Sebuah risalah pergerakan 2: harakah islamiyyah

Bismillah.

Sebuah risalah pergerakan yang sebelum ini, saya kongsikan tentang keperluan untuk seorang mukmin itu terus bergerak. Bergerak dalam membawa satu perubahan Islami yang besar dalam ummah.

Pentingnya untuk orang yang erti hidupnya untuk bergerak, dia harus menggabungkan dirinya dengan mana-mana harakah Islamiyyah. Kelebihannya, kita dapat berbahagi tugas, merancang amalan yang lebih berhasil, berjalan jauh sama sama, menempuh dan menelan segala kepahitan bersama.

APA ITU SEBUAH HARAKAH ISLAMIYYAH?
Saya teringat akan teks ucapan seorang pendakwah hebat di Pakistan satu ketika dahulu. Beliau mengingatkan kembali akan erti syahadah yang sebenar. Syahadah kebenaran yang mengangkat darjat ummat manusia menjadi ummat pertengahan. Rasullullah SAW menyampaikan kepada kita risalah dakwah ini, maka kini tibalah giliran kita pula untuk menyampaikannya!

Di akhir pidato beliau, beliau menawarkan para penontonnya untuk menggabungkan diri dengan jemaah. Terpulang untuk menyertai jemaah beliau, memilih jemaah lain, ataupun mewujudkan jemaah sendiri. Tetapi, perlulah dipastikan agar jemaah yang itu menjalankan amal risalah dakwah ini.

Sebelum memahami sebuah harakah islamiyyah, kita hendaklah terlebih dahulu memahami apa itu erti beramal untuk Islam yang sebenarnya. Hakikatnya, bukanlah Islam itu hanya sampai kepada individu-individu atau menjadi amal peribadi semata (baik sendiri-sendiri), malah kita mahu seluruh alam ini mengikut syariatNya. Sampailah satu hari nanti, kita tidak mahu seorang manusia pun cuai dari memikul tanggungjawab kerja-kerja menegakkan Islam.

Mudahnya, beramal untuk Islam ini adalah wajib.

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat sekalian makhluk.”(2:159)

Apatah lagi dalam keadaan darurat zaman moden ini!

Islam dihina dan umatnya berada dalam penuh penderitaan. Darurat inilah yang menuntut kita untuk benar-benar merasakan urgensi tarbiyyah dan melancarkan harakatul inqaaz (gerakan penyelamat) demi mencapai taraf khairu ummah. Malah, beramal untuk Islam ini wajib ke atas individu mahupun jemaah.

“Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri.”(29:6)

Namun realitinya, sangat berat untuk memikul tanggungjawab beramal untuk Islam ini seorang diri. Maka, keadaan ini menuntut kita untuk mewujudkan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan jemaah) yang menyeluruh serta mencakupi segenap amal.

Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih(dari kumpulannya). (Hadis Rasulullah SAW)

Sebuah harakah Islamiyyah adalah sebuah tanzim alami yang merangkumi para petugas dalam arena dakwah di seluruh pelosok muka bumi. Tertakluklah apa jua nama yang hendak digunakan. Pastinya, kita faham akan tugas yang perlu dijalankan.

Peranan kita secara umum ialah tegak berdiri menghadapi serangan arus taghut yang berdiri dari tamadun kebendaan, peradaban yang mementingkan kemewahan dan nafsu syahwat, yang telah meratah bangsa-bangsa umat Islam. Tamadun ini telah menjauhkan umat dengan kepimpinan Nabi SAW dan petunjuk Al-Quran, ia telah menghalang alam sejagat ini daripada cahaya petunjuk dan menyebabkan umat Islam mundur terkebelakangan beratus-ratus tahun. Peranan ini mestilah berterusan sehinggalah bumi kita bebas dari belenggunya dan bangsa kita terselamat dari balanya. Dan peranan kita bukanlah terhad di sini sahaja malah kita akan menghadapi dan memerangi peradaban tersebut di bumi tempat kelahirannya sehingga seluruh alam ini akan melaungkan nama Nabi Muhammad SAW sehingga manusia semuanya meyakini Al-Quran dan naungan Islam akan memenuhi alam. Pada saat inilah tercapainya cita-cita seorang Muslim, maka di kala itu tiada lagi fitnah ke atas agama ini dan jadilah agama ini semata-mata bagi Allah.(ISHAB)

