sijil kematian

Bismillah.

Entri pertama untuk Mac ini.

*******

Bila disebut tentang mati, kita tidak dapat menggambarkan bagaimana situasinya yang sebenar. Apabila mula ruh ditarik perlahan-perlahan sampailah ruh itu meninggalkan jasadnya, ia adalah rahsia milik Allah.

Kadangkala, kita merasakan kematian itu dekat dengan kita. Kadangkala kita merasakan kematian itu masih lagi jauh. Pastinya, semua manusia tidak akan diberitahu bila waktu kematiannya. Apabila ajal tiba, tidak akan berkurang atau terlebihpun saat kematian tersebut.

Kematian adalah bukti kita sebagai seorang hamba. Kerana semua makhluk ciptaan-Nya akan mati. Mana mungkin makhluk ciptaan-Nya akan hidup dan kekal seperti-Nya kerana Maha Hidup dan Maha Kekal adalah milik-Nya semata !

Tidak dapat tidak, kematian ini harus kita jadikan sebagai satu persediaan.
Satu persediaan untuk pengembaraan yang seterusnya.

Apa yang mati hanyalah jasad kita.
Terhentinya hubungan kita dengan alam dunia ini.

Tamat sudahlah waktu untuk kita melangsaikan segala tanggungjawab kita di atas muka bumi ini.
Tiada lagi saki baki waktu untuk kita menyempurnakan tujuan kita diciptakan.

Saat itu, barulah kita menyedari betapa singkatnya waktu kita berada di dunia dahulu.
Kita merasakan perjalanan hidup kita panjang sedangkan sebenarnya perjalanan hidup kita ini terlampau singkat jika mahu dibandingkan tanggungjawab yang perlu kita tunaikan.

Andai manusia menyedari betapa singkatnya masa hidup di dunia ini, pasti semua manusia akan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan dan mengejar keampunan dari-Nya.

Dia (Allah ) berfirman, “ Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi ? ”. Mereka menjawab,
“ Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada mereka yang menghitung.” Dia (Allah) berfirman, “ Kamu tinggal (di bumi) hanya sebentar sahaja, jika kamu benar-benar mengetahui.”
(23 : 112-114)

Ruh kita masih lagi menanti-nanti keputusan dari-Nya.
Di saat ini, ruh kita pula berhubungan dengan dunia yang seterusnya.

Sungguh, inilah kanvas kehidupan yang sebenar.
Apabila seorang manusia itu menempuh satu demi satu alam yang wajib ditempuhinya, manusia itu akan melengkapkan fitrah penciptaannya iaitu, datang daripada-Nya dan kembali kepada-Nya.

Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami ? (23 : 115)

Kematian adalah titik tolak kepada pengembaraan yang sebenar.
Pengembaraan selepas alam kematian adalah peringkat awal penghisaban dari Allah S.W.T.
Kerana itu, akan terdapat perbezaan keadaan manusia di hari pengakhiran kelak.

Pengembaraan selepas alam kematian ini adalah pengembaraan yang cukup berbeza.
Pada waktu ini, setiap dari hamba Allah itu akan membawa tanggungjawabnya sendiri.
Di kala waktu yang amat dahsyat ini, manusia tidak akan sempat menoleh pun melihat manusia yang lain.

Pengembaraan selepas kematian ini menjangkaui imaginasi kita.
Segalanya terlampau dahsyat !

Hanya hamba-hamba-Nya yang beriman, mentadabbur penuh khusyuk akan merasai betapa hari akhir dan mampu membayangkannya.
Kerana itulah, percaya pada hari akhirat adalah salah satu daripada rukun iman.

Iman adalah landasan yang terbaik untuk kita membayangkan segala perkara ghaib.
Hanya dengan iman, seorang hamba itu mampu yakin terhadap perkara-perkara yang luar dari kotak pemikirannya.

Dengan iman, kita mampu merasai kedatangannya !

BAGAIMANA KITA MAHU MATI ?
Mati tersenyum bahagia ?
Mati dalam keadaan menyayat hati dan sia-sia ?
Mati yang diingati sampai dibina tugu khas yang tertera nama kita di atasnya ?

