mas’uliyyah kita

Bismillah dan salam dakwah buat semua.

Semakin bertambah usia,  semakin bertambah tanggungjawab.
Diberinya kehidupan kepada kita, beserta nikmat-nikmat yang tidak ternilai harganya.

Secara amnya, kita dididik untuk memandang betapa pentingnya sebuah tanggungjawab sebagai satu bebanan yang wajib dilangsaikan.

Ya, kerana kita akan dimarahi sekiranya kita tidak menunaikannya dengan baik.

“ Kenapa awak tak siapkan kerja rumah yang saya beri ni ? ”
“ Saya terlupa cikgu.”

Kebiasaannya, inilah alasan manusia.
Mereka terlupa.

Tetapi, bagi aku jawapan itu sudah hilang warasnya.
Mana mungkin, seorang manusia yang matang melupai tanggungjawabnya.
Keterlanjuran kita bermula apabila kita mula leka dengan tanggungjawab-tanggungjawab yang kita ada.
Atas bahu punya banyak, tetapi kita lebih memfokuskan untuk menyelesaikan tanggungjawab yang paling penting pada amatan kita.

Sudahnya, tanggungjawab yang lain kita tinggalkan begitu sahaja.
“ Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.”

Pelbagai alasan kita cipta untuk menidakkan kehadiran tanggungjawab-tanggungjawab yang lain.
Dalam keadaan tidak sedar, hidup kita mula hilang tawazunnya.

Keseimbangan tidak lagi menjadi titik muhasabah amalan kita sebelum tidur.

Apakah aku telah menunaikan tanggungjawab aku sebagai seorang hamba kepada Allah ?
Apakah aku telah menunaikan tanggungjawab aku sebagai seorang daie kepada dakwah ini ?
Apakah aku telah menunaikan tanggungjawab aku sebagai seorang anak yang baik kepada kedua ibu dan bapa ?
Apakah aku telah menunaikan tanggungjawab aku sebagai seorang penuntut ilmu kepada ilmu yang sedang aku belajar ini ?

Cuba monolog dengan diri sendiri.
Tanya dan jawab.

Kalaulah diberi satu kertas, dan kita punya peluang untuk melukis graf amalan kita berdasarkan tanggungjawab yang kita ada,

anda kira pada tanggungjawab mana ‘saham’ anda  yang paling tinggi ?
Dan apakah anda cukup berbangga dengan ‘saham’ seperti  itu ?

Wahai daie,
marilah kita merenung sejenak.

Kita tidak diajar untuk berbangga dengan gelaran yang kita sanjung ini.
Gelaran ini terlalu mulia buat kita sebagai seorang hamba yang diciptakan dari air yang amat hina.
Saat Allah berfirman bahawa Dia ingin mencipta khalifah di atas muka bumi,

Kitalah yang mengakui bahawa kita mampu menggalasnya !

Terkadang saya sendiri pelik melihatkan semangatnya para dua’t masa kini melangsaikan tanggungjawab dakwah mereka,
sanggup berkorban apa sahaja demi perjuangan yang dicinta,
mungkin jika disuruh memijak bara api pun sanggup !

Tetapi apakan daya,
aku melihat kau seolah memperlekehkan tanggungjawab yang lain.

Kata kau,

“ Apa ada pada tanggungjawab sebagai seorang anak yang soleh atau solehah ?
Apa ada pada tanggungjawab sebagai seorang pekerja pada majikan ?
Apa ada pada tanggungjawab sebagai seorang jiran yang mempunyai jiran di kiri dan kanannya ? ”

“ Pahala jihad itu lebih tinggi nilainya….”

Maka, kau pun menyusun sendi dan tenaga kononnya sedang menghadiahkan kepada Allah dan agama ini dengan jihad kau yang kononnya ‘mahal’ itu.

Bagiku, kau terlalu menyempitkan peluang kau untuk mengumpul pahala.
Kau terlalu berbangga dengan dakwah ini sampai kau sanggup menerima fitnah-fitnah ini dalam keadaan yang begitu selamat.

Dalam hati, kau mendabik dada seolah kaulah hero heroin dakwah.
“ Tidak mengapa, aku bawa dakwah. Mereka tidak akan pernah faham apa yang sedang aku lakukan.”

Sampaikan aku sendiri terkadang pelik,
mengapa mereka sanggup dihina dengan hinaan-hinaan yang sebegini ?

“ Aku bangga ponteng kelas kerana menghadiri usrah.”
“ Aku rela digelar pekerja yang tidak berdisiplin kerana dakwah. ”
“ Bangga la tengok ikhwah tu, sanggup tak balik jumpa ibu dan ayah sebab settlekan hal-hal dakwah.”

Atau, kau sememangnya gembira mendapat ‘pujian-pujian’ sebegini ?

