tolok ukur kecantikan jahiliah

Kecantikan begitu sinonim dengan wanita atau perempuan. Ciptaan kaum Hawa ini sememangnya ingin sentiasa kelihatan cantik malah suka dipuji cantik.

Ayat menggiur dari kaum Adam “cantiknya awak hari ni!” atau “awak la perempuan paling cantik yang pernah saya tengok sepanjang hidup!” menjadi umpan untuk mengambil hati seorang wanita. Pick up line yang semakin maju mengikut peredaran zaman tetapi tidak lari tema asalnya iaitu wanita dan kecantikan.

Kecantikan(jamil) adalah fitrah yang Allah berikan kepada semua manusia, malah Tuhan sendiri menyukai sesuatu yang bernama kecantikan. Tetapi dunia kini menyaksikan seorang manusia menjadi kuda tunggangan kepada kecantikan sedang kecantikan bukanlah satu makhluk yang hidup!

Produk-produk kecantikan pelbagai jenis di pasaran semakin banyak  ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Namakan apa sahaja bahan asas yang anda rasakan sesuai, pasti ada di dunia ini. Teknologi sekarang juga memudahkan proses untuk memilikinya.

Saya kira, keadaan ini mendatangkan kebaikan dan keburukan. Membuka peluang keusahawanan tanda meraikan berniaga adalah sunnah Baginda SAW, serta menolong para wanita di luar sana untuk merawat masalah-masalah kecantikan yang kronik.

Namun, pada satu sudut pandang yang lain, saya terfikirkan keadaan wanita yang kurang berkemampuan tetapi obses membeli produk-produk sebegini? Tidakkah mereka tertekan tatkala tanpa sedar mereka telah membazirkan wang pada hal yang tidak berapa penting berbanding hal yang lebih penting.

Sudahlah ekonomi negara merosot, dan masih banyak keperluan lain yang memerlukan penggunaan. Sekadar ala kadar, saya kira tidak salah. Tetapi budaya berlebihan-lebihan ingin menjadi cantik itu yang salah.

al-ahzab-33

Kerana itulah kalimah tabarrajna digunakan oleh Allah, bukanlah kalimah jamil/jamilah yang lazim kita dengar. Tabarrajna ini berasal dari perkataan asal burj. Burj membawa erti kata menara dalam Bahasa Melayu.

Apa yang ada pada sebuah menara?
Ya, sebuah menara di mana-mana pun di atas muka bumi ini adalah signifikan kebanggaan menonjol yang ingin dipamerkan supaya orang yang melihatnya merasa tertarik. Lihat sahaja menara-menara terkenal dunia kesemuanya menjadi lambang yang cukup mahsyur.

Sebut Menara Eiffel, di dalam kepala kita akan terlintas Kota Paris. Sebut Menara Condong Pisa pasti kita membayang negara Itali, kota romantis terkenal dunia. Beginilah sifat sebuah menara, kemegahan yang mengasyikkan!

Di dalam firman surah Al-Ahzab ayat 33 di atas, Allah tidak menggunakan kalimah jamil/jamilah menjadi bukti bahawa:

  1. Menjadi cantik tidak salah, malah satu tuntutan dalam agama.
  2. Cantik adalah fitrah manusia yang boleh diraikan.

Betapa indah Allah ingin mengabadikan maksud cantik yang sebenar di dalam Islam. Saya yakin terlalu banyak salah faham seorang manusia dalam mendefinasikan sebuah kecantikan yang sebenar. Antaranya adalah:

  1. Kecantikan luaran lebih penting dari kecantikan dalaman.
  2. Kecantikan untuk dipamerkan dan dipuji oleh orang sekeliling.

Saya tidak menundingkan kesemua salah faham ini berlaku kerana salah pihak wanita sahaja kerana wanita adalah mangsa keadaan kepada sebuah kecantikan.

Konsep pertama yang perlu difahami adalah : wanita solehah tidak memandang dan tidak dipandang. Tidak memandang merujuk kepada perihal malu seorang Muslimah yang menjaga batas pandangannya.

Tidak dipandang merujuk kepada perihal wanita Muslimah ini bukanlah bahan tayangan/jualan terbuka kepada seluruh umat manusia. Wanita Muslimah hanya layak dipandang (dalam kata lainnya menjadi qurratu a’yun@penyejuk mata) buat mahramnya sahaja. Jika ia belum berkahwin, selayaknya ia hanya berhak menjadi penyejuk mata buat ayahanda dan ibundanya. Jika ia sudah berkahwin, kecantikan dirinya adalah penyejuk mata buat suami tercinta.

Mengapa dalam hal ‘tidak dipandang’ para wanita menjadi mangsa keadaan?
Apabila kecantikannya tidak dihargai oleh orang-orang yang berhak, maka seorang wanita mencari sumber lain penghargaan kecantikannya walhal sumber lain itu tidak berhak untuk memandang kecantikannya.

Buat para ayah di luar sana, saya anjurkan anda pujilah anak-anak perempuan. Katakan pada mereka bahawa mereka cantik dan mereka adalah penyejuk mata anda. Buat para suami, pujilah isteri anda kerana andalah selayaknya menikmati kecantikan mereka! (acknowledgement) 

Jangan biar orang lain mengambil hakmu wahai para ayah dan suami. Dan buat kamu para wanita, ingatlah pandangan mata orang yang berhak WAJIB kamu jaga. Jangan di dalam rumah kamu kelihatan hodoh tetapi di luar rumah kamu kelihatan persis bidadari!

Kembali kepada budaya berlebih-lebihan dalam kecantikan. Bagaimana dikatakan berlebih-lebihan dalam kecantikan(erti sebenar tabarruj jahiliah)?

  1. Apabila kecantikan itu terkeluar dari landasan agama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariah(beautification in non-shariah compliance way)
  2. Apabila kecantikan luaran membuatkan kita terlupa akan hakikat kecantikan dalaman(TERLUPA: taqwa adalah sebenar-benar dan sebaik-baik perhiasan).
  3. Apabila kecantikan mengundang pembaziran demi pembaziran dilakukan.
  4. Apabila kecantikan mula memberi kesan buruk kepada fizikal(kesan kepada kesihatan diri) atau ruhani diri(tertekan, timbul rasa riak, bangga diri, lupa diri, iri hati dll).
  5. Apabila kecantikan menjatuhkan maruah kamu malah menjauhkan kamu dari kemuliaan seorang wanita Muslimah (menjadi bahan usikan dan perbualan lelaki, menjadi mangsa kekejaman lelaki dll)

Mari kita selami pula erti kata jahiliah. Melalui rujukan saya ceramah Ustaz Nouman Ali Khan, jahiliah membawa maksud tidak tahu(not knowing) dan tidak berfikir(not thinking). Kata beliau lagi, “You don’t know the impact the way you dress on yourself, and you don’t know the impact you dress on another people…this is tabarruj jahiliah. You’re not thinking clearly.”

Tabarruj jahiliah adalah kecantikan yang tidak berada pada lorong yang betul.

2

 

Kecantikan hakiki yang sepatutnya dimiliki oleh seorang wanita Muslimah adalah kecantikan yang memberi kebaikan dan manfaat.

Beauty does not have any specific measurements. Take note about the original beauty deep down inside you because that’s what matter. Get off the scale and live your life. You are beautiful!

Sekian,
mylittlepencil

P/S: Saya bukan mengeji produk-produk kecantikan apatah lagi mengeji cara-cara yang dilakukan wanita untuk menjadi cantik, hanya semata ingin mengetengahkan hakikat kecantikan yang sebenar.

 

Sumber rujukan: https://www.youtube.com/watch?v=9jqJvzSecWw

Advertisements

hilangnya orientasi seorang murabbi

Bismillahirrahmanirrahiim.

 

Keberadaan kita dalam dunia tarbiyyah dan dakwah, khususnya takwin(pembinaan) menjadikan kita terbiasa dengan masalah-masalah dalam kehidupan. Ya, memang indah sebenarnya bila terlibat dengan masalah begini berbanding melayan kehendak nafsu sendiri, membazir masa lapang pada hal yang sia-sia malah lebih malang membiarkan masa berlalu begitu sahaja.

menjadi-murabbi-18-638

Kita akui, pelbagai jenis masalah  tarbiyyah seakan soalan KBAT(Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) atau HOTs(High Order Thinking) menjadikan kita lebih matang dan berjiwa besar kerana kita sentiasa aktif untuk mencari solusi yang terbaik tidak kira sama ada masalah yang berlaku adalah masalah rutin atau bukan rutin.

kbat

Masalah rutin yang saya maksudkan adalah masalah kebiasaan yang berlaku dalam kehidupan. Masalah bukan rutin pula adalah masalah yang lebih rumit, mampu menjadikan seorang murabbi menjadi migrain memikirkannya.

Tetapi, alangkah malangnya!

Kita terlalu cepat kita memikirkan masalah mutarabbi, tanpa menyelidiki masalah-masalah yang melibatkan murabbi. Samalah seperti keadaannya, kita terlupa masalah pada diri kita sendiri selaku murabbi.

Kita telah mula hilang orientasi selaku seorang murabbi. Namun, sebelum saya memanjangkan kata, murabbi yang saya maksudkan bukanlah hanya memfokuskan orang-orang yang mempunyai anak halaqah semata. Murabbi yang saya maksudkan adalah anda semua kerana kita yakin setiap satu dari pemuda-pemudi dakwah adalah murabbi buat ummah!

Orientasi diri kita mula kabur dari lagak gaya seorang murabbi yang sebenar. Qudwah kita tiada lagi qudwah selaku seorang murabbi, kata-kata kita bukan lagi dari cetusan iman yang membara dalam hati, amalan kita mula kurang pergantungan dari Tuhan dan sebagainya lagi.

Kita tidak lagi mampu mengenal setiap satu mutarabbi kita dengan lebih dalam, apatah lagi untuk mencakna masalah yang berlaku dan perihal hati mereka yang sebenarnya sebelum, semasa dan selepas berhalaqah dengan kita. Kita memandang enteng kerana kita terlalu percaya jawapan template “ok”.

Dan akhirnya, kita terpedaya dengan jawapan tersebut dan seterusnya mutarabbi tidak lagi berminat untuk berkongsi segalanya dengan seorang yang bernama murabbi. Alangkah malangnya sistem tarbiyyah yang kita perjuangkan menjadi begini.

Buktikanlah rasa kasih dan sayang kepada mutarabbi dengan cara kita cakna setiap masalah dalam kehidupannya, berdamping dengannya menyelesaikan bersama-sama, aktif dalam menyuarakan pendapat dan tunjuk ajar kepadanya. Ternyata inilah asasnya kepada sebuah amal jamaie yang kukuh iaitu kerja bersama-sama di mana seorang murabbi itu menjadikan mutarabbinya sebagai partner.

Barangkali, kita sudah terlupa murabbi adalah elemen pertama dalam rukun tarbiyyah sebelum datangnya tiga rukun yang lain iaitu; mutarabbi, manhaj dan biah.

Tanda kedua seorang murabbi hilang orientasinya apabila dia sudah mula hilang kawalan atas manajemen halaqahnya. Halaqahnya mula mengalami masalah teknikal seperti terlalu lewat datang ke halaqah, pengisian yang tidak mematangkan fikrah, isu-isu semasa yang dibincangkan tidak menunjukkan kita cakna pada negara dan pelbagai lagi.

Lebih malang, halaqahnya mulai layu. Mutarabbi seakan sudah boleh memilih untuk datang atau tidak. Jika tidak dapat hadir, diberikan alasan yang tidak logik. Jika datang pun, tidak memberikan kesan kepada hati mutarabbinya untuk terus berubah.

Barangkali kita semua sudah terlupa akan ghairahnya dan urgensi kerja-kerja membina manusia. Kita tidak lagi tergoda dengan ganjaran pahala yang teramat banyak menjadi pemudah cara melorongkan manusia ke jalan-jalan hidayah.

Kita tidak lagi nampak mutarabbi kita adalah ibarat besi simpanan(iron stock) yang bertindak sebagai agen pengubah(agent of change) ummah. Akhirnya, kita meletakkan mereka di tempat yang salah sedangkan kita tahu setiap satu mutarabbi kita gemar diberi amanah atau tugasan yang sesuai dengan kehebatan dirinya. Dengan amanah yang diberikan kepadanyalah, mereka akan menjadi lebih matang dan membantu diri mereka untuk melajukan mereka mencapai muwasafat serta mendidik kesanggupan bekerja agar tidak berlaku lagi pengangguran haraki.

Tetapi awas, salah juga jika kita berikan amanah kepadanya dalam kuantiti yang terlalu banyak, tidak kita taujih dia terlebih dahulu, tidak ditanyakan apakah kesulitan yang dia alami sepanjang menjalankan amanah tersebut. Malah lebih teruk, kita tidak menjelaskan secara terperinci kepadanya perihal amanah tersebut!

Jangan anggap membina mutarabbi ini adalah sejenis ilmu kiralogi(mencongak sendiri) tanpa kita tahu tanggungjawabnya yang sebenar dan apa peranan selaku seorang murabbi. Wajib diingat bahawa membina manusia ini melibatkan pengurusan yang efektif.

Ya kita terus terlupa akan kerja pelaburan utama akhirat ini. Sedarlah, kita semakin hilang saham yang dahulunya kita menggila kerananya!

(Baca artikel ini :http://binajakarta.blogspot.com.eg/2013/04/perangkat-dasar-tarbiyah.html sebagai bantuan)

Tanda seterusnya adalah apabila seorang murabbi itu tidak lagi mematuhi mutabaah amal yang patut dikerjakannya. Dia jauh sama sekali dari memiliki peribadi ruhiyyah, orang yang bergantung setinggi langit tawakkalnya kepada Allah, sabarnya sudah mulai memiliki batasan-batasan tertentu. Jika seorang murabbi itu begini tahapan imannya, anda bayangkanlah sendiri tahapan iman mutarabbinya bagaimana.

Tanda kelima hilangnya orientasi seorang murabbi adalah apabila kita kehilangan sebuah seni dalam mengatur-carakan sebuah halaqah/usrah. Tiada lagi active learning dan creative learning dari segi cara penyampaian, tempat berhalaqah, agenda halaqah, dan kemasan bahan yang kita gunakan dalam halaqah.

Murobbi WAnted_thumb[1]

Muhasabah awal yang boleh dibuat adalah kita pacakkan semula kemahuan, kemampuan dan kesempatan. Apakah ketiga-tiga perkara ini menepati perilaku kita seorang murabbi?

Apakah kemahuan kita masih seperti dulu?
Apakah kemampuan kita masih boleh dikerahkan semaksimumnya?
Apakah kita memperuntukkan masa yang sepatutnya menunaikan tanggungjawab selaku murabbi?

Bacalah semula firman-firman Tuhan untuk menghidupkan semula jiwa murabbi. Carilah bahan-bahan bacaan yang membantu untuk anda mendapatkan kembali orientasi seorang murabbi. Berkongilah sesama rakan nuqaba’ yang lain untuk membantu anda menguruskan halaqah.

Tidak mungkin bagi seseorang yang telah diberi kitab oleh Allah, serta hikmah dan kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, “Jadilah kalian penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah!” Tetapi (dia berkata), “Jadilah kalian Rabbaniyyin kerana kalian mengajarkan al-Kitab dan kerana kalian tetap mempelajarinya.” (surah Ali Imran; 3:79)

 

Jangan kerana diri sendiri, kita kehilangan hak sebagai murabbi ummah ini.

