Morris Minor kehidupan

Bismillah.

Salam Ramadhan.
Salam dakwah.

Semakin hampir masanya untuk kita berpisah dengan Ramadhan.
Entah bertemu entah tidak pada lain masanya nanti.
Entah bagus etah tidak Ramadhan kali ini.

Moga Ramadhan kali ini berjaya sudah kita memperbaiki kesilapan-kesilapan silam.
Dan, keluarnya kita daripada madrasah Ramadhan  kali ini dengan jayanya.

Muhasabah dan terus muhasabah.
Sampai ke akhirnya.
Sampai ke pagi hari Raya Aidilfitri nanti.
Sampai saat kita melafazkan takbir raya pada pagi kita kembali kepada fitrah.

*************

Balik kampung oh oh…( 3X )
Hati girang
Ho ho… Balik kampung (3X)
Hati girang

Bila sudah tibanya masa cuti, semua berpusu-pusu pulang ke kampung.
Semua tujuannya sama, pulang bertemu ahli keluarga yang dirindu.

Berbeza kenderaan yang dinaiki.
Berbeza jarak perjalanan.
Berbeza jalan yang dilalui.

Yang pasti, jalan raya akan sibuk.
Telah ditakdirkan, siapa yang selamat, siapa yang tidak.

Siapa yang cepat sampai, siapa yang lambat sampai.
Yang tidak bernasib baik, tidak dapat merasai keindahan perjalanan pulang ke kampung.
Kerana tiada siapa yang menunggu mereka di sana !

Tinggal hanya, mungkin,
rumah usang yang telah lama tiada penghuninya.
Pusara-pusara orang tercinta yang telah lama pergi meninggalkan dunia.

Ataupun, mereka tidak punya wang sebagai tambang !

Ada juga mereka yang terpaksa berjuang, berbakti,
memenuhi tanggungjawab di tempat lain saat orang lain berpeluang mendampingi ahli keluarga tersayang.

Malah, ada juga yang tidak mahu pulang,
meskipun diberi peluang.

Inilah sebuah perjalanan.
Perjalanan kehidupan yang berbeza untuk setiap manusia.

Kesemuanya disusun rapi oleh-Nya.
Mencapai kebahagiaan dengan cara yang berbeza.
Mendapat kesedihan dengan ujian yang berbeza-beza.

*****************

Bermula  perjalanan,
Menaiki Morris Minor kuno,
Kerusi pun hapak,
Nan jauh tak terjelang, nan dekat tak tertandangi.

Bertemankan neon lampu jalan,
berselang seli menerangi kelam malam,
Radio buruk meski mampu bersuara,
bagai perian pecah,
bertemankan  gema malam,
lebih indah.

Perjalanan diterus,
Hati  tabah punya iman jadi teman,
Tingkap dibuka,
Angin luar ganti penyejuk buatan.

Bagai nelayan terkatung-katung perahunya,
sampai atau tidak ke tujuannya ?
Sang Morris kata tidak,
Pemandu kata ya.

Ah,
Aku pemandunya,
Kau gerak guna roda,
Aku pandu berbekal harapan,
Penguat jiwa.

Menuju cahaya nama perjalanan,
Bukan tempat jadi  tujuan,
cahaya itu destinasinya.

Lajunya siput,
Puas ditekan minyak,
Sampai mengah,
Kata Morris,
tak dapat berjalan tegak, menginsut-ingsut sampai juga.

Kecil besar,
Panjang pendek,
Kenderaan bermotor bawa muatan,
Seronok memintas,
Tinggal aku dan Morris,
Hati walang dikongsi.

Sampai di satu  laluan,
Lampu jalan menghilang,
Tinggal bulan bintang cuma,
Digenggam gelap malam,
Persis kehidupan,
Mengakali usaha untuk berdikari,
Ada masa tinggal sendiri.

Langit  jadi saksi,
Pokok-pokok memerhati,
Peneman  yang bakal menghakimi,
Nafas terus menghela,
Merintih  sampai ke arasy sana ,
Oh, alangkah penatnya !

Pelangi tak sekali muncul,
Air mata tak sekali datang.

Kalau tak kerana iman,
Tidak  aku yakini perjalanan  ini rencana Tuhan.

***************

Perjalanan kehidupan ini milik kita.
Jatuh bangunnya,
kuat dan lemahnya,

Hanya kita sendiri yang merasai.

Lampu-lampu neon itu,
aku ibaratkan manusia yang sentiasa menghulurkan tangannya padaku,
ingin bersama denganku dalam suka dan duka,
yang bersamaku kerana Allah.

Namun, tidak selalunya dapat bersama.

Kerana akan sampai satu masa,
mereka sengaja dilesapkan seketika dari pandangan kita oleh-Nya.

