Harapan Ramadhan

Bismillah.

Ramadhan terus berlalu hari demi hari. Terus berjalan meninggalkan manusia-manusia yang rugi. Beruntunglah bagi jiwa-jiwa yang mencari keuntungan dalam Ramadhan untuk menjadi hamba yang terbaik.

Namun untuk manusia manusia yang masih merasai kekurangan dalam usaha mereka pada bulan Ramadhan ini, masih tidak terlambat untuk mereka segera memperbaiki.

Kita masih punya hari-hari yang berbaki bersama peluang-peluang keemasan.
Masa yang perlu dimanfaatkan tidak akan menunggu, tetap hamba-hamba yang hidup dengannya perlu berlari-lari mengejarnya.

Peluang tidak akan direbut oleh orang-orang yang tidak mahu. Sebaliknya, peluang akan datang kepada yang mereka yang punya keinginan tinggi dan kemahuan yang kuat.

Harapan untuk Ramadhan…

*****
20130723-024641.jpg

Get in the Habit : Muhasabah Ramadhan yang lalu

Bagaimana tabiat-tabiat kita dalam Ramadhan-Ramadhan yang sebelum ini ?
Ambil masa seketika untuk kembali memainkan memori-memori kita yang telah lepas itu.

Sungguh, kita takut tabiat-tabiat kita yang buruk akan membunuh nilai iman dan amal kita. Tanpa sedar, tabiat yang sudah kita lazimi itu menyebabkan kita kurang peka akan nilai sebenar Ramadhan sehingga menjadikan kita hamba yang paling rugi setelah keluar dari madrasah sebuah Ramadhan.

Tabiat adalah satu perkara yang amat sukar untuk diubah dan dibuang. Tanpa sedar, tabiat itu secara automatik memonopoli diri kita lalu kita pun mengulanginya.

Di sinilah silapnya seorang mukmin.
Dia menganggap dengan tabiatnya itu mampu untuk mengubah dirinya sedangkan tidak !

Fikirnya, tabiat itu mendatangkan keuntungan sedangkan tidak !

Tabiat hanya akan berubah apabila seorang mukmin itu dia menyedari bahawa dirinya sendirilah yang mengawal segala tabiat tersebut. Dia akan sedar betapa dirinya sendiri memainkan peranan yang amat penting untuk mengubah satu tabiat.

Susah, tetapi tidak mustahil.
Payah, tetapi kita masih boleh berusaha.

Mukmin itu punya cara yang tersendiri untuk mengubah tabiatnya. Kita bermula dengan bismillah dan niat yang suci dalam melangkah ke alam tarbiyyah Ramadhan.

Niat itu yang akan mengubah setiap tabiat kita.
Tabiat yang buruk berubah menjadi tabiat yang baik.
Tabiat yang baik berubah menjadi tabiat yang lebih baik.

Inilah kuasa niat. Menguasai hati untuk melawan segala tabiat yang sudah sebati dengan kehidupan kita.

Tanpa niat, tabiat akan begitu mudah meliar sepertimana seekor haiwan. Tabiat menjadikan orang mengenali kita lebih dari diri kita mengenali diri kita sendiri.

Sehingga kita bertanya pada cermin, “Adalah aku memang begini?”

Apabila sudah terlalu liar, ketahuilah bahawa kita sedang mengejar gerbang kekalahan.

Tidak terlambat lagi untuk kita mulakan sekarang. Bismillah dan niat mulia.
Berbekalkan muhasabah Ramadhan-Ramadhan yang lalu, kita berjanji dengan diri kita sendiri untuk tidak akan mengulangi lagi tabiat-tabiat yang hanya mendatangkan kerugian!

Principle-centered never fail : Allah menjadi teras

Kita kalah lagi dalam memaknai dan memanfaatkan Ramadhan apabila kita hanya berteraskan Ramadhan ini hanya sekadar pada puasa fizikal semata.

Atau, kita sekadar memandang Ramadhan ini hanyalah sebagai satu bulan yang istimewa di mana pelik jika seseorang tidak merebut pahala di dalamnya.

