munafiknya aku!

Di tengah kota Madinah, datang seorang anak yang menyayangi bapanya berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk meminta kain dari Baginda bagi mengkafankan ayahandanya. Lalu, Rasulullah SAW memberikannya dan turut menyolatkan jenazah bapanya setelah dipinta meskipun dihalang keras oleh Umar al-Khattab RA.

Anak tetaplah anak, dan ketika ayahnya tersebut meninggal, kesedihan melanda jiwanya.

Imbas kembali, sepulangnya Rasulullah SAW dari Perang Tabuk sekitar tahun kesembilan hijrah, Rasulullah SAW mendapat khabar berita tentang bapa kepada sang anak itu tadi jatuh sakit. Lalu, Rasulullah SAW yang tidak pernah hilang sisi kemanusiaannya itu datang melawat meskipun Baginda tahu bahawa orang tersebut adalah gunting dalam lipatan di dalam barisan kaum Muslimin. Secara zahirnya beliau memang mengumumkan keimanannya, tetapi hasad dengki ingin menjadi Raja Madinah yang tersimpan itu menjadi penghalang segala-galanya!

Inilah sebahagian dari kisah tokoh munafik terbesar di dalam sejarah Islam, Abdullah bin Ubay bin Salul.

Ketika Rasulullah SAW berdiri hendak menyolatkannya, Umar bin Khattab menarik baju Rasulullah SAW dari belakang dan berkata: “Wahai Rasulullah, Engkau akan menyolatkannya? Bukankah Allah melarangmu untuk menyolatkannya?
Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya Allah SWT memberikan kepadaku dua pilihan kamu memohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja). Walaupun kamu memohonkan ampun bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi ampunan kepada mereka. Yang demikian itu adalah karena mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya. dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik. (QS at-Taubah:80) Dan saya akan menambahnya lebih dari tujuh puluh kali.
Umar berkata: “Sesungguhnya dia itu orang munafiq”. Setelah Rasulullah SAW menyolatkannya, barulah turun ayat: “Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam Keadaan fasik. (QS. At-Taubah:84)

Begitu mulia peribadi sang anaknya iaitu Abdullah bin Abdullah bin Ubay bin Salul yang tetap taat kepadanya bapanya meskipun beliau sendiri pernah berkata kepada Rasulullah,

“Ya Rasulullah, jika engkau menginginkan ayahku dibunuh, perintahkanlah aku untuk membunuhnya! Kerana kalau orang lain yang engkau perintahkan membunuh, aku khuatir aku tidak boleh bersabar untuk tidak menuntut balas atas kematiannya, yang kerananya aku akan masuk neraka. Semua orang Ansar tahu, aku adalah orang yang berbakti pada orang tuaku.”

Lahirnya kelompok munafik ini di Madinah ternyata kerana mereka tergugat dengan pengaruh dakwah Rasulullah SAW. Mereka terpaksa berpura-pura mengampu dan berbuat baik secara zahir namun secara diam-diam membuat pakatan menghancurkan Rasulullah SAW. Berbeza mereka dengan kaum Musyrikin Mekah yang menentang dakwah secara terbuka, menyeksa kaum muslimin tanpa keseganan. Malah, mereka punya kuasa yang cukup untuk mengusir sehingga Allah memerintahkan kaum Muslimin ketika itu untuk berhijrah.

*************

munafiq

 

Ya, kita lazim mengetahui akan ciri-ciri munafik yang tiga itu;

1. Apabila berkata,  dia akan berkata bohong / dusta.
2. Jika membuat suatu janji atau kesepakatan, dia akan mengingkari janjinya.
3. Bila diberi kepercayaan / amanat, maka dia akan mengkhianatinya.

Tiga tanda nyata seorang munafik itu bukanlah hanya terbatas pada tiga perkara ini, malah ciri paling bawah adalah ketidakjujuran kepada Allah SWT . Syed Qutb di dalam syarah Al-Munafiqun malah menambah dengan dua lagi ciri lain iaitu lalai dari mengingati Allah dek kerana urusan duniawi dan menangguh-nangguh waktu untuk membelanjakan harta bagi kepentingan agama Allah.

Mungkin, kita juga patut bermuhasabah agar kita tidak tergolong dalam ciri di atas. Islam bukan sekadar satu lafaz sumpah ingin menyelamatkan diri dari azab Allah tetapi adalah hakikat keimanan yang sebenar.

