penulis disayang Tuhan

“ Seni penulisan adalah antara juzu’ terpenting dalam sastera.”
Kata-katanya yang cukup memberikan inspirasi kepada saya sebagai seorang penulis dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini.

Kesempatan bertemu dengan dua orang penulis yang cukup terkenal  saya manfaatkan sebaik mungkin walaupun saya agak malu-malu untuk berhadapan mereka. Kebanyakan peserta mengerumuni mereka untuk meminta tips dalam dunia penulisan.
Pelbagai soalan diajukan.
Mana mungkin dilepaskan peluang keemasan sebegini.

Mata mereka bersinar-sinar.
Deruan nafas mereka turun naik dengan laju.
Ternyata, keterujaan semua peserta jelas terbukti.

Namun, saya  hanya mampu memandangnya dari jauh.
Pada hari terakhir berbengkel bersamanya, atas desakan kawan, saya menggagahkan diri juga untuk berjumpa dengannya.
Alhamdulillah, saya berjaya mengemukakan soalan yang sudah lama tersimpan dalam hati.

Dalam usaha untuk menjadi seseorang yang mantap dalam bidang tertentu, wajib berjumpa dengan gurunya !

Rumusan saya sepanjang berbengkel bersamanya mudah.
Beliau mengajar kami cara-cara yang betul untuk menjadi para penulis yang disayang Tuhan.
Tidaklah payah, tetapi tidak bermakna terlalu mudah.

 

NIAT UTAMA  vs  NIAT SAMPINGAN

Niat adalah langkah terawal kita dalam melakukan apa jua pekerjaan. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas mampu mengangkat tinggi darjat amalan mereka.

Manusia yang ikhlas ini terkenal dalam kalangan penghuni-penghuni langit di atas sana.
Bila kita menulis kerana Allah, maka kita perlu yakin bahawa Allah yang bakal menggerakkan hati dan tangan  kita untuk memberikan hasil tulisan yang terbaik.

Bila kita menulis kerana Allah, maka kita perlu berharap kepada-Nya bahawa Dia akan menggerakkan hati para pembaca untuk menerima hasil tulisan (dakwah)  kita sebaik mungkin.

Bila kita menulis kerana Allah, maka kita akan cuba mencuri masa untuk menulis walaupun urusan seharian  memenuhkan masa 24 jam yang diberi.

Bila kita menulis kerana Allah, maka kita perlu sedar bahawa kita sedang berjanji kepada Allah.
“ Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan.” ( 68 : 1 )

‘ Demi Allah,
apa yang aku tuliskan ini adalah untuk agama-Mu ! ’
Inilah monolog dalaman saya saban hari.
Jika bukan kerana Allah, saya mungkin lebih sayangkan masa berehat di atas katil berbanding duduk di hadapan laptop.
Jika bukan kerana Allah, mungkin saya akan menulis apa jua perkara yang tidak mendapat sebarang manfaat untuk diri sendiri. Apatah lagi untuk memberi manfaat kepada manusia yang lain.

Jika bukan kerana Allah, adakah saya layak untuk menjadi penulis yang disayang Tuhan ?

SERIUS

“ Bagaimana anda semua mahu serius dalam penulisan andai bahasa yang digunakan sudah menampakkan betapa anda tidak serius ? ”

Ketahuilah, betapa manusia itu dipengaruhi oleh apa yang dibacanya saban hari.
Berdasarkan kajian seorang profesor yang bernama Profesor Basil Beinstein, dia membahagikan Kod Bahasa kepada dua jenis.

Elaborate Code and Restricted Code.
Elaborate Code kebiasaannya diguna oleh golongan kelas pertengahan, manakala Restricted Code diguna oleh manusia kelas bawahan.
Hasil kajian beliau menunjukkan golongan kelas pertengahan yang banyak membaca bahan dalam bahasa yang nilainya tinggi lebih banyak kosakata serta kaya dengan bahasa.
Dan sebaliknya pula untuk manusia kelas bawahan. Mereka banyak menggunakan kosakata yang sama (terhad) dan nampak kurang bijak apabila berkata-kata.
Bandingkan  kedua-dua jenis  ayat di bawah.
“ Abang rindu gila kat Sarah. Abang nak Sarah kasitahu mak Sarah yang abang nak datang rumah Sarah hujung minggu ni. Tak payah risik-risik, kita bertunang terus. Kalau dapat nikah terus lagi bagus, kan ! ”

“ Beritahu ibu, saya akan datang ke rumah awak pada hujung minggu ini. Tidak perlu majlis merisik, kita terus sahaja bertunang. Kalau boleh langsung bernikah, alangkah lebih baik ! ”

Perbezaannya jelas terpapar bukan ?
Ayat basahan vs ayat Bahasa Melayu Tinggi.

Sebarang hasil tulisan memang akan mempengaruhi para pembaca serta minda mereka.
Jika tidak, mana mungkin para pelajar sekolah mahupun di universiti menggunakan Bahasa SMS dalam peperiksaan mereka !

Zaman sekarang menyaksikan kepentingan Bahasa Melayu Tinggi itu kian dipinggirkan.
Mereka yang menulis dengan bahasa yang penuh dianggap skema.
Mereka yang menulis dengan tatabahasa dan tanda baca yang betul dianggap ahli sastera.

