hal hal sebuah amanah

Dalam kehidupan, kita dikawal pada empat dimensi. Bumi sebagai tempat untuk kita beramal, masa dan umur mewakili kesempatan kita untuk beramal, Islam menjadi landasan amal manakala potensi yang ada pada diri kita adalah sebagai modal untuk beramal.

Keempat-empat dimensi ini adalah kesemuanya peluang yang datang dari Allah untuk mempermudahkan para hambaNya untuk menjadikan amal itu sebagai satu medan.

Lalu, dari mana datangnya pertanggungjawaban untuk beramal?

Amal adalah sebuah amanah. Ya, kita tidak pernah menyangkanya sebuah amanah bukan? Kita merasakan amanah ini hanyalah terbatas pada urusan kerja. Atau mungkin amanah ini hanya terbatas pada keadaan tertentu.

Seluruh kehidupan ini adalah amanah bahkan jasad kita keseluruhan juga! Malah, Islam yang kita anuti dan percaya merupakan amanah fitrah yang perlu kita laksanakan. Kita wajib melaksanakannya dalam tiga bentuk. Pertama, menjadi agen Islam yang terbaik secara luaran mahupun dalaman. Kedua, mengamalkan Islam secara keseluruhan dan mengikut syariatNya. Ketiga, bersaksi bahawa Islam ini adalah landasan amal yang terbaik.

Nah, itu baru amanah fitrah. Belum lagi kita perkatakan tentang perkara perkara lain bukan? Kita sebagai para dua’t wajib merasakan bahawa dakwah ini adalah satu amanah.

Jauh sekali kita dapat mewariskan dakwah ini untuk generasi akan datang jika kita merasakan dakwah ini bukanlah sebuah amanah yang agung. Amanah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan kemudian disambung perjuangan Baginda oleh para sahabat dan sahabiah. Kemudian, disambung lagi kepada tabiin dan seterusnya sehinggalah kita pada hari ini dapat berhembus dengan nafas Islam.

Membawa dakwah dengan sikap sambil lewa adalah tanda seorang daie yang tidak amanah. Apatah lagi jika seorang daie itu seringkali beralasan untuk mengelak dari melakukan kerja-kerja dakwah.

Sebagai pemikir dakwah, kita perlu memikirkan masa hadapan dakwah. Satu perkara yang amat menakutkan apabila dakwah ini hanya dipenuhi oleh orang-orang yang tidak amanah. Maka akan lahirlah para dua’t yang hanya menggunakan agama ini sebagai sumber pendapatannya, sebagai sumber untuk menarik manusia kepadanya, menjadikan agama sebagai propaganda dan akhirnya kita berjaya ditewaskan oleh jahiliyyah yang lebih kuat.

Bukan sekadar itu, malah dia lah menjadi pembelot agama yang nombor satu! Mulut kata lain, anggota buat lain. Zaman kini menyaksikan, ramai daie sudah terkena dengan sindrom ini. Mereka kaya dengan kata-kata yang mampu menggetarkan dan membasahkan hati manusia, tetapi mereka menjadi orang yang paling terakhir sekali untuk beramal dengannya!

Berbincang tentang lingkungan amal membuatkan saya terkenang akan hadis yang ke-27 daripada himpunan hadis 40 Imam Nawawi.

AMANAH KITA TERHADAP HATI

Daripada An-Nawwas bin Sam’an R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda telah bersabda: “ Kebajikan itu ialah akhlak yang baik dan dosa itu ialah sesuatu yang diragukan-ragukan oleh dirimu dan kamu benci manusia melihatnya.”

Daripada Waabisoh bin Ma’bad R.A, katanya: “ Aku telah datang menemui Rasulullah SAW lantas Baginda bersabda: “Engkau datang untuk bertanyakan tentang kebajikan?” Aku menjawab: “Benar.” Maka Baginda pun bersabda: “ Mintalah fatwa (bertanyalah) kepada hatimu, kebajikan ialah sesuatu yang jiwa dan hati merasa tenang terhadapnya, manakala dosa ialah sesuatu yang menimbulkan perasaan serba salah dalam jiwa dan menggelisahkan dada, sekalipun berbagai fatwa yang diberikan oleh manusia (bahawa ia adalah halal atau haram).”

