madrasah tazkiyyah

Bismillah.

Salam sejahtera buat semua.

Hari ini saya mahu mengajak diri saya sendiri dan anda semua untuk kembali muhasabah diri sepanjang kita berada dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini.

Sungguh, tarbiyyah menggerakkan kita untuk lebih cakna tentang pertumbuhan diri (concern about our personal growth). Dan, dakwah pula menggerakkan kita untuk lebih cakna tentang pertumbuhan amal diri.

Begitulah, tarbiyyah dan dakwah wajib diseimbangkan di dalam kehidupan. Tidak mungkin salah satunya kita lebihkan. Kedua-duanya wajib bergerak seiring kerana seorang daie itu tidak boleh bertahan andai dia melebihkan dakwah berbanding tarbiyyah dan begitu juga sebaliknya.

Mengapa kita perlu cakna akan pertumbuhan diri kita sendiri, terutama bahagian dalaman ?
Kerana unsur yang paling kuat pada seseorang adalah kuasa dalamannya. Unsur itu adalah ruh yang menghidupkan hati dan jiwanya.

Kerana itulah kekayaaan seseorang itu terletak pada kayanya jiwa dan perasaan seseorang itu.
Apabila jiwa dan perasaannya menjadi kaya, dia mudah untuk beramal.
Dia tidak akan mudah tewas apabila diletakkan dalam satu situasi yang rumit.
Dia tidak akan  putus asa selagi tummuhat (impian) amalnya tidak tercapai.

Lalu, apakah cara yang paling berkesan untuk menjaga pertumbuhan diri kita ?

PELUANG DAN JALAN ITU SENTIASA ADA
Manusia selalu leka dengan peluang yang sentiasa datang dalam hidupnya. Adakalanya, apabila peluang itu sudah berada di hadapan mata, masih lagi dilepaskan.

Betapa rugi seorang manusia itu apabila dia bertindak untuk tidak mengendahkan !
Wajib kita tahu, peluang dan jalan itu sentiasa ada buat manusia seluruh alam ini.

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan). (90 : 10)

Terang jelas dan nyata, di dalam seluruh kehidupan kita ini, kita hanya punya dua jenis jalan. Kita mesti pilih salah satu daripadanya. Bukan bertindak untuk berdiam kaku, tidak melakukan apa-apa !

Peluang atau jalan yang bakal kita pilih, akan merubah kehidupan kita yang seterusnya. Natijahnya terkawal di situ. Jika kita memilih kebaikan, maka hanya kebaikan akan kita peroleh.

(Ingatlah) pada hari (ketika) setiap jiwa mendapatkan (balasan) atas kebajikan yang telah dikerjakan dihadapkan kepadanya, (begitu juga balasan) atas kejahatan yang telah dia kerjakan. Dia berharap sekiranya ada jarak yang jauh antara dia dengan (hari) itu. Dan Allah memperingatkan kamu akan diri (siksa)-Nya. Allah maha penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. (3:30)

Jika kita memilih keburukan, maka hanya keburukan yang akan kita peroleh.
Sebelum memilih, kita wajib punya beberapa kriteria yang amat penting. Antaranya :

  1. Iman kepada Allah serta belajar dari kisah-kisah terdahulu
    Katakanlah, “ Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya, dan kepada apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta kepada apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak akan membeza-bezakan seorang pun di antara mereka, dan kami berserah diri kepada-Nya. ”(2 : 136)

Sudah tentu, iman menjadi ciri yang paling penting kerana seorang mukmin itu hanya memilih kebaikan untuk kehidupan di dunia dan kehidupan selepasnya. Dan wajib seorang mukmin itu untuk mempelajari kisah-kisah terdahulu yang menyaksikan kesudahan mereka yang memilih kebaikan atau celupan (sibghah) Allah sebagai jalan kehidupan.

Mereka dijanjikan syurga dan keampunan dari Allah S.W.T !

 

  1. Pancaindera yang berfungsi ‘baik’
     Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah. (7: 179)

    Gunakanlah segala kuasa pancaindera yang telah Allah kurniakan kepada kita. Bukan sekadar memenuhi tuntutan zahir sesuatu alat itu tetapi gunakan juga untuk memenuhi tuntutan batin kita (mengenal Allah).

 

Gunakan pancaindera yang ada untuk membantu kita agar sentiasa memilih kebaikan supaya petumbuhan dalaman kita berjalan dengan baik.

 

  1. Akal yang waras
    Waras di sini saya maksudkan bukanlah sekadar akal yang sihat (yang menjadikan kita seorang manusia yang normal) dan mampu berfikir tentang ilmu-ilmu yang biasa.

