itu,
layak untuk menyekat tanggungjawab kita sebagai seorang daieyah ?

Atau dalam bentuk soalan yang lain,
mungkinkah diri kita sendiri yang tidak tahu bagaimana untuk menyeimbangkan kesemua tanggungjawab dengan jayanya ?

Bila satu tanggungjawab kecundang, kita mula menyalahkan tanggungjawab yang lain.
Inilah keadaan manusia yang lazim mata aku lihat pabila seseorang itu tidak dapat menyelesaikan tugasnya dengan baik.

Jujurnya, aku sendiri ,
bertarung dengan keadaan hati yang punya perasaan yang tida menentu memikirkan masalah ini.
Berjujuran air mata seorang diri di waktu petang sambil menatap langit yang terbentang luasnya sambil berdoa,

“ Ya Allah, berikanlah kekuatan padaku menghadapi keadaan yang sedang aku alami ini.”

Tiada lagi mampu untuk ku kata.
Sekadar membiarkan air mata mengalir sehingga kehabisan, sampailah kedengaran azan Maghrib menyapaku untuk berbuka puasa.

Lalu, mengapa persoalan di atas timbul ?
Kerana aku sedang mencari jawapan yang begitu meyakinkan,
yang mampu melegakan hati aku.

Aku mengadu kepada beberapa ukhti  tentang persoalan aku ini.
Bergenang air mata sewaktu aku menceritakan keadaan aku padanya.

Balasan jawapannya,
“ Untung mak  [mylittlepencil] ada [mylittlepencil].
Tak kenal duduk diam. Sentiasa fikir masalah ummah. Sentiasa hammasah dgn DnT.

 

Peritnya untuk kita bersabar menantikan tiba masanya ibu dan ayah kita faham akan tugas kita.
Perlunya kita ini menyelesaikan tugas-tugas dakwah di luar rumah.

Aku menyatakan padanya, memang rumah adalah salah satu medan amal juga dalam dakwah.

Tetapi, terkadang untuk memenuhi kehendak dakwah,
kita harus juga keluar dari rumah.

Dan dia menyambung lagi,
“ [mylittlepencil] dakwah dan tarbiyyah kita bukan di program sahaja.”
“ ye betul…tapi tak sepanjang masa… sepatutnya masa kita banyak kat rumah tapi untuk pengecualian kita banyak kene keluar. sebab wanita juga ada amanah utk buat kerja amar maaruf nahi mungkar kat tengah tengah  masyarakat
   ”

Dan  pengecualian untuk kita adalah dakwah.
Alasan dakwah itu adalah satu-satu alas an yang paling kukuh untuk kita keluar dari rumah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang daieyah.
Tetapi, tidak bermakna dengan pengecualian ini kita bertindak untuk terlalu berlama-lama di luar rumah, sampai rumah sendiri terbengkalai.

Jauh di lubuk hatiku,
mungkin kerana kita sudah terlatih dengan budaya sebagai seorang pelajar, apatah lagi jauh dari mata ibu dan ayah.
Kita senang untuk keluar.
Balik selewat mana pun kita merasakan tiada masalah.
Tidak perlu minta izin pada sesiapa.

Bila sampai di medan yang sebenar,
kita merasakan  segalanya disekat.

Pergi ke mana-mana, memerlukan isti’zan dari kedua ibu bapa.
Pergi ke mana-mana, memerlukan isti’zan seorang suami.

Pada aku, memang seorang muslimah itu tidak akan lari dari isti’zan dalam sepanjang hidupnya.
Sebelum nikah, daripada ibu bapa.
Selepas nikah, daripada suami.

Ada juga akhawat berkata kepada saya, kahwin dengan ikhwah antara jalan penyelesaian.
Tetapi bagiku, berkahwin akan lebih bertambah tanggungjawab.
Makan dan pakai suami perlu dijaga.

Masakan kita mahu mengaku menjadi sayap kiri dalam dakwahnya, tetapi urusan lain tidak kita jaga.
Masakan kita masih lagi mahu pulang lewat-lewat malam ?
Tegarkah kita membiarkan sang suami memanaskan lauk-pauk semalam dek kerana terlalu rajin kita berdakwah di luar ?

Tidak dapat aku nafikan, memang ada ikhwah yang se’qawi’ itu, tetapi bagiku ikhwah tetap seorang lelaki biasa.
Di hati seorang lelaki itu, tetap dia menyukai sang isteri duduk di sampingnya,
menyiapkan tugasan-tugasan rumah seperti wanita-wanita lain.

Di hati seorang lelaki itu, dia tetap mengimpikan seorang wanita yang mampu melenakan tidurnya dan menjadi seorang ibu yang cukup penyayang kepada anak-anaknya.

Entah, aku tidak mampu untuk berkata lebih.
Aku belum pun melalui fasa-fasa yang aku nyatakan.

Yang pasti, keadaan kita sebagai seorang Muslimah ada batasannya.
Tidak boleh kita pulang lewat sehingga pukul dua tiga pagi atas alasan mesyuarat membincangkan masalah ummah.
Hakikatnya, kita tidaklah sebebas persis seorang rijal.

Kita seorang Muslimah.
Dalam batasan, kita juga punya kekuatan tersendiri.
Kita punya adab.

Kerana itulah, di dalam Al-Quran Allah ada berfirman betapa penting untuk orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman untuk saling menolong, menegakkan panji Islam ini.

Yakinlah,
Lelaki ada bahagiannya, dan perempuan juga ada bahagiannya.
Inna akramakum ‘indallahi atqakum.
(yang terbaik dalam kalangan kamu adalah yang bertaqwa)

Untuk aku,
Melaksanakan tugas sebagai seorang anak yang solehah dan menjadi seorang daieyah yang bergerak pada masa yang sama, memang berat !

Belum lagi ditambah tanggungjawab yang bakal menimpa pada masa akan datang !

Kehendak dakwah memerlukan khidmat aku di luar.
Kehendak ibu dan ayah memerlukan aku untuk berada di samping mereka.

Pernah aku merasa tertekan kerana kerisauan ibu dan ayah yang terlebih sewaktu aku meminta izin untuk ke ibu kota menghadirkan diri dalam satu urusan penting.

“ Tak payah laaa..sorang-sorang bahaya.  Kuala Lumpur pulak tu..macam-macam dah jadi dekat sana.”

Aku terdiam, walaupun jiwa di dalam sedikit memberontak.
“ Bukannya aku pergi bersuka ria, buang masa.”
“ Kan best kalau mak ayah ikhwah akhawat, faham sikit.”

Pelbagai suara dalaman kedengaran, cuba untuk menarik aku,
antara redha dan pasrah,
antara tenang atau marah.

Aku naik ke bilik, menyendiri.
Kemahuanku ditolak.
Air mata menitis lagi.
Pastinya, aku tidak suka rasa sebegini.

Tetapi, bila difikirkan kembali, betul juga apa yang dikatakan oleh ayahku.
Tidak manis untuk seorang Muslimah bermusafir seorang diri tanpa bertemankan mahramnya.
Aspek keselamatan juga perlu dipertimbangkan.

Normal, kerisauan seorang ibu dan seorang ayah terhadap anak perempuannya.
Tetapi, hatiku masih agak sukar untuk menerima hakikat ini.
Apakah berterusan kerisauan mereka ini akan membuatkan aku susah untuk keluar atas urusan dakwah selama-lamanya ?

Bagaimana caranya untuk aku meyakinkan mereka ?
Berapa lama masa untuk mereka faham akan kehendak diriku ?

