kebebasan

Bismillah.

Zaman kini, zaman segalanya bebas. Bebas melontar kata, bebas berbuat apa sahaja, dan pelbagai macam kebebasan.

Manusia dan tuntutan kebebasan. Siapa yang tidak suka bebas?

Sudah tentu makhluk ciptaan Tuhan yang paling suka dan puas dengan kebebasan adalah manusia. Kita punya kuasa pinjaman sementara masih hidup untuk memilih corak kehidupan yang diingini. Kita kertas putih yang bebas mewarna kanvas, seni mengikut citarasa masing-masing.

Mengapa manusia terlalu cepat puas dengan kebebasan?
Barangkali kita semua terlupa bahawa pada kebebasan ada bayarannya. Kebebasan pada lahiriahnya tampak percuma, namun harus diingat, kebebasan yang baik pulangannya baik.

Dan begitu juga sebaliknya.

Sebab kedua mengapa manusia terlalu cepat puas dengan kebebasan adalah kerana kita merasakan kebebasan ini tiada peraturan atau tatacara yang mesti dipatuhi.

Ya, kebebasan mempunyai disiplin. Barangsiapa melanggar disiplinnya, dikira sebagai pesalah salah laku kebebasan.

Sebagai contoh pertama, kebebasan keimanan.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”(29:2)

Sungguh, tauhid adalah kebebasan yang paling agung buat seluruh umat manusia. Manusia bebas untuk beriman kepada Allah semampu mereka di samping menunaikan segala tuntutan ibadah yang telah diwajibkan.

Namun, adakah hakikat keimanan ini terbiar begitu sahaja bebasnya?
Tidak. Disiplinnya adalah barangsiapa beriman, maka dia akan diuji.

Kesannya, apabila manusia tidak mematuhi peraturan dalam kebebasan, maka akan porak-porandalah sebuah kehidupan.

Sebab ketiga mengapa manusia terlalu cepat puas dengan kebebasan adalah kerana mereka merasakan bebas ini adalah ibarat burung yang semata terbang di awan yang tinggi. Mereka tidak memposisikan kebebasan itu adalah sebagai sebuah jalan yang lurus dan mempunyai tujuan-tujuan tertentu.

Bayangkan burung yang terbang bebas tapi tanpa tujuan. Tidakkah ia akan dimakan oleh kepenatan kebebasannya sendiri?

Ramai manusia lelah dan tenggelam akhirnya dalam kebebasan. Pada awalnya bahagia, tetapi di akhirnya duka. Pada awalnya bersenang-senang, tetapi kemudian harinya susah.

Kerana itu, Allah banyak sekali memperingatkan kita akan kebebasan hidup di dunia yang mempunyai kaitan dengan kebebasan di akhirat kelak. Manusia yang membebaskan dirinya dari ikatan dunia, maka akan mengecapi kebebasan dari api neraka.

Sungguh, itulah kebebasan dalam bentuk kemenangan yang teragung!

Ingatan demi ingatan diberikan kepada kita. Ditayangkan kehidupan ummat terdahulu yang terpenjara dengan kebebasan sendiri. Mereka fikir azab neraka ini tidak realistik, malah lagi ditanya “Bila dunia nak kiamat ni?” pada Tuhan Pemilik Sekalian Alam.

Beginilah ironinya kehidupan manusia. Kebebasan yang telah disalah erti dan disalahgunakan.

Apakah cara sebenar untuk bebas?

1) Bebaskan diri dengan tanggungjawab yang ada.

Hayati semula semua tanggungjawab yang ada bermula dari tanggungjawab kepada Tuhan, diri sendiri dan hak-hak orang sekeliling.

Dengan tanggungjawab, kita akan bebas dari tugas-tugas kehidupan yang tidak perlu dilakukan. Sekurang-kurangnya, hidup kita bebas bermanfaat bukan?

2) Bebaskan diri dengan mencari kebaikan dan memberi manfaat.

Peluang-peluang untuk menabur kebaikan dan manfaat jangan dilepaskan begitu sahaja kerana tidak semua orang mampu membebaskan diri mereka untuk melakukan kebaikan. Ada manusia yang masih terpenjara melakukan kesilapan yang sama berulang kali malah menokok-tambah kesilapan yang baru.

3) Bebaskan diri dengan akal dan hati yang sihat.

Akal yang sihat gunanya untuk memikirkan kesan, hati yang sihat pula gunanya untuk berfatwa buat si pemilik jasad.

Berfikirlah kerana anjuran Tuhan adalah untuk menjadi pemikir. Berfikir dan bertafakkur, jangan fikir kosong. Berfikir tanda meraikan nikmat akal yang bebas untuk memikirkan apa sahaja yang boleh difikir.

Berfikir mencari cara memajukan diri sendiri.
Berfikir mencari idea atau sarana untuk membantu orang sekeliling.
Berfikir secara produktif untuk menghasilkan sesuatu yang berguna.

Begitu juga dengan fatwa hati, bebaskanlah diri atas nama kebenaran.

Bebas akal dan hati, inshaAllah jasad akan turut sama bebas.

Bebas, bukan bermakna kita boleh melakukan apa sahaja. Bebas itu adalah sejauh mana kita mengenal fungsi diri kita sendiri selaku manusia, hamba yang berTuhan.

images

Bebaslah atas nama kebaikan.
Bebaslah atas nama ketaatan.
Bebaslah atas nama Tuhan.

Sampai masa ajal kita nanti, bebasnya ruh dari jasad sudah terlambat untuk disesalkan. Saat itu, jika dipinta kebebasan untuk kembali hidup semula di dunia tidak akan lagi dilayan.

Nantikan sahajalah, bebasnya Tuhan meng’hadiah’kan hukuman.

Sekian,
mylittlepencil

P/S: Mencari kebebasan adalah salah satu azam saya untuk Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s