kemampuan seorang daie

Bismillah.

Jelas terbukti dakwah dan tarbiyyah tidak melahirkan manusia-manusia yang sterotype.
Meskipun berbekalkan manhaj tarbiyyah yang sama, duduk di dalam lapangan medan dakwah yang sama, manusia yang lahir dalam jalan dakwah dan tarbiyyah tetap berbeza !

Kerana setiapnya berlatar belakangkan sejarah yang berbeza.
Setiapnya dikurniakan bakat atau kemampuan yang pelbagai.
Setiapnya mempunyai hati yang berbeza-beza nilainya.

Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang dengannya Allah mengutuskan adalah bagai hujan yang turun ke bumi. Maka ada bahagian bumi yang baik, ia menerima air hujan itu dengan baik lalau menumbuhkan tanaman dan rerumputan yang banyak. Ada  juga bahagian  bumi yang menahan air, lalu Allah memberikan manfaat kepada manusia dengan air yang disimpannya, sehingga mereka bisa minum dan menyirami tanaman dari air tersebut. Bahagian lainnya adalah padang tandus, ia sama sekali tidak bisa menyimpan dan juga tidak menumbuhkan apa pun. Demikian itu, adalah perumpamaan orang yang diberi kefahaman dalam agama, lalu ia dapat memanfaatkan apa yang aku bawa itu. Hingga ia senantiasa belajar dan mengajarkan apa yang ia fahami. Dan perumpamaan orang yang sama sekali tidak ambil peduli dan tidak mahu menerima petunjuk Allah yang aku sampaikan (HR Bukhari & Muslim)

Namun, jalan ini berjaya menjadikan barisan manusia yang ingin berjihad bersungguh-sungguh kerana-Nya.

Jalan ini berjaya menjadikan kita semua barisan manusia yang sentiasa menegak dan mempertahankan kalimah-Nya.

Jalan ini berjaya menjadikan kita semua barisan manusia yang membawa dakwah yang sama dengan pelbagai kreativiti !

Asalkan, kita semua menjadi golongan yang bekerja. Bukan golongan yang sekadar melempar kata-kata. Bukan golongan yang sekadar menjadi baik sendirian. Bukan golongan yang melayan keselesaan diri  sendiri tanpa memikirkan keadaan ummah.

Alhamdulillah !

Wajib kita akui, setiap manusia mempunyai daya tampung yang pelbagai.
Sebaik-baik kehebatan atau kelemahan yang kita ada, itulah yang terbaik untuk diri kita.

Kepelbagaian itu menunjukkan setiap manusia itu saling melengkapi.
Untungnya, kita punya satu medan yang amat bernilai harganya untuk kita himpunkan kepelbagaian ini untuk mencapai tummuhat (matlamat) yang sama.

Medan dakwah dan tarbiyyah mengajar kita menggunakan segala yang ada pada diri pada jalan yang betul, pada jalan yang diredhai-Nya.

Dalam tarbiyyah, kita semua ditakwin (dibina) dan disusun.
Diproses elok menjadi produk-produk dakwah yang berharga.
Kita ibarat berada di dalam sebuah kilang  makanan.

Diproses sampai menjadi produk makanan yang boleh dipasarkan.
Seperti juga kita. Seorang daie yang ditakwin elok boleh dipasarkan kepada manusia.

Memberi manfaat kepada ummah.
Daie yang hebat itu adalah produk-produk yang ‘laku’ dan ‘dibeli’ oleh ummah.
Ummah memandangnya sebagai satu produk yang mahal. Ummah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada apa yang disampaikannya !

Jika ummah mem’beli’nya, tidak rugi bagi mereka.
Wahai daie, apakah kau pernah berfikir sedemikian ?

Andai kilang tarbiyyah itu menjadikan kita seorang daie yang bertambah ‘basi’, semakin kurang mutunya, ketahuilah itu sebenarnya adalah kesalahan diri kita sendiri !

Kerana kita tidak memperbaharui daya tampung yang kita miliki.

****

TARBIYYAH : TEMPAT KITA MENJADI MANUSIA YANG BARU
Betapa susah untuk membentuk seorang manusia, tetapi  tidak mustahil.
Madrasah Rasulullah S.A.W  telah berjaya membuktikan hasilnya.

Lahir para sahabat yang menjadi generasi Al-Quran yang cukup unik.
Mereka menjadi besi berani (magnet) yang mampu menarik manusia kepada jalan dakwah.
Mereka menjadi  acuan Islam yang sempurna untuk dijadikan qudwah hasanah.

Itulah kuasa satu proses yang bernama tarbiyyah.
Pembinaan seorang manusia itu bukan seperti kita membina sebuah bangunan tinggi megah berdiri.
Ianya lebih dari itu.

Tarbiyyah memerlukan seorang murabbi itu untuk terus bersabar mentarbiyyah mutarabbinya.
Tarbiyyah memerlukan seorang murabbi itu untuk memiliki seni dalam mencorakkan mutarabbinya.

