kehambaan di Aidil Adha

Bismillah.
Entri ini sedikit terlewat daripada peristiwanya yang sebenar.

Semoga ruh tadhiyyah itu menyirami hidup kita seharian.
Jangan sempitkan pengertian pengorbanan itu hanya sekadar pada aspek-aspek tertentu kehidupan.

Of ‘ Iskandariah’ 1

KEHIDUPAN  : PELUANG UNTUK BERKORBAN
Kehidupan adalah satu peluang.
Peluang keemasan bagi mereka yang pandai mencari dan menggunakannya.

Malah, kehidupan ini juga satu pengorbanan.
Mana mungkin senang untuk mendapat wang kalau tidak mengorbankan tenaga dan masa untuk bekerja.
Mana mungkin peluang pekerjaan itu akan datang tanpa kita mengorbankan tenaga mencarinya.

Langsung, pengorbanan ini memerlukan tenaga.
Paling penting tenaga dari dalam.
Tenaga dalaman mampu menjana akal dan fizikal seseorang untuk menolaknya melakukan sesuatu yang luar biasa.
Kita terlampau untung !

Kita punya iman sebagai punca tenaga dalaman.
Kita tidak perlu pergi kursus-kursus tertentu untuk menuntutnya.
Apa yang kita patut lakukan adalah sentiasa memperbaharuinya supaya tenaga dalaman itu sentiasa segar dan hidup.
Sungguh, hakikat kehidupan yang bergerak adalah pada hati yang bergerak !

Tenaga dalaman inilah kekuatan pejuang pejuang Islam terdahulu.
Mereka berjaya menjadi daie yang terlampau hebatnya dek kerana tenaga dalaman yang terlampau hebatnya.
Satu perkadaran secara terus (directly proportional).

Semakin bertambah iman, semakin meningkat amal.

Betapa untung lagi !
Kita diutuskan ke dunia dengan tanggungjawab yang membuka peluang kita untuk berkorban dengan lebih banyak.
Utusan sebagai ‘abid dan khalifah bukanlah satu tugasan yang mudah.
Inilah tugasan yang memerlukan pengorbanan yang besar, malah paling berat !

Maka, jadikanlah medan kehidupan ini sebagai satu medan untuk anda berkorban.
Jangan lepaskannya !

The law of sacrifice is uniform throughout the world. To be effective it demands the sacrifice of the bravest and the most spotless.
-Mahatma Gandhi-

Jangan sampai kehidupan anda kosong dari pengorbanan.
Kerana pengorbanan itu adalah peluang yang terbaik dalam kehidupan.

Peluang untuk berkorban itu datang kepada semua manusia.
Namun, hanya sedikit manusia yang benar-benar memanfaatkannya.
Dan hanya manusia yang memanfaatkannya yang benar-benar merasainya.

Ayuh berkorban !

Of ‘Iskandariah’ 2

PENGORBANAN TERBAIK 

Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, ” Wahai anakku ! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu !” Dia (Ismail) menjawab, ” Wahai ayahku ! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, inshaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah Allah). Lalu Kami panggil dia, ” Wahai Ibrahim !, sungguh engkau telah membenarkan mimpi itu. Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan terbaik kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, ” Selamat sejahtera bagi Ibrahim.” Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sungguh, dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman. ( 37 : 102-111)

Sungguh, saya melihat kisah keluarga Nabi Ibrahim A.S ini adalah aturan kehidupan pengorbanan yang paling baik !
Jika kita melihat keseluruhan kisah keluarga ini, cukup banyak kisah tentang pengorbanan yang dilakukan mereka (kisah Siti Hajar).
Dan kisah mereka ini dimuliakan sampai generasi hadapan !

Saat Nabi Ibrahim A.S. mendapat perintah daripada Allah S.W.T, dia dan anaknya tidak menolak.
Inilah kriteria pertama bagi orang yang ingin melakukan pengorbanan.
Malah, Nabi Ibrahim dan anaknya memberikan jawapan yang terbaik.

Orang yang ingin berkorban dia tidak akan melepaskan atau menolak apa jua peluang untuk berkorban.

…inshaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar

Orang yang ingin berkorban wajib bersabar dan melakukannya dengan penuh ketaatan.

