Muhasabah Jubli Perak

1. Memberi sebagai murabbi, menerima sebagai mutarabbi

[SEPANJANG MENJADI MURABBI]
Menjadi murabbi pastinya mempunyai nilai tambah selain ditarbiyyah di dalam halaqah mahupun wasilah tarbiyyah yang lain. Mempunyai mutarabbi adalah satu manfaat besar buat dirinya.
-Dia belajar menerima kekurangan diri sendiri dan mutarabbi, serta bersikap mudah sekali untuk memaafkan. Malah, dia mengajar bagaimana untuk menjaga mutarabbi dan dirinya dari kesalahan tersebut. Dia semakin faham bahawa setiap kesalahan yang dilakukan adalah kerana kurangnya kefahaman, maka dia selaku murabbi lah yang perlu menyedarkan dan mengingatkannya.
-Sekurang kurangnya dia belajar untuk menjaga aqidah, amal dan akhlaknya secara berperingkat. Malah, lebih kuat penjagaannya kerana dia merupakan qudwah kepada binaannya sendiri dan ummah ini!
-Dia bersyukur apabila setiap keaiban dirinya disembunyikan daripada pandangan manusia sekelilingnya. Dia mengerti ini adalah peluang dari Allah yang sentiasa mahu dirinya bermujahadah, bukanlah sewenang-wenangnya merasa selamat. Bahkan, ia merupakan pertolongan dari Allah!
-Dia tidak lagi boleh mengendahkan mutabaah amalnya begitu sahaja kerana ia pelajari jalan membina manusia ini memerlukan satu bekalan yang kuat. Setiap inci amal ibadahnya, ia mendidik hatinya untuk terus khusyuk bersama Tuhannya. Setiap bekalan dakwah itu adalah nyawa bagi nafas yang panjang ini.
2. Berlapang dada dengan aman dan tenang. bukan ketika itu sahaja, malah selama lamanya
Berlapang dada ini meliputi pelbagai perkara apabila daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara, terutama hal-hal yang melibatkan ukhuwwah.
Berlapang dada menerima kelemahan atau kelakuan orang lain yang kita kurang gemar, berlapang dada untuk mendidik diri kita bertahan dalam satu suasana yang kita kurang gemar, berlapang dada apatah lagi menerima kesalahan kita ditegur secara terbuka mahupun tertutup.
Masih di peringkat awal, jika dibandingkan dengan saya, masyayikh kita telah banyak diuji dengan hal ini. Berlapang dada bukanlah sekadar menerima sesuatu itu dengan terbuka. Malah, kita lakukannya dengan begitu aman dan tenang.
3. Pengorbanan tak kira masa, tempat dan ketika. Tanpa perlu mengira nilai pengorbanan itu sendiri, pengorbanan tetap perlu dibuat. 
Pengorbanan jiwa dan raga menggabungkan diri dengan jemaah dakwah.
Saya mengira inilah tindakan yang betul untuk saya sendiri mengubah diri dan ummah manusia secara keseluruhannya. Sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya yang bertajuk Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini.
Tidak memadai sekiranya kita sekadar memelihara kesucian diri sendiri dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah. Apatah lagi untuk mengatakan bahawa kita telah sampai pada satu zon selamat kononnya kerana kita tidak berjaya diperdayakan oleh orang yang sesat kerana aku telah mendapat petunjuk!
Islam bukan sekadar menuntut kita untuk mencari marhalah mengislah diri sendiri, malah marhalah untuk berdakwah kepada seisi  ummah juga dituntut. Islam menuntut agar kita tetap dalam marhalah membina diri dan manusia (proses siap untuk dibina dan membina).
Kerna itulah marhalah bergabung jiwa dan raga dan bersedia untuk berkorban ke dalam jemaah islam terletak dalam tangga yang pertama.