Mati bagaimana yang kita inginkan ?

Bagaimana yang terkandung di dalam persoalan di atas bukanlah satu cara untuk mati. Maksud saya yang sebenar dengan perkataan bagaimana adalah persediaan kita dalam menghadapi kematian diri sendiri pada satu hari nanti.

Mati yang kita impikan adalah mati yang meng’hidup’kan !
Mati yang kita impikan adalah mati yang membawa hati yang cukup suci dan bersih.
Mati yang kita impikan adalah mati yang tinggi darjatnya.

Mati yang kita impikan adalah kematian yang menguntungkan !
Lalu, bagaimana mahu mencari keuntungan dengan kematian ?

Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah ? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, demikian itulah kemenangan yang agung. (9:111)

Menyambut kematian bukanlah seperti menyambut tetamu-tetamu biasa.
Menyambut kematian adalah menyambut kedatangan Malaikat Maut yang akan menjalankan tugasnya tanpa belas kasihan, tanpa sebarang pertanyaan apatah lagi meminta keizinan daripada orang yang akan dicabut nyawanya.

Dia akan menuruti perintah Allah yang Maha Esa dengan penuh taat.
Tidak mengira apa jua faktor, meskipun orang itu masih lagi muda, tidak punya apa-apa penyakit, malah dia seorang hamba yang baik, jika sudah sampai ajalnya, maka tidak akan ada satu pun kuasa yang mampu melawannya !

Kematian adalah ketentuan yang perlu dihadapi dengan penuh persediaan.
Sungguh, membuat persediaan terhadap sesuatu yang kita tidak ketahui masa dan tempatnya dengan spesifik adalah sangat susah kerana dunia akan terus melekakan manusia daripada mengingati kematian.

Manusia ternyata lebih bersedia dengan perkara yang sudah mempunyai tarikh dan tempat. Dan apabila tarikhnya semakin mendekat, rasa takut dan gementar mula datang.

Inilah reflek seorang manusia biasa.
Lalu, bagaimana pula reflek seorang hamba yang beriman ?

Dia juga berasa takut dan gementar menanti saat kematiaannya. Bagi hamba-hamba yang beriman, menyambut kedatangan satu perkara yang tidak pasti itu lebih penting persediaannya berbanding perkara yang sudah pasti.

Mengapa hamba-hamba yang beriman punya sensitiviti yang begini ?
Kerana hidup seorang hamba yang beriman itu penuh dengan perancangan. Perancangannya meliputi kehidupannya di dunia dan di akhirat kelak. Perancangannya diatur penuh teliti. Perancangannya bermanfaat untuk setiap detik saat yang direzekikan kepadanya.

Kerana itu, seorang hamba yang beriman itu dia perlu cemerlang di kedua-dua lapangan, lapangan dunia dan lapangan akhirat. Dia cemerlang dalam memakmurkan dunia, dan dia juga cemerlang di sisi Allah sebagai seorang hamba yang rabbani.

…….Maka di antara manusia ada orang yang berdoa, “ Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,” dan di akhirat dia tidak memperoleh bahagian apa pun. Dan di antara mereka ada orang berdoa, “ Ya Tuhan kami, berilah kebaikan di dunia dan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka.” Mereka itulah yang memperoleh bahagian dari apa yang telah mereka kerjakan, dan Allah Maha Cepat perhitungan-Nya. (2 : 200-202)

Kembali kepada persoalan di atas.
Bagaimana kita mahu mati ?

Kita mahu mati yang penuh dengan persediaan kerana itulah kematian yang terbaik seorang hamba.


HIDUP TETAPI MATI
Hakikat kehidupan yang sebenar adalah terletak pada hati kita semua.
Hati yang punya iman itulah hati yang benar-benar hidup.
Hati yang punya iman itulah hati yang benar-benar menggerakkan sebuah kehidupan.

Betapa rugi sekiranya hati itu mati terlebih dahulu. Tinggallah jasad yang bergerak di atas muka bumi ini melakukan amalan-amalan yang sia-sia dan terumbang-ambing arah tujunya.

