cinta dan kesakitannya

“Love is a sentiment found in the loosing side.”
(Sherlock Holmes-TV Series)

Benar, cinta adalah satu sentimen yang boleh membawa kepada kekalahan jika disalahgunakan. Tapi, boleh jadi satu sentimen yang sebaliknya jika seorang pecinta berjaya memanfaatkannya untuk dirinya sendiri dan menyebarnya kepada orang lain.

1

Zaman kini, terlihat banyak cinta dipersalah lakukan apabila terlalu banyak kesan negatif cinta dalam masyarakat. Cinta tidak lagi dikatakan sejati malah kerap kali membawa kekecewaan. Cinta tidak lagi dikatakan kekal kerana bersifat sementara dan mudah sekali ditukar ganti atau tergadai.

Cinta zaman sekarang tidak lagi cinta seperti dulu. Ibaratnya seorang yang sedang bercinta itu lebih perit berbanding mengecapi bahagia.

Bahtera percintaan kelihatan begitu menyeksakan!
Lalu, takutkah kita untuk bercinta?

Mari, kita cuba kenali satu persatu faktor yang menyebabkan sebuah percintaan itu menyakitkan.

  1. LUPA CINTA ADALAH SATU IBADAH DAN TANGGUNGJAWAB

Kita sering mengambil kesempatan ke atas cinta. Kita menganggap dengan cinta, kita mampu memperoleh segalanya tanpa perlu kita saling memberi. Mudah, untuk bahagia perlu ada konsep saling memberi dan rasa tanggungjawab.

Ramai manusia tidak bertanggungjawab ke atas cinta. Lihat sahaja apa yang terjadi pada anak luar nikah yang dibuang. Anak-anak yang membuang ibu bapa mereka.

Apatah lagi manusia yang tidak menunaikan cinta kepada Tuhan mereka. Hidup mereka sangka lengkap dengan keperluan itu sebenarnya sedang ditinggalkan dari perhatian Tuhan. Jikalau hidup ini hanyalah sekadar melengkapkan keperluan hidup, sedarilah itu bukanlah satu kehidupan.

Hanya sebuah kotak kosong di tepi jalanan. Tunggu masa sahaja dibuang seseorang ke dalam tong sampah ibarat bahan buangan dunia.

Mereka yang tidak menunaikan cinta kepada Tuhan atas faktor utama iaitu tidak dapat menghadirkan rasa kehambaan yang total dalam jiwa, hati, fikiran dan anggota mereka. Mereka tidak merasakan kehambaan itu adalah rasa tunduk, kekurangan, penyerahan, persembahan dan tanggungjawab!

Ya, cinta adalah tanggungjawab dan ibadah yang perlu dilaksanakan. Ibadah yang tidak punya niat khusus adalah lebih menguntungkan kerana apa jua cara(yang dibenarkan syara’) kita boleh gunakan untuk bercinta dengan Tuhan. Tidak perlu kepada syarat wajib atau syarat sah, bebaskanlah diri ibarat seekor burung yang sedang terbang.

Cari dan pilihlah cara sebaiknya untuk menunaikan tanggungjawab cinta sebagai satu lorong atau peluang menjadi hamba ahsanu amala. Sungguh, amal yang terbaik itu adalah amal yang dikerjakan pada waktu dan keadaan yang terbaik, dikerjakan oleh seorang yang baik dan ikhlas sesuai dengan peribadi dan keadaan dirinya.

Inilah kelebihan bercinta, tidak terikat dengan sebarang hukum-hakam dunia malahan tidak terganggu pun dengan keadaan dunia. Lazimnya air itu membasahkan, tetapi bagi mereka yang bercinta tidak terasa!

Cinta juga tidak terikat dengan harga nilai tertentu. Cinta bukanlah boleh dijual beli begitu sahaja, maka mahalkan cinta itu dengan kayanya jiwa yang memiliki cinta.

