profesionalisma kita

Berada di atas satu jalan yang payah, memang memerlukan mujahadah.
Berhadapan dengan sekalian manusia, memerlukan profesionalisma.

Mujahadah dan profesionalisma itu kita adun elok untuk memperoleh redha-Nya.
Jika kita mengejar redha manusia, mungkin segala amal di dalam medan dakwah ini tiada nilainya. Malah, mungkin sahaja kita sendiri yang akan meninggalkannya apabila sudah penat.

PROFESIONALISMA KITA : KITA PENOLONG AGAMA ALLAH !
Inilah hakikat agung seorang daie. Menjadi penolong agama Allah mengangkat darjat dirinya. Kita menginfaqkan masa dan tenaga, bahkan nyawa untuk jalan dakwah ini sebagai bukti kesyukuran kita kepada-Nya.

Hidayah-Nya yang tidak tertanding nilai itu tidak layak untuk kita balas dengan amal-amal yang biasa. Kita wajib untuk membalasnya dengan semampu-mampunya !

Sampai kita mati, kita harus membayarnya !
Apatah lagi kita ini adalah penyambung tali-tali dakwah daripada generasi terawal dahulu. Kita tidak mahu dakwah ini terhenti begitu sahaja. Jauh sekali untuk kita meninggalkan dakwah ini pada generasi manusia yang bakal merosakkannya.

Bila kita diberi peluang untuk beramal, kita jangan melepaskannya.
Jangan beri peluang kepada musuh-musuh agama Allah untuk menyekat gerak kerja dakwah mereka. Kita harus ingat tangan-tangan mereka tidak sehebat tangan Allah. Tangan-tangan (kuasa) mereka hanya mampu menghalang secara lahiriah, tetapi hakikat batiniah kamu itu dipunya oleh Allah.

Perkuatkan semangat kamu untuk terus kekal menjadi barisan manusia yang menolong agama Allah. Jangan tersingkir dari barisan ini saat kamu ditapis Allah satu hari nanti.

Lalu, mengapa saya katakan menjadi penolong agama Allah ini adalah profesionalisma kita ?
Kerana amal dakwah ini sahajalah cara yang sesuai buat kamu untuk menjernihkan kembali iman di dalam hati manusia.  Lebih untung, amal dakwah ini menjauhkan kita daripada segala aktiviti yang tidak elok malah jalan dakwah ini juga turut mengislah (memperbaiki) diri kita sendiri !

Betapa untung bukan ?
Berada di dalam jalan dakwah meletakkan diri kita di dalam sunnah termulia Baginda S.A.W. Di kota Mekah satu ketika dahulu, insan agung inilah yang mengetuk pintu-pintu rumah untuk menyampaikan dakwah. Saban hari, itulah tugas Baginda di samping tugas mentarbiyyah para sahabat yang dicintai.

Lalu, bagaimana untuk mendapatkan profesionalisma yang terhebat ?
Berusahalah untuk menjadi penolong agama Allah yang terhebat. Mustawa (peringkat) penolong-penolong agama Allah ini berbeza-beza. Maka, bermujahadahlah kamu untuk mencapai mustawa yang tertinggi di sisi-Nya !

PROFESIONALISMA KITA : KITA BERAMAL DENGAN  DAKWAH
Wajib untuk kita sentiasa memperbanyakkan amal kerana kita tidak tahu mana satu amalan yang benar-benar bernilai di sisi-Nya.
Dia yang Maha Teliti  akan menyemak setiap amalan kita.

Ikhlaskah hamba-Ku ini ?

Dan katakanlah, “ Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” ( 9 : 105 )

Allah memberi peluang untuk kita beramal di dalam medan dakwah ini sebagai salah satu cara untuk kita menolong diri sendiri saat dihisab nanti.

Mengapa kita perlu beramal ?
Kerana kita bukan generasi manusia yang hanya hanyut dengan kejayaan silam sebelum ini. Ternyata, kemenangan agung dulu itu sudah dirampas. Kini, Islam  seolah-olah dipijak oleh dunia. Lebih teruk, ummat Islam  sendiri yang mengeji agama ini !

Pernahkah kamu membayangkan bahawa Islam satu ketika dahulu sebenarnya satu agama yang amat dihormati satu ketika dahulu ?

Ya, itulah pemandangan dahulu.
Lihat di sekitar kita sekarang. Sedikit sekali manusia yang benar-benar mengamalkan Islam secara syumul dalam keseluruhan kehidupan mereka.

Mengapa kita perlu untuk terus beramal ?
Kerana kita hendak mencetak generasi yang beramal. Bukan sekadar penyokong di belakang ataupun orang-orang yang berdiam diri.

Kita mahu menyampaikan seruan “ Hayya ‘alal amal.”
Marilah kita beramal !

Kita harus meyakini bahawa peluang untuk beramal ini adalah salah satu hakikat penciptaan Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Mana mungkin seorang manusia itu melanggar sunnatullah.

Siapa yang berusaha, maka dia yang akan mendapat hasilnya.
Lalu, nilai amal bagaimana yang harus kita kejar ?

Amal  sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah.

