Hijrah & Palestin

“Salam Maal Hijrah ! Moga Allah mengampunkan dosa-dosa kita, amalan-amalan kita dan memperbaiki amalan kita dalam menjadi hamba-Nya yang
solehah <3 (6:38) “

Mesej cinta yang saya dapat daripada seseorang yang amat saya kasihi.

Moga saya tidak terlewat lagi untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah buat anda semua.
Hijrah membawa satu makna yang sangat besar dalam kehidupan sebagai seorang mukmin.

Hijrah menjadi titik tolak sebelum melakukan perubahan.
Tanpa hijrah, tidak akan ada perubahan.

Setiap orang pula ingin membuat perubahan dalam perkara yang berbeza-beza sesuai dengan apa yang mereka ingin capai dan keadaan mereka. Mengapa saya berkata begini ?

Kerana mujahadah setiap orang adalah berbeza-beza.
Dan setiap orang ingin membuat perubahan mengikut kadar yang mereka suka.

Ada yang suka berubah sedikit demi sedikit.
Dan tidak mustahil juga ada yang mahu terus melakukan perubahan secara drastik (mendadak).
Tetapi rugilah bagi mereka yang tidak mahu melakukan apa-apa perubahan dalam hidup mereka.

Simpulnya, perubahan itu tidak akan ada andai tiada perkadaran (nilai) dalam perubahan.
Andai statik sahaja keadaan diri anda, maka anda bukanlah seorang pengubah yang baik.

” Ah, melakukan perubahan dalam kehidupan adalah terlalu ideal. Mana boleh ubah semua benda. Dah itu yang nak jadi.”

Prinsip pertama dalam perubahan adalah anda wajib tahu perbezaan antara takdir dan perubahan.
Takdir itu adalah perancangan Allah terhadap semua yang diciptakan-Nya.
Perubahan pula adalah perancangan manusia terhadap kehidupannya sendiri.

Kerana itu apabila manusia itu ingin berubah, orang pertama yang wajib baginya untuk diubah adalah dirinya sendiri. Jangan sesekali melibatkan orang lain dalam perubahan yang ingin anda lakukan kerana terkadang manusia itu sendiri menjadi halangan yang paling besar untuk anda berubah.

Namun, kita wajib yakin bahawa perancangan Allah tidak ada tolok bandingnya. Itulah sebaik-baik perancangan.
Tugas kita adalah menyesuaikan diri dengan perancangan tersebut.
Bagaimana untuk menyesuaikan diri ?

Merancang dengan sebaik-baiknya.

Prinsip kedua dalam berhijrah atau melakukan perubahan adalah anda perlu bermula dengan niat.
Niat yang suci, lebih khususnya niat kerana Allah adalah niat yang mempunyai kuasa yang cukup besar.

Kerana niat seperti inilah niat yang bermatlamat lebih besar dan akan menjadikan anda seorang manusia yang lebih berjiwa besar !
Andai niat atau tujuan yang ingin anda capai itu sekadar bermatlamatkan duniawi, itu adalah matlamat yang terlampau pendek jangka hayatnya !

Niat kerana Allah juga akan menjadikan apa jua amal yang dikerjakan mendapat ganjaran di sisi-Nya.
Tanpa niat, mungkin sahaja dalam perjalanan menuju perubahan atau penghijrahan, kita akan kecundang.

Lihatlah penghijrahan yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat pun bermula dengan niat. Apa yang diniatkan, itu yang akan diperoleh.
Maka, bukankah niat kerana-Nya mempunyai keuntungan yang lebih besar berbanding niat yang lain ?

Dan orang yang berhijrah kerana Allah setelah mereka dizalimi, pasti Kami akan memberikan tempat yang baik kepada mereka di dunia. Dan di pahala di akhirat pasti lebih besar, sekiranya mereka mengetahui. (16: 41)

Mari bersama saya memulakan penghijrahan diri dengan niat kerana Allah !
Allahu Ya Allah, Kau bantulah aku dalam setiap langkah penghijrahanku ini. Ameen Ya Rabb !

Prinsip yang ketiga dalam berhijrah adalah wajib untuk kita punya bekalan.
Dan bekalan yang paling berharga adalah masa-masa yang lalu untuk dijadikan muhasabah.

Setelah menyucikan niat, mula untuk bertanya pada diri sendiri.
Apakah amalan yang paling mulia telah aku lakukan pada tahun yang lepas ?
Bilakah masanya aku menjadi hamba terbaik buat Tuhanku pada masa-masa yang lepas ?