Allah ingin melihat kita membina kekuatan diri sendiri.
Bukan setiap masa bergantung pada mereka.
Mereka juga berbekalkan tenaga seorang manusia.
Baterinya melemah dan perlu dicas semula.

Tika itu,
Matahari menjadi sumber tenaga.
Persis tenaga solar.

Kepada Dia yang Maha Kuasa, Maha Kuat,
Kita meminta sedikit demi sedikit kekuatan.

Berdikarilah kita untuk meneruskan usaha usaha mencahayai diri,
mencari jalan untuk kembali kepada cahaya semula.
Kerana perjalanan menuju cahaya inilah perjalanan yang sebenar-benarnya.

Berdikarilah kita untuk meneruskan usaha usaha memboloskan diri dari kegelapan,
kerana kegelapan yang terlalu lama,
mampu membuatkan kita sesat selamanya !
mampu melemahkan iman !

Bengkang bengkok habis semua jalan,
sampai kita sendiri tidak faham lagi apa ertinya jalan yang mustaqim itu.
Kita tidak kenal lagi erti mujahadah dalam sebuah perjalanan kehidupan.

Dan dalam perjalanan ini,
ada yang melaju selaju lajunya,
meninggalkan kita yang perlahan.

Perlahan-lahan bukan kerana mahu selamat.
Kita perlahan kerana kurangnya bekalan,
perlahan kerana kurangnya semangat,
perlahan kerana kurangnya kehendak.

Perlahan kerana lemahnya iman !
Jangan jadi usang.
Yang puas ditekan minyaknya, tetap perlahan.

Biarlah ditekan minyaknya, semakin melaju.
tak dapat berjalan tegak, menginsut-ingsut sampai juga.

Kalau tidak dapat selaju macam yang lain,
perlahan-lahan dan bertenanglah dalam perjalanan,
kerana akhirnya akan sampai juga.

Mungkin sahaja, dengan perlahannya kamu,
kamu akan lebih mengerti setiap tapak perjalanan kehidupan.

Kekuatan untuk kita bergerak bukan seperti mesin-mesin yang bergerak.
Mesin mesin guna elektrik, sumber yang senang diperoleh.
Tekan suis, mudah sekali hidup.

Tetapi kita, kita bergerak guna jiwa dan ruh.
Angkatan kita angkatan ruh.

Mana mungkin angkatan ini akan bergerak jika terdiri daripada ruh ruh yang lemah.
Ruh ruh yang mudah sekali dipatahkan semangatnya.
Ruh ruh yang mudah sekali dijatuhkan oleh musuhnya.

Maka, angkatan ruh ini tidak akan terlepas dari latihan-Nya.

Pelangi tak sekali muncul,
Air mata tak sekali datang
.

Saadat bukan setiap masa.
Bukan seperti sirih naik, junjungan naik.

Untung dan bahagia yang silih berganti.
Bagi kita, para mukminin,
Bahagia dan cabaran itu yang silih berganti.

Bukan hanya sekali.
Malah berkali kali.

Keduanya untuk melatih diri.
Biar jadi hamba yang suka merintih.
Biar jadi hamba yang suka bergantung kepada-Nya.
Biar jadi hamba yang mengenali-Nya, sedar akan kuasa-Nya.

Hujan tak sekali jatuh, simpai tak sekali erat.
Kebahagiaan tidak akan datang sekali gus.

Jika begitu, hidup kita hanyalah ada untung.
Tuahnya di sana kelak tiada.

Apa guna hidup ini andai tidak diduga ?
Kerana kebahagiaan itu sendiri adalah perjuangan.
Namun, perjuangan kita berbeza.
Perjuangan kita untuk kebahagiaan di sana.
Untung di dunia pun ada,
Tuah di akhirat pun ada.

Belajarlah dari cabaran.
Bukanlah cabaran itu datang untuk mencela kamu sebagai hamba yang lemah.
Tetapi, semata untuk mengangkat darjatmu ke tingkatan yang lebih tinggi.

Bukanlah ingin memaksa air mata kamu keluar kerana merana,
tetapi air mata itu bukti hamba yang sentiasa bertawakkal kepada-Nya.

Jalan dakwah inilah jambatan emas kita.
Jalan yang mencapai bahagia dengan cara-Nya, rencana-Nya.

Kalau tak kerana iman,
Tidak  aku yakini perjalanan  ini rencana Tuhan.

Muhasabah di langit akhir Ramadhan……

 

Sekian,
mylittlepencil
~di langit akhir Ramadhan

 

p/s     : selamat memburu Lailatul Qadar.
p/s  II : selamat mengakhiri Ramadhan dengan jayanya.
p/s III : selamat menyambut kemenangan di Aidilfitri nanti dengan fitrah yang baru dan lebih suci   inshaAllah !

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s