travelog DnT (29/8-6/9)

(Mesir –Kuala Lumpur & Selangor)

“ Flight awak dalam masa 30 minit lagi. Kenapa saya call awak dari tadi tak dapat dapat ?” kata pegawai tajaan saya dalam  nada suara yang begitu risau.

Saya hanya memandang beg bagasi dan meletakkan apa yang sempat. 30 minit bukanlah masa yang cukup untuk memikirkan dengan begitu teliti barang apa yang perlu dibawa. Rancangan perjalanan sudah dibentuk elok. Malah, sudahpun diberitahu kepada ibu dan ayah rancangan yang lengkap.

Maka, saya membuat keputusan untuk membawa apa yang benar-benar perlu sesuai dengan rancangan yang telah dirancang tersebut.

Kata putus mereka kali ini memuaskan.

Abah takda masalah bagi [mylittlepencil] untuk ikut program. Kemudian, pulang ke rumah. Selesaikan segala urusan [mylittlepencil]. Cuma jaga diri dan keselamatan.Salam sayang dari abah.

Begitu sahaja ayat dalam kiriman balas emel dari ayah. Dalam keadaan yang terkejut, saya gagahkan diri juga untuk mengemas beg dan meninggalkan bumi tarbiyyah tercinta ini. Entah berjumpa lagi atau tidak. Entah dapat menikmati udara di sini lagi atau tidak.

Di lapangan terbang, begitu sesak memandangkan hari tersebut sudah menghampiri hari terakhir evakuasi  pelajar Malaysia di Mesir. Suasananya begitu memeningkan kepala !

Lebih kasihan, para ibu yang membawa anak-anak turut berhimpit. Hajat saya ketika itu, moga Allah permudahkan segala urusan sampailah tiba di tanah air nanti.

Sebelum menaiki pesawat, saya menghantar mesej kepada ibu.
Flight [mylittlepencil] kejap lagi. [mylittlepencil] dah cerita plan pada abah. Rujuk abah ya. Bye, assalamualaikum.

Akhirnya setelah 3 jam menyelesaikan segala urusan di lapangan terbang, dapat juga kami menaiki penerbangan. Badan yang begitu penat saya hempaskan sahaja di atas kerusi. Seterusnya memakai tali pinggang dan buka buku untuk dibaca. Meski penat tetapi saya tidak mampu untuk nyenyak memikirkan apa yang bakal terjadi pada perancangan saya di Malaysia nanti.

Buku terus dibaca sambil berbual dengan rakan di sebelah yang tidak menyangka saya satu penerbangan dengannya.

‘Siapa yang akan menjemput aku di lapangan terbang nanti ?’
‘Di mana aku bakal menginap setibanya aku di Malaysia nanti ?’
‘Duit poket aku cukup ke ?’
‘Siapa yang akan menemani aku ke sana sini ?’

 

Alhamdulillah, akhirnya kami semua selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Saat keluar dari lapangan terbang, saya melihat begitu ramai ibu dan ayah menunggu anak-anak mereka. Tidak kurang juga badan-badan tajaan negeri yang turut menunggu anak-anak negeri masing-masing.

Untuk saya, tiada keduanya. Saya menunggu seseorang yang saya minta tolong untuk menjemput saya. Pada mulanya, saya tidak dapat mencari ustaz tersebut. Tetapi akhirnya, setelah saya terlihatkan papan tanda yang dipegangnya, saya meluru ke arahnya.

“ Ustaz dari Pertubuhan IKRAM Malaysia ?”
Ustaz tersebut mengangguk.

Saya meneruskan bicara, “ Ana akhawat yang minta tolong tersebut. Ana ada bersama dengan seorang lagi akhawat tetapi dia menghala ke LCCT untuk meneruskan penerbangan domestik terus ke rumahnya. Ana seorang sahaja yang akan terus ke pejabat IKRAM Pusat. ”

Sepanjang berada di dalam kereta, saya mendiamkan diri. Malu untuk berkata apa-apa. Dalam hati memanjatkan kesyukuran kerana masih mempunyai tempat untuk berpaut di kala keseorangan begini. Untungnya duduk dalam jemaah kerana dapat berjumpa dengan orang yang boleh kita percayai dan boleh meminta tolong kepada mereka di kala kita sangat memerlukannya.