Kata seorang ukhti,
“ Hanya awak yang kenal ibu dan ayah awak macamana.”

Benar katanya.
Hanya aku yang mengenali hati budi ibu dan ayahku sendiri.
Hanya aku sendiri yang tahu bagaimana untuk memuaskan hati mereka.
Gembiranya mereka, sedihnya mereka hanya aku yang tahu.

“jangan takut dgn persepsi orang . orang lain tak faham situasi [mylittlepencil]. jadi kita biarkan. yang penting kita usaha sekarang nie. ”

Aku cuma takut aku tidak adil pada tanggungjawab.
Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Allahu Allah !
Ampunkan aku.

Moga masa-masa yang sedang dan bakal aku tempuh, tempoh penyembuhan untuk diriku sendiri.
Mungkin keadaan yang terjadi sekarang menyediakan aku untuk menjadi seorang daie yang lebih rasional, daie yang lebih faham tanggungjawabnya.
Daie yang lebih seimbang.

Moga keresahan yang menimpa ini tidak mencacatkan dakwahku.
Dan juga tidak mencacatkan perananku sebagai anak solehah mereka.

Sekian,
dari hati seorang anak,
yang juga seorang daei..
mylittlepencil

lidah dan isi kandungnya

Bismillah.

Salam dakwah aku ucapkan buat semua.

Moga amal dakwah kamu tidak berhenti meskipun terkadang semangat melemah dan masa tidak pernah berhenti mencemburui.

Saat penatnya diri kamu menggalas beban tanggungjawab ini, akan terpacarlah sinar keikhlasan yang akan mencahayai hati-hati kamu sampai kamu akan terlalu cintakan kerja dakwah ini !

Dalam gerak kerja kita,
tidak dapat tidak seorang daie itu sentiasa berterus-terang dalam menyampaikan kebenaran.
Jujur dalam kata-katanya.
Apa yang dikatakan adalah demi menjual apa yang dia ada.
Bukan memburukkan yang lain.
Apatah lagi untuk mengaut keuntungan demi dirinya sendiri !
Kerana dia telah berjanji bahawa segala impian dirinya adalah impian deen ini !
Kita bangga menyatakan keterujaan kita mengejar syurga-Nya.
Kita seronok menyaksikan kepada manusia yang lain kesaksian kita atas nama kalimah yang mulia, akarnya menunjang jauh ke dalam tanah, merimbun tinggi ke langit sana.

Secara tidak langsung,
segala maudhu’-maudhu’ dakwah menjadi isi kandungan ucapan lidah kita saban hari.
Apa sahaja yang dibualkan, dibicarakan masih berlegar sekita ruang lingkup dakwah.
Kita  tidak lagi malu kerana bagi kita malu untuk  melontarkan  kebenaran  adalah  satu keaiban bagi seorang rijal dakwah.

Persis keadaan malu yang tidak betul pada tempatnya.
Sungguh, itulah  malu  yang  tercela !

“  Malu seorang lelaki bukan pada tempatnya adalah satu kelemahan.” (hadis Rasulullah S.A.W)

Andai seorang rijal dakwah itu  malu  untuk menyampaikan  kalam-kalam al-haq di atas muka bumi ini, maka  apakah harga dirinya sebagai seorang hamba Allah yang mengikat janji atas syahadah kebenaran yang saban hari dia  ucapkan ?

Di manakah tempat dia di atas muka bumi andai dia tidak mengerti tujuan penciptaan dirinya ?

Malunya seorang rijal dakwah itu adalah hanya berdasarkan keimanannya, bukan atas dasar kelemahannya !
Malu yang menjadi buruan kita adalah malu yang terpuji.
Malu yang mendatangkan rasa tadharru’ kepada Allah.
Malu  kita hanya mendatangkan kebaikan dan menjauhi keburukan.

Malu kita tidak akan sampai pada taraf seorang hamba yang mengabaikan sebahagian hak-hak Allah dan hak-hak makhluk-Nya kerana itu adalah malu dalam keadaan yang teramat menghinakan !

Malunya kita membuatkan kita merasa resah-gelisah.
Tidak senang duduk selagi seluruh penduduk bumi ini tidak menerima Islam sepenuh hati mereka.
Kita terus menjala semampunya sampai habis nyawa.

Sungguh, inilah malu yang perlu diusahakan.
Malu yang membantu kita untuk mengetahui keagungan-Nya,
melatih diri kita untuk menghendaki akhirat  dan meninggalkan segala kecantikan dunia.

Malu ini adalah salah satu dari dasar kesempurnaan iman yang menapak dalam segumpal daging yang merajai seluruh tubuh badan kita .

“ Ketahuilah ! Dan sesungguhnya di dalam  tubuh  itu ada segumpal daging, bila daging ini baik maka semua anggota tubuh akan baik dan bila rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah ! Bahawa segumpal daging itu adalah hati.”

Hati,
tumpuan terpenting  bagi seorang daie dalam pembinaan tarbiyyahnya.
Sungguh, anggota terpenting yang paling penting selepasnya adalah lidah kamu sendiri !

Kerana lidah menggambarkan isi-isi  hati kamu.
Andai kotor hati kamu, maka apa yang lahir adalah kata-kata yang hanya membusukkan hati-hati manusia yang lain.
Andai bersih hati kamu, maka apa yang akan lahir adalah kata-kata yang menjernihkan hati-hati manusia, malah menggerakkan mereka  untuk terus istiqamah dalam melakukan taghyir-taghyir yang positif !

Wahai dua’t,
peganglah lidah kamu !

Jagalah segala kalimah yang keluar darinya kerana ia melambangkan kebersihan hati kamu.
Ia melambangkan jernihnya iman kamu.

Bukankah kita mahu lidah kita ini bermanfaat buat diri kita sendiri dan manusia yang lainnya ?

Lidah kita ini tidak diperlukan andai ia melahirkan kata-kata yang menjual maruah diri kita sendiri.
Lidah kita ini tidak diperlukan andai ia melahirkan kata-kata yang hanya bersifat suka menghina dan mencela orang lain.
Lidah kita ini tidak diperlukan andai ia melahirkan kata-kata yang hanya berseloroh dan berjenaka sepanjang masa.

Hakikatnya, lidah kita ini tidak diperlukan andai ia menyumbangkan dosa-dosa yang besar sehingga menghalang kamu dari mencium bau syurga.
Lebih baik jika kau potong sahaja dan membiarkan diri kau membisu.
Memilikinya tetapi apa yang terjadi pada diri kamu adalah kamu terus berterusan sesat sehingga kau lebih teruk dari binatang-binatang ternakan !

Sebuah hadis Rasulullah S.A.W  yang berbunyi :

“ Tidaklah lurus (istiqamah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya ”

Maka, apakah dalam pembinaan tarbiyyah diri kamu, kamu tertinggal dalam proses untuk meluruskan lidah kamu itu ?

Bukanlah hati kita sahaja yang perlu diluruskan, malah seluruh anggota kita harus diluruskan semampunya dengan jiddiyah yang teramat kuatnya !

Untuk mencapai taraf yang sempurna, memang teramat susahnya buat seorang manusia seperti kita.
Manusia yang memang diciptakan dalam keadaan lemah, hina-dina.
Kerana itulah dalam membina ketetapan (istiqamah) kita dalam melakukan kebaikan sentiasa memerlukan latihan dan pengampunan dari-Nya.