Peranan sebuah harakah Islamiyyah:
1) Menyediakan segala bentuk tenaga dan kemampuan yang diperlukan untuk menghancurkan kerajaan taghut.
2) Menjelaskan bahawa Islam adalah satu-satunya manhaj(sistem) yang tunggal dan unik.
3) Mengawasi langkah-langkah yang menyebabkan sistem berkenaan boleh hidup lebih lama dan supaya langkah-langkah itu tidak menjadi pukulan maut kepada harakah Islamiyyah.

CIRI-CIRI SEBUAH HARAKAN ISLAMIYYAH
Ciri-ciri sebuah harakah islamiyyah terbahagi kepada ciri-ciri yang umum dan khusus.

Ciri-ciri umum:
1. Gerakan yang bersifat rabbaniyyah
2. Gerakan yang memiliki sifat tersendiri
3. Gerakan pembawa kemajuan
4. Gerakan yang syumul
5. Gerakan yang menjauhi perselisihan masalah feqah

Ciri-ciri khusus:
1. Menjauhi pengaruh pemerintah dan ahli-ahli politik
2. Beransur-ansur dalam setiap gerak langkah
3. Mengutamakan kerja dan hasil dari propaganda
4. Siasah nafas panjang
5. Amal terus-terang dan nafas rahsia
6. Pengasingan jiwa bukan jasad
7. Matlamat tidak menghalalkan cara

Ciri-ciri yang dimiliki oleh sebuah harakah islamiyyah menunjukkan beberapa penegasan. Antaranya ialah dalam membawa sebuah kebenaran adalah datang dari Allah semata dan wajib bagi kita mempertahankan kebenaran ini.

Persediaan adalah persediaan orang-orang yang terdahulu dari kita dan senjata yang digunakan oleh pemimpin besar kita dan ikutan kita Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam memerangi alam ini dengan bilangan yang kecil dan harta kekayaan yang sedikit tetapi dengan pengorbanan yang benar, itulah yang akan menjadi senjata kita untuk memerangi alam ini sekali lagi. (ISHAB)

PENGGABUNGAN DIRI DENGAN SEBUAH HARAKAH ISLAMIYYAH
Menggabungkan diri dengan sebuah harakah islamiyyah bukanlah bererti semata menjadi ahli yang mendaftar semata dan memiliki nombor keahlian, malah lebih dari itu. Menggabungkan diri dengan Islam itu sudah semestinya dan berada dalam tangga penggabungan yang pertama.

Penggabungan kedua adalah penggabungan masa depannya dengan masa depan jemaah. Susah senang dan segala hasil syura jemaah tidak terbatas pada hal-hal tertentu contohnya penggabungan yang hanya berlaku ketika muda dan belia, pada waktu keaddan dan aman damai kemudian menghilang ketika ditimpa bala dan ujian.

Penggabungan ini mestilah bersifat kekal, tidak bercerai-berai , tidak berundur ke belakang dan tidak cabut lari sehingga ia kembali menemui Tuhannya.(Fathi Yakan)

“Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata:”Kami beriman kepada Allah.” Kemudian apabila dia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, dia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu dia taatkan manusia) dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata:”Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu.” (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk? Dan sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang yang beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafiq.”(29:10-11)

Memahami ayat di atas, kita harus tetap pendirian untuk menjadi para penolong agama Allah! Kita mesti faham akan lima perkara yang penting iaitu:

1. Matlamat perjuangan yang jelas.
2. Jalan menuju matlamat yang jelas.
3. Gerakan yang bersifat merubah (taghyir).
4. Gerakan yang bersifat menyeluruh.
5. Gerakan yang bersifat global (alamiah).

Sekian,
mylittlepencil

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s