Meskipun dalam hati soalan ‘adakah aku telah menyusahkan jemaah aku sendiri?’ tidak berhenti berlegar-legar di kotak pemikiran, ini adalah langkah yang perlu saya ambil untuk meneruskan rancangan seterusnya.

“ Ustaz, terima kasih. ” ucap saya tatkala ustaz tersebut menunjukkan bilik dan mengangkat beg saya yang besar dan berat.

Kali ini, saya betul-betul penat. Saya berehat sebentar sambil melihat telefon untuk menghubungi mana-mana akhawat yang berada di sekitar kawasan tersebut. Namun, urusan tergendala kerana saya tidak mempunyai sebarang talian nombor telefon di Malaysia.

Lalu, saya membuat keputusan untuk turun berjumpa dengan seorang ukhti yang menjadi penyelia penginapan di situ. Sesi taaruf seperti biasa dan saya mengadu padanya atas segala masalah yang saya hadapi. Ketiadaan duit dan nombor telefon adalah masalah utama ketika itu. Lalu, pada waktu tengahari (waktu rehat) ukhti tersebut menolong saya menyelesaikan segala urusan tersebut.

Selepas Asar, saya meminta izin untuk naik ke bilik untuk berehat. Kali ini mata saya betul-betul berat. Saya membiarkan sahaja telefon di sebelah untuk memudahkan saya dihubungi oleh seorang ukhti yang duduk di Kajang.

Dia mengajak saya untuk tidur di rumahnya berbanding duduk sahaja seorang diri di situ. Hampir empat jam saya melelapkan mata. Sedar sahaja dari tidur sudah berpuluh-puluh miss called dari ukhti tersebut!
Tatkala mengangkat beg turun ke bawah saya terasa amat bersalah. Sudahlah ibu dan ayahnya ada bersama, bertambahlah rasa malu dalam diri !

Ayah dan ibunya begitu baik hati. Seangkatan di dalam jalan dakwah dan tarbiyyah memesrakan lagi kami. Hanya terima kasih yang tidak terhingga yang dapat saya ucapkan atas segala jasa baik mereka sekeluarga yang menumpangkan saya di rumah mereka.

Pada satu hari, saya menemani ukhti tersebut untuk temuduganya di sebuah madrasah. Pada awalnya, tafsiran kami pengetuanya hanyalah orang biasa namun telahan kami silap !

Dia bukan calang-calang orangnya. Begitu suci niatnya menubuhkan madrasah tersebut. Pengalaman beliau yang dikongsikan ternyata meyakinkan akhawat tersebut untuk bekerja di situ malah saya yang tidak meminta kerja turut rasa ingin bekerja bersama beliau ketika itu !

Dari gaya percakapannya, mempamerkan beliau seorang yang mempunyai fikrah walaupun sedikit tentang dakwah dan tarbiyyah tidak disebutnya. Cuma beliau menyebut bahawa dia pernah bersekolah di sekolah Al-Amin dan ibu saudaranya antara orang kuat yang terawal menubuhkan Sekolah Menengah Islam Hidayah di Johor.  Penangan tarbiyyah yang hebat di sekolah barangkali !

Pelbagai pesanan yang dititipkan kepada kami yang membuatkan kami berasa teramat kagum melihat peribadi dirinya.

Alhamdulillah, akhirnya ukhti tersebut bekerja di madrasah tersebut hingga sekarang ! Setelah itu, saya dan ukhti tersebut menghantar seorang ukhti yang juga turut mengikuti sesi temuduga ke rumahnya memandangkan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil.

Dan seterusnya kami meneruskan perjalanan melawat dua buah rumah akhawat yang berdekatan. Alhamdulillah !

