Momentum keikhlasan

20140106-210430.jpg

Bismillah.

Tahun masihi yang baru sudah menjengah.
Tahun masihi yang lama melambai pergi.

Adakah diri kita hanya sekadar meninggalkan masa lalu ?
Atau diri kita meninggalkan apa jua yang lama, untuk menjadi yang benar-benar baru.

Tahun ini saya punya satu azam baru.
Azam ini payah benar jiwa saya untuk memilikinya.

Azam ini memerlukan mujahadah.
Azam ini memerlukan kesungguhan.
Untuk memilikinya, kita sendiri tidak dapat memastikan.
Hanya Allah sahaja yang berhak merezekikannya kepada mana-mana hamba yang dikehendaki-Nya.

Benarlah kata Sahl bin Abdullah At-Tusturi ketika ditanya,
” Apakah yang paling berat dilakukan jiwa?”
Ia menjawab, ” Keikhlasan, kerana jiwa tidak punya bahagian untuk mengendalikannya.”

Sejauh mana kita melangkah dalam kehidupan, ia akan sentiasa berpusing pada paksi yang sama iaitu paksi keikhlasan.

Memang susah untuk kita sering bertanya kepada diri sendiri sama ada aku ikhlas atau tidak melakukan itu dan ini kerana kita terlepas pandang banyak aspek dalam kehidupan kita. Seandainya, kita merasakan kita telah ikhlas, lambat laun kita akan hilang keikhlasan itu kerana kita sendiri tidak menjaga momentumnya.

Apa ciri-ciri orang yang ikhlas ?
Bagi saya, orang yang ikhlas tidak akan mudah penat beramal.
Tidak meletakkan beribu alasan untuk beramal.
Tidak menangguh dalam beramal.
Tidak bermalas-malasan dalam beramal.

Dalam kata yang lebih senang.
Orang yang ikhlas ini akan beramal sahaja.
Buat dan buat.

Mengira aspek tugas seorang hamba, dikatakan ahsanu amala itu bukanlah amalan yang sempurna pada hukum dan cara perlaksanaannya, tetapi keikhlasan ketika kita melakukan amalan tersebut.

Segala amalan yang dituntut agama kita perlu ikhlas dalam melakukannya. Adalah salah sekiranya kita menganggap kita hanya perlu ikhlas dalam amal ibadah khusus semata seperti solat, puasa dan lain-lain. Adalah salah juga kita menganggap, kita hanya perlu ikhlas dalam sesetengah perkara dan meninggalkan yang lain.

Keikhlasan sewajarnya menaungi segenap kehidupan kita kerana itulah rahmah terbesar buat seorang hamba Allah !

Keikhlasan tidak akan lahir dalam bentuk yang lahiriah. Seperti mana seorang yang bakhil cuba untuk membuktikan dirinya tidak bakhil dengan memberi sedeqah. Keikhlasan itu tersembunyi. Ianya ibarat cahaya yang bersinar tetapi tidak dapat dikenalpasti dari mana asalnya cahaya tersebut.

Begitulah orang yang ikhlas.
Mereka ini golongan manusia yang menjalani kehidupan atas nama Allah.
Bagi mereka, kehidupan mereka tidak terikat pada yang melainkan pada tali agama-Nya.

Untuk menjadi manusia yang tergolong dalam golongan ini ternyata memang susah. Tidak ramai orang yang ingin menyerahkan dirinya secara total kepada Allah. Kebanyakan manusia hanya berserah diri kepada Allah bila ditimpa musibah atau masa-masa yang tertentu.

Orang yang ikhlas tidak memilih. Mereka memilih untuk sentiasa beramal. Mereka tidak memilih untuk memandang dugaan itu sebagai satu penghinaan. Mereka memandang ujian itu sebagai satu belas kasihan dari Allah.

Satu kisah.

Dari Muaz, Rasulullah SAW bersabda:

“Puji syukur ke hadrat Allah SWT yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya, wahai Muaz!”

Jawabku, “Ya, Sayidil Mursalin.”

Sabda Rasulullah SAW, “Sekarang aku akan menceritakan sesuatu kepadamu yang apabila engkau hafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau engkau lupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai alasan di hadapan Allah kelak.”

“Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dari bumi. Setiap langit ada satu malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut ukuran pintu dan keagungannya.”