Matinya sebuah hati adalah apabila seorang hamba itu tidak ada rasa rindu kepada Tuhannya.
Matinya sebuah hati adalah apabila seorang hamba itu tidak lagi merasakan getaran ketakutan akan segala azab Tuhannya.

Matinya sebuah hati adalah satu keadaan yang patut dijauhi.
Kerana apabila matinya sebuah hati, seorang hamba itu akan kembali kepada sebuah kedukaan kehidupan.

Manusia tanpa hati yang menghidupkan adalah manusia yang tidak punya ruh dalam kehidupannya.
Ruh yang menggerakkan jasadnya hanyalah ruh yang kosong.

Manusia tanpa hati ibarat bunga yang layu.

Wahai para dua’t sekalian,
inginkah kau menjadi seorang daie yang layu di tengah-tengah masyarakat ?

Wahai dua’t sekalian,
membawa hati yang mati untuk menyentuh hati-hati yang lain ?

Wahai dua’t sekalian,
bagaimana kita mahu mengisi hati-hati yang lain sedangkan sebenarnya hati kita sendiri yang kosong ?
Sungguh, hati yang kosong akan menghasilkan amal-amal yang kosong.
Amal-amal yang kosong apalah sangat nilainya untuk dibawa menghadap di hadapan Allah S.W.T kelak.

Sedarlah, dengan menjadi seorang daie yang hatinya hidup dan sentiasa segar itulah menjadi antara faktor utama kejayaan kita dalam mengerjakan amal dakwah.

Dengan menjadi seorang daie yang akrab hubungan hatinya dengan Tuhan, dia akan menjadi seorang daie yang mempunyai satu kuasa yang amat kuat.

Akan tetapi, kefuturan dalam jalan dakwah akan tetap melanda kita semua.
Kerja dakwah ini terlampau memenatkan. Apatah lagi, jika kerja-kerja dakwah ini hanya dibebankan atas bahu orang yang sama sahaja !

Kerja dakwah ini memakan masa dan tenaga.
Dan paling menakutkan kerja dakwah ini memakan hati kita sedikit demi sedikit.
Maka, kita perlu bersiap-sedia dengan amalan yang menguatkan hati, yang mampu menjaga hati daripada sifatnya yang akan sentiasa bolak-balik (cepat hilang kestabilannya).

Biarlah masa dan tenaga yang terkorban, tetapi bukan hati-hati kita semua.

Allahu Allah !
Saya sendiri penat melihat corak kehidupan diri sendiri. Kehidupan saya kini amat sibuk dan kerja yang datang seolah mencemburui masa rehat yang saya ada.

Sebelum mengenal dakwah dan tarbiyyah, saya merasakan kehidupan ini cukup selesa dan tidak perlu bersusah payah untuk orang lain.

Tetapi, kini saya mengerti.
Betapa seorang daie itu hidup untuk orang lain.
Dia perlu sabar dan tabah untuk menyelamatkan ummah ini.

Bila kita katakan kita hidup untuk orang lain, sudah tentu kerjanya berkali-kali ganda beratnya. Malah, kadang-kadang urusan diri sendiri pun  terlepas pandang.

Moga Allah meletakkan kita dalam golongan yang seimbang dalam urusan dunia dan akhirat inshaAllah !

Dan apabila sijil kematian itu disahkan,
Biarlah jasad itu dikebumikan penuh mulia,
Dibawanya hati yang salim menghadap Tuhannya,
Matinya dia kerana asbab yang luar biasa,
Dakwah pula menjadi saksi termulia kematiannya.

Apabila ia membaca firman tentang kematian,
Ruh menggeletar ketakutan,
Jasad mencari peluang persediaan,
Ruh dan jasad sama menanti,
Menghitung hari demi hari,
Berdua bergabung tenaga,
Mencari kematian tingkat termulia.

 

Kematian adalah taujihat ruhiyyah yang terbaik.

KEMATIAN ANDA TELAH DISAHKAN !
KEMATIAN ANDA TELAH DISAHKAN !

 


Anda sudah bersedia untuk mengisi sijil kematian seorang hamba ?

sekian,
mylittlepencil
~yang berusaha sedaya upaya mengingati mati pada setiap saat kehidupannya

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s