mukmin dan masa

Bismillah.

Entri pasca-imtihan.
Alhamdulillah, moga yang terbaik pada usaha dan natijahnya inshaAllah !

***

Kebanyakan kita, yakni manusia punya masalah dengan masa.
Ada yang memberi alasan masa yang tidak mencukupi.
Tidak kurang pula ada yang menyalahkan manusia mengambil masa mereka.
Malah, ada yang lebih teruk  tidak pernah menyedari kehadiran masa dalam kehidupan mereka, membiarkan masa terus berlalu.

Alangkah ruginya !

SIAPA MASA ITU YANG SEBENARNYA ?
Sungguh, inilah hakikat yang kita kurang sedari.
Bila kita kurang menyedari, maka kita tidak sebenar-benar kenal dengan makhluk Allah yang bernama masa.

Bila kita tidak mengenalinya, kita tidak mengetahui fitrah masa.
Masa juga adalah makhluk Allah seperti kita.
Cuma bezanya, masa tidak mempunya anggota seperti kita yang boleh digerakkan dan bergerak ke sana ke mari. Tetapi hakikatnya, masa memang bergerak.

Bergerak dalam fitrahnya.
Malah lebih pantas dari kita !
Tajamnya seperti pedang jika kita gagal memotong ia.

Masa punya tuhan untuk ia taat kepada.
Makanya, masa tidak boleh untuk berlembut kita kerana kita juga hamba sepertinya.

“ Alahai masa, tidak bolehkah kau menungguku ? ”
Balas masa, “ Tidak sesekali. Aku punya Tuhan yang Maha Tinggi untuk aku menurut perintahnya.”

Dan, masa tidak perlu untuk taat kepada kita kerana ia  sudah mempunyai Tuhan yang menjaga dan mengaturnya dengan susunan yang  cantik.

Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah tidurmu pada waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengarkan. (30 : 23)

Masa adalah antara aturan alam yang terbaik dan tercantik buat ummat manusia.
Dan, ummat manusia yang terbaik adalah ummat manusia yang boleh memanfaatkan masa.

Andai aturan masa ini kita kacau-bilaukan, nescaya urusan kita juga akan turut tergendala.
Bukan sekadar tergendala, malah mungkin sahaja sudah gagal di saat awal perancangannya !

Bayangkan jika aturan siang dan malam terganggu. Sudah tentu banyak urusan alam tidak dapat berjalan dengan sempurna.

Maka, cukupkah 24 jam sehari yang diberi kepada kita ?

Tanyakan soalan itu kepada diri anda sendiri. Jangan bertanya kepada masa.
Masa tidak perlu berkhidmat untuk kita. Masa akan berkhidmat untuk Tuhannya sampai ke akhir hayatnya nanti.

Hakikatnya, kita yang perlu berkhidmat kepada masa.
Dan fitrah masa juga, ianya tidak boleh dijual beli, ditukar ganti.

KHIDMAT TERBAIK BUAT MASA

Memanfaatkan setiap detik masa yang kita ada itulah sebaik-baik khidmat.
Lalu, apakah khidmat yang terbaik ?

Memenuhkan masa dengan ibadah seorang hamba
bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil. (iaitu) separuhnya atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari (seperdua) itu, bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang. Dan sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepada-Nya dengan sepenuh hati. (73: 2-8)

Bila kita beribadah dengan sepenuh hati, maka setiap masa yang akan berlalu tersebut tidak akan rugi sedikitpun !
Perintah Allah kepada masa adalah untuk membantu manusia menyusun amal-amal mereka.
Ada amalan yang lebih baik dijalankan pada waktu siang, dan ada amalan yang lebih baik dijalankan pada waktu malam.

Jika tidak diatur begini, maka hilanglah manfaat makhluk Allah yang bernama masa.
Kalau begitu, baik kita aturkan sahaja kesemua solat 5 waktu solat yang diwajibkan pada satu waktu yang sama. Bukankah lebih senang begitu ?

Ataupun, berbuka puasa pada mana-mana waktu yang kita suka.

Untungnya kita sebagai seorang mukmin adalah kita berpeluang untuk menjadikan segala amalan kita sebagai ibadah. Bukankah untung begitu andai keseluruhan 24 jam yang kita punya hari-hari itu menjadi salah satu bentuk ‘ubudiyyah kita kepada Allah ?

Mari menjadi hamba yang berbangga punya 24 jam dalam hidupnya !

Masa adalah salah satu rezeki Allah yang diberikan kepada kita semua untuk kita mencari peluang-peluang beramal di dalamnya.

Bukanlah kita bertindak melepaskannya begitu sahaja !
Masa sudah memberi khidmatnya. Kini, giliran kita pula untuk memberi khidmat kepadanya.

Bersegera
Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. (3:133)

What is between you and time ?
It’s competition.

Sungguh, persaingan dengan makhluk Allah yang bernama masa memang sengit.
Kerap kali, pasti manusia yang kalah. Malah, ada manusia yang kalah sepanjang hidupnya dengan makhluk Allah yang bernama masa ini !

Soalnya, mengapa kita perlu berlumba dengan masa ?
Masa tidak akan menunggu orang-orang yang menggunakannya. Masa akan terus berjalan dan berjalan untuk memberi manfaat kepada penggunanya.

Maka, rugilah andai manusia itu tidak berusaha langsung untuk berlumba dengan masa.
Mengapa kita tidak menyedari kita sedang berlumba dengan masa ?

Kerana sikap manusia yang suka bertangguh amalan mereka.
Dan perkara yang paling suka ditangguh adalah masa untuk menyambut atau menggunakan sebuah peluang.

