setelah lama tidak merasa dengan hati

Bismillah.

Setelah sekian lama tidak menulis.

****

Sepanjang kehidupan kita sebagai seorang manusia, kita akan berterusan membawa perasaan kita bersama. Mana mungkin kehidupan ini akan diteruskan tanpa perasaan.

Perasaan sedikit sebanyak menjadi sumber kekuatan kita untuk terus hidup.
Sungguh, memang banyak benar jenis perasaan. Dan setiap perasaan pula mempunyai darjah yang berbeza-beza.
Betapa besar pengaruh perasaan terhadap diri seorang manusia.

Kerana cinta, seorang manusia mampu berbuat apa sahaja untuk pasangannya.
Kerana kecewa, manusia mampu untuk bertindak mencabut nyawanya sendiri.
Kerana buntu, manusia itu mengambil untuk redha sahaja dengan kehidupannya tanpa sebarang usaha.
Kerana gembira, manusia itu mampu utuk tersenyum sepanjang hari.

Begitulah perasaan. Kita dihadiahkan perasaan untuk kita digunakan dan diespresi dengan baik. Memang manusia sepatutnya bersyukur dengan perasaan yang diberikan oleh Allah kerana perasaan adalah hiasan kehidupan andai seorang manusia itu mampu menggunakan perasaannya dengan adil. Menggunakan perasaan pada tempat dan waktu yang betul.

Perasaan akan lahir dalam diri kita sendiri berdasarkan tarbiyyah keadaan di sekeliling kita yang sentiasa mendorong kita untuk memberi respons.

Bagaimana aku patut bertindak bila melihat ukhtiku menangis ?
Bagaimana aku patut bertindak apabila melihat ukhtiku buntu ?
Bagaimana aku patut bertindak apabila seorang ukhti itu marah padaku ?

Respon tidak akan lahir andai seorang manusia itu punya perasaan.
Memang betul, perasaan adalah pemula segala sesuatu.

Persis niat fungsinya.
Niat mendahului segala amalan kita. Apa yang kita niatkan, itu yang akan kita peroleh.
Apa jua jenis perasaan yang hati kita rasa, secara langsung keseluruhan anggota tubuh badan kita akan mengikutinya.
Kerana apa ?

Kerana perasaan itu tempatnya di dalam hati.
Perasaan sentiasa bermain-main dalam hati kita sampai satu saat kita merasakan diri kita terlalu  rumit.
Betapa banyak perasaan yang kita boleh rasa pada satu masa !

Sedangkan saya sendiri, pernah merasa begitu serabut kerana terlalu banyaknya perasaan di dalam hati.
Sampaikan tidak boleh dikawal. Akhirnya menitis air mata, apabila berjaya menguasai diri.

Sampailah satu ketika, saya diberi pencerahan oleh seorang ukhti.
EMOTIONAL CONTROL BEGIN WITH SPIRITUAL CONTROL

“Your emotions are the slaves to your thoughts, and you are the slave to your emotions.”
-Elizabeth Gilbert

Sungguh, seorang manusia itu akan menjadi hamba kepada perasaannya andai dia tidak mampu untuk mengawalnya dengan baik. Perasaan wajib mempunyai kadaran yang tertentu agar apa jua aktiviti fizikal yang akan terlahir sebagai respon adalah yang terbaik.

Andai terlebih perasaan, manusia di sekelilingnya akan rasa serabut dengannya.
Andai terlalu kurang perasaan, manusia tidak ingin dekat padanya.

Maka, bagaimana cara yang paling betul untuk seorang manusia itu mengawal perasaanya ?
Manusia itu wajib bermula dengan mengawal ruhiyyahnya (spiritual control).

Betapa untungnya kita !
Kerana agama Islam adalah sumber ruhiyyah yang terbaik.
Dan jika dilihat pada agama-agama lain pun, memang kebanyakan manusia menjadikan agamanya sebagai sumber spiritual.

Ummat Islam punya iman.
Dan itulah pengawal spiritual yang terbaik.
Iman mampu mengembalikan kita kepada fitrah yang asal.

Fitrah seorang manusia sebagai  seorang hamba.
Fitrah manusia yang tenang dan suci hati perasaannya.

Hakikatnya, manusia sekarang telah semakin hilang fitrah ini.
Tenggelam dalam kebahagiaan dan ketenangan yang palsu.
Leka dengan mainan perasaan mereka.

Mereka sangka perasaan adalah aset mereka yang paling berharga.
Sedangkan sebenarnya, mereka hanya banyak perasaan. Tetapi mereka tidak memanfaatkannya dengan sebaiknya.

Lalu, untuk menjadi hamba yang terbaik dalam perasaan wajib mempunyai iman yang terbaik.
Kerana iman yang terbaik akan melahirkan perasaan yang terbaik.
Itulah sifirnya.

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, dengan hanya mengingati Allah hati menjadi tenteram. (13:28)

Kita lihat pula satu contoh yang popular di dalam satu kisah peperangan di mana Saidina Ali Bin Abi Talib yang hampir membunuh musuhnya. Tiba-tiba musuhnya itu meludah ke arahnya sehingga menyebabkan beliau merasa marah. Lalu, beliau menghentikan usahanya untuk membunuh musuh tersebut. Lantas musuh itu berasa terlalu pelik lalu dia berkata,

” Mengapa kau tidak membunuhku sedangkan kau mampu untuk membunuhku?”
Jawab Saidina Ali, ” Aku membunuh musuh peperangan kerana Allah. Apabila kau meludah ke arahku, aku berasa marah. Aku tidak mahu membunuhmu kerana perasaan marahku.”

Lihat, betapa hebatnya Rasulullah S.A.W melatih para sahabat Baginda dalam mengawal perasaan dengan menggunakan kawalan iman. Takjub sungguh kuasa dan hasilnya bukan !

Terkadang kita lupa, tarbiyyah yang kita dapat ini jarang kita nikmatinya dengan hati.
Kita lebih menikmatinya dengan sekadar catatan penuh di dalam buku-buku, ataupun sekadar menikmatinya dengan sekadar berkongsi dengan orang lain.

Tetapi kita lupakan diri kita sendiri.
Kita lupakan perasaan kita sendiri dalam menikmati setiap intipati tarbiyyah itu sendiri sampaikan kita sendiri rasa lali dengannya.
” Pergi usrah sudah tidak ada rasa apa apa kerana sudah biasa berusrah !”

Ketahuilah rasa hati seperti ini adalah rasa yang salah.
Kerana hati hati orang yang beriman itu akan sentiasa berasa dahaga dan mahukan apa apa sahaja yang mampu untuk memperbaiki imannya. Maka, perasaannya akan hadir sentiasa menemani iman tersebut.

Lahirnya perasaan yang betul itu tadi, akan menggerakkan seluruh anggotanya.

Betapa kecewa saya kini melihat  sesetengah ragam orang di dalam tarbiyyah.
Mereka ini kumpulan dua’t yang hebat-hebat mengalahkan singa-singa.
Mereka ini kumpulan dua’t yang tidak pernah penat dan jemu untuk bergerak.

Tetapi, malangnya mereka ini bergerak tanpa perasaan.
Mereka tidak menghiraukan perasaan orang di sekeliling.
Sampaikan saya merasa terlalu kejam daie daie sebegini.
” Adakah mereka lupa saya ini juga seorang manusia. Bila berjumpa, sekadar bertanyakan perihal kerja-kerja dakwah. Khabar diri tidak sedikitpun mahu ditanya.”

Ya, mereka ini seolah-olah telah hilang common sense seorang manusia !
Sungguh, yang mengikat hubungan sesama manusia itu adalah iman dan perasaan. Apabila keduanya seimbang, maka hubungan yang terjalin akan begitu eratnya.

Bukan sekadar hubungan iman, malah hubungan perasaan.
Kerana itu saya pelik, bagaimana seseorang itu mampu menyeksa perasaan sahabatnya sedangkan dia adalah seorang hamba Allah yang baik. Contohnya, ukhti kita itu meninggalkan rumah dalam keadaan yang berselerak dengan alasan usrah sana-sini.

Bukankah orang seperti ini hanya mempunyai iman tetapi tidak berjaya menjana perasaannya sebagai seorang manusia.
Mungkin sahaja ada orang yang cukup berlapang dada dengan hal hal sebegini. Tetapi sepanjang saya bercampur dengan akhawat, inilah aduan yang sering saya dapat.

” Akhawat ni dah hilang common sense !”
Allahu Allah.

Muhasabah semula.
Apakah kita telah berjaya mentarbiyyah iman kita dengan jayanya ?
Dan apakah kita telah berjaya mengawal perasaan kita dengan iman yang kita ada ?

ihsan : mindpowerplus.org
ihsan : mindpowerplus.org

Adakah manusia di sekeliling berpuas hati dengan diri kita sebagai seorang manusia yang seimbang iman dan hati perasaan ?

DAIE : BAGAIMANA KITA DAN PERASAAN ?

ihan dari : http://islamandpsychology.blogspot.com
ihan dari : http://islamandpsychology.blogspot.com

Wahai dua’t, jangan kau jadi seorang daie yang tidak punya perasaan manusia seperti manusia yang normal.
Kita juga adalah manusia yang juga punya perasaan bukan.
Dan layanilah manusia itu dengan penuh perasaan.

Maksudku, bukanlah sampai menjadikan kau seorang daie yang ‘moody’ kerana terlalu banyak kerenah manusia yang perlu kau hadapi. Jadilah daie yang terbaik dengan menghormati perasaan kau sendiri dan perasaan orang lain.

Bagaimana cara untuk menghormati perasaan diri sendiri ?
1. Lahirkan perasaan itu berdasarkan iman semata.
2. Jangan menipu perasaan kita sendiri.
3. Jangan memikirkan perkara-perkara yang leceh kerana banyak lagi hal yang besar perlu kau fikirkan.

Bagaiman cara untuk menghormati perasaan orang lain ?
1. Memberi respon dengan perasaan.

“people will forget what you said, people will forget what you do, but people will never forget how you made them feel.”

” None of you is a muslims until he loves for his brother what he loves for himself”
(Sahih Bukhari)

6a00e5528f481888330115723cb84f970b-320wi

 

 

Ambillah masa untuk beruzlah seketika memikirkan kembali apa perasaan yang kita punya dalam hati.
Bersendirian dan kembalilah kepada fitrah kita yang asal.

“A lonely day is God’s way of saying that he wants to spend some quality time with you.” ― Criss Jami

Lihat kanak-kanak.
Mereka kumpulan manusia yang cukup bahagia bukan. Mereka mempunyai satu perasaan yang cukup kuat sehingga mampu menjadikan mereka manusia yang berani untuk membuat apa sahaja. Mereka amat positif !

Lihat kanak-kanak.
Mereka kumpulan manusia yang cukup jujur dengan perasaan. Mereka menangis bila mereka sedih, bila mereka tidak dapat sesuatu yang mereka mahukan. Mereka akan memeluk erat orang yang mereka sayang sehingga kita sendiri mampu tersenyum melihat mereka. Mereka tidak akan menipu orang di sekeliling mereka.