Sekian,
mylittlepencil

kompilasi status FB bulan September

Assalamualaikum. DIsebabkan tiada masa untuk menulis buat masa ini, maka saya kompilasikan sahaja status FB yang tersedia.

12 September 2015
[KUN QAWIYYAN LI AJLIKA]
‘Stay strong for yourself’ teramat penting apabila kita lemah menyendiri dan bertindak ingin menjauhkan diri dari orang lain apabila dilanda masalah yang benar benar menghimpit.
Di kala inilah, tarbiyyah dzatiyyah itu penting. Bagaimana cara kita mentarbiyyah diri sendiri tanpa perlu mengharapkan pada program-program tarbiyyah dan orang di sekeliling kita.
Latihlah tarbiyyah dzatiyyah dengan baik. Tidak rugi untuk kita mempunyai sumber kekuatan yang boleh digunakan ketika kecemasan. Dan seharusnya, setiap para dua’t mempunyai kekuatan ini untuk terus bertahan, melatih mujahadah dan dapat mencapai apa yang diiinginkan.
Jangan harapkan orang lain.
Jangan bergantung pada orang lain.
Urus dan jangan abaikan diri sendiri.
Tarbiyyah dan sediakan diri sendiri.

11 September 2015

[HARAPAN&HIKMAH DAN REDHA]
Yang diharapnya pada 12 September jam 10 malam sudah dapat mendakap umi, abah dan adik beradik yang lain. Mereka yang sudah lama menunggu. Pelbagai rancangan telah dirancang untuk dijadikan aktiviti bersama. Siap dengan kejutan untuk adik kesayangan Muhammad Hulaif bin Azmi untuk hari lahirnya pada 14 September.
Hati masih lagi loading redha dan hikmah yang tidak mungkin dapat dikecapi dalam masa sehari. Masih lagi cuba bertahan tanpa tangisan sedangkan hati penuh sebak.
Bismillah, mari wahai mylittlepencil  bergerak dengan penuh kekuatan!
Dalam harapan seorang hamba, ada kuasa Allah. Ada cara Dia untuk kita mendapatkan bekal kekuatan dan memberi hikmah.
Dalam harapan seorang hamba, moga diri kita semua disayangi dan dicintaiNya.
Terima kasih kepada semua yang mendoakan.
Terima kasih kepada akhawat di sekeliling memberi sokongan dan mengalihkan pemikiran kepada urusan dakwah dan tarbiyyah serba sedikit.
Terbaru, kena tunggu lagi dua minggu dan dihalau begitu sahaja oleh polis.
Pesan abah:” Takpelah. Sabah ye dengan ujian.”
Whatsapp umi kepada kawan:” Inilah waktu yang dia ada untuk balik sekejap.”
Umi yang cukup memahami jadual study final exam anaknya.
Moga Allah redha dengan yang bernama mylittlepencil

10 September 2015

[KITA DAN DISIPLIN]
Ramai dalam kalangan kita pernah menjadi pengawas sekolah satu ketika dahulu, ataupun menjadi golongan yang membenci pengawas dek kerana kerajinan mereka mencatit nama sesiapa yang terlewat tiba di perhimpunan. Bertambah lagi kebencian apabila sistem merit demerit diwujudkan dan banyaklah kerja-kerja kebajikan keliling sekolah dilakukan dengan paksaan.
Saya sendiri seorang pengawas di sekolah dahulu, malah pernah menjadi Penolong Ketua Pengawas di sekolah menengah dengan tubuh sekerdil ini. Pengalaman menjadi pengawas cukup mematangkan dan menjadi pencetus awal  kepada saya apa itu disiplin yang sebenar. Paling tidak boleh dilupakan, menangis di bahu mak angkat dek kerana terlalu tension jadi pengawas.
Setelah mengenal tarbiyyah dan dakwah, serta jemaah mendidik lagi diri saya sendiri khususnya untuk lebih berdisiplin. Disiplin dalam menjaga masa, disiplin menjaga mutabaah amal, disiplin dalam menunaikan tanggungjawab, disiplin dalam beramal jamaie dan memahami adab-adabnya dan pelbagai lagi yang tidak larat untuk saya sebutkan kesemuanya di sini.
Saya faham, manusia amat susah untuk berdisiplin lagi lagi kita punya pilihan dan kehendak diri kita sendiri. Ya, di sinilah masalahnya!
Dalam mempunyai kehendak pun, kita tidak berdisiplin. Masakan untuk disiplin dalam hal-hal lain. Kesimpulannya, didiklah diri untuk berdisiplin(lagi-lagi banyak tanggungjawab) kerana dengan disiplin kita akan memiliki gaya penyusunan diri yang lebih efektif.
Didiklah diri untuk menyusun sebelum menerima untuk disusun kerana itulah kehendak tarbiyyah keatas diri kita iaitu berada dalam satu sistem penyusunan yang muntij. Dan jangan lupa, disiplin juga qudwah hasanah!
Tolong, jangan lupakan.
Masakan mendidik anak perlu berdisiplin, apatah lagi mendidik diri sendiri.

7 September 2015

[PENANGAN FINAL YEAR EXAM edisi 1)
Saya belajar dari pengalaman senior-senior lepas(especially akhawat) cara mereka mengendalikan diri mereka ketika berada di dalam fatrah study leave. Semestinya, fatrah ini kita akan berada dalam keadaan sangat stress disebabkan oleh beberapa faktor antaranya seperti lambat catch-up, suasana rumah, emosi yang tidak stabil, tuntutan sekeliling yang pelbagai dan macam-macam lagi.
Mengambil prinsip when-we-put-ourselves-under-stress-we-can-do-anything-and-everything-no-one-can-imagine, saya terpanggil untuk menulis post ini kerana ditakuti tenaga positif yang pada asalnya elok untuk digunakan untuk belajar, menjadi cas negatif yang akhirnya menatijahkan ‘anything’ dan ‘everything’ yang tidak elok.
1. Susun masa dan disiplin.
Hal ini teramat penting jika anda seseorang yang mempunyai jawatan penting di dalam sebuah persatuan atau jemaah, atau mempunyai urusan penting(pertunangan, akad nikah dll) ketika fatrah ini. Boleh jadi, kerja anda semakin bertambah ketika fatrah imtihan. Jangan tinggal terus tanggungjawab anda begitu sahaja. Maka, penyelesaiannya adalah dengan menyusun masa mengikut kemampuan anda belajar setiap hari dan disiplin. Putuskan segala aktiviti di alam maya dan didik diri untuk fokus. Learn to ignore distractions.
2. Hiasi usaha belajar dan stress anda dengan hal-hal yang baik.
Semestinya, fatrah imtihan ini wajarnya memberi impak positif pada orang-orang yang beriman. Mereka wajib berusaha sehingga darjat usaha dan diri mereka sebagai orang yang berusaha diangkat di sisi Allah SWT. Pastinya, mereka yang hangat-hangat tahi ayam adalah golongan manusia yang terlampau rugi kerana pahala usaha dilepaskan begitu sahaja, apatah lagi natijah yang tidak langsung bakal menyumbang kepada usaha.
Saranan saya, kuatkan kesungguhan dalam menjaga amalan fardi dan jangan kedekut masa untuk berlama-lama dengannya. Dengar lagu-lagu(Al-Quran apatah lagi!) yang menyegar dan membasahkan iman, dengar tazkirah, tukar angin seketika berjumpa dengan akhawat untuk sentiasa menerima nasihat mereka untuk keluar sebentar dari zon tekanan itu tadi. Jauhkanlah diri dari mencari hal-hal yang tidak wajar hanya atas nama untuk menghilangkan stres.
Tips paling baik yang saya amalkan adalah menghafal surah-surah pilihan. Sudah tentu menghafal Al-Quran ini memberi manfaat kepada diri kita sendiri. Setiap hari sama ada saya akan hafal lima ayat baru(ayat-ayat pendek) atau tiga ayat(ayat-ayat yang panjang). Kemudian ayat yang ingin dihafal diulang sebanyak 40 kali di luar solat. Testimoni saya, bila menghafal Quran di fatrah imtihan:
A) asah lagi skil menghafal dan ingat
B) menambah ayat pilihan yang boleh dibaca ketika menjadi imam
C) melegakan hati ketika terlampau risau dengan peperiksaan
Dan jangan lupa juga selang-selikan bacaan buku pelajaran anda dengan buku-buku selainnya untuk merehatkan jiwa seketika.
3. Letakkan sepenuh keyakinan kepada Allah, dan tanam bahwa yang hanya boleh diubah adalah usaha kita selaku manusia.
Bermuhasabahlah terutama di kala fakta-fakta yang ingin dihafal terlalu payah untuk masuk ke dalam kepala(bertambah elok jika setiap masa!). Boleh jadi banyak faktor mengapa terlalu payah untuk menghafal dan faktor yang memberi kesan yang paling besar adalah dosa yang tidak diminta ampun kepada Allah dan manusia.
Ada dalam kalangan kita akan diuji di bahagian ini. Berikanlah kemaafan kepada orang sekeliling dan tunaikan hak ke atas manusia(ibu ayah, keluarga, usrahmates, katibahmates, housemates dll). Boleh jadi yang menjadi ujian mengenai hal ini. Selesai ujian ini, maka senanglah Allah permudahkan urusan fakta masuk ke dalam otak itu tadi. Malah, mintalah doa dari mereka kerana itu juga salah satu doa yang dimakbulkan.
Selamat maju jaya buat semua mengharungi fatrah imtihan ini.
Bismillah, mari kita melangkah penuh kemenangan.
ASU FYE: 17/11-21/12
Mohon doanya semua.
mylittlepencil
Pelajar tahun akhir Ain Shams Univercity.
6.08 minit pagi.
Bersama hembusan angin pagi di Beyt Isti’ab, Abasiyyah.

6 September 2015

[UKHUWWAH YANG BEGINI]
Ukhuwwah yang mengingatkan kepada dakwah, tarbiyyah dan hal-hal yang baik, bukan ukhuwwah mengajak kepada hal yang sia-sia.
Ukhuwwah yang begini.
Ukhuwwah yang bernafas kerana Allah taala. Di kala mereka ini mempunyai masalah, getaran iman dan mutabaah amal peribadi itu yang pertama dimuhasabahkan.
Ukhuwwah yang begini.
Ukhuwwah yang tiada sangkaan, penuh kejujuran. Sifat diri sendiri yang berterus-terang percuma menjadikan orang tidak mudah bersangka dan ragu-ragu terhadap diri sendiri.
Ukhuwwah yang begini.
Ukhuwwah yang penuh lapang dada dan diturunkan ego. Mudah menerima teguran, menghulur bantuan tanpa ‘never-say-no’. Menerima apa jua kelemahan diri  itu juga penting.
Ukhuwwah begini yang saya rindu.
Ukhuwwah di kala kedua-dua berkehendak untuk melaju atas jalan dakwah ini dan terus beramal.
Rindu Aida.

3 September 2015

[MURABBI, KITA DAN TARBIYYAH]
“Tarbiyyah bukanlah hanya berkisarkan siapa naqibah kita.”
Tarbiyyah segalanya berkisarkan niat, kehendak dan pengorbanan diri kita sendiri untuk memberi manfaat terutamanya pada diri sendiri. Berpusing di sekitar isu,
“Susahlah nak tsiqah pada abang naqib ana fulan bin fulan.”
“Saya nak orang lain jadi naqibah saya.”
“Akhi jadi naqib ana pun sebab dah memang takda akh lain kan di kawasan ini.”
Betapa besar sudah nikmat mempunyai naqib atau naqibah. Sosok peribadi yang mungkin tidak hebat dan mungkin tidak seperti yang kita bayangkan, tetapi peribadi inilah yang sanggup melayan kerenah kita, menjadi pendengar yang baik di kala kita ingin meluahkan masalah, sering memberi kata-kata untuk meningkatkan iman kita setiap minggu, dan pelbagai lagi yang sanggup dilakukan. Mereka tidak berbuat begini pada yang lain melainkan anak-anak mutarabbi mereka.
Sungguh tsiqah memang susah untuk diberikan selagi naqib/naqibah tampil ‘malaikat’ di mata kita. Tetapi selaku manusia biasa, berikanlah rasa hormat. Tidak ramai orang yang sanggup menjaga kita sedemikian rupa lagi lagi dalam jalan tarbiyyah dan dakwah ini.
Muhasabah kembali. Tanya, adakah selera kita duduk di dalam jalan ini seperti selera makan kita saban hari. Makan mana yang mahu, dibuang mana yang tidak suka.
Jalan tarbiyyah dan dakwah memerlukan manusia-manusia yang berkehendakkannya, sudah tidak mahu, mana boleh lagi dipaksa. Mereka yang terpaksa akan merana. Jika bukan sekarang, mungkin pada masa akan datang kerana kita bukan ‘Tuhan’ yang memegang takdir hidup kita sendiri.
Jiwailah tarbiyyah dan dakwah penuh keikhlasan. Tidak logik hanya kerana naqibah, tiada usrah, kita sudah putus asa. Cari selagi ada wasilahnya yang boleh menjaga diri sendiri.
Letakkan diri sendiri di tempat naqibah.
Fikirkan…
“Susahnya nak melayan anak usrah kalau ada anak usrah seperti aku.
Doakan saya bersemangat untuk menulis lagi seperti dahulu.
InshaAllah!
Sekian,
mylittlepencil

memanusiakan dakwah

Bismillah.

Sebelum saya pergi lebih jauh untuk menerangkan perihal memanusiakan dakwah. Saya terlebih dahulu perlu menerangkan tentang cara Islam sendiri terlebih dahulu memanusiakan seorang manusia.

ISLAM MEMANUSIAKAN SEORANG MANUSIA

“Yang menciptakan, lalu menyempurnakan (penciptaan-Nya), yang memberikan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk,” (87:2-3)

Fitrah bukanlah personaliti, watak atau bakat. Fitrah adalah semulajadi yang baik. Manusia tidak perlu hidup berdasarkan hakikat atau fitrah makhluk lain kerana ia punyai fitrahnya tersendiri. Tambahan, kita boleh membuat pilihan yang kita mahu. Kita sebagai ummat Islam tidak boleh meng’haiwan’kan manusia, memper’tuhan’ manusia apatah lagi untuk me’mesin’kan manusia.

Malah, Allah sendiri memperlaku kita sebagai seorang manusia dengan memberi kita satu cara hidup sempurna yang tanpa kita sedari ia adalah sebenarnya Islam itu sendiri! Kita bukan seperti binatang yang tidak mempunyai akal. Kita bukan seperti Tuhan untuk diagung-agungkan oleh manusia. Kita bukanlah mesin yang semata hidup untuk memerlukan keperluan fizikal dan tidak punya tujuan hidup.

Islam mengajarkan kepada kita akan tiga aspek keseimbangan yang perlu diambil perhatian iaitu: akal, jasmani(luaran) dan ruhani (ruh/dalaman). Apabila keseimbangan dicapai, barulah seorang manusia itu dapat menjadi seorang manusia yang sebenar-benarnya!

Namun kini, serangan pemikiran yang berlaku ke atas diri manusia mengajar kita sendiri hanya mengambil salah satu aspek yang penting dari ketiga-tiga aspek yang disebut tadi. Sudah tentu, keadaan manusia yang sebegini tidak ubah seperti mayat hidup di atas muka bumi ini. Mungkin pada mata manusia yang lain ia tampak sempurna tetapi hakikat sebenarnya dia tidak mengenali dirinya sendiri.

Islam juga menuntut seorang manusia untuk mengenal diri sendiri dari dua aspek: zahir dan batin.

