Ramadhan : bukan sekadar masa

Bismillah.

Alhamdulillah, telah berlalu beberapa hari dalam Ramadhan.
Tahniah bagi mereka yang telah menjayakannya dengan penuh kejayaan.

Seluruh alam kelihatan riang menyambutnya.
Tidak kira alam apa, keindahan Ramadhan pasti jelas tergambar.

20130714-143714.jpg

Paling meriah, alam maya yang penuh dengan kata kata semangat tentang Ramadhan.
Penuh dengan video video dan lagu lagu menarik tentang Ramadhan.
Penuh dengan gambar gambar tentang Ramadhan.

Namun, di alam realiti para mukminin yang sedang berpuasa ini tidak begitu.
Indah khabar dari rupa.
Ramai sekali yang tertewas.

Adapun Ramadhan telah banyak kali mendatangi ummat Islam, tetapi masih taqwa iu teramat susah untuk dimiliki oleh para mukminun yang berpuasa pada bulan mulia ini.

Di manakah silapnya pada kita yang telah dianugerahkan bulan mulia ini ?

*****
Apakah nilai Ramadhan sebenar buat jiwa jiwa orang yang beriman ?

Nilai Ramadhan bukanlah sekadar pada masa yang hanya terhad pada waktu bersahur dan berbuka. Ramadhan bukanlah bernilai antara azan Subuh dan azan Maghrib semata.

Tidak ! Nilai Ramadhan adalah lebih dari itu.

Terlalu ramai manusia menganggap Ramadhan ini adalah satu tempoh masa.
Apabila hal ini terjadi, maka manusia mula merangka jadual Ramadhan mengikut sesuka hati.

Jika jadual tersebut dipenuhkan dengan amal amal yang soleh tidak mengapa. Tetapi, andai jadual tersebut dipenuhkan dengan sikap suka bertangguh, sikap malas dan sikap tidak merasa rugi sedikitpun adalah satu masalah yang besar.

Ya, duduk bersenang lenang menikmati Ramadhan tanpa merasa rugi sedikitpun.

” Tidak mengapa. Ramadhan masih panjang lagi.”

Malah, lebih teruk lagi jika ada yang menganggap bulan Ramadhan ini adalah bulan yang paling baik untuk dijadikan alasan untuk berehat setiap masa.

Inilah kelemahan kita yang paling utama. Ummat Islam hanya membataskan iman mereka untuk sekadar mengimani Ramadhan ini adalah tempoh satu bulan atau sekadar satu tempoh masa.

Pada kita, sudah cukup istimewa jika ditambah dengan kurma ketika berbuka dan bertarawih pada malamnya. Ini sudah dianggap cukup untuk satu bulan yang bernama Ramadhan.

Ramadhan adalah bulan latihan bagi para mukmin.
Buat para dua’t, Ramadhan ini adalah latihan bagi tarbawi dan dakwi diri mereka.

Betapa untung !
Kita dilatih untuk menang dikala penganut agama yang lain tidak menerima latihan yang hebat seperti ini.

Apabila kita benar benar mengimani bahawa bulan Ramadhan ini adalah satu bulan latihan, maka kita tidak akan melepaskannya begitu sahaja.

Kita akan memanfaatkan saat saat yang kosong untuk sentiasa beribadah kepadaNya.
Kita akan berusaha untuk meninggalkan segala urusan urusan yang hanya melekakan diri daripada menghayati Ramadhan.

Secara tidak langsung, kita akan berjaya memupuk sikap ihsaan dan itqaan terhadap Ramadhan. Dan hasilnya, akan terbentuklah taqwa dan keikhlasan dalam menjalani latihan pada bulan Ramadhan.

Sungguh, Ramadhan merindui orang orang mukmin yang begini.
Begitu ikhlas dalam Ramadhan.
Begitu ikhlas menyerahkan diri kepada Tuhan.
Menjadi hamba yang Rabbani, bukan Ramadhani.

Ramadhan tidak meminta untuk kita menyembahnya.
Ramadhan meminta kita untuk kita menyembah Tuhan yang menciptakannya.

Ramadhan yang sebenar tidak akan akan datang kepada orang orang yang tidak merinduinya.
Bagi orang orang biasa, kedatangan bulan ini hanyalah seperti bulan bulan yang biasa. Cuma bezanya, bulan ini adalah bulan yang dianjurkan untuk berlapar dan dahaga.

