hangatnya pernikahan berbanding dakwah

Ah, artikel ini tiada kaitan langsung dengan Ramadhan. Tetapi punya kaitan dengan apa yang bakal berlaku selepas Ramadhan. Bahkan, tumbuh ibarat cendawan selepas hujan.

Tahun ini menyaksikan saya dan para akhawat ditarbiyyah dengan begitu hebat. Usia yang semakin meningkat menjadikan kami lebih berfikir dengan lebih matang dan banyak perkara terutamanya yang terkait dengan masa hadapan.

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami-dan dia adalah orang yang benar lagi dibenarkan:- “Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selama empat puluh hari sebagai mani, kemudian dia menjadi ketulan darah seperti tempoh tersebut juga (empat puluh hari), kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan ruh padanya. Lalu, dia (malaikat) disuruh oleh Allah supara menulis empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya! Sesungguhnya di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada di antaranya dengan syurga kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu diapun memasukinya (neraka). Di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada di antaranya dengan neraka kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu diapun memasukinya (syurga)”.

(RW Imam Bukhari)

Saya lebih menyukai berbincang dengan para akhawat dengan cara personal (one-to-one communication) dan topik perbincangan yang paling hangat adalah perihal pernikahan. Soal kerjaya, mad’u, dakwah pada masa hadapan bukanlah tarikan buat masa ini.

cincin

Arakiannya, dahulu saya tidak suka berbual mengenai hal ini kerana hal ini terkait dengan rezeki masing-masing. Rezeki dari Allah  Maha Pemberi Rezeki, yang tiada siapapun yang dapat meneka bila masa mereka akan mendapat rezeki untuk menjadi orang bertuah meraikan sunnah Rasulullah SAW itu.

Apakah kami telah terlupa akan sunnah Baginda SAW yang lebih besar itu?
Apakah kehangatan kami untuk didampingi pasangan lebih hangatnya berbanding dakwah?
Adakah dakwah dan tarbiyyah itu telah hilang sengatnya dalam hati-hati kami?

Ya, saya biarkan soalan ini untuk dijawab sendiri…
Mari kita teruskan pembacaan.

Menjelang cuti dari musim belajar, semakin bertalu-talu jemputan perkahwinan yang saya dapat. Kesemuanya tidak dapat saya hadiri kerana kuliah tahun ini yang panjang. Peperiksaan akhir tahun pula pada bulan September nanti menyebabkan saya tidak berasa yakin untuk pulang ke ibu negara tercinta.

Tidak menang tangan saya untuk membalas kesemua jemputan. Hanya doa yang mampu saya kirimkan agar mereka dipermudahkan segala urusan sebelum, semasa dan selepas mereka mendirikan Baitul Muslim.

Ternyata, jemputan seperti ini juga menjadi satu dugaan buat manusia-manusia beriman lagi-lagi menjelang bulan Ramadhan. Moga-moga Ramadhan datang kali ini untuk menyelamatkan iman kita semua yang diduga dengan fitrah manusiawi yang satu ini.

Ya Allah, moga kepanasan Ramadhan ini mampu meleburkan nafsu-nafsu kami!

Tiada siapa yang tidak mahu berpasangan sedangkan haiwan pun berpasangan. Perkara ini cukup untuk menghantui masa hadapan terutamanya melihat orang yang lebih muda dari usia kita bernikah terlebih dahulu.

“ Mengapa bukan aku ya Allah?”

Mari saya ceritakan satu persatu keadaan mengapa membuatkan perkara ini begitu sulit buat iman-iman para dua’t sekarang.

 

  1. USIA
    Saya bagi contoh keadaan supaya lebih senang untuk digambarkan. Di satu tempat, jika ikhwah senior ramai berbanding akhawat yang senior mungkin tidak akan menjadi masalah. Di satu tempat yang lain, di mana akhawat senior itu ramai dan ikhwah pula junior majoritinya.

Jelas ini menjadi satu masalah kerana faktor usia menjadi faktor terpenting bagi sesetengah orang. Tidak ramai sanggup untuk melakukan sebagaimana Rasulullah SAW yang bernikah dengan wanita yang 15 tahun lebih tua darinya.