Terlalu seronok bila kita dapat menziarahi rumah akhawat dan berkenalan dengan ibu bapa mereka. Peluang ini saya ambil sebagai satu peluang untuk bermuayashah. Kerana peluang sebeginilah yang akan mengajar kita betapa penting untuk berkomunikasi dengan orang yang lebih tua apatah lagi ibu bapa kepada sahabat-sahabat kita.

Dalam dakwah dan tarbiyyah, ibu dan ayah adalah salah satu elemen penting dalam pentarbiyahan anak-anak tidak kiralah ibu dan ayah tersebut menyertai mana-mana jemaah dakwah atau tidak. Bagi saya selaku di pihak anak-anak, khidmat terbaik seharusnya diberikan kepada mereka. Mudahnya, seorang daie yang sejati wajib ke atasnya untuk menjadi seorang anak yang taat perintah ibu dan ayahnya selagi tidak melanggar batas agama. Dakwah tidak menyekat kita daripada menjadi anak yang soleh atau solehah. Dan betapa penting bagi kita berjumpa dengan ibu bapa rakan-rakan kita !

1 September 2013
Saya sempat menghadirkan diri ke WAJIK (Walimah Jamaie IKRAM Kajang) kerana ada seorang ukhti yang begitu dekat dengan hati saya melangsungkan walimahnya pada hari tersebut. Tidak terlintas langsung saya direzekikan untuk menghadirkan diri ke majlis ini. Menariknya lain majlis ini lain dari yang lain. Seramai 10 pasang pengantin dirai. Mereka hanya berarak. Tiada pelamin disediakan. Terdapat ramai artis yang turut hadir membuat persembahan seperti Muadz, In Team dan ramai lagi. Cuma saya tidak berkesempatan untuk melihat kesemuanya dek kerana menjadi AJK Penyambut Tetamu untuk majlis ini.

sekitar WAJIK
sekitar WAJIK

 

Booth Aqsa Syarif di WAJIK
Booth Aqsa Syarif di WAJIK
pasukan kompang WAJIK
pasukan kompang WAJIK

Program ini juga banyak mentarbiyyah diri saya dalam menerima gaya pemikiran masyarakat umum yang begitu ramai menghadiri majlis ini. Meskipun niat pada awalnya adalah untuk mengasingkan tempat makan lelaki dan perempuan, namun kelihatannya mustahil kerana kebanyakan tetamu datang bersama keluarga. Namun, kesederhanaan yang terpamer dalam majlis ini saya kira boleh dijadikan qudwah buat masyarakat. Serta, kehadiran booth Aqsa Syarif, iBooks dan El Hazen yang turut memeriahkan lagi suasana.  Mana-mana pun, elemen dakwah dan tarbiyyah itu penting untuk diserapkan dan disampaikan kepada masyarakat.

Kerunsingan di dalam pemikiran saya terus berlaku.
‘ Bagaimana saya ingin ke Terengganu?’
‘Bersama siapa saya akan ke Terengganu?’

Saya ke sana dengan hajat untuk menyertai sebuah program outdoor anjuran akhawat di Agro Resort di Setiu, Terengganu. Alhamdulillah, setelah puas mencari teman, akhirnya saya berjaya berpakat dengan seorang ukhti yang mengajak saya untuk ke sana dengan menaiki penerbangan domestik. Mahal sedikit tetapi menjimatkan masa dan memudahkan urusan.

Pada malam sebelum saya bertolak ke sana, saya tidur di rumahnya dan akan bertolak bersamanya keesokan pagi. Rumahnya ketiadaan air, maka sebelum Subuh lagi sudah dibawa ke masjid berdekatan untuk berwudhu’ di sana. Dan kembali semula ke rumah untuk bersembahyang berjemaah. Kemudian, terus berkejar ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan.

Belajar daripada musibah adalah keperluan bagi seorang daie. Ketika musibah adalah sakitnya, ketika itulah dakwah menjadi pengubatnya. Ketika musibah menjadi satu masalah, maka dakwahlah yang menjadi jalan penyelesaiannya. Ketika musibah menjadi dugaan, maka dakwahlah yang mendamaikan hati kita. Sungguh, masalah ketiadaan air di rumah akhawat tersebut banyak mengajar saya untuk bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak ternilai ini !

