Menggenggam bara api yang tak bernyala

Satu malam.
Sebelum tidur, dakwah menjadi topik perbualan aku dengan seorang ukhti.

Katanya, ” Macamana dengan dakwah kita di sini ?”
Jawab saya, ” Melebur.”

Mudah sekali saya melontar kata. Tanpa ada sedikit pun perasaan bersalah .
Tanpa sedikitpun rasa takut dengan kata-kata diri sendiri.

Itu sahaja perkataan yang saya ada untuk dakwah ketika itu.
Tiada lagi keyakinan seperti dulu. Tiada lagi semangat seperti dahulu.
Tiada lagi perancangan untuk dakwah.
Sepertinya dakwah itu sudah hilang arah tuju !
Atau mungkin ketika itu saya merasakan sudah tidak ada harapan untuk dakwah kerana kelihatannya seperti sudah tiada medan untuk berdakwah !

*****
Ya, inilah yang sedang berlaku.
Di mana para dua’t itu disibukkan dengan urusannya sendiri sehingga dia terlalu mudah melepaskan dan melupakan tentang dakwah.

Sedangkan dakwah satu ketika dahulu adalah apa yang ia imani dan yakin terhadapnya.
Sebarang masalah dalam dakwah tidak lagi menjadi perhatiannya.
Ia kini tidak mampu lagi untuk berfikir untuk dakwah.
Ia hanya mampu untuk berfikir tentang urusan hidup dirinya sendiri.

Dakwah kini hanya menjadi kenangan manis bagi dirinya.
Dia masih membayangkan saat manis manusia menyambut dakwahnya.
Dia masih lagi membayangkan saat manis manusia memberi sambutan yang baik terhadap apa jua program yang dianjurkannya.

Akhirnya, dakwah itu hanyalah menjadi bahan kenangan.
Kerja kerasnya dahulu dikenang kembali.
Saat betapa dia berpenat lelah mempertahan dan menyebarkan dakwah.
Kini, dia hanya menunggu masa untuk ia menyerahkan dakwah ini kepada generasi seterusnya.

Sang daie itu ibarat memegang bara api yang tidak menyala. Dia seronok bertemankan kemalapan bara api itu sepanjang hayatnya. Kononnya untuk memberi peluang kepada generasi akan datang untuk menghidupkannya.

Teramat rugi !
Dia telah kehilangan salah satu pintu amal yang amat besar ganjaran dan nilainya di sisi Allah jika dia melakukannya dengan penuh ikhlas.

Begitu jugalah kisah selepas Perang Badar. Ya, perang pertama yang dimenangi oleh kaum muslimin. Sewaktu dalam perjalanan pulang, kaum Muslimin singgah sebentar di bawah pokok untuk berehat. Sepanjang rehat mereka berbual dan mengimbau kehebatan masing-masing dalam perang.

” Aku berjaya bunuh si pulan.”
” Aku pula berjaya bunuh si pulan.”

Akhirnya kaum Muslimin terpecah menjadi dua. Muhajirin dan Ansar masing-masing mempertahankan kehebatan. Hampir sahaja kelompok kaum muslimin ini berbalah namun perkara ini sempat sampai kepada Rasulullah. Rasulullah S.A.W yang ketika mendengarkan khabar itu menjadi marah. Lalu, Allah mengingatkan mereka semua dengan firman dari surah Ali Imran ayat 100-102.

Rasulullah menyedari bahawa kaum muslimin berfikir bahawa ada waktu untuk berehat dalam amaliyah dakwah. Dan waktu berehat mereka itu menjadikan mereka mudah sekali mengimbau kenangan-kenangan indah yang mana akhirnya mereka terjebak dalam satu kekeliruan.

Tidak. Sesekali tidak.

Amal dakwah adalah amal yang tidak boleh kita hentikan. Terhenti dek kerana tangan kita adalah paling malang. Amal dakwah ini bukanlah terhenti setelah kita berjaya mencapai kemenangan. Malah setelah mencapai kemenangan itu nanti, kita wajib mempertahankannya.

