dunia dan kehidupan

Bismillah.

Salam dakwah buat semua.
Sekiannya, sudah lama tidak berjumpa.

Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua.
Moga-moga Ramadhan kali ini menjadi antara titik-titik tolak kita melangkah untuk menjadi hamba yang lebih bertaqwa dan ikhlas kerana-Nya, inshaAllah !

Tetapi, aku bukan mahu menulis tentang Ramadhan pada entri kali ini.
Aku pasti, para pembaca semua punya sumber yang lebih menarik daripada laman penulisanku ini jika berkehendakkan maklumat mengenai Ramadhan.

Mungkin entri tentang ‘semangat’ Ramadhan pada entri di lain waktu.

*********

Aku ingin berkongsi tentang satu dilema yang membelenggu jiwaku dari dulu.
Aku penat tersepit antara dua perkara ini meskipun telah banyak penjelasan aku minta dari mereka yang berpengalaman.

Walaupun banyak pencerahan, banyak jenis kefahaman aku didedahkan,
tetapi bila aku tiba di medan yang sebenarnya,
aku masih terbelenggu !

Aku tidak pasti sama ada orang lain mengalaminya atau tidak.

Belenggu sekian lama yang menyesakkan perasaanku adalah dilema antara dunia dan kehidupan.

Tidak dapat dinafikan, memang dakwah dan tarbiyyah melengkapi hidupku.
Hidup semakin cerah dan aku rasa lebih selamat pada jalan yang banyak likunya ini.

Meskipun banyaknya kepahitan yang terpaksa aku telah, tetapi aku puas.
Meskipun sampai letih badan, aku masih lagi puas !

Seolahnya, apa sahaja tuntutan jalan dakwah ini menjadikan aku puas jiwa, puas rasa !

Secara tidak langsung, aku menjadi anak yang lebih solehah kepada kedua ibu bapa, meskipun bila kadang-kadang ditanya kepada ibu bapa aku,

“ Apa harapan umi sebenarnya bila tengok [mylittlepencil] masuk usrah ? ”
Pada awalnya, umi memang terdiam. Tetapi aku setia menunggu jawapannya.

Kalau diikutkan jawapan klise,
Mahu  aku jadi anak yang solehah,
jadi hamba yang lebih baik.

Tetapi, jawapan  yang umi berikan, “ Ye lah…supaya  usrah  tu dapat menambah ilmu kamu. Itulah bendanya yang umi tak dapat nak bagi kamu.”

Percaya atau tidak,
hanya itu jawapannya.

“ Mana perginya harapan seorang ibu ? ” aku menolog sendirian.
Tetapi aku tidak berani untuk menyatakan.

Tetapi, bila difikirkan kembali,
mungkin ada betulnya.

Betapa penting antara sinergi ilmu dan amal.
Tanpa ilmu, amal akan menjadi buah yang tidak cukup masaknya.

Tanpa amal, ilmu akan membusuk sendirian.
Kerana itulah keduanya akan sentiasa berkait rapat.

Pernah aku nyatakan kepada seorang syuyukh yang sangat aku kasihi,

“ Ustazah, ilmu dalam dakwah dengan tarbiyyah ni memang boleh dapat dari usrah, daurah segala bagai. Pergilah banyak mana usrah, banyak mana daurah pun…apa yang akan tertambah adalah bahan dalam manhaj kita. Memang tidak dapat dinafikan benda ini sangat penting kerana itu salah satu keperluan dakwah kita. Tetapi, pengalaman dan pengajaran itu kita akan dapat daripada kehidupan kita sendiri..”

Ustazah mengangguk.
Aku tidak pasti sama ada dia bersetuju atau sekadar mengiyakan kata-kata seorang daie yang baru sahaja berada di dalam atas jalan dakwah ini.

Soalnya, adakah kita tergolong dalam golongan daie yang mengambil pengajaran dan pelajaran daripada kehidupan yang sedang kita nikmati ini ?

Kita yakin bahawa kehidupan ini sendiri secara tidak langsung merupakan tarbiyyah dari-Nya, tetapi hikmahnya tidak akan kita dapat secara percuma andai kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya !

Lalu, apa maksudnya belajar dari kehidupan ?
Bagi aku mudah, terimalah sebaiknya dengan hati yang redha dengan apa yang ada dalam kehidupan kamu.

Inilah ertinya belajar daripada kehidupan.
Bagi aku, kehidupan ini adalah makhluk.
Kita bisa berkomunikasi dengannya andai kita berfikir menggunakan akal yang tajam dan lapang serta hati yang terbuka luas.

Manusia yang sempit akal dan jiwanya, memang tidak akan dapat sesuatu daripada kehidupannya.
Kerana untuk mencari sesuatu yang amat berharga, kita memerlukan ketenangan.

Andai seseorang itu terlalu sibuk dengan urusan dunianya,
mengumpul harta meskipun hakikatnya sudah keliling pinggang timbunannya,
memuaskan nafsu kerana kelaparannya yang melampau,

Dia tidak akan peroleh apa-apa !