(Terengganu : 2-6 September 2013)

Sampai sahaja di lapangan terbang, kami mengambil masa untuk bersarapan. Kemudian, terus ke surau memandangkan ukhti yang ditugaskan untuk menjemput kami lambat lagi tiba.

Melihatkan ukhti yang menjemput kami, dia membawa kereta sungguh hebat. Dan sebelum ini juga, saya telah berjumpa ramai dengan ukhti yang boleh memandu. Saya sendiri tidak lagi mempunyai lesen kereta maka agak susah bagi saya untuk ke sana sini melainkan hanya bergantung pada kenderaan awam.

Sungguh, jalan dakwah memerlukan daie yang boleh memandu untuk memudahkan pergerakan. Kerana pemandu-pemandu dakwah inilah yang akan memudahkan segala urusan. Ternyata, tuntutan kebolehan memandu adalah antara keperluan yang penting buat dua’t zaman moden. Seandainya telefon yang canggih juga perlu untuk seorang daie mudah berkomunikasi, maka telefon yang canggih adalah sesuatu yang wajib diusahakannya !

Sampai di Agro Resort, kelihatan beberapa orang akhawat yang telah sampai di sana. Banyak pengisian secara langsung mahupun tidak langsung yang dapat ditimba dari sana. Inilah indahnya tarbiyyah.

Tarbiyyah membenarkan diri kita untuk mengekstrak nilai-nilai tarbiyyah yang sebelum ini tidak kelihatan bagi kita pada permukaan pancaindera yang biasa. Kita perlu menggunakan hati sebagai pancaindera yang utama. Dan perlu membuka pintu hati untuk merasainya. Bagi yang menutup pintu hatinya, dia terlalu jauh untuk menghayati nilai tarbiyyah tersebut. Elemen-elemen sekeliling turut penting dalam membantu diri kita untuk terus mengikat diri kita pada tarbiyyah. Ciptaan hidup yang terdiri dari alam dan manusia mempunyai nilai pengajaran dan penghayatan yang tersendiri. Wahai para dua’t, sedarilah bahawa kita ini makhluk yang hidup. Maka hidupkanlah hati dengan sentiasa mengambil ibrah dalam kehidupan. Tanpa hati yang hidup, kehidupan ini hanyalah sebuah kematian.

Agro Resort Setiu, Terengganu
Agro Resort Setiu, Terengganu
Agro Resort Setiu, Terengganu II
Agro Resort Setiu, Terengganu II

Pada malam pertama program tersebut, saya dijemput untuk memberi pengisian yang lebih kepada muhasabah amalan di tanah air. Tidak banyak yang saya ceritakan. Saya sekadar mengingatkan tentang betapa pentingnya nilai amalan yang ihsan dan ahsan di sisi Allah S.W.T.

Keesokan harinya, pengisian sebuah hadis yang cukup indah. Hadis tersebut pernah saya ceritakan di dalam entri saya sebelum ini. Hadis yang dikenali dengan nama hadis kapal mengajar kita untuk memainkan peranan dalam masyarakat. Tanpa kesedaran dalam amar maaruf dan nahi mungkar, mustahil pada kita untuk menyanjung beban dakwah tersebut. Apatah lagi apabila pulang ke medan yang sebenar. Pergaulan kita dengan masyarakat sewajarnya lebih meluas untuk meluaskan sayap dakwah kita. Tidak wajar seorang daie itu ber’uzlah’ palsu dan meletakkan dirinya sebagai seekor katak di bawah tempurung besi !

Ustaz Munawwar-penyampai hadis kapal
Ustaz Munawwar-penyampai hadis kapal

Pelbagai aktiviti yang dijalankan di sana. Alkisahnya pada satu malam, aktiviti kebiasaan yang dilakukan di dalam hutan adalah night walking. Jam 12 tengah malam kami diarahkan untuk berkumpul dan diberi sedikit taklimat keselamatan. Penyelia kami yang dikenali dengan nama Pok Nik memberitahu kami pelbagai kisah yang ada di sebalik hutan yang bakal kami masuk sebentar lagi. Malah, ada pelajar yang pernah hilang selama berminggu-minggu  disorok bunian.