Lalu, bukanlah amal dakwah ini amal yang tidak akan berhenti ?
Amal dakwah ini datang kepada kita dengan sifatnya tanpa henti ini kerana inilah sunnah alam semesta. Seperti juga alam di sekeliling kita. Bumi yang tidak pernah berhenti berputar pada paksinya. Ombak yang berganti pasang surut airnya. Matahari pula bergilir antara timbul dan tenggelam.

Kesemuanya tanpa henti selagi Allah sahajalah yang layak menghentikannya !
Selagi mana putaran alam ini tidak terhenti maka selagi itulah amal kita tidak akan berhenti. Sebelum ini kita percaya pada hakikat dakwah iaitu al-wajibaat akthar min auqaat.

Selagi masa itu berdetik, maka selagi itulah amal dakwah ini perlu dikerjakan. Walaupun kita tahu kerja-kerja dakwah ini teramatlah banyaknya. Tenaga manusia yang mengamalkannya terlalu sedikit jika ingin dinisbahkan dengan penduduk alam semesta ini. Dan manusia yang sama itu juga mempunyai tanggungjawab yang lain untuk ditunaikannya.

Adakah ini bermakna kita tidak boleh langsung berehat ?
Tidak. Cuma kerehatan yang kita cari biarlah kerehatan setelah penat yang sepenat-penatnya. Bukanlah kerehatan yang ingin memuaskan nafsu kerehatan itu semata.

Dari dulu kita dibina sampailah akhirnya kita diberi amanah untuk menjadi pimpinan di dalam dakwah. Mesyuarat sering dibuat demi mencapai satu kata sepakat. Segala isu dan masalah kita berusaha untuk menyelesaikan. Sampailah pada satu tempoh masa yang mana kita semua hanya memandang hal ini dari atas.

Kita sudah tidak lagi merasakan amal dakwah itu yang mengalirkan ruh kita untuk terus bergerak di atas muka bumi ini. Kerana kita lebih merasakan dakwah ini untuk diuruskan, bukan untuk diamalkan. Kita hanya memberi arahan dan memutuskan keputusan dan pekerja-pekerja di bawah yang akan menjalankannya.

Akhirnya, kita akan menjadi seorang daie yang berdiam diri meskipun berada dalam gerabak dakwah. Bezanya adalah kita sedang berada di puncak kebinasaan kerana diam tanpa amal itu adalah aib bagi seorang hamba yang beriman.

Habis punah janji janji manisnya sewaktu awal dulu mula menginfaqkan dirinya ke dalam jalan dakwah. Disangka hidupnya akan bahagia sampai ke akhir tetapi malangnya dia kini tidak lagi berada dalam janjinya.
Malah, dia mengubah janjinya.

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya), (33:23)

Untuk satu perjalanan amal yang teramat panjang maka tidak dapat tidak bukanlah kita harus mengeluarkan diri darinya tetapi mempersiapkan diri untuk mengharunginya. Bila kita sudah selesai satu agenda dakwah, maka kita teruskan pula dengan agenda dakwah yang lain. Kita tidak mampu untuk berehat terlalu lama kerana kerehatan kita itulah peluang syaitan untuk melalaikan.

Fikiran tidak dapat dibatasi, lisan tidak dapat dibungkam, anggota tubuh tak dapat diam. Kerana itu jika kamu tidak dapat disibukkan dengan hal hal yang besar maka kamu akan disibukkan dengan perkara-perkara yang remeh. (Abdul Wahab Azzam).

Ritma kehidupan kita sepertimana yang tertera dalam surah Al-Insyirah dalam ayat yang ketujuh : Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah belerja keras (untuk urusan yang lain),

Apabila kita telah bekerja keras satu ketika dahulu, maka kita tidak boleh lagi meninggalkan kerja keras kita itu kerana amal dakwiyah ini selamanya memerlukan kerja keras yang bersungguh-sungguh serta mempunyai perancangan.