Mudah sekali Rasulullah SAW menyimpulkan 2 perkara tentang kebaikan. Apa jua yang merasa tenteram pada hati dan akhlak yang baik adalah kebaikan.

Jarang sekali kita bertanyakan kepada hati kita tatkala kita ingin melakukan sesuatu perkara. Adakah hati aku merasai senang sekali melakukannya?

Adakah hati aku merasa gembira dalam mengerjakannya?

Wajarnya, dalam melakukan satu amal kebaikan seorang mukmin itu tidak perlu berfikir lama atau merasa teragak-agak kerana kita yakin setiap dari satu amal kebaikan itu memberi manfaat kepada diri sendiri. Dan inshaAllah, kita pasti diganjari dan diredhai oleh-Nya.

Namun, kita semakin terleka dan kita melupakan amanah ini. Amanah untuk meminta fatwa dari hati sendiri sebelum melakukan sesuatu perkara. Malah, ada perkara yang kita tidak ambil endah pun dan terus membiarkannya.

Kita harus bijak dalam menggunakan sebuah hati. Hikayat-hikayat, lintasan-lintasan hati dan segala apa yang berada di dalamnya hanya menjadi pengetahuan Allah dan kita. Percaturannya  antara kita dan Allah.

Apa pula yang dikatakan dengan keburukan?

Keburukan itu adalah segala apa yang kita tidak mahu orang lain tahu tentangnya. Ya, zaman sekarang kelihatan ramai para dua’t yang menyembunyikan dosa mereka terutama sekali saat mereka sendirian. Murabbiyah saya memberi contoh yang cukup padu. Katanya, ada seorang ukhti apabila duduk seorang diri, dia membuka laptopnya lalu memilih cerita yang mahu ditontonnya sedangkan apabila berada bersama orang ramai, dia tidak berbuat demikian.

Jika dia bersama dengan orang lain, dia akan membelakangi laptop tersebut agar orang lain tidak nampak apa yang sedang ditontonnya.

Kami sesama rakan satu halaqah memuhasabah diri.

Ah, alangkah bodohnya manusia itu apabila dia menyangka dia mampu menyorok dari Allah dan malaikat pencatit amalan yang berada setiap saat bersama mereka!

Hati yang pada asalnya suci dan bersih kini dikotori oleh tangan pemiliknya sendiri. Kita seolah-olah menggunakan hati kita untuk melalaikan perkara-perkara yang baik dan melakukan segala perkara yang tidak baik.

Ibarat kapal yang terbalik lalu karam ke dasar lautan. Hati-hati kita sudah mulai rasa susah untuk menerima segala jenis kebaikan sampaikan tiada beza antara dosa dan pahala kita. Mungkin pada kiraan manusiawi jaraknya mungkin sekadar 100 meter. Walhal, pahala dan dosa itu terlampau jauh bezanya.

Seperti yang pernah saya katakan pada entri yang sebelum ini, kita jangan terlalu bermudah-mudah dalam urusan pahala dan dosa. Jangan kita perkecilkan urusan ghaib ini kerana ia adalah urusan milik Allah SWT.

Di saat ini, kita perlu merasakan hati ini adalah amanah. Amanah yang perlu dijaga dan diguna sebaiknya. Kerana jika kita tidak menjaga amanah ini dengan sebaiknya, fatwa fatwa yang akan diberikan hati kita sendiri adalah ibarat fatwa daripada ulama’ yang tidak bertauliah.

Kesannya, hati dan amal kita menjadi songsang. Yang baik kita tinggal-tinggalkan, yang jahat kita sayang-sayangkan.