Keadaan ini menjadikan sesetengah akhawat (mungkin ikhwah juga) sedikit tertekan terutama apabila bila ikhwah dan akhawat yang junior ‘langkah bendul’. Kalau dikumpul cincin atau sepersalinan pakaian yang harus diberikan oleh ikhwah dan akhawat junior yang telah bernikah terlebih dahulu, saya pasti sudah banyak koleksi diri sendiri!

 

  1. MUSTAWA TARBIYYAH
    Permasalahan ini juga seperti di atas. Keseganan tahap maksima berlaku dalam kalangan ikhwah dan akhawat yang melihat orang yang lebih qawiy berbanding mereka. Ikhwah segan melihat akhawat yang lebih qawiy dan begitu juga dengan akhawat. Masing-masing merasa tidak layak dan perkara seperti ini juga  lambat-laun menyebabkan ikhwah dan akhawat tertekan.

 

  1. BUKAN ANAK PAK CIK MAK CIK
    Kini, inilah faktor yang menjadi paling hangat. Pernikahan sesama anak pak cik dan mak cik yang semakin ramai dalam jemaah membuatkan mana-mana ikhwah dan akhawat yang bukan berstatus demikian rendah diri.

 

“ Apakah aku tidak layak untuk menjadi menantu mereka?”

Pernah ada seorang ukhti menyatakan kepada saya akan kekecewaannya terhadap perkara ini. Pandangannya mungkin pak cik mak cik tidak mengenali ikhwah dan akhawat selain dari anak mereka maka kita bukan berada di senarai teratas untuk menjadi keutamaan untuk disusun di dalam perkahwinan.

 

  1. KEFAHAMAN
    Ada dalam kalangan ikhwah dan akhawat masih tidak mampu faham akan kepentingan untuk bernikah meskipun sudah lama ditarbiyyah. Malah, lebih buruk lagi jika tidak merasai sebuah perkahwinan ini mempermudah urusan dakwah.

Susah untuk menerapkan kefahaman dalam kalangan ikhwah akhawat untuk mereka saling menjaga antara satu sama lain. Tidak ramai ikhwah yang faham bahawa mereka perlu untuk menjaga akhawat dan akhirnya tinggallah akhawat itu sendirian bersama kekecewaannya.

 

  1. SUDAH PUNYAI PILIHAN MASING-MASING
    Ya, ikhwah dan akhawat yang sudah punyai pilihan masing-masing. Lazimnya, ikhwah atau akhawat akan merasa pelik apabila yang menjadi pilihan itu bukanlah dalam kalangan mereka. Mereka lebih tegar memilih orang luar atas faktor-faktor tertentu.

 

Sedikit sebanyak faktor ini juga mempengaruhi kerana rasa suka atau cinta itulah adalah fitrah manusia yang tidak dapat ditolak dan didustai. Maka, kita tidak dapat menidakkan pilihan hati seorang ikhwah mahupun akhawat.

 

******

Ketahuilah, bahawa nisbah (dahulu) bilangan ikhwah: akhawat adalah 1:20. Ah terlalu jauh ikhwah untuk mengejar bilangan akhawat yang terlalu ramai. Tidak logik akal juga kita mewajibkan untuk setiap ikhwah berkahwin empat hanya kerana nisbah ini.

Saya menyarankan agar  ikhwah memikirkan nisbah ini dengan lebih rasional dalam kerangka memperhebat serta gigih dalam gerak kerja dakwah. Masa kini bukan lagi masa untuk bermain-main.

Kelima-lima faktor utama ini banyak memberi kesan akan cara kita berfikir tentang baitul Muslim yang disusun jemaah sampaikan kita hilang keyakinan akan susunan ini.

Idealnya pasangan suami isteri yang berstatus ikhwah dan akhawat tidak lagi kita peduli kerana bosan menunggu. Bahkan kita merasakan susunan ini begitu lambat sehingga kita terpaksa mencuba begitu banyak cara lain asalkan kita boleh bernikah di samping dapat mengubat kekecewaan.

 

Minta keluarga sahaja yang carikan/menerima pilihan keluarga.
Minta tolong kawan-kawan sekolah carikan.
Mengisi mana-mana borang BM selain dari borang BM jemaah.

 

Tidak saya katakan mengisi borang Baitul Muslim jemaah akan menjamin 100% idealnya sebuah perkahwinan itu. Kerana ada juga cerita-cerita pahit yang saya dengar. Terletak pada kita yang memahami untuk tetap berusaha dengan cara sedemikian kerana kita yakin dengan maratib amal yang disusun oleh Iman Hassan Al-Banna.

