busyra yang menipu

Bismillah.

Salam dakwah.
Salam Ramadhan buat semua.

Semoga bersungguh-sungguh kamu semua dalam berlumba mencari lailatul qadar-Nya dan keredhaann-Nya, inshaAllah.

Buang mana yang keruh, ambil mana yang jernih.
Di ketika inilah, kita berusaha untuk menyental sampai bersih segala sikap-sikap buruk kita,
dan mendidik sifat-sifat mahmudah dalam diri.

*********
Ingin saya bertanya kepada anda semua,
Pernah anda berasa tertipu dengan satu khabar berita yang kononnya menggembirakan ?

Perasaan yang pada mulanya gembira, mengempis akhirnya.
Pada mulanya senyum, tangis akhirnya.

Tahukah anda sebenarnya, berita yang gembira itu tidak selamanya gembira.
Dan berita yang menyedihkan itu tidak selamanya menyedihkan.

Kerana Allah itu yang Maha Adilnya.
Dia rezekikan buat sekalian manusia ini dua perasaan yang berlawanan.
Gembira dan sedih.
Suka dan benci.

Dan tugas kita sebagai manusia, bersikap adil kepada perasaan ini.
Letakkan di tempat yang sepatutnya.

Mana mungkin perasaan gembira itu anda letak pada berita yang menyedihkan.
Inilah keunikan manusia.

Tetapi, malangnya ada golongan manusia yang tertipu dengan berita-berita yang dikhabarkan ini.
Bila mana tibanya berita tersebut, mereka tidak merasakan apa-apa dalam hati.
Malah, lebih teruk jika perasaan berlawanan dengan apa yang berlaku.

Kesannya, manusia menjadi celaru dengan diri mereka sendiri.
Tidak tahu apa yang patut diperbuat.

Akhirnya, menjadi gila !

Sewajarnya manusia ambil kisah dengan berita-berita yang dikhabarkan setiap hari……

Lihat semula rentetan sirah Rasulullah dan para sahabat satu ketika dahulu.
Allah S.W.T sendiri yang melatih diri mereka untuk bersikap adil dengan berita-berita yang dikhabarkan-Nya.

Bila mana Allah memberitahu mereka tentang nikmat-nikmat syurga.
Mereka mula menggambarkan,
mereka mula tersenyum dan akhirnya mereka yakin dengan berita-berita gembira ini.

Datang apa sahaja desakan dan siksaan dari kafir Quraisy, mereka semakin kuat dek kerana janji-janji Allah kepada mereka.

Di saat, mereka mula lemah,
Allah menghantar khabar gembira bahawa sifat sabar itu sifat ahli-ahli syurga.

Ingatkah anda pada kisah tiga seorang sahabat sahabat Rasulullah S.A.W yang teramat sedihnya ?
Salamnya tidak dijawab oleh para sahabat.
Tambahan, Rasulullah S.A.W pula menghalang dirinya daripada mendekati isterinya.

Jujurnya, kali pertama saya mendengar kisah ini.
Saya berasa biasa.
Mungkin kerana sudah biasa berada dalam keadaan dibenci dan diboikot orang.
Tetapi, setelah mentadabbur dalam kisah ini, memang menyayat hati.

Inilah kisah Ka’ab bin Malik, Hilai bin Umayyah, dan Mararah bin Rabi’ yang melakukan kesalahan  terlewat menyertai rombongan kaum Muslimin dalam satu peperangan.

Kisah tentang perang ini cukup popular dengan kisah mereka bertiga.

Dan terhadap tiga orang yang ditinggalkan. Hingga ketika bumi terasa sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah (pula merasa) sempit bagi mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari siksaan Allah, melainkan kepada-Nya saja, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang. ( 9 : 118)

Lihat cara Allah menyampaikan khabar gembira buat mereka bertiga.
Gembiranya hati bukan kepalang setelah Allah menerima taubat mereka.

Kegembiraan itu bukan sahaja buat mereka bertiga, tetapi juga buat para sahabat yang lain.
Apatah lagi Rasulullah S.A.W sendiri !

Inilah cara para sahabat menerima apa jua khabar gembira.
Mereka bijak meletakkan perasaan dan menyusun amal mereka.

Tidak seperti kita.
Membaca tentang nikmat-nikmat syurga, tidak terasa apa.
Membaca ancaman dan gertakan tentang siksaan-nya, juga tidak terasa apa.

Mana perginya hati kita dalam menerima khabar-khabar seperti ini ?

Apatah lagi mahu mengambil pengajaran, jauh sekali.
Manusia selalu terlupa,
mudah lupa,
dan suka buat-buat lupa.

Apa yang kita ingat, hanya bahagia.
Apa yang kita ingat, hanya diri sendiri.
Apa yang kita ingat, hanya kesenangan.