Ramadhan hanya dapat dihayati oleh jiwa jiwa yang merinduinya.
Jiwa jiwa yang merinduinya sahaja yang akan rela untuk menjalani latihan tersebut.

Latihan Ramadhan adalah latihan peperangan. Hati akan cuba untuk mengalahkan segala anggota badan yang lain.

Di kala perut berbunyi bunyi minta untuk diisi, mata memandang berjenis jenis makanan yang lazat terhidang, hidung pula menangkap bau yang enak dan di saat tangan kanan ingin mengambilnya…

Hati menahan dengan menggunakan segala kuasanya sebagai raja badan, ” Jangan, kau sedang berpuasa!”

Lalu, pancaindera tadi terhenti daripada kita terus melayaninya. Anggota tubuh badan yang lain tunduk dan patuh pada arahan sang raja.

Inilah latihan dalam Ramadhan.
Ramadhan adalah latihan untuk hati itu sentiasa menang ke atas anggota badan yang lain.

Betapa besar kuasa sebuah hati dalam diri seorang manusia.
Dirantai semua syaitan dan iblis ketika Ramadhan untuk melihat ketahanan hati hati kita semua tanpa kehadiran musuh musuh dari luar.

Perang itu hanyalah antara raja tersebut dengan segala bentuk dan jenis nafsu yang ada.
Apabila menangnya hati, maka kalahlah segala nafsu yang ada.

Maka, apa kaitannya dengan ketaqwaan yang Allah firmankan sebagai hasil utama Ramadhan ?

Taqwa itu miliknya sang raja. Tempatnya di hati.
Allah tidak melatih taqwa itu secara terus. Allah melatihnya secara tidak langsung.

Allah ingin melatih hati hamba hambaNya. Itulah target utama Ramadhan iaitu merubah hati hamba hambaNya kepada hati hati yang lebih baik.

Sungguh, Allah menggunakan cara yang teramat unik sekali dalam melatih hamba hambaNya bukan ?

Hati ini sifatnya persis sebuah tempat. Tempat yang menyimpan segala sifat.
Maka, dengan latihan Ramadhan ‘tempat’ itu akan menjadi baik. Maka, jika pemilik pemilik tempat itu berjaya menjaga ‘tempat’ itu dengan baik akan lahirlah natijah natijah yang mulia sahaja.

Jika sebaliknya, pemilik pemilik tempat itu hanyalah akan menjadi orang yang biasa sahaja.
Tempat itu tidak akan berubah, tidak akan naik tarafnya.

Berlalulah beberapa Ramadhan sekalipun, hatinya hanya seperti pondok usang yang hanya menunggu masa untuk roboh. Dinding dinding kayunya yang sudah dimakan anai anai. Sudah atapnya pula bocor tidak lagi mampu menghalang hujan.

Betapa kasihan.

Hati seperti inikah yang kita mahukan sesudah Ramadhan ?

Ambillah segala kesempatan yang ada dalam Ramadhan sementara masih ada dan masih lagi memilih kita semua untuk berada di dalamnya.

Memandangkan hati hati kita semua telah dipilih untuk menjalani Ramadhan, maka relakanlah hati untuk sentiasa dilatih dan diubah.

Sifirnya senang. Kita yang telah menjadi yang terpilih, maka gunakanlah dengan sebaiknya.

Jika tidak, kita adalah orang yang paling rugi.
Berhentilah memandang Ramadhan ini sebagai satu kerangka masa.
Cuba pandang Ramadhan ini dengan pandangan iman.

Pandangan iman inilah yang akan menyelamatkan kita daripada tertewas dalam bulan Ramadhan.

Pandangan inilah yang akan mengubah segala persepsi sebuah Ramadhan.

Ambillah Ramadhan ini sebagai kata kata nasihat buat hati hati kita semua.
Kata kata nasihat yang disuarakan oleh Tuhan untuk merubah hati hati kita semua.

Mari kita ubah syiar dan azam untuk Ramadhan kali ini agar kenikmatan sebuah Ramadhan benar benar dapat dirasai.

Sekian,
mylittlepencil
-sekadar catatan pendek untuk menginsafi diri dalam Ramadhan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s