Firman Allah : “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk (kepentingan)mu dan menyempurnakan nikmat-Nya untuk lahir dan batin. Tetapi di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu atau petunjuk dan tanpa kitab yang memberi penerangan.” (31:20)

Kenal-lah dirimu, sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ وَمَنْ عَرَفَ رَبَّهُ فَسَدَ جَسَدَهُ

Artinya: “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka ia akan mengenal Tuhannya, dan barangsiapa yang mengenal Tuhannya maka binasalah (fana) dirinya.

Dengan kedua-dua aspek zahir dan batin inilah kita akan menghargai atas segala apa yang telah Allah berikan kepada diri seorang manusia bermula dari anggota dan hatinya. Allah telah menciptakan sebuah mahligai yang mana di dalamnya Allah telah menanamkan rahsia-Nya sebagaimana sabda Nabi di dalam hadis Qudsi :

بَنَيْتُ فِى جَوْفِ اِبْنِ آدَمَ قَصْرًا وَفِى الْقَصْرِ صَدْرً وَفِى الصَّدْرِ قَلْبًا وَفِى الْقَلْبِ فُؤَادً وَفِى الْفُؤَادِ شَغْافًا وَفِى الشَّغَافِ لَبًّا وَفِى لَبِّ سِرًّا وَفِى السِّرِّ أَنَا (الحديث القدسى)
Artinya: “Aku jadikan dalam rongga anak Adam itu mahligai dan dalam mahligai itu ada dada dan dalam dada itu ada hati (qalbu) namanya dan dalam hati (qalbu) ada mata hati (fuad) dan dalam mata hati (fuad) itu ada penutup mata hati (saghaf) dan dibalik penutup mata hati (saghaf) itu ada nur/cahaya (labban), dan di dalam nur/cahaya (labban) ada rahsia (sirr) dan di dalam rahsia (sirr) itulah Aku kata Allah”. (Hadis Qudsi)
Allah SWT menganjurkan kita untuk mengekalkan fitrah kemanusiaan kita kerana jika tidak mengekalkannya kemuliaan kita sebagai seorang manusia akan hilang. Fitrah manusia yang sebenar adalah menyedari dirinya ini hidup bersama Allah, kerana Allah dan menuju Allah.
Betapa Allah itu Maha Bijaksana. Dia memberi kita fitrah dan Dia sendiri yang menyempurnakannya. Dia memberi kita kelemahan-kelemahan dan Dia sendiri menjadi sumber kekuatan kita. Dia menjadikan kita makhluk yang tidak pernah terlepas dari kesalahan (kita tidak perlu me’malaikat’kan diri) dan Dia sendiri yang Maha Mengampunkan segalanya!
Allah yang Maha Mengetahui segenap sisi fitrah seorang manusia sehingga tidak apa yang mampu kita sembunyikan daripada-Nya. Malah, Dia menceritakan perihal diri kita sendiri. Berulang-ulang kali kita diingatkan agar tidak menzalimi diri kerana menzalimi diri itu adalah tanda-tanda penyakit hati.

فِى قُلُوْبِهِمْ مَرَضٌ

“Di dalam hati mereka ada penyakit”. (2 : 10)

Maka, akan diazablah bagi mana-mana manusia yang menzalimi fitrah manusianya!

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui, (30:30)

modul-mata-kuliah-agama-islam-what-islam-is-14-638

 

MEMANUSIAKAN DAKWAH

Ya, kini telah tiba masanya untuk seorang penggerak dakwah untuk memanusiakan dakwah!

Apa makna yang sebenar seorang daie itu memanusiakan dakwah?

1) Membawa dakwah ke alam realiti, bukan alam ciptaan sendiri/alam mimpi (bermaksud bukan semua hal akan menjadi seperti yang kita inginkan/ sempurna).
2) Memperlakukan diri dan orang sekeliling (ikhwah& akhawat) seperti manusia biasa yang lain.
3) Mengenali dan mengkaji latar belakang masyarakat, tempat dan adat tempat anda berdakwah (mudah untuk mempelbagai teknik dakwah).

Memanusiakan dakwah sebenarnya lebih luas maknanya, tetapi secara ringkasnya saya simpulkan dalam tiga perkara di atas. Kebanyakan para dua’t zaman moden terlupa akan hakikat ini kerana mereka hanya sibuk untuk mendakwahkan manusia, tetapi terlupa untuk memanusiakan dakwah!

Bukan bermaksud kita mengubah dakwah ini mengikut kehendak manusia kerana tindakan itu sama sekali salah. Membumikan dakwah di dalam seorang manusia tetap punya caranya yang khusus (mentarbiyyah) sebagaimana yang kita imani. Lalu, mari kita analisis bersama apakah keperluan kita telah cukup untuk memanusiakan dakwah.

1. Kefahaman fiqh dakwah yang kukuh

Fiqh dakwah ialah : “ satu bentuk kefahaman dan penguasaan yang mendalam terhadap subjek dakwah Islam, hakikat, cara dan intipatinya…’.

Untuk memiliki kefahaman fiqh dakwah yang kukuh mengambil masa yang agak lama dan kita perlu khusyuk tentangnya. Menjadi satu kesusahan apabila kita tidak dapat untuk mengeluarkan isi-isi penting apabila membaca buku-buku seperti ini. Kita perlu melatih diri dan memperbanyakkan bacaan, kerapkan bertanya kepada naqibah cara untuk mengekstrak fiqh dakwah yang penting.

Amal dakwah bukanlah tempat kita mengumpul fakta semata di dalam halaqah atau daurah, tetapi amal dakwah islam yang sebenar adalah apabila seorang al-akh/ukht itu berjaya memaksimakan setiap pemikiran dan keupayaan dirinya serta menyumbang segala harta benda demi mencapai objektif dakwah tersebut.

Fiqh dakwah yang berkesan akan mampu untuk menolak seorang daie itu untuk memajukan dirinya ke dalam masyarakat dan terlibat aktif dalam mengatasi isu-isu dakwah di medan amali. Sungguh, peranan fiqh dakwah ini sangat besar peranannya apatah lagi fiqh dakwah ini sememangnya berbeza dengan cabang fiqh yang lain.

Fiqh dakwah ini memerlukan setiap dari kita untuk berijtihad (berfikir sepuas-puasnya) dalam melaksanakan amal dakwah ini dengan cara yang paling muntij. Memilih tempat program atau tarikh juga dikira sebagai ijtihad. Apatah lagi barisan pimpinan yang kerap kali bersyura dan beban ijtihad ini paling besar dan berat di atas bahu mereka!

Dalam fiqh dakwah, ijtihad dibuat dalam semua perkara selagi mana dua syarat berijtihad dipegang kukuh iaitu yang pertama mempunyai ilmu /tahu akan halal dan haram. Kedua, mahir akan keadaan sekeliling dan realiti (waqieyyah). Medan dakwah adalah satu keluasan yang tidak tergambar luasnya untuk seorang daie itu bebas berijtihad untuk menyampaikan dakwahnya.

“Kita memerlukan ijtihad dalam dakwah melebihi ijtihad dalam fatwa”, demikian penegasan Dr Yusuf Al-Qaradhawi ketika berucap merasmikan seminar yang diadakan di Universiti Qatar bertajuk ” Ijtihad menurut perspektif Islam”.

Kesimpulannya, fiqh dakwah yang sebenar adalah fiqh yang mampu menggerakkan seorang daie.

2. Skill

Bahagian skill yang penting untuk dimiliki:

A) Tarbiyyah dzatiyyah (menjaga dan meningkatkan mutabaah amal)
B) Mentajdid ruh dakwah ( “Tidak ada seorang pun tahu kecuali hanya Allah sahaja yang mengetahuinya..betapa setiap malam-malam yang kami lalui  , kami habiskannya dengan membicarakan  permasalahan umat sehingga sampai ke semua sudut kehidupan, kami menganalisa penyakit umat dan ubatnya, kami berfikir untuk merawat dan mengubati penyakit tersebut .Ia telah memberi kesan kepada kami sehingga membawa kepada tangisan dan air mata…Betapa kami kagum melihat diri kami  merasai sensitiviti tersebut di ketika ramai orang menghabiskan masa mereka berfoya-foya, melepak di kelab-kelab malam, berulang alik ke tempat-tempat maksiat yang akan merosak dan memusnahkan diri mereka. Aku pernah bertanya salah seorang dari mereka ,kenapa kamu membuang masa di tempat-tempat tersebut. Jawabnya :“aku sedang membunuh waktu hidupku ..”. Tidaklah si yang hina tadi sedar bahawa orang yang membunuh masanya bererti dia telah membunuh dirinya. Maka sesungguhnya waktu itu adalah kehidupan..”-ISHAB)
C) Komunikasi dan soft skill (untuk menjaga hubungan dengan manusia sekeliling-ukhuwwah)
D) Pengurusan diri (masa dan tenaga)

Sedarlah untuk memanusiakan dakwah kerana kita tidak mahu menjadi penyambung rantai mata yang aib buat dakwah ini.

Sekian,
mylittlepencil

 

hangatnya pernikahan berbanding dakwah

Ah, artikel ini tiada kaitan langsung dengan Ramadhan. Tetapi punya kaitan dengan apa yang bakal berlaku selepas Ramadhan. Bahkan, tumbuh ibarat cendawan selepas hujan.

Tahun ini menyaksikan saya dan para akhawat ditarbiyyah dengan begitu hebat. Usia yang semakin meningkat menjadikan kami lebih berfikir dengan lebih matang dan banyak perkara terutamanya yang terkait dengan masa hadapan.

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami-dan dia adalah orang yang benar lagi dibenarkan:- “Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selama empat puluh hari sebagai mani, kemudian dia menjadi ketulan darah seperti tempoh tersebut juga (empat puluh hari), kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan ruh padanya. Lalu, dia (malaikat) disuruh oleh Allah supara menulis empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya! Sesungguhnya di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada di antaranya dengan syurga kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu diapun memasukinya (neraka). Di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada di antaranya dengan neraka kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu diapun memasukinya (syurga)”.

(RW Imam Bukhari)

Saya lebih menyukai berbincang dengan para akhawat dengan cara personal (one-to-one communication) dan topik perbincangan yang paling hangat adalah perihal pernikahan. Soal kerjaya, mad’u, dakwah pada masa hadapan bukanlah tarikan buat masa ini.

cincin

Arakiannya, dahulu saya tidak suka berbual mengenai hal ini kerana hal ini terkait dengan rezeki masing-masing. Rezeki dari Allah  Maha Pemberi Rezeki, yang tiada siapapun yang dapat meneka bila masa mereka akan mendapat rezeki untuk menjadi orang bertuah meraikan sunnah Rasulullah SAW itu.

Apakah kami telah terlupa akan sunnah Baginda SAW yang lebih besar itu?
Apakah kehangatan kami untuk didampingi pasangan lebih hangatnya berbanding dakwah?
Adakah dakwah dan tarbiyyah itu telah hilang sengatnya dalam hati-hati kami?

Ya, saya biarkan soalan ini untuk dijawab sendiri…
Mari kita teruskan pembacaan.

Menjelang cuti dari musim belajar, semakin bertalu-talu jemputan perkahwinan yang saya dapat. Kesemuanya tidak dapat saya hadiri kerana kuliah tahun ini yang panjang. Peperiksaan akhir tahun pula pada bulan September nanti menyebabkan saya tidak berasa yakin untuk pulang ke ibu negara tercinta.

Tidak menang tangan saya untuk membalas kesemua jemputan. Hanya doa yang mampu saya kirimkan agar mereka dipermudahkan segala urusan sebelum, semasa dan selepas mereka mendirikan Baitul Muslim.

Ternyata, jemputan seperti ini juga menjadi satu dugaan buat manusia-manusia beriman lagi-lagi menjelang bulan Ramadhan. Moga-moga Ramadhan datang kali ini untuk menyelamatkan iman kita semua yang diduga dengan fitrah manusiawi yang satu ini.

Ya Allah, moga kepanasan Ramadhan ini mampu meleburkan nafsu-nafsu kami!

Tiada siapa yang tidak mahu berpasangan sedangkan haiwan pun berpasangan. Perkara ini cukup untuk menghantui masa hadapan terutamanya melihat orang yang lebih muda dari usia kita bernikah terlebih dahulu.

“ Mengapa bukan aku ya Allah?”

Mari saya ceritakan satu persatu keadaan mengapa membuatkan perkara ini begitu sulit buat iman-iman para dua’t sekarang.

 

  1. USIA
    Saya bagi contoh keadaan supaya lebih senang untuk digambarkan. Di satu tempat, jika ikhwah senior ramai berbanding akhawat yang senior mungkin tidak akan menjadi masalah. Di satu tempat yang lain, di mana akhawat senior itu ramai dan ikhwah pula junior majoritinya.

Jelas ini menjadi satu masalah kerana faktor usia menjadi faktor terpenting bagi sesetengah orang. Tidak ramai sanggup untuk melakukan sebagaimana Rasulullah SAW yang bernikah dengan wanita yang 15 tahun lebih tua darinya.

Keadaan ini menjadikan sesetengah akhawat (mungkin ikhwah juga) sedikit tertekan terutama apabila bila ikhwah dan akhawat yang junior ‘langkah bendul’. Kalau dikumpul cincin atau sepersalinan pakaian yang harus diberikan oleh ikhwah dan akhawat junior yang telah bernikah terlebih dahulu, saya pasti sudah banyak koleksi diri sendiri!

 

  1. MUSTAWA TARBIYYAH
    Permasalahan ini juga seperti di atas. Keseganan tahap maksima berlaku dalam kalangan ikhwah dan akhawat yang melihat orang yang lebih qawiy berbanding mereka. Ikhwah segan melihat akhawat yang lebih qawiy dan begitu juga dengan akhawat. Masing-masing merasa tidak layak dan perkara seperti ini juga  lambat-laun menyebabkan ikhwah dan akhawat tertekan.

 

  1. BUKAN ANAK PAK CIK MAK CIK
    Kini, inilah faktor yang menjadi paling hangat. Pernikahan sesama anak pak cik dan mak cik yang semakin ramai dalam jemaah membuatkan mana-mana ikhwah dan akhawat yang bukan berstatus demikian rendah diri.

 

“ Apakah aku tidak layak untuk menjadi menantu mereka?”

Pernah ada seorang ukhti menyatakan kepada saya akan kekecewaannya terhadap perkara ini. Pandangannya mungkin pak cik mak cik tidak mengenali ikhwah dan akhawat selain dari anak mereka maka kita bukan berada di senarai teratas untuk menjadi keutamaan untuk disusun di dalam perkahwinan.

 

  1. KEFAHAMAN
    Ada dalam kalangan ikhwah dan akhawat masih tidak mampu faham akan kepentingan untuk bernikah meskipun sudah lama ditarbiyyah. Malah, lebih buruk lagi jika tidak merasai sebuah perkahwinan ini mempermudah urusan dakwah.

Susah untuk menerapkan kefahaman dalam kalangan ikhwah akhawat untuk mereka saling menjaga antara satu sama lain. Tidak ramai ikhwah yang faham bahawa mereka perlu untuk menjaga akhawat dan akhirnya tinggallah akhawat itu sendirian bersama kekecewaannya.

 

  1. SUDAH PUNYAI PILIHAN MASING-MASING
    Ya, ikhwah dan akhawat yang sudah punyai pilihan masing-masing. Lazimnya, ikhwah atau akhawat akan merasa pelik apabila yang menjadi pilihan itu bukanlah dalam kalangan mereka. Mereka lebih tegar memilih orang luar atas faktor-faktor tertentu.