Istiqamah adalah satu darjat (tingkatan) yang dengannya tercapai kesempurnaan semua urusan dan kewujudannya mengundang kebaikan dan keteraturan. Barangsiapa yang tidak mempunyai sifat istiqamah maka segala usahanya akan sia-sia dan dia akan mengalami kerugian dalam kejayanya.
-Al-Qusyairi-

Dan lisan  juga punya istiqamahnya !
Lidah kamu juga punya amalannya yang tertentu.

Lidah itu zahir sifatnya.
Bukan seperti hati kamu yang banyak menyimpan rahsia.
Rahsia dalam hati boleh kau selindungkan,
tetapi kata-kata yang terlajak memang tidak boleh diundur semula.

Apa yang sudah terlafaz, akan senantiasa diingati oleh para pendengarnya.
Apa yang sudah menjadi bicara, akan senantiasa difikirkan dengan pelbagai tafsiran yang berbeza dari akal-akal manusia yang banyak jenisnya.

Susun lafaz bicaramu, atur nada suaranya biar merdu.
Inilah lagak seorang daie.

Melalui penyampaian dakwahnya, manusia akan mula menilai.
Apakah kata-kata ini punya kasih-sayang yang suci untuk memaut hati-hati mereka ?
Apakah kata-kata ini punya ikhlasnya sampai berjaya memujuk hati-hati mereka untuk mendengarnya lagi ?
Apakah kata-kata ini punya kejujurannya sampai manusia tidak akan dapat lagi memutarbelitkan segalanya ?

Aku percaya,
andai kau betul-betul menjaga lidah,
aku cukup yakin bahawa manusia akan terus tertarik kepadamu.
Mereka malah bakal merindui kata-kata itu !

Aku faham bahawa pada keadaan-keadaan tertentu,
kau juga ingin bercerita tentang cerita-cerita biasa,
gosip-gosip yang menceriakan hari yang berlalu.

Ya, seperti manusia-manusia di luar sana.

Tetapi, bukankah kau ingin menjadi manusia yang luar biasanya ?
Berfikirlah sebelum engkau berkata-kata.

Janganlah engkau bakhil dalam berkongsi kefahaman yang kau ada.
Biarlah walaupun ia sedikit, tidak seperti penceramah-penceramah hebat di luar sana,
harganya tetap ada !

Lihat para sahabat yang tidak pernah jemu untuk berkongsi menunjukkan betapa izzahnya mereka terhadap agama ini !

Kita tidak mahu lidah kita bercerita tentang perihal tuannya di dunia dahulu penuh dengan kata-kata yang begitu busuk.
Mengajak manusia tetapi terlupa akan dirinya.

Apakah kau sanggup menghadapi satu  keadaan di mana lidah kau akan bercerita segala-galanya kerana saat itu tiada lagi rahsia.
Segala hijab akan terangkat dan dibuang kerana pengadilan-Nya penuh dengan keadilan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.”
(al-Bukhari)

gadis berpurdah hitam

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Moga hidup kamu tidak sunyi tatkala laman penulisan ini tidak diisi dengan bahan bacaan yanng baru.
Sekarang ini, terlalu banyak sumber-sumber yang mendekatkan kita kepada deen kita yang satu ini.

Hanya bergantung kepada kita, sama ada mahukannya atau tidak.

**********

Alkisahnya, baru-baru ini, ayah kesayangan ada menujukan sebuah lagu khas buat anaknya ini.
Jujurnya, tersentuh.
Kami menjadi lebih rapat dari sebelumnya.
Mungkin dia lebih menyukai diri aku yang sekarang berbanding diriku yang dahulu.

Katanya, ini lagu yang dia minat satu ketika dahulu.

Di bawah bangunan berpuluh tingkat
Di tengah-tengah
Kota yang megah
Sedang aku mencari erti
Apa itu indah
Apa itu suci

Lalu melintas gadis berpurdah hitam
Inginku tanya ke mana arahnya
Mungkinkah ada jawapan di sana
Sampaikan
Sampaikan utusan mulia
Sampaikan
Sampaikan itu jawabnya

Duhai gadis berpurdah hitam
Lambang keimanan
Cahaya kesucian
Bawalah aku ke arah tujuan
Ertinya indah kalau beribadah
Ertinya suci bersihkan diri

Kumpulan Kembara
Lagu: M. Nasir / Senikata: S. Amin Shahab 

Kali pertama aku mendengar lagu ini, hati tidak merasakan apa-apa yang luar biasa.
Hanya sekadar lagu yang menyebut tentang manisnya Islam ini.
Islam bermakna penyucian diri dan sememangnya Allah mengehendaki kita untuk senantiasa menyucikan diri.

Kali kedua aku mendengar lagu ini, hati masih lagi rasa biasa.
Cuma terbuai dengan rasa betapa istimewanya diri ini mendapat sebuah lagu dari seorang ayah !

Kali ketiga aku mendengar, aku mula mengambil ibrah.

Pada aku, seorang daie persis gadis yang berpurdah hitam.
Melintas di mana-mana sahaja akan menjadi tumpuan.

Bukan kerana cantiknya kita,
Bukan kerana popularnya kita,

Tapi kerana betapa asingnya kita !

Pakaian kita tidak sama dengan pakaian mereka.
Kelakuan kita dianggap pelik.
Perasaan kita dipermain-mainkan.

Seringkali, kita tersepit antara dua keadaan.
Menyelamatkan manusia dengan cara yang mereka suka sehingga meninggal prinsip-prinsip kita,

atau,

Bersikap tegas dengan prinsip yang ada dan bergantung kepada manusia sama ada mereka menyukainya atau tidak.

Dan pabila kita melintas jalan-jalan dunia ini,
Tidak dinafikan ada manusia yang cuba untuk mendekati.
Mereka ingin meminta tapi tidak tahu bagaimana ingin memulakan bicara.

Mereka tahu apa yang mereka mahukan, tetapi mereka masih malu untuk membuka kata.
Tetapi ada juga manusia yang memang memandang enteng kepada kita.
Bukan setakat menjauhi,
malah mengajak manusia yang lain untuk juga menjauhi kita !

Macamlah kita ini membawa satu jenis virus yang terlampau bahaya sehingga mampu membunuh mereka !
Macamlah kita ini satu kumpulan manusia yang ingin memberi himpunan masalah kepada mereka !

Ya, kadang-kadang beginilah hakikat manusia.

di tengah-tengah kota yang megah

Kita umat pertengahan yang sedang berada di tengah-tengah keadaan dunia yang sedang dikuasai jahiliyyah yang kian menghanyutkan sekalian ummat manusia.

Manusia tidak memberi perhatian kepada suara-suara kita.
Hanya nyanyian-nyanyian jahiliyyah yang mampu menghiburkan hati mereka.

Mereka merasa cukup puas dengan apa yang sajian-sajian dunia.
Makin lama, makin terasa enaknya.
Makin lama, makin rasa ketagih untuk mendapatkannya.

Maka, kita tetap terus bertahan menyajikan makanan penyucian jiwa,
makanan buat ruh-ruh mereka yang terperangkap di dalam sebuah penjara yang cukup menyeksakan itu !
Kita berterusan bekerja dan menghidangkan ma’idah-ma’idah ini walapun terdengar di corong telinga,

” Masakan apa ini, tidak sedap langsung.”
” Mana datangnya masakan sepelik ini.” 

Lalu, kita merintih seorang diri dalam hati.
Alangkah indahnya andai mereka tahu apa yang sebenarnya patut mereka cari.