Bagaimana Allah SWT sendiri yang mendustakan segala ungkapan keimanan mereka, seperti itu jugalah kita patut rasa dikutuk Allah sekiranya kita tidak menjadi muslim yang benar-benar Islam, iman yang bukan sekadar lafaz mulut, malah kebenaran dalam hati dan dilahirkan melalui anggota tubuh badan.

  1. Nekad membenarkan diri meskipun terbukti salah
    “Maka bagaimana halnya apabila (kelak) musibah menimpa mereka (orang munafik) disebabkan perbuatan tangannya sendiri, kemudian mereka datang kepadamu (Muhammad) sambil bersumpah, “Demi Allah, kami sekali-kali tidak menghendaki selain kebaikan dan kedamaian.”(4:62)
  2. Menyindir tetapi disampaikan dengan tutur kata yang manis
    “Dan demikianlah untuk setiap nabi Kami menjadikan musuh yang terdiri dari syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang indah sebagai tipuan. Dan kalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak akan melakukannya, maka biarkanlah mereka bersama apa (kebohongan) yang mereka adakan.”(6:112)
  3. Pandai mencipta alasan
    “Dan di antara mereka ada orang yang berkata, “Berilah aku izin (tidak pergi berperang) dan janganlah engkau (Muhammad) menjadikan terjerumus ke dalam fitnah.” Ketahuilah, bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sungguh, Jahanam meliputi orang-orang yang kafir.”(9:49)
  4. Menyindir kebaikan orang lain walhal dia sendiri tidak mahu melakukan kebaikan tersebut
    “mereka kikir terhadapmu. Apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka kikir untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapus amalnya. Dan yang demikian itu mudah bagi Allah.”(33:19)

Pernahkah kita menjumpai ciri-ciri di atas di dalam diri kita atau orang sekeliling kita?

Betapa bahaya penyakit munafik atau penyakit menyembunyikan sesuatu yang benar ini terutama bagi mereka yang bekerja untuk agama ini. Malah, boleh menimbulkan huru-hara dan perpecahan serta menghilangkan rasa saling percaya antara satu sama lain.

Mari kita kembalikan kejujuran dalam berdakwah.  Ibnu Qoyyim rahimahullah berkata: “Jujur tiga (macam): perkataan, perbuatan dan keadaan”.

  1. Jujur dalam perkataan: lurusnya lisan pada perkataan seperti lurusnya tangkai diatas pangkalnya.
  2. jujur dalam perbuatan: lurusnya perbuatan-perbuatan diatas perintah dan Ittiba’ seperti lurusnya kepada diatas badan.
  3. Jujur dalam keadaan: lurusnya perbuatan hati dan anggota badan diatas keikhlasan.

Kejujuran inilah yang menjadi pasak kuat kepada keimanan dan keberjayaan akan kebangkitan ummat ini. Allah itulah yang paling jujur kepada orang yang benar-benar jujur. Hanya kepada rijalun sadaqu itu dihadiahkan sebuah kemenangan sebagai satu balasan yang paling murni buat mereka.

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah”. (QS. Al-Ahzab: 23).

Mari kita tepati sejujurnya janji kita selaku khalifah dan abid, dan kita selaraskan zahir dan batin. Seperti kata Mutharrif : “Jika yang tersembunyi di dalam batin seseorang, selaras dengan apa yang terlihat, maka Allah berfirman: “Inilah hamba-Ku yang sebenarnya”.

Bahkan, ketika kita berada di saat ujian yang paling dahsyat pun, kita masih lagi jujur!

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, Kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka Itulah orang-orang yang benar”. (QS. Al-Hujuraat: 15).

Moga kita bukan munafik dalam jalan perjuangan ini. Betapa bahaya seorang daie itu munafik lalu dia berhadapan masyarakat.

Tinggallah dia ibarat kayu dan orang tidak akan sedikitpun menerima dakwahnya sepertimana di dalam firman Allah,

“Dan apabila engkau melihat mereka, tgubuh mereka mengagumkanmu. Dan jika mereka berkata, engkau mendengarkan tutur katanya. Mereka seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa setiap teriakan ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari kebenaran)?”(63:4)

sekian,
mylittlepencil

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s