Mereka yang menulis dengan Bahasa Melayu Tinggi dianggap ketinggalan zaman.

Aduhai, betapa malang diri kita.
Tidak pandai menghargai nilai kekayaan sesuatu bahasa.
Lingua franca yang terkenal satu ketika dahulu kini hanya menjadi sejarah.

Tidak mahukah kita agar generasi akan datang mengenali sejarah mereka yang dahulunya punya satu warisan yang amat berharga iaitu bahasa ?

Kita wajib begitu.
Serius dalam menyampaikan dakwah dalam ayat-ayat  yang elok.
Biar manusia nampak betapa kita ini serius (tanggungjawab kita) dalam mengajak mereka ke dalam jalan dakwah ini.
Walaupun kita sekadar memberi informasi-informasi ringan, kita juga tetap serius.

Apatah lagi menyampaikan hal-hal yang besar !
KENALI TARGET PEMBACA ANDA

“ Cik Puan, tetapi zaman sekarang ramai orang cenderung untuk membaca bahan-bahan yang ditulis bukan dengan Bahasa Melayu Tinggi.  Bagaimana ? ”

Inilah dunia sekarang.
Mereka lebih gemar kepada bahan bacaan yang lebih ringan.
Ini bahasa zaman mereka.

“ Rasa berat bila membaca hasil-hasil tulisan yang ditulis dengan bahasa yang serius.”
Inilah jawapan mereka apabila saya bertanyakan tentang kecenderungan mereka dalam memilih hasil tulisan  untuk dibaca.

Penulis yang berbeza punya cara yang berbeza.
Penulis yang berbeza punya sasaran  pembacanya yang tersendiri.
Penulis yang berbeza punya pelbagai jenis bakatnya.

Maka, gunakanlah sebaik mungkin.
Jika anda merasakan  sasaran pembaca anda adalah golongan manusia Fasa Mekah, maka gunakan bahasa yang sesuai dengan mereka.
Begitu juga sebaliknya.

Jujurnya, saya sendiri tidak cenderung untuk membaca bahan bacaan yang kurang serius.
Lain manusia, lain pilihannya.

Dunia penulisan ini punya medan yang teramat luas.
Maka, berbaktilah sepuasnya dengan apa jua cara yang anda sukai.
Asalkan, anda tetap menjadi penulis yang disayang Tuhan.

SASTERAWAN  vs  SASTERAWANG

“ Saya menulis hasil-hasil tulisan yang laku, untuk dijual. Baru dakwah itu akan sampai. Kalau menulis tapi buku itu tidak dibeli apa gunanya ?”

Saya berfikir dalam-dalam tentang kenyataan yang dikatakan.
Memang benar.

Jika hasil-hasil tulisan itu tidak terjual (tidak tersebar) bagaimana dakwah itu akan sampai ?
Lainlah jika anda memilih untuk menulis sekadar suka-suka, bukan untuk diterbitkan.
Jika begitu, menulis di laman penulisan seperti saya adalah tempat yang sesuai.

Duit memang penting untuk menggerakkan sesuatu operasi yang besar.
Termasuk juga  dalam urusan menyebarkan dakwah.

Jika tidak, manakan datang prinsip sunduquna juyubuna dalam kalangan ahli jamaah Ikhwanul Muslimin.
Tabung-tabung  kami adalah  poket-poket kami.

Sungguh, manusia yang bekerja keras itu lebih Allah sukai dari manusia yang suka meminta-minta.

Dengan duit yang kita usahakan sendiri, membolehkan kita untuk berinfaq sepuasnya.
Bak kata Pak Latif, “ Saya berjalan ke sana sini melihat tempat-tempat bersejarah untuk mendapatkan ilham bagi buku yang seterusnya menggunakan duit royalti hasil jualan buku saya sendiri.”

Bukankah dengan menjadi seorang sasterawang anda juga menjadi sasterapahala ?
Sasterawang  dan  sasterapahala yang disayang Tuhan.

SYARIAH COMPLIANCE
“ Sibhah Allah. Siapa yang lebih baik sibghah-nya daripada Allah ? Dan kepada-Nya kami menyembah.” ( 2 : 138 )

Seru saya, marilah kita menjadi barisan penulis celupan-Nya.
Menjadi penulis yang menyampaikan agama-Nya.

Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Inilah tugas kita sebagai khalifatullah di atas muka bumi ini.

DEEN COMPLIANCE.
DAKWAH DAN TARBIYYAH COMPLIANCE.

Inilah  prinsip kita apabila menulis.
Kita tidak akan menulis melainkan apa yang kita tulis mematuhi piawaian-Nya.
Kita tidak akan menulis melainkan apa yang kita tulis adalah kebenaran belaka.

Kita  bukan menulis untuk menyampaikan keburukan.
Kita bukan menulis untuk mendidik para pembaca kita membuat maksiat.

***

Mari, bersama saya menjadi penulis yang disayang Tuhan.

Dan orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan janji Allah itu benar. Siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah ?

( 4 : 122 )

 

sekian,
mylittlepencil

 

p/s : pengalaman yang sungguh berharga

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s