“Kamu bergabung jiwa raga ke dalam jemaah Islam yang ikhlas dalam perjuangan, meyakini bahawa Islam sebagai agama dan daulah, Al-Quran sebagai manhaj dan perundangan, sejarah Islam sebagai tempat kebanggaan dan ikutan, tamadun Islam sebagai ruh dan pemikiran, bergabung dengan harakah dakwah Islamiah sebagai benteng pertahanan dan sumber semangat. Kamu bergabung dengannya kerana pertolongan Allah adalah bersama jemaah. Kerana amal fardi tidak memberikan hasilnya yang diharapkan di dalam usaha pengislahan dan perubahan. Kerana serigala tidak akan memakan kecuali kambing secara bersendirian.”
(ustaz Abdullah Nasib Ulwan)

Pengorbanan ini pastinya memerlukan mujahadah yang teramat tinggi kerana pemuda pemudi dakwah harus menentang arus. Mereka bukan seperti pemuda lain yang sezaman mereka, mereka perlu berkelakuan seperti pemuda 1400 hijriah dahulu. 
4. Sikap yang buruk beri impak besar dalam dakwah.
Akhlak yang baik itulah yang mengindahkan perjalanan dakwah ini. Sikap yang buruk memberikan impak besar sama ada jangka masa pendek atau panjang. 
Akhlak mulia yang bukan seruan untuk seisi manusia namun menjadi seruan buat diri kita. Akhlak yang baik yang mampu untuk mempengaruhi manusia dengan baik, manusia tidak ragu-ragu lagi untuk menerima dakwahnya. Sungguh inilah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Sebuah hadis berbunyi:”Sesiapa yang menyuruh melakukan kebaikan maka dia hendaklah melaksanakannya dengan baik.”
Sebuah hadis lagi berbunyi:”Sesungguhnya apabila lemah lembut berada pada sesuatu maka ia akan memperelokkannya, dan apabila ia luput daripada sesuatu maka ia akan menghodohkannya.”
5. Isti’jal, di kala ini kesabaran yang baik menjadi pegangan dalam merancang gerak kerja dakwah.
Satu sikap saya yang perlu dimuhasabah adalah akal yang terlalu ligat mengutarakan satu demi satu hal yang perlu diselesaikan. Sikap yang tidak sihat/sikap bersegera ini jika tidak diposisikan pada keadaan dan perkara yang sesuai, akan menyusahkan manusia sekeliling dan pengurusan dakwah itu sendiri.
Pernah satu ketika, saya pernah dinasihat “Sabar ya.” Saya merasa begiu terketuk dengan hanya teguran tersebut. Bukannya sedang marah, malah terlebih banyak membangkitkan urusan-urusan yang belum selesai. Ketika inilah saya memahami istilah kesabaran yang baik.

Kesabaran yang baik adalah kesabaran diletakkan di tempatnya. Asy-Syaukani memahami perintah bersabar yang didampingi dengan perintah menjauhkan diri dari mereka dengan cara yang baik dalam ayat ini sebagai sebuah sikap yang tidak disertai dengan hinaan atau umpatan terhadap perbuatan buruk mereka. Atau maknanya tidak memperdulikan apa yang mereka perbuat, begitu juga tidak berusaha membalasnya meskipun memiliki kemampuan untuk itu.