“ Ok. Dalam hutan ni kita kena guna password untuk keselamatan. Maka password kita untuk malam ni adalah hantu bungkus. Bila orang tanya hantu, jawab bungkusss…”

Semua terdiam mendengarkan password tersebut.
Bagaimana ingin melaungkan password tersebut dalam hutan malam gelap begini ?

“ Pok Nik, takda password lain ke ? Nasi lemak ke ? Teh tarik ke ?” soal salah seorang ukhti. Pok Nik menggelengkan kepala tanda kami perlu akur atas arahannya.

‘Hantu bungkus pun hantu bungkus la. Janji masuk hutan timba pengalaman’ bisik hati saya sendirian untuk menghilangkan rasa takut.

Hak Allah untuk membuka hijab di mana-mana sahaja. Jika ditakdirkan oleh Allah untuk menyaksikan apa-apa yang dirasakan mustahil untuk dilihat adalah untuk menguji keimanan, sama ada bertambah atau berkurang. Rukun iman yang keempat iaitu beriman kepada perkara-perkara ghaib adalah antara paksi keimanan seorang mukmin. Perkara-perkara ghaib sememangnya wujud dan pengetahuannya adalah hak milik Allah semata ! Wallahu a’alam.

Ketika berjalan di dalam hutan tersebut, keindahan alam memancar-mancar seolah menerangi kegelapan hutan. Daun-daun hutan menghasilkan cahaya (glow in the dark) mungkin antara tindak balas alam yang saya sendiri tidak tahu bagaimana prosesnya. Udara malam yang begitu segar dan sejuk menguatkan diri untuk terus berjalan sehingga tiba ke destinasi checkpoint yang pertama.

Sesudah tiba, kami dibenarkan untuk mengambil wudhuk di anak sungai berhampiran dan bersolat tahajjud dua rakaat. Indah sungguh nikmat ini.

Meskipun tiada sejadah yang tersedia, tanah yang menjadi tempat sujud ternyata membuatkan rasa kehambaan datang menyinggah ke dalam hati dan menginsafkan diri. Seisi hutan dan langit menjadi saksi penyembahan kami terhadap Tuhan yang Maha Esa. Terasa suasana alam yang begitu harmoni di mana seisi alam menyembah yang Maha Menciptakan dengan cara yang sendiri. Alam dengan caranya, kita dengan cara kita. Moga-moga penyembahan terhadap Ilahi tidak terhenti !

Masa tidak mengizinkan kami untuk meneruskan lagi perjalanan kerana kesuntukan masa. Maka, kami semua diarahkan untuk keluar dari hutan melalui jalan yang dikeluarkan. Kami solat subuh dan membaca ma’thurat berjemaah. Kemudian, terus terlena dek kerana terlalu penat malam tadi.

Hari-hari yang berbaki diisi dengan aktviti fizikal dari pagi hingga ke petang seperti musang terbang (flying fox), berkayak, water confident dan halangan-halangan di dalam hutan.

berkayak
berkayak

Namun, saya tidak dapat menyertainya kesemua sekali dek kerana kecederaan fizikal dalam kemalangan sebelum ini. Untuk terlalu aktif menggunakan kaki agak terbatas kerana masih ada rasa sakit yang bersisa. Sempat saya menjenguk, akhawat yang kelihatan sungguh seronok sekali dalam acara yang melibatkan air.

Bak kata Pok Nik, “ Mula-mula memang tak nak, takut. Tetapi bila dah main nanti, tengoklah. Seronok sampai tak nak balik.”

Qawiyul jismi (kekuatan fizikal) adalah keperluan bagi seorang daie untuk terus bergerak aktif dan cergas dalam jalan dakwah. Bukan bererti kita perlu jalan laju setiap masa, tetapi memastikan setiap langkah itu padu dan mantap. Badan kita bukan hanya mempunyai daya tahan imuniti yang kuat, malah daya tahan fizikal yang juga kuat. Kecergasan fizikal inilah yang akan mencerdaskan akal kita untuk sentiasa melaju berfikir tentang perihal-perihal dakwah !