Di dalam kemegahan jahiliyyah inilah, kita juga patut berasa megah (‘izzah) dengan risalah yang kita bawa.
Kita patut rasa menang dengan tanggungjawab yang tergalas kerana sekurang-kurangnya kita sudah menjalankannya.

Tetaplah merasa enak dengan hidangan yang ada.
Tetaplah tabah membawanya ke mana-mana kerana pasti masih ada manusia yang mahu menerimanya.
Jika hanya seorang manusia pun tidak mengapa !

Bukankah dengan rasa ‘izzah ini kita akan merasa lebih kuat dan keyakinan akan memuncak tinggi ?
Maka, untuk para dua’t sekalian,
jadilah gadis berpurdah hitam yang merasa cukup ‘izzah pada agama Islam ini !

Sampaikan
sampaikan utusan mulia 

Risalah yang terhenti tanggal 1924 dahulu, kini bersambung dan terus bersambung.
Rantaiannya terus memanjang.
Jalanya terus melebar ke pelusuk dunia.
Manusia yang menjadi kuda-kuda tunggangan dakwah kian bertambah.

Menyampaikan,
memang ini tanggungjawab kita.

Walau sepotong ayat.
Jika kau tidak bisa berbicara, tunjukkan melalui qudwah hasanah yang ada.
Jika kau tidak bisa juga, kau sebarkanlah melalui dengan sejumlah wasilah (cara) dengan bakat yang ada.
Jika kau tidak bisa juga, aku juga tidak tahu lagi bagaimana.

Kerana sememangnya tugas kita adalah MENYAMPAIKAN !

Bila kita menyempurnakan tugas ini, barulah kita memulakan langkah membina seorang manusia.
Dan jika kita tidak mula proses menyampaikan, bagaimana manusia yang lain akan mengetahui tentangnya ?

Sampaikan, sampaikan !
Itu jawabnya. 

Jangan pernah kecewa,
kerana masih ada manusia yang memerlukan khidmat kita.

Cuma mereka sedang berada di tengah-tengah kota yang menghanyutkan itu dan tidak tahu ke mana arah yang sepatutnya dituju.
Dan mereka tidak bisa mencarinya sendirian tanpa ada yang menunjukkan jalan.

Orang sesat juga bertanya,
Apatah lagi mereka yang seolah sudah buta dari kebenaran ?

Sedang aku mencari erti
Apa itu indah
Apa itu suci

Ya, mereka dalam keadaan terkial-kial.
Mereka ibarat bayi yang baru cuba untuk bertatih melintas jalan.
Jika tidak tahu melintas dengan betul,

mereka akan mati dilanggar mana-mana kereta yang sedang memecut laju.
Bukan sahaja fizikalnya yang ranap, malah yang dalamnya turut punah !

Itulah dahsyatnya keadaan alam sekarang ini !

Lalu melintas gadis berpurdah hitam

Dia melihat kita berjalan melintasinya.
Masihkah kita mahu hanya melintasinya begitu sahaja ?

Tanpa bertanya ke mana arah tujuannya ?
Tanpa memberitahunya mana satu jalan yang betul ?
Tanpa memberi apa-apa jawapan kepadanya ?

Alangkah sedihnya diri seorang daie andai kau masih begini.
Memang kau tidak bersemangat sebenarnya dalam menyebarkan dakwah ini.
Sepatah haram pun tidak terkata.
Sedangkan manusia itu menunggu-nunggu apa yang bakal kau ucapkan !

Dia telah membuka hatinya.
Dia telah menadahkan telinganya.
Dia masih lagi menanti….

Tetapi, tetap kau masih lagi membisu tidak berkata.
Sehingga kau membiarkan dia melintasi sendirian,
tanpa dia mengetahui apa akibatnya jika dia melintas jalan dunia ini begitu sahaja.

Dan saat dia mula menapak langkah melintasi jalan,
kau masih lagi berdiam diri.

Sehinggalah……….

Sehinggalah………kau mendengar satu dentuman bunyi yang begitu kuat,
Lalu kau toleh ke belakang…….

Kau melihat,
dia sudah terdampar di tengah-tengah jalan,
mengalir keluar darah di setiap penjuru tubuhnya, membasahi pakaiannya.
Sebuah kereta baru sahaja melanggarnya.

Lalu kau meluru laju kepadanya dengan rasa bangga menjadi manusia yang pertama menghulurkan bantuan padanya sedangkan sebenarnya kau sudah terlewat !

” Akan aku bawa kamu ke hospital dengan kadar yang segera. “
” Tak usah. Nyawa aku sudah di hujung tanduk. Aku kesuntukan masa.”

Lalu, dia bertanya kepada kita,
” Mengapa tidak kau beritahu padaku akan bahaya ini ? ” 

Sambil tangannya erat memegang tangan kita.
Dan akhirnya, nafasnya tamat.
Pegangannya lemah dan terkulai.

Kini, siapa pula yang menangis ?
Bukankah kau tahu apa yang ingin disampaikan tetapi kau masih memilih untuk menyimpan kata-kata tersebut dalam hati !

Wahai para dua’t,
Janganlah kau bersikap begini hingga ke akhirnya !

Kelak,
Kau adalah manusia yang mendapat kerugian yang berlipat-kali ganda !

Pastikan di saat kau bertemu Tuhanmu di sana nanti,
Kau adalah manusia yang mulia !

Kau mulia dengan janji yang telah ditunaikan.
Kau mulia dengan segala usaha yang telah dicurahkan.

kita diberitahu apa di hujungnya

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.

Kematian itu hanyalah suatu perjalanan,
dari tempat yang fana menuju tempat kekal abadi.

Sekiannya, bagaimana hidup anda di luar sana ?
Ada peningkatan atau tidak ?

Tuntasnya, kita tahu apa yang sedang kita kejar.
Jika kita tidak tahu, maka kita akan cepat penat dan lelah.

Kalau kita tak tahu apa yang kita kejar, kita akan mudah putus asa, dan mungkin kita akan berpatah balik.”

Bila kita bertindak memilih jalan yang lain, apatah lagi jalan kebatilan,
kita yang sebenarnya sengaja membuang diri daripada jalan kebenaran ini.

Kau tahu,
ramai lagi manusia di luar sana yang masih tercari-cari jalan yang betul untuk hala tuju hidup mereka.
Malah ada dalam kalangan mereka yang terkial-kial, tidak tahu bagaimana caranya.

Rugilah andai bukan kita yang memulakan langkahnya.
Dalam banyak pelabuhan yang ada di sepanjang pengairan ini,
banyak juga jenis kapal yang datang berlabuh.

Ada yang datang berlabuh membawa dagangan ‘Islam’ mereka.
Malah, ada juga yang datang berlabuh membawa dagangan ‘ jahiliyyah’ mereka.

Tidak kurang juga mereka yang datang berlabuh dengan tangan kosong.
Tangan yang tidak menyumbang apa-apa.
Tidak memberi manfaat, dan tidak juga memberi kesan buruk pada sesiapa.

Soalnya, kapal mana yang menjadi tarikan manusia ?

*******************

Perkongsian dengan beberapa orang ukhti seminggu lepas membuat hati saya cukup tersentuh bagaimana mereka berhadapan dengan keadaan yang cukup menguji mereka.

Sekiannya, mereka perlu berjalan berterusan dalam lorong yang sangat panjang tanpa mengetahui apa yang sebenarnya mereka kejar !

Bukankah susah begitu.
Perjalanan terasa begitu menyeksakan.
Berkali-kali dia menuturkan, ” Nak patah balik la macam ni.”

Aku terus mendengar sahaja ceritanya sehingga aku terkesan dengan pengisian yang cukup berbekas ini.

