lidah dan isi kandungnya

Bismillah.

Salam dakwah aku ucapkan buat semua.

Moga amal dakwah kamu tidak berhenti meskipun terkadang semangat melemah dan masa tidak pernah berhenti mencemburui.

Saat penatnya diri kamu menggalas beban tanggungjawab ini, akan terpacarlah sinar keikhlasan yang akan mencahayai hati-hati kamu sampai kamu akan terlalu cintakan kerja dakwah ini !

Dalam gerak kerja kita,
tidak dapat tidak seorang daie itu sentiasa berterus-terang dalam menyampaikan kebenaran.
Jujur dalam kata-katanya.
Apa yang dikatakan adalah demi menjual apa yang dia ada.
Bukan memburukkan yang lain.
Apatah lagi untuk mengaut keuntungan demi dirinya sendiri !
Kerana dia telah berjanji bahawa segala impian dirinya adalah impian deen ini !
Kita bangga menyatakan keterujaan kita mengejar syurga-Nya.
Kita seronok menyaksikan kepada manusia yang lain kesaksian kita atas nama kalimah yang mulia, akarnya menunjang jauh ke dalam tanah, merimbun tinggi ke langit sana.

Secara tidak langsung,
segala maudhu’-maudhu’ dakwah menjadi isi kandungan ucapan lidah kita saban hari.
Apa sahaja yang dibualkan, dibicarakan masih berlegar sekita ruang lingkup dakwah.
Kita  tidak lagi malu kerana bagi kita malu untuk  melontarkan  kebenaran  adalah  satu keaiban bagi seorang rijal dakwah.

Persis keadaan malu yang tidak betul pada tempatnya.
Sungguh, itulah  malu  yang  tercela !

“  Malu seorang lelaki bukan pada tempatnya adalah satu kelemahan.” (hadis Rasulullah S.A.W)

Andai seorang rijal dakwah itu  malu  untuk menyampaikan  kalam-kalam al-haq di atas muka bumi ini, maka  apakah harga dirinya sebagai seorang hamba Allah yang mengikat janji atas syahadah kebenaran yang saban hari dia  ucapkan ?

Di manakah tempat dia di atas muka bumi andai dia tidak mengerti tujuan penciptaan dirinya ?

Malunya seorang rijal dakwah itu adalah hanya berdasarkan keimanannya, bukan atas dasar kelemahannya !
Malu yang menjadi buruan kita adalah malu yang terpuji.
Malu yang mendatangkan rasa tadharru’ kepada Allah.
Malu  kita hanya mendatangkan kebaikan dan menjauhi keburukan.

Malu kita tidak akan sampai pada taraf seorang hamba yang mengabaikan sebahagian hak-hak Allah dan hak-hak makhluk-Nya kerana itu adalah malu dalam keadaan yang teramat menghinakan !

Malunya kita membuatkan kita merasa resah-gelisah.
Tidak senang duduk selagi seluruh penduduk bumi ini tidak menerima Islam sepenuh hati mereka.
Kita terus menjala semampunya sampai habis nyawa.

Sungguh, inilah malu yang perlu diusahakan.
Malu yang membantu kita untuk mengetahui keagungan-Nya,
melatih diri kita untuk menghendaki akhirat  dan meninggalkan segala kecantikan dunia.

Malu ini adalah salah satu dari dasar kesempurnaan iman yang menapak dalam segumpal daging yang merajai seluruh tubuh badan kita .

“ Ketahuilah ! Dan sesungguhnya di dalam  tubuh  itu ada segumpal daging, bila daging ini baik maka semua anggota tubuh akan baik dan bila rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah ! Bahawa segumpal daging itu adalah hati.”

Hati,
tumpuan terpenting  bagi seorang daie dalam pembinaan tarbiyyahnya.
Sungguh, anggota terpenting yang paling penting selepasnya adalah lidah kamu sendiri !

Kerana lidah menggambarkan isi-isi  hati kamu.
Andai kotor hati kamu, maka apa yang lahir adalah kata-kata yang hanya membusukkan hati-hati manusia yang lain.
Andai bersih hati kamu, maka apa yang akan lahir adalah kata-kata yang menjernihkan hati-hati manusia, malah menggerakkan mereka  untuk terus istiqamah dalam melakukan taghyir-taghyir yang positif !

Wahai dua’t,
peganglah lidah kamu !

Jagalah segala kalimah yang keluar darinya kerana ia melambangkan kebersihan hati kamu.
Ia melambangkan jernihnya iman kamu.

Bukankah kita mahu lidah kita ini bermanfaat buat diri kita sendiri dan manusia yang lainnya ?

