meremehkan pahala

“ Akak lebih banyak respon daripada aksi.”
“ So, yang mana lebih bagus?”
“ Mestilah aksi.”

Perbualan antara aku dengan seorang ukhti usai daurah pada Jumaat baru-baru ini. Komennya terhadap diriku berkesan. Aku terfikir akan karakter dakwah yang sebenar sebagaimana yang dianjurkan oleh Ikhwah Muslimin yang lebih mementingkan ‘amaliyyah daripada di’ayah dan propaganda. Kita amat takut akan amal-amal yang telah dikerjakan menjadi debu-debu pasir yang bakal ditiupkan begitu sahaja di akhirat kelak.

Kedudukan amal di dalam dakwah yang tinggi menjadikan itu sebagai indikator untuk seseorang bersedia untuk berada di dalam medan ini. Barangsiapa yang tidak beramal dengan amal dakwah menandakan:

  1. Kefahaman yang kurang
  2. Inferiority complex (terlalu merendah diri)/ atau apa jua faktor internal
  3. Faktor luaran yang membataskan
  4. Kurang keyakinan akan agenda dakwah

Merenung kembali nilai amal dakwah sebagaimana yang telah diberitahu oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, beliau mengatakan, “ Untuk berkhayal, banyak orang yang merasa mudah melakukannya, tetapi tidak semua khayalan yang terukir dalam benak dapat dilukiskan dengan kata-kata. Banyak orang yang mampu mengungkapkan fikirannya dengan kata-kata, tetapi dari mereka sedikit yang mampu melaksanakan kata-katanya dengan konsisten dalam bentuk amal. Dari yang sedikit tersebut tergolong masih banyak dibandingkan dengan orang-orang yang kuat menanggung bebat jihad dan amal yang serius.”

Ya, orang yang beramal itu mempunyai kelebihan. Mereka dapat pengalaman dan itu menjadikan mereka lebih aktif berbanding orang lain. Beramal dengan amal dakwah ini melatih mereka untuk bergaul dengan masyarakat dengan lebih efektif. Amal dakwah inilah yang mengisi malah menggantikan amal-amal yang tidak berfaedah dulunya mengisi masa-masa mereka.

Namun, orang-orang yang beramal ini akan diuji dengan beberapa perkara seperti futur, mengharapkan keputusan, mudah kecewa, penat, bosan dan juga malas. Dan ujian-ujian inilah yang akan menapiskan keberadaan seorang daie itu sama ada dia akan terus kekal ataupun tidak di atas jalan dakwah ini.

Pada era ini, senang sekali saya simpulkan amal dakwah merupakan amal tertinggi di sisi Allah dan pahalanya lebih tinggi berbanding amal-amal lain. Jangan kita lupa, nilai pahala juga ada tingkatannya di sisi Allah kerana Allah itu Maha Adil. Ini yang menjadi kerisauan saya.

Apabila seseorang itu lupa akan tingkatan-tingkatan pahala ini, menjadikan mereka tidak bersungguh dalam mengumpul pahala. Kita mengambil pahala ini dengan begitu mudah. Cukup syarat mengerjakan, kita merasakan terlalu mudah untuk mendapat pahala.

Tidak saya nafikan, agama Islam ini adalah agama yang paling ‘kaya’ dengan pahala. Masakan tidak, melampiaskan nafsu pada tempat yang halal juga dikira sebagai satu ibadah dan diberikan pahala.

Namun, kita sendiri tetap menjadi ‘miskin’ dalam kekayaan Allah SWT dalam memberikan pahala kepada sekalian hamba-hambaNya. Lubuk-lubuk pahala Islam ada sahaja di mana-mana, hanya tergantung pada kita sejauh mana kita menilai diri kita sebelum mendapatkan sebuah pahala.

Arakiannya, pahala bukanlah seperti duit yang boleh kita simpan catatannya dalam buku kira-kira, ataupun boleh kita timbang beratnya seperti berat jasad sendiri. Pahala adalah satu hal yang sangat subjektif dan hanya Allah yang Maha Mengetahui tentangnya. Namun, kita diberikan penerangan tentang pahala dan apa jua yang berkaitan dengannya di dalam kitabullah dan hadis Rasulullah SAW.

Benar-benar mudahkah untuk mendapatkan pahala?
Jawab saya tidak kerana ramai manusia yang tidak menyedari nilai pahala itu sendiri. Manusia mungkin kenal lubang-lubang pahala tetapi mereka tidak berupaya mencapainya. Malah, ada juga manusia yang mengelak untuk pahala-pahala yang lebih akbar lalu mengambil pahala-pahala asghar, lalu mengumpulnya dengan harapan pahala-pahala itu akan sama nilainya dengan pahala akbar itu nanti.

Ah, beginilah manusia! Apakah mereka tidak menyedari segala urusan hal hal ghaib itu menjadi milik Allah sepertimana yang telah saya katakana di atas tadi?

Kini, saya melihat manusia semakin rugi. Bukan kerana rugi tidak beramal, tetapi rugi dalam tidak memilih pahala pahala yang lebih besar nilainya. Mereka mula mencongak urusan pahala dengan cara kira dari sisi manusiawi itu sendiri. Malah, ada manusia yang berbangga menunjuk pahalanya kepada orang lain. Ternyata, ini terlampau rugi.