…….Bekerjalah wahai keluarga Dawud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur.
(14 : 13)

Amal kita amal yang bersungguh-sungguh.

Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu dan akan Kami uji perihal kamu. (47:31)

Amal yang membuahkan kehidupan yang baik.

Barangsiapa mengerjakan kebaikan, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (16:97)

 

Amal yang terbaik.
Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya. (18:7)

Amal yang ihsan.
……Maka sekarang khabarkanlah kepadaku perihal ihsan. Rasulullah menjawab : Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya ia melihat engkau….. (Hadis riwayat Muslim)

Amal yang menuju Allah.
Katakanlah (Muhammd), “ Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang telah menerima wahyu, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa.” Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya. (18:110)

Amal yang penuh muhasabah.
Katakanlah (Muhammad), “ Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya ?” (Iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya. (18:103-104)

Untuk memperoleh kesemua nilai amal di atas, wajib untuk kita mulai dakwah ini dengan niat yang baik dan ikhlas. Amal ada tiga bahagian, iaitu :

 

  1. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah adalah ibadat seorang hamba.
  2. Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala adalah ibadat seorang saudagar.
  3. Amal  yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan sebagai melaksanakan hak kehambaan adalah ibadat seorang yang merdeka.

 

Maka, jadikanlah amal dakwah yang dikerjakan sebagai amal seorang daie yang merdeka. Tidak rugi bagi kamu yang memerdekakan diri dengan agama ini kerana inilah kemerdekaan yang paling agung !

Sungguh, amal yang terbaik adalah amalan yang dikerjakan sesuai dengan peribadi seseorang  mengikut waktu dan keadaan di ketika itu.

PROFESIONALISMA KITA : OBJEK MEDAN KITA ADALAH  MANUSIA
Apa jua jenis manusia, apa jua jenis respon mereka, hendaklah kau berlaku baik terhadapnya.

The Prophet S.A.W also said, “ There is nothing heavier in the believer’s scale than a noble character. ”(collected by Abu Dawud, At-Tirmidzi who declared it as Hasan Sahih)

It is crystal clear that nobleness of character creates sociability and harmony.

Objek dakwah kita adalah manusia kerana manusialah yang akan menggerakkan sebuah perubahan itu. Maka, untuk memulakan perubahan itu, manusia itu terlebih dahulu perlu berubah.

Ternyata, berurusan dengan manusia memang susah. Tidak kesemua urusan dengan manusia kita boleh berpuas hati dengan mudah. Namun, itulah urusan sesama hamba-hambaNya yang lemah.

Apa yang termampu untuk kita lakukan adalah berikan yang terbaik dan berakhlak mulia dengan kesemua manusia. Kita mahu qudwah kita sebagai seorang daie juga sebagai salah satu cara kita untuk menyampaikan dakwah meskipun terkadang memang amat pahit untuk melakukannya !

Biar masa dan pengalaman kamu untuk terus menjadikan kamu sebagai seorang daie yang matang. Matang dalam berfikiran, matang dalam menerima pandangan manusia, matang dalam segala-galanya.

Percayalah, akhirnya kematangan  itu akan menjadikan kita seorang daie yang lebih berjiwa besar. Dan, kematangan kita ini akan mengajar kita betapa penting untuk kita meneruskan langkah dalam jalan dakwah ini.

Bermuamalah (berurusan) dengan manusia mengajar kita keadilan dalam beramal. Keadilan dalam beramal memberi kebebasan kepada setiap manusia untuk beramal dengan amalan yang mulia dengan cara yang sesuai dengan dirinya namun masih berada dalam landasan syarak.

Maka, kita tidak berhak sama sekali untuk mengadili nilai amalan orang lain apatah lagi untuk menghukum seseorang itu berdasarkan apa yang dikerjakannya.

“ Bagaimana pula berurusan dengan golongan yang berlainan jantina ?”

Perlunya profesional dalam mengendalikan hubungan dengan golongan yang berlainan jantina.  Batasnya perlu dijaga oleh iman, bukan nafsu dan kehendak diri sendiri.

Sungguh, saya sendiri dahulu agak kekok untuk menerima golongan yang berlainan jantina untuk bekerjasama dalam mengendalikan sesuatu kerana saya risau batas itu tidak dapat dijaga dengan elok.

Namun, saya mula belajar satu perkara.
Perbezaan antara ikhtilat syarie dan ikhtilat yang tidak syarie. (boleh rujuk entri lama saya)

Untungnya saya bekerjasama dengan mereka yang juga memahami dan juga berusaha untuk menjaga batas-batas hubungan antara laki-laki dan perempuan.

Pentingnya, kedua-dua belah pihak wajib mendidik sensitiviti mereka untuk lebih cakna akan hal ini.  Carilah cara-cara untuk menjaga batasan tersebut sebagaimana yang telah diajar oleh Islam kerana itulah cara penjagaan yang terbaik.

Menjaga hubungan sesama manusia bukan sekadar bererti menjaga diri sendiri tetapi dalam masa yang sama kita juga menjaga maruah agama !

sekian,
mylittlepencil

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s