Antara pengisian yang terkesan di hati yang dibentangkan adalah berkaitan generasi Rabbani yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Lokman Awang. Penerangannya mengingatkan kami semua akan peranan seorang rijal dakwah yang perlu sanggup mengorbankan apa sahaja demi jalan dakwah ini.

Ustaz Mohamad Lokman
Ustaz Mohamad Lokman

Dan Ibrahim mewasiatkan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. “ Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untukmu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” Apakah kamu menjadi saksi saat maut akan menjemput Yaakub, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, “ Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?” Mereka menjawab, “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu iaitu Ibrahim, Ismail dan Ishak, (iaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami (hanya) berserah diri kepada-Nya” (2:132-133)

Betapa penting kesinambungan Islam dalam sebuah generasi. Dan betapa penting juga kesinambungan dalam generasi ummat Muhammad. Tanpa Islam dan dakwah, generasi Rabbani tidak akan dapat dilahirkan. Malah, generasi tersebut akan dilenyapkan begitu sahaja ! Ke arah menuju generasi Rabbani, ada empat elemen penting yang diperlukan. Dakwah, peribadi dan organisasi, mengeluarkan tenaga seluruhnya dan perancangan yang rapi, serta akhir sekali meraikan maratib amal ke arah ustaziyatul alam. Moga kita dapat menjadi dan melahirkan generasi murabbi yang rabbani untuk menjaga kesucian dan mempertahankan dakwah ini, inshaAllah !

Malam sebelum bertolak pulang kembali ke Selangor, saya sempat melawat rumah Ustaz Lokman ditemani beberapa orang akhawat. Bersyukur saya dapat juga menyinggah ke rumah beliau memandangkan dari dulu lagi sudah menyimpan niat.

“ Mak cik baca mylittlepencil tu. Nanti cuba la tulis buku pulak.” kata zaujah beliau yang dikenali dengan panggilan Mak Cik Hayat.

Saya tertunduk malu. Sudah lama rasanya tidak menulis. Terlalu lama. Untuk menulis buku buat masa ini jauh sekali. InshaAllah, pada satu hari nanti. Mak cik Hayat banyak berkongsi cerita dengan kami sambil menjamu kami dengan pelbagai hidangan istimewa. Cerita demi cerita dibuka akhirnya saya mengetahui bahawa Mak Cik Hayat adalah naqibah kepada teman usrah saya di Pahang dahulu. Kata mak cik, dia merupakan seorang yang bagus dan hebat.

Berjumpa dengan pak cik mak cik yang sudah lama berjalan di atas jalan dakwah mengajar saya akan betapa pemuda-pemudi dakwah harus belajar untuk menyantuni mereka. Merekalah yang berpenat lelah melahirkan generasi kita zaman ini. Banyak hikmah yang perlu kita ambil daripada mereka daripada sekecil-kecil benda sehinggalah kepada perkara-perkara yang besar. Kata-kata mereka punya aura yang tersendiri. Peribadi mereka cukup hebat. Pengalaman mereka cukup mematangkan. Betapa untung kita mempunyai tauladan yang indah untuk kita ikuti !

“ Kecik sungguh alam ni. Nanti mak cik sampaikan salam saya pada kak aishah ya.” aku menyampaikan pesan pada mak cik Hayat. Tidak sempat rasanya untuk singgah ke mana-mana lagi. Bumi Terengganu sendiri tidak diteroka lagi kerana niat saya ke sana adalah semata untuk menyertai program dan berjumpa dengan pak cik mak cik yang mana sempat.

Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam pun hanya saya lihat dari atas jambatan sewaktu berada di dalam kereta. Nampaknya, memang kena mencari peluang lain lagi untuk ke sana. Keesokan paginya, saya berangkat pulang semula meninggalkan bumi Terengganu yang banyak mentarbiyyah saya.

Selamat tinggal Terengganu !
Selamat tinggal Terengganu !

 

akan bersambung…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s