 

Sedikit sebanyak faktor ini juga mempengaruhi kerana rasa suka atau cinta itulah adalah fitrah manusia yang tidak dapat ditolak dan didustai. Maka, kita tidak dapat menidakkan pilihan hati seorang ikhwah mahupun akhawat.

 

******

Ketahuilah, bahawa nisbah (dahulu) bilangan ikhwah: akhawat adalah 1:20. Ah terlalu jauh ikhwah untuk mengejar bilangan akhawat yang terlalu ramai. Tidak logik akal juga kita mewajibkan untuk setiap ikhwah berkahwin empat hanya kerana nisbah ini.

Saya menyarankan agar  ikhwah memikirkan nisbah ini dengan lebih rasional dalam kerangka memperhebat serta gigih dalam gerak kerja dakwah. Masa kini bukan lagi masa untuk bermain-main.

Kelima-lima faktor utama ini banyak memberi kesan akan cara kita berfikir tentang baitul Muslim yang disusun jemaah sampaikan kita hilang keyakinan akan susunan ini.

Idealnya pasangan suami isteri yang berstatus ikhwah dan akhawat tidak lagi kita peduli kerana bosan menunggu. Bahkan kita merasakan susunan ini begitu lambat sehingga kita terpaksa mencuba begitu banyak cara lain asalkan kita boleh bernikah di samping dapat mengubat kekecewaan.

 

Minta keluarga sahaja yang carikan/menerima pilihan keluarga.
Minta tolong kawan-kawan sekolah carikan.
Mengisi mana-mana borang BM selain dari borang BM jemaah.

 

Tidak saya katakan mengisi borang Baitul Muslim jemaah akan menjamin 100% idealnya sebuah perkahwinan itu. Kerana ada juga cerita-cerita pahit yang saya dengar. Terletak pada kita yang memahami untuk tetap berusaha dengan cara sedemikian kerana kita yakin dengan maratib amal yang disusun oleh Iman Hassan Al-Banna.

Soal perkahwinan ini ibarat urusan kematian cuma bezanya adalah perkahwinan ini adalah satu hal yang tidak pasti sebagaimana kematian. Setiap manusia pasti mati. Tetapi, bukan semua manusia akan berkahwin. Alangkah hebatnya bagi mereka yang berimpian untuk bernikah sahaja dengan bidadara/bidadari akhirat berbanding di dunia!

Soal perkahwinan adalah satu hal yang terbatas dek kerangka masa yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Peluang untuk bernikah ini akan datang buat manusia-manusia yang telah dipilih oleh Allah. Maka, bagi manusia yang tidak dipilih oleh-Nya pasti ada hikmah yang terlalu besar buat mereka.

Pernah ada seorang ukhti menangis sendirian memikirkan hal ini. Katanya mengapa Allah tidak memilih orang-orang seperti kita untuk bernikah terlebih dahulu.

“ Kita ditarbiyyah untuk menjaga batas perhubungan lelaki dan perempuan. Lalu, kita tundukkan  pandangan mata dan menjaga akhlak. Mudah sahaja dilihat orang di luar sana bebas berpasang-pasangan dan kemudian bernikah. Mengapa bukan urusan kita yang Allah mudahkan?”

Aku menepuk bahunya dan menangis bersamanya kerana sedikit sebanyak aku merasai keperitan itu. Keperitan di mana kita akan menyoal kepada Allah terlalu banyak dan mengharapkan apa yang sepatutnya kita dapat.

Bahkan diri aku sendiri pernah berpesan kepada seorang ustazah, “Ustazah, andai ana tak bernikah sampai ke tua, ustazah pegang tangan ana dan ingatkan ana untuk kekal dalam jalan dakwah ini sebab Allah. Andai kata disebabkan tidak berkahwin ini mendatangkan fitnah, ustazah pegang tangan ana dan berikanlah kekuatan pada ana saat itu.”

Semalam baru sahaja aku bertanya kepada seorang ukhti, “Apa plan enti kalau sampai ke tua enti tidak berkahwin?”

Dia terdiam seketika sebelum menjawab kepadaku.

Kesabaran kita semakin meningkat tahapannya diuji. Kini, kita diuji dengan sabar akan segala ketentuan dan takdir Allah terutamanya perkahwinan. Pastinya kita tidak dapat menghalang kehendak Allah atas setiap hamba-hamba-Nya. Di saat kita sudah selesai dengan lima rukun iman, kita diuji dengan rukun iman yang terakhir iaitu beriman pada qada’ dan qadar dari Allah SWT.

Seorang daie yang hebat imannya, bukan sekadar hebat dalam amal dakwinya bahkan dia hebat dalam menguruskan kehidupan seluruhnya. Malah, dia redha dan sentiasa bersangka baik kepada Allah dengan setinggi yang boleh di kala apa jua yang menimpa dirinya.

Seorang daie yang sudah tamayyu’ dengan celupan dakwah akan sentiasa bulat hati dan lapang jiwanya kepada Allah dalam apa jua urusan. Dia redha akan Allah untuk menentukan setiap liku dan ujian dalam kehidupannya.

Namun begitu dalam masa yang sama, sabar itu juga disertai dengan rasa cemburu terhadap ikhwah atau akhawat yang bakal ataupun telahpun bernikah terlebih dahulu. Rasa cemburu itu sedikit sebanyak mencacatkan ukhuwwah sesama ikhwah dan akhawat.

“ Kau takpelah, dah nak nikah. Aku ni?”

Apabila kita sudah tidak mampu lagi untuk menahannya, maka kita mula terlupa akan kehangatan sebuah dakwah dan apa jua urusan tarbiyyah. Teringat saya akan sebuah pesanan yang dikongsi oleh seorang ukhti yang cukup dekat dengan saya,

“Dia seolah-olah manusia tanpa nafsu, tanpa keinginan dan tanpa keseronokan dunia. Dia lupa makan minum dan pakaiannya. Bahkan lupa dirinya sendiri kerana mengenangkan makhluk Allah SWT. Di dalam hatinya tidak ada dirinya.Yang ada hanyalah makhluk Allah (yang menjadi mad’unya). Apa yang dimintanya hanyalah perkara yang boleh membawa kebaikan kepada manusia kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada Allah SWT.” (Sheikh al-Kailani)

 

Demi Allah, dakwah ini tidak akan berjaya dan sampai ke mana sekiranya kita hanya memberikannya waktu lebihan untuknya, dan kita belum melupai diri dan makan minum kita.

Besar nilai tarbiyyahnya buat manusia-manusia yang benar-benar mengharapkan pada tarbiyyah dan menjadikan tarbiyyah ini paksi utama dalam hidupnya. Kita akan ditarbiyyah dari segala segi : akhlak, amal, cara kita berfikir bahkan perasaan!

Jangan terlalu difikirkan betapa besarnya impian kita terhadap dakwah dan tarbiyyahnya, tetapi fikirkan sejauh mana besarnya jiwa dan perasaan kita untuk impian dakwah dan tarbiyyah itu.

Satu pengorbanan yang teramat besar apabila kita meletakkan dakwah dan tarbiyyah itu pada tingkatan yang paling utama dalam kehidupan kita kerana tidak semua manusia mampu berbuat sedemikian.

Siapa lagi yang akan berkorban jika bukan kita adalah orangnya?
Siapa lagi orang yang besar jiwanya jika bukan kita adalah orangnya?

Bukan saya mengatakan urusan pernikahan ini kita tidak perlu difikirkan bahkan perlu! Ajari diri untuk berfikir hal ini dengan akal dan hati sihat. Agar akal dan hati kita itu mampu memberi fatwa yang baik-baik sahaja buat tuan badannya.

Ajari diri juga untuk berfikir akan hal ini dengan sederhana, bukan dengan deretan emosi dan nafsu yang tidak sabar dan tidak sudah mampu untuk menahan. Bahkan, bekalkan diri dengan persiapan yang mantap kerana tingkatan alam perkahwinan ini penuh tanggungjawab yang sememangnya cukup berbeza jika dibandingkan dengan tanggungjawab hidup kita sebelum ini.

Jangan salahkan takdir kerana tidak layak bagi kita untuk mempersoalkannya. Bebanan rumahtangga Muslim ini sebagai risalah dakwah begitu berat.

 

Bangunlah rumah tangga Muslim agar menjadi teladan yang baik dalam seluruh aspek kehidupannya, dari model busananya yang islami, makan minumnya yang halal, akhlaqnya yang mulia, sampai sikapnya yang Islami dalam adat dan tradisi ketika senang atau ketika susah. mereka selalu menjauhi segala macam unsur jahiliyyah dan adat sera tradisi import yang jahil.

 

Di dalam membina rumah tangga Muslim terutamanya para daie yang menyeru manusia ke jalan Allah agar tidak melakukan kelalaian dalam melahirkan serta membina keluarganya dengan ajaran Islam dalam seluruh aspek kehidupan keluarganya. Ingat orang yang lemah dalam memimpin rumah tangga tidak akan mampu memimpin orang lain, lebih-lebih memimpin rumah tangga orang lain.

 

(Syaikh Mustafa Masyur)

 

Begitu susah untuk membangun sebuah rumah tangga Muslim ibarat sebuah projektor yang memancarkan cahaya kepada masyarakat. Wajarnya bagi setiap pemuda-pemudi Islam (khususnya para dua’t) patut bersungguh-sungguh membangun Islam di dalam diri mereka dan menjadi teladan. Lanjutnya, barulah kamu layak untuk menjadi teladan dalam masyarakat sebagai model keluarga Islam yang sejati.

Daripada Abu Muhammad Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Tidak beriman seseorang daripada kalangan kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.”
(Hadis hasan sahih)

Hampir terlupa. Salam Ramadhan.

Ada dua link di sini yang boleh membantu anda untuk lebih produktif pada Ramadhan kali ini.

http://productivemuslim.com/category/resources/worksheets/

http://ramadanbattleplan.com/ultimate-ramadan-planner/

Nantikan entri yang bertemakan Ramadhan dari saya inshaAllah. Moga diberi kesempatan kerana saya mempunyai misi lain untuk Ramadhan kali ini!

Sekian,
mylittlepencil

hal hal sebuah amanah

Dalam kehidupan, kita dikawal pada empat dimensi. Bumi sebagai tempat untuk kita beramal, masa dan umur mewakili kesempatan kita untuk beramal, Islam menjadi landasan amal manakala potensi yang ada pada diri kita adalah sebagai modal untuk beramal.

Keempat-empat dimensi ini adalah kesemuanya peluang yang datang dari Allah untuk mempermudahkan para hambaNya untuk menjadikan amal itu sebagai satu medan.

Lalu, dari mana datangnya pertanggungjawaban untuk beramal?

Amal adalah sebuah amanah. Ya, kita tidak pernah menyangkanya sebuah amanah bukan? Kita merasakan amanah ini hanyalah terbatas pada urusan kerja. Atau mungkin amanah ini hanya terbatas pada keadaan tertentu.

Seluruh kehidupan ini adalah amanah bahkan jasad kita keseluruhan juga! Malah, Islam yang kita anuti dan percaya merupakan amanah fitrah yang perlu kita laksanakan. Kita wajib melaksanakannya dalam tiga bentuk. Pertama, menjadi agen Islam yang terbaik secara luaran mahupun dalaman. Kedua, mengamalkan Islam secara keseluruhan dan mengikut syariatNya. Ketiga, bersaksi bahawa Islam ini adalah landasan amal yang terbaik.

Nah, itu baru amanah fitrah. Belum lagi kita perkatakan tentang perkara perkara lain bukan? Kita sebagai para dua’t wajib merasakan bahawa dakwah ini adalah satu amanah.

Jauh sekali kita dapat mewariskan dakwah ini untuk generasi akan datang jika kita merasakan dakwah ini bukanlah sebuah amanah yang agung. Amanah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan kemudian disambung perjuangan Baginda oleh para sahabat dan sahabiah. Kemudian, disambung lagi kepada tabiin dan seterusnya sehinggalah kita pada hari ini dapat berhembus dengan nafas Islam.

Membawa dakwah dengan sikap sambil lewa adalah tanda seorang daie yang tidak amanah. Apatah lagi jika seorang daie itu seringkali beralasan untuk mengelak dari melakukan kerja-kerja dakwah.

Sebagai pemikir dakwah, kita perlu memikirkan masa hadapan dakwah. Satu perkara yang amat menakutkan apabila dakwah ini hanya dipenuhi oleh orang-orang yang tidak amanah. Maka akan lahirlah para dua’t yang hanya menggunakan agama ini sebagai sumber pendapatannya, sebagai sumber untuk menarik manusia kepadanya, menjadikan agama sebagai propaganda dan akhirnya kita berjaya ditewaskan oleh jahiliyyah yang lebih kuat.

Bukan sekadar itu, malah dia lah menjadi pembelot agama yang nombor satu! Mulut kata lain, anggota buat lain. Zaman kini menyaksikan, ramai daie sudah terkena dengan sindrom ini. Mereka kaya dengan kata-kata yang mampu menggetarkan dan membasahkan hati manusia, tetapi mereka menjadi orang yang paling terakhir sekali untuk beramal dengannya!

Berbincang tentang lingkungan amal membuatkan saya terkenang akan hadis yang ke-27 daripada himpunan hadis 40 Imam Nawawi.

AMANAH KITA TERHADAP HATI

Daripada An-Nawwas bin Sam’an R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda telah bersabda: “ Kebajikan itu ialah akhlak yang baik dan dosa itu ialah sesuatu yang diragukan-ragukan oleh dirimu dan kamu benci manusia melihatnya.”

Daripada Waabisoh bin Ma’bad R.A, katanya: “ Aku telah datang menemui Rasulullah SAW lantas Baginda bersabda: “Engkau datang untuk bertanyakan tentang kebajikan?” Aku menjawab: “Benar.” Maka Baginda pun bersabda: “ Mintalah fatwa (bertanyalah) kepada hatimu, kebajikan ialah sesuatu yang jiwa dan hati merasa tenang terhadapnya, manakala dosa ialah sesuatu yang menimbulkan perasaan serba salah dalam jiwa dan menggelisahkan dada, sekalipun berbagai fatwa yang diberikan oleh manusia (bahawa ia adalah halal atau haram).”

Mudah sekali Rasulullah SAW menyimpulkan 2 perkara tentang kebaikan. Apa jua yang merasa tenteram pada hati dan akhlak yang baik adalah kebaikan.

Jarang sekali kita bertanyakan kepada hati kita tatkala kita ingin melakukan sesuatu perkara. Adakah hati aku merasai senang sekali melakukannya?

Adakah hati aku merasa gembira dalam mengerjakannya?

Wajarnya, dalam melakukan satu amal kebaikan seorang mukmin itu tidak perlu berfikir lama atau merasa teragak-agak kerana kita yakin setiap dari satu amal kebaikan itu memberi manfaat kepada diri sendiri. Dan inshaAllah, kita pasti diganjari dan diredhai oleh-Nya.

Namun, kita semakin terleka dan kita melupakan amanah ini. Amanah untuk meminta fatwa dari hati sendiri sebelum melakukan sesuatu perkara. Malah, ada perkara yang kita tidak ambil endah pun dan terus membiarkannya.

Kita harus bijak dalam menggunakan sebuah hati. Hikayat-hikayat, lintasan-lintasan hati dan segala apa yang berada di dalamnya hanya menjadi pengetahuan Allah dan kita. Percaturannya  antara kita dan Allah.

Apa pula yang dikatakan dengan keburukan?