AMANAH KITA TERHADAP PAHALA DAN DOSA

Dari Anas bin Malik R.A, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “ Jika Allah menghendaki kebaikan ke atas seorang hamba, Dia akan mempergunakannya. Dikatakan: Bagaimana Allah mempergunakannya wahai Rasulullah ? Rasulullah SAW menjawab,: “ Allah akan memberinya taufiq untuk melakukan amal soleh sebelum dia meninggal.” (HR Imam Tirmidzi)

Dalam satu hadis lain: Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada seorang hamba, Allah akan jadikan ia beramal. Dikatakan, “Apakah dijadikan beramal itu?” Baginda SAW bersabda: “Allah bukankah untuknya amalan soleh sebelum meninggalnya, sehingga orang-orang yang berada di sekitarnya redha kepadanya.” (HR Ahmad& Al Hakim)

Allahumma tasta’milna wa la tastabdilna.
(Ya Allah, pergunakanlah kami dan jangan gantikan kami)

Sejauh mana kita merasakan adalah orang-orang yang benar menggunakan kesempatan waktu, keupayaan yang ada pada diri sendiri dalam melakukan amal soleh?

Dan sejauh mana kita merasa kesan daripada segala azab Allah yang telah diceritakan di dalam kitabnya. Jika kita tidak pernah merasakannya, itu tanda hati kita telah kehilangan amanahnya.

Amanah sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini, bukanlah sekadar untuk hidup malah untuk menghidupkan. Prinsip kita, beramal untuk hidup.

Timbangan pada hari itu (menjadi ukuran kebenaran). Maka barangsiapa berat timbangan (kebaikan)nya, mereka itulah orang yang beruntung. Dan barangsiapa ringan timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang yang telah merugikan dirinya sendiri, kerana mereka mengingkari ayat-ayat Kami. (7:8-9)

Saat hati itu mula mengingkari, dan tidak mampu lagi merasa sensitif akan penceritaan penuh detail tentang azab Allah, bermulalah dosa-dosa kecil pun mampu untuk menjadi dosa-dosa yang besar.

Sang daie itu merasa aman terhadap siksaan Allah.

…Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri, “Mengapa Allah tidak menyiksa kita atas apa yang kita katakan itu? Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Maka neraka itu seburuk buruk tempat kembali.” (58:8)

Meremeh-temehkan dosa

“Waspadalah terhadap sikap meremehkan dosa, kerana bila sahaja seseorang melakukan hal tersebut, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad, At Tabrani&Al-Baihaqi)

Merasa senang dengan dosa

“Barangsiapa berbuat dosa sambil tertawa, nescaya ia akan masuk neraka seraya menangis.”
(HR Abu Naim)

Berani menayangkan dosa

Rasulullah SAW bersabda: “Seluruh umatku akan dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan dalam dosa (al-mujahirun), termasuk terang-terangan dalam dosa ialah seorang hamba yang melakukan dosa di malam hari lalu Allah menutupinya ketika pagi, namun ia berkata “ Wahai fulan aku tadi malam telah melakukan perbuatan begini dan begini.” (HR Muslim)

 

Kita harus menjaga amanah kita terhadap dosa. Perasaan kita terhadap sebuah dosa itu sendiri tidak mengira dosa itu kecil mahupun besar. Kita tidak perlu menunggu perhitungan dari Allah, kerana saban hari kita boleh memuhasabah diri untuk menilik semula setiap amal yang telah diperlakukan.

Bentuk dosa (kecil atau besar) itu hanyalah pengkelasan, bukan satu alasan untuk membolehkan kita mendekati dosa-dosa kecil dan kita mengambil sikap aku-kira-baik-sebab-aku-tak-buat-dosa-besar.

Dalam satu amanah Rasulullah SAW kepada A’isyah RA: “ Wahai A’isyah, jauhkanlah dirimu dari mengganggap remeh dosa-dosa kecil, kerana sesungguhnya akan ada tuntutan Allah terhadap dosa-dosa kecil.” (HR Nasaie & Ibnu Majah)

Kata kata Fudhayl bin Iyadh: “ Selama kamu menganggap kecil sebuah dosa, maka semakin besar dosa tersebut di hadapan Allah. Selama kamu melihat besar sebuah dosa, semakin kecil dosa tersebut dimata Allah.”