Tarbiyyah menjadikan seorang manusia itu lahir sebagai seorang manusia yang baru.
Dan kelahiran-kelahiran baru ini amat bermakna untuk jalan dakwah ini !

Tarbiyyah ini seolah menjadi ‘rahim’ kedua bagi seseorang manusia.

Tarbiyyah, medan yang menjadi saksi betapa susah untuk menjadi manusia yang baru itu.
Tarbiyyah, medan tempat kita melengkapkan diri sendiri.

Betapa rugi bagi seorang daie itu andai dia berada di dalam tarbiyyah, tapi tidak ada satu pun aspek dalam kehidupannya berubah.

Mengertilah, tarbiyyah adalah nadi bagi dakwah ini.
Mana mungkin seorang daie itu keluar menyampaikan dakwahnya tanpa dirinya sendiri terlebih dahulu diisi dan diperbaiki.
Andai begitu, dia hanyalah cawan-cawan kosong yang berada di tengah-tengah kerumunan manusia yang begitu dahaga. Langsung, keberadaannya di situ hanyalah menjengkelkan.

Kehadirannya sia-sia.
“ Hanya cawan, tetapi airnya tiada ! Tidak tahukah kamu betapa kami sedang dahaga ? ”

Tarbiyyah adalah satu tempat yang wajib kita singgah sebelum menuju ke medan yang lebih besar.
Letih tubuh yang bakal kita dapat dalam medan dakwah nanti, kita ubat dengan tarbiyyah.
Ya, medan tarbiyyah adalah medan untuk kita bersedia !

Supaya kesediaan kita itu menjadikan kita seorang daie yang tidak gelabah, yang tidak mudah dikalahkan  dengan segala ibtila’ (ujian) dan mehnah (cabaran) dalam jalan dakwah ini.

Tarbiyyahlah yang akan menjadikan kita untuk terus bertahan dan kekal dalam saff yang mulia ini.
Andai medan dakwah ini mengecewakan kamu satu hari nanti, pujuklah jiwa dan raga dengan kemanisan-kemanisan tarbiyyah.

Pastinya, tarbiyyah adalah ubat yang paling mujarab !

***

DAKWAH : MEDAN UNTUK MENGGUNAKAN DAYA TAMPUNG
Medan dakwah berhajatkan kehadiran seorang daie yang mampu untuk mengorbankan segala-galanya.
Medan dakwah bukanlah tempat untuk kita melepaskan segala hangat-hangat tahi ayam yang kita ada.

Medan dakwah adalah medan amal.
Bukan sekadar cukup syarat untuk seorang daie berada dalam lapangan ini.
Dengan amal, barulah kelayakan kita untuk jelas terbukti.

Seorang daie itu berterusan membina dakwah, jauh sekali untuk meruntuhkannya !
Namun, ada dalam kalangan kita yang merobohkannya.

Siapakah mereka ?
Mereka adalah para dua’t yang berjiwa kering.
Mereka adalah para dua’t yang tidak menggunakan sepenuh kemampuan mereka untuk mencapai hasil-hasil yang muntij dalam dakwah ini.
Mereka adalah para dua’t yang tidak berasa izzah terhadap dakwah ini !

Dengan kehadiran mereka, dakwah bertambah mandul.
Sedangkan hakikat dakwah sebenarnya adalah terus berkembang dan terus merantai ke generasi yang seterusnya.

Sungguh, wahai para dua’t sekalian tidak dapat tidak kau harus punya cara untuk menarik hati-hati manusia kepada jalan dakwah ini.
Kau wajib menggunakan segala kemampuan yang ada.

Dakwah ini medan untuk kita mengikat hati-hati manusia dengan sedaya-upaya.

Kita ibarat seorang doktor yang melangkah masuk ke dalam sebuah hospital yang terdapat di dalamnya berjuta jenis penyakit yang ada untuk diubati.
Maka, bukankah seorang doktor yang baik itu hanya akan memberikan ubat yang terbaik ?

Kita berurusan dengan hati-hati mereka bukanlah sekadar ingin membuatkan mereka jatuh cinta kepada jalan dakwah ini.

Seterusnya, terus bercinta dan mencintai jalan dakwah ini !
Sampailah cinta itu yang akan mempengaruhi seluruh hidup mereka.
Sampailah cinta itu yang menguasai ruh, akal fikiran dan jasadi mereka.
Sehingga cinta itu menjadi cinta yang paling utama.

Bersemangatlah dalam memasukkan kegembiraan dalam hati-hati mereka.
Kerana ia nya merupakan satu sedeqah yang teramat mulia.

Wahai para dua’t sekalian,
meskipun kita tidak akan dapat mengawal segala natijah dakwah ini, tanamkanlah dalam diri untuk terus berusaha menatijahkan yang positif dalam jalan dakwah ini.
Jadi daie bergerak dan bekerja atas landasan kefahaman yang mantap.
Jadi daie benar-benar produktif dan proaktif.

Misi menjadi daie yang benar-benar berkualiti dengan apa yang ada pada diri.
Ayuh !

sekian,
mylittlepencil

Advertisements

2 thoughts on “kemampuan seorang daie

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s