Kita lupa akan khabar yang Allah beritakan kepada kita.
Betapa dunia ini hanyalah sebuah permainan.
Permainan yang memberi imaginasi kebahagiaan yang tidak kekal selamanya.
Permainan yang bakal melekakan.

 Oh dunia ini
Penuh kepalsuan
Oh mungkinkah tiada
Keikhlasan
Apakah ini
Suatu pembalasan
Ku sedar kebesaranMu Tuhan.

Aku bagai seorang
Kembara jalanan
Terumbang ambing
Di lautan gelora
Mencari kebahagiaan
Dahan untuk menumpang kasih
Mungkinkah suratan
Hidup kau selalu keseorangan
(Janji Manismu-Aishah)

Ya, dunia ini satu khabar gembira yang sedang menipu diri kamu.
Dunia menabur janji-janji manis, yang kesemuanya palsu !
Di sebalik kegembiraan ini terselindung satu siksaan yang teramat pedihnya.

“Mereka itu orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 86)

Lalu, mengapa Allah mengirimkan berita palsu ini buat hamba-hambaNya ?
Kerana Allah itu Maha Adil !

Telah saya katakan tadi, Allah mencipta penuh keseimbangan.
Diberinya akhirat, dan diberi juga dunia.

 “Dan carilah dalam kurniaan yang Allah berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu dari di dunia.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Dunia bukan tempat mencari kebahagiaan di dunia semata.
Kerana memang sifat dunia ini membahagiakan secara tidak langsung,
meskipun terkadang kita perlu gigih berusaha untuk mendapatkannya.

Yang benarnya,
dunia ini tempat untuk mencari kebahagiaan di sana.
Di sana, kamu akan kekal abadi.
Di sana, kebahagiaannya kekal, tidak akan hilang.
Malah, dihadiahkan berjuta-juta nikmatnya.

Tidak dapat digambarkan dengan pancaindera yang ada.
Betapa indahnya !

Lalu, mengapa manusia masih lagi mengejar dunia walaupun telah dikhabarkan berita tentang neraka dan segala siksaan-Nya ?

Kerana manusia itu memandang dunia ini dengan pandangan mata kasar sampai mata hati menjadi buta.
Mata hati  mereka terhijab sehingga mereka terlupa hakikat penciptaan mereka.
Sampai mereka terlupa kepada siapa mereka patut memperhambakan diri.

Sampai sudah, mereka akan terus tertipu dengan berita-berita dunia.
Dunia yang tidak akan pernah habis dengan propaganda.
Dunia yang tidak akan pernah bosan untuk menghiburkan manusia.

Sungguh, dunia ini hanya mengosongkan jiwa mereka.
Ruh masih lagi tercari-cari akan bahagia yang sebenar.

Kerana itu, mereka tidak dapat merasa apa-apa tatkala membaca berita-berita yang dikirimkan-Nya.

Betapa menyesal golongan ini nanti, tatkala melihat bumi ini dimamah kehancuran saat tibanya hari kiamat kelak !

The acts of this life are the destiny of the next.
Eastern Proverb

Ramai manusia yang terlupa.
Hidup ini adalah untuk kehidupan di sana nanti.

Bagusnya manusia itu apabila hidup di sini dia berusaha untuk bahagia,
dan untuk kehidupannya di sana juga dia berusaha untuk bahagia.

Barulah kemenangan yang dicapainya, kemenangan yang abadi.
Kemenangan seorang mukmin yang sejati.

Refleksi semula diri.
Jangan biarkan diri terus ditipu dan tertipu.

Tipah tertipu lagi !

Dunia ini bukannya  teman sejati,
dia hanya memberikan kenangan yang terindah,
saat kita sedih dan berduka,
penuh penyesalan,
kita ditinggalkan sendiri……

Selagi mampu untuk memperhambakan diri di bawah naungan langit-Nya,
Selagi mampu berharap kasih dan rahmat-Nya,
Selagi mampu untuk meminta pengampunan-Nya,

Gagahkanlah diri untuk terus menjalankannya,
untuk mengejarnya…

Hidup ini satu proses menuju cahaya,
dikelilingi dunia teramat gelapnya,
gunakan petunjuk dari-Nya untuk meniti jalan yang ada.

Sebuah peribahasa Rusia,

Бережёного Бог бережёт (Berezhonogo bog berezhot)
God keeps those safe who keep themselves safe.

Bendera-bendera dunia akan terus berkibar,
Tiupan sangkakala bakal menghancurkan,
tinggallah bendera akhirat menghakimi segala.

sekian,
mylittlepencil
~melihat dunia dengan mata hatinya

p/s :
seperti juga  Hari Raya. Kita terlalu digembar-gemburkan ‘berita gembira’  tentangnya sampai terlupa Lailatul Qadar yang teramat       indah itu TT_TT

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s