Satu kesedaran yang mesti kita pupuk mulai sekarang. Zaman mulai beredar maju maka kita perlu memajukan diri kita dalam mencari pahala dengan amal yang sesuai dengan zaman ini. Islam yang menganjur umatnya untuk berfikir. Saya kira, salah satunya kita perlu bijak berfikir jenis pahala mana yang kita mahukan!

Zaman kini yang memerlukan jihad dari kita semua, apakah kita masih berfikir amalan duduk bersolat sunat sepanjang masa di dalam masjid itu lebih tinggi di sisi Allah?

Zaman kini yang memerlukan pengorbanan dari kita semua, apakah kita masih berfikir amalan pergi umrah berkali kali atau sekadar mengamalkan makanan sunnah itu sama nilainya dengan pahala berkorban itu tadi?

Dalam satu petikan di dalam sebuah buku yang bertajuk Titik Tolak (karangan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid):

Bukalah hati kalian, rungkaikanlah belenggu dan bebaskanlah hati kalian dari ikatan, supaya ia dapat terbang dan melayang tinggi bersama rangkap­-rangkap puisi Ibnu al-Mubarak:

ياعـابد الحرمين لو أبصرتنا                      لعلمت أنك بالعبــادةتلعب
من كان حين يخضب جيده بدموعه   فنحورنا بدمائناتتخضب
أو كان يتعب خيله في باطل                    فخيولـنا يومالصبيحة تتعب
ريح العبير لكم ونحن عبيرنـا            رهجالسنابك والغبار الأطيب
ولقد أتانا من مقال نبيـنا              قول صحيح صادق لا يكذب
لا يستوي وغبارخيل الله           أنف امريء ودخان نار تلهب
هذا كتابالله ينطق بيننا                      ليس الشهيد بميت لا يُكذب

Wahai abid dua tanah haram, jika kamu melihat kami,

nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.

Orang yang membasahi lehernya dengan air mata,    sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah,

Dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia, sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan,

Kamu berbau harum dengan minyak wangi, sedangkan minyak wangi kami adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan,

Telah datang sabda Nabi kita kepada kita, kata yang benar, tepat dan bukan dusta,

“Tidak akan bertemu debu kuda  pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang menyala”

Kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa, “orang yang mati syahid itu tidak mati” ini bukan satu dusta.

 

Beginilah seorang manusia itu semakin melarut dalam ‘pahala’nya sendiri. Bukanlah saya ingin mempertikaikan amal yang dikerjakan, malah jauh sekali untuk mengatakan amal-amal itu tidak dikira. Secara peribadi, melarutnya dalam pahala-pahala yang kecil ini mendidik masyarakat untuk berminda terlalu simplistik.

Dengan adanya amal-amal yang menyumbang kepada pahala yang terlalu kecil nilainya, menjadi kita malas untuk berfikir tentang pahala-pahala yang besar. Pastinya, pahala pahala yang besar itu tidaklah semudah pahala-pahala kecil itu.

Ini saya kira satu sentimen yang sangat berbahaya kerana melihat bahan bacaan masyarakat juga menggerunkan saya. Buku-buku yang laris dijual membawa tema yang cukup mudah dan ini merehatkan lagi minda dan amal dalam diri setiap Muslim itu sendiri. Buku-buku agama yang membawa tema jihad, mati syahid, dakwah kini menjadi buku-pandang-sebelah-mata sahaja di kedai-kedai. Dan semakin lama, kita kian terlupa akan erti perjuangan yang sebenarnya.

Kecintaan Nabi Muhammad SAW pada kita barangkali mungkin berkurang dek kerana sikap kita yang seperti ini. Meskipun kita dikatakan golongan yang dicemburui oleh para sahabat dek kerana keimanan kita pada Rasulullah walaupun tidak dapat melihat Baginda, tetapi kini boleh saya katakan, “ Para sahabat Rasulullah SAW tidak perlu cemburu pada kita.”

Didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat yang menganjurkan jihad dan berkorban demi menegakkan agama Allah kini tidak lagi mengalir dalam tubuh kita. Darah yang mengalir kini adalah darah darah yang pertapaan yang asyik!

Tubuh-tubuh kita tidak lagi seperti tubuh para dua’t dahulu yang mengerjakan perkara wajib dan sunat, tetapi tubuh-tubuh kita kini hanya ‘tubuh-tubuh sunat’!

Dengan darah pertapaan yang asyik serta ‘tubuh sunat’ ini, barangkali amal kita ini hilang masa depannya.

Mereka sangka agama itu ialah uzlah dan pertapaan,

dan asyik di dalam wirid dan zikir,

Anehnya kulihat mereka beriman dengan sebahagian,

kelihatan hati mereka kufur terhadap sebahagian lagi.

Padahal agama ini ada fardhu, sunat, dan istighfar kepada Allah

Agama ini adalah medan jihad, kepahlawan

yang menghancur-leburkan kejahatan dan penyangak

Agama ini pemerintahan atas  nama Tuhanmu

Menegakkan keadilan, bukan kezaliman dan bukan ambil tak kesah.

(puisi dalam buku Titik Tolak oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s