Keburukan itu adalah segala apa yang kita tidak mahu orang lain tahu tentangnya. Ya, zaman sekarang kelihatan ramai para dua’t yang menyembunyikan dosa mereka terutama sekali saat mereka sendirian. Murabbiyah saya memberi contoh yang cukup padu. Katanya, ada seorang ukhti apabila duduk seorang diri, dia membuka laptopnya lalu memilih cerita yang mahu ditontonnya sedangkan apabila berada bersama orang ramai, dia tidak berbuat demikian.

Jika dia bersama dengan orang lain, dia akan membelakangi laptop tersebut agar orang lain tidak nampak apa yang sedang ditontonnya.

Kami sesama rakan satu halaqah memuhasabah diri.

Ah, alangkah bodohnya manusia itu apabila dia menyangka dia mampu menyorok dari Allah dan malaikat pencatit amalan yang berada setiap saat bersama mereka!

Hati yang pada asalnya suci dan bersih kini dikotori oleh tangan pemiliknya sendiri. Kita seolah-olah menggunakan hati kita untuk melalaikan perkara-perkara yang baik dan melakukan segala perkara yang tidak baik.

Ibarat kapal yang terbalik lalu karam ke dasar lautan. Hati-hati kita sudah mulai rasa susah untuk menerima segala jenis kebaikan sampaikan tiada beza antara dosa dan pahala kita. Mungkin pada kiraan manusiawi jaraknya mungkin sekadar 100 meter. Walhal, pahala dan dosa itu terlampau jauh bezanya.

Seperti yang pernah saya katakan pada entri yang sebelum ini, kita jangan terlalu bermudah-mudah dalam urusan pahala dan dosa. Jangan kita perkecilkan urusan ghaib ini kerana ia adalah urusan milik Allah SWT.

Di saat ini, kita perlu merasakan hati ini adalah amanah. Amanah yang perlu dijaga dan diguna sebaiknya. Kerana jika kita tidak menjaga amanah ini dengan sebaiknya, fatwa fatwa yang akan diberikan hati kita sendiri adalah ibarat fatwa daripada ulama’ yang tidak bertauliah.

Kesannya, hati dan amal kita menjadi songsang. Yang baik kita tinggal-tinggalkan, yang jahat kita sayang-sayangkan.

AMANAH KITA TERHADAP PAHALA DAN DOSA

Dari Anas bin Malik R.A, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “ Jika Allah menghendaki kebaikan ke atas seorang hamba, Dia akan mempergunakannya. Dikatakan: Bagaimana Allah mempergunakannya wahai Rasulullah ? Rasulullah SAW menjawab,: “ Allah akan memberinya taufiq untuk melakukan amal soleh sebelum dia meninggal.” (HR Imam Tirmidzi)

Dalam satu hadis lain: Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada seorang hamba, Allah akan jadikan ia beramal. Dikatakan, “Apakah dijadikan beramal itu?” Baginda SAW bersabda: “Allah bukankah untuknya amalan soleh sebelum meninggalnya, sehingga orang-orang yang berada di sekitarnya redha kepadanya.” (HR Ahmad& Al Hakim)

Allahumma tasta’milna wa la tastabdilna.
(Ya Allah, pergunakanlah kami dan jangan gantikan kami)

Sejauh mana kita merasakan adalah orang-orang yang benar menggunakan kesempatan waktu, keupayaan yang ada pada diri sendiri dalam melakukan amal soleh?

Dan sejauh mana kita merasa kesan daripada segala azab Allah yang telah diceritakan di dalam kitabnya. Jika kita tidak pernah merasakannya, itu tanda hati kita telah kehilangan amanahnya.

Amanah sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini, bukanlah sekadar untuk hidup malah untuk menghidupkan. Prinsip kita, beramal untuk hidup.

Timbangan pada hari itu (menjadi ukuran kebenaran). Maka barangsiapa berat timbangan (kebaikan)nya, mereka itulah orang yang beruntung. Dan barangsiapa ringan timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang yang telah merugikan dirinya sendiri, kerana mereka mengingkari ayat-ayat Kami. (7:8-9)

Saat hati itu mula mengingkari, dan tidak mampu lagi merasa sensitif akan penceritaan penuh detail tentang azab Allah, bermulalah dosa-dosa kecil pun mampu untuk menjadi dosa-dosa yang besar.

Sang daie itu merasa aman terhadap siksaan Allah.

…Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri, “Mengapa Allah tidak menyiksa kita atas apa yang kita katakan itu? Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Maka neraka itu seburuk buruk tempat kembali.” (58:8)

Meremeh-temehkan dosa

“Waspadalah terhadap sikap meremehkan dosa, kerana bila sahaja seseorang melakukan hal tersebut, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad, At Tabrani&Al-Baihaqi)

Merasa senang dengan dosa

“Barangsiapa berbuat dosa sambil tertawa, nescaya ia akan masuk neraka seraya menangis.”
(HR Abu Naim)

Berani menayangkan dosa

Rasulullah SAW bersabda: “Seluruh umatku akan dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan dalam dosa (al-mujahirun), termasuk terang-terangan dalam dosa ialah seorang hamba yang melakukan dosa di malam hari lalu Allah menutupinya ketika pagi, namun ia berkata “ Wahai fulan aku tadi malam telah melakukan perbuatan begini dan begini.” (HR Muslim)

 

Kita harus menjaga amanah kita terhadap dosa. Perasaan kita terhadap sebuah dosa itu sendiri tidak mengira dosa itu kecil mahupun besar. Kita tidak perlu menunggu perhitungan dari Allah, kerana saban hari kita boleh memuhasabah diri untuk menilik semula setiap amal yang telah diperlakukan.

Bentuk dosa (kecil atau besar) itu hanyalah pengkelasan, bukan satu alasan untuk membolehkan kita mendekati dosa-dosa kecil dan kita mengambil sikap aku-kira-baik-sebab-aku-tak-buat-dosa-besar.

Dalam satu amanah Rasulullah SAW kepada A’isyah RA: “ Wahai A’isyah, jauhkanlah dirimu dari mengganggap remeh dosa-dosa kecil, kerana sesungguhnya akan ada tuntutan Allah terhadap dosa-dosa kecil.” (HR Nasaie & Ibnu Majah)

Kata kata Fudhayl bin Iyadh: “ Selama kamu menganggap kecil sebuah dosa, maka semakin besar dosa tersebut di hadapan Allah. Selama kamu melihat besar sebuah dosa, semakin kecil dosa tersebut dimata Allah.”

KEMENANGAN JUGA MERUPAKAN SATU AMANAH

Kemenangan juga adalah salah satu amanah. Amanah yang sangat berat dan mahal. Terlalu mudah dan murah jika Allah memberikannya kepada sesiapa begitu sahaja. Allah hanya akan memberikannya kepada manusia-manusia yang benar-benar sanggup berjuang keranaNya.

Pada setiap manusia yang benar-benar beramal dengan dakwah ini, hanya dia sahaja yang akan merasai kemenangan. Paling tidak, kemenangan ke atas dirinya sendiri. Paling tinggi, kemenangan ini berpihak kepada agama-Nya.

Saat kejatuhan tamadun Islam satu ketika dahulu saya kira sebagai satu indikator pecah amanah. Tika itu, ummat Islam tidak benar-benar menjaga amanah dakwah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Nah, jika kita bersikap seperti itu, kita tidak akan berupaya untuk mencapai kemenangan apatah lagi untuk mencapai kemenangan di dalam dakwah.

Dalam sebuah tafsir surah Ali-Imran oleh Syaikh as-Sa’di Rahimahullah: “Artinya, janganlah kalian mengira dan jangan pernah terdetik dalam benak kalian bahawa kalian akan masuk syurga begitu sahaja tanpa menghadapi kesulitan dan menanggung berbagai hal yang tidak menyenangkan tatkala menapaki jalan Allah  dan berjalan mencari keredhaan-Nya. Sesungguhnya syurga itu adalah cita-cita tertinggi dan tujuan paling agung yang membuat orang-orang saling berlumba dalam kebaikan. Semakin besar cita-cita maka semakin besar pula sarana untuk meraihnya begitu pula upaya untuk menghantarnya ke sana. Tidak mungkin  sampai kepada kenyamanan kecuali dengan meninggalkan sikap santai-santai. Tidak akan digapai kenikmatan yang hakiki/syurga kecuali dengan meninggalkan (tidak memuja) kenikmatan yang semu/dunia. Hanya saja perkara-perkara yang tidak menyenangkan di dunia yang dialami seorang hamba di jalan Allah tatkala nafsunya telah dia latih dan gembleng untuk menghadapinya serta dia sangat memahami akibat baik yang akan diperoleh sesudahnya-maka nescaya itu semua akan berubah menjadi kurnia yang menggembirakan bagi orang-orang yang memiliki bashirah, mereka tidak peduli itu semua. Itulah keutamaan dari Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapapun yang dikehendaki-Nya.”

Amanah sebuah kemenangan ini akan menjadikan kita:

  1. Beramal dengan ikhlas dan bersungguh sungguh
  2. Beramal hanya dengan amal yang baik
  3. Beramal dengan strategi yang mantap
  4. Mempunyai sikap pekerja yang bertanggungjawab
  5. Senantiasa memikirkan dan merancang amalnya
  6. Menggunakan kesemua peluang sebaiknya

 

Bagi orang-orang yang benar-benar menyintai kemenangan dalam jalan dakwah, ia akan mempunyai sikap seorang pemenang. Ia tidak menunggu ajalnya begitu sahaja kerana setiap yang hidup itu pasti akan mati. Ia menunggu setiap detik bertemu Tuhannya itu dengan amal-amal kebaikan. Dengan itu, ia akan kembali kepada Allah dengan hati yang saliim dan penuh kecintaan dari Sang Rabb itu sendiri.

Sikap pemenang yang angkuh hanya merugikan kerana definisi kemenangan mereka itu cukup singkat dan terhad. Mereka menyangka impian mereka itu tinggi, tetapi kecil sekali di mata Allah. Ia juga menunggu ajalnya tetapi ia bakal bertemu Tuhannya dalam keadaan yang cukup merugikan.

Sikap manusia yang kalah pula manusia yang langsung salah definisi redha. Ia terus menunggu dan menunggu yang ditakdirkan oleh Allah kepadanya. Ia lebih suka menyerah kalah terlebih dahulu sebelum membuka langkah untuk berusaha. Orang-orang seperti ini tidak perlu menunggu ajalnya kerana di atas dunia ini, ia telahpun mati!

 

 

jangan cepat melatah!

Bismillah. Ah, sudah lama rasanya tidak menulis di sini.

Berteduh di bawah satu bendera Malaysia bersama anda semua membuat kita tidak kering minda dari  isu-isu yang menarik di Malaysia. Tipulah jika kita mengatakan bahawa kita tidak ambil endah langsung. Sedangkan saya sendiri tergelak melihat upacara Raja Bomoh Malaysia berjampi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan di tepi sebuah lebuhraya kononnya dia ingin mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut.

Terkadang saya memikirkan, bagaimana kita semua akan matang di dalam ‘sekolah pemikiran’ Malaysia yang mendidik rakyatnya begini. Kita dihujani dengan pelbagai isu dalam keadaan kita begitu cetek ilmu. Sudahlah begitu, memikirkan sesebuah isu itu dengan lebih serius pun kita tidak mahu.

Buah-buah pemikiran aneh pun turut terpamer.
Sampai blank saraf-saraf otak dibuatnya!

Isu-isu begini seolah menukarkan cara pemikiran kita yang sebelum ini lebih matang kepada cara berfikir budak sekolah rendah. Saat ini kita mengimani setiap manusia itu bebas melontarkan pandangan masing-masing. Tetapi malangnya setiap dari kita melontarkan pandangan yang  begitu bodoh!

Malah, akhlak juga menjadi keji hanya dengan mengeluarkan pendapat.
Agama juga turut mendapat tempiasnya.

blablabla

Kita lontarkan pandangan tanpa kita mengkaji hujung pangkal sesebuah isu. Lebih buruk, kita mendakwahi manusia yang lain untuk mengikut pendapat kita itu dan mengaku itulah pendapat yang paling benar.

Wahai para dua’t, mengertilah kita harus siddiq dalam melontarkan pandangan.

Ya, kita sememangnya bebas dalam memberikan pendapat tetapi tidaklah sampai melanggar hak etika terhadap manusia yang lain. Dalam konsep ini, kita harus beralah dan terus mengkaji.

Jangan kerana isu-isu yang berlaku di sekeliling kita, kita cepat melatah. Kita bukan lagi manusia yang memandang sesebuah isu itu dari permukaannya sahaja, tetapi kita memandang dengan cahaya akal seorang pemikir.

Antum wahai dua’t sewajarnya mengeluarkan pendapat yang paling bernas sekali kerana pendapat-pendapat kitalah yang diperlukan oleh ummah ini. Tidaklah mengatakan bahawa pendapat kita paling benar, tetapi sekurang-kurangnya pendapat kita mempunyai landasan agama yang betul.

Jangan pelik, dalam kebersamaan kita merasakan Raja Bomoh itu tidak logik, ada lagi rakyat Malaysia yang merasakan kuasa-kuasa mistik begitu satu hal yang bernas tatkala satelit-satelit canggih tidak mampu lagi untuk mencari pesawat MH370!

Kelakar bukan?
Buktinya, masyarakat kita masih lagi ada yang percaya pada perkara-perkara tahyul yang telah pun difirmankan  oleh Allah sejak dahulu lagi.

“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir, mereka mengajarkan  sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat Harut dan Marut di negeri Babilonia. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan, “Sesungguhnya kami hanyalah cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kafir. Maka mereka mempelajari dari keduanya apa yang (dapat) memisahkan antaranya seorang (suami) dengan isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dengan sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barangsiapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak dapat mendapat keuntungan di akhirat, Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dengan sihir, sekiranya mereka tahu. ” (2:102)

Isu-isu sebegini yang akan mengusik akal-akal suci kita akan sentiasa berlaku, malah mungkin lebih hebat lagi pabila masa akan datang. Tetapi, sebagaimana dahsyat pun isu di Malaysia, kita masih lagi kekurangan dua perkara iaitu : sensitifnya hati dan bergeraknya amal.

Sensitifnya kita sebagai manusia tidak hanya boleh dinilai dengan kelantangan kita dalam mengeluarkan sebuah pendapat. Tanda wajib yang menunjukkan kita sensitif ialah :

  1. Kita kaji dengan teliti
  2. Kita merujuk dari orang-orang yang alim dalam bidang tersebut
  3. Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah

Saya lihat, tidak ramai daie yang akan berbuat begini. Kebanyakannya hanya cakap membabi-buta tanpa usul periksa. Ini satu petanda bencana yang besar dalam ummat ini tatkala seorang daie itu pun turut sama mencair dengan masyarakat dalam mengeluarkan pendapat.

Kerana itu, apabila kita berada di dalam sebuah sistem halaqah, kita wajib membincangkan qadaya ummat ini dengan lebih dalam. Penuh dengan perasaan dan fakta yang berkaitan. Kita para dua’t tidak mahu menjadi  ‘keratan-keratan akhbar’ kepada masyarakat yang menyampaikan pendapat-pendapat yang kosong.

Apa yang saya takuti, kita akan dibunuh dengan isu-isu yang melanda ini. Sampai kita tertinggal dari memikirkan hal-hal yang lebih aula. Sudahnya, kita hanya tenggelam dalam memikirkan hal-hal picisan begini  dan fikiran kita hilang kemuliaannya!