Unik sungguh ciptaan Allah bukan.
Mari kita belajar daripada mereka.
Belajar untuk melahirkan perasaan sebagai seorang manusia yang normal.
Belajar untuk menjadi orang yang mengawal perasaan, bukan yang dikawal perasaan.

Kita bebas untuk berperasaan. Maka, pilihlah perasaan yang positif dan perasaan yang hanya menjana kebahagiaan buat hidup kita semua. Plihlah untuk berperasaan dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Pilihlah untuk menjadi hamba yang mempunyai penuh perasaan terhadap yang Maha Esa.

Teruskan membaiki perasaan sepanjang kehidupan ini inshaAllah !

Tuhan dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku dilorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi parah

Semalam sudah sampai kepenghujungnya
Kisah seribu duka ku harap sudah berlalu
Tak ingin lagi kuulangi kembali
Gerak dosa yang menhiris hati

Tuhan dosa itu menggunung
Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi

Tuhan walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaku
(Mengemis Kasih-Raihan)

sekian,
mylittlepencil

p/s : ada satu entri menarik : http://islamandpsychology.blogspot.com/2009/02/eq-and-islam.html
p/s : di sini anda boleh dapatkan buku buku tentang pengurusan emosi (buku bahasa Inggeris) : http://www.onlineuniversities.com/the-10-best-books-on-emotional-intelligence

jalan kesyukuran

” Kerana itu bertaqwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri-Nya.” ( 3 : 123)

Menjadi hamba Allah yang bersyukur setiap masa tidak mudah kerana fitrah manusia itu mudah lupa.
Mudah lupa bahawa betapa susahnya untuk mendapatkan sesuatu.
Dan mudah lupa betapa apa yang ada di sekeliling kita bersifat sementara.

Hakikatnya, kesyukuran itu melambangkan darjat kita sebagai seorang hamba.
Hamba yang tidak punya apa-apa daripada mula tercipta.
Namun, berkat rahmat Allah kita peroleh segala-galanya !

Alangkah hinanya manusia apabila dia merasa segalanya adalah miliknya sedangkan badan dirinya sendiri juga adalah pinjaman semata dari Allah S.W.T.

Untuk diri saya sendiri, dahulu terlalu susah untuk bersyukur.
Hidup dirasakan terlalu selesa dan senang.
Pernah satu masa diri ini memberontak apabila mendapat nasihat supaya menjadi hamba yang lebih bersyukur !

***

JALAN DAKWAH : JALAN KESYUKURAN 

Ketahuilah para dua’t, jalan dakwah ini adalah jalan terbaik untuk kamu menghadiahkan sebanyak-banyak kesyukuran kamu kepada-Nya !

Lambangkan kesyukuran kamu itu pada amal kamu yang bersungguh-sungguh.
Lambangkan kesyukuran kamu itu dengan hammasah yang tinggi.
Lambangkan kesyukuran kamu itu dengan kefahaman kamu yang jelas.

Lambangkan kesyukuran kamu itu dengan tanggungjawab kamu sebagai seorang daie.
Sungguh, tiada jalan lain yang terbaik melainkan jalan yang diredhai-Nya.

Bersyukurlah kepada-Nya kerana kamu telah dilemparkan ke dalam jalan yang lurus ini.

” (Iblis) menjawab, ” Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian pasti aku akan datang dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.” ( 7 : 16-17)

Jalan yang lurus ini adalah jalan kesyukuran.
Barangsiapa yang terhindar daripadanya bukanlah dalam kalangan mereka yang bersyukur.

Tetapi, betapa sedikit hamba yang bersyukur.
” Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” ( 34  : 13 )

Maka, kau mintalah kepada-Nya agar digolongkan dalam golongan yang sedikit itu.
Mintalah agar kau diberi hati yang sentiasa istiqamah dalam jalan dakwah ini.

Jangan sampai kau dikeluarkan dari jalan kesyukuran ini.

DEFINISI KESYUKURAN YANG SEBENAR

Mulakan definisi kesyukuranmu sebagai seorang hamba.
Hamba yang punya Tuhan Maha Segala-galanya.

Inilah definisi kesyukuran yang paling tepat dan dalam maknanya.
Kesyukuran tidak mungkin akan datang tanpa iman dan taqwa, dan tanpa kau mengenal Dia terlebih dahulu.

Ilmu juga antara elemen terpenting untuk kau menjadi hamba yang lebih bersyukur.
Ia terdiri daripada :

Mengetahui jenis bantuan yang diterima.
Mengetahui bahawa bantuan itu datang kepada penerima yang tepat dan berhak.
Dan mengetahui identiti Si Pemberi bantuan.

There must be a blessing, a giver of that blessing, and a recipient of it who receives it from the giver according to the giver’s will and intention.

TUGAS HAMBA YANG BERSYUKUR

Tugas seorang hamba yang bersyukur adalah bertindak mengikut kehendak-Nya berdasarkan jenis bantuan yang telah diberi oleh-Nya.
Bersyukur adalah tanda kepatuhan dan ketaatan kita dan begitulah sebaliknya.

Bersyukur dan taat itu adalah satu pusingan roda yang lengkap dan saling bergantung antara satu sama lain.
Jika hilang salah satunya, maka akan rosaklah kitaran hidup kita sebagai seorang hamba.

Seorang hamba yang bersyukur itu juga tidak patut menyoal :

1. Mengapa aku hanya dapat sebanyak ini ?
2. Mengapa dia mendapat lebih banyak daripada aku ?
3. Mengapa aku tidak mendapat seperti yang telah diminta ?
4. Mengapa aku tidak dapat sedangkan pada waktu itu aku amat memerlukannya ?

Soalan-soalan ini adalah tanda betapa seorang itu tidak patuh dan tidak bersyukur kepada Tuhannya.
Atau sebenarnya, dia tidak lagi mengenal betapa Allah itu As-Syakur (yang Maha Mensyukuri).

Seorang hamba yang baik itu sewajarnya menumpukan perhatiannya terhadap apa yang telah dia miliki dan belajar untuk mensyukurinya dengan baik. Bukanlah menumpukan perhatian kepada hal-hal atau benda-benda yang tidak mencukupi.

Sungguh, menumpukan perhatian kepada perkara yang tidak mencukupi hanya menjadikan kita seorang hamba yang tidak pernah akan puas dengan apa yang dimiliki.
Malah, semakin menjauhkannya daripada menjadi seorang hamba yang bersyukur.

Andai kau terlalu payah untuk bersyukur, atau mungkin terlalu sibuk dengan urusan-urusan dunia,
maka berhentilah sejenak.
Berehat dan bersyukur.

Bersyukur adalah ubat kepada hati-hati manusia yang mempunyai penyakit.
Rasa syukur mampu membuatkan kita untuk merasa lega dari dugaan-dugaan dunia.

Rasa syukur yang sebenar-benarnya adalah rasa syukur yang mampu menjadikan kita seorang hamba yang lebih merendah diri.

If you want to turn your life around, try thankfulness.  It will change your life mightily.  ~Gerald Good

Percayalah, tidak rugi andai kau menjadi seorang hamba yang bersyukur kerana ia adalah salah satu pintu untuk kau mendapatkan rahmat dan kasih sayang dari-Nya.

Dan yakinlah, dengan mendidik diri untuk menjadi seorang hamba yang bersyukur akan menambahkan rasa cinta kau kepada-Nya.
Dengan rasa cinta yang semakin bertambah, lebih mudah untuk kau mendapat petunjuk daripada-Nya.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, ” Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” ( 14 : 7 )

ALLAH AS-SYAKUR

” Dan barangsiapa mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan kebaikan baginya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Mensyukuri.” ( 42 : 23 )

Betapa malu.
Allah yang Maha Pemilik segala-galanya tetap menghargai segala usaha kebaikan yang ditujukan kepada-Nya.
Sungguh, jika seorang hamba itu benar-benar beriman kepada-Nya akan terdorong untuk melakukan apa jua jenis kebaikan meskipun nilainya kecil.

Maka belajarlah untuk mengucapkan terima kasih kepada-Nya setiap hari.
Cuba untuk tidak pernah melupakan betapa kau yakin setiap hari dalam hidup yang sedang kau jalani adalah kehidupan yang terbaik.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimannya. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir di bawahnya sungai-sungai. Doa mereka di dalamnya ialah Subhanakallumma (Maha Suci Engkau, ya Tuhan kami), dan dalam penghormatan mereka ialah Salam (salam sejahtera). Dan penutup doa mereka ialah, ” Alhamdulillahi rabbil ‘alamin.” (segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam) ( 10 : 9-10 )

Mari, mulakan jurnal kesyukuran seorang hamba bersama saya….

sekian,
mylittlepencil

 

komunikasi para dua’t

Bismillah.

Luahan hati.
Sejak aku mengenali jalan dakwah dan tarbiyyah ini, aku mampu untuk memperbaiki komunikasi dengan manusia.

apakah komunikasi anda sebagai seorang daie efektif ?

Jika sebelum ini, intipati kata-kata memang sia sia.
Perkara yang dibualkan hanyalah berkisarkan kisah kebahagiaan hidup di dunia.
Meskipun, sebenarnya masalah dalam kehidupan kian bertambah.

Sungguh, dalam mengajak orang lain kepada Islam yang sebenarnya, menjadikan kita untuk berbahasa sehikmah mungkin.
Mana mungkin kebenaran disampaikan dalam keadaan yang tidak bersungguh, apatah lagi memaksa orang lain untuk menerimanya.
Apatah lagi menyampaikan dakwah dalam keadaan akhlak yang buruk !

Untuk menyampaikan kebenaran itu memang pahit.
Dan gaya komunikasi kita harus betul untuk menyampaikan apa yang sememangnya susah untuk diterima ummah buat masa ini.

Ada yang kata kita kolot, hanya bicara tentang agama.
Ada yang kata kita geng ustaz ustazah, hanya bicara tentang dakwah.

Ajakan kepada Islam adalah  pujukan bersungguh sungguh yang penuh dengan kasih sayang.
Bukan paksaan yang hanya akan menjauhkan orang daripada agama ini sendiri !

Percayalah, konsekuensi dari komunikasi yang salah hanyalah memberi padah kepada perkembangan dakwah itu sendiri.

“Dan berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu,…” (Ali Imran : 159)

 

Bicara yang penuh ketenangan itulah gaya bicara seorang daie.
Dia punya ketenangan luar dan dalam.

Dia punya keyakinan dan kebebasan untuk melontar kata.
Terletak pada bakatnya untuk mencorakkan kata kata agar manusia tertarik kepada dakwah ini.

Sungguh, komunikasi bukanlah pada sekadar lisan.
Komunikasi melibatkan seluruh pergerakan.

Bagaimana cara anak mata anda memandang murabbi atau mutarabbi di dalam usrah ?
Bagaimana cara anda menadah telinga, khusyuk mendengar masalah yang diluahkan oleh akhawat tersayang ?
Bagaimana cara anda membelai tangan ukhti tersebut di saat dia sangat memerlukan anda ?
Bagaimana ketrampilan diri anda ketika bertemu mad’u mad’u di luar ?