Soal perkahwinan ini ibarat urusan kematian cuma bezanya adalah perkahwinan ini adalah satu hal yang tidak pasti sebagaimana kematian. Setiap manusia pasti mati. Tetapi, bukan semua manusia akan berkahwin. Alangkah hebatnya bagi mereka yang berimpian untuk bernikah sahaja dengan bidadara/bidadari akhirat berbanding di dunia!

Soal perkahwinan adalah satu hal yang terbatas dek kerangka masa yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Peluang untuk bernikah ini akan datang buat manusia-manusia yang telah dipilih oleh Allah. Maka, bagi manusia yang tidak dipilih oleh-Nya pasti ada hikmah yang terlalu besar buat mereka.

Pernah ada seorang ukhti menangis sendirian memikirkan hal ini. Katanya mengapa Allah tidak memilih orang-orang seperti kita untuk bernikah terlebih dahulu.

“ Kita ditarbiyyah untuk menjaga batas perhubungan lelaki dan perempuan. Lalu, kita tundukkan  pandangan mata dan menjaga akhlak. Mudah sahaja dilihat orang di luar sana bebas berpasang-pasangan dan kemudian bernikah. Mengapa bukan urusan kita yang Allah mudahkan?”

Aku menepuk bahunya dan menangis bersamanya kerana sedikit sebanyak aku merasai keperitan itu. Keperitan di mana kita akan menyoal kepada Allah terlalu banyak dan mengharapkan apa yang sepatutnya kita dapat.

Bahkan diri aku sendiri pernah berpesan kepada seorang ustazah, “Ustazah, andai ana tak bernikah sampai ke tua, ustazah pegang tangan ana dan ingatkan ana untuk kekal dalam jalan dakwah ini sebab Allah. Andai kata disebabkan tidak berkahwin ini mendatangkan fitnah, ustazah pegang tangan ana dan berikanlah kekuatan pada ana saat itu.”

Semalam baru sahaja aku bertanya kepada seorang ukhti, “Apa plan enti kalau sampai ke tua enti tidak berkahwin?”

Dia terdiam seketika sebelum menjawab kepadaku.

Kesabaran kita semakin meningkat tahapannya diuji. Kini, kita diuji dengan sabar akan segala ketentuan dan takdir Allah terutamanya perkahwinan. Pastinya kita tidak dapat menghalang kehendak Allah atas setiap hamba-hamba-Nya. Di saat kita sudah selesai dengan lima rukun iman, kita diuji dengan rukun iman yang terakhir iaitu beriman pada qada’ dan qadar dari Allah SWT.

Seorang daie yang hebat imannya, bukan sekadar hebat dalam amal dakwinya bahkan dia hebat dalam menguruskan kehidupan seluruhnya. Malah, dia redha dan sentiasa bersangka baik kepada Allah dengan setinggi yang boleh di kala apa jua yang menimpa dirinya.

Seorang daie yang sudah tamayyu’ dengan celupan dakwah akan sentiasa bulat hati dan lapang jiwanya kepada Allah dalam apa jua urusan. Dia redha akan Allah untuk menentukan setiap liku dan ujian dalam kehidupannya.

Namun begitu dalam masa yang sama, sabar itu juga disertai dengan rasa cemburu terhadap ikhwah atau akhawat yang bakal ataupun telahpun bernikah terlebih dahulu. Rasa cemburu itu sedikit sebanyak mencacatkan ukhuwwah sesama ikhwah dan akhawat.

“ Kau takpelah, dah nak nikah. Aku ni?”

Apabila kita sudah tidak mampu lagi untuk menahannya, maka kita mula terlupa akan kehangatan sebuah dakwah dan apa jua urusan tarbiyyah. Teringat saya akan sebuah pesanan yang dikongsi oleh seorang ukhti yang cukup dekat dengan saya,

“Dia seolah-olah manusia tanpa nafsu, tanpa keinginan dan tanpa keseronokan dunia. Dia lupa makan minum dan pakaiannya. Bahkan lupa dirinya sendiri kerana mengenangkan makhluk Allah SWT. Di dalam hatinya tidak ada dirinya.Yang ada hanyalah makhluk Allah (yang menjadi mad’unya). Apa yang dimintanya hanyalah perkara yang boleh membawa kebaikan kepada manusia kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada Allah SWT.” (Sheikh al-Kailani)

 

Demi Allah, dakwah ini tidak akan berjaya dan sampai ke mana sekiranya kita hanya memberikannya waktu lebihan untuknya, dan kita belum melupai diri dan makan minum kita.