KEMENANGAN JUGA MERUPAKAN SATU AMANAH

Kemenangan juga adalah salah satu amanah. Amanah yang sangat berat dan mahal. Terlalu mudah dan murah jika Allah memberikannya kepada sesiapa begitu sahaja. Allah hanya akan memberikannya kepada manusia-manusia yang benar-benar sanggup berjuang keranaNya.

Pada setiap manusia yang benar-benar beramal dengan dakwah ini, hanya dia sahaja yang akan merasai kemenangan. Paling tidak, kemenangan ke atas dirinya sendiri. Paling tinggi, kemenangan ini berpihak kepada agama-Nya.

Saat kejatuhan tamadun Islam satu ketika dahulu saya kira sebagai satu indikator pecah amanah. Tika itu, ummat Islam tidak benar-benar menjaga amanah dakwah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Nah, jika kita bersikap seperti itu, kita tidak akan berupaya untuk mencapai kemenangan apatah lagi untuk mencapai kemenangan di dalam dakwah.

Dalam sebuah tafsir surah Ali-Imran oleh Syaikh as-Sa’di Rahimahullah: “Artinya, janganlah kalian mengira dan jangan pernah terdetik dalam benak kalian bahawa kalian akan masuk syurga begitu sahaja tanpa menghadapi kesulitan dan menanggung berbagai hal yang tidak menyenangkan tatkala menapaki jalan Allah  dan berjalan mencari keredhaan-Nya. Sesungguhnya syurga itu adalah cita-cita tertinggi dan tujuan paling agung yang membuat orang-orang saling berlumba dalam kebaikan. Semakin besar cita-cita maka semakin besar pula sarana untuk meraihnya begitu pula upaya untuk menghantarnya ke sana. Tidak mungkin  sampai kepada kenyamanan kecuali dengan meninggalkan sikap santai-santai. Tidak akan digapai kenikmatan yang hakiki/syurga kecuali dengan meninggalkan (tidak memuja) kenikmatan yang semu/dunia. Hanya saja perkara-perkara yang tidak menyenangkan di dunia yang dialami seorang hamba di jalan Allah tatkala nafsunya telah dia latih dan gembleng untuk menghadapinya serta dia sangat memahami akibat baik yang akan diperoleh sesudahnya-maka nescaya itu semua akan berubah menjadi kurnia yang menggembirakan bagi orang-orang yang memiliki bashirah, mereka tidak peduli itu semua. Itulah keutamaan dari Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapapun yang dikehendaki-Nya.”

Amanah sebuah kemenangan ini akan menjadikan kita:

  1. Beramal dengan ikhlas dan bersungguh sungguh
  2. Beramal hanya dengan amal yang baik
  3. Beramal dengan strategi yang mantap
  4. Mempunyai sikap pekerja yang bertanggungjawab
  5. Senantiasa memikirkan dan merancang amalnya
  6. Menggunakan kesemua peluang sebaiknya

 

Bagi orang-orang yang benar-benar menyintai kemenangan dalam jalan dakwah, ia akan mempunyai sikap seorang pemenang. Ia tidak menunggu ajalnya begitu sahaja kerana setiap yang hidup itu pasti akan mati. Ia menunggu setiap detik bertemu Tuhannya itu dengan amal-amal kebaikan. Dengan itu, ia akan kembali kepada Allah dengan hati yang saliim dan penuh kecintaan dari Sang Rabb itu sendiri.

Sikap pemenang yang angkuh hanya merugikan kerana definisi kemenangan mereka itu cukup singkat dan terhad. Mereka menyangka impian mereka itu tinggi, tetapi kecil sekali di mata Allah. Ia juga menunggu ajalnya tetapi ia bakal bertemu Tuhannya dalam keadaan yang cukup merugikan.

Sikap manusia yang kalah pula manusia yang langsung salah definisi redha. Ia terus menunggu dan menunggu yang ditakdirkan oleh Allah kepadanya. Ia lebih suka menyerah kalah terlebih dahulu sebelum membuka langkah untuk berusaha. Orang-orang seperti ini tidak perlu menunggu ajalnya kerana di atas dunia ini, ia telahpun mati!

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s