travelog : ISMAILIYYAH

TRAVELOG : MENGENANG SEJARAH  IMAM AS-SYAHID HASSAN AL-BANNA

30 OGOS 2012 (SELASA)
Kaherah – Ismailiyyah : SUQ SAYYARAT, HAYYU ASYIR

Aku memandang jam. Masa terus bergerak namun rombongan kumpulan Izzatul Islam yang menaiki bas belum lagi tiba. Sungguh, memang menunggu itu perit. Tetapi itulah tarbiyyah pertama yang membina.

Sabar !
Kami (peserta rombongan) disuruh berkumpul sebelum jam 7 pagi. Jam sudah hampir jam 8 pagi, namun belum lagi bas yang ditunggu-tunggu tiba. Mujurlah buku untuk dibaca dibawa. Boleh menjadikan diri ini leka sedikit daripada memikirkan kelewatan.

Saya jenis manusia yang sangat menjaga masa. Kalau berlaku sebarang kelewatan, hati akan rasa begitu ralat bercampur geram. Namun, saya faham setiap kelewatan yang berlaku itu pasti ada sebabnya. Dan, setiap kelewatan yang berlaku hanyalah pada urusan manusia.

Allah tidak pernah lewat.
“ Dan setiap umat mempunyai ajal (batas waktu). Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaatpun.” (7 : 34)

Sedang saya leka membaca, seorang akhawat bertanya.
“ Apa maksud hanif ya ? ”
Saya menjawab, “ Lurus.”

Saya melirikkan pandangan ke arah buku yang dibacanya.
Wah, hebat !

“ Cuba bacakan satu kata-kata yang menarik dari buku itu.” kata saya
“ Kekeruhan dalam berjemaah lebih baik dari kejernihan tapi sendiri. Kata-kata dari Imam Ali R.A. Ada lagi satu kata-kata yang lebih kurang dengan kata-kata tadi.”

Saya bertanya kepadanya, “ Apa dia ? ”
“ Ia adalah tali Allah yang kukuh diperintahkan berpegang dengannya. Dan sesungguhnya apa yang tidak kamu sukai dalam jemaah dan ketaatan, itu lebih baik dari apa yang kamu sukai dalam perpecahan.”

Ini adalah kata-kata dari Abdullah bin Mas’ud.
Tepat  jam 7.53 pagi, barulah sebuah bas sampai. Bas sebuah lagi, masih dalam perjalanan. Kami mendapat khabar berita, bahawa bas yang kedua akan sampai dalam masa sejam lagi.

Saya melepaskan lelah. Memikirkan apalah yang harus saya lakukan selain daripada membaca buku. Mujurlah akhawat Indonesia mengajak kami untuk bertaaruf bersama mereka. Kami berkumpul dalam satu bulatan dan memperkenalkan diri masing-masing.

Bersama dengan mereka terasa seperti berada dalam sinetron Indonesia. Kalau dahulu hanya mendengar dialek mereka dari siaran-siaran televisyen.

Saya amat bersyukur kerana dapat mengenali mereka dengan lebih dekat. Saya akui, jika bukan kerana medan dakwah dan tarbiyyah ini, mana mungkin saya punya peluang untuk mengenali mereka dengan lebih dekat dan membuang sebarang sangkaan yang tidak elok mengenai mereka.

Akhirnya, setelah bas yang kedua sampai, kami diarahkan untuk menaiki bas dengan segera. Setiap daripada kami juga diminta untuk duduk di dalam bas dengan akhawat Indonesia sebagai langkah untuk membuahkan lagi ukhuwwah fillah yang terjalin.

Sungguh, inilah manisnya berukhuwwah di jalan Allah.
Subhanallah !

Betapa untung, kumpulan Izzatul Islam menaiki bas yang sama dengan kami. Saya amat seronok meskipun kepenatan badan menunggu tidak lagi hilang.

Sepanjang perjalanan, kumpulan Izzatul Islam tidak bosan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka. Kagum sungguh saya melihat akhawat Indonesia yang mengingati hampir kesemua lirik lagu kumpulan popular itu. Manakala, saya hanya terdiam.

‘ Eh, banyak juga lagu kumpulan ini.’ bisik hati sendiri.
Rupa-rupanya kumpulan ini telahpun menerbitkan 14 buah album.

kami dihiburkan

Kepala yang tidak gatal digaru-garu kerana dalam otak saya seolah tidak punya memori.
Kesemua lagu yang dinyanyikan saya tidak tahu liriknya.

Betapa malu. Lagu-lagu yang sepatutnya meniupkan semangat tetapi telah melemahkan semangat saya sendiri. Lalu, saya bertindak mendiamkan diri dan sekadar tersenyum melihatkan situasi di dalam bas. Saya meneruskan pembacaan.