Kemuliaan dalam berfikir ini sebagaimana yang telah Allah angkat di dalam Al-Quran dengan seruan , “Wahai orang-orang yang berfikiran”, “Wahai orang-orang yang berilmu” memberi satu nilai yang besar dan berharga buat ummat manusia. Bukan sekadar membezakan dari makhluk-makhluk Allah yang lain, bahkan turut membezakan kita dari golongan-golongan manusia yang tidak menggunakan akal ini dengan sebaiknya.

Betapa beruntung buat manusia yang menghargai nikmat akalnya!
Mari kita nilai semula akal kita.

Berapa ramai dari kita yang saban hari memikirkan hal ummah sehingga tidak tidur malam?
Berapa ramai dari kita yang mengkaji sesebuah isu itu sedalam-dalamnya ?
Berapa ramai dari kita yang mampu membentangkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis berkaitan dengan segala isu yang terjadi?
Berapa ramai dari kita yang memikirkan hal-hal yang penting ?
Berapa ramai dari kita yang mengosongkan pemikiran dari hal yang sia-sia?

 

Isu MH370.
Isu Ustaz Don.
Isu Karpal Singh.
Isu Palestin.
Isu konsert.
Isu anak luar nikah yang semakin berlambak. (atau masih ada yang merasakan ini bukan satu isu yang penting?)
Isu masalah maksiat berleluasa.

Lihat, banyak masalahnya bukan. Belum lagi dicampur dengan masalah-masalah peribadi kita. Lambakan masalah ini akan kian bertimbun sekiranya kita tidak bergerak dalam sebuah amal. Sebuah amal yang dapat menyelesaikan masalah-masalah ini semua.

Ya, aku yakin para dua’t semuanya sedang bekerja.
Maka, tenggelamlah dalam lautan kepenatan dan hamparan kesibukanmu beramal!

Ini peluang keemasan untuk kita bekerja keras dalam menyelesaikan masalah-masalah di atas. Pastinya, kamu tahu apa puncanya bukan?

Sistem amal kita : mengubati punca kepada sebuah penyakit, bukan hanya simptom-simptomnya sahaja yang kita rawat.

Jangan menjadi daie di bawah tempurung. Hanya selesa berada sesama kelompok kamu sahaja mendengar pendapat-pendapat sesama dua’t.  Sesekali kita bicara bersama mad’u-mad’u kita untuk mengetahui apa dalam benak pemikiran mereka supaya kita belajar sesuatu tentang realiti dunia.

Musim telah berubah.
Kini manusia bukan sekadar menerima, tetapi mereka bijak berfikir dan mengolah tentangnya.
Manusia kini bukan lagi manusia-manusia kampung.
Manusia kini semuanya sudah berani melalak!

Isu-isu yang berlaku sekarang memberi gambaran betapa dahsyat dunia akan datang.
Juga, betapa kronik akan keadaan ummah ini.

Mungkin musuh sedang bertepuk tangan gembira melihat kita begini.
Di sana mereka meraikan ‘kebodohan’ kita.
Di sini kita sibuk merayakan betapa ‘cerdik’nya  cara kita menyambut pelbagai isu yang terjadi.

Maka, para dua’t bersedialah masuk ke dalam ummah ini!

Memerlukan otak-otak yang geliga.
Ihtimamlah  dengan tarbiyyah,
dan bergeraklah dengan laju dalam jalan dakwah ini.

Mari kita ajak semua manusia untuk sama-sama menjadi peta fikiran yang bijak.
Jangan cepat rebah dan melebur sahaja nilai kemanusiaan itu.

sekian,
mylittlepencil
sekadar coretan pendek

travelog DnT (6/9-15/9)

(Selangor-KL : 6-15 September)

Badan terasa penat meskipun perjalanan dari Terengganu menggunakan kapal terbang. Syukur tidak berhenti dizikirkan di dalam hati kerana diberi peluang untuk bersama dengan akhawat sepanjang berada di Terengganu. Sebelum ini, saya sangat susah untuk mendapat keizinan dari ibu dan ayah untuk keluar, tidak kiralah apa jua tujuannya. Namun setelah berbincang dengan baik, mereka kini lebih terbuka menerima keadaan diri saya yang juga punya tanggungjawab di luar rumah.

Dakwah memang menuntut keseimbangan kita dalam menguruskan tanggungjawab yang ada. Kitalah hamba Allah yang bergelar seorang anak, seorang daie dan pelajar. Pada satu ketika, kita akan merasa begitu terhimpit dengan masa dan tuntutan-tuntutan ini sehingga membuatkan kita mampu untuk bertindak di luar batasan kita sebagai seorang manusia. Jujurnya, saya sendiri pernah mengamuk dan marah kepada kedua ibu bapa saya kerana tidak mengizinkan saya untuk keluar ke mana-mana program. Bertambah marah apabila mereka tidak menyatakan kepada saya sebab saya tidak boleh keluar dari rumah !

‘ Aku ni bukannya anak kecil yang boleh menerima begitu sahaja perkataan tidak untuk semua perkara.’ omel hati saya sendirian.
Pelbagai perkara berlegar-legar dalam pemikiran saya.
‘ Mengapa umi abah susah sangat untuk memahami diri aku.’
‘ Kenapa mak ayah orang lain senang je nak bagi anak-anak keluar. Anak-anak keluar jumpa teman lelaki senang keluar. Aku ni keluar nak pergi program untuk dakwah punyalah susah nak keluar. Bukannya buat benda tak elok !’

Dan banyak lagi persoalan lain. Akhirnya, menjadikan diri saya tidak stabil dari segi dalaman mahupun luaran. Hari-hari berbaki di Malaysia dihabiskan dengan perasaan marah, tangisan dan cemburu terhadap akhawat yang dapat hadir ke mana-mana program dakwah dan tarbiyyah.

Sungguh, ketaatan kita terhadap ibu dan ayah juga akan diuji. Ketaatan kepada kedua ibu bapa dibangun di atas tiang taat kepada Allah. Mana mungkin tiang taat kepada ibu bapa itu berdiri sendiri tanpa arahan dari Allah untuk kita taat kepada mereka. Redha Allah tergantung pada redha mereka dan begitu juga dengan kemurkaan Allah. Jangan sesekali menjadikan dakwah dan tarbiyyah sebagai alasan untuk kita menjadi seorang anak yang derhaka. Rukun taat yang diajar oleh Imam Hassan Al-Banna juga turut memuatkan rukun taat kepada kedua ibu bapa. Arakiannya, kita juga mempunyai ketaatan-ketaatan lain yang perlu dibina bila berada di dalam sesebuah jemaah dakwah. Islam tidak bererti sama sekali tanpa ada ketaatan dan kepatuhan ummatnya dan tentu sahaja segala ketaatan itu tidak berlawanan dengan perintah Allah S.W.T.

Ada seorang makcik berpesan kepada saya. Katanya,
” Kita sebagai anak hanya kita sendiri yang tahu cara untuk bahagiakan ibu bapa kita sendiri. Jangan tanya pada orang lain. Cari jawapannya pada diri sendiri. Kalau betullah dengan keberadaan kita di rumah itu sudah cukup membahagiakan mereka, maka duduk sahaja di rumah. Penuhi tanggungjawab kerana rumah juga merupakan salah satu medan dakwah. Itulah naluri ibu bapa. Mereka tidak akan merasa puas menjaga kita sampai bila-bila.”

Kini, saya lebih mengerti. Keberadaan di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor selama dua minggu setelah tiba dari Mesir tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu agak perit juga rasanya. Agaknya beginilah ibu dan ayah kita menanggung rindu apabila berjauhan dengan anaknya !

Saya pernah meluahkan pada seorang ukhti akan hal ini. Katanya. ” Takpelah [mylittlepencil]. Sekurang-kurangnya, [mylittlepencil] dah rasa dua-dua keadaan. ”

Saya mengiyakan kenyataan ukhti tersebut. Sungguh, saya berharap agar tarbiyyah yang Allah berikan pada saya ini bermanfaat kepada saya sampai bila-bila dalam menjalankan tugas seorang daie yang juga bergelar seorang anak. Tidak rugi kita berpolitik dengan kedua ibu dan bapa kita menggunakan dakwah dan tarbiyyah. Tunjukkan qudwah yang paling hasanah dan segala perubahan yang telah kita lakukan. Cubalah memahami diri mereka daripada selalu mengharap agar mereka memahami kita. Muhasabah semula nilai ketaatan yang telah kita berikan kepada kedua ibu bapa sama ada masih kurang ataupun tidak. 

Imam At-Thabrani meriwayatkan hadis dengan sanad dari Abi Bakr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : Semua dosa akan ditunda oleh Allah seksanya hingga Hari Kiamat, kecuali dosa durhaka kepada orang tua, kerana Allah menyegerakan balasan dosa tersebut sebelum pelakunya meninggal dunia.

Hari-hari yang berbaki diisi dengan program yang sudah siap diatur. Alhamdulillah, kesempatan bersama akhawat dan muwajjih (pemberi taujihat) yang hebat dimanfaatkan sebaiknya. Pelbagai ilmu dan teori ditimba untuk dijadikan amalan sebagai seorang penggerak dakwah. Aspek ‘KITA DAN DAKWAH’ diingatkan semula agar keyakinan kami untuk berkhidmat di medan masing-masing semakin bertambah. Sungguh, mengekalkan momentum sebagai muharrik-muharrik dakwah memang susah apatah lagi medan sebenar menyediakan terlampau banyak mehnahnya.

Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika tidak engkau lakukan (apa yang diperintahkan itu) bererti engkau tidak menyampaikan amanah-Nya. Dan Allah memelihara engkau dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir. (Al-Maidah:67)

 

 

Habis sahaja program bersama akhawat, saya menghubungi seorang kawan rapat saya yang belajar di universiti berhampiran. Sudah lama tidak bertemu dengannya menjadikan terlalu rindu padanya !

Perbualan lebih banyak berkisarkan perkembangan diri masing-masing sampailah dia bertanyakan kepada satu soalan yang berbunyi, ” Eh [mylittlepencil] kau dalam IKRAM ni kau duduk department mana?”

Pada mulanya saya tergelak kecil mendengar soalan daripadanya. Hendak diterangkan department mana pun saya tidak tahu. Akhirnya saya menjawab saya aktif di peringkat pelajar. Dalam hati, saya berdoa agar dia terbuka hati untuk merasai kemanisan dakwah dan tarbiyyah ini satu hari nanti.

Saya juga sempat berkunjung ke sebuah kedai buku yang bernama Imanshoppe. Dari dahulu lagi, saya menyimpan hajat untuk berkunjung ke sana. Sampai sahaja di sana, terus rambang mata. Penuh dengan buku-buku dakwah dan tarbiyyah serta barangan seperti sticker, button badge, Al-Quran dan lain-lain. Sempat juga berjumpa dengan beberapa orang akhawat India di sana.

imanshoppe 1
imanshoppe 1
imanshoppe 2
imanshoppe 2

Dua hari sebelum pulang ke rumah, saya menghadiri satu perjumpaan yang diwajibkan kepada semua pelajar yang belajar di bumi Mesir. Tempat perjumpaan teramat sesak sehingga saya membuat keputusan hanya untuk berada di surau sementara menunggu sesi taklimat yang mempunyai banyak pusingan.

Di surau, saya dan beberapa orang akhawat duduk berehat dan berbual tanpa sedar kami sedang berada di surau sehinggalah kami ditegur untuk memperlahankan suara. Alangkah malunya !

Kami semua bertudung labuh dan berpakaian lengkap tetapi membuat bising di surau. Kami memandang sekeliling, muslimat yang berada di dalam surau mengerjakan solat sunat dan membaca majalah islamik. Tarbiyyah besar buat kami. Lalu, kami mengambil keputusan untuk berhenti berbual dan membuat kerja yang lebih berfaedah.

Biasalah akhawat, bila berjumpa tidak boleh berhenti bercakap ! Mungkin ini salah satu kebiasaan yang perlu dikawal kerana kadang-kadang kita mungkin tidak sedar ada sesetengah orang kurang selesa dengan orang yang banyak bercakap. Silapnya bila kita berbual topik-topik biasa, mulut kita hangat berbicara, bila disuruh menyampaikan daurah lidah menjadi kelu tiba-tiba !

Dalam dakwah, kita akan berjumpa dengan berbeza khalayak mad’u yang memerlukan untuk kita seni dalam menyampaikan dakwah. Mengajak masyarakat untuk menjadikan dakwah dan tarbiyyah ini sebagai satu bual bicara harian bukanlah mudah kerana topik ini dianggap asing dan pelik untuk dibualkan. Teknik kita dalam menyampaikan wajib sesuai pada masa, tempat dan keadaan masyarakat agar topik dakwah dan tarbiyyah ini sampailah satu ketika nanti dibualkan di seluruh pelusuk dunia. Berbual dengan mereka sesuai dengan tahap pemikiran dan pemahaman mereka. Kebenaran tetap menjadi paksi utama dalam perbualan kita sebagai seorang daie.

Alangkah indahnya, dengan berbual juga mendapat pahala !

Pada rancangan awalnya, saya berhajat untuk terus pulang selepas habis sahaja taklimat tersebut. Tetapi, apakan daya kerana tiket bas sudahpun habis. Maka, tiket keesokan harinya menjadi pilihan saya. Saya berterima kasih kepada seorang ukhti yang setia menjadi teman perjalanan saya. Malah, memberi sudi memberikan tumpangan semalam di rumah kakak beliau. Kakak beliau tidak lokek memberikan bantuan dan melayan segala kerenah saya. (terima kasih kak Atikah !)

Keesokan harinya, saya pulang dengan pelbagai niat dan tidak sabar untuk bertemu dengan keluarga.
Harapannya pulang berada di samping keluarga kali ini mampu membuktikan diri ini menjadi anak yang lebih baik inshaAllah !

sekian,
mylittlepencil

festival filem ummah

Aku mencari-cari,
siapa yang akan membelaku,
aku ternanti-nanti,
siapakah orangnya yang merinduiku,
siapakah orangnya yang berhajat untuk sujud di lantaiku.

Aku mencari-cari,
siapa yang akan membelaku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
orang yang masih mampu nyenyak dalam tidurnya,
sedangkan Aku masih ternanti-nanti.

Aku mencari-cari,
siapa yang akan membelaku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
orang yang masih bermain-main dalam pelajarannya,
sedangkan anak-anak kecil di sekelilingku,
gigih belajar di sekolah mereka,
jiwa mereka berteriak, “ Idhrib idhrib Tel Aviv.”

Aku mencari-cari,
siapa yang akan membelaku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
orang yang terlalu lama menghadap computer riba mereka,
sedangkan pejuang-pejuangku, “ Keseronokan kami menjaga sempadan Gaza sepanjang malam sama seperti keseronokan kamu menghadap laptopmu itu !”

Aku mencari-cari,
siapa yang mahu membebaskan aku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
orang yang masih berhibur dengan dunianya sendiri,
betapa kedekutnya dia,
betapa miskin perasaannya.

Aku mencari-cari,
pencarian masih tidak berhenti,
siapa yang mahu membebaskan Aku,
Aku tidak memerlukan orang yang begini,
menonton sketsa-sketsa lakonan yang palsu,
Apakah tidak cukup tayangan asli dari tempatku untuk menggegarkan jantung  kamu semua ?

Pencarian berhasil,
ketika Aku mencari,
Aku terjumpa Salahuddin Al-Ayubi,
dia berjaya menyatukan seluruh negara Arab untuk membebaskanku,
Kemudian,
Aku berjumpa pula dengan Imam As-Syahid Hassan Al-Banna,
dia menghantar tentera-tentera tarbiyyahnya untuk mempertahankanku,
Lalu Aku berjumpa lagi,
As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin,
si tua lumpuh di atas kerusi roda,
hidup dan matinya mulia,
nama dijunjung ahli langit,
wangi tubuh syahidnya, haruman syurga.