Lidah kita ini tidak diperlukan andai ia melahirkan kata-kata yang menjual maruah diri kita sendiri.
Lidah kita ini tidak diperlukan andai ia melahirkan kata-kata yang hanya bersifat suka menghina dan mencela orang lain.
Lidah kita ini tidak diperlukan andai ia melahirkan kata-kata yang hanya berseloroh dan berjenaka sepanjang masa.

Hakikatnya, lidah kita ini tidak diperlukan andai ia menyumbangkan dosa-dosa yang besar sehingga menghalang kamu dari mencium bau syurga.
Lebih baik jika kau potong sahaja dan membiarkan diri kau membisu.
Memilikinya tetapi apa yang terjadi pada diri kamu adalah kamu terus berterusan sesat sehingga kau lebih teruk dari binatang-binatang ternakan !

Sebuah hadis Rasulullah S.A.W  yang berbunyi :

“ Tidaklah lurus (istiqamah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya ”

Maka, apakah dalam pembinaan tarbiyyah diri kamu, kamu tertinggal dalam proses untuk meluruskan lidah kamu itu ?

Bukanlah hati kita sahaja yang perlu diluruskan, malah seluruh anggota kita harus diluruskan semampunya dengan jiddiyah yang teramat kuatnya !

Untuk mencapai taraf yang sempurna, memang teramat susahnya buat seorang manusia seperti kita.
Manusia yang memang diciptakan dalam keadaan lemah, hina-dina.
Kerana itulah dalam membina ketetapan (istiqamah) kita dalam melakukan kebaikan sentiasa memerlukan latihan dan pengampunan dari-Nya.

Istiqamah adalah satu darjat (tingkatan) yang dengannya tercapai kesempurnaan semua urusan dan kewujudannya mengundang kebaikan dan keteraturan. Barangsiapa yang tidak mempunyai sifat istiqamah maka segala usahanya akan sia-sia dan dia akan mengalami kerugian dalam kejayanya.
-Al-Qusyairi-

Dan lisan  juga punya istiqamahnya !
Lidah kamu juga punya amalannya yang tertentu.

Lidah itu zahir sifatnya.
Bukan seperti hati kamu yang banyak menyimpan rahsia.
Rahsia dalam hati boleh kau selindungkan,
tetapi kata-kata yang terlajak memang tidak boleh diundur semula.

Apa yang sudah terlafaz, akan senantiasa diingati oleh para pendengarnya.
Apa yang sudah menjadi bicara, akan senantiasa difikirkan dengan pelbagai tafsiran yang berbeza dari akal-akal manusia yang banyak jenisnya.

Susun lafaz bicaramu, atur nada suaranya biar merdu.
Inilah lagak seorang daie.

Melalui penyampaian dakwahnya, manusia akan mula menilai.
Apakah kata-kata ini punya kasih-sayang yang suci untuk memaut hati-hati mereka ?
Apakah kata-kata ini punya ikhlasnya sampai berjaya memujuk hati-hati mereka untuk mendengarnya lagi ?
Apakah kata-kata ini punya kejujurannya sampai manusia tidak akan dapat lagi memutarbelitkan segalanya ?

Aku percaya,
andai kau betul-betul menjaga lidah,
aku cukup yakin bahawa manusia akan terus tertarik kepadamu.
Mereka malah bakal merindui kata-kata itu !

Aku faham bahawa pada keadaan-keadaan tertentu,
kau juga ingin bercerita tentang cerita-cerita biasa,
gosip-gosip yang menceriakan hari yang berlalu.

Ya, seperti manusia-manusia di luar sana.

Tetapi, bukankah kau ingin menjadi manusia yang luar biasanya ?
Berfikirlah sebelum engkau berkata-kata.

Janganlah engkau bakhil dalam berkongsi kefahaman yang kau ada.
Biarlah walaupun ia sedikit, tidak seperti penceramah-penceramah hebat di luar sana,
harganya tetap ada !

Lihat para sahabat yang tidak pernah jemu untuk berkongsi menunjukkan betapa izzahnya mereka terhadap agama ini !

Kita tidak mahu lidah kita bercerita tentang perihal tuannya di dunia dahulu penuh dengan kata-kata yang begitu busuk.
Mengajak manusia tetapi terlupa akan dirinya.

Apakah kau sanggup menghadapi satu  keadaan di mana lidah kau akan bercerita segala-galanya kerana saat itu tiada lagi rahsia.
Segala hijab akan terangkat dan dibuang kerana pengadilan-Nya penuh dengan keadilan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.”
(al-Bukhari)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s