Bandar Ismailiyyah menanti kami dengan tangan yang terbuka.

* Bandar Ismailiyyah terkenal dengan buah mangga. Kerana itu teksi-teksi disana kebanyakan berwarna oren seperti mangga

***

Ismailiyyah : HENTIAN PERTAMA (saya tidak tahu nama penuhnya)

berehat sebentar

Kami berhenti di sebuah masjid di tengah-tengah Bandar Ismailiyyah itu untuk menunaikan solat Zohor. Setelah siap menunaikan solat, kami diberi masa untuk berehat sebentar. Jaulah yang sebenar tidak lagi bermula. Maka, kami tidak dibenarkan untuk membazirkan masa begitu sahaja.

Setiap saat yang dilalui wajib bermanfaat !
Kami kembali menaiki bas dan menuju destinasi yang pertama.

Ismailiyyah : HENTIAN KEDUA (MASJID AL-ABBASI)

Masjid Al-Abbasi

Kami sampai di sebuah masjid yang sedang dibaik pulih. Ketua perjalanan menerangkan bahawa masjid inilah yang sering dikunjungi oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna untuk menyampaikan dakwahnya di Ismailiyyah dahulu. Berada di dalam masjid tersebut membuatkan ruh saya sedikit bergetar. Berpijak di satu tempat yang pernah dipijak oleh tokoh dakwah yang amat saya sanjungi.

Masjid Al-Abbasi

Semoga Allah terus menganugerahkan tsabat kepada saya untuk terus istiqamah di dalam jalan dakwah ini. Ameen !

Kami hanya mengambil kesempatan bergambar kerana masa bergerak terlalu pantas. Masih ada tempat lain yang harus dikunjungi. Ketua perjalanan mengarahkan kami agar bergerak masuk ke dalam bas dengan lebih pantas.

Dalam perjalanan menuju ke destinasi yang seterusnya, kami diberitahu bahawa kami akan melewati rumah As-Syahid Hassan Al-Banna namun telah diruntuhkan oleh kerajaan Mesir enam hari yang lalu.

tinggalan rumah Hassan Al-Banna

Betapa sedih, mujur sempat menangkap gambar walaupun bas bergerak dengan agak pantas.

ISMAILIYYAH : HENTIAN KEDUA (MASJID AR-RAHMAH)

Kami sampai di destinasi yang kedua. Kami berpusu-pusu keluar dari bas kerana masjid inilah tempat pertama yang dijadikan madrasah tarbiyyah ahli jemaah Ikhwanul Muslimin. Masjid ini menjadi saksi dakwah satu ketika dahulu.

Masjid Ar-Rahmah

Kami masuk ke dalam masjid dan dibenarkan untuk mengambil gambar sebagai tanda kenangan. Dan kami sekali lagi dikerahkan agar tidak terlalu lama di situ.

“ Ayuh ukhti. Cepat. Kita harus berangkat.” tegur ketua perjalanan akhawat kepada saya yang masih berlambat-lambat.

Saya mahu menjiwai keberadaan saya di situ !

“ Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati. Sebenarnya mereka itu hidup, di sisi Tuhannya mendapat rezeki, mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepadanya, dan bergirang hati terhadap orang yang masih tinggal di belakang mereka yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.” (3 : 169-170)

Ayat ini terus terlintas di fikiranku saat berada di dalam masjid ini.
Wahai golongan terdahulu, yang telah mati syahid di jalan Allah, nantikanlah aku  yang menyusul kamu !

ISMAILIYYAH : HENTIAN KETIGA (TERUSAN SUEZ)

Kami berhenti rehat sebentar di sini. Kami diberi peluang untuk melihat terusan yang menjadi salah satu sumber ekonomi yang penting untuk negara Mesir ini. Terusan ini dijadikan laluan perdagangan  dunia yang penting. Terusan inilah yang memisahkan antara Mesir Benua Afrika dan Mesir Benua Asia.

Terusan Suez

Hidangan makanan tengahari dinikmati di sini. Sumber tenaga kembali pulih. Setelah menyegarkan diri, kami terus bergerak ke destinasi yang seterusnya.

dalam perjalanan ke Terusan Suez

ISMAILIYYAH : HENTIAN TERAKHIR (MENYEBERANGI TERUSAN SUEZ)

“ Sebentar lagi kita akan menyeberangi Terusan Suez. ” kata ketua perjalanan.
Kesemua peserta rombongan gembira.