Aku ingin bertanya,
“Bilakah tiba masanya Aku berjumpa pula dengan kamu semua ?”,
Aku masih ternanti-nanti,
tangan pembelaan,
kerana Aku ditawan lagi.

*****

Kota mulia, Palestin milik kita yang tercinta telah banyak mencetak pejuang-pejuang hebat dunia. Malah, seisi dunia kini bukan hanya menyaksikan Palestin. Mesir, Syria, Rohingya kini turut menjadi pentas perjuangan dunia.

Bukan ibarat pentas lakonan yang sekadar memaparkan lakonan para pelakon yang tidak punya perasaan. Bukan juga ibarat pentas lakonan yang sekadar menayangkan kisah menyayat hati yang terkadang jauh dari realiti, malah ada yang tidak dapat diterima oleh logik akal.

Media memberi pelbagai khabar berita. Pastinya, kita sebagai para penonton melihatnya dengan pelbagai jenis tafsiran dan komen. Memberi rating terhadap lakonan yang dihasilkan. Soalnya, adakah tafsiran, pandangan, firasat, komen dan rating kita itu tadi adalah benar ?

Negara-negara ini  ibarat pentas lakonan asli. Malah, kota tersebut menjadi pentas perjuangan bagi rakyat-rakyatnya. Setiap saat mereka punya peluang untuk menjadi hamba yang syahid. Negara-negara tersebut  seolah menjadi tempat latihan terbaik untuk melahirkan tentera-tentera yang terbaik persis Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya.

“ Para rahib di malam hari, dan penunggang kuda di malam hari. Ada dapat melihat dari mereka pada malam hati berdiri di depan mihrab dengan memegang janggut, menggerakkan kepala seperti gerakan orang sihat, menangis seperti orang yang bersedih dan mengatakan, “ Wahai dunia tipulah orang selain Aku.” Namun begitu fajar menyinsing, seruan jihad menggema memanggil para mujahidin, maka anda akan melihatnya bagai singa yang berada di atas punggung kudanya. Ia berteriak dengan lantang, sehingga membahana di seluruh medan peperangan.”

 

 

Saya ambil Sheikh Ahmad Yassin sebagai contoh.  Sheikh Ahmad Yassin adalah tentera terbaik meskipun beliau lumpuh. Semangatnya itu sentiasa membakar semangat pemuda-pemuda di sekelilingnya untuk terus berjuang bumi Palestin. Kesyahidan beliau menambahkan lagi kesan yang positif. Meskipun jasad beliau meninggalkan dunia, namun ruh perjuangan terus menghidupkan para pejuang di sana.

Apa yang patut kita kagumi, Sheikh Ahmad Yassin tidak memandang kelemahan beliau sebagai satu penghalang untuk menjadi seorang pejuang. Apa yang cacat hanyalah fizikalnya semata. Dan kecacatan tersebut tidak sedikitpun menjadi alasan bagi beliau untuk mengelak dari menjadi orang terkedepan dalam perjuangan !

Beliau adalah tokoh terbaik dalam membuktikan orang yang lemah fizikal juga mampu untuk memberikan sumbangan yang betapa tinggi nilainya !

Iman dan aqidahnya tidak cacat.
Semangatnya sempurna saya kira.
Dan kesempurnaan itulah yang menjadikan beliau kuat berbanding orang yang normal fizikalnya.

Beliau antara pelakon terbaik pilihan Allah untuk tontonan kita semua. Dan beliau berjaya membawa watak tersebut dengan begitu baik sekali apabila ceritanya ditamatkan dengan penamat yang begitu agung !

Tiada pengakhiran kehidupan yang lebih mulia selain mati mempertahankan kalimah-Nya.
Tiada pengakhiran kehidupan yang lebih mulia selain darah syahid itu menjadi titisan terakhir tubuh badan seorang hamba.
Tiada pengakhiran kehidupan yang lebih mulia selain dari kematian yang menghidupkan !

Dan kini, bumi Mesir juga sedang mempamerkan ‘lakonan’ yang sama. ‘Pelakon-pelakon’ terbaik mereka cukup ramai. Masing-masing membawa pulang ‘piala kemenangan’ dalam ‘Festival Filem Rabaah’. Himpunan manusia di sana bukanlah himpunan manusia di dalam sebuah konsert bersorak gembira melihat artis kesayangan mereka.

Ya, mereka juga bersorak. Tetapi sorakan mereka adalah sorakan kumpulan manusia yang siddiq. Sorakan kebenaran penuh semangat siang dan malam.  Sorakan mereka adalah untuk menolak segala ketidak adilan yang berlaku di negara mereka. Saya kira, sorakan mereka itu cukup menggerunkan sampailah 14 Ogos menjadi tarikh pilihan untuk pihak tentera memusnahkan tempat himpunan mereka itu.

Sehingga kini, simbol Rabaah menjadi lambang perjuangan satu dunia. Kebanyakan negara menyokong perjuangan mereka dan tidak melepaskan peluang untuk berhimpun di negara masing-masing.

Ya, wabak ‘berhimpun’ dan ‘Dataran Rabaah’ nampaknya telah merebak ke seluruh dunia !

Syukur alhamdulillah !
Dunia kini semakin kenal akan erti perjuangan yang sebenar. Tambahan lagi, dunia berpeluang untuk mengenali para pejuang serta peribadi diri seorang pejuang. Gambar-gambar dan apa jua maklumat perihal mereka kita kongsikan. Saat ini sangat manis untuk ummat Islam seisi dunia !

Paha kiri dicubit, paha kanan yang terasa.

Moga perasaan ini terpelihara selamanya.
Ambil tahu akan perihal yang berlaku di negara-negara Islam.
Rasa sedih dengan saudara-saudara seaqidah yang tertindas.

Moga perasaan ini bukanlah palsu.
Bukanlah bersifat sementara atau time-oriented.
Bukanlah bersifat luaran semata.
Bukanlah hanya gelojak rasa tidak puas hati atau rasa marah kerana dua rasa ini tidak asli untuk orang-orang yang beriman.

Aslinya rasa peduli ummah ini adalah kerana iman itu sendiri.
Maka, berimanlah untuk mempunyai ruh seorang pejuang.
Dan imanilah perjuangan ini tidak kira masa, tempat dan keadaan.

Biarpun tentera musuh lebih ramai.
Biarpun senjata musuh lebih canggih.
Biarpun strategi musuh lebih mantap.

Kita tidak akan jemu dengan perjuangan ummah ini.
Kita tidak akan berganjak dari titik perjuangan ini.

Kita bersama-sama mereka semua.
Dalam festival filem ummah ini.

Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. (Al-Anfaal:65)

****

mari berangkat !
mari berangkat !

Mari berangkat,
wahai batalion ummah,
biar bergetar jiwa musuh,
biar telinga mereka takjub dengan derap perjuangan,
biar mata mereka terpana melihat gagah tubuh.

Mari berangkat,
wahai batalion ummah,
kita berjalan semua jenis jalan,
sampai lemah keletihan,
jiwa kuat terus bertahan,
bukti jiwa syahid yang tak pernah tergoyahkan.

Mari berangkat,
wahai batalion ummah,
berjalan terus ke hadapan,
tiada lagi tapak keraguan,
sampai pada Tuhan  itulah tujuan.

Sekian,
mylittlepencil

travelog DnT (29/8-6/9)

(Mesir –Kuala Lumpur & Selangor)

“ Flight awak dalam masa 30 minit lagi. Kenapa saya call awak dari tadi tak dapat dapat ?” kata pegawai tajaan saya dalam  nada suara yang begitu risau.

Saya hanya memandang beg bagasi dan meletakkan apa yang sempat. 30 minit bukanlah masa yang cukup untuk memikirkan dengan begitu teliti barang apa yang perlu dibawa. Rancangan perjalanan sudah dibentuk elok. Malah, sudahpun diberitahu kepada ibu dan ayah rancangan yang lengkap.

Maka, saya membuat keputusan untuk membawa apa yang benar-benar perlu sesuai dengan rancangan yang telah dirancang tersebut.

Kata putus mereka kali ini memuaskan.

Abah takda masalah bagi [mylittlepencil] untuk ikut program. Kemudian, pulang ke rumah. Selesaikan segala urusan [mylittlepencil]. Cuma jaga diri dan keselamatan.Salam sayang dari abah.

Begitu sahaja ayat dalam kiriman balas emel dari ayah. Dalam keadaan yang terkejut, saya gagahkan diri juga untuk mengemas beg dan meninggalkan bumi tarbiyyah tercinta ini. Entah berjumpa lagi atau tidak. Entah dapat menikmati udara di sini lagi atau tidak.

Di lapangan terbang, begitu sesak memandangkan hari tersebut sudah menghampiri hari terakhir evakuasi  pelajar Malaysia di Mesir. Suasananya begitu memeningkan kepala !

Lebih kasihan, para ibu yang membawa anak-anak turut berhimpit. Hajat saya ketika itu, moga Allah permudahkan segala urusan sampailah tiba di tanah air nanti.

Sebelum menaiki pesawat, saya menghantar mesej kepada ibu.
Flight [mylittlepencil] kejap lagi. [mylittlepencil] dah cerita plan pada abah. Rujuk abah ya. Bye, assalamualaikum.

Akhirnya setelah 3 jam menyelesaikan segala urusan di lapangan terbang, dapat juga kami menaiki penerbangan. Badan yang begitu penat saya hempaskan sahaja di atas kerusi. Seterusnya memakai tali pinggang dan buka buku untuk dibaca. Meski penat tetapi saya tidak mampu untuk nyenyak memikirkan apa yang bakal terjadi pada perancangan saya di Malaysia nanti.

Buku terus dibaca sambil berbual dengan rakan di sebelah yang tidak menyangka saya satu penerbangan dengannya.

‘Siapa yang akan menjemput aku di lapangan terbang nanti ?’
‘Di mana aku bakal menginap setibanya aku di Malaysia nanti ?’
‘Duit poket aku cukup ke ?’
‘Siapa yang akan menemani aku ke sana sini ?’

 

Alhamdulillah, akhirnya kami semua selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Saat keluar dari lapangan terbang, saya melihat begitu ramai ibu dan ayah menunggu anak-anak mereka. Tidak kurang juga badan-badan tajaan negeri yang turut menunggu anak-anak negeri masing-masing.

Untuk saya, tiada keduanya. Saya menunggu seseorang yang saya minta tolong untuk menjemput saya. Pada mulanya, saya tidak dapat mencari ustaz tersebut. Tetapi akhirnya, setelah saya terlihatkan papan tanda yang dipegangnya, saya meluru ke arahnya.

“ Ustaz dari Pertubuhan IKRAM Malaysia ?”
Ustaz tersebut mengangguk.

Saya meneruskan bicara, “ Ana akhawat yang minta tolong tersebut. Ana ada bersama dengan seorang lagi akhawat tetapi dia menghala ke LCCT untuk meneruskan penerbangan domestik terus ke rumahnya. Ana seorang sahaja yang akan terus ke pejabat IKRAM Pusat. ”

Sepanjang berada di dalam kereta, saya mendiamkan diri. Malu untuk berkata apa-apa. Dalam hati memanjatkan kesyukuran kerana masih mempunyai tempat untuk berpaut di kala keseorangan begini. Untungnya duduk dalam jemaah kerana dapat berjumpa dengan orang yang boleh kita percayai dan boleh meminta tolong kepada mereka di kala kita sangat memerlukannya.

Meskipun dalam hati soalan ‘adakah aku telah menyusahkan jemaah aku sendiri?’ tidak berhenti berlegar-legar di kotak pemikiran, ini adalah langkah yang perlu saya ambil untuk meneruskan rancangan seterusnya.

“ Ustaz, terima kasih. ” ucap saya tatkala ustaz tersebut menunjukkan bilik dan mengangkat beg saya yang besar dan berat.

Kali ini, saya betul-betul penat. Saya berehat sebentar sambil melihat telefon untuk menghubungi mana-mana akhawat yang berada di sekitar kawasan tersebut. Namun, urusan tergendala kerana saya tidak mempunyai sebarang talian nombor telefon di Malaysia.

Lalu, saya membuat keputusan untuk turun berjumpa dengan seorang ukhti yang menjadi penyelia penginapan di situ. Sesi taaruf seperti biasa dan saya mengadu padanya atas segala masalah yang saya hadapi. Ketiadaan duit dan nombor telefon adalah masalah utama ketika itu. Lalu, pada waktu tengahari (waktu rehat) ukhti tersebut menolong saya menyelesaikan segala urusan tersebut.

Selepas Asar, saya meminta izin untuk naik ke bilik untuk berehat. Kali ini mata saya betul-betul berat. Saya membiarkan sahaja telefon di sebelah untuk memudahkan saya dihubungi oleh seorang ukhti yang duduk di Kajang.

Dia mengajak saya untuk tidur di rumahnya berbanding duduk sahaja seorang diri di situ. Hampir empat jam saya melelapkan mata. Sedar sahaja dari tidur sudah berpuluh-puluh miss called dari ukhti tersebut!
Tatkala mengangkat beg turun ke bawah saya terasa amat bersalah. Sudahlah ibu dan ayahnya ada bersama, bertambahlah rasa malu dalam diri !

Ayah dan ibunya begitu baik hati. Seangkatan di dalam jalan dakwah dan tarbiyyah memesrakan lagi kami. Hanya terima kasih yang tidak terhingga yang dapat saya ucapkan atas segala jasa baik mereka sekeluarga yang menumpangkan saya di rumah mereka.

Pada satu hari, saya menemani ukhti tersebut untuk temuduganya di sebuah madrasah. Pada awalnya, tafsiran kami pengetuanya hanyalah orang biasa namun telahan kami silap !

Dia bukan calang-calang orangnya. Begitu suci niatnya menubuhkan madrasah tersebut. Pengalaman beliau yang dikongsikan ternyata meyakinkan akhawat tersebut untuk bekerja di situ malah saya yang tidak meminta kerja turut rasa ingin bekerja bersama beliau ketika itu !

Dari gaya percakapannya, mempamerkan beliau seorang yang mempunyai fikrah walaupun sedikit tentang dakwah dan tarbiyyah tidak disebutnya. Cuma beliau menyebut bahawa dia pernah bersekolah di sekolah Al-Amin dan ibu saudaranya antara orang kuat yang terawal menubuhkan Sekolah Menengah Islam Hidayah di Johor.  Penangan tarbiyyah yang hebat di sekolah barangkali !

Pelbagai pesanan yang dititipkan kepada kami yang membuatkan kami berasa teramat kagum melihat peribadi dirinya.

Alhamdulillah, akhirnya ukhti tersebut bekerja di madrasah tersebut hingga sekarang ! Setelah itu, saya dan ukhti tersebut menghantar seorang ukhti yang juga turut mengikuti sesi temuduga ke rumahnya memandangkan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil.

Dan seterusnya kami meneruskan perjalanan melawat dua buah rumah akhawat yang berdekatan. Alhamdulillah !

Terlalu seronok bila kita dapat menziarahi rumah akhawat dan berkenalan dengan ibu bapa mereka. Peluang ini saya ambil sebagai satu peluang untuk bermuayashah. Kerana peluang sebeginilah yang akan mengajar kita betapa penting untuk berkomunikasi dengan orang yang lebih tua apatah lagi ibu bapa kepada sahabat-sahabat kita.