Satu kaedah dakwah yang amat masyhur :

لسان الحال أفصح من لسان المقال

 bahasa badan [tindakan] terlebih fasih berbanding bahasa lidah [ucapan]

Ini semua jenis komunikasi yang teramat penting untuk kita dalami agar manusia selesa apabila berada bersama kita.

‘IBADURRAHMAN

” Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu adalah orang-orang yang berjalan diatas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Al Furqon: 63)

Menjelang bacaan surah Al-Furqan ini, mata kita pasti tertancap pada peribadi peribadi cemerlang seorang hamba yang pengasih kepada yang Maha Penyayang ini.

Kita mula mentadabbur dalam.
Sungguh, kesemua peribadi harus dikejar dengan usaha yang bersungguh dan memerlukan latihan yang berterusan.

Sudah Allah jelaskan memang seorang  ‘ibadurrahman itu harus punyai komunikasi yang hebat.
Daripada gaya berjalan (bahasa badan) di atas muka bumi dan lisannya sewaktu berhadapan dengan orang orang jahil.

Dan anda tahukah betapa susah untuk berbuat sedemikian ?

Betapa susah untuk mengatur bahasa badan yang menunjukkan qudwah hasanah kepada mereka di luar sana.

Bahkan teramat susah untuk melantunkan kata kata yang baik apabila kita berhadapan dengan musuh.
Kita cenderung untuk memburuk burukkan mereka.
Kita cenderung untuk berdebat dengan mereka sampai kita menang.
Kita cenderung untuk mencaci mereka.

Ah, mereka tak habis habis dengan isu yang sama. ”
Bosan dah lah ana dengan gaya mereka. Dalam kelas punyalah baik, tetapi kalau dalam FB boleh tahan perli perli ni. Buat macam tu macamlah  Allah tak nampak apa yang mereka buat.

Inilah keluhan yang saya sendiri selalu dengar.
Dan respon saya, bersabarlah dan tenang sahaja.

Biarlah kepenatan kita di dunia ini kepenatan dalam dakwah, penat yang tidak sia sia. Jangan kita memenatkan diri dengan mereka yang hanya akan membazir masa kita. Dakwah lagi berhak ke atas hidup kita.”

Apatah lagi jika musuh itu sifatnya memang suka memaki hamun dan memanjang manjangkan bicara mereka !

”Maka katakanlah olehmu berdua (Musa dan Harun) perkataan yang lemah-lembut, mudah-mudahan ia (Firaun) menjadi ingat atau takut (kepada Allah)” (Surah Taha : 44)

Anda ingatkah bagaimana Rasulullah S.A.W memberi respon kepada Abu Jahal yang tidak berhenti mengekorinya tatkala dakwah di Mekah satu ketika dahulu ?

Betapa Baginda sangat tenang dan tidak putus semangat untuk menyampaikan dakwah.
Betapa Baginda tersenyum sahaja melihat gelagat Abu Jahal.

Betapa Baginda sebenarnya sedang menunjukkan bagaimana gaya komunikasi seorang daie apabila berhadapan dengan musuh musuh dakwah.

Dan kisah kedua yang cukup popular, di mana Rasulullah S.A.W berdakwah di Taif.
Selama 10 hari Baginda berdakwah di sana, tiada seorang pun yang menerima.
Malah, Baginda lagi dihina dan dilempar batu serta najis.

Sampai sahaja Baginda di sebuah pohon anggur, Baginda bersandar dan lalu berdoa.
Satu doa yang cukup melambangkan betapa sedihnya Baginda ketika itu.

Namun, Baginda tidak pernah menyalahkan musuh musuhnya.
Sebaliknya apa yang berlaku dijadikan muhasabah diri.

Hakikatnya, memang itulah gelagat musuh bukan.
Untuk mengharapkan mereka mengalah dengan kita, sama sekali tidak !
Maka, untuk menang dengan mereka kita harus bersikap tenang dan terus tsabat dalam kerja dakwah ini.

Balasan untuk mereka bukan datang dari kita,
balasan untuk mereka hanya berhak dari Allah yang Maha Adil sahaja.

 

IBADURRAHMAN ini dinisbahkan kepada Dzat Allah yang suci (Ar-Rahman), yang mengandungi pengertian, bahawa mereka adalah hamba-hamba yang layak mendapatkan rahmat Allah dan mereka selalu berada dalam naungan rahmat ini. Rahmat memagari mereka dari arah kanan, kiri, atas dan bawah.

Adakah kamu semua ingin termasuk golongan Ibadurrahman? Apakah kamu ingin menisbahkan diri kepada Allah? Apakah kamu ingin menjadi anggota bagi jemaah ini? Jika kamu menginginkan, maka ketahuilah sifat dan ciri-ciri mereka. Kenalilah siapaIbadurrahman itu, dengan itu kamu terdorong untuk menjadi anggota mereka. Berapa ramai yang mengaku, “Aku termasuk Ibadurrahman“, tetapi perilakunya menunjukkan, “Engkau adalah Ibadussyaitan dan bukan Ibadurrahman.”

Ibadurrahman mempunyai sifat dan tanda-tanda sebagaimana yang disebutkan Allah dalam surah al-Furqaan. Maka alangkah baiknya jika kita hidup dalam rengkuhan ayat-ayat ini.

(daripada buku 12 Peribadi Cemerlang Ibadurrahman karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi)

 

KOMUNIKASI YANG SIHAT DATANG DARI HATI YANG SIHAT

1. Qaulan Saliman (kata kata yang mulia)

Ketahuilah, bisa lidah itu lebih tajam dari sembilu. Ramai orang bisa sembuh daripada luka yang parah, namun susah sekali untuk manusia itu sembuh dek kerana tajamnya kata kata. Boleh jadi, sakitnya akan terbawa sampai ke kubur !

2. Qaulan Ma’rufan (kata kata yang baik)

     Jika tidak mampu untuk menyampaikan kata kata yang baik, adalah lebih baik untuk kita berdiam diri sahaja. Jadikanlah lisan anda    lisan yang melembutkan hati manusia, lisan yang penuh gaya bahasa yang indah, lisan yang penuh dengan kata kata nasihat. Bukan dengan lisan, kita menjadi lebih hina dan suka memberi penghinaan !

3. Qaulan Syadidan (kata kata yang lurus dan benar)

Percayalah, tiada siapa yang akan mempercayai anda walaupun anda baru sekali berbohong !
Seorang isteri sakit hati apabila suaminya berbohong.
Rakyat juga sakit hati apabila pemimpinnya berbohong.

Apatah lagi dalam jalan dakwah ini, layakkah kita untuk mencela kebenaran ini dengan penipuan ??
Layakkah kita mencela cahaya ini dengan kegelapan ?

“Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja”
(Surah adz-Dzaariyaat, : 10)

4. Qaulan Balighan (kata kata yang sesuai dan tepat)

Dalam menyampaikan sesuatu, harus kita tahu bagaimana keadaan seseorang.  Barulah kata kata tadi akan menepati sasaran.
Jika kita tidak menyampaikan kata kata yang sesuai dengan keadaan mereka, mereka hanya akan bertambah bingung !

Persis berbicara tentang teknologi nuklear dengan seorang nenek tua di hujung kampung !

Bergantung kepada setiap orang bagaimana caranya untuk menyampaikan dakwah, asalkan matlamat asal tidak lari.
‘Selection’ anda harus betul, harus mengikut kemampuan mad’u ketika itu.
‘Selection’ anda juga harus menghormati sensitiviti seseorang itu.

” Aku diperintahkan untuk berbicara dengan manusia menurut kadar kemampuan mereka ” 

( Hadith Sahih riwayat Bukhari no.124)

 

5. Qaulan Layyinan (kata kata yang lemah lembut)

Sungguh, kata kata yang lembut dapat menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Sudah saya katakan tadi, kekerasan hanya akan menyebabkan manusia akan makin menjauh.

 

Pastinya, komunikasi yang baik datang dari hati yang baik.
Maka, perbaikilah hati kamu sebelum berkomunikasi.

Tunjukkan kebaikan dalam apa jua cara selagi mana kamu mampu !

“Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkal (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya.”
(Surah Ibrahim, ayat 24-25). 

 

sekian,
mylittlepencil
~yang sentiasa cuba untuk perbaiki gaya komunikasinya

berada dalam amal ini

Bismillah.
Salam dakwah buat semua.

Berada dalam amal dakwah ini,
banyak memberi kita permata-permata pengalaman yang begitu berharga.

Hidup bertambah pengertiannya.
Hidup bertambah manisnya.

Pengalaman-pengalaman ini terlalu mahal aku kira.
Kerana terlalu sukar untuk mendapatkannya di tempat lain.

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan berukhuwwah kerana Allah jika bukan dari ‘duduk sebentar beriman sejenak’ bersama rakan-rakan usrah ?

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan menghayati lembaran sirah Rasulullah S.A.W  jika bukan  dari pencerahan dan taujihat dari murabbi/ murabbiyah tersayang yang begitu menyejukkan mata kita ?

Di mana lagi hendak mendapatkan kemanisan rasa ditarbiyyah dengan tarbiyyah Islamiyyah jika bukan dari medan ini ?

Berada dalam medan amal ini,
kita akan menjadi terlalu sibuk dengannya.

Kerana tanggungjawab yang membebankan kita sudah cukup menyedarkan hati kita dari memikirkan waktu-waktu rehat dan waktu-waktu memenuhi kehendak diri sendiri.

Daie, membenarkan amalnya yang berbicara.
Dia tidak akan sesekali tergolong dalam angkatan manusia yang hanya berdakwah dengan menggunakan mulut.
Percakapan yang penuh dengan pencerahan, penuh dengan kata-kata yang menyucikan jiwa,
tapi seakan terlupa telinga dirinya sendiri juga mendengar kata-kata yang sama.

Bila seorang daie itu membenarkan amalnya yang berbicara,
seluruh manusia akan terlopong melihat sebegitu banyak hammasah yang ada pada dirinya.
Dia tidak menghiraukan lagi kata-kata manusia.

Ke mana sahaja tapak kakinya melangkah,
Dengan sesiapa sahaja dia berbual,

hanya dakwah yang dia bawa !

Sampai meremang bulu roma mereka yang melihat.
Manakan tidaknya,
kesungguhan dirinya dalam mengerjakan amal dakwah ini begitu jelas terbukti !
Setiap titik peluhnya, segala lelahnya menjadi bukti buat tatapan manusia.

Wahai manusia,
tidakkah kau berasa cemburu tatkala melihat entiti sebegini.
Begitu qawi iradahnya,
begitu tinggi tummuhatnya !
Setidak-tidaknya, mereka ini menang ke atas diri mereka sendiri !

Tetapi kau tetap berada di takuk yang sama.
Dan pada takuk ini, sebenarnya kau masih tercari-cari apa yang sebenarnya kau mahu dalam hidup.
Pada takuk ini, kau berpening-pening kepala memikirkan keresahan hidup yang tanpa sudah.