Jika kita merasa terlalu cepat lelah itu hanyalah akan menjadi alasan untuk kita mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab yang ada. Tambah lagi, kelelahan itu hanyalah akan melemahkan diri kita yang berada di atas jalan dakwah dan tarbiyyah ini.

Kini telah tiba masanya kita memulakan proses merawat diri sendiri sebelum kita terlebih dahulu ingin merawat orang lain. Lihat semula pada perjalanan halaqah kita sendiri.

Adakah hidup seperti dahulu ?
Adakah rasanya gembira seperti dulu ?

Muhasabah juga perjalanan halaqah jundi-jundi dakwah yang berada di bawah kita.
Adakah tarbiyyah mereka tersusun elok ?
Adakah mereka ditempatkan pada kedudukan yang sesuai dengan potensi diri mereka ?

Apatah lagi perjalanan halaqah mutarabbi kamu sendiri.
Adakah tarbiyyah yang kau curahkan kepada mereka berhasil ?
Adakah celupan dakwah itu berjaya menggerakkan mereka ?

Jangan sesekali terlupa untuk memberi hak kepada mereka apatah lagi hak yang mereka tuntut itu adalah hak tarbiyyah dan dakwah mereka. Di samping itu, kita juga terus memperkuat hubungan kita dengan Allah taala kerana sesungguhnya hanya Dia sahajalah yang menjadi Penjaga kepada amal dakwah ini.

Betapa kerdil diri kita ini hanya menjaga amanah dakwah berbekalkan kudrat seorang manusia. Kudrat seorang manusia itulah ada waktu tinggi dan kurang semangatnya bergantung kepada keadaan iman dirinya.

Kawal hamasah dakwah yang kita ada. Jangan kita terbunuh kerana hamasah kita sendiri. Syed Qutb berkata : sesungguhnya manusia yg berlebihan dalam hamasah jadi orang yang paling ragu paling bimbang dan paling putus asa ketika berhadapan keadaan benar bahkan mungkin juga hamasah yang berlebihan datang dari tidak mengetahui hakikat sesuatu taklifan bukan sebab keberanian dan keazaman. Juga boleh berlaku tidak ambil kira sebab kekalahan dan bahaya menolak mereka bergerak untuk kemenangan dengan bentuk apa sekalipun.

Sesungguhnya pembentukan ummat, pendidikan bangsa, mewujudkan cita-cita dan mendukung sikap (pegangan) hidup memerlukan satu ummat yang bersedia tampil atau sekelompok orang yang menyeru ke arah itu. Inilang yang sekurang-kurangnya memerlukan kekuatan jiwa yang di dalamnya terhimpun kemahuan yang gigih dan tidak mengenal lelah, kesetiaan teguh yang tidak dicampuri kepura-puraan dan khianat, pengorbanan banyak yang tidak terhalang oleh perasaan tamak dan loba serta kebakhilan, dan mengetahui secara pasti akan dasar kehidupannya, mengimani dan menghargainya dengan benar-benar. Sifat-sifat di atas dapat memelihara kita dari terjerumus pada kesalahan-kesalahan dan penyelewengan pembentukan serta tawar-menawar atau apologetik dalam persoalan asasi, dan tidak terpedaya dengan yang lain. (Asy Shahid Imam Hassan Al-Banna)

Marilah kita mengumpul semangat semula untuk menjayakan agenda dakwah ini sehingga sampai kepada satu ganjaran yang terbayang dek mata dan akal fikiran kita.

Saat ini, jadikanlah syurga sebagai sumber motivasi untuk kita mengejar kegemilangan hidup dengan dakwah ini. Kita tidak mahu dakwah ini sekadar popular tetapi kita mahukan supaya dakwah ini menjadi amal seluruh penghuni bumi.

Menjadi fatayat yang sebenar-benar pemuda dakwah itu bukanlah satu realiti yang senang.

” Kita ni fityah huruf kecil ke huruf besar ? Pemuda sekadar pada nama atau pada amalnya sekali ?”
Kata-kata seorang ukhti yang akhirnya menggerakkan aku untuk menulis entri ini.

Wallahu a’lam.

Sekian,
mylittlepencil

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s