Aku setuju, memang bukan semua manusia faham dengan tanggungjawab dakwah, malah manusia bebas untuk memberikan apa jua buah fikiran mereka.
Jauh sekali untuk memaksa kerana itu bukanlah  tariqat dakwah yang kita pelajari.
Maka, kerja kitalah untuk memberi jalan kepada mereka mencapai pemahaman ini.

Tetapi, bukan kerja kita memberi figura-figura yang begitu hodoh  mencerminkan peribadi seorang kader dakwah.

Bukankah seorang kader dakwah itu faham akan tanggungjawabnya ?
Dan dia faham akan tanggungjawabnya.
Serta, berusaha menyelesaikan segala mas’uliyyah yang ada pada haknya.

Begini analoginya.
Tanggungjawab itu ibarat sebuah kunci. Dan hak tanggungjawab itu adalah mangganya.

Hanya kunci yang tepat dan betul apabila dimasukkan akan berjaya membuka mangga.
Begitu juga pada segala tanggungjawab dan haknya.

Tanggungjawab kau sebagai seorang daie tidak akan tertunai kepada dakwah andai kau bersikap bermalasan-malasan dengannya.
Tanggungjawab kau sebagai seorang anak yang soleh tidak akan tertunai dengan betapa rajinnya kau keluar berusrah dan berprogram sini sana.
Tanggungjawab kau sebagai seorang pekerja tidak akan tertunai andai kau hanya duduk di rumah, pura-pura sakit lalu meminta cuti.
Daie kepada dakwahnya.
Anak kepada ibu bapanya.
Suami kepada isterinya.
Pekerja kepada majikannya.
Begitulah selebihnya.

Kerana apa ?
Kerana tanggungjawab juga punya haknya !

Ianya berkadar terus, bukannya  berkadar songsang.

Kita harus adil dan saksama dalam melaksanakan tanggungjawab.

Pada setiap tanggungjawab, kita akan dinilai berdasarkan cara kita menanggung bebanan-bebanan yang ada.

Ahsanu ‘amala.
Inilah impian kita bukan ?

Mahu menghadap Allah dengan qalb yang begitu sejahtera.
Tetapi apakah hati kita ini akan perolehnya andai ada lagi hutang-hutang yang sebenarnya tidak terlangsai ?
Malah, lebih teruk apabila kita tidak berusaha langsung untuk membayarnya !

Untungnya kita, kita punya Islam menaung segalanya.
Islam mengajar kita untuk masuk ke dalamnya secara kaffah.
Menyeluruh dan sempurna.

Mungkin dakwah boleh berbangga punya daie seperti kita.

Tetapi,
Dalam masa yang sama, apakah ibu dan ayah tersenyum gembira punya anak seperti kita ?
Dalam masa yang sama, apakah majikan kita senang hati punya pekerja seperti kita ?

Kita membina ketaatan yang begitu padu kepada dakwah.
Kita berbaiah dengan Allah dengan kalimah yang teramat mulia, menjulang tinggi ke langit, akarnya menunjang jauh ke dalam bumi.

Kita akui, kini ruh kita dimiliki dan memiliki dakwah !

Namun, tanggungjawab kita yang lain juga meminta kesetiaan daripada kita.
Ianya tidak akan terlangsai dengan cara kita menidakkannya, melarikan diri daripadanya, apatah lagi mengharapkan orang lain untuk menyelesaikannya.

Apa yang ada di bahu kita, adalah milik kita.
Maka, kitalah yang akan dipersoalkan.

Fikirlah kembali wahai dua’t,

Apakah sebenarnya kita layak bergelar seorang daie ?

Dakwah meminta kita menjadi qudwah hasanah kepada seluruh ummat manusia.
Dakwah meminta kita menjadi seorang daie yang sentiasa menjaga kesuciannya.

Kita tidak berhak sama sekali mengotorinya.
Kita tidak berhak sekali mengakui keberjayaan dakwah ini terletak pada tangan kita.

Allah lah sebenarnya bertindak menjaga dakwah ini, memberikan apa jua natijah terhadap dakwah ini.

Dan, Allah lah sebenarnya menjaga kau agar terus bertapak di atas jalan ini !
Istiqamah dan betapa tsabatnya engkau adalah hadiah yang teristimewa dari-Nya.

Hanya Dia yang Maha Mengetahui  siapa yang benar-benar ikhlas memberikan kesaksiannya.
Hanya Dia yang berhak mengadili segala amalan kita.

Kita, sebagai manusia terus beramal sebaiknya dengan tanggungjawab yang ada.

Buktinya kita faham segala tanggungjawab yang ada pabila kita mula mencintainya.
Kita ikhlas dalam melakukannya tanpa berkira.
Janganlah kau sekali-kali cuba untuk memalsukan tanggungjawab-tanggungjawab lain yang ada hanya semata tanggungjawab dakwah ini yang kau sanjung.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s