Budaya tidak –mengapa-sebentar- lagi- boleh -dibuat semakin membunuh amalan seorang mukmin.

“ Takpelah,kejap lagi boleh buat. Mesti sempat punya. ”

Hakikatnya peluang tidak datang selalu. Mungkin sahaja, peluang sudah bosan untuk datang kepada orang-orang yang suka mengabaikannya atau melepaskannya.

Keluhan peluang, “ Lebih baik aku datang kepada orang yang akan menggunakan aku dengan baik.”

Budaya baru boleh diterapkan.
Budaya baru boleh diterapkan.

Carilah budaya baru yang boleh diterapkan dalam kerangka masa yang kita ada.

Bersegeralah bila kita ingin melakukan amalan yang mulia. Kerana sungguh, amalan mulia itu teramat payah untuk dilakukan.

“Laksanakan segera amal shaleh karena tujuh hal: sebelum datang kemiskinan yang membuatmu lupa, kekayaan yang menyesatkan, penyakit yang membinasakan, ketuaan yang melumpuhkan, kematian yang mendadak, dajal sebagai makhluk terjahat yang senantiasa mengintip atau datangnya kiamat yang sangat pahit dan amat mengerikan.” (HR Tirmidzi).

Bila kita punya peluang, jangan lepaskannya begitu sahaja !
Tumpukan perhatian pada masa dan peluang tersebut, dan lakukanlah  apa yang patut dilakukan.

Jangan salahguna masa
‘’Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sehat dan waktu lapang.” (HR Bukhari)

Manusia selalu menganggap waktu lapang adalah fantasi dunia yang terindah.
Kata kita, masa lapang itu adalah hobi untuk kita menjalankan apa sahaja kesukaan kita.

“ Kau suka apa ?”
“ Aku suka tidur.”
Aduhai manusia, kau sedang membunuh dirimu dengan masa lapang yang kau ada !

Namun, tidak untuk seorang mukmin.
Dia tidak akan tertipu dengan fantasi ini. Dia tidak akan punya masa lapang melainkan segala masa yang dia ada adalah untuk amalan-amalan yang berfaedah sahaja.

Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui. (29 : 64)

Apatah lagi, manusia yang sengaja melapangkan masa untuk melangsaikan hobi mereka yang sia-sia, sedangkan tanggungjawab mereka banyak lagi yang tidak diselesaikan.
Bertambah-tambah rugilah golongan ini !

Ketahuilah, masa itu ibarat majikan.
Majikan yang akan sentiasa memerhatikan dan menilai keberkesanan pekerja-pekerjanya dalam memperuntukkan tempoh masa yang ada untuk menyiapkan tugasan.

Alangkah ruginya andai kita masih berehat-rehat di atas muka bumi ini, sedangkan orang lain sedang berpenat-penat mengejar kepentingan dunia dan akhirat dengan masa yang mereka ada !

Jangan salah guna dan mengambil kesempatan terhadap makhluk Allah yang bernama masa.

Lalu, apakah kepentingan yang sedang kita kejar sebenarnya ?
Bermuhasabahlah !

Bermuhasabah
Dan orang-orang kafir, perbuatan mereka seperti fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi apabila didatangi tidak ada apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah baginya. Lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan (amal-amal) yang sempurna, dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (24:39)

Antara cara yang terbaik untuk bermuhasabah dengan masa-masa yang telah digunakan adalah kita bertanya tentang kekurangan diri sepanjang berkhidmat kepada makhluk Allah yang bernama masa.

Tujuannya adalah untuk memperbaiki kesilapan yang tidak kita sedari. Atau mungkin kita boleh bertanya kepada orang-orang di sekeliling untuk memberikan sebarang cadangan, nasihat atau sebarang kritikan tentang cara kita menggunakan masa. 

Sungguh, andai kita menjadikan muhasabah diri sebagai satu amalan yang wajib dalam kehidupan seharian, kita akan terasa lebih segar dan bersemangat untuk menjalani hari esok.

Bukan sekadar itu, malah kita boleh meningkatkan martabat diri kita sebagai seorang manusia seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik pula pekerjaannya, manakala sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya tetapi buruk pula amalannya.

BERUBAHLAH !
Ayuh, gerakkan masa dengan momentum-momentum iman.
Masa adalah sebuah kesempatan yang wajib digunakan untuk kebaikan.
Takut-takut penyesalan pada masa hadapan nanti akan menikam jiwa !

Sejauh mana kita perlu berubah ?
Sejauh yang kita boleh, semampu yang kita ada.

“ Bukankah ingin berubah itu mengambil masa yang lama ? Bagaimana ingin berubah andai masa itu terlalu pantas ? ”

“ Masa memang bergerak pantas. Bila ia datang kepadamu,  jangan tangguh ia ketika engkau mahu berubah.”

Mari, cuba untuk menjadi seorang hamba yang tidak terlewat dalam apa jua urusan kehidupannya.

Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (59:18)

Masa yang kita ada hari ini bukan sekadar untuk kegunaan pada hari tersebut. Malah, ianya untuk kita menjadi yang lebih baik pada hari esok dan hari yang lebih besar iaitu hari akhirat.

Time : quantity vs quality.
Time is not for losers.

Mari bereskpedisi kehidupan dengan masa yang berguna.

sekian,
mylittlepencil
~yang juga berlumba dengan masanya…..

2 thoughts on “mukmin dan masa

  1. Assalammualaikum,
    Tertarik dari penulisan2 ukhti, terkesan sungguh,
    sy pinjam sikit entri ukhti utk dikongsi bersama sahabat2 sy.

    Jazakallah diatas perkongsian ilmu kamu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s