Seberang Terusan Suez
kecintaan saya

 

Indah sungguh menikmati dan mentadabbur petang di tepi terusan begini. Kami menyeberangi terusan ini dengan menaiki sebuah feri tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Subhanallah, indah sungguh matahari saat hampir terbenam.
Di ketika inilah kami berpeluang bergambar dengan bebas. Sudahlah tempatnya pun luas, suasananya pun cantik. Dan di ketika ini jugalah kami mengambil kesempatan untuk menemuramah anggota kumpulan Izzatul Islam. Walaupun pada awalnya saya berasa amat malu namun tangan saya ditarik oleh seorang ukhti yang mengajak saya untuk menemaninya bertanyakan soalan.

menemuramah Ustaz Rahmat

“ Apa yang menyebabkan ustaz sampai sekarang masih bertahan dalam jalan dakwah ini ? ”
tanya saya kepada vokalis Izzatul Islam, Ustaz Afwan.

“ Matlamat kumpulan Izzatul Islam ini adalah untuk bergandingan dengan dakwah. Dan ketika kami memberikan kekuatan kepada kamu semua melalui lagu-lagu kami, kami juga mendapat kekuatan daripada sokongan kamu semua.”

“ Bagaimana saat kali pertama mula mengenal dakwah ? ”
soalan kedua diajukan.

“ Saya bermula sejak dari sekolah menengah lagi. Usrah sudah mula diterapkan ketika itu. Semakin lama, semakin tertarik untuk terus berada dalam jalan dakwah ini.”

Allahu akbar !
Kumpulan ini benar-benar menyampaikan dakwah dengan sesungguhnya. Betapa saya muhasabah akan amal diri sendiri yang terlalu rendah untuk dibandingkan dengan amalan mereka.

Usah lagi dikira keikhlasan yang ada pada setiap amalan, sedangkan amalan itu sendiri tidak banyak.

Saat waktu Maghrib semakin menghampiri, kami bertolak pulang. Sebelum menaiki feri, ada seorang ukhti berbisik kepada saya, “ Ustaz Rahmat (ahli kumpulan Izzatul Islam) bawa 13 buah usrah. Dua usrah sebelum subuh.”

Allahu Allah !
Ketahuilah ahli kumpulan Izzatul Islam ini bukan calang-calang orangnya. Mereka jugalah barisan pensyarah di universiti. Mereka jugalah menjadi penggerak utama dalam Komite Nasional untuk Rakyat Palestina (KNRP) dan mereka jugalah menyanyi di atas pentas menyampaikan dakwah.

Betapa amal mereka berganda. Seolahnya perkataan penat itu tidak pernah menganggu amalan mereka. Jika pun mereka penat, tetapi mereka tidak melayan kepenatan mereka seperti kita.

Masih mahu berehat dalam keadaan yang selesa dan melayan kepenatan sepuasnya !

***

Ismailiyyah-Kaherah : PERJALANAN PULANG

Ternyata kesemua peserta rombongan berpuas hati dengan jaulah yang diadakan. Walaupun masanya singkat, ibrah jaulah ini teramat besar !

Apa yang paling saya kagumi adalah kesungguhan kumpulan Izzatul Islam yang menghiburkan perjalanan pulang kami dengan lagu-lagu mereka.
Kata mereka,
“ Biarlah hari ini kami berkhidmat untuk kamu semua.”

Lagu-lagu mereka punya sejarah yang tersendiri. Bukanlah liriknya direka-reka begitu sahaja. Liriknya punya aura yang tersendiri. Setiap kata-kata di dalam liriknya adalah kalimah yang baik , kalimah yang menyentuh hati, malah kalimah yang mulia !

“ Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, ” (14 : 24)

Moga lirik-lirik lagu mereka akan terus mengiringi jalan dakwah ini !

Kata saya dalam hati,‘ Apakah mereka ini tidak penat ? Esok ada kuliah, mengapa tidak berehat sahaja di dalam bas ? ’

Pada mulanya, saya merasakan agak tertekan kerana badan ketika itu memang amat kepenatan. Dan kebiasannya dalam perjalanan jaulah, kami diberi masa untuk berehat. Tetapi tidak untuk jaulah kali ini.

Akhawat Indonesia memang amat bersemangat. Dan semangat mereka tidak pernah luntur !

“ Dan berjihadlah kami di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama. (Ikutilah) agama nenek moyangmu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamakan orang-orang muslim sejak dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, agar Rasul (Muhammad) itu menjadi saksi atas dirimu dan agar kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia. Maka laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah pelindungmu. Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.” ( 22 : 78 )

Daripada jaulah kali ini, saya banyak belajar.
Belajar sesuatu yang amat bermakna untuk digunakan dalam kehidupan sebagai seorang hamba.

Sampai sahaja di Kaherah, kami terus pulang ke rumah masing-masing dengan membawa seribu satu pengalaman yang amat bermakna.

IZIS
sementara menunggu ketibaan bas
ukhuwwah fillah
Of ‘menikmati petang di Terusan Suez’

Sekian,
mylittlepencil

Advertisements

2 thoughts on “travelog : ISMAILIYYAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s