rumah dan ahli-ahlinya pun mati

Bismillah.

Terlalu rindu untuk menulis sehingga mampu membuatkan saya terasa amat kering sekali. Hampir terlupa diri ini sebenarnya seorang penulis dakwah. Bukan seperti penulis biasa, saya adalah penulis yang menggerakkan penanya kerana Allah.

Ya Allah, saksikanlah !
Saksikanlah hasil-hasil tulisanku ini dan gerakkanlah hati dan jasadku agar mampu mengamalkannya.

****

Bila ditanya tentang rumah, apa yang tergambar dalam pemikiran anda ?

“ Tempat rehat.”
“ Duduk rumah ni penat, banyak kerja rumah nak kena settle.”
“ Rumahku syurgaku.”

Dan, ada juga yang mengadu,

“ Duduk di rumah hanya menambah kekecewaan. Tidur rumah orang lain lagi seronok.”

Sungguh, bukan senang untuk mencipta suasana yang indah di dalam sebuah rumah kerana berbeza ragam manusia yang menjadi ahli rumah tersebut. Makin bertambah ahli rumah, makin rumit ragamnya!

Bagi saya sendiri, duduk di dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini banyak mengajar saya bagaimana menjadikan seluruh kehidupan ini adalah satu tarbiyyah.

Tinggal bersama akhawat di dalam sebuah rumah pun punya tarbiyyah yang tersendiri.
Jika pulang ke negara tercinta, di rumah bersama ibu dan ayah serta adik-beradik yang lain juga punya nilai tarbiyyah yang tersendiri.

Tidak dapat tidak, kita harus belajar  untuk mengendalikan tarbiyyah ketika berada di rumah dengan baik kerana kita yang menjadi ahlinya.

Pernah satu ketika dahulu, saya ditegur kasar oleh seorang ukhti kerana saya punya saya terlalu sibuk di luar dan jarang pulang ke rumah. Nota bertulis  ‘Rumah ni bukannya hotel.  Main keluar masuk macam tu je.’ ditampal berhampiran dengan pintu keluar rumah.

Pertama kali membacanya, hati saya cukup pilu.
Kali kedua membacanya, hati saya masih lagi pilu dengan teguran yang kasar itu.
Kali ketiga membacanya, timbul rasa marah pula terhadap ukhti tersebut.

Apabila saya mengenang kembali nasihat itu sekarang, saya muhasabah.
Ada benarnya tentang kata-kata tersebut. Saya tidak patut melupakan rumah saya sendiri meskipun terlalu sibuk di luar dengan kerja dakwah.

MENGENDALIKAN RUMAH DENGAN IMAN
Sungguh, iman adalah sumber terbaik kehidupan.
Sumber untuk menggerakkan ruhiyyah dan jasadiyyah seorang hamba.

Bilamana ahli-ahli sesebuah rumah itu tidak menjaga iman mereka, ketahuilah sebenarnya rumah itu sedang menuju kematian.

Rumah yang tidak dihidupkan oleh iman adalah rumah yang sebenarnya sedang nazak.
Bila tidak dicahayai iman, rumah itu seolah menjadi kubur di dunia.

Rumah itu mulai kelam dari hak-hak ukhuwwah.
Rumah itu mulai malap daripada tazkirah dan tazakiyyah yang sentiasa menyucikan hati ahli-ahlinya.
Dan ahli-ahlinya pun  mula tidak endah dengan tanggungjawab terhadap sebuah rumah.

Rumah itu akan hanya menjadi tempat melepaskan lelah di atas katil yang empuk.
Rumah itu sekadar menjadi tempat persinggahan.

Sampailah satu tahap kita merasakan, lebih seronok berada di rumah orang lain berbanding rumah sendiri.
Sampailah satu tahap kita merasa terlalu sedih dengan keadaan rumah kita sendiri dan kita tidak mampu untuk memperbaikinya kerana tidak mendapat sokongan daripada  ahli rumah yang lain.

Sampailah satu tahap kita mula merasakan tidak yakin dengan tarbiyyah sebuah rumah yang dihuni oleh orang-orang yang sama seperti kita. Kononnya, rumah orang-orang bertarbiyyah !

“ Mengapa saya harus merasai tarbiyyah duduk di dalam rumah Islam (RI) ?”

Tidak peliklah, andai masih lagi ukhti kita yang takut untuk tinggal di sebuah rumah Islam. Mungkin terlalu banyak cerita yang mereka dengar. Pastinya, cerita yang mereka dengan tersebut bukanlah cerita yang karut. Cerita tersebut adalah kisah benar !

Mari kita renung semula apa yang telah kita sumbangkan terhadap sebuah rumah.
Mungkin sahaja kita hanya banyak meminta daripada banyak memberi.

Rumah Islam adalah tempat untuk kita melatih segala nilai-nilai tarbiyyah yang kita dapat.
Rumah adalah tempat aplikasi iman kita.

