travelog DnT (6/9-15/9)

(Selangor-KL : 6-15 September)

Badan terasa penat meskipun perjalanan dari Terengganu menggunakan kapal terbang. Syukur tidak berhenti dizikirkan di dalam hati kerana diberi peluang untuk bersama dengan akhawat sepanjang berada di Terengganu. Sebelum ini, saya sangat susah untuk mendapat keizinan dari ibu dan ayah untuk keluar, tidak kiralah apa jua tujuannya. Namun setelah berbincang dengan baik, mereka kini lebih terbuka menerima keadaan diri saya yang juga punya tanggungjawab di luar rumah.

Dakwah memang menuntut keseimbangan kita dalam menguruskan tanggungjawab yang ada. Kitalah hamba Allah yang bergelar seorang anak, seorang daie dan pelajar. Pada satu ketika, kita akan merasa begitu terhimpit dengan masa dan tuntutan-tuntutan ini sehingga membuatkan kita mampu untuk bertindak di luar batasan kita sebagai seorang manusia. Jujurnya, saya sendiri pernah mengamuk dan marah kepada kedua ibu bapa saya kerana tidak mengizinkan saya untuk keluar ke mana-mana program. Bertambah marah apabila mereka tidak menyatakan kepada saya sebab saya tidak boleh keluar dari rumah !

‘ Aku ni bukannya anak kecil yang boleh menerima begitu sahaja perkataan tidak untuk semua perkara.’ omel hati saya sendirian.
Pelbagai perkara berlegar-legar dalam pemikiran saya.
‘ Mengapa umi abah susah sangat untuk memahami diri aku.’
‘ Kenapa mak ayah orang lain senang je nak bagi anak-anak keluar. Anak-anak keluar jumpa teman lelaki senang keluar. Aku ni keluar nak pergi program untuk dakwah punyalah susah nak keluar. Bukannya buat benda tak elok !’

Dan banyak lagi persoalan lain. Akhirnya, menjadikan diri saya tidak stabil dari segi dalaman mahupun luaran. Hari-hari berbaki di Malaysia dihabiskan dengan perasaan marah, tangisan dan cemburu terhadap akhawat yang dapat hadir ke mana-mana program dakwah dan tarbiyyah.

Sungguh, ketaatan kita terhadap ibu dan ayah juga akan diuji. Ketaatan kepada kedua ibu bapa dibangun di atas tiang taat kepada Allah. Mana mungkin tiang taat kepada ibu bapa itu berdiri sendiri tanpa arahan dari Allah untuk kita taat kepada mereka. Redha Allah tergantung pada redha mereka dan begitu juga dengan kemurkaan Allah. Jangan sesekali menjadikan dakwah dan tarbiyyah sebagai alasan untuk kita menjadi seorang anak yang derhaka. Rukun taat yang diajar oleh Imam Hassan Al-Banna juga turut memuatkan rukun taat kepada kedua ibu bapa. Arakiannya, kita juga mempunyai ketaatan-ketaatan lain yang perlu dibina bila berada di dalam sesebuah jemaah dakwah. Islam tidak bererti sama sekali tanpa ada ketaatan dan kepatuhan ummatnya dan tentu sahaja segala ketaatan itu tidak berlawanan dengan perintah Allah S.W.T.

Ada seorang makcik berpesan kepada saya. Katanya,
” Kita sebagai anak hanya kita sendiri yang tahu cara untuk bahagiakan ibu bapa kita sendiri. Jangan tanya pada orang lain. Cari jawapannya pada diri sendiri. Kalau betullah dengan keberadaan kita di rumah itu sudah cukup membahagiakan mereka, maka duduk sahaja di rumah. Penuhi tanggungjawab kerana rumah juga merupakan salah satu medan dakwah. Itulah naluri ibu bapa. Mereka tidak akan merasa puas menjaga kita sampai bila-bila.”

Kini, saya lebih mengerti. Keberadaan di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor selama dua minggu setelah tiba dari Mesir tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu agak perit juga rasanya. Agaknya beginilah ibu dan ayah kita menanggung rindu apabila berjauhan dengan anaknya !

Saya pernah meluahkan pada seorang ukhti akan hal ini. Katanya. ” Takpelah [mylittlepencil]. Sekurang-kurangnya, [mylittlepencil] dah rasa dua-dua keadaan. ”

Saya mengiyakan kenyataan ukhti tersebut. Sungguh, saya berharap agar tarbiyyah yang Allah berikan pada saya ini bermanfaat kepada saya sampai bila-bila dalam menjalankan tugas seorang daie yang juga bergelar seorang anak. Tidak rugi kita berpolitik dengan kedua ibu dan bapa kita menggunakan dakwah dan tarbiyyah. Tunjukkan qudwah yang paling hasanah dan segala perubahan yang telah kita lakukan. Cubalah memahami diri mereka daripada selalu mengharap agar mereka memahami kita. Muhasabah semula nilai ketaatan yang telah kita berikan kepada kedua ibu bapa sama ada masih kurang ataupun tidak. 

Imam At-Thabrani meriwayatkan hadis dengan sanad dari Abi Bakr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : Semua dosa akan ditunda oleh Allah seksanya hingga Hari Kiamat, kecuali dosa durhaka kepada orang tua, kerana Allah menyegerakan balasan dosa tersebut sebelum pelakunya meninggal dunia.