Elakkan untuk bertanya soalan-soalan yang bertaraf duniawi. Contohnya,
Apakah barang terbaik yang patut aku beli untuk tahun ini ?
Bilakah masanya aku patut berseronok pada tahun ini. Pada cuti semester kah ? Pada cuti musim sejuk kah ?

Tanya soalan-soalan yang boleh menjadikan diri anda seorang hamba yang lebih rabbani (ketuhanan).
Tanya soalan-soalan yang boleh membantu untuk mengubah diri anda.

Muhasabah yang dilakukan boleh anda jadikan titik-titik perhentian untuk anda berhenti berfikir sejenak dan merenung kembali.
Andai terjumpa titik-titik kerugian (negatif) diri sendiri, di situlah kita harus membaikinya kembali.
Dan jika terjumpa pula titik-titik yang menguntungkan (positif) diri sendiri, di situlah kita harus meningkatkannya lagi.

Sungguh, muhasabah wajib menjadi kecintaan seorang mukmin kerana dia tahu bahawa penghijrahan adalah antara hal yang terbesar dalam hidupnya ! Malah, jalan penghijrahan ini adalah satu perjalanan yang amat panjang.

Setiap saat yang berlalu dalam melakukan perubahan dirasakan terlalu panjang !
Dan jauh sekali seorang mukmin itu merancang untuk rugi.

Penghijrahan seorang mukmin itu wajib menguntungkan dirinya di dunia dan akhirat kelak !

Prinsip yang ketiga yang anda harus fahami sebelum melakukan penghijrahan adalah anda wajib tahu bahawa penghijrahan ini adalah satu aplikasi amal kepada iman.

Sifirnya mudah, andai iman yang terkandung itu sikit, maka sedikit juga penghijrahan yang anda lakukan. Dan begitu jugalah sebaliknya.
Mengapa saya berkata sedemikian ?

Kerana hijrah adalah satu langkah yang cukup strategik andai kita membajai iman terlebih dahulu di dalam jiwa.
Jika iman itu menjadi sumbunya, barulah penghijrahan yang dilakukan barulah akan menjadi satu sejarah yang agung !

Lihat penghijrahan Rasulullah S.A.W dan para sahabat Baginda dahulu.
Mereka ditarbiyyaah terlebih dahulu di Kota Mekah, barulah dibenarkan untuk berhijrah ke kota Madinah.
Sungguh, penghijrahan ketika itu menjadi satu sejarah yang amat agung untuk umat Islam di ketika itu.

Terbinanya Kota Madinah, Islam terus tersebar luas dan melahirkan barisan dua’t yang hebat. Akhirnya, Islam satu ketika dahulu menjadi ustaziyatul alam !

Bukankah itu satu sejarah yang agung ?
Ayuh, cipta satu sejarah agung untuk diri sendiri !

Aplikasi yang terbaik untuk iman adalah amal anggota tubuh badan kita yang bergerak seiring dengan hati yang ikhlas.
Dan amal yang terbaik adalah penghijrahan kerana Allah S.W.T.

Sifirnya mudah. Jadikanlah penghijrahan yang bakal dilakukan ini adalah salah satu medan amal kita !
Dan amal yang terbaik akan terus menjaga keadaan iman. Dan iman yang baik akan terus menjaga amal.

Itulah iman dan amal. Kedua-duanya saling memerlukan.
Mana mungkin iman itu boleh berdiri sendiri tanpa amal, dan begitu juga sebaliknya.

Jangan statikkan keadaan iman kerana itulah keadaan yang paling buruk untuk seorang mukmin.
Wajarnya, kita cuba untuk menjadi lebih baik kerana itulah yang terbaik.

Prinsip keempat yang wajib difahami untuk melakukan penghijrahan adalah kita wajib untuk punyai mujahadah dan kesabaran yang tinggi.
Kerana penghijrahan ini bukan satu rehlah (perjalanan) yang suka-suka. Penghijrahan bukanlah satu jalan yang bakal memberikan anda satu keseronokan !

(iaitu) orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal. (16: 42).
(sambungan ayat sebelum ini)

Mengapa perlu bermujahadah ?
Kerana untuk berhijrah (ke arah kebaikan), kita akan berhadapan dengan banyak keadaan, banyak manusia, dan banyak masalah.
Mungkin sahaja sahabat anda sendiri tidak dapat menerima penghijrahan yang anda lakukan.
Dan mungkin sahaja keadaan di sekeliling anda nanti menekan diri anda supaya tidak berubah. Dan bila anda terlalu banyak masalah, keinginan anda untuk berhijrah mungkin sahaja berkurang !

Lihat, betapa perlu anda untuk bermujahadah.
Anda perlu melawan untuk menang. Jangan cepat tewas pada apa jua yang menghalang diri anda untuk berubah !