Allah telah memberi bayangan syurga dan neraka kepada kita.
Dengan terperinci, kita diperkenalkan apa itu balasan yang baik dan buruk.

Syurga-syurga yang mengalir air di bawahnya.
Buah-buahan yang teramat lazat rasanya.
Bidadari yang bermata indah persis mutiara.

Neraka yang teramat pedih azabnya.
Buah zaqqum yang teramat pahit rasanya.
Pandangan keji oleh Malaikat Malik yang cukup menggerunkan menunggu bakal penghuni-penghuni neraka jagaan-Nya !

Dua kondisi yang teramat bezanya.

Kedua keadaan ini seolah menjadi umpan kepada kita.
Inilah dua jenis natijah yang akan kita dapat di hari pengakhiran nanti.

Hakikatnya,
Allah tidak mengumpan kita !

Allah sedang cuba berlembut dengan kita.
Allah membuktikan bahawa Dia akan menunaikan segala janji-Nya.

Allah mahu hati-hati kita menjadikan segala balasannya kelak sebagai motivasi buat kita.
Jauh sekali Allah mahu menghantar kita ke neraka tanpa hisabnya.

Dek kerana itulah,
kita dihantar ke dunia untuk berlumba-lumba dalam melakukan amal kebaikan dengan kesempatan waktu yang ada.

Dunia, amal tanpa hisab.
Akhirat, hisab tanpa amal.

Beramal selagi sempat kerana di hujungnya nanti hanya ada penghisaban, tiada lagi kesempatan untuk beramal.

Meskipun tidak tergambar keadaan yang sebenarnya.
bagiku sudah cukup cara Al-Quran menceritakan segala keadaan yang bakal berlaku nanti.
Dan apa lagi yang kita tunggu-tunggu setelah mendapat gertakan an-naba’  (berita penting) ini.

Kita sudahpun mengetahui apa yang tersedia di hujung jalan ini.
Namun, kita seolah mengabaikan apa yang telah kita tahu.
Hanya semangat untuk mendapatkannya yang meningkat, tetapi jauh di belakang sana kita tinggalkan segala usaha yang sepatutnya kita buat.

WAHAI DAIE

Dalam hakikat dakwah ini,
kau harus jelas terhadap apa yang kau sedang perbuat.
Kau harus tahu apa impian yang ingin kau capai.

Jalan dakwah ini memang melelahkan.
Ia akan meminta segala apa yang kita ada.
Seolah, segala rasa keselesaan itu direntap tiba-tiba.

Kita yang sebelum ini tidak pernah berfikir tentang perihal menyelamatkan ummah, kini bergiat usaha menyedarkan mereka semua.
Kita yang sebelum ini tidak pernah terfikir untuk mengajak manusia kembali merenung hakikat penciptaan diri mereka, kini kita bersungguh untuk memahamkan mereka semua.

Hidup ini tidak akan pernah berada dalam zon yang selesa dan sempurna.
Kerana itu memang sifat dunia,

Selesa tapi hanya pada pandangan mata.
Bahagia tapi hanya sekadar hiburan yang sementara.
Cukup tapi tidak akan pernah sempurna.

Jalan dakwah banyak mengajar kita untuk keluar dari kepompong yang memerangkap ini.
Jalan dakwah banyak menunjukkan kepada kita liku-liku kehidupan yang sebelum ini tiada.

Kita berangan dan kita juga berusaha.
Kita bukan golongan manusia yang hanya terbuai dengan mimpi.

Kita bukan golongan manusia yang selesa bila melakukan kerja-kerja ma’ruf ini.
Kita bukan golongan manusia yang cukup berbangga sambil berkata, ” Aku ini daie. Daie janjinya syurga.”

Wahai dua’t,
Jangan sesekali kau menyangka hidup kau sebegitu !
Hisaban Allah yang Maha Adil itu tidak dapat kau lawan !

Jaminan Allah bukan begitu.
Syurga adalah berhak ke atas golongan manusia yang benar-benar ikhlas ingin mendapatkannya.
Syurga adalah berhak ke atas golongan manusia yang benar-benar layak menerimanya !

Meski kau mengaku daie,
meski kau gemilang dengan usaha menyebarkan Islam ke pelusuk dunia,

tetapi jika kau jauh dari ikhlas dan bermuhasabah sepanjang masa,
maka kau patut beringat sentiasa !

Kerana seorang daie itu tidak pernah berbangga dengan gelaran yang dipegangnya.
Seorang daie itu sentiasa berada dalam keadaan resah-gelisah kerana dia tidak tahu apakah dia telah tersenarai menjadi ahli jannah-Nya.
Seorang daie itu membuat kerja berhempas-pulas untuk membuang rasa selesa yang selama ini menghimpit mereka.

Jangan sampai kita terbuai dek mimpi-mimpi indah yang akan kita mendapat syurga walhal kita masih jauh daripadanya !

Rasa selesa, rasa terselamat,
inilah perasaan yang membunuh jiwa para dua’t.

Jauh sekali pernah kita terlintas, usaha-usaha dakwah inilah yang membunuh segala dosa-dosa jahiliyyah kita.
Dan usaha-usaha dakwah inilah tanda syukur kita kepada -Nya kerana kita diberi peluang untuk mengenal jalan yang lurus.

Kita terlalu sering berasa diperlukan,
walhal sebenarnya kitalah yang memerlukan.

Allah ternyata Maha Kuat dan Dia Maha Mengetahui bagaimana cara untuk menjaga agama-Nya.
Allah tidak memerlukan kita untuk menjaga agama-Nya.

Tetapi hakikatnya kita perlu sedar sendiri untuk menjaga kalimah al-haq ini kerana kita yang pertama mulai melafazkan janji.
Bukankah munafiq orang yang tidak menunaikan janjinya ?

Bukankah rugi andai kita bertindak melepaskan begitu sahaja padahal apa yang dijanjikan adalah kemenangan yang hakiki.

Tidak mengetahui apa yang dikejar adalah salah satu punca utama seorang daie itu mudah futur dalam jalan dakwah ini.
Kita akan menjadi seorang daie yang terlalu panjang angan-angan sehingga menjadikan kita ini anak dunia.

Janganlah kita bertindak semacam kita jahil dari janji-janji Allah.

Maka tidak seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan. ( As-Sajadah : 17 )

 

Sungguh, orang yang beriman itu mempercayai kehidupan yang kekal.
Perpindahan hidup itu akan juga berlaku satu hari nanti, cuma tidak pasti bilakah masanya.

Ingin ku petik kata-kata Syed Jamaluddin Al-Afghani :

Mempercayai qadha’ dan qadar, apabila tidak sampai kepada fahaman fatalisme (terlampau menyerah kepada nasib), nescaya akan menimbulkan sifat berani dan maju ke muka, melahirkan kepahlawanan dan menumbuhkan kesanggupan menghadapi bahaya yang takut menghadapinya hati harimau dan singa. Kepercayaan inilah yang menanamkan keteguhan pendirian dalam jiwa dan kesanggupan menghadapi kesulitan dan mara bahaya, serta melahirkan perasaan murah hati dan dermawan, rela memberikan apa yang dipunyainya, bahkan rela memberikan jiwa dan meninggalkan kemewahan hidup, apabila datang panggilan unutk berjuang dijamin Allah dan panggilan aqidah. Orang yang mempercayai, bahawa umur ini telah ditentukan, rezeki di jalan Tuhan dan segala sesuatu dalam kuasa Allah dan menurut kehendak-Nya, bagaimana orang itu akan takut menghadapi kematian dalam membela haknya, mengangkat darjat umat dan agamanya, serta menjalankan apa yang diperintahkan Tuhan kepadanya ?

ghuraba’ dalam gerabak

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Sekian lamanya, sekembali aku pulang dari bumi United Kingdom, aku menyepi seketika.
Hanya menulis sebuah travelog yang tiada harga buat bacaan semua.