 

Sungguh, telah Kami turunkan kepadamu sebuah kitab (Al-Quran) yang di dalamnya terdapat peringatan bagimu. Maka apakah kamu tidak mengerti ? (21 : 10)

 

Waras yang saya maksudkan adalah nilai kewarasan akal yang lebih dalam, lebih tinggi. Akal yang waras adalah akal yang mampu untuk mengerti sebuah petunjuk.

Akal yang waras adalah akal yang mampu untuk membezakan antara yang baik dan buruk.

Bila seorang mukmin itu mampu untuk membezakan antara yang baik dan buruk, dia tidak akan mencampuradukkan keduanya.

 

Dan janganlah kamu mencampuradukkan kebenaran dan kebatilan dan (janganlah) kamu  sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya. (2:42)

Sungguh, tanda-tanda kebesaran dan keagungan itu hanya boleh dinikmati oleh mereka yang
benar-benar berfikir !

Wahai manusia, ketahuilah sebenarnya segala peluang yang datang adalah untuk mengubah kehidupan kita ke arah yang lebih baik, bukan untuk berada di takuk yang sama.

Dan segala peluang itu wajiblah untuk kita memanfaatkannya !

 

JALAN TERBAIK UNTUK DIPILIH : JALAN YANG MENYUCIKAN

Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. (91 : 7-10)

Ternyata, mentazkiyyah (menyucikan) diri bukanlah satu proses yang mudah untuk dilakukan. Satu proses yang bakal mengambil masa yang lama. Proses inilah yang sebenarnya melatih dan menguji mujahadah kita !

Mengapa jalan ini jalan yang terbaik untuk dipilih ?
Kerana penyakit yang akan membawa maut kepada jiwa seorang manusia adalah penyakit hati. Penyakit hati yang sentiasa menyerang ini cuba untuk mengalahkan jiwa seorang manusia dari segala sudut !

Dan sudut itu adalah segala kelemahan kita semua. Pintu-pintu kelemahan kita seolah terbuka bagi yang mahu menyerang. Lalu, apa bentengnya ?

Tazkiyyah.
Dialah yang mengutuskan seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (62:2)

Proses mentazkiyyah ini tidak boleh kita tinggalkan walaupun hanya sesaat kerana musuh sentiasa mencari saat untuk menyerang kita !

Alhamdulillah, tarbiyyah terus mengikat kita dengan proses ini. Saya sendiri perasan bahawa sejak mengenal jalan dakwah dan tarbiyyah ini telah banyak menolong saya menyucikan diri dan seterusnya menjadikan diri ini menjadi  yang baru.

Sungguh, setiap aspek di dalam kehidupan kita wajib disucikan !
Contohnya, harta kita perlu disucikan dengan bayaran zakat. Bukan itu sahaja, malah kita dianjurkan untuk berinfaq dan bersedeqah kepada mereka yang memerlukan, ke jalan Allah.

Jasadi kita juga perlu disucikan daripada kekotoran. Kita diberi air yang mutlak untuk menyucikannya. Andai tidak punya air, kita diajar cara yang lain.

Begitulah.
Bagi seorang mukmin yang benar-benar prihatin terhadap dirinya sendiri, hatinyalah paling penting untuk ditazkiyyahkan !

Dan bahan yang paling utama wajib kita gunakan adalah kitab-Nya !
Kita diajar untuk mentadabbur  ayat-ayatNya kerana itulah kaedah yang paling berkesan untuk mentazkiyyah hati.

self_prepared_heart__by_plectrude (1)

Maka tidakkah mereka menghayati Al-Quran, ataukah hati mereka sudah terkunci ? (47:24)

Ketika kita melazimi ayat-ayat Al-Quran, lapangkan seketika masa anda untuk membaca maknanya. Berhenti sejenak dan kosongkan fikiran anda seketika. Banyakkan mengingati-Nya untuk memperoleh ketenangan.

Tarik nafas dalam-dalam dan tadabburlah ayat-ayatNya !
Ingin saya seru kamu semua (tidak tertinggal diri sendiri) untuk sentiasa meletakkan diri di dalam posisi menyucikan.

Berkehendak untuk menyucikan dan mengerjakan amal yang menyucikan diri.
Inilah kesempurnaan sesuatu amal apabila seseorang itu bukan sekadar punya kehendak tetapi dia juga berjaya menjayakannya.

Malah, lebih baik apabila kita mampu untuk mengajak orang lain juga bersama-sama dengan kita untuk menyucikan diri.
Yakinlah bahawa proses ini wajib kita jalankan sepanjang kehidupan kita.

Sentiasa mentazkiyyah dan terus mentazkiyyah.
Istiqamahlah dalam jalan penyucian ini !

sekian,
mylittlepencil

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s