Manusia yang mengamalkan gaya hidup Ramadhan-centered atau Ramadhan-oriented akan kalah. Mereka ini adalah golongan manusia yang hanya berubah ketika Ramadhan sahaja tanpa memilih untuk terus berubah.

Mereka ini golongan manusia yang hanya beriman dengan Ramadhan tanpa terlebih dahulu beriman kepada Tuhan yang menganugerahkan Ramadhan.

Mereka ini golongan manusia yang masih lagi tercari-cari akan hakikat taqwa di sebalik sebuah Ramadhan tatkala manusia yang lain sudah berjaya mengecapinya.

Mereka ini golongan yang hanya untung sementara, bukan untung selama-lamanya.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini ?
Mahukah kita ?

Sungguh indah sekali firman Allah. Puasa dikaitkan dengan taqwa adalah untuk mengajar manusia agar menjadikan-Nya sebagai teras dalam Ramadhan. Menjadi hamba yang muttaqin dan rabbani.

Ramadhan datang sebagai wasilah. Bukan sebagai natijah. Jika dihitung, memang ramai manusia yang berpuasa dan menganggapnya sebagai natijah seorang hamba.

Bersahur adalah garisan pemula dan berbuka adalah garisan penamatnya.
Maka, larian atau pecutan mereka sekadar antara dua garisan ini sahaja.

Tergolonglah mereka ini dalam golongan larian ‘wasilah’ semata. Tidak dapat mengecapi kemenangan yang sebenar meski telah sampai ke garisan penamat pada setiap hari dalam Ramadhan.

Sedangkan kehendak Sang Ilahi itu berbeza.
La’allakum tattaqun.

Be proactive : Ruh kita adalah tenaganya

Jadilah hamba Allah yang proaktif. Bukan sekadar hamba Ramadhan yang proaktif. Habis sahaja Ramadhan, terus pasif.

Ini juga kesilapan kita yang kita lakukan tanpa kita sedar.
Kita merasa cukup dengan sekadar menjadi proaktif untuk Ramadhan.

Ibarat pahala untuk bulan bulan lain dikejar dalam Ramadhan.
Seterusnya apabila Ramadhan yang kemudian datang, kitaran ini akan dia ulangi.

Lama kelamaan, ruhnya sudah terlatih sebegitu. Ruhnya akan lemah di kala bulan-bulan lain, tetapi segar ketika Ramadhan.

Ruh-ruh sebegini adalah ruh-ruh yang kosong.
Ruh yang tidak mempunyai tenaga.
Ruh yang tidak mampu menjadi bekal untuk berjumpa dengan Ramadhan yang seterusnya.

Sudahnya, si pulan tadi hanya mempunyai ruh Ramadhan, bukan ruh seorang hamba.

Kasihan sungguh pada ruhnya.
Hanya menguasai jasad tuan badan ketika Ramadhan. Pada masa yang lain, ruh ini ibarat tidak punya tuan.

Kasihan sungguh pada ruhnya.
Ketika Ramadhan, segar-bugar. Sesudah Ramadhan, ruh ini ditidurkan. Bila Ramadhan tiba lagi, barulah ruh ini dikejutkan kembali.

Alangkah ruginya !

Ramadhan yang menguntungkan adalah Ramadhan yang melahirkan seorang hamba yang memperoleh natijah sesuai dengan kadar usahanya.

Bermula dengan natijah, ketaqwaan itu kita jadikan inspirasi untuk terus kita berusaha bermula dari satu tempoh masa yang bernama Ramadhan.

Kita mula langkah sedikit demi sedikit. Sesuai dengan kemampuan (iman) diri kita sendiri. Jangan tidak mulakan apa-apa langkah. Kita harus maju walau setapak.
Kita harus ke hadapan walau langkahnya perlahan.

Dalam Ramadhan, belajar untuk mengutamakan apa yang patut dan diperlukan. Jangan dek kerana terlalu mengejar pahala Ramadhan sampai kita terlupa bahawa natijahnya bukanlah sekadar pahala yang berlipat kali ganda, malah lebih dari itu.

Jangan berhenti berharap pada Ramadhan.

Sekian,
mylittlepencil

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s