“Maka malaikat yang memelihara amalan si hamba (malaikat hafazah) akan naik ke langit membawa amal itu ke langit pertama. Penjaga langit pertama akan berkata kepada malaikat Hafazah,

“Saya penjaga tukang mengumpat. Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya karena saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang mengumpat”.

“Esoknya, naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata,

“Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya sebab dia beramal karena mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya amalan itu ditahan jangan sampai lepas ke langit yang lain.”

“Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit ketiga berkata, “Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong.”

Rasulullah SAW meneruskan sabdanya, “Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata,

“Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya. Dia seorang yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan si ujub.”

Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain. Tetapi di pintu langit penjaganya berkata,

“Itu adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-Nya. Dia tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan kembali ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad.”

Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata,”Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan kembali amalan yang indah itu ke muka pemiliknya karena dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang dapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan itu jangan melintasi langit ini.”

Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang dapat lepas hingga ke langit ketujuh. Cahayanya bagaikan kilat, suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah shalat, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain.

Tetapi penjaga pintu langit berkata, “Saya ini penjaga sum’ah (ingin kemasyhuran). Sesungguhnya si hamba ini ingin termasyhur dalam kelompoknya dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh
dari para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan itu jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih karena Allah maka itulah riya’. Allah tidak akan menerima dan mengabulkan orang-orang yang riya’.”

Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni solat, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan mulia serta zikir pada Allah. Amalan itu diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadirat Allah SWT.

Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah.

Tetapi firman Tuhan,

“Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pemilik hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak bisa menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui.”

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi.”

“Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan Pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya ini?”

“Laknat-Ku tetap padanya.”

Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata:

“Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi mereka.”
Dan semua yang di langit turut berkata,”Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat.”

***********
Ikhlaskah kita menjadi pejuang agama-Nya ?
Ikhlaskah kita menjalani kehidupan sebagai seorang daie ?

Persoalan ikhlas adalah satu persoalan yang sangat besar bagi seorang daie. Setiap daie itu harus sedar bahawa mereka semua menjadi benteng dakwah, maka janganlah dakwah itu dirosakkan oleh perbuatan mereka sendiri.

Ikhlas dalam menjalani tarbiyyah bukanlah sekadar membiarkan tarbiyyah kehidupan itu berlalu pergi. Ikhlas dalam menjalani tarbiyyah bermaksud seorang hamba itu melalui tarbiyyah dan berubah ke arah yang lebih baik. Tarbiyyah dan dakwah yang kita lalui ini adalah satu kemuliaan yang perlu kita pulangkan semula melalui segala usaha dan amal kita kepada Allah.

Maka, cara pulang yang terbaik adalah untuk ikhlas terhadapnya !
Hendaklah kita ingat. Bahawa Allah berhak menggantikan kita dengan sesiapapun, pada bila-bila masa pun, dimana jua sekalipun. Pastinya, Allah akan menggantikan kita dengan barisan manusia yang lebih baik.

Dan manusia yang lebih baik itu keikhlasan mereka lebih hebat berbanding kita. Mereka yang ikhlas ini berjalan dengan pandangan bashirah (mata hati) yang benar dan jitu. Allah menganugerahkan kepada mereka keikhlasan tanpa henti sampailah mereka menemui Allah dengan kemuliaan.

Daie yang ikhlas akan terus merasa izzah terhadap agama dan dakwahnya. Dia akan membawa agama ini kemana jua dia pergi. Tidak akan dia melonggarkannya sedikitpun. Dia tidak malu menjadi pengikut agama ini. Dia tidak segan silu menyampaikan dakwahnya.

Daie yang tidak menjadikan kepenatannya itu sebagai satu alasan.
Daie itu menjadikan keikhlasan itu sebagai daya tolaknya.
Daie yang terus menyeru tanpa mengalami putus asa.

Jujurnya, inilah yang saya cari dari dulu dalam jalan dakwah.
Keikhlasan.

Keikhlasan yang perlu dijana semula momentumnya.
Keikhlasan yang bukan tergerak kerana manusia.
Keikhlasan yang suci untuk menggerakkan iman.

Ikhlas. Mukhlis. Khalis.
Macam Rasulullah S.A.W.

Keikhlasan ini untuk Allah.
Datang dari Allah dan juga dipulangkan kembali kepada Allah.

Sekian,
mylittlepencil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s