Sabar dan terus sabar dalam berhijrah.
Bersabar kerana masa yang akan anda ambil untuk berhijrah adalah lama.
Namun, lamanya masa tersebut bukan bermaksud anda boleh menangguhkan segala penghijrahan yang ingin anda lakukan.

Lamanya masa bermaksud anda punya banyak peluang.
Dan sebaik-baik manusia adalah manusia yang mencari peluang dan menggunakannya dengan baik.
Jangan leka dengan peluang yang terlalu banyak sampai diabaikan kesemuanya, lalu berkata pada diri,

” Tidak mengapa. Ada banyak masa lagi.”

Berhijrahlah dan terus berhijrah.
Biarpun langkah yang diatur sedikit demi sedikit. Sekurang-kurangnya masa yang anda laburkan untuk penghijrahan itu diangkat tinggi oleh Allah S.W.T. InshaAllah !

Ingat kemenangan dalam penghijrahan itu pasti anda. Soalnya, adakah kita berusaha ke arahnya ?
Biarlah penghijrahan yang kita lakukan punya nilai tambah !

****

Palestina !

Palestin kita sekali lagi diusik dengan dahsyatnya. Pada awal tahun Hijrah baru-baru ini, Israel terus menambah bilangan rakyat Palestin yang syahid sampailah ke hari ini.

They declare war,  we declare defense !
Lalu, apa pertahanan kita ?

DOA.
Doakan ummat Islam seluruh dunia !
Jadikanlah peristiwa yang terjadi kali ini sebagai titik tolak bagi anda untuk lebih berdoa kepada-Nya bersungguh-sungguh. Mungkin kita sebelum ini terlupa bahawa doa juga adalah salah satu ibadah yang perlu kita lakukan sepenuh keikhlasan di dalam hati.

Jadikan fitrah kita sebagai seorang hamba yang suka bercerita kepada Tuhannya sebagai satu kelaziman dalam hidup anda. Simpan waktu yang benar-benar anda boleh fokus untuk berdoa dan mengadu kepada-Nya. Pilihlah waktu-waktu yang mustajab.

Doa adalah lambang betapa rendah dan kerdilnya di hadapan Dia yang Maha Kuasa, Maha segala-galanya.
Doa adalah keperluan dan tanda ubudiyyah kita kepada-Nya.
Doa adalah bukti kita tidak berputus asa terhadap-Nya.

Maka dia (Nuh) mengadu kepada Tuhannya, ” Sesungguhnya aku telah dikalahkan, maka tolonglah (aku)” (54 : 10)

Satu doa yang patut menjadi amalan kita :

Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar orang yang menyeru kepada iman, (iaitu), ” Berimanlah kamu kepada Tuhanmu,” maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta orang-orang yang berbakti. Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasulMu. Dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari Kiamat. Sungguh, Engkau tidak pernah mengingkari janji.(3:193-194)

* Qunut Nazilah juga adalah satu doa. Usahakanlah untuk mengamalkannya pada setiap kali selepas solat-solat wajib atau sunat.

DAKWAH.
Ya, dakwah atau seruan kita mengingatkan orang ramai juga adalah antara pertahanan yang kuat.
Maka, wahai dua’t seluruh dunia,

teruskanlah dengan amal-amal dakwimu dalam memberi kesedaran kepada orang ramai.
Dengan dakwah kau sedang membina pertahanan sebenarnya !

 

Dakwah yang akan menyatukan kita semua meskipun bukan dalam semua perkara.
Sekurang-kurangnya dalam hal yang mengusik ummah, kita cakna !

Dan pastikan, hammasah kita berkaitan cakna ummah ini tidak bermusim.
Walaupun bermusim-musim serangan yang dibuat oleh musuh, tetapi itu hanyalah permainan mereka semata.

Mereka ingin melihat sama ada kita ini peka atau tidak. Mereka ingin melihat kita ini mampu untuk bersatu atau tidak.
Dan carilah apa jua jalan atau cara untuk membantu mereka semampu anda !

Jangan meletakkan apa jua benteng perbezaan apabila berlakunya kes-kes kecemasan begini kerana mereka di sana tidak punya masa untuk menunggu kita. Mereka di sana hanya menunggu masa untuk syahid di jalan-Nya.

Kita ?

PALESTINA TERCINTA !

 

Peka dan bertindak kerana itulah hakikat seorang manusia yang punya iman dalam jiwanya.

SALAM MAAL HIJRAH & SALAM PALESTINA BUAT SEMUA !

sekian,
mylittlepencil

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s