Di dalam sebuah rumah, kita belajar untuk menghidupkan sebuah biah (suasana) yang solehah.
Rumah bukan sekadar tempat rehat dek kerana keletihan fizikal, malah jauh lebih tinggi nilainya.

Rumah juga adalah tempat untuk kita mencari tenaga semula untuk iman kita.
Kebersamaan dengan ukhti-ukhti menjadi pengubat kita di kala penat dan kecewa.
Senyuman ukhti-ukhti  menjadi ubat penenang dan kemudian menambah lagi semangat kita untuk terus bergerak.
Rumah Islam itu ibarat cermin.

Kita dapat melihat semula diri kita yang sebenar.
Adakah kita telah benar-benar berjaya menegakkan Islam itu di dalam diri kita sendiri dan di dalam rumah yang kita tinggal ?

Atau rumah Islam itu sekadar rumah Islam yang hanya pada nama ?

Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (66 : 6)

Meskipun ahli-ahli rumah itu bukan keluarga yang diikat dengan ikatan darah, tetapi ketahuilah ahli-ahli rumah Islam itu adalah sebuah keluarga yang diikan dengan ikatan aqidah dan iman.

Ditambah lagi dengan ikatan dakwah dan tarbiyyah yang mengukuhkan lagi ikatan tersebut.
Maka, jadikan rumah itu adalah tempat untuk kita membantu antara satu sama lain dalam urusan dunia mahupun akhirat.

Percayalah, andai sebuah rumah itu dihidupkan dengan ruh iman yang benar-benar segar  dan memuncak, ahli-ahlinya pun akan sentiasa segar dan tinggi hammasahnya di dalam jalan dakwah.

Bukan sekadar itu, rumah tersebut juga akan menjadi seperti magnet yang mampu menarik manusia-manusia luar ke dalam jalan dakwah.
Sungguh ajaib bukan !

Andai iman dan tarbiyyah itu belum lagi berakar umbi di dalam diri kita, maka perbaikilah diri kita sendiri terlebih dahulu.

Rumah Islam bukanlah tempat untuk kita mencari segala jenis kekurangan yang ada pada ahli-ahli rumah tersebut. Rumah Islam adalah tempat  untuk kita saling melengkapi antara satu sama lain.

“ Ukhti tu nampak je hebat di luar, tapi pinggan sendiri pun tak pernah nak basuh.”

Jadikanlah rumah Islam kita tersebut hanya untuk Allah semata.
Rumah Islam itu bukan sekadar pada namanya yang hebat, tetapi ahli-ahlinya sama hebat !
Ahli-ahli rumah Islam itu bukan sekadar aktif berdakwah di luar, namun dia turut membawa pulang dakwah dan tarbiyyah ke rumah.

Bukannya melangkah masuk ke dalam rumah, dakwah dan tarbiyyah ini ditinggalkan di luar.
Masuk ke dalam rumah dengan hati dan jiwa yang kosong.
Masuk ke dalam rumah hanya membawa balik kepenatan.

Dan akhirnya, bermulalah satu fatrah futur yang tidak kelihatan di luar. Hakikatnya secara batin, kesemua ahli rumah tersebut sudahpun futur !

home-sweet-home

Berikanlah ruh iman dan Islam kepada rumah anda tersebut kerana itu ruh yang terbaik buat sebuah rumah.

Rumah Islam,
hadiqah  syurga dunia,
matahari  kebenaran yang menerangi gelapnya dunia,
ajaib kuasanya,
ahli-ahlinya bahagia,
manusia terpegun melihatnya.

Rumah Islam,
bukan tempat sorok jahiliyyah ahlinya,
tatkala manusia bangga melihat dirinya di luar,
pulang ke rumah habis belang ditunjuknya.

Rumah Islam,
bangunan kecil sebelum terbinanya mabna ustaziyatul Islam,
andai jatuh bangunkannya semula,
jangan cepat mengalah,
tabah menuju puncak,
gemilangnya cahaya sebuah rumah Islam.

Rumah Islam,
ahlinya tidak tegar menghidupkannya tanpa cinta,
dengan cinta segalanya menjadi mudah,
tanpa cinta tanda gelap jiwa,
dengan cinta rasa bahagia,
tanpa cinta terasa hilang rahmat dan nikmat,
cinta terbaik adalah cinta kepada jalan-Mu,
kaki terbaik adalah kaki ahli-ahli yang berderap langkah,
penuh teratur menuju-Nya.

RUMAH ISLAM KITA ADALAH RUMAH PEKERJA-PEKERJA DAKWAH
“ Akhawat semakin hilang common sense. Balik rumah penat sampai terlupa ada ahli rumah. Balik rumah mengadap laptop, mengadap whatsapp takpun tengok FB sampai mengantuk. Lepas tu, terus tidur. Layakkan ukhuwwah diperkotak-katikkan dek kerana kesibukan kerja dakwah ? ”

Saya akui, inilah keadaan yang berlaku dalam rumah pekerja-pekerja dakwah.
Pulang dalam keadaan yang begitu penat.
Ada yang pulang dari usrah berjam-jam lamanya.
Ada yang pulang dari mesyuarat yang juga berjam-jam lamanya.
Sudahlah kuliah pengajian dari pagi, memang terkadang ada urusan atau tanggungjawab di dalam rumah yang tidak dapat dijalankan sebaiknya.