Meniti titian dakwah ini,
tanpa sedar, sudah sekian lama kalau dikira bilangan saatnya.
Betapa berharga setiap saat nyawa dan helaan nafas kita berada dalam jalan menuju redha-Nya ini !

Dalam gerabak dakwah yang terus melaju ini,
kita akui kita tidak mahu lagi tertinggal.

Tertinggal dalam melakukan perubahan.
Tertinggal dalam melakukan anjakan.
Tertinggal dalam melakukan peningkatan demi peningkatan.

Inilah diri seorang daie.
Daie yang diberi acuan tarbiyyah saban hidupnya.
Dengan tarbiyyah, dia memajukan diri.

Dalam gerabak dakwah ini,
kita melewati stesen-stesen manusia yang pelbagai hentinya.
Memahami bahasa tubuh dan gerak-geri mereka.
Cuba untuk menyeru mereka menaiki gerabak dakwah yang sedang melintasi mereka ini.

Tetapi apakan daya,
usaha seorang daie tetap hanya usaha seorang manusia.
Bezanya, usaha kita memiliki semangat ‘ Man Jadda Wajada’.
Kita berterusan usaha bagai tiada hentinya.
Kita berterusan usaha bagai tiada hujungnya.

Bersama-sama kita,
dalam gerabak dakwah ini,
angkatan para dua’t dari pelbagai bahagian dunia.

Ada yang dunia mereka dahulu, mereka ini memang terdiri dalam kalangan manusia yang baik-baik.
Ada yang dunia mereka dahulu, bersimbah jahiliyyah yang pekat.
Ada yang dunia mereka dahulu, telahpun mengenali erti dakwah dan tarbiyyah sejak lahir.
Ada yang dunia mereka dahulu, mereka ini hanya biasa-biasa.
Ada yang dunia mereka dahulu, takut untuk menjadi daie !

Pelbagai.
Unik sungguh bila kita mampu untuk berhimpun dalam satu gerabak yang sama !

Episod demi episod dakwah kita jalani bersama.
Pahit, manis,
Suka dan duka, kita nikmati bersama.

Mungkin berlainan dunia,
tetapi kita jemaah manusia yang sama mimpinya,
sama tinggi iradahnya !

Kita punya gelaran yang sama.
Gelaran yang diberi Tuhan yang Maha Kuasa.
Kita diberi pencerahan untuk memahami hidup sebagai seorang hamba.
Kita ditunjuki cara untuk menjalani hidup sebagai seorang khalifah.

Jauh sekali kita berbangga dengan gelaran ini.
Kerana pada lahiriahnya, kita tetap sama dengan mereka yang di luar gerabak dakwah ini.
Mungkin beza pada hati.
Hati kita yang sudah memahami.
Hati mereka yang masih terkial-kial mencari pintu mana yang boleh dibuka.

Tolong aku wahai si pulan di dalam gerabak, tunjukkan padaku mana satu pintunya.”

Menjadi tugas kita untuk membantu mereka.
Menunjuk muka-muka pintu kebenaran.

Dan kita terus bergerak melewati masa dan keadaan ummah.
Masa terus berjalan mencemburui kita semua.
Keadaan ummah terus diumbang-ambing seolah sedang  mengugut kita untuk terus berjuang.

Utara Selatan, Timur dan Barat.
Semua sudut bumi belum lagi kita habis jelajahi.
Adakah patut kita mengambil sikap putus asa lalu mengundurkan diri ?

7 hari seminggu, 24 jam sehari.
Semua masa yang diberi ini masih lagi berbaki.
Adakah patut kita mengaku berpenat lelah menggalas segala tanggungjawab yang diberi ?

Orang di luar gerabak masih mencari.
Dan jika mereka tidak pun mencari,
tetap kita harus berusaha untuk menunjukkan pintunya.

Meski kita dipandang pelik dalam arus ‘kemajuan’ jahiliyyah ini,
kita harus memintasnya dengan cepat berbekalkan sendi-sendi yang masih teguh berdiri ini.

Jalan yang kita akui payah ini,
terkadang kita sendiri lupa mencari di mana kepayahannya.
Percayalah,
Bila kau diberi kepayahan itu, tandanya kau sedang berusaha.
Bila kau diberi masalah, memang kau telah ditakdir-Nya untuk diduga agar sentiasa dekat pada-Nya.

Berkata payah sahaja tidak mencukupi selagi mana kau tidak merasainya sendiri.
Cuba sekali-sekala mencari kepayahannya.
Kelak akan terasa manisnya.

Barulah kau akan fahami sunatullah jalan dakwah ini.
Ya, payah dan penat adalah intipati jalan ini.

Stesen demi stesen kita berhenti.
Setiap siku dakwah pasti ada kepayahannya yang tersendiri.
Ada manusia yang dahulunya sama upayanya dengan kita, malah dialah pembakar semangat semua.
Tapi kini, dia hilang dikaburi kepentingan-kepentingan dunia yang lain.

Ada manusia yang dahulunya dialah paling malas dan lambat,
tetapi sekarang dia semakin melaju memintas kita !

Ini pula ragam dalam gerabak.
Bukan sempurna semuanya.
Bukan manis madu sahaja yang terasa.

Apa yang aku kagumi pada gerabak cinta ini adalah hammasahnya,
ikatan hatinya,
persamaan fikrahnya !

Biarpun kita asing,
tetapi kita asing bersama-sama.
Andai manusia di luar tidak dapat menerima kita,
sekurang-kurangnya manusia di dalam gerabak ini masih lagi bersama kita.

Dan di tengah-tengah keasingan inilah,
ternyata keadaan ini amat menduga kita.
Pandangan kacau melihat terlalu banyak benda yang kurang selesa.
Hati pula meronta-ronta sambil berkata,

” Selautan manusia ini sasaran  kita semuanya.”

Peluh mula keluar.
Tidak tahu mana satu yang perlu dimulakan dahulu.
Buntu mencanang idea agar kerja yang banyak ini punya satu kaedah yang menjimatkan masa.

Janji yang terlafaz perlu ditunaikan.
Mengangkat telunjuk lima kali kita bersyahadah melafaz kata,

Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah. Dan aku naik saksi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Janji ini bukan kerana terpaksa.
Tetapi janji ini demi keuntungan kita semua.
Janji ini bukan beban-beban.
Tetapi janji-janji ini jaminan.
Jaminan untuk kita tercatat sebagai penghuni syurga-Nya !

Dan gerabak inilah menjadi cara untuk melunaskan janji-janji yang terpatri.
Jalan dakwah dan tarbiyyah ini memberi hembusan baru kepada kehidupan biasa yang kita lalui.

Sehingga kita menjadi luar biasa !
Segalanya bisa menjadi indah.

Berada dalam gerabak yang sama.
Di atas landasan yang sama.
Memandang ke luar jendela dengan pandangan yang sama.
Memesan kopi yang sama buat penghias seri perjalanan kita.
Berbicara dengan rentak kalam yang serupa.

Tidakkah manis itu ??

Teruslah berhijrah dengan gerabak ini.
Aku tahu, pasti bermakna.
Aku tahu, pasti berguna.