Dunia dan kehidupan dua alam yang cukup berbeza.
Semua orang tinggal di dunia, tetapi punya kehidupan masing-masing.
Punya susah dan senang yang tersendiri.

Ada manusia yang kehidupannya riang sentiasa.
Ada manusia yang kehidupannya cabaran  tidak pernah putus datang menduga.

Dan ada juga manusia tidak berpuas hati dengan kehidupan yang dimilikinya, lalu lebih berminat untuk meninggalkan kehidupan ini. Bagi mereka, itu lebih aman.

Di dunia ini hakikatnya manusia itu berlumba untuk mencari kepuasan kehidupannya.
Masing-masing punya kepuasan yang cukup berbeza !

Hakikatnya, buat seorang daie itu kehidupannya yang dialiri dakwah dan tarbiyyah ini cukup memuaskan.
Persis sudah dapat kemenangan yang begitu ‘adzhim’ !

Puas tetapi bukan dengan rasa bangga.
Kepuasan kita hanya penuh dengan hina.

Andai lebih bermakna, seorang daie itu belajar dari kehidupannya.
Kini, aku sedih melihat sesetengah dua’t yang hidup berpegang pada teori semata.

Segalanya pakai logik akal.
Tersedia di hadapan mata pelbagai jenis formula.
Lalu, terlupa bagaimana perasaan itu hadir dalam sebuah kehidupan.

Seolah mereka lupa bahawa kehidupan ini adalah satu seni yang kita sendiri corakkan.
Satu seni yang hanya akan berwarna andai kita sendiri memegang pensel warnanya.

Tidak sepanjang masa kita akan terus bergantung harap kepada manusia yang lain untuk memberi pengajaran  tentang kehidupan kita.

Kita yang mengalami, maka hanya kita yang tahu perasaannya.
Hanya kita yang tahu keadaan yang sebenarnya.

Nasihat yang tidak putus-putus diberi hanyalah ibarat tali penyelamat yang terhulur.
Andai kau sendiri yang tidak menghulurkan tangan kau untuk memegangnya, maka kau sendiri yang lemah sebenarnya !

Kau  yang malas !

Kerana itu, aku tidak gemar akan manusia yang menyamakan kehidupan orang lain sama seperti mereka.
Bagi aku,  mujahadah manusia itu berbeza-beza tahapannya.
Setiap  manusia berbeza-beza keperluannya.

Maka, Allah akan memberikan apa yang diperlukannya pada masa yang sesuai, di tempat yang sesuai.
Untuk diri sendiri, kita harus belajar daripada kehidupan ini sebaiknya.

Dan bila kau mendengar kisah daripada kehidupan orang lain, janganlah kau terlalu mengejinya, menghinanya sampai kau terlupa diri kau juga sedang berada dalam sebuah kehidupan.

Bila-bila masa sahaja, kau juga boleh diduga dengan hal yang sama, cuma belum tiba masanya.
Malah, mungkin kau lebih lemah daripada dia saat berhadapan hal yang sama !

Ambillah pengajaran dari kehidupan diri sendiri dan kehidupan manusia yang lainnya.
Aku, memang jenis manusia yang suka memerhati, suka berfikir.
Kini, aku lebih banyak berdiam diri.
Hanya banyak bercerita dengan manusia yang aku merasa dekat.

Aku suka melihat ragam manusia.
Kerana aku dapat belajar dari mereka !

Mungkin pada satu aspek, mereka ini sebenarnya lebih mulia dari aku.
Sekurang-kurangnya mereka ini berada dalam keadaan tidak mengetahui.
Andai aku masih melakukan kesalahan dalam keadaan aku tahu dan faham,
bukankah itu lebih menghinakan ?

Pada pemerhatianku,
betapa ramai dua’t yang kurang belajar dari kehidupan mereka.

Kebanyakkannya terlalu sibuk dengan fakta-fakta dalam alam dakwah ini sampai terlupa kaki-kaki mereka yang berpijak pada alam realiti ini.

Mereka  terlalu bersuka-suka dengan jalan dakwah ini sampai terlupa rasa peritnya dakwah.
Mereka terlalu seronok bersenda-gurau dengan jalan dakwah ini sampai terlupa hakikat sebenar sebuah jalan dakwah.

Atau mereka ini terlalu tinggi mimpinya sampai terlena lama lalu mengembara ke sebuah alam lain meninggalkan alam realiti ini ?

Aku tidak mahu berada pada halaman kehidupan bertemankan mimpi yang menipu….

Aku juga punya mimpi sama seperti kamu semua.
Menjulang tinggi citanya.
Tetapi mimpi aku tidak membuatkan aku panjang berangan sampai keawang-awangan.
Jasadku  masih berada di alam realiti.

Mimpi aku itu sekadar menjadi pencetus semangat.
Buat  ruhku untuk terus berjalan..

Aku tidak mahu menghembus kepada kenangan yang layu,
aku mahu menghirup pada kenangan yang segar….

Jadilah manusia yang belajar dari kehidupan.
Jangan sampai mimpi membuat kau benci pada realiti.

Sekian,
mylittlepencil

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s