Dan akhirnya, kau akan kepenatan begitu sahaja.
Kepenatan sehingga kau lelah dan menjadi mayat hidup di atas muka bumi ini !

Seorang daie itu terus optimis terhadap dirinya sendiri.
Dia berusaha untuk mengawal apa yang boleh dikawalnya.
Apa yang tidak boleh dikawalnya, dia menyerahkan kepada Allah untuk menguruskan segalanya.

************

Amal dakwah kita ini memerlukan amal yang muntij dan berganda.
Muntij memerlukan kepada penyusunan dan pengagihan kerja yang teramat banyak.
Berganda meminta-minta segala jenis pengorbanan dari diri si daie itu sendiri supaya matlamat agama-Nya tercapai.

Amal dakwah ini mutawassil.
Akan terus bersambung kerana pendokong-pendokong agama-Nya akan tetap ada.
Maka, mengapa harus kita yang berusaha keras mencari sini-sana angkatan dakwah ini ??

Dan berdirinya kita dalam jalan ini kerana apa ??

Aku tahu,
medan amal ini telah memberi keyakinan kepada ruh kamu bukan ?
Ia nya telah menyegarkan iman kamu semua yang dahulunya layu.
Ia nya telah memberi cahaya kepada hati kamu yang dulunya malap.
Ia nya telah menjadikan diri kamu seolah lebih berharga memegang gelaran ummah yang terbaik ini.

Mengertilah, bukan ini sahaja manfaatnya kepada kita.
Medan amal dakwah ini telah menjadikan diri kita persis seekor kuda.

Kuda tunggangan perang  yang berlari kencang,
sampai terpercik keluar api dengan pukulan kakinya,
Lalu, menyerbu tengah kumpulan-kumpulan musuh.

Kita berterusan menjadi kuda tunggangan dakwah ini.
Kita menyanggupi dakwah dan tarbiyyah mendahului segala aspek kehidupan kita.
Kita merelakan kehendak agama ini menjadi lebih utama.

Ya, kita hamba kepada dakwah ini !
Namun, bukan seperti hamba-hamba ketika zaman Arab jahiliyyah dahulu yang mengikut arahan tuannya tanpa rela !

Kita mendapat taraf hamba yang lebih mulia.
Hamba yang bekerja dengan penuh keikhlasan.
Hamba yang akan mendapat balasan yang cukup mulia.

Dan sungguh, jalan dakwah ini tidak berniat langsung untuk menyusahkan kita.
Medan amal ini hanya mahu memberi kesenangan di sana kepada kita.

Medan amal ini bukan mahu membunuh kita,
tetapi ianya membukakan peluang untuk kita mati syahid mempertahankannya !

Medan amal ini bukan mahu mengambil harta-harta, masa-masa kita sesuka hati tanpa tujuan,
tetapi medan amal ini mahu melatih kita agar tidak terlalu memperhambakan dunia dan menggandaikannya untuk jalan Allah itulah yang paling mulia !

Medan amal ini bukan mahu menghina kita dengan segala tohmahan yang kita dapat tika melaksanakannya,
tetapi medan amal ini bertindak mengangkat darjat diri dan iman kamu di sisi-Nya !

Medan dakwah ini bukan kemiskinan para pendokongnya saat kamu sendiri yang perlu mempertahankan kemuliaanya,
tetapi medan amal ini mahu memberikan peluang buat kamu untuk membuktikan kamu adalah golongan hamba-hamba-Nya yang benar-benar bekerja !

Mengertilah, inilah sebaik-baik medan buat seorang manusia yang bernama hamba !

Bila kita punyai kefahaman yang cukup jelas,
maka kita akan merelakan segalanya untuk medan amal ini.

Dari kefahaman, akan lahirnya amal tanpa henti.
Dan kau pun mula menyerang kumpulan manusia untuk memberikan kefahaman yang sama.
Lalu, membentuk satu batalion tentera yang akan menjulang tinggi kalimah-Nya !

Tidak kau merasa cukup mulia dengan keberadaan diri kau dalam medan ini ?
Bersyukurlah !

Ada lagi manusia di luar sana yang masih tercari-cari.
Ada lagi manusia di luar sana ternanti-nanti tangan-tangan dua’t yang akan menyelamatkan mereka.
Ada manusia di luar sana yang  sedang menunggu kehadiran kita dengan hati dan telinga penuh sedia.

Bayangkan sahaja dengan keupayaan fantasi yang boleh menyuntik semangat anda,
sehingga anda rindu untuk merasa kesakitan dalam medan amal ini.

Taraf hamba yang paling mulia.
Barisan para anbiya’, para sahabat yang menanti anda di syurga sana.
Senyuman Rasulullah S.A.W yang cukup manis buat ummat yang cukup Baginda cintai.

Seharusnya, para dua’t mendidik hatinya untuk sentiasa dia menyedari bahawa dirinyalah yang memerlukan medan amal ini !
Kerana, dia tahu jika dia memilih medan amal yang lain, kemuliaan dirinya tidak akan tercapai.

Keberadaan diri kita dalam medan amal ini adalah satu rezeki yang teramat agung dari-Nya !
Maka, wajiblah kita untuk terus berusaha meneruskannya dan menyampaikan kepada generasi-generasi yang akan datang.

Inilah warisan yang paling adzhim buat manusia.
Hendak mewariskan harta-benda, sudah habis dikorbankan untuk jalan dakwah.
Maka, kesucian medan amal ini sahaja yang tertinggal.

Warisan ini tidak boleh diwariskan begitu sahaja atas nama Islam.
Warisan ini juga bukan warisan sembarangan atas pertalian darah.

Warisan ini adalah warisan kefahaman.
Warisan ini adalah warisan yang penuh cinta.
Warisan ini adalah satu risalah kebenaran.
Warisan ini bekalan buat mereka sampai ke sana nanti agar bisa ke tempat yang sama seperti kita tuju !

Mengapa kita perlu mewariskannya ?
Kerana kemenangan yang mahu kita capai, bukannya satu keajaiban.
Kemenangan yang mahu kita capai itu, bukan juga satu mukjizat.

Kemenangan yang kita kejar itu perlu kepada tenaga-tenaga yang memperjuangkannya.

Yakinlah, kemenangan ini tidak akan datang dari manusia-manusia yang duduk menongkat dagu.
Kemenangan ini juga tidak akan datang dari manusia-manusia yang hanya berdoa dan beribadah sepanjang masa.
Kemenangan ini juga tidak akan datang kepada manusia yang hanya berniat untuk mendapatkannya.

Kemenangan ini hanya akan datang buat manusia yang menggunakan kesempatan yang masih ada untuk beramal sepuasnya !
Mereka kini sedang berada dalam sebuah bahtera penyelamat yang bertindak untuk menyelamatkan manusia yang kelemasan.

Marilah bersama kami, hidup dalam sebuah kehidupan yang bernama, ‘ Kehidupan seorang pendakwah’  sementara peluang masih lagi melambai.

sekian,
mylittlepencil 

patah hati

Bismillah.

Salam untuk semua.
Kali terakhir aku menulis pada hari terakhir bulan Mac.
Dan ini adalah entri yang pertama untuk bulan ini.

********

Ya benar, aku sedang patah hati.
Patah hati dengan keadaan yang sama, berlaku untuk pada satu tempoh masa yang lama.

Sudah ramai di sekeliling perasan akan tranformasi yang aku lakukan.
Kurang untuk berkomunikasi.
Kurang untuk melemparkan senyuman.
Kurang untuk berkongsi.

Aku lebih banyak berfikir.
Melayani kemarau panjang dalam hati.
Menikmati kesunyian seorang diri.

Beribu persoalan yang ditanya,

” Mana awak yang dulu ? ”

” Awak dah menghilang terlalu jauh, [mylittlepencil] ”

” Dari UK hari tu akak perasan awak yang lama menghilang.”

Betul. Aku tidak lagi seperti dahulu.
Seorang yang begitu semangat.
Hilang girangnya.
Selalu nampak lemah, tidak bermaya.

Kini, apa yang aku mampu lontarkan adalah kata-kata yang kosong, tidak dari hati.
Bagai madah yang tiada lagu.

Dan keadaan ini sedang memunahkan diriku sendiri.
Apakah aku sedang tersungkur mati ?

Atau, aku sedang sampai di satu persimpangan hidup yang terlalu mendesak ?
Atau, ini satu proses aku dilahirkan semula ?
Atau aku mula menindakkan sunatullah jalan dakwah ini ?

Entah aku sendiri tidak tahu.

Yang pasti,
Aku merasakan impianku punah.
Mimpi aku lebur.
Harapanku sia-sia.

Aku merasakan diri ini tidak berguna.

********

Aku bagaikan sudah terlupa bagaimana rasanya menjadi seorang murabbi.
Aku bagaikan sudah terlupa tugasku adalah membina dan mentarbiyyah.

Sehingga sampai di satu tahap aku selesa menyampaikan dakwah secara umum.
Hanya berceloteh di laman-laman terbuka, tidak perlu khusus kepada mutarabbi (orang yang tertentu).

Sehingga sampai di satu tahap, aku  merasakan aku seorang daie yang tidak punya rezeki.
Rezeki dalam dakwah.

Makan cukup.
Pakaian cukup.
Duit juga cukup.

Tetapi hasil-hasil dakwah entah menghilang ke mana !

Dan bila tidak punya rezeki seperti orang lain, hatiku cepat sekali hancur.
Hatiku cepat sekali kecewa.
Hatiku cepat sekali sebak.

( Apakah aku lupa bahawa hati-hati manusia ini dipegang-Nya ? )

Sedih melihat gerabak dua’t yang melaju ini, sedangkan aku masih berada di tapak yang sama.
Sedih tatkala mengenangkan murabbi-murabbi lain seronok berkongsi rasa mentarbiyyah anak usrah mereka, sedangkan aku tidak mampu berkata apa.

Terasa hidupku ini malam sentiasa, tiada siang menjelma.
Tiada pelangi-pelangi indah.

Sudah terlalu lama aku berada di medan ini.
Berhempas pulas menjala sana-sini.
Masa berganti masa,

aku merasakan begitu sia-sia.
Tetap tiada hasilnya.
Manusia seolah kaku, tiada apa-apa tindakbalas.
Dan mereka ikut  bersama aku merasa selesa.

Aku merasa selesa baik sendirian.
Dan mereka selesa dengan kegiatan mereka seharian.

Begitulah.

Uzlah seorang daie kononnya !
Padahal aku terasa benar aku sedang cuba lari dari amanat yang aku sedar betapa penting untuk aku menggalasnya.
Dan kini, keluhan demi keluhan yang tercipta.

Dan kekecewaan aku semakin berganda.
Air mata yang disimpan dalam takungan jiwa, akhirnya melebur begitu sahaja.

Hendak diluahkan tetapi tidak tahu bagaimana.
Lalu, rasa itu aku simpan sendirian.

Semangat dakwah aku yang dahulunya membara merah menyala, kini bertukar biru malap hendak padam.

Kata murabbiyahku,
” Al-waqtu ‘ilaj.”

Masa itu adalah ubat.