Besar nilai tarbiyyahnya buat manusia-manusia yang benar-benar mengharapkan pada tarbiyyah dan menjadikan tarbiyyah ini paksi utama dalam hidupnya. Kita akan ditarbiyyah dari segala segi : akhlak, amal, cara kita berfikir bahkan perasaan!

Jangan terlalu difikirkan betapa besarnya impian kita terhadap dakwah dan tarbiyyahnya, tetapi fikirkan sejauh mana besarnya jiwa dan perasaan kita untuk impian dakwah dan tarbiyyah itu.

Satu pengorbanan yang teramat besar apabila kita meletakkan dakwah dan tarbiyyah itu pada tingkatan yang paling utama dalam kehidupan kita kerana tidak semua manusia mampu berbuat sedemikian.

Siapa lagi yang akan berkorban jika bukan kita adalah orangnya?
Siapa lagi orang yang besar jiwanya jika bukan kita adalah orangnya?

Bukan saya mengatakan urusan pernikahan ini kita tidak perlu difikirkan bahkan perlu! Ajari diri untuk berfikir hal ini dengan akal dan hati sihat. Agar akal dan hati kita itu mampu memberi fatwa yang baik-baik sahaja buat tuan badannya.

Ajari diri juga untuk berfikir akan hal ini dengan sederhana, bukan dengan deretan emosi dan nafsu yang tidak sabar dan tidak sudah mampu untuk menahan. Bahkan, bekalkan diri dengan persiapan yang mantap kerana tingkatan alam perkahwinan ini penuh tanggungjawab yang sememangnya cukup berbeza jika dibandingkan dengan tanggungjawab hidup kita sebelum ini.

Jangan salahkan takdir kerana tidak layak bagi kita untuk mempersoalkannya. Bebanan rumahtangga Muslim ini sebagai risalah dakwah begitu berat.

 

Bangunlah rumah tangga Muslim agar menjadi teladan yang baik dalam seluruh aspek kehidupannya, dari model busananya yang islami, makan minumnya yang halal, akhlaqnya yang mulia, sampai sikapnya yang Islami dalam adat dan tradisi ketika senang atau ketika susah. mereka selalu menjauhi segala macam unsur jahiliyyah dan adat sera tradisi import yang jahil.

 

Di dalam membina rumah tangga Muslim terutamanya para daie yang menyeru manusia ke jalan Allah agar tidak melakukan kelalaian dalam melahirkan serta membina keluarganya dengan ajaran Islam dalam seluruh aspek kehidupan keluarganya. Ingat orang yang lemah dalam memimpin rumah tangga tidak akan mampu memimpin orang lain, lebih-lebih memimpin rumah tangga orang lain.

 

(Syaikh Mustafa Masyur)

 

Begitu susah untuk membangun sebuah rumah tangga Muslim ibarat sebuah projektor yang memancarkan cahaya kepada masyarakat. Wajarnya bagi setiap pemuda-pemudi Islam (khususnya para dua’t) patut bersungguh-sungguh membangun Islam di dalam diri mereka dan menjadi teladan. Lanjutnya, barulah kamu layak untuk menjadi teladan dalam masyarakat sebagai model keluarga Islam yang sejati.

Daripada Abu Muhammad Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Tidak beriman seseorang daripada kalangan kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.”
(Hadis hasan sahih)

Hampir terlupa. Salam Ramadhan.

Ada dua link di sini yang boleh membantu anda untuk lebih produktif pada Ramadhan kali ini.

http://productivemuslim.com/category/resources/worksheets/

http://ramadanbattleplan.com/ultimate-ramadan-planner/

Nantikan entri yang bertemakan Ramadhan dari saya inshaAllah. Moga diberi kesempatan kerana saya mempunyai misi lain untuk Ramadhan kali ini!

Sekian,
mylittlepencil

Advertisements

6 thoughts on “hangatnya pernikahan berbanding dakwah

    • 1. Pentingnya untuk supaya kita tidak terlalu leka memikirkan hal perkahwinan berbanding menjadi pemikir dakwah.