Falsafah cinta mengatakan bahawa cinta ini jika tidak cuba dicetuskan untuk beberapa saat, percayalah berkurun abad lamanya pun cinta itu tidak akan hadir! Maka, amat rugi bagi manusia yang terlupa untuk bercinta dengan Tuhan mereka.

Khusus bagi mereka para dua’t, menunaikan tanggungjawab cinta kepada Tuhan itu sudah tentunya, maka jangan ditinggalkan manusia di sekelilingnya.

“Katakanlah(Muhammad),”Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (3:31)

Dakwah adalah tanggungjawab cinta seorang daie itu. Dia merasakan dirinya tidak senang duduk tanpa menebarkan cinta kepada manusia di sekelilingnya. Cintanya adalah tanggungjawab adzhim di sisi Tuhan yang Maha Agung, malah cara kekhalifahan dirinya ditunaikan.

Ramai para dua’t kini terlupa bahawa dakwah adalah cinta. Dakwah kini seolah menjadi rutin kewajipan harian tanpa mengembalikan sedikitpun dakwahnya ke sisi Tuhan yang Maha Kaya. Imbuhan-imbuhan dakwah dinikmati tanpa rasa syukur walhal rasa syukur itu bersifat menambahkan!

“Mereka merasa berjasa kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah,”Janganlah kamu merasa berjasa kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kamu kepada keimanan, jika kamu orang yang benar.”(49:17)

Sakit sebenarnya tidak merasakan cinta itu tanggungjawab dan kesannya yang utama adalah pada diri sendiri. Merana sendirian dan akhirnya futur sendiri dalam cinta.

2. SALAH TINGKATAN CINTA

Ramai manusia kini salah meletakkan tingkatan cinta. Dikatanya seorang wanita solehah itu cinta yang menguntungkan tanpa dia sendiri dahulu menjadi seorang yang soleh.

Dia bahagia mencintai dunia  tanpa dia sedari wujudnya cinta dunia yang mendahului akhirat adalah cinta mainan. Ya, kesemua ini berlaku kerana salah menombor dan meletakkan prioritikan cinta.

Salah nombor, maka salahlah urgensi sebuah tanggungjawab cinta ditunaikan. Kerana inilah, kita sering salah langkah dalam menyusun urusan kehidupan seharian. Sama ada, masa terpenuh dengan hal-hal yang tidak penting, atau kita hanya memfokuskan satu hal sahaja dan mencicirkan hal-hal lain.

Cinta Tuhan yang tidak diletakkan di tangga yang pertama secara generalnya memang salah. Namun, kesalahan ni tidak boleh dinampak dengan mata kasar yang merasakan kebahagiaan cinta adalah pada anggota yang memanifestasikannya. Tingkatan cinta adalah urusan iman dalam hati.

Iman yang kuat dan sejati, akan meletakkan cinta yang sepatutnya di tempat yang sesuai. Cinta yang datang sebelum masanya adalah bukti kendalian iman yang kalah. Ini lazim sekali menjadi kesalahan manusia yang akhirnya menatijahkan cinta yang tidak benar.

Tingkatan cinta harus dimuhasabah semula. Bukan pada setakat mana tingginya tempat yang dicinta tetapi setinggi dan sedekat mana kita mahu menghampiri yang dicinta. Sepantas mana tindakan kita juga harus direnung kembali. Malah, seperlu mana kita akan yang dicinta juga mempengaruhi tingkatan cinta itu tadi.

Ada sang pencinta Tuhan akan berlari bergegas mendapatkan Tuhannya ketika kecewa dan kesedihan.

Ada orang yang menyayangi Tuhan tapi dalam masa yang sama, dia mendakap dunia seeratnya.

Lalu, fikirkanlah kembali akan sebuah tingkatan percintaan yang menguntungkan.