Benarlah katanya.
Tetapi sebenarnya tetap tidak dapat mengubat kekesalan dalam hati.
Aku hanya bertindak mendiamkan diri saat dia berkata begitu.

Aku kini seolah berada dalam sebuah ambulan, cuma tidak tahu untuk dihantar ke hospital yang mana.
Kesakitan yang amat sangat.
Luka dalam hati sudah makin parah.

Jika tidak diubati segera, maka aku akan mati.
Mati meninggalkan kamu semua dalam medan dakwah ini.

***********

Wahai dua’t,
Kamu yang bergelar murabbi,

Janganlah kamu putus asa dalam membina.
Mutarabbi-mutarabbi yang kamu ada itu adalah rezeki dari yang Maha Kaya.

Diberi-Nya hati-hati insan untuk kau dekati.
Dihadiahkan-Nya jasad-jasad insan untuk kau tarbiyyah menjadi jundi.

Tarbiyyahlah mereka dengan tarbiyyah yang muntij.
Bina mereka dengan penuh keikhlasan dan penuh rasa rendah diri.

Keluarkan kalam-kalam suci yang dapat menyucikan jiwa mereka.
Pupuk rasa rindu agar rindu itu menjadi penguat ukhuwwah kamu bersama.

Meskipun medan menjadi seorang murabbi ini terlalu payah,
tetapi percayalah, apa yang Allah sedang berikan buat kamu adalah satu latihan dan pengalaman.

Jika kamu berjaya dalam latihan ini,
maka, hati mereka akan kau miliki.

Jika kamu pergunakan pengalaman ini sebaiknya,
maka, tidak akan kau ulangi kesilapan yang sama.

Untungnya kamu !

Lemparilah rasa syukur dengan gigihnya usaha kau membina mereka.
Gunakan segala kemahiran dan kebolehan yang ada
Warnai mereka dengan pelbagai warna.

Pegang mereka seerat-eratnya bagaimana eratnya pegangan kau kepada tali-Nya.
Jadilah bagai seorang ibu yang sedang menjaga anaknya.
Jadilah bagai seorang guru yang tidak lokek menyedeqahkan ilmunya.
Jadilah telinga buat mereka, sanggup mendengar apa sahaja.

Sungguh, kebersamaan hati itu harus ada antara kamu kerana itulah ikatan yang menjaga kesucian ikatan aqidah kamu !

Wahai dua’t,
Kamu yang  masih sedang berhempas pulas,

Jangan pernah putus asa.
Andai kau merasa begitu, maka berkongsilah.

Yakinlah,
Kau seorang daie yang sedang merubah realiti.
Dan realiti yang kau sedang cuba ubah, bukanlah satu realiti biasa.

Kau sedang membantu ummah untuk menganjak paradigma mereka !
Kau sedang cuba menyedarkan merea dari lena yang lama !
Kau sedang merubah apa yang sebenarnya cukup payah untuk diubah !

Sempurnanya dakwah bila kau beriltizam dengannya.
Sempurnanya dakwah bila kau tetap bertahan memikul tugas meskipun terasa di bahu berat benar bebannya.
Sempurnanya dakwah bila kau mampu untuk bersabar walau bagaimana dahsyat sekalipun gangguan, siksaan, tentangan dan penolakan yang kau terima.

Jadilah kamu dengan manusia itu sepohon pokok buah-buahan, mereka melemparkannya dengan batu dan dia (pokok) melemparkan mereka dengan buahnya – Imam Syahid Hassan Al-Banna. 

Marhalah taarif  memang satu marhalah yang payah.
Bukanlah bererti kau akan hilang kesusahannya tatkala kau bergerak ke satu marhalah yang lain.

Setiap marhalah punya resamnya, punya cabarannya !

Pada tahapan inilah, kedaieyan kau akan tercabar.
Semampu mana untuk kau memberi segala yang ada.
Semampu mana untuk kau mengeluarkan tenaga.

Pendek kata, selagi belum tutup mata, kerja kerja kerja dan terus bekerja !

Ad-daie illalah mesti mengetahui apa yang diperlukan manusia.
Dia mesti menyiasat dan mencari penyelesaian kepada pelbagai jenis masalah.
Dia mesti bijak mengatur langkah dalam apa yang dilakukannya.

Jauhkan diri dari sifat yang tergopoh-gapah.
Jauhkan diri dari meminta-minta hasil atau natijah dari dakwah yang kau lakukan.
Jauhkan diri kau dari berbesar hati apabila manusia mula mengurumuni engkau mendengar seruan-seruan dakwah.

Segala bicara dakwah kau ini tidak akan sunyi dari gertakan-gertakan musuh Islam.
Maka, bertabahlah  dan bersabarlah !

Jangan cepat celaru.
Jangan cepat melatah.

Yakinlah bahawa kepimpinan jahiliyyah ini akan bertukar tangan.
Matahari sekadar gerhana, bukan tenggelam buat selama-lamanya.
Pelangi masih muncul walau lebat hujan yang melanda.

Jangan terlalu gopoh-gapah !

Ibarat kau sedang memetik buah sebelum waktu ianya masak.

Hai Ikhwanul Muslimin terutama yang gopoh-gapah dari kamu dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar kamu yang meliputi ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak menyalahi batas-batas itu, dan aku telah berpuas hati dengannya. Kepuasan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya. Ya…..boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik bunga sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini lalu pergi mencari dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia. (Imam Syahid Hassan Al-Banna)

 

*********

Cuma pesanannya,
jangan kamu contohi aku.

Aku ini terlalu lemah.
Ini situasi dan keadaan yang terbaik ketika ini bagiku.
Ini latihan seorang hamba dari tuannya.

Ambil mana yang jernih.
Buang mana yang keruh.

sekian,
mylittlepencil yang sedang mengubati jiwanya.  

ghuraba’ dalam gerabak

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Sekian lamanya, sekembali aku pulang dari bumi United Kingdom, aku menyepi seketika.
Hanya menulis sebuah travelog yang tiada harga buat bacaan semua.

Meniti titian dakwah ini,
tanpa sedar, sudah sekian lama kalau dikira bilangan saatnya.
Betapa berharga setiap saat nyawa dan helaan nafas kita berada dalam jalan menuju redha-Nya ini !

Dalam gerabak dakwah yang terus melaju ini,
kita akui kita tidak mahu lagi tertinggal.

Tertinggal dalam melakukan perubahan.
Tertinggal dalam melakukan anjakan.
Tertinggal dalam melakukan peningkatan demi peningkatan.

Inilah diri seorang daie.
Daie yang diberi acuan tarbiyyah saban hidupnya.
Dengan tarbiyyah, dia memajukan diri.

Dalam gerabak dakwah ini,
kita melewati stesen-stesen manusia yang pelbagai hentinya.
Memahami bahasa tubuh dan gerak-geri mereka.
Cuba untuk menyeru mereka menaiki gerabak dakwah yang sedang melintasi mereka ini.

Tetapi apakan daya,
usaha seorang daie tetap hanya usaha seorang manusia.
Bezanya, usaha kita memiliki semangat ‘ Man Jadda Wajada’.
Kita berterusan usaha bagai tiada hentinya.
Kita berterusan usaha bagai tiada hujungnya.

Bersama-sama kita,
dalam gerabak dakwah ini,
angkatan para dua’t dari pelbagai bahagian dunia.

Ada yang dunia mereka dahulu, mereka ini memang terdiri dalam kalangan manusia yang baik-baik.
Ada yang dunia mereka dahulu, bersimbah jahiliyyah yang pekat.
Ada yang dunia mereka dahulu, telahpun mengenali erti dakwah dan tarbiyyah sejak lahir.
Ada yang dunia mereka dahulu, mereka ini hanya biasa-biasa.
Ada yang dunia mereka dahulu, takut untuk menjadi daie !

Pelbagai.
Unik sungguh bila kita mampu untuk berhimpun dalam satu gerabak yang sama !

Episod demi episod dakwah kita jalani bersama.
Pahit, manis,
Suka dan duka, kita nikmati bersama.

Mungkin berlainan dunia,
tetapi kita jemaah manusia yang sama mimpinya,
sama tinggi iradahnya !

Kita punya gelaran yang sama.
Gelaran yang diberi Tuhan yang Maha Kuasa.
Kita diberi pencerahan untuk memahami hidup sebagai seorang hamba.
Kita ditunjuki cara untuk menjalani hidup sebagai seorang khalifah.

Jauh sekali kita berbangga dengan gelaran ini.
Kerana pada lahiriahnya, kita tetap sama dengan mereka yang di luar gerabak dakwah ini.
Mungkin beza pada hati.
Hati kita yang sudah memahami.
Hati mereka yang masih terkial-kial mencari pintu mana yang boleh dibuka.

Tolong aku wahai si pulan di dalam gerabak, tunjukkan padaku mana satu pintunya.”

Menjadi tugas kita untuk membantu mereka.
Menunjuk muka-muka pintu kebenaran.

Dan kita terus bergerak melewati masa dan keadaan ummah.
Masa terus berjalan mencemburui kita semua.
Keadaan ummah terus diumbang-ambing seolah sedang  mengugut kita untuk terus berjuang.

Utara Selatan, Timur dan Barat.
Semua sudut bumi belum lagi kita habis jelajahi.
Adakah patut kita mengambil sikap putus asa lalu mengundurkan diri ?

7 hari seminggu, 24 jam sehari.
Semua masa yang diberi ini masih lagi berbaki.
Adakah patut kita mengaku berpenat lelah menggalas segala tanggungjawab yang diberi ?

Orang di luar gerabak masih mencari.
Dan jika mereka tidak pun mencari,
tetap kita harus berusaha untuk menunjukkan pintunya.

Meski kita dipandang pelik dalam arus ‘kemajuan’ jahiliyyah ini,
kita harus memintasnya dengan cepat berbekalkan sendi-sendi yang masih teguh berdiri ini.

Jalan yang kita akui payah ini,
terkadang kita sendiri lupa mencari di mana kepayahannya.
Percayalah,
Bila kau diberi kepayahan itu, tandanya kau sedang berusaha.
Bila kau diberi masalah, memang kau telah ditakdir-Nya untuk diduga agar sentiasa dekat pada-Nya.

Berkata payah sahaja tidak mencukupi selagi mana kau tidak merasainya sendiri.
Cuba sekali-sekala mencari kepayahannya.
Kelak akan terasa manisnya.

Barulah kau akan fahami sunatullah jalan dakwah ini.
Ya, payah dan penat adalah intipati jalan ini.

Stesen demi stesen kita berhenti.
Setiap siku dakwah pasti ada kepayahannya yang tersendiri.
Ada manusia yang dahulunya sama upayanya dengan kita, malah dialah pembakar semangat semua.
Tapi kini, dia hilang dikaburi kepentingan-kepentingan dunia yang lain.

Ada manusia yang dahulunya dialah paling malas dan lambat,
tetapi sekarang dia semakin melaju memintas kita !

Ini pula ragam dalam gerabak.
Bukan sempurna semuanya.
Bukan manis madu sahaja yang terasa.