Hari-hari yang berbaki diisi dengan program yang sudah siap diatur. Alhamdulillah, kesempatan bersama akhawat dan muwajjih (pemberi taujihat) yang hebat dimanfaatkan sebaiknya. Pelbagai ilmu dan teori ditimba untuk dijadikan amalan sebagai seorang penggerak dakwah. Aspek ‘KITA DAN DAKWAH’ diingatkan semula agar keyakinan kami untuk berkhidmat di medan masing-masing semakin bertambah. Sungguh, mengekalkan momentum sebagai muharrik-muharrik dakwah memang susah apatah lagi medan sebenar menyediakan terlampau banyak mehnahnya.

Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika tidak engkau lakukan (apa yang diperintahkan itu) bererti engkau tidak menyampaikan amanah-Nya. Dan Allah memelihara engkau dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir. (Al-Maidah:67)

 

 

Habis sahaja program bersama akhawat, saya menghubungi seorang kawan rapat saya yang belajar di universiti berhampiran. Sudah lama tidak bertemu dengannya menjadikan terlalu rindu padanya !

Perbualan lebih banyak berkisarkan perkembangan diri masing-masing sampailah dia bertanyakan kepada satu soalan yang berbunyi, ” Eh [mylittlepencil] kau dalam IKRAM ni kau duduk department mana?”

Pada mulanya saya tergelak kecil mendengar soalan daripadanya. Hendak diterangkan department mana pun saya tidak tahu. Akhirnya saya menjawab saya aktif di peringkat pelajar. Dalam hati, saya berdoa agar dia terbuka hati untuk merasai kemanisan dakwah dan tarbiyyah ini satu hari nanti.

Saya juga sempat berkunjung ke sebuah kedai buku yang bernama Imanshoppe. Dari dahulu lagi, saya menyimpan hajat untuk berkunjung ke sana. Sampai sahaja di sana, terus rambang mata. Penuh dengan buku-buku dakwah dan tarbiyyah serta barangan seperti sticker, button badge, Al-Quran dan lain-lain. Sempat juga berjumpa dengan beberapa orang akhawat India di sana.

imanshoppe 1
imanshoppe 1
imanshoppe 2
imanshoppe 2

Dua hari sebelum pulang ke rumah, saya menghadiri satu perjumpaan yang diwajibkan kepada semua pelajar yang belajar di bumi Mesir. Tempat perjumpaan teramat sesak sehingga saya membuat keputusan hanya untuk berada di surau sementara menunggu sesi taklimat yang mempunyai banyak pusingan.

Di surau, saya dan beberapa orang akhawat duduk berehat dan berbual tanpa sedar kami sedang berada di surau sehinggalah kami ditegur untuk memperlahankan suara. Alangkah malunya !

Kami semua bertudung labuh dan berpakaian lengkap tetapi membuat bising di surau. Kami memandang sekeliling, muslimat yang berada di dalam surau mengerjakan solat sunat dan membaca majalah islamik. Tarbiyyah besar buat kami. Lalu, kami mengambil keputusan untuk berhenti berbual dan membuat kerja yang lebih berfaedah.

Biasalah akhawat, bila berjumpa tidak boleh berhenti bercakap ! Mungkin ini salah satu kebiasaan yang perlu dikawal kerana kadang-kadang kita mungkin tidak sedar ada sesetengah orang kurang selesa dengan orang yang banyak bercakap. Silapnya bila kita berbual topik-topik biasa, mulut kita hangat berbicara, bila disuruh menyampaikan daurah lidah menjadi kelu tiba-tiba !

Dalam dakwah, kita akan berjumpa dengan berbeza khalayak mad’u yang memerlukan untuk kita seni dalam menyampaikan dakwah. Mengajak masyarakat untuk menjadikan dakwah dan tarbiyyah ini sebagai satu bual bicara harian bukanlah mudah kerana topik ini dianggap asing dan pelik untuk dibualkan. Teknik kita dalam menyampaikan wajib sesuai pada masa, tempat dan keadaan masyarakat agar topik dakwah dan tarbiyyah ini sampailah satu ketika nanti dibualkan di seluruh pelusuk dunia. Berbual dengan mereka sesuai dengan tahap pemikiran dan pemahaman mereka. Kebenaran tetap menjadi paksi utama dalam perbualan kita sebagai seorang daie.

Alangkah indahnya, dengan berbual juga mendapat pahala !

Pada rancangan awalnya, saya berhajat untuk terus pulang selepas habis sahaja taklimat tersebut. Tetapi, apakan daya kerana tiket bas sudahpun habis. Maka, tiket keesokan harinya menjadi pilihan saya. Saya berterima kasih kepada seorang ukhti yang setia menjadi teman perjalanan saya. Malah, memberi sudi memberikan tumpangan semalam di rumah kakak beliau. Kakak beliau tidak lokek memberikan bantuan dan melayan segala kerenah saya. (terima kasih kak Atikah !)

Keesokan harinya, saya pulang dengan pelbagai niat dan tidak sabar untuk bertemu dengan keluarga.
Harapannya pulang berada di samping keluarga kali ini mampu membuktikan diri ini menjadi anak yang lebih baik inshaAllah !

sekian,
mylittlepencil

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s