Inilah sikap Nabi Ismail saat ayahnya mengabarkan perintah Allah itu kepadanya.
Malah, Nabi Ismail sendiri terlebih dahulu merelakan dirinya disembelih oleh ayahnya sendiri.
Nabi Ismail mengikut tanpa mengajukan sebarang persoalan.

Falamma aslama (maka keduanya berserah diri).
Ini kriteria yang kedua harus ada pada orang yang mahu berkorban.

Orang yang ingin berkorban dia perlu tahu bahawa pengorbanan yang terbaik adalah untuk-Nya dan kerana-Nya kerana pengorbanan itu akan melahirkan rasa kehambaan seorang hamba.

Pengorbanan untuk dunia adalah pengorbanan yang terhad jangka masanya dan rendah nilainya.
Manakala, pengorbanan untuk akhirat adalah sebaliknya.

Kerana itulah, kita seringkali diingatkan betapa dunia ini adalah satu keseronokan yang melalaikan dan ianya sebuah permainan.
Mana mungkin orang yang ingin berkorban itu akan bermain-main dengan pengorbanannya !
Sungguh, kemenangan sebenar kita adalah pada nilai kehambaan.

Pengorbanan adalah manifestasi cinta yang terbaik.
Kerana itulah Nabi Ibrahim A.S dan anaknya memilih untuk berkorban sebagai tanda cinta kepada Allah yang melebihi cinta-cinta lain.

Orang yang ingin berkorban harus membenarkan pengorbanan yang dia lakukan.

Sebagaimana Nabi Ibrahim dan anaknya membenarkan perintah Allah yang teramat berat itu, begitu jugalah kita yang ingin melakukan pengorbanan.
Keyakinan bahawa pengorbanan adalah lapangan terbaik dalam kehidupan.
Dan, keyakinan itu tidak akan datang tanpa iman yang kuat kepada Allah.

Semakin bertambah iman, semakin bertambah keyakinan. Semakin  bertambah keyakinan, semakin timbul rasa untuk berkorban.
(directly proportional)

Iman adalah jaminan terbaik untuk anda berkorban. Percayalah.

Orang yang berkorban wajib yakin bahawa balasan yang terbaik itu adalah hadiah buat mereka.

 Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan terbaik kepada orang-orang yang berbuat baik.

Pengorbanan bukanlah satu hal yang mudah.
Dan dek kerana itu, orang-orang yang benar merelakan dirinya untuk berkorban mereka itulah yang akan mendapat balasan yang terbaik. Allah Maha Adil !

Kesimpulannya, untuk mendapat hadiah yang terbaik wajiblah untuk kita berkorban dengan cara yang paling terbaik !

DAKWAH DAN PENGORBANAN
Medan dakwah sentiasa memerlukan seorang daie itu untuk terus berkorban. Seolahnya, pengorbanan ini menjadi program utama dalam dakwah.

Jika tidak berkorban, manakan dapat hasilnya !
Betapa malang hidup seorang daie itu tidak melakukan sebarang pengorbanan.

Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. dan didapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya (Orang-orang kafir, karena amal-amal mereka tidak didasarkan atas iman, tidaklah mendapatkan balasan dari Tuhan di akhirat walaupun di dunia mereka mengira akan mendapatkan balasan atas amalan mereka itu.).” (QS. An Nur (24) : 39).

Inilah nilai hidup tanpa pengorbanan.
Maka, program hidup seorang mukmin (serta seorang daie) itu wajib jauh lebih bernilai daripada amalan-amalan biasa.

Moto hidup seorang daie itu : hidup mulia dan mati syahid.
Dan untuk mencapai moto hidup ini memerlukan pengorbanan.

Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-KU, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) KU dan hendaklah mereka beriman kepada-KU, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”  (QS. Al Baqarah : 185).

Penuhilah segala perintah Allah kerana itulah perintah yang terbaik.
Perintah yang terbaik inilah membuka peluang-peluang amal yang terbaik.
Amal-amal yang terbaik inilah yang akan menjaga iman dan diri kita agar sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik (kebenaran).

Of ‘Iskandariah’ 3

 

Of ‘Iskandariah’ 4

“Seven Deadly Sins

Wealth without work
Pleasure without conscience
Science without humanity
Knowledge without character
Politics without principle
Commerce without morality
Worship without sacrifice.” 
 Mahatma Gandhi

sekian,
mylittlepencil

2 thoughts on “kehambaan di Aidil Adha

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s