Apa yang aku kagumi pada gerabak cinta ini adalah hammasahnya,
ikatan hatinya,
persamaan fikrahnya !

Biarpun kita asing,
tetapi kita asing bersama-sama.
Andai manusia di luar tidak dapat menerima kita,
sekurang-kurangnya manusia di dalam gerabak ini masih lagi bersama kita.

Dan di tengah-tengah keasingan inilah,
ternyata keadaan ini amat menduga kita.
Pandangan kacau melihat terlalu banyak benda yang kurang selesa.
Hati pula meronta-ronta sambil berkata,

” Selautan manusia ini sasaran  kita semuanya.”

Peluh mula keluar.
Tidak tahu mana satu yang perlu dimulakan dahulu.
Buntu mencanang idea agar kerja yang banyak ini punya satu kaedah yang menjimatkan masa.

Janji yang terlafaz perlu ditunaikan.
Mengangkat telunjuk lima kali kita bersyahadah melafaz kata,

Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah. Dan aku naik saksi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Janji ini bukan kerana terpaksa.
Tetapi janji ini demi keuntungan kita semua.
Janji ini bukan beban-beban.
Tetapi janji-janji ini jaminan.
Jaminan untuk kita tercatat sebagai penghuni syurga-Nya !

Dan gerabak inilah menjadi cara untuk melunaskan janji-janji yang terpatri.
Jalan dakwah dan tarbiyyah ini memberi hembusan baru kepada kehidupan biasa yang kita lalui.

Sehingga kita menjadi luar biasa !
Segalanya bisa menjadi indah.

Berada dalam gerabak yang sama.
Di atas landasan yang sama.
Memandang ke luar jendela dengan pandangan yang sama.
Memesan kopi yang sama buat penghias seri perjalanan kita.
Berbicara dengan rentak kalam yang serupa.

Tidakkah manis itu ??

Teruslah berhijrah dengan gerabak ini.
Aku tahu, pasti bermakna.
Aku tahu, pasti berguna.

Kerana dalam gerabak ini, kau akan dapat mencapai impian dengan cara termulia.
Dalam gerabak ini, kau akan kalis cinta-cinta dunia.
Dalam gerabak ini jugalah, kau akan mencipta sejarah kemenangan yang telah tercatat di Luh Mahfuz-Nya.

Meski gerabak ini terlalu banyak likunya,
nampak ‘usang’ buatannya,

tetapi ingatlah,
enjin gerabak ini telah terbakar sejak  lebih 1400 tahun dahulu lamanya.
Bermula dengan utusan yang mulia,
kemudian disambung para sahabat yang tercinta,
sehingga satu ketika dahulu,
gerabak mereka sampai di stesen puncak kemenangan.

Sekarang, kita menjadi golongan yang seterusnya.
Memegang untaian gerabak yang menjadi sisa  akhir zaman ini.
Berada di dalam gerabak untuk mencari semula di mana kemenangan yang menghilang seketika.

Biarkan enjinnya terus terbakar,
Dan kau penuhkanlah gerabak ini dengan jutaan manusia.
Bukan hanya membiarkan ia berjalan tanpa  isinya.
Terus membakar tetapi melepasi pandangan mata begitu sahaja.

Kitalah yang rugi kerana terlepas membeli tiketnya.
Miliki sebelum terlewat.
Beli dengan harga iman.

Perjalanan semakin laju,
jika tidak kau kejar, kau yang haru.

sekian,
mylittlepencil  yang juga di dalam gerabak usang ini……

kerja kita

Bismillah.

Salam dakwah ku ucapkan buat semua.
Juga, masih tidak terlambat untuk mengucapkan Salam Aidil Adha.
Semoga kisah Nabi Ibrahim A.S dan anaknya senantiasa menjadi pengajaran buat hati-hati kita untuk bertadhiyyah demi agamanya, inshaAllah !

********

Mutarabbi bukanlah satu objek untuk dikerjakan oleh seorang murabbi.
Mutarabbi diperlakukan dengan penuh kasih dan sayang.

Maka, dalam sebuah program tarbiyyah hendaklah murabbi dan mutarabbi diproses dengan baik berdasarkan evaluasi tarbiyyah dan perkembangan diri.

Fitrahnya, seorang manusia itu tidak boleh dikerjakan oleh seorang manusia yang lain.
Dalam makna lainnya, seorang manusia itu perlu dibangunkan dari dalam hati mereka.
Bukan dengan menekan perubahan luaran mereka tanpa mendahulukan perubahan pada hati mereka.

Masa perlu diberikan.
Kesabaran perlu sentiasa bersama.
Keikhlasan perlu dijadikan bekalan.

Inilah kisah antara seorang murabbi dan mutarabbi.
Andai datang mutarabbi dengan mukanya yang berkerut, maka kau tanyalah apa yang sedang mengusik jiwanya.
Andai datang mutarabbimu dengan mukanya penuh senyuman yang ceria, maka kau sambutlah dengan senyuman juga.
Andai mutarabbimu mempunyai pandangan terhadap sesuatu perkara, maka kau respon dengan penuh hati yag terbuka.
Andai mutarabbimu melakukan kesalahan, jumpa mereka secara bersendirian dan bincang sebaiknya.
Layan mereka, santuni mereka dengan sebaik mungkin.

Penuhi kehendak mereka.
Kagumi keistimewaan mereka.
Hargai setiap kerja yang telah dijalankan mereka dengan baik.
Selalu ringankan mulut untuk bertanya tentang keadaan mereka, perihal keluarga mereka.

Simpulnya, tunaikanlah segala hak yang perlu ke atas mereka.
Beginilah ragam pembinaan seorang manusia.

Perlu kepada keikhlasan kerana jika tidak mutarabbi akan terasa dipermain.
Perlu kepada kesabaran kerana jika tidak mutarabbi akan terasa dipaksa.

Kerana itu, sebelum menyemak tarbiyyah mutarabbimu,
Pandanglah dirimu terlebih dahulu.

Muhasabah sepuasnya.
Teliti setiap apa yang telah dilakukan.

Maka disebabkan rahmat Alahlah kamu bersikap lemah-lembut kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, tentulah mereka menjauh dari sekelilingmu. ( 3 : 159 )

Lihat saja peringatan Allah ini.
Jelas sekali.

Paculah tarbiyyah mutarabbimu sebaik mungkin.
Itulah yang akan mewarnai dunia tarbiyyah antara kau dan dia.

Bila hati sudah sentiasa terikat, tiada siapa lagi yang mampu untuk menganggu.

Pengertian tarbiyyah itu sendiri perlu jelas kefahamannya buat seorang murabbi.
Misi dan visinya.
Matlamat dan tahapannya.

Wahai murabbi dan murabbiyah,
Bukankah kau ingin menjadi sukses ?
Bukankah kau ingin mencetak anak-anak usrahmu menjadi seperti generasi Al-Quran terdahulu ?
Bukankah kau ingin mencapai kemenangan al-haq dengan usahamu yang bersungguh membina manusia ?

Atau,
antara yang di atas ini tidak pernah menjadi keinginan ?

Malah, kau merasa terpaksa.
Kau terasa masa dibazirkan.
Kau terasa tenaga telah banyak dibuang.
Puas sudah berkorban itu dan ini, tetap juga tiada hasilnya.

Ketahuilah, setiap masa yang berlalu adalah ubat.
Ubat buat murabbi dan mutarabbi.
Kerana kau bukan sedang membina sebuah bangunan,
Waktu siap yang boleh dijangka.

Murabbi membina manusia.
Yang terlalu banyak ragamnya.
Nikmatilah dan rasailah.

Kau akan banyak belajar dari pengalaman hidup yang telah Allah sediakan.
Malah, sampai ke akhirnya kau akan terus belajar dan belajar.

Berkongsilah cerita antara ukhti-ukhtimu.
Bincangkan bersama cara penyelesaian terhadap sesuatu masalah.

Telah kita yakini bukan, bahawa jalan dakwah sememangnya begini.
Bukan senang tetapi bukan juga susah.
Bergantung kepada diri kita sendiri untuk sejauh mana kita berhadapan dengannya.

Pintu hati manusia akan sentiasa terbuka.
Maka, teknik mencurinya terserah kepada seni yang kau ada.

Dan, dalam proses mencuri hati manusia ini,
Betapa penting kebergantungan dan kedekatan kau kepada Allah.
Yang Maha Membolak-balikkan hati-hati manusia.

Taqarrub ilallah antara tarbiyyah ruhiyyah yang tersangat muhimm.
Kerana tarbiyyah ruhiyyah inilah sebenar-benar bekalan buat seorang daie.
Bila melekat kuat, maka dia akan menjadi sangat sukar untuk diroboh !

Bila kekuatan ruhiyyahnya memuncak tinggi, sukar digambarkan semangatnya !

Dengan nama-Mu Ya Allah,
Aku menyerahkan segalanya bawah takdirmu.
Hadiahkanlah keredhaan dalam hatiku buat-Mu supaya Kau juga redha kepadaku.

Tarbiyyah ruhiyyah adalah salah satu terminal tarbiyyah.
Terminal ruhani.
Seorang daie wajib untuk bergantung pada terminal ini.
Kerana di sinilah mereka dapat menghilangkan dahaga keimanan dan menghirup kembali kesegaran udara ketaqwaan.

Ketaqwaan  dan keimanan menjadi modal kepada segalanya.
Modal buat belanja diri sendiri dan untuk membina manusia yang lainnya.

Tarbiyyah ruhiyyah mendahului tarbiyyah harakiyah.
Tarbiyah dzatiyah mendahului tarbiyyah jam’iyah.

Al-fardu qablal jamaah.
Al-usul qablal furu’.
At-tarbiyyah qablal jihad.
Membina batu-batu asas itu penting.
Supaya bangunannya kukuh tersergam indah.
Kerana itu pembinaan seorang murabbi dan mutarabbi perlu diberi perhatian penuh.
Dirancang sebaiknya.

Mula dari keperluan ruhiyy sehingga kepada keperluan materialnya.
Mula dari awal (hatinya) sehingga kau mampu membina semangat jihadnya.
Mula segalanya dengan lafaz bismillah, atas nama Allah.

Jadikan Allah sebagai sumber motivasi untuk kau teruskan usaha membina manusia meskipun susah.
Sudahlah manusia sibuk memperkata itu ini,
Keadaan sekeliling pula menyekat.

Percayalah, setinggi mana gunung itu,
kau tetap akan sampai ke puncaknya jika kau terus mendaki.
Sesusah mana cabaran itu,
selepasnya pasti datang kesenangan.

Pastinya, aku ingin kamu semua jelas tujuan kau membina manusia.
Aku ingin kamu menjadi seorang daie yang sanggup melakukan apa sahaja.

Siapa lagi harapannya kalau bukan kita ?
Sampai bila lagi mahu menunggu kalau bukan sekarang kita perlu memulakannya ?

Kita mahu merubah manusia dengan jiwa.
Kita mahu menguasai manusia dengan ikatan ruh yang kuat.

Ya, kita ingin menyelamatkan keadaan dunia.
Maka, jangan biarkan kau terbunuh begitu sahaja.
Terbunuhlah dalam keadaan yang terhormat.
Dalam keadaan namamu senantiasa disebut oleh penghuni-penghuni langit.

