Istiqamah yang berpanjangan 

Bismillah.

Susahnya untuk istiqamah, apatah lagi menjaga nilai istiqamah itu sendiri dalam setiap satu amal kebaikan (terutama ibadah khusus diri sendiri) dalam kehidupan seharian.
Manusia seperti kita yang sememangnya ada dua fasa melanda kehidupan, sama ada menaik atau menurun. Inilah perkadaran iman yang dimiliki dan jarang sekali kita mengaitkannya dengan istiqamah.
Kita menganggap istiqamah dan iman adalah dua perkara yang berbeza. Satu anggapan yang salah sekiranya iman sahaja yang menjaga istiqamah sedangkan istiqamah juga adalah satu ‘ibadah’ untuk menjaga keadaan iman itu sendiri.
Kebergantungan yang wujud antara iman dan istiqamah adalah satu keperluan untuk semua mukmin seluruh muka bumi. Menyeimbang dan menunaikan hak ke atas keduanya bergantung pada tuan punya badan kerana tiada siapa selainnya mampu menjaga melainkan individu tersebut.

Amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tapi terputus. Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan.”
(Sahih Muslim)

Fasa imtihan adalah salah satu fasa yang menguji iman dan istiqamah bermula dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Sungguh, ‘masuk gua’ bukanlah satu keadaan yang selamat. 
Malah, ramai dalam kalangan kita banyak ber’tukar rupa’ hanya kerana berada dalam fasa imtihan. Kita terlupa, salah satu cara untuk meningkatkan iman adalah berjumpa dengan rakan rakan dan mengambil nasihat daripadanya. Kita juga terlupa, cara untuk mengekalkan istiqamah adalah dengan melihat kesungguhan rakan-rakan lain yang berjaya menjaga ibadah mereka.
1. Mula berkira-kira antara masa membaca Al Quran dan membaca buku buku pelajaran. Memilih untuk solat sendiri berbanding solat berjemaah seperti biasa. Tidak lagi duduk sekali bersama ahli rumah yang lain ketika makan. Hal sebegini arakiannya kelihatan bermanfaat untuk masa pembelajaran, tetapi tidak sihat untuk menjadi amalan yang menjaga iman kita.
2. Satu lagi keadaan kelompok manusia, keimanan dan istiqamahnya terjaga ketika fasa imtihan namun setelah selesai dia kembali kepada keadaan yang lama. Imtihan tidak mampu untuk menjadi asbab kepada penerusan untuk kedua-duanya terus terjaga.
Kedua-dua perkara di atas menjadi ‘sindrom’ tanpa sebab yang nyata walaupun berkali-kali kita melalui fasa imtihasehingga tamat pengajian. Akhirnya, imtihan yang datang bertukar ganti gagal menjadikan kita seorang pelajar yang lebih baik untuk menghadapi imtihan-imtihan yang seterusnya.
Hayatilah bahawa imtihan-imtihan dunia ini adalah satu penyediaan buat kita untuk menghadapi akhirat yang ternyata lebih besar daripadanya. Fasa ini hanyalah salah satu cabang kecil daripada perancangan Allah ke atas kita.
Ibarat kertas yang berupaya menyihir manusia, amat susah untuk merasai akhirat dalam imtihan kerana kita hanya melihat natijah duniawi. Kita terlupa akan natijah-natijah akhirat yang akan dikurniakan Allah kepada kita dan sungguh, itulah yang lebih kekal bersama kita.
Dikongsikan di sini, tips kecemerlangan mengikut acuan rabbani sebagaimana yang telah difirmanNya dalam surah Al-Mukminun: 
1. Keyakinan yang menunjang tinggi kepada Allah.
“Sungguh, beruntunglah (berjayalah) orang-orang beriman.” Ayat ini menambahkan lagi keyakinan kita bahawa salah satu asbab untuk berjaya adalah menjadi manusia yang lebih beriman. Jangan khuatir, iman itu sendirilah yang akan menjadi motivasi buat kita dalam terus berusaha.
2. Khusyuk solat dan fokus dalam menyelesaikan setiap satu urusan.
“(Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.” Ayat ini pula memberi dua tips sekaligus. Allah mengajar kita untuk solat dengan penuh khusyuk. Hasilnya, solat yang khusyuk itu menjadi latihan untuk kita fokus dalam pembacaan setiap satu fakta yang terkandung dalam buku pelajaran. Tiada ruang untuk fikiran kita menerawang kepada perkara lain. 
3. Prioriti dalam hal hal yang berfaedah.
“Dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna,”. Fasa imtihan menjadikan kita cenderung memilih perkara-perkara yang tidak sihat atas alasan ingin rehat sebentar dari belajar. Kita jarang sekali mengoptimumkan masa untuk menyelesaikan hal-hal berfaedah (terutamanya hal hal tertangguh yang patut diselesaikan) seperti melipat kain baju, menelefon ibu dan ayah, atau senaman sekadarnya buat seketika. Bukankah hal-hal berfaedah sebegini lebih merehatkan jiwa kita?
4. Prihatin kepada orang di sekeliling.
“Dan orang yang menunaikan zakat,”. Zakat adalah satu kewajipan yang disyariatkan oleh Allah untuk membersihkan harta kita sekaligus meringankan bebanan ummat Islam seluruhnya. Dalam erti kata yang lain, bayaran zakat ini mampu menjadikan kita seorang Muslim yang lebih prihatin. Walaupun berada dalam keadaan tertekan (imtihan), tidak cukup kuat alasan tersebut untuk kita hanya mementingkan hak-hak diri sendiri dan melepaskan begitu saja hak manusia lain di sekeliling.
  
Bismillahi tawakkaltu ‘alallah.
Moga istiqamahnya berpanjangan dan selamat menduduki imtihan!
Advertisements

3 thoughts on “Istiqamah yang berpanjangan 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s