Kerana dalam gerabak ini, kau akan dapat mencapai impian dengan cara termulia.
Dalam gerabak ini, kau akan kalis cinta-cinta dunia.
Dalam gerabak ini jugalah, kau akan mencipta sejarah kemenangan yang telah tercatat di Luh Mahfuz-Nya.

Meski gerabak ini terlalu banyak likunya,
nampak ‘usang’ buatannya,

tetapi ingatlah,
enjin gerabak ini telah terbakar sejak  lebih 1400 tahun dahulu lamanya.
Bermula dengan utusan yang mulia,
kemudian disambung para sahabat yang tercinta,
sehingga satu ketika dahulu,
gerabak mereka sampai di stesen puncak kemenangan.

Sekarang, kita menjadi golongan yang seterusnya.
Memegang untaian gerabak yang menjadi sisa  akhir zaman ini.
Berada di dalam gerabak untuk mencari semula di mana kemenangan yang menghilang seketika.

Biarkan enjinnya terus terbakar,
Dan kau penuhkanlah gerabak ini dengan jutaan manusia.
Bukan hanya membiarkan ia berjalan tanpa  isinya.
Terus membakar tetapi melepasi pandangan mata begitu sahaja.

Kitalah yang rugi kerana terlepas membeli tiketnya.
Miliki sebelum terlewat.
Beli dengan harga iman.

Perjalanan semakin laju,
jika tidak kau kejar, kau yang haru.

sekian,
mylittlepencil  yang juga di dalam gerabak usang ini……

tarbiyyah : rumah kita

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Semua pembaca yang teramat saya rindui.
Masa amat mencemburui saya sehingga saya tidak sempat untuk meluahkan kata-kata rindu di sini buat semua.
Sekiannya, memang tanggungjawab yang terpikul memang banyak dan lebih penting.
Namun, tidak akan saya lupakan medan jihad yang satu ini.

***********

Saya pasti, anda semua pasti ada pengalaman tinggal di sebuah rumah Islam (RI) bukan ?
Atau sekurang-kurangnya pernah menyinggah melawat teman dakwah yang lain.
Atau setidak-tidaknya, pernah mendengar tentangnya.
Kalau tidak ada pengalaman ketika alam pekerjaan, sekurang-kurangnya ketika bergelar pelajar satu ketika dahulu, pengalaman itu masih segar bukan ?

Bermacam-macam nama diberi.
Ada nama tokoh-tokoh Islam, nama-nama syurga.
Menarik sungguh !

Pastinya, membina rumah Islam tiada dalam tangga maratib amal kita.
Hakikatnya memang  tidak terpampang jelas, tetapi terselindung di sebalik sebuah kejayaan.
Kejayaan sebuah tarbiyyah.
Latihan buat seorang kader dakwah.

Tangga kecil ini merupakan tangga penting buat kita.
Persediaan buat seorang daie atau daieyah untuk melangkah ke anak tangga yang lebih besar.

Seolahnya, kalau tidak pernah merasa melangkah ke anak tangga ini,
anda harus merasainya.

Tarbiyyahnya berbeza dan mempunyai kelainan yang tersendiri.
Rumah, antara tempat kita mempraktikkan segala input yang kita dapat.
Di rumahlah, tempat kita diberi ujian berhadaparan dengan orang-orang yang terdekat, teman-teman dakwah kita sendiri !
Di rumah jugalah, antara tempat lain untuk meluahkan segala curahan hati selain kepada teman-teman usrah yang hanya berjumpa seminggu sekali.

Rumah kita juga adalah sebahagian dari kehidupan.
Rumah adalah madrasah tarbiyyah kita.
Keistimewaannya, rumah kita ini terdiri dari individu-individu Muslim yang dibina dalam satu sistem yang sama.

Tetapi harus ingat,

RUMAH ISLAM KITA SAMA SEPERTI RUMAH ORANG LAIN JUGA
Mungkin terkadang kita berbangga, amat senang dan selesa,

” Eh rumah akhawat mane ade TV.”
” Bestnye rumah akhawat ni adalah akhawat memang sangat faham kita. Willing untuk ganti tugas kita bila-bila masa.”
” Datang rumah akhawat memang sejuk hati. Kalau rumah orang lain…hmmm….”

Sehingga kita terlupa, rumah Islam kita juga adalah seperti rumah orang lain juga.
Di mana kita tinggal, di situlah ada tanggungjawab yang perlu kita tunaikan.
Di mana kita tinggal, di situlah perlunya kita menjaga hak dan perasaan orang yang tinggal bersama-sama dengan kita.
Di mana kita tinggal, di situlah perlunya ada toleransi dan saling memahami antara satu sama lain.
Di mana kita tinggal, di situlah kita akan mula mengenali dengan lebih dekat ragam-ragam manusia bertarbiyyah.
Di mana kita tinggal, di situlah tempat kita belajar menghormati orang lain.

Kadang-kadang, bila dimuhasabahkan semula,
Perbezaannya hanyalah,
” Kita semua ikut usrah.”
” Kita semua join program.”

Itu sahaja.

Kau tahu,
Rumah Islam itu adalah salah satu sumber ruh dakwah kita.
Dimana kita memperkatakan masalah-masalah dakwah.
Perkongsian dengan teman-teman lain membuatkan hati kita lebih tenang.
Kita membina satu biah yang benar-benar menghidupkan iman kita.

Inilah rumah Islam.
Bukan sekadar rumah yang terdiri dari binaan batu-bata yang membina dinding-dinding rumah,
tetapi rumah Islam itu sendiri terdiri dari binaan batu-bata manusia !

Asasnya adalah individu-individu Muslim.
Yang sentiasa terjaga mutabaah amalnya, yang sentiasa terdidik muwassafat tarbiyyahnya.

Batu-bata manusia yang membina ‘ dinding-dinding ‘ yang menjadi benteng perjuangan kita.
Saat terasa lelah, teringat kembali kenangan-kenangan bersama ahli rumah tercinta.
Saat terasa hiba, teringat senyuman ahli rumah yang tidak penah hilang dari pandangan mata.

Begitulah,
Kita akan terus belajar dari pengalaman.
Jika bukan sekarang, mungkin pada masa akan datang.
Jika tidak berguna pada kita, bermanfaat untuk generasi yang seterusnya.

BERHATI-HATILAH !
Jangan sekali-kali ingat, kita akan terlepas dari masalah pabila duduk bersama dengan orang yang sama fahamnya dengan kita.
” Duduk dengan akhawat takkanlah ada masalah.”

Syaitan tidak akan pernah berehat dari tugas mereka.
Jika rumah orang lain ada duganya, rumah Islam kita ini lebih hebat cabarannya !
Percayalah.

Di sinilah akan terlatihnya kesabaran kita berhadapan dengan perangai sebenar ukhti yang sebelum ini kita tidak pernah kenal.
Mungkin hanya kenal bila bersua muka di dalam usrah, berkenal-kenalan di program,
tapi bila duduk serumah,
” Begini rupanya perangai dia.”

Belajarlah menerimanya kerana ahli rumah kita adalah manusia hamba sama seperti kita, punyai tabiatnya sendiri, punyai ragamnya sendiri, punyai haknya sendiri, punyai pantang larangnya yang tersendiri !

Meskipun semua berhimpun dalam sebuah rumah yang sama tidak semestinya kita mampu sepakat dalam semua perkara.