6. Muhasabah kebujangan (jangan sampai bujang menjadi hawa nafsu kita sendiri tanpa memikirkan cara untuk menyelamatkan diri dari fitnah hawa nafsu dan dakwah ini sendiri)
Menyebut tentang perkahwinan (satu isi yang tidak akan habis sekiranya akal kita berulang kali memikirkan hal yang sama), ramai di antara rakan sekatibah saya mendirikan rumah tangga tahun ini. Jujurnya, saya lega dan bersyukur apabila ikhwah akhawat terutamanya menjadi orang terpilih untuk melengkapkan separuh lagi urusan keimanan mereka.
Namun begitu, saya juga berasa sedikit terkilan kerana masih ada ikhwah akhawat yang tidak membuka sepenuhnya jiwa mereka dalam menerima perkahwinan sebagai satu jalan untuk menjaga dakwah. Mereka bukannya orang yang tidak hebat, malah mereka sudah yakin akan tujuan baitul muslim tetapi di manakah mereka?
Mereka lebih mengutamakan hidup membujang daripada hidup berumahtangga. Mereka berada di pintu kehanyutan, berpaling ke arah cengkaman maksiat dan mencampak jauh ke belakang segala akhlak mulia yang dicari-cari dan segala perlakuan tinggi yang diharap-harapkan.
Menolak segala alasan yang logik (kewangan, izin ibu ayah dan pelbagai lagi), kadang-kadang mereka memberi alasan kenapa mereka tidak berkahwin dengan hujah-hujah yang Allah tidak menerimanya sebagai hujah bahkan ia hanyalah merupakan bisikan hawa nafsu dan syaitan seperti mereka berkata:”Kenapa kita ingin berkahwin sedangkan perkahwinan merupakan bebanan dan tanggungjawab?Kenapa kita membentuk keluarga sedangkan dengan berkeluarga kita terpaksa berjaga malam dan bekerja di siang hari? Kenapa kita mengeruhkan kejernihan hari-hari dan kenikmatan hidup kita dengan mencampakkan diri ke dalam kepayahan dan fitnah kehidupan?”
*tak nak nikah, tapi bergelumang dalam masalah ikhtilat boleh tahan LOL*
Menjadi seorang murabbi, kita sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mutarabbi kita termasuklah bakal pasangan hidup mereka yang sebolehnya menyokong dan bersama mereka dalam gerabak dakwah ini. Terkadang apabila jadi begini, lambatnya kefahaman dan kesediaan menjadikan saya menjadi sedikit terkilan dalam usaha pentakwinan. Terasa juga tempias malas untuk membina (kena tajdid niat semula) dan soalan demi soalan timbul. 
Semestinya keyakinan saya selaku manusia masih lagi berpaksikan aqidah yang benar bahawa jodoh adalah rahsia dan dihadiahkan buat manusia manusia telah ditaqdirNya. Namun, susahnya hati ini ada juga apabila ibu dan ayah kepada anak mutarabbi mula bertanya ataupun lamaran dari ‘luar’ mula sampai. Saya cuba membantu sebaiknya dan selebihnya saya menyerahkan kepada Allah.
Buat mutarabbi saya khususnya, saya berharap mereka bersedia untuk memperkukuhkan tarbiyyah dzatiyyah dan fikrah mereka (termasuk pesanan menjaga pandangan, berterusan puasa sunat,  menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang memberansangkan hawa nafsu, memenuhi masa-masa kosong dengan perkara bermanfaat, bersahabat dengan orang soleh, mempertingkat muraqabah dengan Allah ketika sunyi dan ramai), mungkin sahaja mereka tergolong dalam golongan andartu dakwah  dan saya harap mereka tidak diuji dengan hal ini, malah bersedia untuk berpoligami!

7. Menguruskan pemikiran, urusan dan emosi dgn baik dan hikmah selaku seorang daie
Dakwah dan tarbiyyah memerlukan penyusunan terperinci dari segi urusannya, akalnya mahupun emosi kita ketika melaksanakannya. Sungguh ironi apabila seorang daie itu kelihatan begitu serabut, tidak kemas, tidak teratur masanya malah kelam-kabut, perasaan yang selalu tidak stabil sehingga hanya menampakkan aura-aura negatif sahaja.
Fokus kita perlu dilatih sebagaimana solat lima waktu sehari semalam. Kita memberi keutamaan pada urusan yang penting dan perlu diselesaikan segera. Jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah perlu dicari sebaik dan sehikmah mungkin.
Inilah yang saya pelajari sepanjang berada di atas jalan ini. Masa saya terisi dengan hal-hal yang lebih berfaedah, meskipun sibuk dan sedikit kepenatan namun saya tetap berpuas hati apa yang saya kecapi hingga saat ini *cuma buku sendiri sahaja yang tak tertulis lagi*
Fasa awal selepas melepaskan tanggungjawab  sebagai qiyadah menjadikan saya agak terpinga-pinga kerana rasa sedikit kosong tanpa kerja-kerja yang biasa dikendalikan. Hilang satu punca saham yang ingin dipertaruhkan di hadapan Allah nanti meskipun tidaklah seberapa. Walaubagaimana pun, saya sempat berjumpa dengan dua orang akhawat tercinta dan menyenaraikan seberapa banyak mungkin sumbangan yang boleh diberikan sebagai jundiyah dakwah.
Sekian. 

   

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s