Betapa untung,

Allah Ta’ala berfirman, “Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku mengumumkan perang terhadapnya dari-Ku. Tidak ada yang paling Aku cintai dari seorang hamba kecuali beribadah kepada-Ku dengan sesuatu yang telah Aku wajibkan kepadanya. Adapun jika hamba-Ku selalu melaksanakan perbuatan sunnah, niscaya Aku akan mencintanya. Jika Aku telah mencintainya, maka (Aku) menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya, (Aku) menjadi penglihatan yang dia melihat dengannya, menjadi tangan yang dia memukul dengannya, menjadi kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon kepada-Ku, niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta ampun kepada-Ku, niscaya akan Aku ampuni, dan jika dia minta perlindungan kepada-Ku, niscaya akan Aku lindungi.”

3. CINTA YANG DISANGKA MANIS DAN INDAH BELAKA

Sebagaimana orang yang bercinta sebelum nikah, mereka menyangka mereka telah kenal sekenal-kenalnya dengan pasangan mereka. Tetai sungguh, dua tahun pertama adalah kejutan seakan kita sedang mengenali orang yang baru. Segala kelemahannya, ruang peribadinya, ibu dan ayahnya adalah sebuah episod baru dalam kehidupan kita kerana ternyata kehidupan bujang adalah kehidupan yang bebas dan berpusing pada isu menjaga hak diri sendiri semata.

Sangkaan cinta itu manis dan indah, tanpa sebarang masalah dan ujian, pergaduhan dan pertelingkahan. Cinta yang indah selalu adalah cinta yang tiada klimaks dalam perjalanannya. Ternyata, percintaan sebegini tidak indah!

Kerana itu, Allah mencipta makhluknya yang bernama ujian dan cabaran untuk menduga klimaks kehidupan setiap hambanya. Cara seorang hamba menghadapi klimaks ini itulah yang akan menentukan pengakhiran episod cinta tersebut. Mereka yang kalah pada ujian, cinta mereka barangkali perlu dinilai semula. Mereka yang menang akan satu ujian, akan didatangi ujian yang lain pula.

Begitulah kita wahai kader dua’t, cinta akan jalan dakwah dan perjuangan ini sentiasa menduga. Tanpanya, fikrah dan tindakan kita tidak akan matang. Belajar dari kesalahan antara sebahagian besar pelajaran dalam kehidupan kerana dengannya kita akan belajar apakah erti kebenaran yang sebenar.

Betapa penting dalam dakwah untuk kita belajar membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan nilainya mempengaruhi kehidupan kita. Dakwah ini sifatnya memang benar tetapi bahagian manusia yang membawanya itu penuh kelemahan  kerana manusia ini penuh kekurangan.

Dengan ujian dan cabaran juga, setiap kader dua’t akan kenal akan peribadi sebenar diri mereka. Sungguh, mengenal peribadi sendiri dan perihal respon kita tatkala menghadapi sesuatu membentuk akhlak kita selaku dua’t. Ternyata, mengubah akhlak itu lebih susah bukan berbanding mengubah nilai ibadah?

 

Konklusinya, dari mana terhasilnya cinta hangat-hangat tahi ayam, buat sekadar mana mahu, tinggal mana yang boleh ditinggalkan kesalahan besarnya adalah pada diri sendiri.

Cinta bukan begini. Cinta perlu dikerjakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh barulah pulangannya syurga!

Cinta yang benar adalah cinta yang punya  target jangka pendek dan panjang. Cinta yang punya tummuhatnya.

Cinta Allah sudah terlalu sempurna, yang tinggal lagi adalah kesempurnaan cinta kita kepadanya. Dakwah juga telah sempurna, terpulang pada kita untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Jika berlaku kefuturan dalam cinta, jangan cari manajemen yang salah untuk mengurusnya. Cari cara yang betul dan padamkan kekecewaan. Menerima kenyataan, berfikiran positif dan memulakan satu permulaan baru tidak pernah terlambat.

Jangan sakit dan seksa diri sendiri dalam bercinta!

Sekian,
mylittlepencil

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s