Menyelamatkan dunia dan sekalian banyaknya khalifah atas muka bumi ini.
Kini, dunia yang sudah tunggang-langgang perlu dibetulkan kembali.
Khalifah yang sudah terconteng kefahamannya perlu dijernihkan kembali.

Jadikan diri kita ini bermanfaat untuk sekalian alam ini.

Tidak dapat tidak, kau harus menggunakan kuasa yang kau ada.
Kuasa luaran bersumberkan kuasa dalaman yang super mantap.

Susunan amalnya,
Kemenangan Islam di puncak dunia bertitik-tolak dari pembinaan seorang rijal.

Pembinaan rijal yang membina kesetiaan agar tidak dicemari hipokrit dan khianat.
Pembinaan rijal yang merasai kebersamaan dengan Allah.
Pembinaan rijal yang bertadhiyyah mulia tanpa disekat ketamakan dan kebakhilannya.

Betapa, pembinaan yang mula secara individual ini telah melahirkan pejuang-pejuang yang sangat hebat.
Menegakkan kalimah Allah sehingga nyawa yang terakhir.
Pengakhiran hidup mereka ternyata memberi impak yang tinggi kepada sejarah dunia.
Kerana itulah, mereka disegani sampai sekarang.
Allah memelihara kemuliaan mereka kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh menjaga kemuliaan agama ini !
Kehilangan nyawa hanya dirasa perkara yang biasa untuk dirisaukan berbanding hilangnya dakwah atas muka bumi ini !

Tarbiyyah individu bukan sekadar mengubah seekor kijang menjadi singa,
Malah menjadi seekor singa yang mengetuai hutan belantara.

Tarbiyyah yang dimulakan dengan al-fardu bukan sekadar mampu melahirkan insan yang mempunyai iradah qawiyyah, malah mereka tidak pernah disulami erti kelemahan.

Meski masa yang diambil lama, ternyata hasilnya akan memberi kemenangan yang hakiki.

Pesan dariku,
Jangan pernah kau berhenti membina manusia.
Mengertilah bahawa tugas ini datang bersama bantuan-Nya.

Sekian sahaja,
mylittlepencil yang akan terus juga membina manusia demi Dia.

ghairah cinta

Bismillah.

Salam dakwah buat semua pembaca.

Hari ini, banyak benar telatah kehidupan yang saya nikmati.
Ada kegembiraan, ada kedukaan.
Ada yang menguji, ada yang hanya berlalu begitu sahaja.
Inilah kehidupan bukan.
Mencorakkan hati dan pemikiran kita.
Memberitahu kita tentang fitrah rahsia-rahsia alam.
Membuai perasaan kita.

*******

Ghairah cinta.
Manusia apabila bercinta, segala kekuatan seakan terhimpun menjadi sebuah kuasa yang tersangat kuat.

Ghairah cinta.
Manusia apabila bercinta, hanya itu kekasihnya menjadi anganan dan bayangan dalam ahlam-ahlamnya.

Ghairah cinta.
Manusia apabila bercinta, nama kekasihnya akan sentiasa menjadi sebutannya. Tidak pernah bosan, malah makin terbit rasa cinta.

Ghairah cinta.
Manusia apabila bercinta, segala perbuatan terasa bagai tidak kena. Hati resah dan gelisah.

Ghairah cinta.
Manusia apabila bercinta, akan ada rasa cemburu apabila melihat kekasihnya memuja yang lain.

Inilah fitrah manusia apabila bercinta.
Rasa cinta membantu untuk memberi keghairahan seorang manusia menjalani kehidupan.

Cinta memiliki qanun tertentu.
Cinta memiliki ketaatan yang tak bisa ditawar.
Cinta memiliki desakan yang tidak boleh dbendung.

Cinta melunakkan segala yang tidak sedap didengar.
Cinta melebutkan segalanya yang keras.
Cinta menggoyahkan segalanya yang kukuh.
Cinta memberikan rasa manis kepada yang tawar.
Cinta melonggarkan segala yang ketat.

Ah, penjelasan cinta yang terlalu banyak.
Sehingga kita susah ingin mengolah rasa cinta.

” Bagaimana ingin aku menjelaskan cinta.”

” Cakap sahaja padanya, aku cinta padamu.”

Terlalu mudah berkata tanpa membuktikan amalnya.
Apa yang perlu dilakukan untuk membuktikan keghairahan cintaku padanya ?

Segala puisi telah ku himpunkan.
Segala kata telah ku ucapkan.
Segala doa telah ku panjatkan.
Namun, seakan cinta itu tertolak, ditepis dengan hangatnya.

Cintaku padamu, abadi sepanjang zaman
Tak lebih tak kurang oleh alasan
Cintaku tak beralasan kecuali keinginan mencinta
Cintaku tak bersebab yang dimengerti manusia

Jika cintamu tak beralasan selain ia yang kau cinta
Maka ia nyata, tak akan lenyap selamanya
Jika cintamu digerakkan oleh suatu alasan
Maka ia akan hilang bersama hilangnya alasan

 

 

Dalam cinta, ada tanda-tanda.
Orang yang cerdik mampu memahaminya.
Orang yang cerdas mampu menunjukkannya.
Orang yang memerhati mampu untuk melihatnya.
Orang yang hanyut dengan cinta,

Ya, merekalah yang mempunyai tanda-tanda ini.
Lihat sahaja pada gerak tubuh badan mereka.
Lihat sahaja pada perihal percakapan mereka.

Segalanya terbuai dengan cinta.

Segala yang dilafazkan hanya untuk sang pujaan jiwa.
Segala yang dilakukan hanya untuk sang pujaan jiwa.

Saban hari, manusia yang bercinta ini tidak pernah bosan dengan sang pujaan jiwa.
Siang dan malam, sentiasa dalam ingatan.
Malah, jika hilang sesaat dari ingatan, sudah rasa kehilangan.

Manusia yang bercinta ini merdeka sebenarnya.
Mereka bebas berkelana.
Mereka bebas melayani perasaan mereka.
Mereka berjalan ke mana sahaja suka.

Manusia yang bercinta ini bersendirian sebenarnya.
Himpun berapa ramai sekalipun ummat manusia di hadapan mereka,
Tetap, yang mereka ingati adalah pujaan hatinya !

Ah, rumit segalanya tentang orang yang bercinta ini.
Tetapi mengapa mereka ini seakan berjaya menjadikan kerumitan itu satu kesenangan yang luas.
Semacam luasnya langit Allah.
Semacam luasnya laut yang membiru.

Inilah prinsip cinta.
Memberi ketenangan.

Kerana itulah mereka berterusan bercinta.
Bersabar selamanya.
Berani mengharungi segalanya.
Biarlah kehilangan segalanya, asal bukan dia.

Fikir saya,
” Pernahkah aku mencintai dakwah sebegini rupa ? ”

Merasakan dakwah telah memberi dan memaknai erti sebuah kehidupan.
Setiakah aku dengan dakwah sebagaimana setianya aku dengan orang atau manusia yang disayangi ?
Sudahkah aku merasai ketenangan sebagaimana tenangnya aku tatkala mengenangkan kekasihku ?
Patahkah hatiku andai dakwah ini tidak lagi mencintai diriku, atau aku hanya berasa biasa ?

Bertahankah kita dengan ujian-ujian cinta.
Dugaan datang sehingga membuat kita rasa ingin memaling rasa cinta.
Halangan datang sehingga kita ingin melafazkan rasa cinta kepada yang lain.

Sehingga tumpah air mata.
Sehingga kesedihan menyelebungi jiwa.

Empangan ketabahan itu pecah dengan ketukan-ketukan berbisa.
Duri yang menghiasi penjalanan sudah puas kita pijak dengan kaki yang tidak beralas.

Sedalam-dalamnya nafas kita tarik dan hembus keluar.
Namun, pabila diduga, nafas tersekat.
Malah, ada kalanya hilang dan kita mula mencari nafas yang baru.

” Berbahagialah mereka yang bercinta untuk mengejar keredhaan.”

Ketika nestapa melanda jiwa
api membakar hati, air mata meleleh di pipi
Kala lara mendera hati, menyeksa jiwa
perasaan mungkin bisa sembunyi
tapi air mata kan mengalir lama
Derasnya aliran air matamu adalah tanda
kesedihan yang kau rasakan betapa beratnya.

 

” Cik pensel, menangis adalah tanda-tanda orang bercinta. Nangislah sepuasnya selagi kita mencintainya.”

Sejujurnya baru saya perasan, menangis juga adalah tanda bagi mereka yang sedang bercinta.

Cubaan yang datang memberi kita persangkaan buruk terhadap jalan ini.
Dan orang lain turut berburuk sangka.
Pelbagai benih perselisihan mula timbul.

Ku saksikan betapa banyak buruk sangka dipelihara
Begitu pun aku, berburuk sangka pada
Apa yang nampak hina
Hendaknya kita jauhi buruk sangka
Agar pertikaian tak lagi ada
Sungguh, api berkobar mulanya setitik saja
Begitu pula, soal besar mulanya temeh belaka
Bukankah pohon besar, dari benih kecil ia bermula.

 

Pohon dakwah itu besar.
Benih kecilnya adalah rasa cinta.

Kita akan memberi perhatian yang ekstra kepada dakwah.
Sebagaimana orang yang bercinta akan terlalu memberi kepeduliannya kepada pujaan jiwa.
Segala kejadian menimpa.
Segala masalah yang datang.
Segala khabar berita.

Segalanya kita ambil peduli !

Kita jatuh pada dakwah bukan kerana membayangkannya dalam mimpi.
Kita jatuh cinta bukan kerana cinta pandang pertama.
Kita jatuh cinta bukan kerana sifat istimewa yang menghiasinya.
Kita jatuh cinta bukan kerana isyarat mata yang indah.
Kita jatuh cinta bukan kerana surat layang yang terutus.

Apa alasan kita bercinta sebenarnya ?
Bukan kerana apa yang terhias di hadapannya.
Tetapi apa yang menolak kita.

Taman-taman cinta,
bukan seperti bintang di langit,
Terlalu banyak untuk kita kira,
Tetapi seluas mana kita menabur benih-benih cinta.

Fikirkan langit, bukan bintangnya.

Allah sedang menilai kita dengan cara kita menabur cinta.
Allah sedang melihat kemampuan kita untuk berkorban demi cinta.
Allah sedang menguji kesabaran dalam kita memaut cinta.

” Dakwah itu seakan pengantin untuk dirinya.”

Terlalu susah untuk membayangkan pengantin yang nyata.
Menemani diri sepanjang perjalanan.
Setelah mendalami apa yang tertulis, baru penghayatan sebenar datang.

Betapa kita cukup cukup dan tersangat perlu untuk mencintai dakwah.
Betapa kita perlu merasai dakwah melengkapkan segala isi hidup kita.

Puja-puji cinta mengukuhkan rasa cinta kepada dakwah.
Bibit-bibit manis memberi pengajaran yang cukup mendalam ketika bercinta.