Namun, wajarkah kita membiarkan rumah kita hambar begitu sahaja ?

Aduhai pekerja-pekerja dakwah,
betapa penat jiwa kita sebenarnya tatkala membiarkan suasana kehidupan kita hambar begitu sahaja.
Hati kita merasa tersiksa tetapi kita tidak cuba untuk mengatasinya.

FAMILY MEMBERS ARE CONSTANTLY WORRYING

Tinggal di dalam sebuah rumah Islam sepatutnya kita merasa selalu risau terhadap ahli-ahlinya. Seperti ibu atau ayah yang risaukan anak-anak, seperti itu jugalah kita sepatutnya.

Kita risau andai berlaku sesuatu yang tidak enak di dalam sebuah rumah. Bila kita kerapkali merasa risau, kita akan merasa lebih sensitif untuk memperbaiki segala kesalahan atau kekurangan yang ada.

Ukhuwwah yang terjalin sesama ahli rumah menjadikan kita tidak lupa untuk menyampaikan dakwah kepada ahli rumah sendiri. Sungguh, amalan saling berpesan-pesan itulah sebenarnya menghidupkan sebuah rumah !

Normal jika anda merasakan payah untuk menyampaikan dakwah kepada orang yang berhampiran dengan anda kerana mereka mungkin tahu tentang masa silam anda, ataupun mungkin kerana anda terlalu malu untuk berhadapan dengannya.

 

Lihatlah keletah Abu Jahal, bapa saudara Rasulullah S.A.W sendiri yang teramat benci dengan dakwah Baginda. Maka, tidak hairanlah jika keadaan yang sama berlaku kepada kita seandainya orang yang hampir dengan kita amat susah untuk menerima dakwah.

 

Namun, dakwah Rasulullah S.A.W pertama diterima oleh as-sabiquunal awwalun  (golongan terawal) yang berada di dalam rumah Baginda sendiri. Menandakan tidak mustahil bukan ?

 

Setiap ahli rumah tersebut juga wajib merasakan mereka perlu menjadi qudwah buat ukhti-ukhti mereka  selain menjadi qudwah hanya kepada orang di luar rumah. Maka, wajiblah mereka untuk menjadi duta Islam yang ternama bukan hanya pada pandangan ummah, malah pada mata ukhti-ukhti mereka sendiri  juga!

SAVE YOURSELF FIRST, THEN YOU CAN SAVE THE OTHER


“ Peliharalah dirimu dan keluargamu… ” (66 : 6)

Untuk memperbaiki keadaan, kita wajib memulakannya daripada diri kita sendiri. Kemudian, barulah kita mengajak yang lain untuk memperbaikinya bersama-sama.

Jika ada perubahan yang ingin dibuat, mulakan dengan diri anda sendiri. Jangan mengharapkan ahli rumah lain terlebih dahulu yang akan berubah.

Anda silap !
Untuk mengajak mereka juga berubah bersama-sama, anda terlebih dahulu wajib menunjukkan perubahan di dalam diri anda.

 

When you don’t save yourself first, no matter how hard you try to save the others is pointless.

 IF SOMETHING GOES WRONG, THE YOU SHOULD REPENT TO ALLAH S.W.T.

Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengampunkan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengannya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata, “ Ya Tuhan kami, sempurnakanlah untuk kami cahaya kami dan ampunilah kami, sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. ” (66 : 8)

Jika kita membuat kesalahan, jangan cari alasan. Terus bertaubat kepada Allah S.W.T kerana itulah sebaik-baik pengembalian kepada-Nya.

 

Bila sudah bertaubat dengan Allah, kemudian mohon maaflah terhadap ahli rumah kita yang mungkin telahpun kecewa dengan ragam diri kita tanpa kita sedar. Mungkin sahaja mereka sudah menyampah dengan tabiat buruk kita.  Mungkin sahaja mereka terasa hati dengan tindak-balas kita.

 

Mungkin sahaja satu hari nanti, tahap amarahnya akan mencapai batasan.
“ Hoi boleh kau kemas sikit tak barang kau yang bersepah ni. Jangan sampai aku tak dapat beza mana satu rumah, mana satu lubang tikus. Huh.”

 

Wahai pekerja-pekerja dakwah,
jangan jadikan sibuk sebagai alasan untuk kita melepaskan diri dari tanggungjawab-tanggungjawab yang lain kerana Allah memerhati dan mengadili kita pada  setiap tanggungjawab yang kita ada.

 

“ Nak tengok rumah orang yang bersepah, tengoklah rumah akhawat.”

 

Jangan kotori dakwah ini dengan fitnah yang datang dari kesalahan-kesalahan kita sendiri.
Yakinlah, kita mampu mengubahnya !

Sekian,
mylittlepencil

One thought on “rumah dan ahli-ahlinya pun mati

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s