Maka, jangan pernah pelik jika kau sendiri terkadang susah untuk memahami mereka.
Jika kau terlalu susah untuk memahami, belajar untuk menerima.
Jika kau sudah penat bersabar, belajarlah untuk redha dengannya.
Sedarlah, mungkin kau hanya  tidak menyenangi perangai dia seorang, jangan-jangan lebih ramai lagi rupanya yang tidak menyenangi ragam diri kau sendiri.

Manusia yang sememangnya tidak akan pernah sempurna dalam memenuhi semua kehendak kita.
Siapalah dia untuk memenuhi kehendakku sedangkan diriku sendiri susah untuk memenuhi kehendaknya.
Siapalah dia untuk aku meletakkan harapan yang tinggi sedangkan aku sendiri  susah untuk mencapai harapannya.

Kesalahan-kesalahan kecil itu biasa.
Ingatlah telah sebanyak kebaikan yang telah dia lakukan kepada kita.

Do not forget small kindnesses and do not remember small faults.
Chinese Proverb

 

BERSYURALAH !
Berbincanglah dengan penuh adil dan saksama.
Di dalam musyawarahlah, kita mengambil peluang untuk mendengar curahan hati setiap seorang dari ahli rumah.
Mendengar dengan penuh hormat dan hati yang terbuka.
Kesemuanya bebas mengemukakan dan menerima apa jua pendapat.
Capailah kata persetujuan yang paling wajar untuk memuaskan hati kesemua penghuninya.

Jangan sesekali kau rasa hal-hal kecil yang tidak dibincangkan itu boleh hanya selesai sekelip mata,
kerana lubang-lubang kecil inilah pabila semakin membesar,
akan menampakkan satu kecacatan yang nyata !

Kesefahaman mula hilang.
Kesatuan hati mula lesap.

Mula segalanya serba tidak kena.
Segalanya berantakan !

When someone criticises or disagrees with you, a small ant of hatred and antagonism is born in your heart. If you do not squash that ant at once, it might grow into a snake, or even a dragon.- Jalaluddin al-Rumi

Adakah dinamakan rumah andai kita berasa tidak tenang tinggal di dalamnya ?
Adakah dinamakan rumah jika kita sendiri merasa lebih selesa untuk tinggal di rumah orang lain ?
Adakah dinamakan rumah andai rumah itu kita masuk keluar sesuka hati kita tanpa memberitahu yang lain ?

Andai begitu, lebih baiklah anda tinggal seorang diri.
Bertemankan ragam diri sendiri yang tidak perlu untuk orang lain fahami.
Berbuatlah sesuka hati tanpa perlu adanya pandangan dari orang lain.

Belajar untuk saling menghormati.
Belajar untuk lebih memberi daripada menerima.
Belajar untuk bersangkar baik sentiasa.

MEMANG TIDAK AKAN ADA BEZANYA RUMAH ISLAM KITA DENGAN RUMAH ORANG LAIN KALAU BUKAN KITA YANG MELETAKKAN NILAI-NILAI PERBEZAANYA  

Rumah Islam kita tempat kita membina semangat yang baru.
Rumah Islam kita benar-benar tempat latihan kita.
Malah, rumah Islam kita juga adalah salah satu medan dakwah kita.

Pasakkan bezanya pada kekuatan jiwa kita, yang terikat atas satu jalan yang sama.
Sama-sama merasai kesedihan, sama-sama meraikan kegembiraan.
Tidak akan ada yang tertinggal di belakang, semuanya berjalan serentak, selangkah.

Namun begitu, jangan pernah kita tinggalkan hal-hal biasa.
Seperti perihal pelajarannya, khabar keluarganya.
Tunjukkan bahawa betapa kita ini cakna.

Ringan-ringankan  bibir bertanya,

” Ibu ukhti sihat ? ”
” Pelajaran ukhti bagaimana ? ”

Adakan satu aktiviti santai yang boleh dilakukan bersama-sama.
Ya, sekali-kali cuba untuk berfikir di luar kotak, fikir dengan cara yang luar biasa untuk merasai betapa menariknya tarbiyyah sebuah rumah Islam.

Berjoging bersama-sama.
Membeli-belah bersama-sama.

Hidupnya sebuah rumah pabila ahli-ahlinya yang menghidupkan.

Jadikan rumah Islam kita sebagai tempat kita mengutip saham-saham syurga.
Jadikan rumah Islam kita sebagai tempat persediaan rumah kita di alam barzakh sana.
Jadikan rumah Islam kita ini seperti salah satu dari taman-taman syurga.

Sesibuk mana pun kita dengan tugas dakwah, rumah jangan diabaikan.
Tugas dan tanggungjawab tetap perlu dijalankan.
Hak terhadap manusia yang lain perlu ditunaikan.
Jangan sampai berhabuk meja kita tinggalkan rumah.

Uruslah masamu sebaiknya.
Usahalah sebaiknya untuk menunaikan segala tanggungjawab dengaan sempurna.

Jadikan aman damai sahaja rumahmu.
Tenang.

“Peace cannot be kept by force. It can only be achieved by understanding.”
——— Einstein.

RUMAH ISLAM MILIKMU MILIK TEMAN DAKWAH YANG LAIN JUGA
Dan inilah apa yang paling saya banggakan dengan rumah Islam-rumah Islam yang ada.
Mereka sentiasa terbuka untuk menerima tetamu.
Mereka memberi layanan yang teristimewa.
Mereka memberikan kita kebebasan seolah barang di dalam rumah mereka itu milik kita juga.

Mereka memberi kebenaran dengan begitu mudah sekali untuk kita buat usrah atau apa jua aktiviti.
Kagum sungguh !

FATRAH IMTIHAN
Inilah fatrah yang paling menguji.
Di kala semua orang terlalu sibuk menumpukan perhatian kepada pelajaran, rumah akan terasa begitu sunyi.
Luangkanlah masa untuk menjenguk ahli rumah yang lain.
Bukan niat untuk menganggu, hanya sekadar bercakap sepatah dua.

Teruskan budaya saling memberi semangat antara satu sama lain.
Berkongsi kata-kata penyejuk hati di kala resah-gelisah menjelang hari peperiksaan.
Saling berkorban dan saling mendoakan antara satu sama lain.
Jangan dengan alasan peperiksaan, kau melepaskan begitu sahaja tanggungjawab yang digalaskan.
Jangan dengan alasan peperiksaan, menyempitkan masamu untuk tidak langsung melayan mereka.

Akhir kalam dariku,

Mohonlah dari Allah untuk sentiasa memelihara rumah Islammu.
Kebetulan itu tidak pernah ada.
Adalah takdir Allah  sesiapa sahaja yang menjadi teman kita, menjadi ahli rumah kita.
Dan di sebalik takdir inilah, tersingkapnya satu rahsia yang tidak kita ketahui.
Pastinya, itu adalah yang terbaik buat kita dari-Nya.

Tajdid semula niat kita mengapa kita tinggal di dalam sebuah rumah yang bernama rumah Islam.
Dahulu kita katakan inilah rumah impian kita.
Terbinanya rumah ini atas asas dakwah.
Jangan kerana terlalu  sibuknya mengejar natijah sebuah rumah Islam sehingga kita terlupa pada niat asalnya.

“I’m amazed, that how salam (peace) is always the first word to start a meeting. but in prayer it is the end word. Maybe it means the end of prayer is the start of a meeting…”
——— Ali Shahri’ati.

 

Sekecil mana,
Sebesar mana rumah Islammu itu,
tidak akan bernilai andai tidak memberi manfaat kepada penghuninya.

sekian dari saya,
mylittlepencil