Jangan sesekali berpaling dari jalan cinta yang telah kita cinta ini.
Jangan curang.
Jangan menduakannya.
Jangan pernah rasa ingin ber ‘poligami’.

Dusta ! kalau kau mengaku mencintai dua kekasih
Karna cinta sejati tak mungkin membagi kasih
Tak ada tempat dalam hati untuk dua pujaan
Tak mungkin hati terbagi dua pujaan

Serupa satu akal, yang hanya mengakui Dia
Yang Satu, Sang Khalik yang Maha Mencinta
Begitulah cinta sejati, Tak terbungkus nafsu
Ia tunggal, tak menjauh, tak mendekat selalu

Dalam hukum percintaan, cinta yang mendua
Seumpama syirik yang jauh dari kebenaran iman
Serupa orang beriman, akui agama esa
Dan orang-orang kafir, akui agama dua 

 

Hujan hanya sebentar,
Matahari akan bersinar semula,
Bunga-bunga akan tumbuh melata.

Seluruh kehidupan bersama-sama kita dalam jalan cinta ini.
Jalan-jalan, berburung yang berterbangan, awan-awan yang berarak seolah melambai mesra.
Jadikan mehnah-mehnah  lebih memuliakan diri kita.

Menjadi yang pertama-tama di sisi Allah.
Pertama yang mencintai dan dicintai.

 

p/s : segala puisi yang saya ‘bold’kan adalah dari Ibnu Hazim El-Andalusy

hati nurani seorang manusia

Bismillah.

Salam dakwah buat kepada seluruh ummat manusia.

Sedikit kata-kata motivasi buat semua hari ini : Pada hakikatnya kita semua manusia ini pelbagai jenisnya, pelbagai ragamnya. Tugas kita adalah meraikan keadaan mereka semua dan menerima dengan hati yang sangat terbuka. Kerana kita sendiri manusia yang juga ada ragamnya.

********

Hati nurani manusia itu penting untuk dijaga.
Hati adalah sumber segala.

Hati yang melentur keadaan amal kita.
Hati mungkin dapat dilihat.
Namun, keadaan nurani tersembunyi di sebalik tabir.
Menyimpan satu kuasa yang amat besar.
Kuasa ini mana mungkin dapat diraba dengan pancaindera.

Nurani inilah memandu kita dalam dua jalan yang terbentang buat manusia.
Jalan baik dan jalan buruk.
Boleh diumpamakan seperti seorang ayah mengajar anaknya, seorang guru yang menasihati anak muridnya.

Inilah kuasa hati nurani.
Bukan sahaja membentuk moral, malah membentuk seluruh aspek seorang manusia itu.
Hati manusia, perasaan kemanusiaan inilah tiang moral dan sendi yang pertama.

Dalam kita membina tarbiyyah seorang manusia,
Kita mula dengan pembentukan hati nurani manusia.

Dalam kita membina iman seorang manusia,
Kita mula dengan tempat asalnya iman itu berpunca, juga hati nurani manusia.

Dalam kita membina ummah dan kemenangan,
Perlu kita menguasai hati-hati nurani manusia.

Penting bukan,
Menguasai hati manusia ?
Seolah kau akan dapat menggengggam seluruh jasadnya dan semangatnya.

Hati nurani manusia perlu sentiasa dibasahkan.
Perlu sentiasa diingatkan.
Perlu sentiasa dibangunkan.
Perlu sentiasa dilatih.

Kerana hati nurani inilah yang mempunyai kuasa yang bakal mendokong kita saat menghadapi badai-badai dunia.
Menghadapi ragam-ragam manusia.
Menghadapi mehnah-mehnah dalam jalan dakwah ini.

Hati nurani yang basah dan suci, inilah hati nurani yang cukup mudah untuk dilentur.
Sewajarnya, inilah keadaan hati nurani seorang manusia yang bernama mukmin.

Mukmin itu perlu sentiasa membasahkan hatinya.
Mukmin itu perlu sedar dengan cepat andai hatinya sudah kering.
Mukmin itu perlu sedar betapa pentingnya dia merencanakan amalan hatinya.

Keadilan itu bukan terletak dalam bunyi huruf undang-undang, melainkan dalam hati nurani hakim yang melaksanakannya.

 

Dan apa yang akan menolong hati nurani ini menjadi lebih suci dan terpelihara ?
Iman.

Iman yang sentiasa dipelihara dan dipulihara.
P&P.

Di waktu berjalan dan waktu henti,
Dia menjaga imannya.

Di waktu siang dan malam,
Dia menjaga imannya.

Di tempat terbuka dan di tempat yang tertutup,
Dia menjaga imannya.

Bagi si mukmin,
Iman mengajar dia agar tidak melakukan sekecil-kecil perkara yang dapat merobek kesucian imannya.
Iman memberitahu dia tiada apa perkara yang dapat kau sembunyikan dari Dia yang Maha Melihat.

Tidakkah engkau perhatikan , bahawa Allah mengetahui apa yang ada di langit dan bumi ? Tiada apa perbicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah keempatnya. Dan tidak ada lima orang, melainkan Dialan yang keenamnya. Dan tidak ada yang kurang dari itu, atau lebih banyak, melainkan Dia pasti ada bersama mereka di mana pun mereka berada. Kemudian, Dia akan memberitahukan kepada mereka hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. ( 58 : 7 )

 

Apa jua jenis urusan, kita sentiasa ada pengintai yang Maha Bijaksana, lagi Maha Kuasa.
Tuhan mengintai kita dari jauh atau dekat bukan sepertimana manusia mengintai manusia yang lainnya.

Tuhan mengintai kita untuk menjadi hakim kepada segala perbuatan kita.
Dan hasilnya akan dibentangkan pada hari akhir nanti.
Tertayanglah segala, tersingkap hijab yang kita sangkakan mampu menutup pandangan-Nya.

” Rendahkan suaramu, takut-takut nanti apa yang kita rancangkan diketahui oleh Tuhan si polan.”

Ya, ini mukmin yang tidak bijaksana dalam mengatur pacuan iman dan hati nuraninya.
Kerana itulah perlunya iman untuk memberi acuan sempurna hati nurani seorang manusia.

Seorang mukmin tahu bahawa  dia akan diperiksa setiap pelusuk mengenai perbuatannya.
Namun apa yang memberi keyakinan ?

Iman yang memberi keyakinan dan kepastian.
Malah, setiap masa seorang mukmin itu dihimpit pelbagai persoalan dalam melaksanakan amalannya.

Akan dikerjakankah ?
Mengapa dikerjakannya ?
Untuk siapa dia mengerjakannya ?
Bagaimana nilai kerjanya ?

Saat ini, iman di dalam hati nurani seorang manusia menjadi alat timbang tara.
Kerana iman itu jika dipupuk elok,

Akan sentiasa berbisik dalam lubuk hati manusia dengan suara-suara kemuliaan.

Ini bukan khayalan,
Atau gambaran atas kertas putih semata,
inilah kenyataannya !

Betapa hati nurani yang bersumbukan pelita iman mempengaruhi seluruh aspek kehidupan seorang manusia.

Dahulu aku bangga,
Mempunyai hati,
Menyelongkar apa itu rasa cinta,

Dahulu aku bangga,
Mempunyai hati,
Mampu mengangankan segala,

Dahulu aku bangga,
Mempunyai hati,
Membongkar segala rahsia,

Tetapi kini,
Aku derita mempunyai hati,
Kerana dengan hati,
Aku akan ditanya,

Aku bagai tidak menyedari hakikat sebenarnya,
Hatiku ini perlu dijaga,
Aku bagai terleka,
Membiarkan ia rosak dipengaruhi dunia.

Aduhai manusia,
Andai kau mengerti hakikat ini,
Kau juga akan ketakutan,
Kau akan gentar,
Kau akan menangis teresak-esak,
Kau akan menginsafi segalanya.

sekian,

~si pensel kecil
pemilik hati yang sentiasa menadah cinta dari Tuhannya. 

sajak Bismillah

Dengan lafaz bismillah,

Biasanya kita mulakan sesuatu,

Terkadang pada lisannya,

Bukan pada hatinya,

Bukan pada amalnya.

Dengan lafaz bismillah,

Kita mengenal erti satu urusan,

Mungkin senang,

Mungkin susah,

Pastinya, sentiasa ada campur tangan Dia,

Senang dengan izin dari-Nya,,

Susahkerna ujian dari-Nya.

Dengan lafaz bismillah,

Kita memulakan hari,

Cerah atau gelap,

Akan hadapi,

Dengan bantuan dan perlindungan dari-Nya.

Dengan lafaz bismillah,

Meyakinkan aku akan 99 nama-Nya,

Menghidupkan jiwa yang basah,

Lebih mengerti empunya Dia yang ada nama seperti kita,

Ternyata,

Nama-Nya lebih indah,

Nama-Nya lebih sempurna,

Nama-Nya menjadikan hidup lebih bermakna,

Mungkin inilah pengertian bismillah yang sebenar.

Dengan lafaz bismillah,

Juga pendahuluan dakwah,

Kerana dakwah ini atas nama-Nya,

Kerana dakwah ini kerana-Nya,

Namun terkadang,

Tercari juga di mana keikhlasannya,

Keikhlasan dakwah ini atas nama-Nya,

Hilang kerana dakwah menjadi rutin,

Hilang kerana tiada yang menghargai,

Hilang kerana kepenatan yang berganda,

Carilah kehidupan dakwah itu kembali,

Dengan nama-Nya.

Dengan lafaz bismillah,

Juga pendahuluan ukhuwwah,

Buat teman seperjuangan,

Bukan sekadar diredhai,

Bukan sekadar di dunia,

Biar ukhuwwah itu,

Berbunga di taman syurga,

Biar benar ukhuwwah itu,

Bertasbihkan nama-Nya.

Dengan lafaz bismillah,

Kita menyusun kata,

Menyusun langkah,

Mengislah manusia,

Membuka mata hati,

Mengubah cara fakir,

Tugas yang bukan mudah,

Mudah dengan kata,

Tetapi perlukan susunan,

Beserta strategi membina,

Tapi keberkatannya terasa ada,

Dengan nama-Nya.

Dengan  lafaz bismillah,

Kita terasa sumber kekuatan itu ada,

Kita terasa daya tolak dari-Nya,

Dugaan terasa mudah ditepis,

Cubaan terasa mudah dihadapi,

Sentuhan Rabbi itu sentiasa ada,

Meskipun jalan panjang,

Hidup penuh misteri.

 Dengan lafaz bismillah,

Dia sentiasa ada,

Dia yang kuat,

Memberi daya kepada yang lemah,

Dia yang kaya,

Memberi nikmat buat semua,

Dia yang lembut,

Belas kasihan tanpa mengira pangkat,

Dia yang pengampun,

Memaafkan kesalahan yang bertimbun.

Dengan lafaz bismillah,

Pada nama-namaNya,

Kita tahu perihal Dia,

Kita lebih cinta pada Dia,

Selagi nama-namaNya tidak dikenali kesemuanya,

Selagi itu usaha belum terhenti.