Dalam dakwah dan tarbiyyah, ibu dan ayah adalah salah satu elemen penting dalam pentarbiyahan anak-anak tidak kiralah ibu dan ayah tersebut menyertai mana-mana jemaah dakwah atau tidak. Bagi saya selaku di pihak anak-anak, khidmat terbaik seharusnya diberikan kepada mereka. Mudahnya, seorang daie yang sejati wajib ke atasnya untuk menjadi seorang anak yang taat perintah ibu dan ayahnya selagi tidak melanggar batas agama. Dakwah tidak menyekat kita daripada menjadi anak yang soleh atau solehah. Dan betapa penting bagi kita berjumpa dengan ibu bapa rakan-rakan kita !

1 September 2013
Saya sempat menghadirkan diri ke WAJIK (Walimah Jamaie IKRAM Kajang) kerana ada seorang ukhti yang begitu dekat dengan hati saya melangsungkan walimahnya pada hari tersebut. Tidak terlintas langsung saya direzekikan untuk menghadirkan diri ke majlis ini. Menariknya lain majlis ini lain dari yang lain. Seramai 10 pasang pengantin dirai. Mereka hanya berarak. Tiada pelamin disediakan. Terdapat ramai artis yang turut hadir membuat persembahan seperti Muadz, In Team dan ramai lagi. Cuma saya tidak berkesempatan untuk melihat kesemuanya dek kerana menjadi AJK Penyambut Tetamu untuk majlis ini.

sekitar WAJIK
sekitar WAJIK

 

Booth Aqsa Syarif di WAJIK
Booth Aqsa Syarif di WAJIK
pasukan kompang WAJIK
pasukan kompang WAJIK

Program ini juga banyak mentarbiyyah diri saya dalam menerima gaya pemikiran masyarakat umum yang begitu ramai menghadiri majlis ini. Meskipun niat pada awalnya adalah untuk mengasingkan tempat makan lelaki dan perempuan, namun kelihatannya mustahil kerana kebanyakan tetamu datang bersama keluarga. Namun, kesederhanaan yang terpamer dalam majlis ini saya kira boleh dijadikan qudwah buat masyarakat. Serta, kehadiran booth Aqsa Syarif, iBooks dan El Hazen yang turut memeriahkan lagi suasana.  Mana-mana pun, elemen dakwah dan tarbiyyah itu penting untuk diserapkan dan disampaikan kepada masyarakat.

Kerunsingan di dalam pemikiran saya terus berlaku.
‘ Bagaimana saya ingin ke Terengganu?’
‘Bersama siapa saya akan ke Terengganu?’

Saya ke sana dengan hajat untuk menyertai sebuah program outdoor anjuran akhawat di Agro Resort di Setiu, Terengganu. Alhamdulillah, setelah puas mencari teman, akhirnya saya berjaya berpakat dengan seorang ukhti yang mengajak saya untuk ke sana dengan menaiki penerbangan domestik. Mahal sedikit tetapi menjimatkan masa dan memudahkan urusan.

Pada malam sebelum saya bertolak ke sana, saya tidur di rumahnya dan akan bertolak bersamanya keesokan pagi. Rumahnya ketiadaan air, maka sebelum Subuh lagi sudah dibawa ke masjid berdekatan untuk berwudhu’ di sana. Dan kembali semula ke rumah untuk bersembahyang berjemaah. Kemudian, terus berkejar ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan.

Belajar daripada musibah adalah keperluan bagi seorang daie. Ketika musibah adalah sakitnya, ketika itulah dakwah menjadi pengubatnya. Ketika musibah menjadi satu masalah, maka dakwahlah yang menjadi jalan penyelesaiannya. Ketika musibah menjadi dugaan, maka dakwahlah yang mendamaikan hati kita. Sungguh, masalah ketiadaan air di rumah akhawat tersebut banyak mengajar saya untuk bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak ternilai ini !

(Terengganu : 2-6 September 2013)

Sampai sahaja di lapangan terbang, kami mengambil masa untuk bersarapan. Kemudian, terus ke surau memandangkan ukhti yang ditugaskan untuk menjemput kami lambat lagi tiba.

Melihatkan ukhti yang menjemput kami, dia membawa kereta sungguh hebat. Dan sebelum ini juga, saya telah berjumpa ramai dengan ukhti yang boleh memandu. Saya sendiri tidak lagi mempunyai lesen kereta maka agak susah bagi saya untuk ke sana sini melainkan hanya bergantung pada kenderaan awam.

Sungguh, jalan dakwah memerlukan daie yang boleh memandu untuk memudahkan pergerakan. Kerana pemandu-pemandu dakwah inilah yang akan memudahkan segala urusan. Ternyata, tuntutan kebolehan memandu adalah antara keperluan yang penting buat dua’t zaman moden. Seandainya telefon yang canggih juga perlu untuk seorang daie mudah berkomunikasi, maka telefon yang canggih adalah sesuatu yang wajib diusahakannya !

Sampai di Agro Resort, kelihatan beberapa orang akhawat yang telah sampai di sana. Banyak pengisian secara langsung mahupun tidak langsung yang dapat ditimba dari sana. Inilah indahnya tarbiyyah.

Tarbiyyah membenarkan diri kita untuk mengekstrak nilai-nilai tarbiyyah yang sebelum ini tidak kelihatan bagi kita pada permukaan pancaindera yang biasa. Kita perlu menggunakan hati sebagai pancaindera yang utama. Dan perlu membuka pintu hati untuk merasainya. Bagi yang menutup pintu hatinya, dia terlalu jauh untuk menghayati nilai tarbiyyah tersebut. Elemen-elemen sekeliling turut penting dalam membantu diri kita untuk terus mengikat diri kita pada tarbiyyah. Ciptaan hidup yang terdiri dari alam dan manusia mempunyai nilai pengajaran dan penghayatan yang tersendiri. Wahai para dua’t, sedarilah bahawa kita ini makhluk yang hidup. Maka hidupkanlah hati dengan sentiasa mengambil ibrah dalam kehidupan. Tanpa hati yang hidup, kehidupan ini hanyalah sebuah kematian.

Agro Resort Setiu, Terengganu
Agro Resort Setiu, Terengganu
Agro Resort Setiu, Terengganu II
Agro Resort Setiu, Terengganu II

Pada malam pertama program tersebut, saya dijemput untuk memberi pengisian yang lebih kepada muhasabah amalan di tanah air. Tidak banyak yang saya ceritakan. Saya sekadar mengingatkan tentang betapa pentingnya nilai amalan yang ihsan dan ahsan di sisi Allah S.W.T.

Keesokan harinya, pengisian sebuah hadis yang cukup indah. Hadis tersebut pernah saya ceritakan di dalam entri saya sebelum ini. Hadis yang dikenali dengan nama hadis kapal mengajar kita untuk memainkan peranan dalam masyarakat. Tanpa kesedaran dalam amar maaruf dan nahi mungkar, mustahil pada kita untuk menyanjung beban dakwah tersebut. Apatah lagi apabila pulang ke medan yang sebenar. Pergaulan kita dengan masyarakat sewajarnya lebih meluas untuk meluaskan sayap dakwah kita. Tidak wajar seorang daie itu ber’uzlah’ palsu dan meletakkan dirinya sebagai seekor katak di bawah tempurung besi !

Ustaz Munawwar-penyampai hadis kapal
Ustaz Munawwar-penyampai hadis kapal

Pelbagai aktiviti yang dijalankan di sana. Alkisahnya pada satu malam, aktiviti kebiasaan yang dilakukan di dalam hutan adalah night walking. Jam 12 tengah malam kami diarahkan untuk berkumpul dan diberi sedikit taklimat keselamatan. Penyelia kami yang dikenali dengan nama Pok Nik memberitahu kami pelbagai kisah yang ada di sebalik hutan yang bakal kami masuk sebentar lagi. Malah, ada pelajar yang pernah hilang selama berminggu-minggu  disorok bunian.

“ Ok. Dalam hutan ni kita kena guna password untuk keselamatan. Maka password kita untuk malam ni adalah hantu bungkus. Bila orang tanya hantu, jawab bungkusss…”

Semua terdiam mendengarkan password tersebut.
Bagaimana ingin melaungkan password tersebut dalam hutan malam gelap begini ?

“ Pok Nik, takda password lain ke ? Nasi lemak ke ? Teh tarik ke ?” soal salah seorang ukhti. Pok Nik menggelengkan kepala tanda kami perlu akur atas arahannya.

‘Hantu bungkus pun hantu bungkus la. Janji masuk hutan timba pengalaman’ bisik hati saya sendirian untuk menghilangkan rasa takut.

Hak Allah untuk membuka hijab di mana-mana sahaja. Jika ditakdirkan oleh Allah untuk menyaksikan apa-apa yang dirasakan mustahil untuk dilihat adalah untuk menguji keimanan, sama ada bertambah atau berkurang. Rukun iman yang keempat iaitu beriman kepada perkara-perkara ghaib adalah antara paksi keimanan seorang mukmin. Perkara-perkara ghaib sememangnya wujud dan pengetahuannya adalah hak milik Allah semata ! Wallahu a’alam.

Ketika berjalan di dalam hutan tersebut, keindahan alam memancar-mancar seolah menerangi kegelapan hutan. Daun-daun hutan menghasilkan cahaya (glow in the dark) mungkin antara tindak balas alam yang saya sendiri tidak tahu bagaimana prosesnya. Udara malam yang begitu segar dan sejuk menguatkan diri untuk terus berjalan sehingga tiba ke destinasi checkpoint yang pertama.

Sesudah tiba, kami dibenarkan untuk mengambil wudhuk di anak sungai berhampiran dan bersolat tahajjud dua rakaat. Indah sungguh nikmat ini.

Meskipun tiada sejadah yang tersedia, tanah yang menjadi tempat sujud ternyata membuatkan rasa kehambaan datang menyinggah ke dalam hati dan menginsafkan diri. Seisi hutan dan langit menjadi saksi penyembahan kami terhadap Tuhan yang Maha Esa. Terasa suasana alam yang begitu harmoni di mana seisi alam menyembah yang Maha Menciptakan dengan cara yang sendiri. Alam dengan caranya, kita dengan cara kita. Moga-moga penyembahan terhadap Ilahi tidak terhenti !

Masa tidak mengizinkan kami untuk meneruskan lagi perjalanan kerana kesuntukan masa. Maka, kami semua diarahkan untuk keluar dari hutan melalui jalan yang dikeluarkan. Kami solat subuh dan membaca ma’thurat berjemaah. Kemudian, terus terlena dek kerana terlalu penat malam tadi.

Hari-hari yang berbaki diisi dengan aktviti fizikal dari pagi hingga ke petang seperti musang terbang (flying fox), berkayak, water confident dan halangan-halangan di dalam hutan.

berkayak
berkayak

Namun, saya tidak dapat menyertainya kesemua sekali dek kerana kecederaan fizikal dalam kemalangan sebelum ini. Untuk terlalu aktif menggunakan kaki agak terbatas kerana masih ada rasa sakit yang bersisa. Sempat saya menjenguk, akhawat yang kelihatan sungguh seronok sekali dalam acara yang melibatkan air.

Bak kata Pok Nik, “ Mula-mula memang tak nak, takut. Tetapi bila dah main nanti, tengoklah. Seronok sampai tak nak balik.”

Qawiyul jismi (kekuatan fizikal) adalah keperluan bagi seorang daie untuk terus bergerak aktif dan cergas dalam jalan dakwah. Bukan bererti kita perlu jalan laju setiap masa, tetapi memastikan setiap langkah itu padu dan mantap. Badan kita bukan hanya mempunyai daya tahan imuniti yang kuat, malah daya tahan fizikal yang juga kuat. Kecergasan fizikal inilah yang akan mencerdaskan akal kita untuk sentiasa melaju berfikir tentang perihal-perihal dakwah !

Antara pengisian yang terkesan di hati yang dibentangkan adalah berkaitan generasi Rabbani yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Lokman Awang. Penerangannya mengingatkan kami semua akan peranan seorang rijal dakwah yang perlu sanggup mengorbankan apa sahaja demi jalan dakwah ini.

Ustaz Mohamad Lokman
Ustaz Mohamad Lokman

Dan Ibrahim mewasiatkan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. “ Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untukmu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” Apakah kamu menjadi saksi saat maut akan menjemput Yaakub, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, “ Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?” Mereka menjawab, “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu iaitu Ibrahim, Ismail dan Ishak, (iaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami (hanya) berserah diri kepada-Nya” (2:132-133)

Betapa penting kesinambungan Islam dalam sebuah generasi. Dan betapa penting juga kesinambungan dalam generasi ummat Muhammad. Tanpa Islam dan dakwah, generasi Rabbani tidak akan dapat dilahirkan. Malah, generasi tersebut akan dilenyapkan begitu sahaja ! Ke arah menuju generasi Rabbani, ada empat elemen penting yang diperlukan. Dakwah, peribadi dan organisasi, mengeluarkan tenaga seluruhnya dan perancangan yang rapi, serta akhir sekali meraikan maratib amal ke arah ustaziyatul alam. Moga kita dapat menjadi dan melahirkan generasi murabbi yang rabbani untuk menjaga kesucian dan mempertahankan dakwah ini, inshaAllah !

Malam sebelum bertolak pulang kembali ke Selangor, saya sempat melawat rumah Ustaz Lokman ditemani beberapa orang akhawat. Bersyukur saya dapat juga menyinggah ke rumah beliau memandangkan dari dulu lagi sudah menyimpan niat.

“ Mak cik baca mylittlepencil tu. Nanti cuba la tulis buku pulak.” kata zaujah beliau yang dikenali dengan panggilan Mak Cik Hayat.

Saya tertunduk malu. Sudah lama rasanya tidak menulis. Terlalu lama. Untuk menulis buku buat masa ini jauh sekali. InshaAllah, pada satu hari nanti. Mak cik Hayat banyak berkongsi cerita dengan kami sambil menjamu kami dengan pelbagai hidangan istimewa. Cerita demi cerita dibuka akhirnya saya mengetahui bahawa Mak Cik Hayat adalah naqibah kepada teman usrah saya di Pahang dahulu. Kata mak cik, dia merupakan seorang yang bagus dan hebat.

Berjumpa dengan pak cik mak cik yang sudah lama berjalan di atas jalan dakwah mengajar saya akan betapa pemuda-pemudi dakwah harus belajar untuk menyantuni mereka. Merekalah yang berpenat lelah melahirkan generasi kita zaman ini. Banyak hikmah yang perlu kita ambil daripada mereka daripada sekecil-kecil benda sehinggalah kepada perkara-perkara yang besar. Kata-kata mereka punya aura yang tersendiri. Peribadi mereka cukup hebat. Pengalaman mereka cukup mematangkan. Betapa untung kita mempunyai tauladan yang indah untuk kita ikuti !

“ Kecik sungguh alam ni. Nanti mak cik sampaikan salam saya pada kak aishah ya.” aku menyampaikan pesan pada mak cik Hayat. Tidak sempat rasanya untuk singgah ke mana-mana lagi. Bumi Terengganu sendiri tidak diteroka lagi kerana niat saya ke sana adalah semata untuk menyertai program dan berjumpa dengan pak cik mak cik yang mana sempat.

Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam pun hanya saya lihat dari atas jambatan sewaktu berada di dalam kereta. Nampaknya, memang kena mencari peluang lain lagi untuk ke sana. Keesokan paginya, saya berangkat pulang semula meninggalkan bumi Terengganu yang banyak mentarbiyyah saya.

Selamat tinggal Terengganu !
Selamat tinggal Terengganu !

 

akan bersambung…