      Salah untuk kita hanya memikirkan perkahwinan atas dasar kehendak nafsu sedangkan dakwah itu patut menjadi asbab kepada perkahwinan itu sendiri.

      2. Sabar dalam apa jua kehendak dan takdir Ilahi terutama perkahwinan. Biasalah masalah pemuda…

  1. assalamualaikum.

    maha suci Allah daripada sebarang sifat kelemahan.
    maha suci Allah daripada sebarang sifat kekurangan.
    ketika kita sedang menunggu bilakah jodoh kita akan sampai sehingga kita terduduk menangis lantaran merasakan orang yang couple itu cepat sungguh bernikah, ingatlah bahawasanya Allah itu tidak bersifat zalim terhadap hambaNya. Zalim itu bukan sifat Allah.

    Mugkin skill dakwah kita hebat, tetapi skill untuk jadi superwoman masih belum. Kita masih lagi belum bijak memasak,mengemas rumah, skill mendidik anak, skill membasuh baju dalam tempoh yang cepat dan tangkas.
    Kita sendiri memilih untuk aktif dalam dakwah dan tarbiyah bukan? Makanya dalam tempoh ini, seharusya kita meningkatkan skill kewanitaan kita.

    Allah itu Maha Pemberi Rezeki.
    Allah memberikan rezeki kepada setiap hambaNya.
    Adakah kita akan diseksa di kubur kelak dan dimasukkan ke dalam neraka apabila memang kita tiada rezeki untuk berkahwin walaupun kita telah berusaha? TIDAK kan?
    Kerana ini adalah soal rezeki daripada Allah SWT

    namun sekiranya datang orang yang soleh datang meminang, terimalah pinangan itu sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.
    KAdang2 saya sendiri tidak faham dengan orang usrah apabila nak kahwin sesama jemaah sehingga meminggirkan apa yang Rasululah SAW pesan. Ada akhawat yanag sangkut tolak pinangan lelaki yang baik hanya kerana lelaki itu bukan ikhwah jemaah yang kita ikut
    Astaghfirullah.

    semoga kta semua dapat sabar dan redha dengan ketentuanNya.Melalui pembacaan saya, ada kelemahan daripada aspek akidah dalam sistem tarbiyah yang anda ikut (bukanlah bermakna aqidah saya bagus dan mantap kita sama-sama perbaiki diri ya)
    mantapkan aqidah dalam sistem tarbiyah anda.

    ramadan kareem

    • Ya tepat apa yang ukhti katakan itu. Ana amat setuju apabila dikatakan Allah tidak zalim terhadap hamba hambaNya. Siapa kita untuk meletakkan segala sifat yang tidak elok kepada Allah SWT.

      Berkaitan dengan isu akhawat menolak jodoh yang datang dalam kalangan bukan orang dari jemaah yang sama bagi ana tidak layak untuk diperbahaskan dengan bab aqidah.

      Ini terkait dengan kefahaman. Kaitan jodoh (dan segala jenis rezeki) yang dibincangkan di dalam hadis nombor 4 menceritakan hakikat keimanan yang sebenar (juga berpunca dari aqidah yang sahih). Aqidah menceritakan tentang konsep jodoh itu juga sebagai satu rezeki, bukan menyentuh siapa jodoh ataupun kaedah kita dalam menerima atau menolak seseorang.

      Arakiannya, ana juga melihat ada ikhwah atau akhawat menolak pinangan dari orang yang bukan dalam kalangan jemaah yang sama. Ana tidak mahu bersangka apa apa, tapi ana pasti ada asbab yang khusus mengapa mereka memilih berbuat sedemikian. Kebiasaannya kes kes sebegini, ana lebih suka memesan kepada akhawat untuk berfikir secara matang dan jangan tolak atau terima tanpa sebarang alasan yang kukuh.

      Aqidah kami masih selamat. Tidak jatuh lagi hukum haram untuk mana mana lelaki atau perempuan di luar sana untuk bernikah dengan ikhwah akhawat kami.

      Pilihan kami untuk bernikah sesama ikhwah akhawat adalah untuk mendapatkan idealnya sebuah baitul Muslim. Tetapi usaha kami untuk mendapatkan idealnya tidak mampu untuk menolak takdir Allah yang Maha Kuasa menentukan siapa juga jodoh kita.

      Salam Ramadhan Kareem!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s